Islam telah melakarkan manhaj tarbawi yang menyatukan aqidah terlebih dahulu sebelum penyatuan sistem dan aktiviti-aktiviti lain. Ini disebabkan penyatuan perasaan mendahului penyatuan undang-undang dan sistem.
Pengertian yang agung dan mulia ini jelas kelihatan dalam setiap cabang amal Islam.
Manusia telah terbiasa untuk melihat kepada zahir atau bentuk luaran sesuatu dakwah. Mereka tidak mengendahkan aspek dorongan mental dan inspirasi ruh yang sebenarnya merupakan :
- Punca tenaga.
- Sumber kekuatan.
- Faktor kejayaan.
Hampir mustahil sesuatu umat boleh bangun tanpa kesedaran dan kekuatan jiwa.
Firman Allah swt :
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (QS Ar Ra'du : 11)
Oleh yang demikian, keutamaan dakwah kita ialah usaha menyedar dan menghidupkan akal, hati, perasaan dan jiwa.
Kita mahukan :
- Jiwa yang hidup.
- Hati yang sentiasa segar.
- Perasaan yang bersemangat.
- Akal yang faham.
- Ruh yang bercita-cita besar untuk mencapai idealisma dan objektif yang tinggi.
Semua itu kita impikan kerana kita mencontohi dakwah yang pertama iaitu dakwah Rasulullah saw. Tasawur kita perlu dirujukkan kepada zaman Rasulullah saw yang penuh dengan limpahan cahaya wahyu itu.
Sesungguhnya Rasulullah saw menyemai benih-benih iman ke dalam hati para sahabat baginda sehingga mereka :
- Merasa agung dengan risalah Islam.
- Merasa mulia dengan menganutnya.
- Merasa yakin dengan bantuan Allah swt.
Baginda menghidupkan perasaan-perasaan itu dalam hati para sahabat dan meletakkan objektif-objektif mereka dalam kehidupan ini. Daripada situ mereka bangkit bersama risalah yang tersemat di dada dan mushaf mereka, terjelma pada akhlak dan perbuatan mereka. Maka terbinalah satu kemajuan nilai dan tamadun akhlak yang agung.
Kekuatan dorongan perasaan dan kesedaran ruh yang mesti melimpahi jiwa manusia yang menjadi fokus dakwah kita seharusnya mempunyai kesan amali dalam kehidupan mereka. la juga mestilah didahului dengan satu kebangkitan amal individu, keluarga dan masyarakat.
Kebangkitan tersebut akan menjadikan seseorang individu itu contoh tauladan yang akan memberi kesan pada insitusi keluarga. Keluarga yang baik akan membentuk masyarakat yang baik. Masyarakat Islam ialah himpunan keluarga-keluarga yang menjadikan Islam sebagai manhaj kehidupan.
Islam tidak akan tertegak kecuali di atas bahu ‘rijal’ yang dihimpun oleh manhaj tarbiyah amali (manhaj tarbiyah yang membentuk pendukungnya untuk bekerja bukan semata-mata berteori dan berkata-kata semata-mata).
Mereka dipimpin oleh pemimpin yang bijaksana dan beriltizam dengan syariat Allah, sunnah RasulNya dan amalan para salaf. Peranan dan kerja mereka semua tersusun dalam sebuah jamaah.
Mereka bergerak dengan kuat dan penuh keazaman kerana didorong oleh aqidah, dipandu arah oleh tasawur ke arah perlaksanaan fikrah ke alam realiti.
Kesemua manhaj dan pengertian itu tidak dapat dilaksanakan dengan paksaan, tetapi hanya dengan tarbiyah secara perlahan-lahan yang menggabungkan di antara ilmu dan amal.
Itulah sebabnya antara tugasan Rasul saw. ialah seperti firman Allah swt :
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummmiyin, seorang rasul (Muhammad saw) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (daripada i’tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Qur’an) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syara’). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (QS Al Jumaah : 2)
MENCONTOHI DAKWAH YANG PERTAMA
Dakwah Ikhwanul Muslimin bukanlah suatu bid’ah tetapi ialah penerusan kepada dakwah yang pertama iaitu dakwah Rasulullah saw.
Ikhwan cuba untuk menghidupkan semula iman di hati dan jiwa umat agar ia lahir dalam tindak tanduk mereka. Jika mereka berbuat demikian nescaya pertolongan dan bantuan Allah akan bersama mereka. Oleh itu dorongan dalaman merupakan satu perkara penting yang tidak boleh dipandang ringan atau dilupakan kerana ia adalah faktor kejayaan asasi dakwah dan risalah ini.
Risalah ini ialah risalah yang akan :
- Memandu seluruh manusia kepada hidayah.
- Membimbing mereka kepada kebaikan.
- Menerangi alam dengan cahaya Islam.
Firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya; Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan la tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. la menamakan kamu ; "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kau pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.” (QS Al Hajj : 77-78)
PENGETAHUAN IMAM HASAN AL- BANNA
Imam Hasan Al-Banna telah mengetahui satu hakikat melalui pembacaan, kajian dan analisa sejarah kebangkitan serta tamadun umat manusia.
Oleh itu jelas kepadanya bahawa dakwah tidak akan dapat dijayakan tanpa ‘rijal’ mukmin yang kuat.
Beliau juga mengetahui bahawa membina ‘rijal’ sebegitu merupakan keutamaan yang mesti diberi perhatian oleh para pendakwah.
Ini tergambar dengan jelas dalam risalahnya bertajuk :
“Ke Mana Kita Seru Manusia” di bawah tajuk ; ‘Di Mana Kita Hendak Bermula’.
Beliau berkata :
"Proses membentuk umat, mentarbiyah bangsa, mencapai cita-cita dan memperjuangkan prinsip, memerlukan daripada kelompok yang mengusahakannya sekurang kurangnya kepada beberapa perkara :
a. Kemahuan yang kuat yang tidak disulami oleh erti kelemahan.
b. Kesetiaan yang tetap yang tidak dicemari oleh sifat hipokrit dan khianat.
c. Pengorbanan yang mulia yang tidak dibatasi oleh ketamakan dan kebakhilan.
d.Mengenali, mengimani dan memandang tinggi prinsip, yang menghindarkan mereka daripada kesilapan dan penyelewengan atau sikap tolak ansur dan tertipu dengan selainnya (prinsip).
Mana-mana bangsa atau sekurang-kurangnya para pemimpin atau pendakwah yang kehilangan keempat-empat sifat ini, maka mereka ialah golongan yang lemah yang tidak akan mampu berjaya dan mencapai impian. Mereka hidup dalam suasana mimpi, khayalan dan cita-cita kosong semata-mata.”
Allah swt berfirman :
“Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran (i’tiqad).” (QS Yunus : 36)
Ini merupakan undang-undang Allah dan amanahNya kepada makhluk dan kamu tidak akan sekali-kali menjumpai perubahan pada sunnahNya.
Melalui tarbiyah ini, individu akan menjadi seorang insan yang :
- Tidak mengejar nafsu syahwatnya.
- Tidak juga menjadikan harta dan kekayaan sebagai matlamat.
Sebagaimana firman Allah swt :
"Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan." (QS Al An'am : 162-163)
Tarbiyah sebenarnya merupakan topik yang penting dalam kehidupan mana-mana umat. Ia juga merupakan sebuah pelaburan di mana kejayaan pelaburan dalam bidang pembangunan sumber manusia akan memastikan kejayaan pelaburan dalam sektor-sektor lain.
Tanpa tarbiyah :
- Sesuatu umat tidak akan maju di atas dasar yang sahih.
- Akan berlaku kepincangan neraca dan nilai dalam semua lapangan kehidupan.
Hasil dari Tarbiyah Islamiah akan melahirkan individu muslim yang mempunyai sifat-sifat berikut :
- Bersikap positif terhadap kehidupan, tidak menyendiri atau melarikan diri daripada realiti dan tidak berpeluk tubuh.
- Mempunyai kemahuan yang kuat, mampu mengambil keputusan dan bertanggungjawab terhadap segala tindakannya setelah ia mengenali kebenaran.
- Mempunyai jiwa yang mendorongnya melaksanakan segala kewajiban terhadap diri sendiri dan masyarakat.
- Memiliki kebijaksanaan hasil pengalaman dalam pelbagai situasi kehidupan. Ia sentiasa memerhati, berfikir dan mencari hakikat. Mempunyai banyak ikhtiar untuk mencapai tujuannya.
- Sentiasa dahagakan ilmu walaupun dalam satu bidang.
- Bersikap realistik, boleh menerima hakikat kesilapan dan tidak mengharapkan ganjaran lebih daripada usaha yang dilakukannya serta bertawakkal kepada Allah.
- Tegas dan mulia. Tidak sekali-kali memandang mudah haknya dan tidak akan tunduk kepada kezaliman atau kekerasan. Tidak melakukan kewajipannya sambil lewa.
- Berjihad dengan fahaman jihad yang sahih dalam Islam. Memulakan jihad dengan mujahadah jiwa dan nafsu.
- Berakhlak. Seorang yang memiliki sifat sabar, berani, adil, faqih, lembut, penyayang, membantu orang lain, berbuat baik pada dua ibu bapa, menghubungkan silaturrahim, setia dengan janji, bertolak ansur, tawadhuk, melakukan amar makruf nahi mungkar, menyatakan kebenaran dan tidak memandang kepada perkara yang remeh temeh.
Secara sepintas lalu, kelihatan semua sifat itu amat sukar dilaksanakan, tetapi sebenarnya ianya mudah jika seseorang itu beriltizam dengan tarbiyah.
Begitulah jelas kelihatan peranan tarbiyah dalam membentuk individu serta ciri-ciri tarbiyah Islamiyah yang sepatutnya ada pada orang-orang Islam, tanpa meniru mana-mana falsafah dan pemikiran barat atau timur.
GARIS PANDUAN PROSES TARBIYAH
PERTAMA :
Tarbiyah mestilah bersifat realistik dan berperingkat-peringkat. Dengan penekanan kepada kesyumulan tasawur dan kemantapan matlamat tanpa ada unsur-unsur juz'ie dalam tasawur.
Ianya merupakan fasa amali menghadapi realiti sekeliling di mana proses pentarbiyahan perlu mengambil kira dua faktor iaitu faktor suasana yang melingkungi dan faktor kemampuan yang di miliki bagi menjamin untuk sampai kepada objektif yang terakhir.
KEDUA :
Setiap aktiviti dan amal tarbawi mestilah mempunyai hubungkait secara langsung dengan matlamat dan objektif-objektif jamaah.
Matlamat kita ialah Allah swt. Objektif amali ialah menegakkan Daulah Islam melalui tarbiyah dan pembentukan generasi baru yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sahih dan melaksanakannya sebagai manhaj kehidupan dalam segenap bidang.
Individu perlu menghayati objektif ini dalam aktiviti-aktiviti peribadi dan jamaah. Dalam rangka inilah akan ditentukan jenis aktiviti dan amal tarbawi yang dituntut, begitu juga dengan uslubnya.
KETIGA :
Mengenalpasti peringkat dakwah untuk menetapkan uslub tarbiyah. Kalau di Makkah, uslub tarbiyah yang keras untuk menghadapi ujian tekanan, qiamullail untuk membina keperibadian. Manakala di Madinah, masjid telah memainkan peranan sebagai pusat ta’arif, ta’alim, tarbiyah dan perlaksanaan di samping pemantapan ukhuwah.
KEEMPAT :
Memelihara kaedah-kaedah ilmu usul seperti mendahulukan penolakan mudharat ke atas pengambilan maslahat, melepaskan maslahat yang lebih kecil, menanggung mudharat yang lebih ringan. Semuanya itu dapat mengawal semangat dan aktiviti individu agar tidak membelakangkan saf dalam melaksanakan kewajipannya.
KELIMA :
Wasilah perubahan ialah individu. Individu hendaklah memperbaiki dirinya sambil mengajak orang lain melakukannya.
TUMPUAN KERJA-KERJA PERUBAHAN
PERTAMA :
Merubah fahaman dan pendapat umum dengan cara menyebarluaskan fikrah dan menghimpun penyokong.
KEDUA :
Mentarbiyah pengikut dan pendukung dakwah serta membentuk kelompok teras yang menjadi tunjang kepada masyarakat Islam.
Natijah daripada kerja-kerja ini akan kelihatan apabila :
- Fikrah tersebar luas dalam masyarakat.
- Kelompok teras menjadi semakin ramai.
- Wujudnya kekuatan aqidah dalam diri pengikut dan pendukung dakwah.
- Jalinan ukhuwah yang semakin mantap.
Perlu kita sedari bahwa langkah-langkah ini telah ditentukan. Ia ibarat tangga yang dimulakan dengan penekanan aspek Islam dan diakhiri dengan ihsan merentasi iman dan taqwa.
Para murabbi mestilah :
- Memanfaatkan potensi anak didik mereka.
- Membangkitkan ‘himmah’.
- Membersihkan jiwa dan mendorong ke arah mencapai mercu ihsan.
Manusia pada kebiasaannya seolah-olah berjalan atau berlari dalam usaha mencapai objektif mereka. Tetapi dalam Islam kita menjumpai orang-orang yang boleh menjangkau jarak yang begitu jauh dengan cepat sekali seperti mana firman Allah swt :
“Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.” (QS Al Mukminun : 61)
Ianya adalah suatu perlumbaan dan pertandingan.
‘Intima'’ (penggabungan) pada Islam bererti menuruti amal yang telah disusun atur manakala beriman dengan Allah pula bererti meyakini kewajiban amal dan merasai bahwa setiap amalan diperhatikan oleh Allah swt dan itulah makna taqwa manakala Ihsan pula ialah daya kreativiti dalam setiap amalan yang dilakukan oleh insan berdasarkan nash dari Rasulullah saw :
"Sesungguhnya Allah swt. menyayangi seseorang di antara kamu melakukan amalan dengan tekun".
Perkara ini memerlukan kita beriltizam dengan tuntutan manhaj tarbawi agar kita mampu mencapai objektif yang dicita-citakan setelah kita memiliki individu yang telah menyerahkan diri dan potensi yang dimilikinya untuk agama ini.
Firman Allah swt :
“Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).” (QS Al Insyiqaq : 6)
Ustaz Mustafa Masyhur berkata di dalam kitabnya; Jalan Dakwah, Antara Keaslian Dan Penyelewengan :
“Sesungguhnya individu muslim merupakan batu bata asas kepada binaan sama ada keluarga, masyarakat atau negara Islam. Sedalam mana tarbiyah yang diperolehi oleh individu, semantap itulah kekuatan binaan tersebut. Apa-apa kekurangan yang berlaku pada tarbiyah individu akan melemahkan asas binaan, seterusnya binaan itu boleh runtuh, serta merta atau lambat laun”
Manakala Muhammad Ahmad Ar Rasyid pula berkata di dalam kitabnya ‘Al Masar’ :
“Oleh yang demikian, mesti wujud satu rentang masa khusus bagi penekanan tarbiyah dan pembinaan; kerana usaha tarbiyah boleh menjamin kesejahteraan perjalanan amal dalam langkah-langkahnya yang telah ditetapkan, jauh daripada penyelewengan, menghindarkan fitnah dan ketidakmatangan, gopoh atau terburu-buru. Tarbiyah merupakan garis panduan syariat dan sunnah amaliah, yang mendidik para sahabat yang telah mengasaskan negara Islam.”
IMAN SEBELUM SISTEM DAN STRUKTUR
Sesungguhnya kehidupan Islam tidak mampu ditegakkan oleh nash-nash, sistem-sistem dan struktur struktur semata-mata tetapi ia hanya tertegak dengan usaha orang-orang yang beriman, yang sanggup berkorban untuknya dan bekerja untuk mencapai objektif-objektifnya.
Undang-undang Islam tidak akan mampu melakukan apa-apa perubahan tanpa :
- Kehadiran jiwa-jiwa yang berkobar-kobar.
- Kelompok yang beribadah dengan perlaksanaan undang-undang tersebut.
Itulah hakikat istiqamah sebagaimana firman Allah swt :
“Serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu.” (QS As Syura : 15)
Oleh sebab itulah Umar bin al-Khattab berpesan kepada bala tenteranya agar bertaqwa sebelum pertempuran.
Beliau berkata :
"Perkara yang paling aku takuti ke atas kamu ialah dosa, sesungguhnya dosa tentera lebih menakutkan daripada musuhnya".
Abu Darda' juga pernah berkata :
"Wahai manusia, amalan soleh sebelum peperangan, sesungguhnya kamu berperang dengan menggunakan amalan kamu".
Fudhail bin 'lyad pernah berpesan kepada para mujahidin sebelum mereka keluar ke medan :
"Kamu mestilah bertaubat, kerana taubat mempertahankan kamu daripada apa yang tidak mampu dipertahankan oleh pedang".
Hakikat inilah juga yang menyebabkan Imam Ahmad bin Hanbal, apabila melihat orang-orang yang ‘thiqah’ dipinggirkan manakala mereka yang terdiri dari golongan yang tidak dikenali, tidak layak dan ahli bid'ah diberi jawatan, beliau berkata :
"Jika kamu melihat pada hari ini sesuatu yang adil, maka kagumilah. Namun apabila hawa nafsu mula mengambil peranan iman sebagai neraca, maka dikatakan kepada lelaki itu apa yang logik padanya, apa yang menarik padanya dan apa yang mengkagumkannya, sedangkan hatinya tidak beriman walau sebesar biji sawi."
HAKIKAT PERJALANAN DAKWAH
Perjalanan dakwah dan aktiviti harakah mempunyai fasa-fasa dan peringkat-peringkat. Setiap peringkat menghubungkan peringkat seterusnya.
Oleh itu Imam Hasan Al-Banna telah menggariskan peringkat-peringkat ta’arif, takwin dan tanfiz. Beliau juga telah menetapkan langkah-langkah, objektif-objektif dan strategi-strategi iaitu
dengan :
- Membina individu muslim qudwah.
- Menbina rumahtangga muslim berasaskan taqwa.
- Membina masyarakat Islam yang menunjangi dakwah.
- Membina kerajaan Islam di semua peringkat, serantau dan antarabangsa.
- Membina keunggulan sebagai 'Ustaziatul Alam' atau contoh tauladan umat.
PERINGKAT TA’ARIF
Peringkat ini mempunyai wasilah-wasilahnya seperti :
- Kelas pengajian.
- Ceramah.
- Forum.
- Seminar.
- Risalah.
- Suratkhabar.
- Majalah.
- Sekolah.
- Hospital.
- Kelab sukan.
- Institusi ekonomi.
- Perkhidmatan sosial.
PERINGKAT TAKWIN
Peringkat ini juga mempunyai wasilahnya yang tersendiri seperti :
- Qiyamullail.
- Puasa.
- Zikir.
- Mukhaiyyam.
- Rehlah.
- Riadhah.
Kesemuanya merupakan wasilah untuk memantapkan sifat aktivis dakwah seperti :
- Faham.
- Ikhlas.
- Amal.
- Jihad.
- Pengorbanan.
- Ukhuwah.
- Taat.
- Thiqah.
- Tajarrud.
- Thabat.
serta pelbagai sifat lain yang akan melahirkan ‘rijal’.
Imam Hasan Al-Banna tidak berpada dengan kekuatan aqidah dan tarbiyah individu, malah beliau turut memberi perhatian yang berat kepada kekuatan kesatuan dan ukhuwah di kalangan aktivis dakwah sepertimana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah saw iaitu dengan mempersaudarakan golongan muhajirin dan ansar.
Ukhuwah amat penting di sepanjang jalan dakwah dan aktiviti harakah serta jihad. Ia tidak memberi ruang kepada musuh untuk menyelinap masuk ke dalam saf.
Firman Allah swt :
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (QS As Saff : 4)
Oleh sebab itulah Imam Hasan Al-Banna telah menjadikan ukhuwah sebagai salah satu rukun bai’ah. Ukhuwah merupakan tarbiyah dan ikatan yang akan meninggalkan kesan dan hasilnya.
Jika kita di kalangan mereka yang serius dalam perkara ini, niscaya :
- Allah swt akan menetapkan kaki-kaki kita ketika menyusuri jalan ini.
- Hati-hati kita akan dihiasi dengan iman dan benci kepada kekufuran dan kefasikan.
- Kita akan mendapat petunjuk daripadaNya yang mana ianya ialah kelebihan dan nikmat Allah kepada kita.
- Hati-hati kita akan berkumpul dan bertemu untuk mentaatiNya, bersatu untuk memikul dakwahNya dan berjanji untuk memenangkan syariatNya.
- Kita dan saudara-saudara kita akan tergolong di kalangan mereka yang mengimani keagungan dakwah dan kemuliaan fikrah ini.
Sesungguhnya mereka inilah orang-orang yang benar-benar berazam untuk mati dan hidup di atas jalan dakwah ini di mana akan terserlahlah dalam diri mereka sifat-sifat mujahidin sama ada dalam akhlak atau perilaku sebagaimana firman Allah swt :
"Engkau sahaja (ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami meminta pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.” (QS Al Fatihah : 5-7)
Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di atas jalan Tarbiyah kerana ianya adalah asas perubahan kepada individu dan masyarakat serta jalan ke arah kemenangan Islam yang hakiki. Kurniakanlah kefahaman yang benar dan mendalam kepada kami terhadap jalan Tarbiyah ini sehingga kami mampu membawa bersama-sama kami dalam menyebarkan dakwah ini kepada manusia dan akhirnya manusia yang menerima seruan ini akan mengubah jiwa, pemikiran dan matlamat mereka ke arahMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS