Kita panjatkan pujian dan syukur ke
hadhrat Allah subhanahu wa ta’ala dan kita ucapkan selawat dan salam
untuk junjungan kita Nabi Muhammad saw, juga untuk seluruh keluarga dan
sahabatnya, serta siapa sahaja yang menyerukan dakwahnya hingga ke hari kiamat.
Amma
ba’du. Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Kita bersyukur kepada Allah subhanahu wa ta’ala yang telah memberikan kesempatan
berkumpul kepada kita dalam rangka acara peringatan agung dan tercinta, iaitu
peringatan Isra’ Mi’raj.
Setiap tahun kita berkumpul di bulan
Rajab yang mulia. Ia adalah bulan yang diberkati, waktu-waktunya merupakan
kemuliaan ‘rabbani’. Barangsiapa
yang berbuat baik, maka Allah akan menambah kebaikannya di dalamnya dan
barangsiapa yang berbuat jahat, maka Allah akan membukakan pintu ampunan
untuknya pada bulan yang diberkati ini.
Di sini saya tidak akan membahas
kisah Isra’ dan Mi’raj secara terperinci kerana anda semua tentu sudah
mendengar dan membacanya. Tetapi kita akan mengadakan ulasan singkat sahaja.
‘Isra’ adalah perjalanan yang dilaksanakan oleh Rasulullah shalallahu ‘alayhi wa sallam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsha,
sedangkan ‘Mi’raj’ adalah perjalanan ‘samawiah’ yang
dilaksanakan oleh baginda shalallahu ‘alayhi wa sallam dari Masjidil Aqsha ke langit paling
tinggi.
Kedua-dua perjalanan ini dilaksanakan
dalam satu malam dan dilaksanakan oleh Rasulullah shalallahu ‘alayhi wa sallam sebagai manusia secara utuh. Kisah ini
telah disinggung oleh Al-Qur’an dalam surah Al-Isra’.
Ada orang yang bersikap ragu terhadap
kisah Isra’ dan bertanya,
Mungkinkah manusia yang komposisinya terdiri dari daging dan darah
serta memerlukan elemen-elemen material, dapat naik ke langit, padahal kita
mengetahui bahwa di tempat tertentu terdapat ruang hampagas dan pada titik
ketinggian tertentu sudah tidak terdapat oksigen?”
Saya pernah mengatakan kepada mereka,
“Ini adalah kekuasaan
Allah yang meliputi segala sesuatu. Ia merupakan perkara yang mungkin dan tidak
mustahil dalam logik kekuasaan Allah. Tetapi, perlu saya tanyakan juga, apakah
kamu mengetahui seluruh ilmu Allah yang telah lalu mahupun yang akan datang?”
Ikhwan sekalian, pada kenyataannya, ilmu moden telah menyingkap
rahsia itu dan bahwa manusia mempunyai unsur lain selain unsur material, iaitu
unsur kejiwaan, yang disebut sebagai ‘alam ruh’ atau ‘alam kejiwaan’.
Sekalipun ilmu pengetahuan belum mampu menyingkap hakikat alam ini,
tetapi ia telah sampai pada pengetahuan bahwa ruh dapat menguasai badan
sehingga dapat menguasai, membatasi dan menundukkannya kepada hukum-hukumnya,
bukan kepada hukum-hukum kebendaan. Sebenarnya, beberapa kejadian boleh membuktikan perkara ini. Ada sebahagian penganut sufi di India yang mampu menguasai badannya dengan kekuatan ruhnya serta bertahan selama satu minggu.
Kita juga mengenali akan adanya ‘hipnotis’, yang menjadikan ruh menguasai badan, sehingga ia berubah menjadi mata yang melihat.
Yang berlaku dalam kisah Isra’ Mi’raj adalah, bahwa Allah subhanahu wa ta’ala mengurniakan kepada Nabi-Nya yang mulia ini kekuatan ruhani yang besar, sehingga menguasai badannya. Ini bukan bererti bahwa baginda diisra’kan dengan badan tanpa ruh, tetapi diisra’kan dengan ruh dan jasad.
Sebahagian orang bertanya-tanya, “Apakah hikmah Isra’ Mi’raj?”
Oleh yang demikian, Allah
mengelilingkan baginda di seluruh ceruk langit agar keimanan baginda merupakan
keimanan yang berdasarkan :
a.
Penyaksian.
b.
Penglihatan.
dan tidak sekadar keimanan yang
berdasarkan pada keyakinan dan teori.
Ada hikmah lain yang mengandungi
nilai ketinggian dan kemuliaan.
Allah subhanahu wa ta’ala telah mewajibkan solat kepada kaum
muslimin pada malam Isra’ Mi’raj. Allah tidak menghendaki kewajiban ini
diperintahkan melalui wahyu sebagaimana
kewajiban-kewajiban lain, tetapi Dia mengundang Nabi-Nya yang mulia agar
baginda dapat menjelaskan kepada manusia bahwa solat mempunyai nilai yang
tinggi dan agung serta merupakan bahan asas dalam kurikulum pentarbiyahan
Islam. Solat adalah :
1.
Kebersihan.
2.
Keaktifan.
3.
Kesihatan.
4.
Ilmu.
5.
Akhlak.
Saya kira, anda semua telah
mengetahui bahwa ‘Hadits Tsulatsa’ (pertemuan selasa) kali ini mengambil tema
Isra’ Mi’raj. Tema ini dibahas oleh para Ikhwan bukan sebagai kisah semata-mata,
tetapi di satu sudut ia sebagai pelajaran dan di sudut yang lain sebagai pemacu
kepada amal.
Sebagai kisah, cukuplah kita
mendapatkan informasi yang dibawa oleh Al-Qur’anul Karim,
“Mahasuci Allah, yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsha
yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian
dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi
Maha Melihat.” (QS Al-Isra’ : 1 )
Ayat ini mengandungi keterangan mengenai Isra’. Di antara makna yang
dikandungnya bahwa ayat ini menyebut Masjidil Aqsha, padahal apabila ditinjau
dari definisi masjid ketika itu, ia belum merupakan sebuah masjid, melainkan
sekadar tempat ibadah.
Sebutan masjid yang digunakan oleh Allah dapat menjadi pembakar
semangat bagi kaum muslimin untuk masjid ini iaitu :
a.
Menguasai tanah yang diberkati
ini.
b.
Memperjuangkannya.
c.
Menjaganya jangan sampai terlepas
dari tangan mereka.
Ini juga merupakan isyarat bahwa ia kelak menjadi masjid dan ia akan
tetap demikian, sekalipun orang-orang kafir membencinya.
Semoga Allah memberikan pahala kebaikan kepada tamu Mesir yang
agung, Sahibus Samahah Mufti Akbar (Amin Al Husaini) yang telah berulang kali
mempertaruhkan darahnya agar Masjidil Aqsha ini tetap merupakan masjid.
Orang-orang Yahudi pernah menawarkan kepada beliau tebusan sebesar
satu juta pound agar memberikan konsesi dengan menyerahkan tiga belas meter
tanah di Masjidil Aqsha.
Beliau menjawab dengan keimanan mendalam :
“Demi Allah, andaikata kamu
mampu mengumpulkan seluruh harta orang-orang Yahudi di dunia, niscaya aku tidak
akan menyerahkan kepada kamu walaupun hanya setengah meter.”
Kenyataannya, ia merupakan salah satu mukjizat Islam dan sebab
terjaganya Masjidil Aqsha, kerana Allah memudahkan orang-orang seperti Sahibus Samahah
Mufti untuk mengambil sikap agung ini.
Sebagaimana yang telah disinggung
tentang peristiwa Isra’, Allah juga menyinggung tentang peristiwa Mi’raj, di
dalam firman-Nya,
“Dan sesungguhnya Muhammad
telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (Iaitu)
di Sidratul Muntaha. Di dekatnya ada syurga
tempat tinggal. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang
meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak
berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat
sebagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.” (QS An-Najm : 13-18)
Yang penting kita perhatikan tentang Isra’ dan Mi’raj adalah ramai
manusia menganggap bahwa Isra’ dan Mi’raj merupakan peristiwa yang bertentangan
dengan hukum-hukum alam, kerana perpindahan manusia dari satu tempat ke tempat
lain dengan jarak seperti ini merupakan suatu perkara yang mustahil berdasarkan
kebiasaan.
Aduhai, masih cukup baik jika mereka berhenti sampai pada batas ini,
namun ternyata lebih dari itu, mereka berkata,
“Baginda dinaikkan ke
langit, lantas bagaimana baginda bernafas?”
Selama masa yang panjang mereka masih ragu terhadap peristiwa ini.
Para salaf pendahulu kita mempunyai
jawaban atas pertanyaan ini dan jawaban mereka tetap sama iaitu :
“Sesungguhnya peristiwa ini adalah mukjizat yang berlaku di luar
kebiasaan. Kekuasaan Allah subhanahu wa ta’ala boleh
mewujudkan perkara-perkara semacam itu, dan itu merupakan sunnah-sunnah yang
dikenali di kalangan orang-orang yang beriman.”
“Wahai manusia, apakah yang telah
memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhan kamu Yang Maha Pemurah.
Yang telah menciptakan kamu lalu
menyempurnakan kejadian kamu dan menjadikan (susunan tubuh) kamu seimbang. Dalam bentuk apa
sahaja yang Dia kehendaki, Dia
menyusun tubuh kamu.” (QS Al-lnfithar : 6-8)
“Mari berfikir sejenak! Apakah
kamu telah mengetahui seluruh hukum yang berlaku di alam semesta?”
Kamu sendiri mengakui bahwa kamu belum mengetahui seluruh kekuatan
yang tersimpan di alam semesta dan tidak mengetahui secara menyeluruh tentang
hukum-hukum alam. Oleh kerana itu, anggap sahaja ini sebagai suatu perkara yang
belum kamu ketahui ilmunya dan belum sampai kepada akal fikiran kamu.
“Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (QS Al-Isra’: 85)
Andaikata kamu memperhatikan sejarah penemuan-penemuan ilmiah,
niscaya kamu ingat bagaimana setiap penemuan diikuti dengan penolakan dan
pengingkaran. Kemudian akal manusia tunduk mengikuti hukum realiti setelah
sebelumnya mengingkari dan menolak.
Kita juga mengatakan kepada mereka :
“Ilmu empirik yang kamu bergantung kepadanya telah membuktikan bahwa
kekuatan kejiwaan boleh mempengaruhi jasad / fizikal, sehingga mampu
memindahkannya dari satu tempat ke tempat lain dan mengangkatnya dari permukaan
tanah. Jika manusia dengan kekuatan jiwanya mampu melakukan keajaiban-keajaiban
itu, maka mustahilkah bagi Allah untuk memberikan kekuatan jiwa kepada
Nabi-Nya, yang menguasai badan baginda yang mulia, sehingga badan tersebut
berubah menjadi ruh murni dan badan ruhani ini menembusi bahan tersebut, kerana
ia telah keluar dari ruang lingkup kebendaan kepada ruang lingkup ruhani.”
Semoga Allah merahmati ‘Asy-Syauqi’
yang mengatakan,
‘Dengan keduanya baginda diisra’kan ruh,
ruhani dan cahaya.’
Mereka mengatakan :
“Sesungguhnya Musa alayhissalaam setelah
selesai dari masa berbicara dengan Allah Yang Maha Tinggi, boleh mendengar
rayapan semut dari jarak empat ‘farsakh’.”
Maka, bagaimana pula menurut kamu
jika perkara itu dalam keadaan ‘tajalli’. Bagaimana pula dengan Rasulullah shalallahu ‘alayhi wa sallam
sedangkan Allah subhanahu wa ta’ala telah ‘bertajalli’ terhadap
baginda dengan keruhanian yang sempurna.
Mustahilkah bagi baginda untuk
menembusi batas-batas kebendaan. Jadi pada malam tersebut, ruh adalah yang
berkuasa atas hakikat fizikal.
Ada satu kajian lain yang penting
bagi kita, iaitu hikmah Isra’ dan Mi’raj.
Sebahagian orang bertanya, “Apa hikmah Isra’ Mi’raj?”
Menjawab pertanyaan ini, para Salaf
pendahulu kita berkata,
“Allah berkehendak untuk memuliakan Nabi-Nya shalallahu ‘alayhi wa sallam,
kerana itu Allah memanggil baginda dan membukakan di hadapannya kerajaan langit
dan bumi.”
Kita katakan bahwa :
“Isra’ Mi’raj merupakan kemestian demi pembentukan keperibadian baginda shalallahu ‘alayhi wa sallam.
Ini adalah kerana Allah subhanahu wa ta’ala telah
:
1. Mengutus baginda sebagai
penghulu bagi seluruh orang yang beriman dan guru dari segala guru.
2. Menjadikan baginda sebagai
mata air jernih dan pemancar cahaya, iaitu cahaya ilmu dan petunjuk untuk semua
makhluk.
Baginda adalah ‘dinamo’ yang akan memberikan tenaga
untuk dunia secara keseluruhan, maka perlu diisi dengan sebanyak mungkin dari ilmu
dan iman sedangkan ilmu dan iman yang paling kuat adalah apabila muncul dari
kesaksian.
Oleh kerana itu, Allah
memperlihatkan kepada baginda kerajaan langit dan bumi, agar baginda termasuk
dalam golongan orang-orang yang yakin, sehingga :
a. Iman baginda adalah iman yang
berdasarkan kesaksian.
b. Ilmu baginda adalah ilmu
yang berdasarkan keyakinan pula.
“Dan kerana Allah telah menurunkan Kitab dan hikmah kepadamu, dan
telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui. Dan adalah kurniaan Allah sangat besar atasmu.” (QS An-Nisa’ : 113)
Jika Allah telah memperlihatkan kerajaan langit dan bumi kepada
Ibrahim, maka Allah subhanahu wa ta’ala pun
memperlihatkan kepada Nabi-Nya shalallahu ‘alayhi wa sallam kerajaan langit dan bumi tersebut,
agar baginda menjadi salah seorang yang yakin, dengan bentuk yang lebih nyata
dan lebih sempurna daripada yang dilihat oleh Ibrahim kerana baginda adalah
penutup para Nabi dan sumber petunjuk bagi seluruh manusia.
“Mahasuci Allah yang telah
menurunkan Al-Furqan (Al-Qur’an) kepada hamba-Nya agar dia menjadi pemberi peringatan kepada
seluruh alam.” (QS Al-Furqan : 1)”
Ini yang pertama.
Yang kedua, dalam perjalanan ini,
telah diwajibkan solat. Itu sebagai pernyataan mengenai keagungan kedudukan solat.
Allah subhanahu wa ta’ala hendak menyedarkan baginda mengenai
ketinggian nilai solat, sebab itu Allah memerintahkannya secara langsung dari
langit, agar :
1.
Menjadi pemakluman mengenai kuat
dan agungnya keutamaan kewajiban ini.
2.
Manusia melihat ketinggian
nilainya.
Barangsiapa yang telah menegakkan
kewajiban ini, bererti ia telah menegakkan agama.
Ada hikmah ketiga, iaitu sebagai
pelajaran.
Allah subhanahu wa ta’ala seolah-olah mengatakan kepada umat
ini,
“Wahai umat Islam, yang Nabinya dikehendaki oleh Allah untuk
menyaksikan seluruh alam ini sebagai penghormatan baginya, janganlah kamu
menjadi ekor bagi umat lain, jangan menerima kehinaan, tetapi hendaklah kamu
merasa tinggi, dan janganlah kamu berprasangka bahwa meneladani Nabi shalallahu ‘alayhi wa sallam itu hanya untuk satu aspek dengan
mengabaikan aspek lain, tetapi meneladani baginda mestilah dalam seluruh
aspek.”
“Sesungguhnya telah ada pada
(diri) Rasul Allah itu suri
teladan yang baik bagimu.” (QS Al-Ahzab : 21)
Kita hanya memohon kepada Allah agar mengembalikan kemuliaan dan
kejayaan untuk umat ini, kerana Dia adalah semulia-mulia Zat yang dimohon dan
seutama-utama Zat yang diminta.
Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam kepada Sayyidina Muhammad
shalallahu ‘alayhi wa sallam ,
juga kepada seluruh keluarga dan sahabatnya.
Peristiwa bersejarah dalam perjalanan dakwah baginda Sayyidina
Rasulillah shallallahu ‘alaihi wasallam, yang berupa Isra’ Mi’raj, biasa
diperingati oleh kaum muslimin pada setiap tanggal 27 Rajab. Padahal yang
terpenting bahkan yang penting dari Isra’ Mi’raj dan dari setiap detik sirah
yang lain, bukanlah peringatannya melainkan bagaimana dan apa yang perlu dan boleh
kita ambil darinya berupa :
a.
‘Ibrah’ (pengajaran).
b.
Hikmah.
c.
Pelajaran.
d.
Makna.
e.
Misi.
dan seumpamanya bagi keimanan, keislaman, perjuangan dakwah dan
kehidupan kita secara umum.
Meskipun telah disepakati di antara
seluruh ulama’ Islam sepanjang sejarah akan kebenaran dan kepastian
kejadiannya, tapi pada masa yang sama telah berlaku perbezaan dan perselisihan
pendapat yang sangat luas dan banyak berkait dengan penentuan waktunya.
Bahkan itu tidak hanya tentang hari
atau tanggal dan bulannya, melainkan juga terkait dengan tahun berlakunya
peristiwa agung dan luar biasa tersebut.
Memang semua telah berijma’ bahwa,
Isra’ Mi’raj berlaku sebelum hijrah ke Madinah. Namun bila secara tepatnya
sebelum hijrah itu, tidak ada yang dapat memastikannya di sini dan jarak perbezaan
pandangan para ulama’ sangatlah luas sekali.
Mulai dari pendapat bahwa, Isra’
Mi’raj dialami oleh Nabi tercinta shallallahu
‘alaihi wasallam pada tahun pertama baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul
(pilihan Imam Ath-Thabari), sampai ada juga mazhab yang mengatakan bahwa ia berlaku
satu tahun sebelum peristiwa hijrah, yakni pada bulan Rabi’ul Awwal tahun 13
Kenabian. Selebihnya ada pendapat-pendapat lain yang mentarjih bahwa Isra’
Mi’raj berlaku pada tahun ke-5 Kenabian (tarjih Imam An Nawawi dan Al
Qurthubi), atau pada tanggal 27 Rajab tahun 10 Kenabian (pilihan Al
Manshurfuri, ulama’ India), atau pada bulan Ramadhan tahun 12 Kenabian, atau pada
Muharram tahun 13 Kenabian, atau mungkin juga masih ada pendapat-pendapat
lainnya lagi.
Oleh kerana tidak adanya dalil ‘sahih’ (kuat) yang ‘sharih’
(tegas), maka tidak boleh dipilih secara meyakinkan mana di antara
pendapat-pendapat di atas yang paling kuat melainkan mungkin hanya boleh
ditarjih secara umum dan global sahaja bahwa, Isra’ Mi’raj berlaku sebelum
hijrah pada akhir tahun 10 Kenabian atau sesudahnya. Ini adalah kerana Ummul Mu’minin
Khadijah radhiyallahu ‘anha wafat pada bulan Ramadhan tahun 10 Kenabian, dan
itu sebelum diwajibkannya solat fardhu 5 waktu. Padahal tidak ada perselisihan
bahwa, perintah kewajiban solat fardhu tersebut adalah pada malam Isra’ dan
Mi’raj!
Jadi sekali lagi, yang terpenting dan bahkan yang penting dari
kejadian Isra’ Mi’raj BUKANLAH
1.
Penentuan tanggal, hari, bulan
dan tahunnya.
2.
Perayaan dan peringatannya.
Melainkan yang penting dan terpenting adalah ibrah, hikmah,
pelajaran, makna, misi dan seumpamanya, yang boleh dan perlu kita ambil
darinya, bagi keimanan, keislaman, perjuangan dakwah dan juga kehidupan kita
secara umum.
Maka mari kita sentiasa fokus pada aspek-aspek ini ketika menyusuri setiap
bahagian peristiwa penting dan saat-saat istimewa dari sirah dan sejarah!
Isra’ Mi’raj merupakan salah satu stesen paling penting dalam sirah
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan
bahkan dalam perjalanan dakwah Islam sepanjang masa seluruhnya kerana tidak
berselang lama selepas peristiwa Isra’ Mi’raj itulah terbentang lebar jalan
kemenangan dakwah Islam, dengan berlakunya Bai’atul Aqabah I dan II dengan para
pendahulu Islam dari generasi pertama sahabat Anshar, yang akhirnya berbuah kepada
hijrah Islam secara total dan menyeluruh dari Makkah ke Madinah.
Isra’ Mi’raj berlaku pada saat bebanan tekanan perjuangan dakwah
terhadap Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dan juga para sahabat telah benar-benar sampai ke kemuncaknya pada
zaman Makkiyyah. Khususnya dengan gugurnya dua peribadi terpenting dan terdekat
bagi baginda Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam, yang sekaligus merupakan dua orang penyangga utama dakwah, iaitu isteri
tercinta baginda, Ummul Mu’minin Khadijah radhiyallahu
‘anha dan bapa saudara baginda, Abu Talib sehingga tahun 10 Kenabian di ketika
mana Khadijah radhiyallahu ‘anha dan
Abu Talib wafat secara hampir berdekatan yang dikenali sebagai ‘amul
huzn’, yakni tahun kesedihan khususnya bagi Rasul mulia shallallahu ‘alaihi wasallam dan umumnya
bagi sahabat setia, radhiyallahu ‘anhum.
Maka waktu dinaikkan ke langit tujuh dan Sidratul Muntaha itu, ibaratnya
Nabi tercinta kita shallallahu ‘alaihi
wasallam membawa longgokan dan tumpukan seluruh bebanan persoalan kehidupan
dan ujian perjuangan dakwah dari muka bumi.
Dan begitu pula baginda shallallahu
‘alaihi wasallam diturunkan kembali dari langit tertinggi ke bumi, dengan
antara lain membawa syari’ah solat fardhu lima waktu, semua bebanan masalah
itupun terlepaslah sudah.
Jadi hikmahnya, Rasululullah shallallahu
‘alaihi wasallam di-Isra’ Mi’raj-kan, dengan kehendak agung Allah secara langsung
bukan oleh keinginan dan rancangan Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam sendiri, adalah untuk “dihibur” dan sekaligus diberi penyelesaian
secara sepenuhnya di atas berbagai bebanan persoalan kehidupan dan permasalahan
dakwah di muka bumi.
Maka, ketika ada masalah dan persoalan apapun dalam kehidupan ini,
janganlah pernah sekali-kali berfikir untuk mencari dan menemui penyelesaiannya
dari bumi semata-mata melainkan adukanlah semua bebanan masalah dan persoalan kehidupan
itu kepada Zat Yang di atas dan temuilah jalan penyelesaian pada bentuk dan
susunan yang diturunkan dari langit kerana kadang-kadang langkah mencari jalan
penyelesaian di bumi pula tidak dapat menyelesaikannya, melainkan justeru hanya
akan menambah banyak lagi masalah atau semakin merumitkannya. Soalnya, bumi ini
memang dicipta, diadakan dan dikehendaki sebagai tempat berlakunya masalah sedangkan
jalan penyelesaian bagi semua itu justeru ada pada apa yang bersumber dari
langit, bahkan termasuk rezeki kitapun ada di langit.
Allah Ta’ala berfirman :
“Dan di langitlah terdapat
rezekimu, dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu. Maka demi Tuhan
langit dan bumi, sesungguhnya yang itu adalah benar seperti perkataan yang kamu
ucapkan.” (QS Az Zaariyat : 22-23)
Sebagai hadiah utama dari rihlah (perjalanan) dari bumi ke langit
yang penuh berkat, ibadah solat juga ibarat mi’raj bagi setiap mu’min untuk
menuju, menghadap dan mengadu kepada Allah.
Boleh jadi juga kerana begitu istimewanya cara pensyariatan itulah,
maka solat memiliki kedudukan yang sangat istimewa pula di antara seluruh
kewajiban fardhu Islam. Di samping penempatannya di urutan kedua selepas dua
kalimah syahadah, di antara lima rukun Islam, solat adalah merupakan rukun amal
dan ibadah paling penting sebagai ukuran utama dan pertama bagi ketaqwaan serta
kesolehan setiap muslim dan sekaligus di masa yang sama juga menjadi benteng
terakhir pertahanan keislaman seseorang.
Maka Allah swt pun berfirman :
“Jadikanlah sabar dan solat
sebagai wasilah penolongmu (dalam segala kepentingan dan urusan). Sungguh solat
itu berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’ (baik dalam solat secara
khsusus, mahupun dalam hidup secara umum).” (QS Al Baqarah : 45)
Sementara itu Rasululullah shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda :
“Kumandangkanlah iqamah
wahai Bilal. Dan buatlah kita rehat dengan solat.” (HR Abu Dawud dan lain-lain)
Baginda shallallahu ‘alaihi
wasallam juga bersabda :
“Dan dijadikan penyejuk
hatiku di dalam solat.” (HR An Nasaa-i dan lain-lain)
Nah, apabila rehat-nya Rasululullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga ketenteraman serta kesejukan
hati baginda adalah justeru di dalam solat, lalu renungannya untuk kita adalah,
“Serehat apa, setenteram
apa dan sesejuk apa hati kita saat bermunajat kepada Allah Ta’ala dalam setiap
solat kita?”
Sebagai penutup perenungan terhadap Isra’ Mi’raj ini, penting
diingatkan bahwa, darjat makam tertinggi seorang hamba di sisi Allah, adalah makam
‘ubudiyah’secara
total (penghambaan diri kepada-Nya).
Dengan yang demikianlah, ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di-Isra’ Mi’raj-kan untuk bertemu,
menghadap dan berdialog secara langsung dengan Allah di langit ketujuh dan ‘Sidratul
Muntaha’ itu, Rasululullah shallallahu
‘alaihi wasallam justeru disebut dengan gelaran ‘abdihi’ (hamba-Nya) dan
tidak dengan gelaran-gelaran pemuliaan dan pengagungan yang lainnya.
Allah Ta’ala berfirman :
“Maha Suci Zat Yang telah
memperjalankan HAMBA-Nya pada suatu
malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkati
sekelilingnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda
(kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(QS Al Israa’ : 1)
Dari kuliah pendek Imam Hasan Al
Banna di atas tentang Isra’ Miraj kita boleh mengambil dua poin penting.
PERTAMA
adalah kembalinya Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam ke
bumi setelah selesai peristiwa tersebut.
KEDUA
adalah dibekalkan kepada baginda dengan perintah solat.
Perjalanan singkat yang penuh hikmah
tersebut segera berakhir dan dengan segera pula baginda kembali menuju ke alam dunia.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sungguh sedar bahwa betapapun nikmatnya berhadapan langsung
dengan Yang Maha Kuasa di suatu tempat yang agung nan suci, betapa nikmat
menyaksikan dan mengelilingi syurga, tapi kenyataannya baginda memiliki
tanggungjawab duniawi. Untuk itu, semua kesenangan dan kenikmatan yang dirasai
baginda pada malam tersebut perlu ditinggalkan untuk kembali ke dunia semula
bagi meneruskan amanah perjuangan yang masih perlu dipikulnya.
Demikianlah sepatutnya semangat kerohanian
seorang muslim, yang sentiasa terkait dengan dunia "atas", namun
kenyataannya dunia "bawah" juga merupakan kenyataan yang mesti dilalui.
Menelusuri alam material duniawi
adalah sebuah kemestian. Mencari dunia adalah, tidak sahaja tuntutan hajat kemanusiaan,
tapi menjadi kewajiban agama sekaligus.
Allah Ta’ala berfirman :
"Dan bekerja keraslah untuk akhiratmu, namun jangan
lupa nasibmu di dunia ini",
Bahkan Al-Qur'an, sebagaimana
diperintahkan untuk sungguh-sungguh pergi mengingati Allah (fas'au ilaa dzikrillah),
dan bahkan diperintahkan mengabaikan "kesibukan jual beli" (wadzarul
bae'), juga segera setelah itu disusuli dengan perintah yang berlawanan
: "faidzaa
qudhiyatis Shalaah fantasyirru fil ardh wabtaghuu min fadhlillah".
Kedua perintah tersebut adalah
datang dari Tuhan yang sama dan oleh yang demikian, mesti dihadapi secara sama
pula. Ertinya, kewajiban memenuhi ajakan untuk solat Jumaat adalah 100%,
memenuhi peraturan-peraturanNya juga 100%. Namun pada saat yang sama, memenuhi
ajakan kedua tadi, bertebaran mencari rezeki Allah adalah juga perintah 100%
dan juga perlu memenuhi peraturanNya 100%.
Inilah sikap seorang muslim. Kita
dituntut untuk turun ke bumi ini dengan membawa bekalan solat yang kukuh. Solat
yang berintikan "zikir", dan dengan bekalan zikir inilah kita meneruskan
ayunan langkah kaki kita menelusuri lorong-lorong kehidupan menuju kepada keridhaanNya.
"Wadzkurullaha katsiira" (dan ingatlah kepada Allah
banyak-banyak), ini merupakan pesanan Allah kepada kita di saat kita bertebaran
mencari kurniaan nikmatNya dipermukaan bumi ini persis sepertimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membawa bekalan solat 5 waktu berjalan kembali menuju bumi
setelah melakukan serangkaian perjalanan suci ke atas (Mi'raj).
Ya Allah, jadikanlah amal-amal kami
di muka bumi ini sebagai buah-buah yang akan memberikan hasil yang lumayan
kepada kami di akhirat nanti serta jadikanlah solat kami sebagai ‘mihrab’ di bumi untuk kami meningkatkan kerohanian
kami menuju ketinggian ‘samawiah’Mu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS