Ramadhan sentiasa memberikan kesan indah, penuh pesona dan sentiasa
menggores kenangan yang tidak mudah dilupakan apalagi jika ianya dipandang dari
sudut keimanan.
Cuba pandang kepada gambaran berikut :
1. Lihatlah tubuh-tubuh yang secara fizikalnya nampak begitu lemah,
namun kekuatan ruhani ketaqwaan begitu menyerlah memancar sinarnya di sebalik
tatapan wajahnya.
2. Lihat pula kaki-kaki yang mantap berjalan beriringan menuju
masjid-masjid untuk mempersembahkan ketundukannya kepada Al Khaliq.
3. Perhatikanlah wajah-wajah cerah dan ceria sesaat sebelum berbuka,
keceriaan kerana telah menunaikan kewajibannya lebih mendahului keceriaan
menghadapi hidangan yang akan disantap.
Namun, Ramadhan bukanlah drama satu babak yang selesai begitu sahaja
sebagai sebuah cerita yang patut dikenang seiring dengan kepergiannya.
Memahami Ramadhan seperti ini tidak ubah seperti sebuah panggung
gembira di sebuah tanah lapang yang hiruk pikuk dengan sorak sorai dan tawa
riang, namun keesokan harinya, setelah panggung itu ditutup dan dirobohkan,
yang ada hanyalah tanah lapang yang lengang, senyap sunyi serta tidak ada lagi sorak sorai dan tawa
riang.
Ramadhan bahkan sesungguhnya merupakan bahagian yang tidak
terpisah dari episod-episod kehidupan ini dengan kita sebagai pameran utama di
dalamnya.
Bagaikan sebuah drama bersiri, dia tidak menjadi lengkap dan indah
sebagai sebuah cerita jika episod-episod berikutnya tidak bersambung dan
tidak seirama.
Peranan-peranan yang telah ditampilkan dalam ‘episod’ Ramadhan sangat
mudah untuk ditangkap dan dipraktikkan, bahkan kita telah sama-sama telah ikut memberi
peranan kepadanya.
Oleh yang demikian, walaupun setelah Ramadhan berlalu, kita
tinggal meneruskan peranan-peranan tersebut agar kisah ini menjadi suatu
rangkaian kisah yang indah dan mempesonakan.
Berilah tajuk-tajuk yang indah dan menarik agar memberi motivasi kepada
kita bagi meneruskan kebajikan-kebajikan yang telah kita semai dalam ‘episod’
Ramadhan.
Di antara tajuk-tajuk yang indah dan menarik tersebut adalah
seperti berikut :
IIKHLAS, TANGGA PERTAMA MERAIH KEBAHAGIAAN
Keikhlasan menjadi salah satu fokus dari ibadah di bulan Ramadhan.
Perhatikanlah keutamaan berpuasa dan beribadah di malam hari
Ramadhan di mana keduanya disyaratkan untuk dilakukan dengan iman dan semata-mata
mengharapkan pahala dari Allah swt.
Maka, jika puasa menjanjikan dua kebahagiaan bagi orang yang
berpuasa iaitu :
a. Kebahagiaan ketika dia berbuka.
b. Kebahagiaan ketika dia berjumpa dengan Tuhannya.
Maka, keikhlasan jelas menjadi tangga pertama yang mesti kita
jejaki.
Di sudut lain, keikhlasan mempunyai kaitan yang erat dalam usaha
kita untuk mengurangi kebergantungan terhadap dunia yang secara teori mahupun
praktikal sering menjadi sebab kegagalan untuk meraih kebahagiaan.
Ini adalah kerana tabiat dunia adalah punah, rosak, layu dan
membosankan sehingga secara automatiknya orang yang hidup bergantung kepadanya
pun akan mendapatkan perkara-perkara yang serupa sedangkan sifat Allah swt
adalah kekal, kuat, kukuh dan indah.
Maka orang yang ikhlas kepadaNya akan merasa bahagia kerana
sifat-sifat tersebut berkadar lurus dengan kebahagiaan.
Oleh yang demikian, teruskanlah peranan tersebut dan wujudkan
keikhlasan dalam setiap aktiviti kita dalam solat, puasa, mencari nafkah, bergaul
dengan keluarga, bershabat dan lain-lain sehingga akhirnya InsyaAllah, kunci
kebahagiaan telah berada di dalam genggaman kita.
"Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun
perempuan dalam keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya
kehidupan yang baik" (QS An-Nahl : 97)
MASJID SEMAKIN INDAH JIKA RAMAI YANG SOLAT BERJAMAAH
Mari kita saksikan kembali 'tayangan' Ramadhan yang menyorot
masjid-masjid dan surau-surau di sekitar kita di mana nyaris-nyaris tidak kita
dapati masjid atau surau yang tidak berdenyut.
1.
Langkah-langkah kaki yang
terayun mantap.
2.
Percikan air wudhu’ yang berjatuhan.
3.
Suara takbir yang berkumandang.
4.
Lantunan ayat-ayat suci yang
dibacakan.
5.
Diselangi pula dengan si kecil
yang kadang-kadang berlarian.
Semuanya itu berpadu membentuk simfoni indah bagi rumah Allah
dengan segala keberkatan dan nilai-nilai sosial yang mengiringinya.
Adakah simfoni yang indah tersebut akan segera hilang seiring dengan
kepergian Ramadhan?
Majid-masjid kembali terkunci rapat kecuali untuk satu dua kali solat
atau ramainya orang hanya ketika adanya majlis akad nikah seketika.
Di sinilah kita dituntut untuk meneruskan peranan kita untuk memakmurkan
masjid dalam ketaatan.
Keindahan masjid bukan terletak pada :
1. Ketinggian seni arkiteknya.
2. Keindahan ukiran-ukiran yang menghiasinya.
Namun, sebenarnya ia terletak pada ramainya hamba-hamba Allah yang
mendatanginya untuk menyatakan ketundukan kepada Al Khalik, meskipun
bangunannya hanya terbuat dari tanah liat dan beratap pelepah tamar.
Seiring dengan itu, peranan kita bukan setakat membangunnya,
tetapi juga meramaikannya dengan ibadah dan ketaatan, minimumnya dengan solat
berjamaah lima waktu, sekaligus sebagai bukti keimanan kita kepada Allah swt.
"Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang
yang beriman kepada Allah dan hari kemudian." (QS At-Taubah : 18)
Maka, raihlah naungan Allah di hari kiamat yang hanya Allah
berikan kepada lapan golongan dan salah satunya adalah :
“Seseorang yang hatinya bergantung kepada masjid'”.
(Muttafaq alaih)
INDAHNYA HIDUP SALING BERKONGSI
Ramadhan, di sudut lain, juga menayangkan sebuah cebisan kehidupan
yang sering terabai, iaitu bahwa hidup saling berkongsi itu sangat indah.
Anjuran banyak bersedekah di bulan yang mulia itu tidak hanya
sebatas pentingnya si kaya memberi kepada si miskin, tetapi lebih jauh dari itu
adalah bagaimana sebuah masyarakat terbentuk dalam susunan yang saling mengisi
dan melengkapi, saling memberi dan berkongsi.
Tiang-tiang kehidupan bermasyarakat akan menjadi sangat rapuh dan hanya
menunggu waktu keruntuhannya sahaja apabila ada penyimpangan di dalamnya di
mana :
a. Yang kaya sombong dengan apa yang dimilikinya.
b. Si miskin pula acuh dengan kegetiran hidupnya.
Apabila selesainya bulan Ramadhan, peranan ini masih perlu kita
teruskan dan kita budayakan.
Kehidupan berkongsi ini tidak hanya terbatas kepada aspek material
semata-mata bahkan kita dapat berkongsi nasihat, doa, semangat dan motivasi
sehingga kepada sepotong senyuman pun, Rasulullah saw menamakannya sebagai sedekah.
Hendaklah perkara itu dilakukan seadanya dengan penuh tulus, tanpa
dibuat-buat kerana keinginan kita meraih ridha Allah swt dan menciptakan
hubungan yang harmoni di tengah-tengah masyarakat meskipun tidak ada jurugambar
atau wartawan yang menemuramahya serta tidak ada surat khabar yang memuat
beritanya.
Mudah-mudahan kita akan menyedari bahwa terwujudnya masyarakat
yang saling berkongsi tanpa apa-apa habuan dan hilangnya jurang sosial di
tengah masyarakat, jauh lebih berharga dari sekelumit jawatan yang mereka kejar
sehingga walaupun jawatan tersebut tidak juga dapat mereka raih, sikap berkongsi
tersebut tetap ditampilkan seadanya tanpa pengurangan sedikit pun.
Demikianlah contoh dari peranan-peranan yang boleh kita teruskan
dalam episod-episod berikutnya malah masih banyak lagi tema-tema yang dapat
kita ambil.
Kita dapat melukiskan senarionya dan bahkan langsung menjadi pameran
utamanya. Yang penting ianya mestilah seirama dan senafas dengan ‘episod’
Ramadhan yang sangat mempesonakan itu.
Semoga Allah memberikan kita kekuatan zahir dan batin agar dapat
meneruskan kisah ini sehingga menjadi kisah utuh tentang anak manusia yang
sedang menjalani fungsi penghambaannya hingga akhirnya kisah ini dapat ditutup
dengan ‘husnul khatimah’ iaitu pengakhiran kehidupan yang baik.
Apabila sampai masanya nanti, Allah swt akan membentangkan kembali
kisah tersebut di hari pembalasan di mana kita akan tersenyum bahagia kerana usaha
dan amal kita yang menawan serta mendapat pujian.
“Sesungguhnya orang yang berbakti itu benar-benar berada dalam
kenikmatan yang besar (syurga). Mereka (duduk) di atas pelamin-pelamin sambil
memandang. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan mereka yang penuh
kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni yang divarnis (tempatnya), Varnisnya
adalah kasturi; dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba.” (QS Al-Muthaffifin :
22-26)
Ya Allah, dengan kedatangan Ramadhan yang membawa seribu satu
kelebihan, kami dengan rendah diri menadah tangan kepadaMu untuk memohon
keberkatan Ramadhan dan keampunan dari dosa-dosa yang kami lakukan. Kami juga
memohon peningkatan iman dan ketaqwaan hasil dari tarbiyah di madrasah Ramadhan
sehingga segala amal-amal yang kami lakukan sepanjang Ramadhan dapat diteruskan
oleh kami di bulan-bulan yang lain, insyaallah.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS