Marilah kita panjatkan pujian dan syukur kita ke hadhrat Allah swt yang telah memberikan kesempatan kepada kita bertemu kembali dengan bulan yang penuh rahmah, berkah dan maghfirah iaitu bulan Ramadhan.
Bulan ini adalah bulan peluang bagi umat Muhammad saw untuk meningkatkan amal ibadat dan berbagai amal soleh, sekaligus memaksimumkannya untuk meraih pahala yang dilipatgandakan dari amal kebajikan yang sama di bulan yang lain.
Ramadhan, sebagaimana yang disebut oleh Dr.Yusuf Al Qardhawi sebagai “madrasah mutamayyizah” (sekolah istimewa) yang dibuka oleh Islam setiap tahun untuk proses pendidikan praktikal bagi menanamkan seagung-agung nilai dan setinggi-tinggi hakikat iaitu ‘la’allakum tattaqun”, (agar kamu bertaqwa).
Semua aktiviti ibadah yang digiatkan di dalamnya merupakan “riyadhatu ruh” (latihan ruhani) untuk mencapai tingkatan “ubudiyah” tertinggi itu iaitu taqwa.
Inilah sasaran dan kesibukan kita di bulan yang penuh berkah ini, sekaligus inspirasi dalam gerak langkah hidup kita pada sebelas bulan berikutnya.
INSPIRASI PUASA
Di bulan Ramadhan kita menahan diri dari lapar dan dahaga serta syahwat di siang hari kerana Allah.
Ini adalah inspirasi tentang pentingnya “tazkiyah an-nafs” (pembersihan jiwa) dengan :
a. Mematuhi perintah-perintahNya.
b. Menjauhi segala laranganNya.
c. Melatih diri untuk menyempurnakan ibadah
kepada Allah semata-mata.
Puasa Ramadhan juga memberi inspirasi kepada kita tentang kesederhanaan dan menjauhi sifat “israf” (berlebih-lebihan) dalam makan dan minum sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt :
“…Makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (QS Al-A’raaf : 31)
Puasa menanamkan ajaran Islam yang mensejajarkan tuntutan jasmani dengan tuntutan rohani dan mencegah agar jangan sampai unsur yang satu itu mengalahkan unsur yang lain.
Puasa mendidik supaya jangan sampai manusia menjadi hamba perutnya di mana :
1. Hidup di dunia ini sekadar untuk makan dan minum.
2. Siang malam hanya sibuk memasukkan berbagai
macam makanan dan minuman ke dalam perutnya.
a. Menahan diri dari makanan dan minuman yang
haram.
b. Melatih jiwa agar mampu menahan diri dari
nafsu serakah, tamak dan rakus.
c. Melatih diri untuk menjaga pola hidup
bersih.
1. Bersih hati dan batin dari kemusyrikan dan
kemaksiatan.
2. Bersih dari harta yang haram seperti riba
(wang bunga), rasuah, manipulasi dan mencuri.
3. Bersih zahir dan lingkungan dari berbagai macam kotoran.
IINSPIRASI TILAWAH AL-QUR’AN
Ramadhan adalah bulan diturunkannya Al-Qur’an,
“…bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).” (QS Al-Baqarah : 185)
dan di bulan ini malaikat Jibril turun untuk memuraja’ah (mendengar dan mengecek) bacaan Al-Qur’an dari Rasulullah.
Imam Az-Zuhri pernah berkata :
“Apabila datang Ramadhan, maka kegiatan utama kita (selain puasa) ialah membaca Al-Qur’an”.
Ramadhan mengingatkan kita tentang wajibnya menjadikan Al-Qur’an sebagai :
a. Sahabat karib.
b. Kawan bicara.
c. Guru.
Demikianlah salafus soleh mencontohkannya kepada kita. Mereka begitu mencurahkan waktunya untuk Al-Qur’an sehingga Rasulullah saw pernah turun tangan untuk melarang mereka berlebih-lebihan di dalam membacanya.
Perkara ini disebutkan dalam sebuah hadits di mana Nabi saw menyuruh Abdullah bin Amru bin ‘Ash untuk mengkhatamkan Al-Qur’an cukup sekali dalam sebulan, sekali dalam 20 hari, atau sekali dalam seminggu, tidak boleh kurang dari seminggu,
“Kerana sesungguhnya isterimu mempunyai hak yang mesti kau tunaikan, tamumu mempunyai hak yang mesti kau tunaikan, dan jasadmu mempunyai hak yang mesti kau tunaikan…” (HR Bukhari dan Muslim)
Utsman bin Affan memiliki kebiasaan mengkhatamkan Al-Qur’an dalam seminggu, ia membuka:
1. Malam Jum’at dengan membaca Al-Baqarah
sampai Al-Maidah.
2. Malam Sabtu surah Al-An’am sampai surah Hud.
3. Malam Ahad surah Yusuf sampai Maryam.
4. Malam Isnin surah Thaha sampai Al-Qashash.
5. Malam Selasa surah Al-Ankabut sampai Shad.
6. Malam Khamis ia mengkhatamkannya.
Rasulullah saw bersabda tentang orang yang gemar membaca Al-Qur’an secara rutin.
“Di antara hamba-hamba Allah yang paling dicintai oleh Allah adalah ‘Al-Hallul Murtahil’ (orang yang singgah dan pergi).”
Para sahabat bertanya : “Siapakah ‘Al-Hallul Murtahil’ itu wahai Rasulullah?”
Baginda saw bersabda : “Orang yang mengkhatamkan Al-Qur’an lalu memulainya lagi dan orang yang memulai membaca Al-Qur’an kemudian mengkhatamkannya. Demikianlah, ia terus berada dalam keadaan singgah dan pergi bersama kitab Allah tabaraka wa ta’ala”.
Umar bin Abdul Aziz apabila disibukkan oleh urusan kaum muslimin, beliau mengambil mushaf dan membacanya walaupun hanya dua atau tiga ayat.
Beliau berkata :
“Agar saya tidak termasuk mereka yang menjadikan Al-Qur’an sebagai sesuatu yang ditinggalkan.”
Semua ini tentu sahaja dilakukan dengan tetap memperhatikan tajwid dan intipati asas diturunkannya Al-Qur’an untuk ditadabbur, difahami dan diamalkan.
“Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (QS Shad : 29)
Dengan tilawah Al-Qur’an kita berharap dapat menumbuhkan ciri-ciri “Ummatun Qa’imah”, golongan yang berlaku lurus, seperti Abdullah bin Salam, seorang Yahudi yang kemudian diberi limpahan nikmat iman oleh Allah swt.
“Mereka itu tidak sama; di antara ahli Kitab itu ada golongan yang berlaku lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di malam hari, sedang mereka juga bersujud (solat).” (QS Ali Imran : 113)
IINSPIRASI QIYAM RAMADHAN
Ibadah yang sangat ditekankan oleh Rasulullah saw malam Ramadhan adalah “Qiyam Ramadhan” atau yang biasa dikenali dengan solat tarawih.
Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa yang melakukan qiyam dengan penuh iman dan perhitungan, maka diampuni dosanya yang telah lalu”. (Muttafaqun ‘alaih)
Qiyam Ramadhan memberi inspirasi kepada kita tentang pentingnya ‘taqarrub’ dan komunikasi intensif dengan Allah swt. Sebulan lamanya kita dilatih melaksanakannya agar selepas Ramadhan kita akan terbiasa melaksanakan qiyamullail.
Dari Jabir ra, ia barkata :
“Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya pada malam hari itu benar-benar ada saat yang seorang muslim dapat menepatinya untuk memohon kepada Allah suatu kebaikan dunia dan akhirat, pasti Allah akan memberikannya (mengabulkannya); dan itu setiap malam.” (HR Muslim dan Ahmad)
Qiyamullail adalah wasilah berkomunikasi seorang hamba dengan Rabbnya. Seorang hamba merasa lazat di kala munajat dengan Penciptanya.
Ia :
a.
Berdoa.
b.
Beristighfar.
c.
Bertasbih memuji Penciptanya.
IINSPIRASI ZAKAT, INFAQ DAN SEDEKAH
Rasulullah saw adalah orang yang paling pemurah dan di bulan Ramadhan Baginda lebih pemurah lagi. Kebaikan Rasulullah saw di bulan Ramadhan melebihi angin yang berhembus keranaa begitu cepat dan banyaknya dalam bersedekah.
Dalam sebuah hadits disebutkan,
“Sebaik-baik sedekah iaitu sedekah di bulan Ramadhan” (HR Al-Baihaqi, Al-Khatib dan At-Tirmizi)
Salah satu bentuk sedekah yang dianjurkan adalah memberikan ‘ifthar’ (santapan buka puasa).
Ini sepertimana sabda Nabi saw :
“Barangsiapa yang memberi ‘ifthar’ kepada orang-orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala senilai pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang puasa tersebut”. (HR Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah)
Di akhir bulan Ramadhan, kaum muslimin menunaikan zakat fitrah yang bertujuan untuk menyucikan orang yang melaksanakan puasa dan untuk membantu fakir miskin.
Zakat, infaq dan sedekah memberi inspirasi kepada kita agar sentiasa memiliki semangat kebersamaan dan kepedulian kepada sesama umat Islam.
Selain dalam rangka mematuhi perintah Allah, zakat juga memiliki hikmah :
1. Menumbuhkan sikap menolong yang lemah.
2. Mewujudkan sikap meratakan nikmat
harta.
3. Membersihkan jiwa kikir.
4. Mewujudkan persaudaraan.
INSPIRASI I’TIKAF
I’tikaf adalah puncak ibadah Ramadhan kerana pada hakikatnya inti ibadah Ramadhan adalah usaha menahan diri (imsak) dari makan dan minum dan segala sesuatu yang membatalkannya di siang hari dengan harapan dapat menahan diri dari segala yang diharamkan Allah.
Sementara i’tikaf pula bukan hanya menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga menahan diri untuk :
a. Tetap tinggal di masjid.
b. Taqarrub kepada Allah.
c. Menjauhkan diri dari segala aktiviti keduniaan.
“Adalah (Nabi saw) beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan sehingga Allah ‘azza wa jalla mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda beri’tikaf sesudah itu.” (HR Bukhari dan Muslim)
Selama melakukan i’tikaf, seseorang tidak boleh bersetubuh dengan isteri, kerana hal itu boleh membatalkan i’tikaf.
Ini sesuai dengan ketentuan Al-Qur’an :
“…Janganlah kamu bercampur dengan isteri-isterimu ketika kamu sedang i’tikaf di dalam masjid…” (QS Al-Baqarah : 187)
Tempat i’tikaf mestilah di dalam masjid dan tidak boleh di surau, mushalla, rumah atau tempat-tempat lain.
Selama i’tikaf, tidak boleh keluar dari masjid kecuali untuk keperluan-keperluan sangat mendesak seperti qadha hajat, mandi, berubat atau makan.
Perkara ini dijelaskan dalam hadits berikut :
Dari ‘Aisyah ra, ia berkata :
“Ketika I’tikaf Rasulullah saw pernah mengeluarkan kepalanya dari dalam masjid kepada saya, lalu saya sikat rambutnya. Baginda tidak masuk ke dalam rumah, kecuali ada keperluan.” (HR Bukhari dan Muslim)
Ibadah yang penting ini sering dianggap berat oleh kaum muslimin sehingga ramai yang tidak melakukannya.
Imam Az-Zuhri berkata :
“Aneh benar keadaan orang Islam, mereka meninggalkan i’tikaf, padahal Rasulullah tidak pernah meninggalkannya sejak baginda datang ke Madinah sehingga baginda wafat”.
I’tikaf memberi inspirasi kepada kita untuk membasmi virus ‘al-wahn’ di dalam jiwa.
Kita teringat hadits Nabi saw :
“Hampir datang masanya bangsa-bangsa mengerumuni kamu sebagaimana mengerumuni makanan di atas meja makan.” Ada yang bertanya: “Apakah saat itu kita sedikit?” Baginda menjawab: “Justeru ketika itu kamu banyak, tetapi laksana buih di lautan. Allah telah mencabut rasa takut dalam dada musuh-musuh kamu terhadap kamu, sedangkan Allah telah melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘Al Wahn’,” Ada yang bertanya: “Apakah ‘Al Wahn’?” Baginda menjawab: “Cinta dunia dan takut mati!” (HR Ibnu Majah)
I’tikaf mengingatkan kita tentang ‘ubudiyah’ dan pengagungan Allah Rabbul ‘Alamin. Dengan melaksanakannya, manusia membuktikan bahwa dirinya bukan hamba dunia dan bukan pengagung dunia.
Memang demikianlah semestinya sikap seorang hamba yang beriman kerana Rasulullah saw bersabda:
“Apabila umatku mengagungkan dunia, maka dicabutlah kehebatan Islam darinya. Kemudian apabila meninggalkan amar ma’ruf nahi munkar, terdindinglah keberkatan wahyu”. (HR Tirmizi)
Marilah kita bangkitkan semangat beribadah di bulan Ramadhan ini dengan landasan iman dan kita jadikan puasa, tilawah Al-Qur’an, qiyam Ramadhan, zakat, infaq, sedekah, i’tikaf dan ibadah-ibadah lainnya sebagai ‘riyadhatu ruh’ (latihan ruhani) dalam meniti tingkatan ketaqwaan serta jangan biarkan Ramadhan berlalu tanpa kita menanamkan inspirasi bagi kehidupan kita.
Ya Allah, jadikanlah amal-amal ibadah yang kami lakukan di bulan Ramadhan ini sebagai inspirasi untuk kami pertingkatkan lagi di bulan-bulan yang lain. Berilah kekuatan semangat untuk kami gandakan aktiviti ibadah melalui latihan ruhani bagi mencapai tingkatan ubudiyah yang paling tinggi iaitu ketaqwaan.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS