Apakah yang menjadi syarat untuk melahirkan tarbiyah yang berjaya?
SYARAT PERTAMA : ISTIQAMAH
Sifat utama yang menghiasi jiwa para ‘murabbi’ dan ‘mutarabbi’ dalam melalui putaran roda dakwah adalah :
- Istiqamah dalam hidayah.
- Istiqamah dalam keikhlasan.
- Istiqamah dalam kesabaran.
Inilah perkara yang terberat bagi setiap pendakwah dan bahkan juga para Nabi.
Ayat Al Qur’an yang membuatkan Nabi Muhammad saw beruban rambutnya adalah perintah untuk istiqamah.
"Maka istiqamahlah (kamu) sebagaimana yang Aku perintahkan…" (QS Hud : 112)
Manakala inti dari istiqamah adalah kesabaran.
"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru RabbNya di pagi dan senja hari, dengan mengharap keridhaanNya. Dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas." (QS Al Kahfi : 28)
Dalam perjalanan panjang dakwah dan tarbiyah ini, istiqamah dibangunkan melalui tarbiyah imaniyah yang terus-menerus samada secara ‘jama’ie’ (bersama) ataupun ‘zati’ (sendirian).
Halaqah tarbiyah sentiasa dipenuhi dengan suasana :
- Ruhiyah.
- Peribadatan.
- Berbagai aktiviti jama’ie.
dalam rangka untuk meningkatkan sensitiviti ruhiyah dan pembersihan jiwa yang dilakukan secara konsisten dari masa ke semasa.
Kemudian, ianya disokong oleh suasana :
- Saling menasihati dalam kebenaran.
- Saling menasihati dalam kesabaran.
- Saling menasihati dalam kasih sayang.
SYARAT KEDUA : DISIPLIN DALAM MEMIKUL TANGGUNGJAWAB
Pada masa-masa lalu kita akan menemui seorang ‘mutarabbi’ yang sangat menyesal dan memiliki rasa bersalah yang mendalam ketika terlambat datang ke halaqah atau ketika ia keuzuran di mana keesokan harinya ia sibuk mendatangi saudaranya yang lain hanya semata-mata untuk menyalin bahan yang diberikan.
Begitu juga tidak kurang para ‘murabbi’ yang terpaksa meninggalkan berbagai urusan peribadi dan keluarganya semata-mata kerana rasa tanggungjawab untuk mengisi halaqah yang dijalankan secara rutin.
"Katakanlah: jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya." (QS At Taubah : 24)
Meninggalkan tugas bagi seorang ‘murabbi’ adalah seperti melemparkan sebuah amanah sebesar gunung Uhud.
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui." (QS Al Anfal : 27)
Dalam perjalanan dakwah yang berkat ini, jika kita menemui ada ‘Mutarabbi’ yang hanya mempunyai perbelanjaan yang terhad untuk hadir dalam halaqah, maka tidak sedikit pula kita temui para ‘Murabbi’ yang terpaksa pulang berjalan kaki semata-mata kerana tidak tersisa lagi wang walaupun satu sen.
Senario ini bukanlah disebabkan oleh para ‘Mutarabbi’ yang tidak ingin membantu tetapi bahkan para ‘Murabbi’ lah yang tidak pernah menampakkan wajah dirinya yang sedang mengalami kesulitan di hadapan para ‘mutarabbi’ nya.
"… orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana (mereka) memelihara diri dari meminta-minta…" (QS Al Baqarah : 272)
Tanggungjawab yang bermula dari kesedaran akan amanah dakwah ini menjadi tradisi yang diwariskan oleh para ‘Murabbi’ kepada ‘mutarabbi’ nya.
Secara nyatanya, semakin mereka disiplin pada tanggungjawab dakwah dan tarbiyah, semakin Allah memudahkan semua urusan mereka bahkan, seringkali pula, Allah menganugerahkan jalan keluar yang tidak disangka-sangka di atas berbagai kesulitan yang dihadapi.
"Dan bersabarlah, kerana Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan." (QS Hud : 115)
SYARAT KETIGA : KESEMPURNAAN DALAM MELAKSANAKAN PERANAN TARBIYAH
Seorang ‘murabbi’ atau ‘murabbiyah’ ketika mentarbiyah ‘mutarabbi’ nya sekurang-kurangnya perlu memainkan beberapa peranan utama bagi memastikan kesempurnaan proses tarbiyah yang berjalan.
PERANAN PERTAMA : Ia meletakkan dirinya sebagai seorang ‘muwajjih’ (guru) yang menyampaikan ilmu-ilmu Islam.
PERANAN KEDUA : Dalam masa yang sama, ia juga menjadi seorang ‘syaikh / ustaz’ (pemimpin kerohanian) dalam memelihara dan meningkatkan ruhiyah dan ‘ma’nawiyah’ ‘mutarabbi’ nya.
PERANAN KETIGA : Ketika menghadapi masalah-masalah yang dialami oleh ‘mutarabbi’ nya, ia menjadi ‘walid’ / ‘walidah’ (bapa atau ibu) bagi ‘mutarabbi’ nya.
Dengan penuh kasih-sayang dan kesabaran :
- Ia membimbing mereka untuk mampu menyelesaikan permasaalahan-permasaalahannya.
- Ia memandu mereka kepada kejayaan.
- Ia memberi memotivasi untuk bangkit dari kegagalannya.
PERANAN KEEMPAT : Ketika berada di medan dakwah dan amal jama’ie, ia berperanan sebagai ‘qaid’ (pemimpin) yang ikhlas, bijak dan juga tegas.
- Ia tahu bila perlu bermesyuarat dan bila perlu memberi arahan.
- Ia buka ruang penyertaan dan ‘syura’ (musyawarah) untuk menghasilkan yang terbaik.
- Ia sentiasa mengambil keputusan setelah memohon taufiq dan hidayah dari Allah swt.
PERANAN KELIMA : Manakala, ketika ia sedang ‘rihlah’ (perjalanan atau musafir) atau dalam suasana santai dengan para ‘mutarabbi’ nya, ia menjadi ‘shadiq’ (teman bicara / teman bermain) yang mengasyikkan.
Kesempurnaan peranan-peranan tarbiyah inilah yang telah menghasilkan aktivis-aktivis yang terbaik dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah saw (as-sabiqunal awwalun) dan juga generasi berikutnya.
Dengan ini, setiap mad’u atau ‘mutarabbi’ merasa :
- Selesa dalam rumah tarbiyah mereka.
- Memiliki semangat penerimaan (ruhul-istijabah) yang kuat terhadap segala arahan dan bimbingan dari ‘murabbi’ nya yang tercinta.
Sehingga, walaupun hanya sebentar sahaja berada di rumah tarbiyah ini, mereka mengalami perubahan keperibadian yang cepat dan seterusnya keluar dari rumah tarbiyah sebagai penyeru perubahan ke arah kebaikan.
Demikianlah, halaqah tarbiyah menjadi wasilah yang efektif untuk membangkitkan kesedaran umat dan mengubah orientasi hidup mereka.
Halaqah ‘ammah’ (umum) dan halaqah ‘khashshah’ (khusus) menghiasi malam-malam dan siang hari mereka di mana ribuan kalimat-kalimat Islam yang disebut atau dituliskan setiap harinya seumpama sebuah irama yang terus bergema dan tidak pernah berhenti persis ungkapan Nabi Nuh as :
"Ya Rabbi, sesungguhnya aku telah mendakwahkan kaumku malam dan siang." (QS Nuh : 5)
Saat-saat halaqah tarbiyah merupakan suasana yang paling dirindukan.
- Rasa haus akan ilmu.
- Kerinduan bertemu sesama sahabat.
- Berkongsi masalah dan pengalaman dengan para ‘murabbi’ atau ‘murabbiyah’ merupakan hal-hal yang dinantikan dan akhirnya pulang kembali ke rumah dengan dada yang penuh dengan keindahan iman dan kesempurnaan tawakal kepada Allah swt.
Enam hari berikutnya adalah hari-hari dakwah dan tarbiyah. Para ‘Mutarabbi’ pada sisa enam hari berikutnya menjelma sebagai ‘murabbi’ dan pendakwah bagi umat.
Ilmu dan kefahaman yang didapati dalam halaqah tarbiyah sebelumnya telah menjadi tema kepada berbagai halaqah-halaqah tarbiyah yang lainnya. Merekalah peribadi-peribadi ‘Rabbaniyyun’.
"Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbani kerana kamu sentiasa mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya." (QS Ali Imran : 79)
Tidak ada keraguan sedikit pun untuk menyampaikan ilmu Islam kepada ‘mad’u’ nya (objek dakwah), meskipun :
- Usia mereka muda.
- Mereka bukan lulusan institusi pengajian Islam.
- Sebahagian besar mereka belum menguasai bahasa Arab.
Namun jauh di sudut hati mereka ada :
- "Izzah" (keyakinan dan kebanggaan) akan fikrah Islam yang mereka miliki.
- "Hamasah" (semangat menggelora) untuk mengamalkan Islam dan menyerukannya kepada orang lain.
- "Ghairah" (kecemburuan dan semangat pembelaan) terhadap Islam yang diabaikan oleh ummatnya sendiri.
Inilah tiga unsur yang menghiasi kesungguhan tarbiyah dan dakwah mereka pada tahap individu.
Ketiga-tiga perkara ini tidak akan lahir kecuali dari :
- Mata air keimanan yang jernih.
- Lautan kefahaman yang luas.
- Gelombang keikhlasan yang tidak pernah surut.
Kesungguhan seseorang individu itu semakin diperkukuhkan dengan :
- Semangat keterikatan (ruhul-irtibath) antara anggota dalam sebuah halaqah.
- Semangat persaudaraan (ruhul-ukhuwah) yang terpancar dari cahaya wajah-wajah yang mudah untuk saling mengenali walaupun belum pernah berjumpa sebelumnya.
- Semangat kerjasama (ruhul amal-jama’ie) untuk menyokong berbagai tanggungjawab dan bebanan dakwah melalui semangat saling memberi dan berkorban.
Semua ini menjadikan himpunan mereka bagai bangunan yang kukuh dan saling menyokong (Al-Bunyan Al-Marshush).
Firman Allah swt :
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur rapi, seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh". (QS As Shaf : 4)
Sesungguhnya tarbiyah yang berjaya memerlukan kepada ruh. Jika ruh tarbiyah hilang, maka semua usaha tarbiyah tidak akan memberi kesan dan tidak akan dapat membuahkan hasil yang baik.
Saiyidina Ali ra ketika sudah menyandang jawatan khalifah bertanya kepada para sahabat:
“Apakah angan-angan kamu semua?”
Ada yang menjawab :
“Aku berangan-angan jika aku mempunyai harta yang banyak maka akan ku-infaqkan di jalan Allah”.
Namun apabila beliau ditanya :
Namun apabila beliau ditanya :
“Apakah yang kau cita-citakan, wahai Amirul Mukminin?”
Beliau menjawab :
“Aku bercita-cita jika aku mempunyai orang-orang seperti Abu Bakar, Umar, Abu Ubaidah, Khalid Al Walid sehingga aku boleh membuka kota-kota dengan orang-orang seperti mereka ini”
Oleh itu, persoalan untuk melahirkan tarbiyah yang berjaya kembali kepada bagaimana kita mewujudkan barisan ‘murabbi’ yang melaksanakan pelbagai peranan dalam berbagai situasi yang berbeza di samping kewujudan ‘mutarabbi’ yang bersedia untuk ditarbiyah di atas petunjuk Allah swt sehingga mampu melahirkan ‘rijal’ mu’min yang akan menjulang syariat Allah dan menjadikan kalimah Allah tinggi.
Ya Allah, tetapkanlah kaki-kaki kami di atas jalan Tarbiyah yang memerlukan istiqamah dalam hidayah, keikhlasan dan kesabaran serta kurniakanlah semangat keterikatan, persaudaraan dan kerjasama dalam kami meniti jalan Tarbiyah yang berkat ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
Salam ustaz, jazakallahu khairan atas pencerahan..
ana nak tanya, yg kisah Saidina Ali r.anhu ana belum pernah dengar lagi sebelum ni, cuma pernah dengar cerita yg sama tapi berlaku pada Saidina Umar r.anhu..periwayatan yg lain ke?
jazakallahu khairan.