Perjalanan dakwah ibarat sebuah kehidupan. Ia mesti terus hidup secara dinamik serta terjaga kestabilannya.
Mempertahankan kehidupan yang demikian, bagi dakwah, tidak boleh ditempuh kecuali dengan menjaga kehidupan para penggeraknya.
Kehidupan dakwah itu jauh lebih panjang dari kehidupan para pendokong atau penggeraknya. Oleh kerana itu, kita mesti mengusahakan strategi untuk memanjangkan perjalanan dakwah tersebut iaitu dengan :
“Memanjangkan kehidupan penggeraknya melalui proses pembinaan atau pembentukan generasi.”
Melakukan usaha pembentukan adalah salah satu model perjuangan para nabi. Bersama para rijal yang kuat dan teguh, mereka berjuang menyebarkan dakwah dan mengatasi berbagai ujian dan rintangan yang dahsyat.
Allah swt berfirman:
“Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut(nya) yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, tidak lesu, dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Dan Allah menyukai orang-orang yang sabar”. (QS Ali Imran : 146)
Rasulullah saw merekrut dan membentuk Khadijah ra, perempuan yang pertama kali beriman dan juga isteri baginda.
Selepas itu Abu Bakar ra, sahabat karib beliau, Ali bin Abi Thalib ra, anak bapa saudaranya yang telah dibinanya sejak kecil dan Zaid bin Haritsah ra, bekas hamba baginda.
Abu Bakar ra pun meluaskan dakwahnya sendiri dan melalui dakwahnya, maka Uthman bin Affan ra, Az Zubair bin Al Awwam ra, Abdul Rahman bin Auf ra, Sa’ad bin Abi Waqqash ra dan Thalhah bin Ubaidillah ra masuk Islam.
Kelapan-lapan orang ini merupakan para rijal pertama yang masuk Islam, kemudian solat dan membenarkannya. Proses pembentukan ini kemudiannya berkembang hingga mencapai 60 sahabat pertama yang berasal dari berbagai kabilah di Makkah ketika itu.
Para rijal dakwah terus tumbuh dan bangun seiring dengan berjalannya waktu. Mereka inilah yang sentiasa menjadi pewaris dengan :
a. Menyebarkan dakwah dari zaman ke zaman.
b. Melintasi gurun sahara yang tidak bertuan, gunung dan samudera nan luas.
c. Menyeberangi negara-negara yang jauh.
d. Mencapai benua-benua baru sehingga Islam tersebar ke seluruh dunia termasuk ke negara kita yang dicintai.
Mudah-mudahan Allah swt membalas semua jasa mereka dan menganugerahkan syurgaNya yang amat luas dan indah. Semoga kita termasuk golongan mereka, para generasi penyeru dakwah dan dikumpulkan bersama-sama mereka kelak di surgaNya!
Allah swt berfirman :
“Dan barang siapa yang mentaati Allah dan RasulNya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah; iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, orang-orang yang yang syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya”. (QS An Nisa’ : 69)
PEMBENTUKAN RIJAL ADALAH PENYULUH GERAKAN DAKWAH
Adalah suatu musibah yang amat besar jika kita lemah dalam usaha-usaha pembentukan rijal. Roda-roda dakwah akan lambat berputar atau bahkan berhenti sama sekali kerana penggerak roda-roda itu kehilangan tenaga atau tidak ada sama sekali. Bahkan jumlah rijal yang ramai tidak akan banyak membantu jika tidak diiringi oleh proses pembentukan kapasiti menuju rijal yang berkualiti.
Keseimbangan antara pengembangan pengambilan rijal dengan peningkatan kualitinya adalah keseimbangan yang mesti difokuskan.
Proses pembentukan rijal memiliki kepentingan dalam usaha ini. Dalam dimensi ini, dakwah berorientasi membentuk rijal-rijal pendakwah yang bersedia memikul dan meneruskan larian dakwah, apalagi mengingatkan bahwa tumbuh suburnya rijal adalah sasaran utama dakwah Islam terutama pada tingkatan dakwah pemuda kerana merekalah yang akan menggerakkan dakwah Islam di masa depan.
Oleh kerana itu, proses pembentukan dalam dakwah pemuda adalah proses pembinaan dalam rangka pembentukan aktivis-aktivis dakwah di lingkungan medan dakwah untuk kegemilangan dakwah di masa depan.
Marilah kita sentiasa terus menerus membina rijal walau di mana jua kita berada. Rijal-rijal yang kita kehendaki adalah mereka-mereka yang :
1. Sentiasa meletakkan dirinya sebagai pekerja dakwah.
2. Sentiasa serius dalam kerja-kerja dakwah yang dilakukannya.
3. Bertahan dengan segala rintangan pada jalan dakwah walaupun dia keseorangan.
4. Sentiasa mengatasi segala keuzurannya untuk sentiasa memenangkan dakwah.
5. Ke hadapan menghulurkan bantuan tanpa disuruh apabila dakwah memerlukannya.
6. Akan menggempur medan yang tandus untuk menghidupkannya dengan tarbiyah dan melahirkan rijal yang baru.
7. Hidupnya adalah dakwah dan menjual seluruh dirinya kepada Allah serta meleburkan dirinya dalam dakwah sehingga tidak timbul lagi hakikat dirinya, malah yang ada hanyalah dakwah.
Sokongan orang ramai, pengaruh dan kuasa bukanlah faktor UTAMA kemenangan Islam.
Syed Qutb pernah mengingatkan kita :
Syed Qutb pernah mengingatkan kita :
“Janganlah sambutan orang ramai itu melalaikan kamu daripada menyusun barisan dalaman kamu dan daripada menyediakan rijal yang mampu menghadapi segala kesukaran dan dapat bertahan lama.”
Kita tidak akan selama-lamanya di medan ini. Cita-cita kita terlalu tinggi sehingga menjangkau usia kita sendiri.
Kita tidak akan selama-lamanya di medan ini. Cita-cita kita terlalu tinggi sehingga menjangkau usia kita sendiri.
Maka, siapakah yang akan menyambung cita-cita ini setelah pemergian kita?
CIRI-CIRI RIJAL YANG DIKEHENDAKI
Kita sentiasa menunggu tampilnya rijal dakwah yang bersiap sedia untuk meneruskan pekerjaan yang besar ini iaitu pekerjaan yang memerlukan perjalanan yang cukup panjang dan meletihkan bahkan untuk menyelesaikannya memerlukan waktu yang lama. Selain itu, perkerjaan besar ini memerlukan syarat yang cukup dan kecekapan aktivis dakwah dalam mengisi peluang-peluang amal.
Oleh yang demikian, sudah sampai masanya para rijal dakwah meletakkan kembali komitmen perjuangannya dan paling kurang ada lima (5) tanda untuk mengukur sejauh mana kesungguhan serta komitmen perjuangan yang dimiliki oleh seseorang aktivis dakwah.
PERTAMA : MEMBERI TINDAKBALAS TERHADAP AGENDA DAKWAH
Firman Allah swt :
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik”. (QS Al Ankabut : 69)
Ayat ini memberikan gambaran bahwa Allah memberikan motivasi kepada rijal dakwah untuk sentiasa berada pada paksi hadapan dalam menyahut seruan dakwah.
Ketika kita telah memilih dengan sedar bahwa dakwah adalah ‘komandan’, maka kesan akhirnya adalah bagaimana seorang aktivis akan menyambut seruan itu tanpa alasan, sebagaimana sambutan sahabat Handzalah yang pada saat itu baru berkahwin dan menikmati malam pertamanya.
Ketika ada seruan dari Rasulullah saw untuk berangkat berjihad, maka sebagai manusia biasa, dapat kita fahami bahwa telah berlaku pergolakan hati antara menyahut seruan dakwah dan keinginan untuk tetap tinggal bersama isterinya.
Namun ternyata Handzalah menunjukkan integritinya sebagai seorang rijal dakwah. Ia berusaha memenuhi seruan dakwah hingga menemui kesyahidan. Dari kisah tersebut, Handzalah telah memberikan inspirasi kepada kita untuk tetap memiliki komitmen perjuangan hingga mencapai kesyahidan.
KEDUA : KEMAHUAN YANG KUAT
Di lapangan amal, kita sering berhadapan dengan permasalahan aktivis dakwah yang berkait dengan kelemahan kemahuan :
- Untuk menyambut agenda dakwah.
- Untuk merekrut dan membina.
- Untuk menghadiri agenda dakwah.
- Untuk menggalas amanah dakwah.
- Untuk tetap berada dalam komuniti dakwah.
Semua itu merupakan kenyataan dari sekian banyak permasaalahan yang perlu segera ditangani.
Sudah semestinya kita perlu ada kemahuan, obsesi serta keyakinan yang besar agar aktivis dakwah tersebut tetap wujud dan berada dalam aktiviti dakwah.
Ya, rijal dakwah mesti memiliki obsesi keimanan yang membuatnya merasa tenteram untuk tetap berada pada ruang kecintaan Allah dan RasulNya.
Kita melihat kisah Umair bin Al Hammam yang mengeluarkan kurma di tangannya, memakannya, lalu berkata :
”Jika aku hidup untuk makan kurma–kurma ini maka itu terlalu lama, lalu ia buang kurmanya dan terus bertempur di medan Badar hingga terbunuh”.
Kemahuan yang sangat luar biasa dan memerlukan kekuatan dalaman serta ketajaman mata hati untuk dapat melaksanakannya dan itu telah dibuktikan oleh Umair bin Al Hammam untuk mendapatkan kehidupan yang abadi.
Rijal dakwah sudah semestinya mampu melakukan penilaian amal yang selama ini telah dilakukannya serta mengukur kembali komitmen perjuangannya. Bukan masanya lagi rijal dakwah masih menimbang–nimbang antara kepentingan peribadi dengan seruan dakwah.
Di sinilah rijal dakwah boleh mengukur apakah selama ini dia telah memiliki komitmen perjuangan yang maksima ataupun belum.
KETIGA : TETAP TEGUH DALAM MELAKSANAKAN DAKWAH
Tetap teguh di jalan dakwah merupakan salah satu kesan dari keimanan. Iman bukanlah sekadar kata–kata yang diucapkan melainkan ianya adalah sebuah kewajiban dan tanggung jawab serta jihad yang memerlukan kesabaran dan kekuatan.
Tidak mungkin seorang rijal dakwah mengatakan kami percaya pada Islam dan dakwah tanpa berhadapan terlebih dahulu dengan ujian dakwah.
Rasulullah saw yang tetap teguh menjalankan aktiviti dakwahnya, walaupun perlu melalui halangan-halangan secara psikologi, caci maki, fitnah dan bahkan penentangan secara fizikal dari orang–orang Quraisy, namun baginda tetap teguh dan sabar untuk tetap melaksanakan aktiviti dakwah.
Rijal dakwah akan mampu menilai seberapa besar komitmen perjuangannya apabila ia telah teruji dalam berbagai ujian dakwah, melaluinya dan kemudian tersenyum untuk memetik buah dakwah yang telah ditanamnya sejak sekian lama.
Di sinilah kematangan seorang rijal ditentukan di mana ia akan semakin matang dan dewasa dalam menghadapi persoalan–persoalan dakwah setelah sekian lama berinteraksi dengan medan dakwah itu sendiri.
KEEMPAT : MENGERAHKAN POTENSI SECARA MAKSIMA
Rijal dakwah yang diperlukan ketika ini adalah rijal yang memiliki kemampuan memelihara dan mengembangkan potensi kebaikan yang ada pada dirinya yang mampu mengalirkan tenaga kebaikannya untuk mentransformasikan nilai–nilai Islam kepada masyarakat.
Dia mesti mampu memindahkan kesolehan peribadi menjadi kesolehan sosial. Dia belum dikatakan memiliki kesungguhan dalam komitmen perjuangan kecuali ia telah melakukan pekerjaan ini secara tulus.
Mungkinkah seorang aktivis dakwah berdiam diri sementara umat telah menunggu penglibatannya dalam projek amal?
Ini adalah kerana, jika ia berdiam diri tidak mahu mengerahkan seluruh potensinya, maka pada saat itu bererti ia telah melemahkan para pendukung dakwah.
KELIMA : MENGALAHKAN UZUR PERIBADI
- Maaf, saya tidak dapat hadir usrah kerana sibuk.
- Maaf, saya tidak sempat datang mesyuarat kerana terpaksa mengurus anak-anak.
- Maaf, saya tidak dapat ikut serta dalam program kerana terlalu letih.
Itulah kira–kiranya ungkapan–ungkapan yang sering kita dengar dari lapangan dakwah iaitu sibuk, letih, tak sempat jika ianya berkait urusan dakwah, namun masalahnya apakah kita sudah yakin bahwa seluruh aktiviti hidup kita semuanya sudah terkait dengan agenda dakwah ataukah semua aktiviti kita adalah aktiviti untuk memenuhi hasrat duniawi kita atau mungkin semua itu hanyalah alasan–alasan yang boleh kita ungkapkan kepada para rijal dakwah yang lain agar kita tidak terlibat dalam projek dakwah?
Kita boleh mendapatkan pelajaran tentang masalah ini dari kisah perang tabuk, bagaimana Ka’ab bin Malik tidak turut serta dalam peperangan yang sangat memerahkan tenaga kerana panasnya cuaca pada ketika itu tanpa alasan yang syar’ie.
Allah dan RasulNya telah memberikan hukuman berupa boikot komunikasi. Hukuman ini dirasakan cukup untuk dijadikan rawatan atau proses perbaikan bagi seorang aktivis.
Rijal dakwah perlu merenungkan kembali apakah uzur–uzur kita selama ini kerana aktiviti dakwah yang lain ataukah ianya hanya sekadar alasan–alasan yang mungkin boleh diberi secara rasional kepada setiap orang yang mendengar sehingga yang mendengar dapat dimaklumkan terhadap ketidakhadirannya dalam agenda dakwah.
Kemungkinannya, semakin lama usia tarbawi seseorang semakin senang dan mudah pula ia menyampaikan alasan–alasan kepada objek dakwah.
Sebenarnya, kesediaan untuk komitmen di jalan dakwah merupakan salah satu sifat aktivis dakwah yang penting kerana tanpa komitmen, perjuangan dakwah tidak akan pernah wujud dan tujuan–tujuannya tidak akan pernah tercapai.
Rijal dakwah akan mampu memiliki kemampuan memikul beban dan amanah ketika telah memiliki lima ciri-ciri di atas.
KEAHLIAN MEMBINA
Untuk meraih keberhasilan terhadap agenda ini, para penggerak dakwah dituntut memiliki keahlian membina (kafa’ah takwiniyah) terutama dari segi :
a. Penguasaan sistem.
b. Penguasan metodologi.
c. Penguasaan bahan.
d. Penguasaan forum.
e. Pemahaman orientasi.
Pemenuhan ciri-ciri keahlian membina dapat diusahakan secara bersama dengan berbagai latihan dan penguasaan.
Selain itu, dalam aktiviti ini, para penggeraknya juga dituntut melakukan segala usaha pembentukan dengan bekalan-bekalan akidah, ibadah, akhlak, wawasan (tsaqafah) dan sebagainya dengan baik sehingga dapat membentuk rijal dakwah generasi penerusnya memiliki kelayakan kapasiti yang sesuai dengan orientasi pembentukan.
Oleh kerana pembentukan rijal adalah sebuah agenda penting maka mesti ada keseimbangan dalam penyiapan tenaga murabbi seumpama ‘Pengendali’ atau ‘Pemandu’ rijal yang terlatih dan berkualiti.
Hikmah ini wujud di sebalik keunikan firman Allah swt berikut yang layak dijadikan titik berpijak kita.
“Wahai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin itu untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, niscaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu orang-orang yang kafir, disebabkan mereka adalah kaum yang tidak mengerti”. (QS Al Anfaal : 65)
Begitulah Al Qur’an memberikan kita inspirasi. Maknanya, seorang rijal yang berkualiti tinggi akan dapat mengalahkan sepuluh orang musuh (1 nisbah10).
Sehubungan dengan ini juga kita dapat lihat dalam firman Allah swt :
“Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya : “Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya niscaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”. (QS Al Maaidah : 313)
Ayat ini menjelaskan bagaimana dua orang yang telah mendapat dukungan Allah swt meyakinkan kita untuk mendapat kemenangan.
Itulah sebabnya ketika Khalid bin Al Walid ra terkepung, ia meminta tambahan pasukan kepada Abu Bakar As Shiddiq sebagai khalifah Islam pada ketika itu. Namun Abu Bakar hanya mengirim seorang dari pasukannya iaitu Qa’qa’ bin Amru At Tamimi dengan mengirimkan surat yang berbunyi :
“Sebuah pasukan tidak akan mampu dikalahkan jika di dalamnya ada orang seperti dia. Suara Qa’qa’ di antara pasukan lebih baik daripada seribu pasukan.”
Begitu pula ketika Amru bin Al Ash juga meminta tambahan bantuan pasukan kepada Amirul Mu’minin Umar bin Al Khattab ra ketika menaklukkan Mesir. Umar ketika itu hanya mengirim empat orang pasukan terbaiknya dengan mengirimkan surat yang berbunyi :
“Aku bantu engkau dengan empat ribu orang pasukan. Satu orang mewakili seribu pasukan. Mereka adalah Az Zubair bin Al Awwam, Miqdad bin Amr, Ubadah bin Shamit dan Maslamah bin Makhlad.”
Manakala seorang rijal yang lemah kualitinya hanya dapat mengalahkan dua orang musuh (1 nisbah 2) sebagaimana firman Alah swt :
“Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan dia telah mengetahui bahwa padamu ada kelemahan. Maka Jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, niscaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang; dan Jika di antara kamu ada seribu orang (yang sabar), niscaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan seizin Allah. Dan Allah bersama orang-orang yang sabar“ (QS Al Anfal : 66)
Proses pembentukan rijal untuk memikul dakwah adalah sangat ketat dan oleh kerana itulah ia adalah juga bersifat selektif. Proses ini dalam perjalanan dakwah sesungguhnya bukan sesuatu yang asing di mana untuk memilih nabi dan rasul pun, Allah swt menggunakan proses ini sebagaimana firmanNya :
“Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim, dan keluarga Imran melebihi segala umat”. (QS Ali Imran : 33-34)
Rasulullah saw pun dalam perjalanan dakwahnya tidak hanya disibukkan dengan interaksinya dengan masyarakat yang luas tapi juga fokus untuk memperbanyakkan batu bata asas pejuang dakwahnya.
Baginda berdakwah dengan cara yang seimbang antara pembentukan sumber daya manusia dan pengembangan dakwah.
Metod pembentukan terpilih dilakukannya di rumah Arqam bin Abi Al Arqam ra sehingga tercetaklah manusia seagung Abu Bakar ra dan Ali bin Abi Talib ra.
Proses pembentukan yang baginda lakukan adalah dengan pemantauan yang intensif. Pemantauan itu dilakukan dengan memperhatikan beberapa kriteria sehingga proses pembentukan yang dilakukan menghasilkan generasi yang unik dan mampu memberikan jawaban atau penyelesaian ke atas permasaalahan dakwah yang sedang atau yang akan dihadapi di masa depan.
Apa yang dilakukan pada masa itu sebenarnya masih sesuai untuk dijadikan sebagai rujukan kita ketika ini. Yang penting adalah bahwa pengembangan gerakan dakwah mesti diseimbangkan dengan penguatan asas pendukungnya, samada dari segi kuantiti ataupun kualitinya.
Mengenai perkara ini, Ustaz Musthafa Masyhur mengatakan bahwa :
“Penjagaan keseimbangan antara wasilah pengambilan dan wasilah pembentukan rijal dilakukan untuk menyelaraskan hasil pengambilan dakwah dengan kemampuan proses pembentukan. Hal ini bertujuan agar tahap pembentukan tidak mengalami penurunan disebabkan banyaknya hasil pengambilan yang tidak mampu ditangani proses pembentukannya.”
Masih berkaitan dengan ini, Ustaz Musthafa Masyhur sangat menekankan aktiviti pembentukan rijal dalam dakwah.
Bahkan, menurut beliau :
“Lebih baik melakukan pengurangan jumlah pengambilan dakwah untuk menjaga keseimbangan dan keselarasan, antara hasil pengambilan dengan kemampuan pembentukan, daripada menumpuk hasil pengambilan yang banyak dan rendah kualitinya disebabkan oleh rendahnya proses pembentukan”.
GERAKAN NAFAS PANJANG
Usaha pengislahan atau perbaikan bukanlah gerakan sesaat yang muncul dan kemudiannya mati buat selama-lamanya. Ia bukan pula usaha perbaikan yang kecil jumlah dan jaraknya di tengah gelombang kerusakan yang membahana dan semakin mendera kita.
Namun, ia adalah gerakan perbaikan yang kukuh memegang prinsip dan memiliki nafas panjang serta stamina yang seakan tiada pernah habis untuk menghadapi secara intensif gelombang jahiliyah dengan berbagai cara dan wasilah.
Jadi, hanya usaha perbaikan secara intensif yang mampu bertahan dan mengalahkan arus jahiliyah yang merosakkan hampir semua aspek kehidupan umat manusia.
Mudah-mudahan Allah swt memberikan kekuatan kepada kita semua agar agenda pembentukan rijal atau pengukuhan asas utama gerakan dakwah terus berlangsung hingga Allah swt mentakdirkan kita semua menjadi pendokong utama yang menemukan agama ini dengan sejarah kejayaannya.
Sebenarnya kita memerlukan kerinduan dan kecenderungan jiwa yang kuat untuk melakukan perubahan di atas.
Imam Hasan Al Banna pernah menegaskan akan pentingnya keinginan ini ada pada diri setiap orang yang bekerja untuk Islam di mana beliau berkata :
“Pembentukan umat, pembinaan bangsa, pewujudan cita-cita, dukungan terhadap prinsip-prinsip memerlukan sekelompok orang yang merencanakannya, memerlukan sekelompok orang yang menyerunya paling minimanya pada kekuatan jiwa yang tercermin dalam beberapa perkara;
a. Pada keinginan yang kuat yang sukar ditaklukkan.
b. Pada ketahanan yang kukuh yang tidak mudah digoyangkan.
c. Pada pengorbanan mulia yang tidak boleh dihalangi oleh sifat tamak dan rasa kikir.
d. Pada pengetahuan terhadap prinsip serta keyakinan yang disertai penghormatan sehingga terlindung dari penyimpangan, pantang tawar menawar dan tidak pernah tertipu dengan yang lainnya...”
Beliau seterusnya juga menghurai dengan panjang lebar bagaimana bentuk kehendak yang seharusnya ada pada diri seorang muslim dengan katanya :
“Kita memerlukan :
a. Jiwa yang hidup, kuat dan kukuh.
b. Hati yang baru yang membara.
c. Perasaan sentimen yang menyala-nyala.
d. Ruhani yang terus bergerak secara dinamik.
Islam menghendaki dalam jiwa seorang muslim :
1. Hati yang sensitif yang merasakan keindahan dan keburukan.
2. Pengenalan yang lurus hingga boleh membezakan yang benar dan yang salah.
3. Keinginan yang kuat yang tidak pernah lemah bersama kebenaran.
4. Tubuh yang sihat yang mampu memikul peranan mendirikan kewajiban Islam secara benar hingga menjadi kebiasaan yang baik untuk menerapkan keinginan yang benar, menolong kebenaran dan kebaikan.
Di atas kemampuan mewujudkan keinginan di dalam jiwa seperti itulah, para penyeru dakwah dan pendukung misi beserta pengikut mereka menjadi syarat berjayanya mereka mencapai tujuan yang diinginkan.”
Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami sehingga kami mampu membangun dan membentuk rijal dakwah yang akan meneruskan proses pembinaan generasi silih berganti sehingga kebenaran dariMu akan tetap tertegak di mukabumi walaupun ianya ditentang oleh seluruh penduduk bumi.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS