Berbagai teori atau gagasan telah digali serta dijadikan sebagai acuan atau rujukan untuk mewujudkan perubahan manakala setiap orang samada mereka para pemimpin, ahli politik, pendidik, peniaga atau sesiapapun pasti memiliki impian untuk mewujudkan PERUBAHAN dalam hidupnya.
Selain itu, terdapat sebegitu banyak tulisan atau buku bahkan pengalaman para pembicara dalam berbagai seminar, kursus dan latihan yang semuanya telah memperkayakan khazanah keilmuan ke arah perubahan yang diimpikan.
Namun, apakah kita mendapatkan kesan yang konkrit dari semua itu?
Percayalah, jika kita tidak merasakan apa-apa, ianya bukanlah disebabkan oleh teorinya yang telah gagal atau tidak berkesan namun kemungkinan penyebabnya adalah kerana kita masih terjebak dalam menghadapi sesuatu situasi itu dengan cara yang lama atau yang biasa kita lakukan.
Jika kita ingin memahami dengan lebih jauh tentang perubahan, kita perlu meneliti beberapa rahsia perubahan yang akan memberi kefahaman yang lebih tepat tentang isu perubahan.
PERTAMA :
Perubahan itu mestilah bermanfaat dan akan mendatangkan kemaslahatan yang lebih nyata dan luas kepada lingkungan di mana perubahan itu ingin diwujudkan.
Jika kita merancang atau melakukan perubahan, maka perkara utama yang mesti ada dalam fikiran kita adalah unsur manfaat. Kita mesti mampu meyakinkan bahkan menghadirkan manfaat secara nyata dari apa yang kita rancangkan.
Mengapa?
Ini adalah kerana, tidak sedikit teori hanya tinggal teori yang berada dalam diri seseorang seperti telur ayam yang diam tidak melakukan apa-apa di reban ayam.
KEDUA :
Perubahan mestilah menjangkau keperluan masa kini dan masa depan manusia. Yang tidak kalah pentingnya adalah kita mesti mampu membawa perubahan yang kita rancangkan atau lakukan itu pada usia keperluan manusia.
Hanya dengan cara begitu, orang akan merasakan bahwa kehadiran perubahan yang kita lakukan memenuhi keperluan mereka; bukan sekadar untuk satu tempoh tertentu, bahkan untuk suatu waktu yang cukup lama.
KETIGA :
Perubahan mestilah menyentuh keperluan peribadi atau individu manusia secara langsung.
Percayalah, tidak ada perubahan yang hakiki yang benar-benar mengubah kenyataan tanpa adanya perubahan pada individu. Perubahan pada individu bukan sahaja sebagai sumber utama perubahan tetapi juga sebagai langkah yang berkesan dalam mewujudkan perubahan.
Dalam konteks peradaban, kita biasa membaca sejarah bagaimana Nabi Muhammad saw menjadi tenaga kepada perubahan yang hebat di Madinah.
Apakah penyebabnya?
Sesungguhnya isu perubahan masih menjadi slogan utama kepada setiap Gerakan Islam dan kepada parti-parti politik pula mereka mengangkatnya sebagai suatu komoditi politik.
Bagi kita sebagai aktivis dakwah, semangat perubahan mesti sentiasa melekat kepada diri kita kerana Gerakan Dakwah adalah gerakan yang membawa agenda perubahan.
Perubahan di sini bukanlah semata-mata perubahan yang biasa tetapi perubahan ke arah peningkatan kualiti samada kualiti :
- Kemanusiaan.
- Keimanan.
- Keislaman.
Oleh itu sesebuah Gerakan Perubahan itu juga membawa misi Gerakan Pengislahan kerana perubahan yang sebenar adalah menuju kepada yang :
- Lebih bermanfaat.
- Lebih baik.
Maknanya ia juga adalah sebagai Gerakan Pengislahan.
Aktivis dakwah dituntut untuk mampu menyerapkan diri mereka dalam masyarakat dan menempatkan dirinya sebagai anasir perubah. Harapannya adalah setiap aktivis dakwah perlu menjadi agen perubah.
Aktivis dakwah adalah agen perubah di mana dalam usaha melakukan perubahan tentunya bukan perubahan menurut hawa nafsu, keinginan atau seleranya tetapi perubahan-perubahan yang berlandaskan sumber ‘rabbaniyah’.
Asas perubahan yang paling mendasar adalah ‘islah’ yang rabbani, iaitu perubahan yang sentiasa bermula dari diri manusia itu sendiri.
Seluruh perubahan, samada perubahan dari buruk ke arah yang baik atau dari baik ke arah yang buruk adalah tetap berasal dari faktor manusianya. Itu adalah merupakan konsep yang telah ditetapkan di dalam Al Qur’an.
Jika dari baik berubah menjadi buruk, kita boleh lihat dalam firman Allah berikut :
"Yang demikian (siksaan) itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkanNya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (QS Al Anfaal : 53)
‘Nikmatan’ dalam ayat di atas bererti kebaikan iaitu kebaikan yang diberikan sebagai sifat kepada suatu bangsa atau suatu umat sehingga mereka merubah ciri-ciri dan karakter diri mereka.
Ini adalah kerana kebaikan, untung baik atau kenikmatan berkait langsung dengan usaha-usaha manusia yang ke arah mewujudkan akhlak yang baik.
Kenapa kita boleh hidup aman, damai, tenteram dan sejahtera?
Ini adalah kerana dalam masyarakat ini adanya individu-individu yang mempunyai akhlak terpuji.
- Jika ‘amanah’ ini berubah menjadi ‘khianat’, maka malapetakalah yang akan muncul.
- Jika ‘istiqamah’ itu berubah menjadi ‘nifaq’, maka kerosakanlah yang akan muncul.
- Jika ‘kemurahan hati’ berubah menjadi ‘bakhil’, maka ramailah manusia-manusia yang benar-benar memerlukan terlantar dan tidak dipedulikan.
Jadi, pokok pangkal perubahan dari kenikmatan menuju kepada malapetaka adalah ‘maa bianfusihim’ (Apa yang ada di dalam diri manusia itu sendiri).
Malapetaka akan muncul jika :
- Amanah berubah menjadi khianat.
- Sifat istiqamah berubah menjadi ‘nifaq’.
- Ciri pemurah berubah menjadi bakhil dan kikir.
- Perilaku benar berubah menjadi pembohong.
- Perilaku Islam berubah menjadi jahiliyah.
- Iman berubah menjadi kufur.
Semuanya adalah sumber perubahan nikmat kepada bencana.
Begitu juga nasib buruk yang menimpa suatu bangsa, suatu kaum atau suatu umat, pangkal perubahannya mesti dimulai dari ‘Apa yang ada di dalam diri mereka sendiri’ sepertimana yang tercatat dalam Al Qur’an :
"Sesungguhya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum, hingga mereka mahu merubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri". (QS Ar Ra’d : 11)
‘Maa’ ini bererti nasib, maka ‘maa biqaumin’ adalah nasib suatu kaum. Maka nasib buruk suatu kaum tidak akan berubah sehingga kaum itu merubah ciri-ciri atau karakter-karakter buruknya dari :
- Khianat menjadi amanah.
- Nifaq menjadi istiqamah.
- Bakhil menjadi pemurah.
- Pembohong menjadi benar.
- Jahiliyah menjadi Islamik.
- Kufur menjadi iman.
Konsep rabbani ini adalah konsep yang paling bijaksana kerana ianya merubah hakikat diri manusia itu sendiri.
Kita tidak ingin :
- Melakukan perubahan dengan mengorbankan akhirat kita.
- Memperbaiki kehidupan dunia kita dengan mencabik-cabik agama kita.
kerana ini akan mengakibatkan dunia yang kita kejar tidak kita perolehi dan dalam masa yang sama ‘Deen’ yang kita perjuangkan hilang begitu sahaja. Itu bukanlah manhaj kita.
Hendaklah kita sedari bahwa harakah ini bukanlah harakah ‘tempelan’ tetapi kita adalah ‘Harakah Islahiyah’ iaitu Gerakan yang akan membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat.
Gerakan perubahan yang ingin kita wujudkan di tengah-tengah masyarakat adalah di mana :
- Landasannya rabbani.
- Konsepnya juga rabbani.
- Sumber inspirasinya tetap rabbani.
Walaubagaimanapun objek dan langkah-langkah kerjanya masih bersifat ‘fitri’ (fitrah).
Maka oleh sebab itu, prinsip rabbani mestilah diikuti dengan prinsip yang fitrah.
Perubahan yang diasaskan di atas konsep Islam memiliki karakteristik khas bagi mengangkat kemuliaan dan martabat manusia.
KARAKTERISTIK PERTAMA : MEMELIHARA DAN MENJAGA KEHORMATAN DAN KELEBIHAN MANUSIA
Karakteristik ini mesti dipelihara agar jangan sampai manusia terjatuh dan rosak serta kehilangan kemanusiaannya.
Jika ini sudah berlaku, maka Allah swt menyebutnya sebagai ‘ulaaika kal an'am’, ertinya manusia kehilangan kemanusiannya lalu bersikap kebinatangan bahkan lebih sesat dari binatang (‘Bal hum adhol’).
Ini adalah kerana, jika harimau masuk ke habitat penternakan, paling tidak yang diambil cuma seekor kambing tapi, jika manusia berjiwa harimau, bukan hanya seekor kambing yang diambil tetapi seluruh ternakan, kompleks dan orang-orangnya diambil sekaligus.
Allah swt berfirman :
‘Walaqad karramnaa banii aadam’, “Sudah kami muliakan bani Adam.”
Bahkan seiring dengan itu, ‘Warazaqnaahum minath thayyibat’, “ Diberikan rezeki (kemudahan-kemudahan) yang baik-baik.”
Kemudian diberikan keunggulan, ‘Wa fadholnaahum 'alaa katsiirin mimman khalaqna tafdhilaa.”
Oleh yang demikian, segala kehormatan dan kelebihan yang diberikan kepada manusia semuanya mesti kita pelihara dan pertahankan sehingga jangan sampai manusia terjerumus kepada kehidupan yang bercirikan sifat kebinatangan.
Perubahan, selain ianya bersifat rabbaniyah, ia juga adalah bersifat fitrah. Perubahan yang diinginkan tetap melihat sisi kemanusiaan manusia termasuk kehormatan manusia yang sering diperjuangkan oleh para aktivis wanita, walaupun sebenarnya dalam Islam, itu sudah termasuk ke dalam kategori isu-isu perubahan yang sepatutnya kita pikul.
Landasan yang ‘rabbani’ adalah langkah tepat untuk memelihara kehormatan dan kelebihan yang dikurniakan kepada manusia.
KARAKTERISTIK KEDUA : MEMELIHARA KEPENTINGAN-KEPENTINGAN MANUSIA
Seluruh syariat Allah yang diturunkan kepada rasul-rasulNya adalah bukan semata-mata untuk memelihara kehormatan manusia tetapi juga bagi kepentingan manusia sebagai manusia, termasuk kehormatan dan kepentingannya yang dijamin.
Oleh yang demikian, perubahan yang dilakukan itu tidak boleh mengorbankan kehormatan dan kepentingan manusia atas nama :
- Pembangunan.
- Kemajuan.
- Pemodenan.
Manusia di sini bukan hanya muslimin dan mukminin tetapi termasuk juga pemeluk-pemeluk agama lain di mana perubahan itu mestilah mampu memberikan jaminan kehormatan dan kepentingan mereka juga.
Dal
am hal ini, ada lima (5) hak yang perlu diperhatikan.
PERTAMA : HAK UNTUK HIDUP
Seluruh makhluk Allah mempunyai hak untuk hidup di bumi selagimana ianya tidak merosakkan kehidupan mahkluk yang lain. Jika ianya merosakkan kehidupan makhluk yang lain seumpama berlakunya kezaliman maka ada hukum syar'ie yang akan mencabut hak kehidupannya.
Namun dalam keadaan normal, setiap makhluk Allah mempunyai hak untuk hidup termasuk orang-orang beriman, orang kafir atau orang musyrik.
Kefahaman seperti ini sangatlah penting di mana ianya bukanlah sebahagian dari kefahaman pluralisma kerana Allah swt menciptakan makhluk itu tidak seragam, termasuk dalam pemikiran dan keyakinannya.
KEDUA : HAK BERAGAMA MELIPUTI HAK KEROHANIAN, HAK KEYAKINAN DAN HAK BERIBADAH.
Semua ini tidak boleh terhakis oleh perubahan, malah ianya mesti diakui kewujudannya, dijaga dan diamankan oleh gerakan perubahan.
Hak beragama ini termasuklah protokol-protokolnya, kemudahan-kemudahannya serta ritual-ritualnya dan bukan hanya sebatas keyakinan.
Dalam surah Al-Hajj, Allah swt menyebut:
“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (QS Al Hajj : 40)
Di sini kita lihat, perlu wujudnya sunnah saling mencegah untuk memelihara kewujudan wasilah-wasilah komunikasi dengan Allah walaupun wasilah itu dari segi aqidahnya salah. Ini termasuk gereja-gereja (Shawami'u) dan sinagok-sinagok (Wa biya'un).
Kenapa Islam mengakui keberadaan agama-agama lain walaupun tidak mengakui kebenarannya. Ini adalah kerana dalam agama-agama itu terdapat semangat berkomunikasi dengan pencipta (Al Khaliq), walaupun caranya salah.
Ertinya, di sini ada yang bertuhan di mana secara kerohaniannya ada pengendalian. Jika semangat kerohanian ini tidak wujud sama sekali, manusia akan lebih cenderung berubah menjadi binatang.
Oleh kerana itu, Islam memelihara dan melindungi hak-hak kerohanian ini kerana ini tiada kaitan dengan permasaalahan agama kerana hubungan komunikasi kerohanian itu mestilah secara sukarela dan ikhlas.
Mari kita menghimbau ucapan Umar bin Al Khattab ra kepada ‘Amru bin Al ‘Ash yang juga merupakan gabenor Mesir di mana ucapannya berupa keterangan yang berisi deklarasi hak-hak asasi manusia dari ‘Khalifah Rasyidah’ dengan mengatakan :
"Wahai 'Amru! Sejak bila kamu memperhambakan manusia, padahal mereka dilahirkan dalam keadaan merdeka?"
Kalimah di atas tidak ditujukan kepada mukminin sahaja kerana lafaz ‘Naas’ itu jelas untuk seluruh manusia. Ini menjadi salah satu ketetapan hak asasi manusia.
Kalimah ini diucapkan oleh Umar ketika pembelaan dan perlindungan beliau kepada seorang pemuda Qibti yang dizalimi oleh anak gabenor Mesir iaitu ‘Amru bin Al ‘Ash ketika perlumbaan ketangkasan berkuda.
Dalam perlumbaan itu, pacuan pemuda Qibti itu lebih lincah dan laju sehingga dapat mengalahkan anak gabenor yang Muslim. Anak gabenor itu tidak mahu menerima kekalahannya lalu punggung pemuda Qibti itu dipukul dengan mengatakan, "Eh, ke belakang kamu, jangan mendahului aku!"."Ana ibnu akramiin" (Saya anak orang yang mulia, anak gabenor).”
Ini adalah sebuah detik sejarah yang sangat luar biasa di mana seorang pemuda Qibti di bawah Khilafah Islamiyah menyedari haknya sebagai warga negara dan berkeyakinan bahwa dia akan dilindungi oleh pemerintahan Islam lalu ia terus mengadu secara terus kepada khalifah Umar yang akhirnya memanggil ‘Amru bin Al Ash dan anaknya untuk membetulkan keadaan.
KETIGA : HAK INTELEKTUAL
Setiap manusia mempunyai :
- Pemikiran berbeza.
- Idea berbeza.
- Cita-cita berbeza.
- Keinginan berbeza.
Itu adalah hak kemanusiaan yang paling asas yang mesti dijaga dan dipelihara supaya sifat dinamik akal manusia itu terjamin.
Hak intelektual ini penting termasuklah dalam melaksanakan ‘syura’ dalam Islam.
Jika pemikiran itu diseragamkan, mungkin tidak banyak kemajuan berfikir yang boleh dihasilkan. Biarkanlah pemikiran, idea serta cadangan bernas itu berinteraksi dalam proses syura yang akhirnya akan terbentuk menjadi suatu keputusan bersama.
Menjaga dan memelihara hak intelektual ini adalah sangat penting dan tidak boleh dihapuskan kerana ianya berkait juga dengan hak ideologi, hak pengeluaran idea, hak pemilikan konsep serta hak pemikiran walaupun sebenarnya dalam konteks sesebuah organisasi, hal tersebut dikelolakan dalam ‘syura' yang dibentuk dalam suasana hikmah kebijaksanaan dan akhirnya menghasilkan keputusan-keputusan bersama. Inilah yang disebut ‘Al ‘Azmu’ (Tekad bersama)
‘Wa syaawirhum fil amr’. Tidak ada musyawarah kalau sudah ada satu pendapat tetapi kalau sudah menghasilkan kesepakatan bersama, hendaklah kita bertawakkal dan berserah kepada Allah.
Rasulullah pernah ditanya :
“Wamal 'Azmu Yaa Rasulallah? (Apakah tekad bersama itu wahai Rasulullah?)
Rasulullah saw menjawab :
"Al-Azmu Masyuurah" (Tekad bersama itu hasil musyawarah).
Oleh yang demikian, tidak boleh wujud penghapusan atau pembasmian hak-hak intelektual kerana ianya adalah sebahagian dari hak-hak akal.
KEEMPAT : HAK EKONOMI
Ini berkaitan dengan jaminan hak-hak ekonomi meliputi :
- Hak untuk menjalankan perusahaan.
- Hak akses terhadap permodalan.
- Hak akses terhadap sumber alam semulajadi.
- Hak untuk mengeksplorasi sumber ekonomi.
- Hak untuk mengeksploitasi sumber ekonomi.
Semua ini adalah hak kemanusiaan yang mesti dijamin di negara manapun dan oleh kelompok manapun, apalagi oleh gerakan dakwah.
KELIMA : HAK SOSIAL
Hak sosial ini meliputi :
- Hak untuk bersuami dan beristeri.
- Hak untuk beranak.
- Hak untuk berumah tangga.
- Hak untuk hidup berjiran tetangga dengan rukun dan damai.
Selain itu, ada lagi hak-hak sosial yang lain termasuk :
- Hak berorganisasi.
- Hak berkumpul secara aman.
- Hak bermasyarakat.
- Hak menubuhkan yayasan.
Itulah di antara tiang-tiang utama pembentukan masyarakat dalam Islam iaitu terpeliharanya lima perkara tersebut iaitu hak hidup, hak beragama, hak intelektual, hak ekonomi dan hak sosial.
Dalam perlaksanaan gerakan perubahan itu, tidak boleh ada pembasmian atau penghapusan terhadap hak-hak tersebut kerana gerakan perubahan mestilah menjamin, memelihara dan mengamankan hak-hak Islamiyah ini yang juga termasuk dalam istilah ‘Al maqashidus Syariah Al Khamsah’ (tujuan-tujuan syariah yang lima).
KARAKTERISTIK KETIGA : BERSIFAT SEMPURNA, LENGKAP DAN MENYELURUH
Gerakan perubahan dalam Islam adalah gerakan yang bersifat sempurna, lengkap dan menyeluruh serta menyentuh semua bidang dan bukan hanya bertumpu kepada bidang pendidikan dan pembentukan syakhsiyah semata-mata tapi juga menerobos ke bidang budaya, seni, teknologi, informasi, ekonomi dan lain-lain di mana semua bidang kehidupan ini mestilah tersentuh oleh arus perubahan dan tidak boleh ada bidang yang tertinggal atau ditinggalkan.
Sesuatu perubahan mestilah juga menyentuh semua hak-hak, semua kegiatan dan semua bidang kehidupan termasuk bidang pertanian, perikanan, nelayan, pendidikan, buruh dan sebagainya. Inilah perubahan yang perlu dilakukan.
KARAKTERISTIK KEEMPAT : WUJUDNYA KESEPADUAN
Kebiasaannya, kehidupan politik akan disepadukan dengan kegiatan ekonomi, pendidikan, budaya, kebajikan dan sebagainya sehingga, jika wujudnya demokrasi dalam politik, maka ini bererti akan wujudnya demokrasi dalam ekonomi, pendidikan, budaya seterusnya di dalam bidang kehidupan yang lain kerana perubahan yang kita laung-laungkan adalah demokrasi dan mesti menyentuh segala bidang kehidupan secara bersepadu.
KARAKTERISTIK KELIMA : BERTAHAP ATAU BERANSUR-ANSUR
Kita yakin bahwa sesuatu perubahan itu tidak boleh dilakukan secara sekaligus, malah ianya mestilah secara bertahap dan beransur-ansur bermula dari objek manusianya iaitu dari peribadi kepada keluarga, masyarakat dan kemudiannya negara.
Jadi perubahan yang dilakukan itu mestilah bertahap samada dari objeknya atau dalam waktunya juga.
Manusia sebagai individu biasanya menjadi dewasa setelah berumur 25 tahun. Begitu juga walaupun kita kagum terhadap pencapaian pemain bola sepak dunia misalnya, ini bukanlah bererti kita memaksakan anak-anak kita agar memiliki kaki yang besar dahulu supaya ia kuat menendang bola. Sudah tentu perkara ini akan menjadi tidak seimbang dengan pertumbuhan badan dan tangannya.
Biarkan ia tumbuh dan berkembang secara bersama, bertahap dan seimbang sehingga tidak perlu dipaksakan untuk melakukan lompatan jauh ke depan.
Akhirnya, perubahan bukanlah suatu teori yang :
a. Sukar.
b. Panjang.
c. Berat.
Bahkan perubahan adalah suatu perkataan yang mudah yang hanya akan terwujud jika kita sendiri yang segera mewujudkannya.
Mungkin kita boleh mulakan :
1. Dengan diri kita dahulu.
2. Dengan yang kecil dahulu.
3. Dari saat ini juga.
Keputusan itu ada pada diri kita samada kita mahu menjadi pengendali perubahan atau pelaku utama yang mewujudkan impian kita atau justeru sebaliknya di mana kita menjadi musuh utama diri kita sendiri yang menjadi penghalang kepada perubahan itu sendiri.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS