“Telah dekat kepada manusia hari
menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi
berpaling.” (QS Al Anbiyaa’ : 1)
Pemerhatian
yang mendalam kepada keadaan manusia sekarang membawa kita kepada kesimpulan
bahwa mereka :
- Lalai terhadap akhirat.
- Lalai terhadap kewajiban agama.
- Lalai terhadap fitrah mereka yang mana mereka
diciptakan untuk beribadah kepada-Nya.
Yang lebih
menyedihkan lagi adalah mereka hanya mahu mengerjakan kewajiban agama apabila dihujungnya
mereka akan mendapatkan habuan dunia, wal‘iyaazu
billah.
Firman Allah
swt :
“Barangsiapa yang menghendaki
kehidupan dunia dan perhiasannya, niscaya Kami berikan kepada mereka balasan
pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan
dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi di akhirat, kecuali neraka
dan lenyaplah di akhirat apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah
apa yang telah mereka kerjakan.” (QS Hud : 15-16)
Orang yang
seperti ini adalah sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah saw :
“Celaka hamba dinar, hamba dirham
dan hamba ‘khamiishah’ (pakaian
mewah), jika diberi ia senang, jika tidak ia marah, celakalah ia dan
tersungkurlah, kalau terkena duri semoga tidak tercabut.” (HR Bukhari)
Semua aktiviti
mereka berasaskan kepada habuan dunia di mana :
- Mereka cinta kepada seseorang kerana dunia
meskipun orang yang dicintainya adalah orang kafir.
- Mereka bencipun kerana dunia meskipun orang yang
dibencinya adalah orang mu’min.
- Mereka bertengkar kerana dunia.
- Mereka tinggalkan perintah Rabb mereka juga kerana dunia.
Lihatlah!
- Kerana urusan dunia mereka rela meninggalkan solat
berjamaah.
- Kerana pertandingan bolasepak mereka rela bersekang
mata lalu rela pula meninggalkan solat waktu.
- Kerana mengejar kehidupan yang berprestij, mereka
rela mengorbankan harta dan tenaga, adapun untuk berinfak dan bersedekah
berat rasanya.
- Kerana pentas muzik mereka rela bermaksiat.
Adakah
kerana kenikmatan yang rendah inikah mereka rela meninggalkan perintah Rabb
mereka yang telah mengurniakan bermacam-macam nikmat?
Sampai bilakah
kelalaian ini akan berakhir???
- Untuk bersosial sanggup meluangkan waktu.
- Untuk sukan dan olahraga sentiasa ada waktu.
- Untuk perniagaan sanggup mengorbankan waktu.
- Untuk melancong sanggup sediakan waktu.
Namun untuk
membaca Al Qur’an, menghadiri majlis ilmu syar’ie, solat berjamaah, mengerjakan
kewajiban agama dan mengerjakan amalan sunat maaf “TIDAK ADA WAKTU”.
Jadi, sampai
bilakah kelalaian ini akan berakhir???
Kita lihat
di antara mereka amat pandai dan bijak terhadap urusan dunia, namun tidak
pandai menggunakan akal mereka untuk mencari perkara yang bermanfaat untuk akhirat
mereka.
“Mereka hanya mengetahui yang zahir
(sahaja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah
lalai.” (QS Ar Ruum : 7)
Seorang penyair
berkata :
“Wahai kamu yang memeras tenaga,
berapa banyak tenaga yang kamu keluarkan. Sudah, beralihlah memperbaiki kerohanian
kamu dan kejarlah keutamaan. Apakah kamu akan tetap terus memeras tenaga untuk perkara
yang ada kerugian di dalamnya, kerana kamu sebagai manusia disebabkan oleh ruh,
bukan badan.”
Alangkah bersemangatnya
mereka mengejar harta dan dunia, namun alangkah beratnya mereka melangkahkan
kakinya memenuhi panggilan Tuhannya.
Waktunya
berlalu begitu sahaja tanpa faedah, bahkan penuh terisi dengan maksiat dan
meninggalkan perintah Allah swt.
“Wahai manusia, apakah yang telah
memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang
telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan
tubuh) mu seimbang.” (QS Al Infithaar : 6-7)
Ia mengira
perbuatannya itu mendatangkan kebahagiaan dan ketenangan, padahal sebenarnya
mendatangkan kesengsaraan samada secara sedar atau tidak sedar.
“Dan Barangsiapa berpaling dari
peringatan-Ku, Maka Sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan
menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (QS Thaha : 124)
Kepada
mereka ditujukan perkataan penyair yang bijak ini :
“Siangmu wahai orang yang lalai
adalah lupa dan tidak sedar. Sibukmu hanya untuk perkara-perkara yang kelak
kamu akan menyesali akibatnya. Malammu tidur, sudah layak kerugian menimpamu, Seperti
itulah binatang hidup di dunia.”
Dosa di
matanya ibarat lalat yang hinggap di hidung, ia lupa dan lalai kepada siapa
sebenarnya ia berbuat maksiat.
“Mengapa kamu tidak percaya akan
kebesaran Allah?” (QS Nuh : 13)
Di pagi dan
siang hari, dosa-dosa dilaluinya dari dosa kecil hingga ke dosa besar seperti :
- Mengumpat.
- Mengadu domba.
- Berdusta.
- Menuduh orang lain menjadi perkara yang biasa.
- Khianat, mengambil harta orang lain tanpa
kerelaannya.
- Menyakiti jiran tetangga.
- Memutuskan tali silaturrahim.
- Bermusuhan menjadi sebahagian hidupnya.
- Sombong.
- Ujub (bangga diri).
- Hasad dengki dan menipu orang menjadi akhlaknya.
- Membuka aurat dan memakai wangian ketika keluar
bagi wanita.
- Memakai sutera dan perhiasan emas bagi laki-laki.
Dosa kecil
dan besar yang dilaluinya seakan-akan tidak pernah terlintas di hatinya sedangkan
Rasulullah saw bersabda tentang dosa
kecil :
“Jauhilah dosa-dosa yang dianggap
kecil, kerana sesungguhnya dosa-dosa itu bila berkumpul pada seorang hamba maka
akan membinasakannya.” (HR Ahmad)
Begitu juga,
tidak pernah terlintas di hatinya sabda Rasulullah saw tentang dosa besar bahwa
ia (dosa besar) dapat membinasakan dunia dan akhirat (muubiqaat) yang di
antaranya :
“Jauhilah oleh kamu tujuh dosa yang
membinasakan”, para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah semua itu ?” Baginda
menjawab, “Syirik kepada Allah, melakukan sihir, membunuh jiwa yang diharamkan
Allah untuk dibunuh kecuali dengan alasan yang benar, memakan riba, memakan
harta anak yatim, lari dari peperangan dan menuduh wanita mu’minah yang
baik-baik yang sudah berkahwin berzina.” (HR Bukhari)
Ia tidak
lagi sempat bertanya kepada dirinya ;
“Apakah
akibat dari tindakanku itu?”
“Apa yang
akan berlaku setelah puas aku mengerjakan perbuatan itu?”
“Apakah aku
masih sahaja lalai terhadap kematian?
“Apakah aku
masih sahaja lalai terhadap hisab?
“Apakah aku
masih sahaja lalai terhadap kubur?
“ Apakah aku
masih sahaja lalai terhadap neraka?
“Apakah aku masih
sahaja lalai terhadap azab samada cepat atau lambat?
Relakah aku
menanggung azab yang pedih hanya kerana ingin mendapatkan kesenangan yang
sesaat???
Sampai bila kelalaian
ini akan berakhir???
“Biarkanlah mereka (di dunia ini)
makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), Maka kelak
mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka).” (QS Al Hijr : 3)
Yakni,
biarkan sahaja mereka menikmati kehidupannya seperti kehidupan binatang, yang
diuruskannya hanyalah makan, minum dan kesenangan semata-mata, kelak mereka
akan mengetahui dan menyesali perbuatannya.
Pernahkah
terlintas di hati mereka hakikat kehidupan di dunia ini dan pernahkah terlintas
di benaknya tujuan ia diciptakan di dunia ini???
Demi Allah,
kalau sekiranya manusia tahu untuk apa mereka diciptakan, tentu mereka tidak
lalai dan terus lelap tidur kerana mereka akan lihat di depannya maut, kubur
dan padang mahsyar. Bahkan ada ancaman dan peristiwa yang menegangkan bulu roma.
Sebelum kita
menjauhi diri dari membicarakan perkara-perkara di atas, mari kita menilik kepada
diri sendiri :
- Apakah kita termasuk orang-orang yang lalai atau
tidak?
- Jalan mana yang kita tempuhi?
- Apakah jalan yang menghubungkan kepada keridhaan Allah ataukah jalan yang menghubungkan kepada kemurkaan Allah?
Perhatikanlah
baik-baik perkara ini kerana masalahnya serius, bukan main-main dan jangan
biarkan diri kita terjatuh.
Bangkit dan
perbaikilah dari sekarang dan lihatlah apakah sikap kita selama ini selari
dengan perintah Allah atau sejalan denagan larangan-Nya.
Ketahuilah,
agama ini tidak boleh dipisah-pisahkan, kerana berpegang dengan sebahagiannya
dan meninggalkan yang lain termasuk dalam kategori bermain-main dengan perintah
Allah dan ini tidak seharusnya dilakukan oleh seorang muslim.
Bukankah
Allah swt berfirman :
“Apakah kamu beriman kepada
sebahagian Al Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? (QS Al Baqarah :
85)
Maka sudah
selayaknya bagi seorang muslim antara di masjid dan di luar masjid tetap
mempraktikkan ajaran Islam di mana pembicaraannya dibatasi dengan ajaran Islam
dan sikapnyapun demikian, bicaranya tidak jauh dari kebaikan dan sikapnya tidak
jauh dari nilai-nilai Islam.
Kita boleh
memulakan perkara ini dari sekarang dan tidak ada perkataan “Sudah
terlanjur basah”, kerana ini adalah suatu sikap putus asa dan putus asa
adalah akhlak orang-orang kafir.
“Dan jangan kamu berputus asa dari
rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum
yang kafir”. (QS Yusuf : 87)
Adakah kita
inginkan syurga yang di dalamnya penuh kenikmatan, tidak ada kematian, tidak
ada masa tua, tidak ada sakit dan tidak ada lagi penderitaan?
Adakah kita
ingin berkumpul bersama orang-orang yang mendapatkan kebaikan dari kalangan para
nabi, shiddiqin, syuhada’ dan orang-orang soleh?
Maka
ta’atilah Allah dan Rasul-Nya, jauhilah segala larangan dan kerjakanlah
perintah sesuai dengan kemampuan kita.
“Dan barangsiapa yang mentaati Allah
dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang
dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu : Nabi-nabi, Para shiddiiqiin, orang-orang
yang mati syahid dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang
sebaik-baiknya.” (QS An Nisaa’ : 69)
Bandingkanlah
dengan neraka yang di dalamnya penuh kesengsaraaan dan penderitaan, apabila
lapar diberi makanan ‘Zaqqum’ dan apabila haus diberi air
nanah dan air mendidih,
“Sesungguhnya neraka Jahannam itu
(padanya) ada tempat pengintai–Lagi menjadi tempat kembali bagi orang-orang
yang melampaui batas–Mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya–Mereka
tidak merasakan kesejukan di dalamnya dan tidak (pula mendapat) minuman–Selain
air yang mendidih dan nanah–Sebagai pambalasan yang setimpal–Sesungguhnya
mereka tidak berharap (takut) kepada hisab.” (QS An Nabaa’ : 21-28)
Semoga peringatan
ini akan menjadikan kita semakin cinta untuk memperbaiki diri. Tempuhilah jalan
ini dan jangan ragu!
Hati-hatilah
kita dan jangan sampai tertipu oleh dunia, betapapun terasa lama menikmati dan
hidup di dunia ini, namun kita tetap akan pergi meninggalkannya dan maut akan
mendatangi kita.
Berapa ramai
orang yang sebelumnya mengira akan hidup lama, namun ternyata esoknya atau
lusanya telah pergi hanya tinggal namanya, orang-orang membawanya ke liang kubur
yang akan menjadi nikmat atau azab baginya.
Sungguh!
- Sangat rugilah dia, apabila maut datang sedangkan
dirinya belum sempat bertaubat.
- Sangat rugilah dia, apabila ada seruan untuk bertaubat namun ia tidak mahu menyahutnya.
Berfikirlah secara
matang, persiapkan amalanmu kerana di depanmu :
- Ada maut bersama sakaratnya.
- Ada kubur bersama kegelapannya.
Ingatlah,
Rabbmu akan bertanya kepadamu tentang amalanmu samada besar mahupun kecil.
“Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan
menanyai mereka semua—tentang apa yang telah mereka kerjakan dahulu.” (QS Al Hijr
: 92-93)
Demi Allah,
sungguh sangat tidak masuk akal apabila ada seseorang yang hanya bersikap santai
begitu sahaja, tidak beramal padahal di depannya ada peristiwa-peristiwa yang dahsyat
dimulai dengan maut, kubur, kebangkitan dan pembalasan.
Sungguh,
saat-saat sekarang ini adalah kesempatan bagi kita untuk beramal dan nanti
tidak ada lagi masa untuk beramal,
“Semua manusia berusaha, usahanya
itu ada yang menyelamatkan dirinya (dari azab) dan ada juga yang malah yang
menceburkan diri ke dalamnya (azab).” (HR Muslim)
Usaha yang
menyelamatkan dirinya dari azab adalah iman dan amal soleh dan usaha yang
menceburkan dirinya ke dalam azab adalah kufur dan kemaksiatan.
- Lihatlah ke kanan dan ke kiri, berapa ramai orang
yang dijemput kematian tanpa membawa amalan.
- Lihatlah ke kanan dan ke kiri, berapa ramai orang yang dijemput kematian dalam keadaan berbuat maksiat.
Ini semua
akibat dari menunda-nunda taubat, panjang angan-angan dan menyangka kematian masih
jauh.
Jangan
sampai kita seperti orang yang dijemput kematian baru menyedari akan
kelalaiannya, seraya mengatakan,
“Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke
dunia)–Agar aku berbuat amal yang soleh yang telah aku tinggalkan.” (QS Al
Mu’minun : 99-100)
Namun,
hakikatnya,
“Allah sekali-kali tidak akan
menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan
Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.” (QS Al Munaafiqun : 11)
Ya Allah,
hampir setiap hari kami mendengar kematian saudara-saudara kami namun
kadang-kadang jiwa kami tidak tergugah dengan peristiwa ini. Kurniakanlah
kesedaran yang hakiki ke dalam hati kami sehingga ia mampu menghidupkan
perasaan cemas dan takut yang akan menolak jiwa dan raga kami untuk membuat
persediaan yang secukupnya bagi menghadapi hari yang tiada perlindungan dan
naungan melainkan perlindungan dan naungan dariMu.
Ameen Ya
Rabbal Alameen
WAS