Salah satu cara penyebaran berita dan maklumat terkini yang digunakan secara meluas adalah melalui media massa samada bercetak atau elektronik (FB, Twitter, Blog, SMS, Youtube) dan ianya menjadi suatu arus baru yang mampu merempuh siapa sahaja yang berada di perjalanannya.
Media massa ketika ini sebahagian besarnya telah didominasi atau dikuasai oleh golongan anti Islam yang melihat Islam sebagai ancaman bagi kepentingan politik dan ekonomi mereka.
Misi mereka sudah tentulah ingin merugikan dan menjatuhkan imej Islam dengan :
1. Berusaha agar masyarakat dunia membenci Islam dan menjauhinya.
2. Menanamkan keraguan di dalam dada kaum muslimin akan kebenaran dan pentingnya Islam di dalam kehidupan.
Firman Allah swt :
“Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” (QS Al-Baqarah : 217)
Ayat di atas, sangat jelas menerangkan kepada kaum muslimin bahwa orang-orang kafir sangat giat dan gigih untuk mendakwahkan agama mereka, termasuk kepada umat Islam sekalipun. Dengan kata lain, mereka ingin memurtadkan umat Islam.
Keadaan ini diperburukkan lagi oleh kenyataan bahwa di kalangan umat Islam, penguasaan terhadap ilmu komunikasi dan jurnalistik hingga ke saat ini masih tidak memadai.
Ulama’ dan orang-orang yang benar-benar faham akan Islam secara benar dan melaksanakan dakwah di dalam masyarakat agak sedikit yang menjadi penulis atau wartawan, apatah lagi untuk menerbitkan suratkhabar atau majalah yang benar-benar membawa misi dakwah dan perjuangan Islam.
Sebaliknya penulis dan wartawan yang beragama Islam, termasuk yang bertaraf antarabangsa dan mempunyai semangat sekalipun, ramai yang belum atau tidak memahami Islam secara benar dan menyeluruh. Ertinya, usaha umat Islam dalam menghalang serangan musuh-musuh Islam hampir tidak kedengaran.
Di sudut lain, akhbar yang diterbitkan oleh orang Islam banyak yang tidak memperjuangkan dan membela Islam, bahkan berpotensi untuk menghancurkan Islam itu sendiri, kerana mereka masih “berkiblat” kepada orang-orang kafir yang menjadi musuh Islam, yang memang sentiasa menyebarkan berita yang sifatnya merugikan Islam.
Sebagai seorang muslim, kita hendaklah terlebih dahulu ber’tabayyun’ (memeriksa kebenaran suatu berita) kerana jika tidak, ia akan sangat berbahaya bagi umat Islam.
Perhatikan firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (QS Al-Hujurat : 6)
Perkara terpenting yang perlu mendapat perhatian adalah, berita tidak boleh dipersembahkan dengan prinsip dan cara-cara yang melanggar etika.
Di antara etika dalam kaitannya dengan informasi adalah prinsip :
a. Keadilan.
b. Kebenaran.
c. Kejujuran.
d. Ketepatan.
Berita mestilah disampaikan secara benar dan tidak mengandungi fitnah atau perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran.
Allah swt berfirman :
“Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil” (QS Al Ma’idah : 8)
Berita mestilah dipersembahkan secara adil sebagaimana Al Qur’an telah memerintahkan agar berlaku adil.
“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa” (QS Al Ma’idah : 8)
Berita mestilah disampaikan secara jujur dan tidak mengandungi kebohongan atau perkara yang dibuat-buat dan diada-adakan, semata-mata kerana ingin membuat sensasi dan meraih keuntungan murahan.
Rasulullah saw bersabda :
“Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu menghantarkan kepada syurga. Seseorang membiasakan dirinya dengan kejujuran sehingga tercatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Sedangkan dusta membawa kepada keburukan dan keburukan menghantarkan kepada neraka. Seseorang membiasakan diri dengan dusta sehingga tercatat di sisi Allah sebagai pendusta.” (HR Bukhari dan Muslim)
Islam sangat memberi tumpuan kepada nilai berita dan sejak dahulu lagi ia dikenali memiliki tradisi ilmiah yang mengkagumkan dalam penyaluran informasi.
Islam telah menetapkan kedisiplinan yang tinggi dalam jalur riwayat, iaitu dengan adanya ‘Syuruthur Rawi’ (syarat-syarat periwayat) dan ‘Amanatun Naqli’ (Kejujuran Ilmiah) .
‘Rawi’, iaitu orang yang membawa berita atau informasi, dikenakan beberapa syarat, seperti :
1. ‘Al ‘Adalah’ (berkelakuan baik).
2. ‘Adh Dhabth’ (kuat ingatan).
3. ‘Salim Minasy Syudzudz Wal ‘Illah’ (tidak ada keanihan dan kecacatan dalam beritanya).
Demikian pula tradisi ‘Amanatun Naqli’ iaitu secebis kejujuran ilmiah dalam hal mencatat pendapat atau interpretasi yang dikemukakan oleh seorang mujtahid.
Dengan tradisi ilmiah seperti ini, ianya akan mempersempitkan kemungkinan manipulasi pendapat kerana setiap pendapat dapat dikenalpasti sehingga sampai kepada sumber asalnya.
Tradisi ilmiah ini akan menjauhkan diri kita dari ‘qala wa qila’ (katanya-katanya) dalam menyerap dan menerima berita dan tidak sebagaimana banyak berita yang berkembang di media massa pada umumnya yang tidak memiliki kedisiplinan ilmiah dalam pengambilan data atau maklumat.
Penilaian di atas kualiti pembawa berita merupakan salah satu bentuk pertanggungjawaban ilmiah atas kesahihan sesebuah berita.
Demikian pula, rantaian bersambung antara sanad periwayatan, menjadikan sesuatu berita terjaga keasliannya, bukan dengan perkiraan atau manipulasi bahasa.
Kita mengenali sesebuah hadits dengan darjat ‘sahih’, kerana ianya diriwayatkan oleh orang-orang yang :
a. Dipercayai.
b. Baik akhlaknya.
c. Kuat ingatannya.
d. Bersambung jalur periwayatannya.
Kita mengenali sebuah hadits dengan darjat ‘hasan’ kerana diriwayatkan oleh orang yang kurang kuat ingatannya.
Begitu juga kita temui istilah hadits ‘dhaif’ atau lemah kerana diriwayatkan oleh orang yang tidak baik perilakunya atau memiliki catatan yang tidak elok dalam akhlak.
Inilah prinsip ilmiah dalam penilaian berita. Kita boleh mengambil iktibar dari sejarah kenabian, bahwa pernah berlaku penyebaran berita bohong yang menjatuhkan maruah Ummul Mukminin Aisyah ra.
Pada waktu itu, media penyebaran berita hanyalah dari mulut ke mulut dan belum berkembang teknologi maklumat sebagaimana hari ini.
Kita dapat membayangkan bagaimana kacaunya dan keruhnya suasana jika berita bohong seumpama itu tersebar secara besar-besaran di media massa. Pengaruhnya akan sangat hebat pada masyarakat.
Allah swt memberikan teguran di atas peristiwa tersebut :
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahwa berita bohong itu buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik bagi kamu” (QS An Nur : 11)
Berita bohong tersebut dibawa oleh Abdullah bin Ubay bin Salul, seorang tokoh munafik untuk menjatuhkan kewibawaan keluarga Nabi saw dengan cara-cara yang amat hina.
Namun, justeru dengan adanya berita bohong tersebut pada akhirnya akan menyingkapkan hakikat kesucian dan kemuliaan Aisyah di hadapan Allah swt, maka berita bohong itupun berbalik menjadi sebuah kebaikan.
Tapi, Allah swt tetap menegur sikap beberapa kalangan kaum muslimin yang mendapatkan berita bohong tersebut :
“Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan tidak berprasangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: Ini adalah suatu berita bohong yang nyata” (QS An Nur : 12)
“Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu: Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Maha Suci Engkau (ya Tuhan kami), ini adalah dusta yang besar” (QS An Nur : 16)
Ayat-ayat di atas memberikan sebuah tuntunan perilaku bagi masyarakat iaitu apabila menerima sesebuah berita, hendaklah mereka bersikap kritikal dan tidak terjebak dalam sensasi murahan.
Dalam kisah berita bohong tersebut, ada banyak pelajaran yang boleh kita ambil.
PERTAMA :
Wujudnya kenyataan bahwa orang-orang yang memiliki kebaikan seumpama Ummul Mukminin Aisyah ra pun boleh terkena fitnah dengan kebohongan yang sangat keji. Ertinya, pemberitaan yang menyangkut peribadi seseorang boleh jadi merupakan pembunuhan karakter yang dilakukan dan disebarkan oleh kelompok tertentu untuk maksud-maksud tertentu.
KEDUA :
Bahwa masyarakat di zaman Nabi saw juga memiliki peluang untuk diperdayakan oleh wujudnya berita fitnah seperti ini.
Perhatikan teguran keras dari Allah swt berikut :
“(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikitpun juga, dan kamu menganggapnya sesuatu yang ringan sahaja. Padahal itu di sisi Allah adalah besar” (QS An Nur : 15)
Ayat di atas memberikan teguran dan sekaligus merupakan tuntunan moral yang amat agung tentang bagaimana menghadapi dan bersikap dalam menerima pemberitaan.
Masyarakat perlulah cermat dalam menangkap berita dan tidak cepat menyebarluaskan berita hanya kerana wujud sensasi di dalamnya, tanpa melakukan penilaian secara benar terhadap apa yang sesungguhnya berlaku.
Realiti masyarakat kita dewasa ini, pendapat dan persepsi mereka dibentuk oleh media massa, sementara sajian dalam media massa tersebut belum dapat dipastikan kesahihannya.
Apabila berita bohong, gosip, isu dan sebagainya yang tidak jelas serta tidak memiliki sandaran kebenaran disebarkan melalui media maklumat samada bercetak ataupun elektronik, ia sebenarnya mempunyai peluang untuk memakan korban yang banyak pada saat itu.
Masyarakat akan menelan berita yang diperolehi dari berbagai media yang kemudiannya membentuk persepsi, pendapat bahkan sikap dan perilakunya.
Jika tidak berhati-hati, ia akan mudah terjebak ke dalam tuduhan kepada seseorang atau sekelompok orang padahal berita tersebut penuh kebohongan.
Namun, untuk melakukan ‘tabayyun’ (mengenalpasti kebenaran) tersebut, diperlukan :
1. Kefahaman Islam yang benar dan sejagat.
2. Penguasaan jurnalistik yang tepat dengan peralatan moden yang memadai.
Namun, secara tabi’ienya, para penulis muslim belum benar-benar menguasainya secara baik.
Perhatikan, bagaimana Al-Qur’an telah menceritakan kisah Nabi Sulaiman tatkala baginda mengirim surat kepada Ratu Negeri Saba’ yang dengan tulisannyalah akhirnya Sang ratu tersebut masuk Islam.
Jika sekiranya dakwah para Nabi melalui surat sahaja telah wujud, bagaimana pula dengan kita hari ini?
Bukan hanya Nabi Sulaiman as, Nabi Muhammad saw pun telah mendakwahkan Islam kepada raja-raja dan para penguasa sesuatu negeri pada zaman baginda.
Rasulullah saw menggunakan tulisan berupa surat yang sederhana, tanpa bantuan dan sokongan hasil teknologi seperti yang ada pada zaman kita ini.
Pada masa itu, peranan media massa sangatlah penting, antara lain ianya dapat membentuk pendapat umat.
Bahkan dikatakan :
“Siapa yang menguasai media, bererti ia dapat menguasai dunia”.
Jika sekiranya media dikuasai oleh orang-orang muslim yang soleh dan faham akan agamanya serta seorang pendakwah, maka media yang diterbitkannya tentulah tidak akan menurunkan tulisan-tulisan yang merugikan Islam, menjatuhkan maruah kaum muslimin atau menyakiti umat Islam.
Namun, kenyataan pahit yang kita rasakan hari ini bahwa tidak sedikit akhbar dan saluran media yang menurunkan berbagai bentuk tulisan yang memuatkan bukan hanya menjatuhkan maruah Islam dan menyakiti hati kaum muslimin serta memperlekehkan Al-Qur’an, tetapi lebih dari itu semua, termasuk juga memecahbelahkan umat Islam.
Perkara ini menjadi lebih parah lagi ketika para pemimpin umat Islam bukannya memihak kepada Islam, tetapi justeru bersekongkol dalam membela musuh-musuh Allah swt.
Sebagaimana yang kita kethaui bahwa orang-orang kafir telah menyerang Islam melalui senjata, di antaranya perang salib yang terdiri dari 8 gelombang (11—13 H), di mana pada saat itu, orang-orang kafir mengalami kekalahan yang menyebabkan mereka mengubah taktik perang mereka menjadi perang pemikiran.
Maka pada hari ini, orang-orang kafir menyerang umat Islam melalui media-media yang hakikatnya merosakkan ideologi atau aqidah umat Islam.
Tujuan akhir mereka tiada lain kecuali agar Islam dan umat Islam berhasil dihabiskan dan dilenyapkan dari muka bumi ini.
Dalam mengimbangi semua ini, umat Islam mestilah mempunyai akhbar yang kukuh, yang dikelolakan oleh para ulama’ dan wartawan muslim yang benar-benar faham akan Islam, serta menampilkan tulisan dan berita yang benar, menarik serta bijaksana.
Tentunya, tulisan yang dimuatkan mestilah bermanhaj yang benar, iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah serta kefahaman yang benar berdasarkan kefahaman salafus soleh, sehingga tulisan yang dimuatkan tersebut bermanfaat bagi umat Islam sekaligus menghalang serbuan akhbar sekular, yang setiap hari giat menyerang Islam dengan berbagai cara.
Sedar atau tidak, ketika ini muncul musuh-musuh Islam dari dalam tubuh umat Islam yang berpotensi menghancurkan umat Islam dari dalam, seumpama Jaringan Islam Liberal, Syi’ah dan lain-lain.
Mungkin dalam pandangan sebahagian kaum muslimin, mereka-mereka itu adalah pembela Islam, padahal mereka itulah penghancur Islam dari dalam.
Sebenarnya perkara seperti ini telah muncul pada zaman para Nabi-Nabi terdahulu. Ada sahaja orang-orang munafik, yang mengaku muslim namun mereka merosakkan Islam bahkan memecahbelahkan persatuan umat Islam.
Sebahagian mereka mengaku Islam namun tidak senang melihat Islam wujud di bumi Allah swt. Jika mereka menerbitkan buku, akhbar, tabloid dan sejenisnya tentang Islam, isinya akan diselewengkan dan ditakwilkan menurut akal-akal mereka sehingga tidak mengungkapkan kenyataan dan kebenaran sesuai dengan sumber yang benar (Al-Qur’an dan As-Sunnah).
Ada empat perkara yang perlu kita ketahui dari langkah-langkah orang-orang kafir dalam menjauhkan umat Islam dari agamanya:
PERTAMA : ‘TASYKIK’ (MENIMBULKAN KERAGUAN)
Iaitu menciptakan pendapat-pendapat yang menyebabkan umat Islam ragu terhadap agamanya seperti :
a. Membuat polemik tentang tidak adanya konsep negara Islam dan tidak perlu menegakkannya.
b. Meragukan kedudukan sunnah Rasulullah saw.
c. Menuduh hukum waris dan zakat tidak adil.
KEDUA : ‘TASYWIH’ (PENGABURAN, MENJELEK-JELEKKAN SERTA MEMPEROLOK-OLOKKAN ISLAM)
Iaitu menimbulkan kesan bahwa :
a. Syariat Islam itu sadis, kejam, melampau, diskriminatif dan tidak berperikemanusiaan.
b. Mengikut undang-undang Al-Qur’an akan membawa kepada ketinggalan zaman.
c. Ajaran Rasulullah saw tidak relevan lagi dengan suasana semasa.
d. Jilbab adalah budaya Arab.
KETIGA : ‘TADZYIB’ (PELARUTAN NILAI, PENETRASI BUDAYA)
Iaitu usaha untuk memasukkan nilai-nilai jahiliyah ke dalam ajaran Islam misalnya melalui :
a. Musik yang melalaikan.
b. Fesyen pakaian yang tidak menutup aurat.
c. Gaya dan cara hidup hedonisma.
KEEMPAT : ‘TAGHRIB’ (PEMBARATAN)
Mudah-mudahan Allah swt menjadikan kita orang-orang yang bersikap selektif dalam menerima berita serta mencari bahan bacaan yang bermanfaat.
Yang pentingnya juga adalah kita berdoa kepada Allah swt agar ditanamkan pada hati kita kecintaan terhadap agama kita serta menjauhkan kita dari kejahatan orang-orang yang membenci Islam.
“…Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. “ (QS Al-Hujurat : 7)
Maka, marilah kita berhati-hati dalam menerima arus berita yang bersimpang siur di sekitar kita, tentang apa sahaja yang melibatkan peribadi, pemikiran dan akhlak seseorang supaya kita tidak menjatuhkan kezaliman dan penganiayaan kepada saudara-saudara seIslam kita tanpa membuat penyaringan terhadap kesahihan dan ketepatan berita tersebut.
Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang sentiasa berhati-hati dalam menerima berita yang datang dengan mengenalpasti kesahihan dan ketepatannya berdasarkan ilmu dan ma’rifah dariMu serta tidak menyebarkannya tanpa usul periksa. Berilah kekuatan kepada kami untuk menghadapi media arus baru yang membawa bersamanya usaha menimbulkan keraguan, pengaburan, pelarutan nilai dan pembaratan sehingga yang hak itu tetap tegak walaupun ditentang oleh kebatilan dari setiap sudut.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS