Seorang mu’min pastilah mengetahui bahwa
hari-hari Allah swt itu bertingkat-tingkat kemuliaannya, sebagaimana pula
waktu-waktuNya juga berbeza.
Sesungguhnya Allah swt telah memilih hari dan
waktu-waktu termulianya pada bulan Ramadhan. Oleh kerana itu, jiwa-jiwa mulia sentiasa
merindukan Ramadhan dan meminta kepada Rabbnya agar dipertemukan dengannya.
Namun, di sudut yang lain, ada sekelompok manusia
yang hatinya dipenuhi dengan cinta dunia dan kelalaian pada musim-musim yang diberkati,
maka perlulah untuk kita mengajak kepada jiwa-jiwa yang lalai bagi
mempersiapkan diri dan sama-sama merindukan kedatangannya.
Ya, kita sudah semakin dekat dengan hari
permulaan yang mulia itu, bahkan sudah tercium aroma harum di waktu penantian kemunculan
“Syahru
Ramadhan Al Mubarak”, yang Allah swt jadikan didalamnya segenap limpahan
kebaikan.
Allah swt telah memberi keutamaan umat yang
dirahmati ini dengan bulan mulia yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya. Walaubagaimanapun,
Allah swt hanya akan memberikan kemuliaan itu kepada hamba-hambanya dari umat
ini yang dikehendakinya sahaja sesuai dengan kesungguhan dan pengharapan mereka
yang melaluinya kerana sesungguhnya Dia adalah Zat yang Maha Mulia dan Maha
Bijaksana.
Kita semua berharap kepadaNya agar kita tidak
terhalang untuk mendapatkan segala keutamaan di bulan Ramadhan ini, insyaAllah.
“Gunakanlah kesempatan dengan baik, dan masuklah pada madrasah ini sejak dari awal, sedang kamu dalam keadaan yang memiliki jiwa bersemangat, mencari untuk menggapai kejayaan pada akhir pelajarannya, mengambil risalah dengan menggunakan berbagai wasilah dan sebab-sebabnya,
a. Perbaharuilah taubat kamu pada setiap waktu.
b. Bacalah Al-Qur’an dengan penuh tadabbur dan khusyu’.
c. Nikmatilah puasa dalam jiwa kamu.
d. Mohonlah untuk dapat melakukan qiyam semampu kamu.
e. Perbanyakkanlah zikir dan tafakkur.
f.
Hilangkanlah
ruh dan jiwa kamu dari lingkaran kebendaan.
g. Jadikan kesungguhan kamu sebagai tanda adanya keistimewaan di antara
orang yang berpuasa”.
Ramadhan adalah suatu madrasah yang sarat dengan nilai
dan makna. Begitu agung pesanan-pesanan Ramadhan yang Allah swt hendak
sampaikan kepada insan yang beriman.
Melalui berbagai amalan ibadah seperti puasa, tilawah
Al-Qur’an, solat tarawih, zakat, infak, sedekah, i’tikaf dan lain-lain, Allah swt inginkan agar matlamat
Ramadhan itu kita tangkap, hayati dan realisasikan dalam kehidupan seharian kita
sehingga kita semua diharapkan akan menjadi insan yang bertaqwa dengan segala
dimensinya.
Betapa besar kurniaan, rahmat dan nikmat yang telah
diberikan oleh Allah swt kepada kita sehingga pada tahun ini, kita mengharapkan
semoga Allah swt masih memberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan yang :
1. Penuh
dengan kasih sayang, rahmat dan kebebasan dari api neraka.
2. Melatih sikap
disiplin pada diri setiap insan.
3. Mendidik
manusia untuk mencapai darjat taqwa di sisi Allah swt.
Maka sudah sepatutnyalah kita memuji dan bersyukur
kepadaNya atas semua nikmat yang tidak terhingga tersebut.
Oleh yang demikian, kita seharusnya merenung
kembali,
a. Apakah
kita sudah benar-benar bersiap sedia menghadapi Ramadhan pada tahun ini?
b. Apakah
kita akan meraih tujuan dari puasa Ramadhan itu nanti?.
c. Apakah
kita hanya menjadikan Ramadhan sebagai ladang ibadah sementara sahaja, lalu menjelang
‘aidil
fitri’ nanti, ia menjadi anti klimaks kepada setiap amal ibadah kita?
Jika demikianlah keadaannya, maka ibadah Ramadhan
yang penuh dengan nilai dan makna ini tidak akan menjadi apa-apa dan hanya akan
jadi pesanan yang kosong belaka.
Tentu kita tidak ingin Ramadhan ini menjadi acara tahunan
yang kosong tanpa makna atau kita tidak ingin ibadah Ramadhan kita seumpama tong
kosong yang nyaring bunyinya apabila diketok namun tiada mempunyai apa-apa isi
yang boleh dimanfaatkan.
Ketahuilah wahai jiwa yang lalai bahwa kita pasti
merindukan Ramadhan kerana kelebihan-kelebihan berikut :
1. Di bulan Ramadhan, pintu syurga
dibuka seluas-luasnya
Maka, akan diterima amal dan berbahagialah
orang-orang yang bekerja keras dan yang ikhlas beribadah kepadaNya.
Kita akan merindukan Ramadhan kerana kita akan
berkumpul dengan orang-orang yang mengumpulkan kebaikan ini, di mana mereka
memenuhi masjid-masjid serta tidak mahu lepas dari Al Qur’an, bahkan akan
disatukan hati kita dengan hati-hati mereka dalam ketaatan, serta jiwa kita
dapat dikumpulkan bersama jiwa-jiwa mereka yang ikhlas.
2. Di bulan Ramadhan, ditutup
pintu-pintu neraka
Ini adalah kesempatan :
a. Dijauhkan kita dari perbuatan dosa dan maksiat.
b. Dijauhkan kita dari neraka.
c. Dijaga pandangan kita dari pemandangan yang
haram.
d. Dijaga pendengaran kita dari suara-suara yang
haram dan jika ada yang mengajak kita kepada maksiat maka katakanlah: “Aku
takut kepada Allah.”
3. Di bulan Ramadhan, syaitan
dibelenggu
Maka, mereka tidak akan mengganggu seperti di luar
Ramadhan di mana akan ditahan keburukan yang dibawa oleh mereka kerana berbagai
ketaatan yang dilakukan oleh hamba-hambaNya serta sedikitnya dari orang-orang
mu’min yang terjerumus dalam maksiat.
Namun, akan ada juga syaitan yang masih
berlindung di hati sebahagian manusia, ini adalah kerana mereka tidak berusaha untuk
melepaskan diri dari syaitan disebabkan :
a. Dia selalu meninggalkan solat berjamaah.
b. Dia membiarkan dirinya bergelumang dalam
maksiat.
c. Dia tidak menjaga pandangan dan pendengaran.
d. Hatinya sentiasa terikat dengan kenikmatan yang
sedikit.
Bilakah engkau akan kembali wahai jiwa yang
lalai?
Abu Hurairah ra berkata, telah bersabda
Rasulullah saw :
“Jika datang bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup
pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan.” (Muttafaqun’alaih).
4. Di bulan Ramadhan,
dosa-dosa diampuni
Kita menginginkan agar sentiasa merenungi kurniaan
Allah untuk hamba-hambaNya, kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya.
Lihatlah bagaimana Allah swt menyediakan kepada
kita di musim keberkatan ini, dengan mengampuni dosa-dosa serta menghapuskan
kesalahan-kesalahan kita.
Adakah yang lebih mulia daripada ini?
Abu Hurairah ra meriwayatkan sebuah sabda
Rasulullah saw :
“Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan penghapus
dosa di antaranya selama menjauhi dosa-dosa besar.” (HR Muslim)
Sabda baginda saw lagi :
“Barangsiapa berpuasa kerana iman dan berharap ganjaran pahala maka
diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun’alaih)
Sudahkah kita melihat keutamaan ini?
Apakah kita tidak memikirkan kurniaan ini?
Dosa-dosa kita yang telah lalu… Kesalahan-kesalahan
kita yang telah menompok bertahun-tahun… Allah mengampuni semuanya disebabkan oleh
keutamaan amal di bulan itu.
Sungguh tidak dapat dibayangkan jika kita tidak
merindukan Ramadhan ini.
a. Tidakkah kita mengharapkan akan keampunan ini?
b. Tidakkah kita mengharapkan keselamatan dengan kurniaan
ini?
Jika Allah swt telah mengenalkan perasaan kerinduan
ini di hati kita, kenapa kita tidak merindukan Ramadhan???
5. Di bulan Ramadhan, ada
amalan yang paling murni / ikhlas
Tidaklah orang yang berpuasa menunggu sesuatu
kecuali hanya mengharapkan pahala dariNya, iaitu pahala yang tidak terukur dan
tidak ada padanannya, kerana Allah swt berfirman dalam hadith qudsi :
“Setiap amal anak Adam untuknya, kecuali puasa, sesungguhnya itu
untuk-Ku dan Aku yang akan mengganjarinya.” (Muttafaqun’alaih)
Sehingga malaikatpun tidak mengetahui kadar
pahala orang yang berpuasa.
Wahai penyambut Ramadhan!!!
Engkau bersungguh-sungguhlah dalam menahan
lapar dan dahaga, menahan hawa nafsumu, kerana sesungguhnya Allah telah
menyiapkan bagimu, kurniaan yang tidak terbayang sebelumnya.
Jika engkau merasa gembira saat berbuka dan
menyelesaikan puasa sehari suntuk, sesungguhnya engkau akan merasakan
kebahagiaan yang hakiki nanti di dalam syurga ‘An Na’im’.
Allah swt berfirman :
“Setiap amal anak Adam untuknya, kecuali puasa, sesungguhnya itu
untuk-Ku dan Aku yang akan mengganjarinya. Puasa itu adalah perisai. Jika
datang hari puasa seseorang di antara kamu maka janganlah ia berkata kotor dan
jangan memaki; jika ada orang mencacinya atau memancingnya untuk berkelahi,
hendaklah ia berkata, ‘Aku sedang berpuasa.’” Demi Zat yang jiwa Muhammad di
tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah lebih
wangi daripada wangian kasturi. Orang yang berpuasa memiliki dua kebahagiaan;
jika ia berbuka, ia berbahagia; dan jika bertemu Rabbnya, ia berbahagia kerana
puasanya.” (Muttafaqun’alaih)
6. Di bulan Ramadhan, pahala
umrah kita seperti pahala berhaji bersama Rasulullah saw
Apabila kita menunaikan umrah di bulan Ramadhan
dengan ikhlas dan mengikuti tuntunan yang datang dari Rasulullah saw maka kita
akan mendapatkan pahala berhaji bersama Rasulullah saw.
Baginda saw bersabda :
“Umrah di bulan Ramadhan seperti berhaji bersamaku,” (Shahih Al
Jami’)
7. Doa kita ketika berpuasa adalah
mustajab
Rasulullah saw bersabda :
“Tiga doa mustajab : doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi
dan doa orang yang musafir.” (Shahih Al Jami’)
8. Di bulan Ramadhan, ada
malam-malam yang istimewa
Hal ini dapat kita lihat dari kesungguhan
Rasulullah saw di mana kesungguhan baginda tidak sama dengan waktu-waktu yang
lain.
Aisyah ra berkata :
“Rasulullah saw sangat bersungguh-sungguh di sepuluh hari terakhir
di bulan Ramadhan tidak seperti diwaktu-waktu lain.” (Shahih Al Jami’)
9. Di bulan Ramadhan, ada ‘Lailatul Qadr’
Di sinilah
Rasulullah saw sangat mengagungkan waktu ini, di mana baginda sangat berharap untuk
mendapatkan kemuliaan di dalamnya, kerana malam itu adalah malam yang di mana
amal seseorang sepadan dengan amal yang dikerjakan selama 83 tahun bahkan
lebih.
Rasulullah
saw bersabda :
“Barangsiapa menghidupkan malam ‘Al Qadr’ kerana iman dan mengharap ganjaran
pahala maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun’alaih).
Allah swt
berfirman :
“Lailatul Qadr lebih baik dari seribu bulan.”
(QS Al Qadr : 3)
Kita semua sudah tahu bahwa tujuan utama puasa Ramadhan
ini adalah untuk mencapai taqwa, sepertimana dalam firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman telah
diwajibkan atas kamu sekalian berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas
orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”.
Maka, marilah kita bersegera dan berlumba-lumba
dalam bulan yang berkat itu untuk memperolehi taqwa dengan membersihkan jiwa
dari kemaksiatan.
Ketaqwaan ini sangat luas makna dan cakupannya di
mana ia meliputi setiap aspek kehidupan seorang Muslim. Walaubagaimanapun, setidak-tidaknya,
Al-Qur’an dan As Sunnah telah mengisyaratkan dimensi ketaqwaan yang perlu
dijadikan pegangan oleh seorang Muslim di antaranya ialah :
PERTAMA :
TAQWALLAH
Iaitu bertaqwa kepada Allah dengan
sebenar-benarnya, yakni taqwa zahir dan batin dengan melaksanakan segala
perintah dan menjauhi segala laranganNya.
Dengan bertaqwa kepada Allah, diharapkan seorang
Muslim mempunyai sikap hanya takut dan berharap kepada-Nya. Oleh yang demikian,
secara mendatarnya, ia tidak perlu cemas dan khuatir lagi terhadap apa yang
akan menimpa dirinya kerana ia hanya akan bersandar sepenuhnya kepada kehendak
Allah swt.
Dalam dirinya melekat suatu sikap bahwa Allahlah satu-satunya
sebagai ‘Al Maula’ (penolong).
Sikap takut terhadap Allah berbeza dengan sikap
takut terhadap makhluk kerana sikap takut kepada Pencipta justeru akan
memunculkan sikap ‘raja’ (berharap) terhadap rahmat dan kasih sayangNya di mana Allah
swt sendiri yang memproklamasikan diri-Nya bahwa rahmat-Nya itu meliputi segala
perkara, tanpa kecuali.
KEDUA :
TAQWA AZ ZULMU
Iaitu menjaga diri dari tindakan zalim terhadap
orang lain.
Kezaliman adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh
Allah swt. Bahkan Allah sendiri telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Nya.
Selain ia akan menyebabkan kerugian di dunia,
kezaliman akan juga menjadi malapetaka bagi kita di Hari Kiamat nanti.
Rasulullah saw bersabda :
“Bertaqwalah
(takutlah) kamu terhadap kezaliman. Sesungguhnya kezaliman itu kegelapan di
Hari Kiamat nanti.” (HR Muslim)
KETIGA :
TAQWA AN NISAA’
Iaitu berhati-hati terhadap wanita.
Sikap berhati-hati ini bukan bermakna Islam menyisihkan
wanita tetapi memang kerana Allah swt telah memberikan daya tarikan dan menciptakan
anugerah luar biasa pada diri wanita sehingga betapa banyak peristiwa kejayaan
seseorang yang akhirnya jatuh akibat dari hubungannya dengan wanita.
Sebaliknya, wanita juga boleh menjadi sumber inspirasi dan motivasi bagi kejayaan
seseorang.
Ada banyak kisah silam yang berlaku di Zaman Bani
Israil, seperti kisah rahib Israil yang mengubati wanita kemudian berzina
sampai hamil dan membunuhnya, sampai akhirnya menjadi musyrik kerana menyembah
syaitan.
Hal inilah yang sangat diperingatkan oleh
Rasulullah saw dengan sabdanya :
“Bertaqwalah
(takutlah) kamu terhadap wanita. Kerana sesungguhnya fitnah pertama kali pada
Bani Israil itu adalah wanita.” (HR Muslim)
KEEMPAT :
TAQWA AN NAAR
Iaitu takut terhadap api neraka yang disediakan
bagi orang-orang yang bermaksiat dan durhaka kepada Allah swt.
Menghindarkan diri dari api neraka ini dimulai dari
diri sendiri kemudian keluarga. Jika setiap keluarga masing-masing melaksanakan
fungsinya sebagai institusi pengendalian amar ma’ruf nahi munkar, niscaya akan
muncul masyarakat yang soleh, yang tidak bermaksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Oleh kerana itu, persekitaran rumahtangga sebagai
tempat tersemainya asas-asas keluarga perlu menjadi sebuah persekitaran yang
menyenangkan.
Maka, melalui persekitaran yang kondusif itulah, Islam
mengasaskan sebuah konsep "Baiti Jannati", (Rumahku Syurgaku).
KELIMA :
TAQWA AL ARHAAM
Iaitu taqwa silaturrahim.
Maksudnya, menjaga diri terhadap hubungan sosial dan
kemasyarakatan.
Ketaqwaan ini bermula dari sikap asas manusia yang
menurut Ibnu Khaldun sebagai manusia yang suka bersosial.
Dalam banyak hadith Rasulullah saw, secara jelas meletakkan
ibadah sosial ini lebih utama berbanding ibadah solat malam dan puasa
sekalipun.
Diceritakan bahwa ada seorang wanita yang di kala
malam tiba, ia dirikan solat malam manakala apabila siang menjelma, ia
berpuasa. Lalu diceritakan bahwa wanita itu seringkali menyakiti jiran tetangganya
lalu Rasulullah saw pun mengatakan bahwa pada diri wanita itu sama sekali tidak
ada kebaikan.
KEENAM :
TAQWA AL FITNAH
Iaitu berhati-hati terhadap azab atau malapetaka samada
di dunia ataupun di akhirat.
Allah swt mengisyaratkan kepada kita bahwa malapetaka
dunia ini, samada berupa bencana alam ataupun krisis dan wabak penyakit,
merupakan kumpulan dosa kolektif umat manusia.
Maka ketaqwaan terhadap fitnah ini dituntut agar
kita memiliki tanggungjawab amar ma’ruf nahi munkar kerana kesolehan secara
peribadi semata-mata tidak cukup untuk menghindarkan diri kita dari malapetaka
alam ini. Kita memerlukan kesolehan kolektif sehingga bencana alam dapat
dihindari sebaik mungkin.
Barangkali
itulah sekelumit dimensi taqwa yang merupakan tujuan Allah swt mendatangkan Ramadhan setiap tahun kepada kita supaya kita dapat
pelajari dan perhatikan bersama, sehingga di madrasah Ramadhan ini kita benar-benar
dapat membersihkan dan mensucikan diri dari segala bentuk kotoran maksiat yang
telah melekat pada kehidupan kita sehari-hari, sehingga akhirnya berhasil untuk
mencapai ridha Allah swt.
Sungguh, bulan Ramadhan adalah bulan yang
dirindukan oleh setiap insan, maka kita semua hendaklah sentiasa meminta kepada
Rabb yang Maha Pemurah agar mempertemukan kita dengan bulan mulia ini dan memasukkan
kita dalam golongan orang-orang yang beruntung, kerana ada sahaja sebahagian manusia
yang Allah swt pertemukan mereka dengan Ramadhan tetapi mereka tetap sahaja
termasuk orang-orang yang rugi ‘wal ‘iyadzu billah’.
Ini adalah kerana mereka menzalimi diri mereka
dengan melarutkan diri dalam maksiat dan dosa, sebagaimana sabda baginda saw :
“Sungguh rugi seorang yang dipertemukan dengan bulan Ramadhan
kemudian meninggalkannya sebelum diampuni dosanya.” (HR Tirmizi)
Ya Allah berkatilah kami di bulan Sya’ban dan
sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai
bulan untuk kami memupuk sifat taqwa dalam diri-diri kami sehingga ianya tumbuh
subur dan berkembang mekar serta menghasilkan buah-buahan yang ranum setelah
berlalunya Ramadhan, insyaAllah.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS