Nilai-nilai materialistik yang menjadi neraca utama dalam setiap sisi kehidupan di zaman moden kini telah membuatkan manusia menjadi bingung dan kehilangan pegangan hidup.
Mereka memerlukan sebuah seruan yang dapat mengembalikan semula kesucian diri mereka sebagai manusia.
Manakala di satu sudut yang lain, dakwah untuk mengembalikan umat manusia kepada fitrah asal :
- Mulai kehilangan ruh (hakikat dan semangat dakwah).
- Tidak memiliki manhaj yang mantap.
- Tidal mampu memberi pedoman dan arahan yang jelas.
terutamanya untuk menjadikan kaum muslimin sebagai sebaik-baik ummah yang dapat memainkan peranan utama dalam kancah kepimpinan dunia.
Maka umat Islam mesti menyedari dan kembali kepada kefahaman dakwah yang benar, iaitu dakwah yang berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’.
1. Untuk memberikan kefahaman kepada manusia akan hakikat Tuhan mereka.
2. Untuk menyandarkan kekuatan hubungan ruhaniyah yang mulia dengan Allah.
Oleh sebab itu, syiar yang sentiasa dilaung-laungkan dari lubuk hati kita yang paling dalam adalah :
“Allah Adalah Tujuan Kita”
Jadi, tujuan pertama dakwah ini adalah mengingatkan umat untuk sedar akan hubungannya yang erat kepada Allah dari perkara-perkara yang boleh membuatkan Allah melupakan mereka.
Allah swt berfirman :
“Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu agar kamu menjadi orang yang bertaqwa”. (QS Al Baqarah : 21)
Pada hakikatnya, inilah kunci pertama untuk menyelesaikan masaalah kemanusiaan yang tertutup oleh adanya kejumudan kebendaan di hadapan manusia sehingga mereka tidak mampu menemui jalan penyelesaiannya.
Tanpa kunci ini, maka tidak akan berlaku perubahan dan perbaikan.
Oleh yang demikian, setiap pemimpin umat dan pemegang bendera dakwah hendaklah :
1. Menghiasi diri dengan sifat-sifat dan nilai-nilai ‘Rabbani’.
2. Berakhlak dengannya.
3. Melaksanakannya dalam jiwa mereka.
a. Memahami akan perintah Allah dan larangan-laranganNya.
b. Memahami syariat Allah dan wahyuNya hingga mampu mengubah apa yang ada dalam jiwa mereka.
c. Mengajak umat menuju kepadanya samada untuk dunia atau akhirat.
Demikianlah kewajiban kita sebagaimana firman Allah swt :
“Namun jadikanlah kamu orang-orang rabbani”. (QS Ali Imran : 79)
Jika kita mahu mendapatkan nilai ‘Rabbani’ sebagaimana yang kita inginkan, maka hendaklah yang pertama sekali kita lakukan adalah merealisasikannya :
PERTAMA : DALAM DIRI KITA TERLEBIH DAHULU
“Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan semesta alam”. (QS Al-An’am : 162)
“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat ihsan (kebaikan)”. (QS An-Nahl : 128)
KEDUA : DALAM RUMAHTANGGA KITA
“Dan jadikanlah rumah-rumah kamu kiblat dan dirikanlah solat, dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”. (QS Yunus : 87)
KETIGA : DALAM MASYARAKAT KITA
Ini dapat dilakukan dengan mempraktikkan akhlak mulia sehingga dapat membangkitkan umat menuju kebaikan yang telah digariskan oleh Allah swt :
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah”. (QS Ali Imran : 110)
Maka fahamlah kita bahwa niali-nilai ‘Rabbani’ adalah mengikatkan diri kepada Tuhan dan ikatan ini tidak akan wujud kecuali dengan menjadikan Allah, Tuhan semesta alam berada dan hadir dalam berbagai keadaan.
Hakikat Nilai ‘Rabbani’ itu sendiri tidak akan hadir kecuali dengan perkara-perkara berikut :
1. Beribadah kepada Allah melalui kefahaman yang sempurna terhadap ibadah tersebut, iaitu menjadikan hidup dan mati, gerak dan diam hanya untuk Allah swt.
2. Tidak berbicara kecuali dengan apa yang diridhai oleh Allah.
3. Tidak bekerja dan berbuat sesuatu kecuali kerana Allah.
4. Tidak mengarahkan niat kita dalam ucapan dan perbuatan kecuali kerana Allah.
Dakwah yang berasakan nilai ‘Rabbani’ ini merupakan satu-satunya dakwah yang dapat memperbaiki umat dan mengembalikan kaum muslimin menjadi pemimpin dunia kerana dakwah ini berdiri di atas jalan Islam yang lurus dan sesiapa yang mengikuti jalannya, mereka tidak akan sekali-kali mengalami kesesatan.
"Sesungguhnya ‘Deen’ (pedoman hidup) yang benar di sisi Allah adalah Islam" (QS Ali Imran : 19)
Dasar dakwah kita adalah Islam dan kita bersandar, bersumber dan berjuang untuk Islam bagi meninggikan kalimatnya.
Tidak ada pedoman hidup yang dapat menandingi Deen Al-Islam. Kita hanya berpedoman kepada ajaran Islam dan hanya patuh pada syari’at Islam dan tidak akan rela memilih pedoman hidup selain Islam.
Allah swt memperingatkan kita :
"Siapa yang mencari ‘Deen’ (pedoman hidup) selain Islam, maka tidak akan diterima pedoman hidup itu. Dan dia di akhirat termasuk ke dalam golongan orang orang yang merugi". (QS Ali Imran : 85)
Dakwah yang berasaskan nilai ‘Rabbani’ adalah dakwah yang :
- Dimulai dengan niat yang ikhlas.
- Menggunakan manhaj atau sistem Allah.
- Bertujuan hanya kepada Allah.
Allah swt menegaskan :
"Katakanlah: inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru (manusia) kepada Allah di atas hujjah / keterangan (yang jelas). Dan Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk dari golongan musyrikin". (QS Yusof : 108)
Dengan hujjah atau keterangan yang jelas, maka dakwah yang berasaskan nilai ‘Rabbani’ tidak membenarkan kaedah ‘tujuan menghalalkan segala cara’.
Dakwah yang tidak dimulai dengan niat yang ikhlas, maka ia akan lenyap dan tidak mampu bertahan lama.
Dakwahnya itu akan berumur sepanjang niatnya yang tidak ‘lillah’ (kerana Allah).
Rasulullah saw menjelaskan dalam haditsnya :
"Tidak (diterima) amal-amal itu, melainkan menurut niat. Seseorang tidak akan dapat, melainkan apa yang ia niatkan. Lantaran itu barang siapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka pahalanya itu ialah (pahala amalan) kerana Allah dan RasulNya dan barang siapa berhijrah kerana dunia, nanti ia dapat dunia itu, atau kerana perempuan nanti ia kahwin dengan perempuan itu, (singkatnya) ganjaran hijrah itu menurut niat ia berhijrah". (HR Bukhari)
Imam Hasan Al-Banna berkata :
“Niat yang ikhlas adalah seluruh ucapan, perbuatan, ibadah, dakwah dan jihadnya semata-mata demi wajah Allah dan mengharap keridhaannya serta ganjaran baik, tanpa memandang keuntungan, kemasyhuran, kedudukan (kemuliaan), gelaran, kemajuan ataupun kemunduran. Dengan demikian, ia menjadi "pejuang fikrah dan aqidah", bukan "pejuang kepentingan dan cita-cita peribadi"”.
Allah swt mengingatkan di dalam Al-Qur’an :
"Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagiNya. Demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)". (QS Al An’aam : 162-163)
Dakwah yang bercirikan nilai-nilai ‘Rabbani’ ini adalah dakwah yang pernah dilaksanakan oleh generasi pertama Islam yang telah :
Dakwah yang bercirikan nilai-nilai ‘Rabbani’ ini adalah dakwah yang pernah dilaksanakan oleh generasi pertama Islam yang telah :
- Melepaskan manusia ketika itu dari terkaman dan perangkap sistem hidup jahiliyyah.
- Membebaskan manusia dari belenggu kebodohan dan penghambaan sesama manusia.
- Memuliakan manusia dengan hidayah iman dan Islam.
Dengan iman itu, mereka berdiri memimpin dunia, menyebarkan dan menyampaikan Islam ke seluruh dunia dengan dakwah ini sehingga sampailah Islam itu kepada kita.
Jika ada seorang muslim yang tidak ingin berdakwah dengan sistem ‘Rabbani’ yang berlandaskan ‘Deenul Haq’, maka sesungguhnya ia telah meninggalkan suatu kewajiban yang besar dan mengingkari keislaman dirinya kerana Islam sampai kepadanya lantaran dakwah ini.
Kaum muslimin ketika ini mesti menyedari bahwa Dakwah yang berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’ adalah dakwah yang mengajak umat untuk :
- Kembali kepada keaslian Islam yang murni dan sesuai dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya.
- Mengajak umat untuk memahami aqidah lslamiyyah secara jelas dan shahih.
- Menerangkan syari’at Islam dengan jelas, lengkap dan tepat kepada seluruh umat manusia.
Semuanya itu mesti dilakukan hanya untuk mencari ridha Allah bagi melaksanakan kewajiban dan memandu umat manusia.
Ianya BUKAN dakwah yang :
- Memperdebatkan masalah khilafiyyah.
- Mengajak manusia untuk fanatik terhadap golongan sendiri (ashabiyyah) dan mendewa-dewakan pemimpin.
Tetapi sebaliknya ia ADALAH dakwah yang :
- Membersihkan dan membina aqidah umat.
- Mencetak ‘syakhshiyah muslimah’ (peribadi muslim).
- Melahirkan ‘jundullah’ (tentera Allah) untuk melepaskan dan membebaskan umat dari meng-ilah-kan hawa nafsu dan manusia.
- Menegakkan ‘Al-Haq’ dan menghancurkan ‘Al-Bathil’.
Dakwah ini mesti mampu membangkitkan iman dan menjadikan umat merasa mulia dengan iman.
Menilai dakwah tidak hanya dari segi zahirnya dan bentuk formalnya semata-mata namun ia mesti dapat melihat motivasi dan aspirasi kerohanian yang ada di dalamnya yang pada hakikatnya merupakan inti untuk mencapai kejayaan dakwah itu sendiri.
Inilah rahsia misi dakwah yang berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’ yang pada kenyataannya belum benar-benar difahami oleh kaum muslimin.
Sesungguhnya di sebalik kenyataan-kenyataan yang kita lihat dalam misi dakwah itu terdapat kesan dinamik dan kekuatan batin yang :
- Menggerakkan.
- Mengawasi.
- Melahirkan kekuatan luar biasa.
sehingga misi dakwah dapat berjalan lancar dan inilah yang akan membangkitkan umat Islam untuk memperbaiki diri mereka.
Tanpa adanya faktor kebangkitan motivasi rohani, mustahil umat ini akan bangkit menghimpunkan diri dalam satu aqidah yang mantap untuk tegaknya ‘Deenul Islam’.
"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum, sehingga mereka merubah keadaan apa yang ada pada diri mereka sendiri." (QS Ar Ra’du : 11)
Oleh kerana itu, melalui dakwah yang berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’lah, kaum muslimin dapat menghimpun :
- Jiwa yang hidup, kuat dan sihat.
- Hati yang penuh kesegaran.
- Perasaan yang bersemangat dan berkobar-kobar.
- Jiwa-jiwa yang optimis yang merindukan nilai-nilai Islam dan tegaknya tujuan yang lurus.
sehingga semua itu berkumpul menjadi suatu aqidah lslamiyyah yang mantap.
Oleh yang demikian, nilai ‘Rabbani’ adalah rahsia untuk tetap berada dalam dakwah ini sekalipun angin taufan begitu kuat menghentam (ujian dan rintangan), bahkan ia merupakan rahsia untuk mampu merubah dunia yang dimulai melalui nilai-nilai ini.
Sekiranya musuh-musuh tahu akan perkara tersebut maka mereka akan mengerahkan tenaga mereka yang telah hilang dan harta yang telah binasa untuk menghalang usaha-usaha ini semata-mata kerana satu alasan iaitu menghancurkan nilai-nilai ‘Rabbani’.
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam Jahanamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan”. (QS Al Anfaal : 36)
Bahwa sesungguhnya dakwah ini sangat memerlukan peribadi yang mempunyai ciri-ciri ‘Rabbani’ yang mengikuti langkah dan jalan yang telah di gariskan oleh Nabi Muhammad saw.
Begitu juga, ianya sebagaimana yang telah dilakukan oleh Imam Hasan Al-Banna dengan :
1. Menyeru manusia untuk berjalan menuju Tuhan mereka.
2. Bersandar pada indahnya berkomunikasi dengan kekuatan kerohanian.
Oleh kerana itulah, asas misi dakwah ini adalah berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’ iaitu mengingatkan manusia untuk menjalin komunikasi dan hubungan yang erat dengan Allah swt.
Ya Allah, sesungguhnya dakwah yang berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’ ini adalah satu misi yang suci untuk mengembalikan semula hakikat pengabdian manusia kepadaMu. Berilah pertolongan kepada hamba-hambaMu yang ‘Rabbani’ yang memikul risalah suci ini walau di bumi mana mereka berada serta tetapkanlah kaki mereka di atas jalan ini dan limpahkanlah kesabaran kepada mereka sehingga mereka menemuiMu samada dalam keadaan syahid atau menikmati kemenangan DeenMu di atas muka bumi ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS