Ustaz Abdul Qadir Audah adalah salah
seorang tokoh pergerakan Islam kontemporari. Beliau adalah seorang da’ie Islam
pada zamannya yang juga merupakan pemimpin besar Ikhwanul Muslimin.
Kalimat-kalimat yang diucapkannya
didengari dengan sangat baik dan kedudukannya penting, khususnya bagi Ikhwanul
Muslimin dan seluruh masyarakat Mesir pada umumnya. Dia juga memiliki peranan
yang sangat menentukan dalam perjalanan berbagai peristiwa yang berlaku di
Mesir setelah kematian Imam Hasan Al-Banna pada 12/2/1949M. Ia memikul bebanan
dakwah ini bersama bersama Ustaz Hasan Al-Hudhaibi, Mursyid Am kedua Ikhwanul
Muslimin.
Ustaz Abdul Qadir Audah adalah
seorang :
a.
Intelektual yang cekap.
b.
Hakim yang berpengalaman.
c.
Pakar undang-undang yang bijak.
Hari-harinya dihabiskan dalam
Gerakan Ikhwanul Muslimin untuk membela dan mempertahankan kemulian Islam dari
serangan musuh. Ketika ramai aktivis-aktivis Ikhwanul Muslimin yang dibicarakan
di kebanyakan mahkamah di Mesir, beliau bangkit sebagai peguam mereka dengan :
1.
Kekuatan logik yang bijak dan
memikat.
2.
Hujjahnya yang terang
dan jelas.
3.
Analisanya yang sangat
tepat.
KETAJAMAN PENA-NYA
Ketajaman lidahnya juga berkadar
terus dengan ketajaman penanya kerana beliau dikenali sebagai penulis yang
produktif.
Ini terbukti apabila kesannya dapat
dirasai oleh masyarakat setelah diterbitkan bukunya yang monumental iaitu “At-Tasyri’ Al-Jinaa’i Fi Al-Islam
Muqaaranan Bil Qanun Al Wadh’i” (Undang-undang jenayah dalam Islam dan
perbandingannya dengan hukum jenayah moden). Buku ini menjadi
rujukan utama bagi sesiapapun yang ingin mendalami hukum jenayah. Dalam buku
tersebut, dijelaskan kelebihan undang-undang jenayah Islam berbanding
undang-undang jenayah moden. Buku tersebut membuatkan para pengamal
undang-undang di Mesir terpaksa mengulangkaji kembali persepsi mereka yang
salah selama ini tentang hukum Islam.
Para
aktivis Ikhwan sangat teruja menyambut kehadiran buku tersebut dan
menjadikannya sebagai bahan kajian utama dalam setiap program ‘daurah’ yang berkait dengan
perlembagaan dan undang-undang. Buku tersebut mendapat sambutan yang positif
dari umat Islam samada di dalam atau di luar negara Mesir sehingga ia diulang
cetak sebanyak 13 kali dan banyak yang diterjemahkan ke berbagai Bahasa di
dunia seperti Bahasa Inggeris, Perancis, Turki, Urdu, Indonesia dan lain-lain. Di antara karya-karyanya yang lain adalah :
1.
‘Al-Islam wa Aodha’una al-Qaanuniyah’ (Islam
dan situasi undang-undang kita).
2.
‘Al-Islam wa Aodha’una as-Siayasiah’ (Islam
dan situasi politik kita).
3.
‘Al-Islam baina Jahli abnaaihi wa ‘Ajzi Ulamaaihi.’ (Islam Antara kebodohan umat dan
kelemahan ulama’nya).
4.
‘Al-Maalu wa al-Hukmu fi al-Islam.’ (Harta dan perlembagaan menurut Islam)
Bahkan ramai mahasiswa Islam di
berbagai dunia Arab dan Islam yang menganjurkan program-program kesedaran melalui
karya-karya Ustaz Abdul Qadir Audah, kerana mereka menganggap beliau sebagai
pakar dalam bidang tersebut.
Dalam kitabnya, ‘At-Tasyri’ Al-Jinai Fii Al-Islam’,
Ustaz Abdul Qadir Audah menulis :
“Ketika aku membandingkan antara undang-undang yang kita
gunakan pada masa ini dengan syariat, maka aku sesungguhnya sedang
membandingkan antara undang-undang yang berubah, berkembang dan berjalan sangat
cepat menuju kesempurnaan sehingga nyaris sampai pada batas kesempurnaan (sebagaimana
yang mereka katakan) dengan syariat yang turun sejak 13 abad silam dan
tidak mengalami perubahan sejak dahulu dan tidak akan berubah atau digantikan
hingga masa yang akan datang.
Syariat yang pada tabiatnya tidak akan mengalami perubahan
dan penambahbaikan kerana ia datang dari Allah dan tidak ada perubahan pada
kalimat Allah. Selain itu syariat itu juga berasal dari Kalam Allah yang
menyempurnakan segala sesuatu di mana segala sesuatu yang diciptakanNya
tidak lagi memerlukan penyempurnaan dari
ciptaan-Nya.
Ketika kita sedang membandingkan kedua perkara itu, maka
kita sesungguhnya sedang membandingkan antara :
1. Pendapat
dan teori terbaru dalam undang-undang dengan yang lama dalam syariat.
2. Yang baru
yang dapat berubah dan ditambah baik dengan yang lama yang tidak dapat menerima
perubahan dan penambahbaikan.
Pada saat itulah kita akan melihat dan merasakan
perbandingan tersebut, bahwa yang lama dan tetap lebih baik daripada yang baru
tapi berubah.
Dengan kata lain, jika kita membandingkan antara syariat
sebagai peraturan yang telah lama, lebih baik daripada undang-undang moden masa
kini. Adapun undang-undang moden, walaupun mencakupi berbagai pendapat disertai
prinsip dan teori-teori baru, namun ia tetap jauh lebih rendah darjatnya
daripada syariat Allah Ta’ala.”
Ustaz Abdul Qadir Audah berkata lagi :
“Aku merasa memiliki kewajiban yang perlu
aku tunaikan segera, demi syariat, demi kawan-kawanku yang terdiri dari para
tokoh undang-undang dan demi mereka yang mempelajarinya melalui kajian di medan.
Kewajiban itu adalah memaparkan kepada manusia hukum-hukum syariat dalam
masalah jenayah dengan bahasa yang mudah mereka fahami. Sekaligus berusaha
memperbaiki informasi dan pengetahuan yang dimiliki oleh pakar undang-undang
tentang syariat, lalu menyebarluaskan di tengah manusia hakikat yang
menghalangi mereka untuk mengetahui semua itu sejak dahulu disebabkan oleh
kebodohan mereka sejak lama.
Undang-undang yang ada adalah buatan manusia, sementara syariat
adalah ciptaan Allah. Hukum dan undang-undang yang berkuatkuasa dewasa ini
sesungguhnya menggambarkan kelemahan, kekurangan dan ketidakmampuan manusia.
Dengan yang demikian, undang-undang tersebut sangat mungkin mengalami perubahan
dan pengubahsuaian atau apa yang kita sebut dengan perkembangan.
Ketika berlaku perkembangan pada sebuah jamaah atau institusi
ke arah yang tidak terduga atau menemui sebuah keadaan yang tidak pernah diduga
kemunculannya, maka undang-undang itu akan selalu kurang dan tidak mungkin
mencapai darjat kesempurnaan selama mana pembuat dan penyusunnya tidak mendapat
‘taraf’ kesempurnaan dan tidak
memiliki kemampuan mengetahui apa yang akan berlaku berikutnya, walaupun ia
sangat memahami apa yang telah berlaku.
Adapun syariat, maka pembuatnya adalah Allah Azza wa Jalla, yang di dalamnya menggambarkan akan
kemampuan Sang Pencipta, kesempurnaan, keagungan dan penguasaan-Nya ke atas apa
telah dan sedang berlaku. Dengan yang demikian, syariat tersebut diciptakan oleh
Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu yang berlaku sekarang dan akan
datang. Demikian pula ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu. Ini adalah perkara
mulia yang tidak akan dapat digantikan.
Firman-Nya : “Dan
tidak ada pergantian pada kalimat Allah.”
Oleh kerana itu, ia tidak memerlukan perubahan dan pengubahsuaian
walaupun waktu terus berjalan, negeri ini mengalami perubahan dan manusia
berjalan menuju kemajuannya.”
PERIBADI YANG DICINTAI
Tidak dapat diragui lagi bahwa Ustaz
Abdul Qadir Audah mampu menempati hati anggota Ikhwan dengan cinta,
penghormatan dan penghargaan.
Ini sebagaimana yang diceritakan
oleh Ustaz Mahmud Abdul Halim di dalam bukunya “Al-Ikhwan al-Muslimun, Ahdats Shana’at at-Tarikh”,
bahwa ia merasa paling mencintai, menghargai dan mengormati Ustaz Abdul Qadir
Audah. Katanya lagi, “Dia adalah kawan tercinta yang paling dekat pada hatiku
di antara Ikhwan lainnya dan yang paling saya kagumi dan cintai.”
Ustaz Abdul Qadir Audah adalah seorang
peribadi yang sangat dicintai oleh Imam Hasan Al-Banna di kalangan Ikhwan. Beliau
kadang-kadang menyebutnya dengan penuh kebanggaan dan kemuliaan. Ketika Ustaz
Hasan Al-Hudhaibi diangkat sebagai Mursyid ‘Am Ikhwanul Muslimin, maka Ustaz
Abdul Qadir Audah juga adalah peribadi yang rapat dengannya sehingga Ustaz Hasan Al-Hudhaibi menyarankan padanya
agar meninggalkan jawatannya sebagai hakim agar ia boleh fokus sebagai wakil Mursyid
Am Ikhwanul Muslimin.
Ustaz Mahmud Abdul Halim meneruskan ceritanya
lagi tentang Ustaz Abdul Qadir Audah dan hubungannya yang erat serta
kedekatannya dengan Imam Hasan al-Banna dan Ustaz Hasan al-Hudhaibi. Dalam buku
yang sama, beliau berkata :
“Pada awalnya, Ustaz Abdul Qadir Audah memimpin sekelompok
Ikhwan yang tetap berprasangka baik kepada Jamal Abdul Naser, menunjukkan sikap
dan perilakunya dengan baik sebagai anggapan bahwa dia adalah salah seorang pendukung
Ikhwan yang perlu diberi dukungan.”
PERANAN PENTING YANG DIMAINKANNYA
Mengenai usahanya dalam memerangi
Inggeris di Terusan Suez dan pengangkatan pimpinan Ikhwanul Muslimin untuk amal
jihad melawan mereka, Ustaz Kamil Syarif menulis dalam bukunya, “Al-Muqawamah as-Sirriyah fi Qanaat
as-Suwais” (Penentangan
Rahsia di Terusan Suez) :
“Di tengah malam buta, pada Oktober 1951, aku menerima
selembar telegram yang di dalamnya terdapat tanda tangan Ustaz Abdul Qadir
Audah, wakil Mursyid Am Ikhwanul Muslimin, yang memintaku agar datang
menemuinya di Kaherah untuk membincangkan sebuah perkara yang sangat penting.
Dengan menggunakan keretapi, aku segera berangkat ke Kaherah. Di dalam rumahnya
pembicaraan berkisar tentang situasi genting dan
berbagai keperluan yang berkait dengannya. Ia juga menyampaikan pesanan kepadaku
bahwa Ikhwanul Muslimin telah memutuskan untuk memasuki peperangan di Qanat
(terusan) Suez, dan menugaskanku untuk mempelajari situasi dan keadaan di
wilayah Suez sekaligus mempersiapkan laporan yang lengkap.
Beberapa hari kemudian aku menerima informasi melalui telefon
yang memintaku agar menghadiri sebuah rapat umum penting di Zaqaziq yang juga
akan dihadiri oleh Ustaz Abdul Qadir Audah, Ustaz Mahmud Abduh dan sejumlah pegawai
tertinggi Nizham Khas. Dalam pertemuan itu aku diberitahu oleh Ustaz Abdul
Qadir Audah bahwa Ustaz Mahmud Abduh telah dilantik sebagai panglima perang
yang akan kami terima arahan dan perintahnya.”
Ketika perselisihan semakin berkobar
antara Ikhwan dengan Pegawai Pemerintah Revolusi, Jamal Abdul Nasser segera
menampakkan kedustaan dan permusuhannya, mengingkari seluruh janji-janji dan
kesepakatan yang pernah ia buat serta mengkhianati amanah dan Ikhwanul
Muslimin.
PENJELASAN KEPADA MANUSIA
Ustaz Abdul Qadir Audah sebagai
wakil Mursyid Am Ikhwan lalu menerbitkan manifesto bersejarah yang membantah
berbagai tuduhan dusta dan kebohongan yang dilontarkan oleh Jamal Abdul Naser
terhadap Ikhwan. Adapun judul manifesto tersebut adalah ‘Hadza Bayaan li an-Naas’ (Ini adalah Penjelasan bagi manusia).
Sebahagian sedutan dari penjelasan
tersebut adalah seperti berikut :
“Sesungguhnya dakwah kita telah melalui hari-hari yang sarat
dengan berbagai peristiwa besar yang akan memiliki pengaruh terhadapnya pada
masa yang akan datang, dan juga terhadap generasi yang akan datang. Adalah menjadi
hak kamu untuk mengetahui berbagai peristiwa yang dihadapi oleh dakwah ini, berbagai
situasi dan keadaan yang meliputi kamu dan dakwah ini agar semakin nampak
jelas, sehingga sikap dan perilaku kita berada di atas kebenaran dan realiti.
Apabila hak kamu terhadap pemimpin kamu adalah mencerahkan
dan mengarahkan kamu, maka hak dakwah ini adalah ketika kamu melekatkan etika dakwah
ini pada diri disertai batasan-batasannya. Fikiran kamu tunduk pada
kekuasaannya, sehingga kamu :
a. Tidak
berfikir selain melalui Islam.
b. Tidak
mengatakan sesuatu kecuali Islam menyukainya.
c. Tidak
beramal kecuali dalam bingkai Islam.
Apabila kamu melakukan itu, maka sesungguhnya kamu telah
mengikat diri-diri kamu dengan kitab Tuhan kamu, dengan Sunnah Rasulullah saw dan
menyempurnakan iman kamu. Ketahuilah bahwa tidak sempurna iman seorang mukmin
sehingga ia berkata dan bekerja kerana Allah dalam ridha dan amarah-Nya, cinta
dan murka-Nya, dan dalam seluruh perbuatannya :
“Barangsiapa yang cinta kerana Allah,
marah kerana Allah, memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, maka sungguh
telah sempurna imannya.” (HR Abu Dawud, Berkata Al-Albani hadits ini shahih)
Wahai Ikhwan sekalian, kita bukan :
1. Pelaku
kezaliman kerana Islam melarang kezaliman.
2. Penyeru
fitnah, kerana itu lebih kejam dari pembunuhan.
Dan tidaklah patut bagi seorang mu’min bila ia menjadi
tukang fitnah dan tukang laknat.
Tapi kita :
a. Berjalan
di atas jejak langkah Rasulullah saw.
b. Mengajak
kepada kebaikan dengan cara yang hikmah dan nasihat yang baik.
c. Sentiasa menghindarkan
diri dari menyampaikan nasihat yang buruk.
d. Akan
berusaha membela dan membalas dengan cara yang lebih baik dengan mengutamakan
adab seorang mu’min, kesabaran dan keyakinannya pada pertolongan Allah Azza wa Jalla.”
Untuk kedua kalinya Jamaah Ikhwanul Muslimin dibubarkan dan
sebahagian besar anggotanya ditangkap dan dipenjarakan dengan berbagai tuduhan
dusta yang didakwakan kepada mereka dan dimusuhi oleh media massa. Ini adalah
ujian yang baru dan cobaan yang mendatangkan khabar gembira berupa keridhaan
Allah terhadap jamaah ini. Sudah menjadi sunatullah dalam jamaah ini bahwa akan
berlaku proses penyaringan dengan memisahkan yang baik dari yang buruk.
Firman Allah swt :
“Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman
dalam keadaan kamu sekarang ini [*], sehingga dia menyisihkan yang buruk
(munafik) dari yang baik (mu’min). dan Allah sekali-kali tidak akan
memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib, akan tetapi Allah
memilih siapa yang dikehendaki-Nya di antara rasul-rasul-Nya [**]. Kerana itu
berimanlah kepada Allah dan rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertakwa,
Maka bagimu pahala yang besar.” (QS Ali Imran : 179)
[*] Iaitu: keadaan kaum muslimin bercampur baur dengan
kaum munafikin.
[**] Di antara rasul-rasul, Nabi Muhammad saw dipilih
oleh Allah dengan memberi keistimewaan kepada beliau berupa pengetahuan untuk
menanggapi isi hati manusia, sehingga baginda dapat menentukan siapa di antara
mereka yang betul-betul beriman dan siapa pula yang munafik atau kafir.
Sesungguhnya hari esok, jamaah ini akan kembali berada di
tengah manusia dengan cahaya lebih terang, tekad lebih kuat dan dahan yang
lebih kukuh kerana ujian dan cobaan yang berlaku berulang-ulang ke atasnya
menjadi bukti :
1. Kekuatan
iman jamaah ini.
2. Kedekatannya
kepada Allah Azza wa Jalla.
3. Kebenaran
sabda Rasulullah saw,
“Manusia yang paling berat ujiannya
adalah para nabi, kemudian orang-orang soleh, lalu orang-orang yang mendekati
mereka, kemudian orang yang mendekati mereka. Seseorang diuji sesuai dengan
kadar agamanya. Apabila dalam agamanya terdapat keteguhan pada agamanya, maka
akan semakin bertambah pula ujian pada dirinya.” (HR Ahmad,
Bukhari, Nasai'e dan Ibnu Majah)
Setiap Ikhwan seharusnya mampu menghadapi berbagai ujian dan
cobaan dengan penuh kesabaran kerana kesabaran, sebagaimana sabda Rasulullah saw
adalah separuh daripada iman. Hendaklah mereka belajar dari orang-orang sebelum
mereka yang ditimpa ujian dan penderitaan sehingga mereka nyaris putus asa dan
pertolongan Allah pun datang kepada mereka.
Sebahagian sahabat Rasuullah saw datang kepada baginda
seraya berkata, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau meminta pertolongan untuk
kami, tidakkah engkau berdoa untuk kami?”
Baginda saw lalu berkata :
“Sesungguhnya di antara orang-orang
sebelum kamu, ada yang diletakkan gergaji di atas tubuhnya lalu digergaji
hingga terbelah sampai kedua kakinya, namun itu tidak membuatnya berpaling dari
agamanya. Ada pula yang tubuhnya disikat dengan sikat besi, sehingga terpisah
antara daging dan tulangnya semua itu tidak membuatnya berpaling dari agamanya.
Demi Allah, niscaya Allah akan sempurnakan perkara ini sehingga setiap musafir
yang berjalan dari Sana’a ke Hadramaut tidak takut kepada apapun selain Allah
dan terkaman serigala terhadap kambing miliknya, tapi kamu adalah kaum yang
sangat tergesa-gesa”. (HR Ahmad, Bukhari, Nasai dan Ibnu Majah)
Wahai Ikhwan, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.
Berbaik sangkalah kamu kepada-Nya kerana sesungguhnya rahmat-Nya lebih dekat
dari dugaan kamu dan lebih cepat dari penantian kamu. Simaklah hadith berikut :
“Seandainya seorang mu’min tahu hukuman
yang berada di sisi Allah dia tidak berfikir dia masuk syurga dan seandainya
orang kafir tahu rahmat yang berada di sisi Allah, dia tidak putus asa dari syurga-Nya.” (HR
Muslim)
Nasihat terakhir untuk Ikhwan adalah, agar mereka
memperbaiki hubungannya dengan Allah Ta’ala dan saudara-saudaranya,
saling meneguhkan diri dalam ketaatan kepada-Nya, tolong menolong dalam
kebaikan dan taqwa, bersiap sedia dan saling menasihati dalam kesabaran.
Mereka juga perlu mengetahui bahwa sesungguhnya Jamaah
Ikhwanul Muslimin tidak dapat dibubarkan kerana kertas-kertas miliknya disita
atau pejabatnya ditutup. Tapi Jamaah ini terbubar apabila hubungan mereka
runtuh, jiwa mereka kosong dari cinta kepada saudara-saudara dan kepada dakwah
ini. Dakwah ini tidak akan pernah lenyap apabila di dalam hati mereka tumbuh
cinta kepadanya, jiwa mereka sentiasa berzikir kepada Allah dan selama mereka
mempersembahkan jiwa-jiwa mereka untuk dakwah; hidup di dalamnya, hidup
dengannya dan untuknya, serta berkorban di atas jalannya.
Bukan sesuatu yang berbahaya bagi dakwah ini apabila pejabat
atau mimbarnya ditutup, selama mana setiap orang di antara kamu menjadikan
hatinya sebagai ruang bagi dakwah, jiwanya sebagai benteng pertahanan. Selama
ia mampu berbicara, maka tempat yang ia tempati adalah mimbar baginya.
Dakwah ini akan tetap hidup dan kuat, dia tetap memiliki
kehormatan dan kemuliaan selama mana kamu berpegang teguh, saling mengikat,
saling mencintai, bersabar dan saling menasihati dalam kesabaran.
Allah swt berfirman :
“Wahai orang-orang yang
beriman, Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga
(di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.” (QS Ali Imran : 200)
Allah Maha Besar dan untuk-Nya segala pujian. (Saudara kamu,
Abdul Qadir Audah, Wakil Mursyid Am Ikhwanul Muslimin)
Dengan keyakinan penuh kepada Allah,
sentiasa bersandar kepada-Nya, melalui nasihat mulia dan metod yang menarik, Ustaz
Abdul Qadir Audah berbicara kepada Ikhwan dan mengingatkan apa yang perlu
mereka lakukan menghadapi ujian yang meliputi mereka oleh Fir’aun yang melampaui
batas, sebagai realisasi dari apa yang diperintahkah oleh majikan mereka;
Yahudi, golongan Salib, Zionis dan para penjajah.
KATA-KATA-NYA DITAATI
Dalam bukunya, “Fi Qafilatil Ikhwan”,
Ustaz Abbas As-Siisi berkata :
“Yang layak disebutkan di sini bahwa faktor utama dibicarakan
Ustaz Abdul Qadir Audah kerana balas dendam di samping untuk melepaskan diri
darinya, kerana kedudukannya yang sangat menakutkan ketika ia berada di sisi
Presiden Muhammad Najib di balkoni Istana Abidin.
Ketika itu, Presiden Muhammad Najib meminta Ustaz Abdul
Qadir Audah naik ke atas balkoni untuk menyambut ribuan rakyat yang memenuhi
lapangan yang sangat luas di depan istana Presiden dan meminta mereka agar
kembali ke rumah mereka masing-masing. Tidak lama kemudian setelah Ustaz Abdul
Qadir Audah memerintahkan rakyat yang sangat ramai itu bersurai, mereka segera bersurai
dengan tenang, tertib dan teratur.
Apa yang diperlihatkan oleh Ustaz Abdul Qadir Audah ketika
itu menciptakan kemarahan dan kebencian dalan diri Abdul Naser, namun ia hanya
menyembunyikannya dalam hati. Ketika itu pula ia mengetahui betapa sangat
berbahayanya lelaki (rijal) yang
kalimat dan perintahnya dipatuhi dan ditaati oleh ribuan rakyat.”
LELAKI YANG ISTIMEWA
Mursyid Am ketiga jamaah Ikhwanul
Muslimin, Ustaz Umar At Tilmisani berkata tentang Ustaz Abdul Qadir Audah :
Sesungguhnya Abdul Qadir Audah
adalah seorang tokoh yang :
a.
Namanya akan sentiasa disebut.
b.
Jejak kehidupannya tidak akan pudar.
c.
Namanya tidak akan pernah dilupakan
melalui kemuliaan karya-karyanya dan sikapnya dalam kebenaran dan kebaikan.
Dia adalah lelaki (rijal)
dengan berbagai keistimewaan dan keunikan yang menyatu dalam dirinya dan hidup
dengan nilai-nilai kebaikan dan keteladanan. Ia merentasi jalan kehidupan di
atas prinsip-prinsip dan ushul. Ia temui kematian di atas jalannya atau memikul
berbagai jenis ujian dan siksaan untuk semua itu.
Ustaz Abdul Qadir Audah rela berdiri
di hadapan tiang gantung dan semakin teguh memegang kebenaran. Dia melihat
kematian dengan kedua matanya dan bersegera menyambut kedatangannya. Tidak ada
kejahatan yang ia lakukan selain kerana kalimat yang ia katakan sejak berada di
atas jalan itu, “Tuhanku Allah”.
Tidak ada kejahatan yang ia perbuat
selain kerana ia mengingkari kezaliman yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim
kepada manusia. Dan ia tidak dapat berdiam diri di atas berbagai kezaliman dan
kehinaan yang berlaku terhadap umat ini. Ia pun membayar semua itu dengan ‘syahadah’
(kesyahidan) setelah menggoreskan di atas lembaran sejarah kehidupannya dengan
tinta emas yang tidak akan pernah pudar. Menanam dalam hati dan fikiran manusia
kebaikan yang akan sentiasa dikenang di sepanjang hari yang akan terus berlalu.
Ketika Abdul Qadir Audah diangkat sebagai
hakim, maka dia adalah mercusuar yang paling menonjol di antara hakim-hakim
yang lainnya. Ini adalah kerana ia menolak untuk menerapkan undang-undang lain
kecuali undang-undang langit selama mana ia sanggup melaksanakannya. Ia menolak
apabila dirinya diikat dengan undang-undang bumi yang tidak sanggup memberikan
rasa aman bagi manusia, ketenangan yang mereka cari dan cinta yang mereka
dambakan.
Ia seorang peribadi yang berani
dalam membela dan mempertahankan kebenaran, walaupun dunia dan segala isinya
menentangnya. Ini adalah kerana yang ia inginkan adalah meraih ridha Tuhannya
sebelum membuat seluruh manusia menjadi puas.
Ia ikut bergabung bersama gerakan revolusi
23 Julai 1952, kerana ia menyangka bahwa Abdul Nasser akan mengimplementasikan
beberapa tuntutan kebaikan yang selama ini ia kumandangkan di hadapan khalayak
ramai. Apa yang dilakukannya membuatkan sebahagian besar kawan-kawannya dan
para pencintanya marah.
Ketika penipuan Abdul Nasser
terbongkar dan mulai nampak hakikat yang sebenarnya, ia pun mengambil jalan
yang ia wajibkan untuk dirinya dalam kehidupannya selama ini (jalan kebenaran
dan kejujuran) ketika Abdul Nasser berkata kepadanya :
“Aku akan membunuh setiap orang yang cuba menghalangi
jalanku.”
Ustaz Abdul Qadir Audah dengan tegas
berujar :
“Tapi siapa sahaja yang tersisa di antara mereka (tidak
terbunuh olehmu) akan menghabiskan usianya untuk menghapuskan para pemerintah
yang melampaui batas dan orang-orang yang zalim sepertimu”.
Pada tanggal 28 Februari 1954,
ribuan rakyat melakukan demonstrasi menuntut agar pemerintah meninggalkan
berbagai bentuk kezaliman dan menyingkirkan orang-orang yang zalim. Ribuan rakyat
itu memenuhi lapangan Istana Abidin, menuntut Presiden Muhammad Najib agar
membebaskan para tahanan dan menyingkirkan polis yang kejam serta menghukum
mereka yang telah membunuh beberapa para penunjuk perasaan ketika mereka menunjuk
perasaan di Istana Nil, sekaligus menuntut agar pemerintah melaksanakan syariat
Allah, Tuhan semesta alam.
Para penguasa negeri hari itu sedar
betapa sangat gentingnya situasi saat itu. Mereka lalu meminta kepada para penunjuk
perasaan agar kembali ke rumah mereka masing-masing. Tapi para perasaan itu
seakan-akan tidak mendengar. Presiden Muhammad Najib lalu meminta bantuan Abdul
Qadir Audah agar menenangkan situasi dan ia berjanji akan memenuhi tuntutan rakyat.
Dari atas balkoni istana Abidin,
Abdul Qadir Audah meminta rakyat agar kembali ke kediaman mereka dengan tenang
dan tertib kerana Presiden Muhammad Najib telah berjanji akan memenuhi
permintaan mereka. Seketika itu juga, lautan rakyat yang memenuhi lapangan
Abidin beranjak meninggalkan tempat itu.
Melalui logik diktator yang
menguasai negara Mesir ketika itu, sudah seharusnya bagi mereka mengeluarkan
keputusan menentukan perkara yang berkait dengan Abdul Qadir Audah kerana apabila
ia mampu meleraikan ribuan rakyat yang datang dari berbagai penjuru yang
menuntut dibebaskannya belenggu kemerdekaan, melapangkan ruang kehidupan yang berasaskan
undang-undang, lurus dan bijaksana, memenuhi janji dan menunaikan amanah, maka Abdul
Qadir Audah telah menyerlahkan dirinya sebagai petaka dan marabahaya bagi
pemerintah sebagaimana difahami oleh mereka, bahwa ia telah menekan loceng yang
seruannya akan segera didengar dan dipatuhi, sehingga umat pun bergerak untuk
berdiri atau duduk.
Aksi ribuan rakyat di lapangan
Abidin adalah justifikasi pertama dan paling penting bagi penguasa untuk
menjatuhkan hukuman gantung terhadap Abdul Qadir Audah. Oleh kerana itu, tidak pelik
apabila ia dan sebahagian besar sahabatnya ditangkap pada petang hari itu juga,
lalu di tahan di penjara Al-Harby dari jam 4 petang hingga pukul 7 pagi. Petugas
penjara bergantian memukulnya dengan buas dan kejam menggunakan cemeti dan besi
setelah dipaksa berdiri selama tiga jam sebelum itu.
Ustaz Abdul Qadir Audah kemudiannya
didakwa dengan berbagai tuduhan tidak berasas. Mereka akhirnya menjatuhkan
hukuman mati kepada beliau seraya menyangka bahwa pembunuhan atas diri beliau
akan berlalu begitu sahaja tanpa seorang pun akan mengambil peduli terhadap
kematiannya. Namun, penguasa ketika itu adalah Abdul Nasser, yang ketika pegawai
perisiknya melaporkan padanya pengaruh dari hukuman mati yang dijatuhkan kepada
Abdul Qadir Audah dalam jiwa manusia, pegawai perisiknya menulis kalimat Abdul
Nasser yang disiarkan oleh beberapa media massa.
“Sikap masyarakat terhadap peristiwa ini sangat pelik.
Mereka tidak menyukai kejahatan. Tapi ketika pelaku kejahatan dihukum mati,
maka mereka akan merasa belas kasihan kepadanya.”
Ketika Ustaz Abdul Qadir Audah
berdiri di hadapan mahkamah sandiwara yang sengaja dibuat oleh penguasa. Di
sana ia berkata :
“Aku didakwa dengan berbagai dakwaan (yang apabila itu
dianggap benar) maka akulah penjahat itu, dan kamu adalah korban kejahatan. Aku
sungguh tidak tahu hak korban kejahatan dalam mahkamah yang menjadikannya
sebagai korban. Kerana itu pula aku tidak pernah menemui di dunia ini
undang-undang yang memperbolehkan adanya perbicaraan ini. Dan bagaimana mungkin
dapat diterima oleh akal manusia apabila seorang hakim di mahkamah sekaligus bertindak
sebagai musuh dan penguasa?”
Ketika para petugas penjara membawanya bersama sahabat-sahabatnya untuk dihukum gantung sampai mati, dengan penuh keberanian Abdul Qadir Audah maju ke tali gantung seraya menyerahkan segala urusannya kepada Allah Ta’ala. Adapun kalimat terakhir yang diucapkannya sebelum perlaksanaan hukuman tersebut adalah :
“Sesungguhnya titisan darahku akan
menjadi laknat bagi setiap tokoh Revolusi (Abdul Nasser dan kawan-kawannya).”
Dan Allah Ta’ala mengabulkan doanya; titisan darah Abdul
Qadir Audah menjadi laknat atas mereka semua sehingga tidak seorang pun dari
pelaku kezaliman itu terlepas dari balasan Allah di dunia. Berbagai siksaan dan
penderitaan yang tidak putus-putusnya menimpa mereka.
1.
Adapun Jamal Salim, ketua perbicaraan
mahkamah terkena penyakit saraf.
2.
Saudaranya, Shalah Salim, ginjalnya
tidak berfungsi, air kencingnya tertahan dan mati keracunan.
3.
Syamsu Badran, ia dihukum penjara seumur
hidup.
4.
Jeneral Abdul Hakim Amir mati bunuh
diri atau keracunan.
5.
Hamzah Basyuni dilanggar oleh lori
panjang sehingga dagingnya bercerai berai di tempat yang terbuka.
6.
Anggota tentera, Ghanim ditemui
sudah menjadi mayat di kawasan tanaman.
7.
Dato’ Bandar, Yasin diserang oleh
untanya sendiri, lalu unta tersebut menginjak lehernya hingga mati.
Selain mereka, masih ramai lagi di
antara pelaku kezaliman atau pembantu kepada perlakuan kezaliman terhadap Ikhwanul Muslimin, yang
Allah Ta’ala perlihatkan kepada kita semua keajaiban kekuasaan-Nya.
Adapun pemimpin besar mereka,
komandan kejahatan mereka, Jamal Abdul Nasser, maka kehidupannya dipenuhi
dengan kecemasan dan ketakutan, ketika dia tersedar atau dalam keadaan tidur.
Bahkan aliran air bertakung di atas
kuburannya sehingga menjadi pelajaran bagi orang-orang yang berakal.
Sesungguhnya, Allah Ta’ala akan sentiasa memenangkan urusan-Nya.
Kita sudah melihat tanda-tanda
kekuasaan Allah Azza wa Jalla pada diri
orang-orang zalim yang telah melakukan kejahatan terhadap Ikhwanul Muslimin.
a.
Raja Faruq membantai Ikhwan pada
tahun 1948, lalu ia disingkirkan sebagai raja dan diasingkan pada tahun 1952.
b.
Jamal Abdul Nasser melakukan
kejahatan terhadap Ikhwan pada tahun 1954, lalu muncul serangan tiga negara
terhadap Mesir dan pencerobohan Israel ke atas Sinai dan Port Sa’id. Ia lalu
membantai kembali Ikhwan pada tahun 1965 dan Abdul Nasser mengalami kekalahan
pada tahun 1967 serta tewas setelah kematian Abdul Hakim Amir.
Maha Suci Allah yang menunda
balasan-Nya namun tidak pernah lalai.
Semoga rahmat Allah Ta’ala sentiasa
tercurah kepada ruh Ustaz Abdul Qadir Audah yang tercatat sebagai seorang
mujahid sejati yang telah memenuhi janjinya sebagai syuhada’. Ia hanya menunggu
untuk menerima pahala di sisi Rabbnya.
“Dan orang-orang yang terbunuh di jalan Allah, maka tidaklah
amal-amal mereka akan disia-siakannya. Allah akan memberi hidayah kepada mereka
dan memberinya ganjaran. Dan Allah memasukkan mereka ke dalam bilik-bilik di
syurga.” (QS Muhammad 4-6)
Ya Allah Engkau kumpulkanlah para
mujahid yang telah pergi dahulu daripada kami bersama
para Nabi, orang-orang soleh,
ash-shiddiqin dan para syuhada’.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS