Sesungguhnya tugas murabbi yang
asasi adalah membina dalam sebuah halaqah
atau kelompok pengajian dan ia merupakan satu cara dakwah fardiyah yang sangat konkrit
dalam pembentukan ‘Syakhsiyah Islamiyah’ (keperibadian
Islam).
Dengan cara itu, dia
sebenarnya membuka langkah untuk “membumikan” Al-Qur’an dan akhirnya Islam
akan semakin nyata terserlah dalam masyarakat.
Inilah konsep ‘Tarbiyah Islamiyah’ (pendidikan
Islam) yang mana untuk menuju ‘Daulah Islamiyah’ (negara
Islam) diperlukan capaian terhadap keperibadian Islam, keluarga Islam dan
masyarakat Islam.
Namun, rantai ‘tarbiyah’ ini akan terputus apabila tidak ada usaha
yang berterusan dalam pembinaan.
Boleh jadi sebuah keperibadian
Islam telah tercapai, namun jika peribadi ini tidak “menularkan” ilmu atau kefahamannya
kepada orang lain, maka rasanya agak sukar untuk mewujudkan cita-cita kejayaan
Islam di atas muka bumi ini.
Mengingatkan betapa pentingnya
peranan murabbi dalam kesinambungan
kewujudan sebuah umat dan dakwah, maka sudah semestinyalah kita mempersiapkan
diri kita untuk tugas membina dan menjadi seorang
murabbi.
Dalam ruang lingkup peribadi,
menjadi ‘mad’u’ dan ‘murabbi’ adalah
sebuah kewajiban yang saling berkaitan. Ertinya, selain wajib belajar, kita juga
perlu menyampaikan atau dengan kata lain selain jadi ‘mad’u’, kita juga mesti
menjadi ‘murabbi’.
“… Hendaklah kamu menjadi
orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan
kamu tetap mempelajarinya.” (QS Ali-Imran : 79)
“Sebaik-baik kamu ialah
yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkannya.” (HR Bukhari)
Sungguh banyak sekali hikmah
yang dapat diperolehi bagi seseorang yang menjadi seorang murabbi.
Di antaranya adalah :
PERTAMA : PAHALA YANG BERLIPAT KALI GANDA
Bagaimana tidak, amal jariyah di atas ilmu yang bermanfaat
yang murabbi sampaikan
kepada para ‘mad’u’nya
(objek dakwahnya) tentu akan terus berguna dan disampaikan dari generasi ke
generasi di mana pahala yang diperolehi oleh murabbi kurang lebih sama seperti
konsep MLP (Multi Level Pahala).
KEDUA : MEMOTIVASI DIRI UNTUK MENJADI LEBIH BAIK
Ini adalah kerana seorang murabbi akan terdorong untuk
belajar lebih terutama perkara yang berkait dengan bahan-bahan Islam,
memperkuat ibadahnya serta akan meningkatkan kemampuan komunikasi dan pengurusannya.
Dengan kata lain, menjadi murabbi sama
halnya dengan membina diri sendiri.
Bukan terhenti setakat itu,
masih banyak sekali hikmah yang akan diperolehi dengan menjadi seorang murabbi seperti meningkatkan iman dan
taqwa, merasakan manisnya ukhuwah dan yang paling penting adalah melaksanakan
kewajiban syar’ie dan menjalankan sunnah Rasulullah saw.
Betapa tidak akan ruginya untuk
menjadi seorang murabbi, bahkan
akan sentiasa untung. Bahkan, Allah swt akan sentiasa memberikan pertolongan
dan kedudukan yang mulia serta digolongkan sebagai umat terbaik.
“Wahai orang-orang yang
beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan
meneguhkan kedudukanmu.” (QS Muhammad : 7)
“Sesungguhnya Allah,
malaikatNya, serta penduduk langit dan bumi, hingga semut yang ada pada
lubangnya, dan ikan-ikan yang ada di laut, (semuanya) berselawat atas orang
yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (HR Tirmizi)
“Kamu adalah umat yang
terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan
mencegah, serta beriman kepada Allah…” (QS Al-Imran : 110)
“Siapakah yang lebih baik
perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh
dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?”” (QS
Al-Fushshilat : 33)
Bahkan, tugas sebagai murabbi hanyalah
menyampaikan secara optimum, tidak perlu memikirkan hasilnya lantaran itu sudah
ditanggung oleh Allah swt.
Ini sesuatu yang menarik,
bukan?
Namun, semua itu rupanya belum
cukup untuk menggerakkan kesedaran sebahagian aktivis dakwah untuk membina dan
yang lebih aneh lagi, mereka tidak membina bukan kerana tidak mengetahui keutamaan
membina, apalagi tidak layak dan kurang ilmu.
Bahkan mereka adalah
orang-orang yang tergolong sudah dan masih terbina hingga sekarang. Mereka
adalah orang-orang telah merasakan manisnya ‘Tarbiyah Islamiyah!
Lantas, apa jadinya jika ilmu itu
hanya ditumpukkan dan tidak disampaikan?
Bahkan di antara mereka juga
terbilang aktif dalam organisasi Islam atau gerakan dakwah, menurut mereka,
“yang
penting saya tetap berdakwah.”
Inilah yang uniknya di mana
seseorang itu aktif berdakwah secara
jamai’e, tapi enggan untuk membina.
Padahal sesebuah organisasi
Islam dan amal jamai’e yang berlaku di dalamnya tidak akan kuat dan teguh jika
di dalam usaha perekrutan, tidak ada pembinaan yang “sihat”.
Sementara, di hari akhirat
nanti, setiap manusia akan dihitung pahalanya sendiri-sendiri, bukan secara
kolektif! Lantas mengapa masih enggan untuk membina?
Sesungguhnya, ‘marhalah’ (tingkatan) keutamaan dakwah boleh
dimulai dari dakwah ‘zatiyah’ (dakwah pada diri sendiri).
Kemudian bergerak ke arah dakwah ‘fardiyah’ (dakwah
kepada orang lain / kelompok yang dilakukan secara peribadi) dan akhirnya dakwah ‘jam’iyah’ (dakwah kepada orang lain / kelompok
yang dilakukan bersama-sama).
Mengapa dikatakan ‘marhalah’ keutamaan?
Ini adalah kerana ketiga perkara
tersebut saling berkesinambungan dan saling memperkuatkan antara satu sama
lain.
Secara ringkasnya, ia dapat
difahami begini :
1.
Apakah kita akan mendapat kejayaan dalam sebuah amal ‘jama’ie’ yang tidak diikuti dengan
dakwah ‘fardiyah’?
2.
Apakah kita akan mendapat kejayaan sebuah dakwah ‘fardiyah’ tanpa diselangi oleh dakwah ‘zatiyah’?
Walaubagaimanapun, ketiga-tiga
perkara tersebut adalah satu kesatuan yang tidak boleh ditanggalkan, lantaran sememangnya
Rasulullah saw melakukan ketiga-tiganya.
Memang di sudut lain, ada
beberapa penyebab mengapa mereka belum mampu membina hingga sekarang.
Di antara sebab-sebab itu
adalah kurangnya :
a.
Kemahuan.
b.
Kemampuan.
c.
Kesempatan.
Ya, semuanya bersumber dari kurangnya
kemahuan. Kemahuan mereka yang kurang itulah yang membuatkan kemampuan dan
kesempatan menjadi kurang.
Padahal, jika semua halangan-halangan
itu dilalui dengan keimanan dan ketaqwaan serta mengharapkan ridhaNya, niscaya
halangan yang besar sekalipun seolah-olah akan menjadi kecil dan halangan yang
kecil pula tidak ubah seperti angin yang berlalu.
Dengan kata lain, sebesar mana
sekalipun harapan seseorang untuk masuk syurga namun, jika tidak diimbangi
dengan kemahuan, maka hasilnya adalah kosong.
Mari kita renung tentang sebuah
cerita di mana suatu ketika Allah swt menyuruh malaikat untuk menghancurkan
sebuah desa yang mana penduduknya gemar melakukan kemaksiatan.
Namun tidak beberapa lama,
malaikat kembali dan berujar,
“Ya Allah, bagaimana aku akan menghancurkan desa yang di dalamnya ada
hambaMu yang sedang berzikir?”
Lalu Allah swt memerintahkan
menghancurkan orang yang soleh itu terlebih dahulu. Mengapa?
Kerana orang yang soleh itu dia
hanya soleh dan faham agama untuk dirinya sahaja, namun tidak menyampaikannya
kepada masyarakat di desanya!
Ringkasnya, kita tidak boleh
ego dengan hanya menjadi soleh secara peribadi. Kita juga perlu menyampaikannya
kepada yang lain, sehingga terciptalah kesolehan sosial.
Lantas, apakah langkah konkrit
yang mampu menciptakan kesolehan sosial yang berkesan?
Jawabnya adalah dengan membina
iaitu :
1.
Membina ‘halaqah’.
2.
Menjadi ‘murabbi’.
Jika kita dapat mengarahkan
kepada diri kita di mana;
Ilmu sudah ada (kalau tidak
pun boleh sambil belajar). Kemampuan juga ada (bagaimana boleh mampu kalau
tidak pernah mahu mencuba?). Semangat dakwah pun telah bergelora. Tapi yang anehnya,
kenapa kita masih enggan untuk membina?
HAKIKAT PEMBINAAN JAMAAH
Jamaah yang ideal yang pernah wujud secara nyata di suatu fasa sejarah ini :
a.
Tidak tumbuh dengan tiba-tiba.
- Tidak wujud secara kebetulan.
- Tidak diciptakan dalam sehari
semalam.
- Tidak muncul dari hasil sebuah
anugerah yang mengubah watak segala sesuatu dalam masa yang singkat.
Namun, ia :
1. 1. Tumbuh secara alami.
- Membesar secara
perlahan-perlahan, sebagaimana pohon yang menjulang dan akarnya menghunjam
ke bumi.
- Memakan waktu yang lazim untuk
perkembangannya.
Selain
itu, ia juga memerlukan ‘al-juhd’ (susah
payah) yang :
a.
Berterusan.
b.
Tetap.
c.
Tidak berubah demi perkembangan ini.
Sebenarnya,
ia memerlukan :
1.
Perhatian yang teliti.
2.
Kesabaran yang panjang.
3.
Usaha yang cermat
Semua ini
diperlukan agar ia dapat :
a. Membersihkan dan membuang yang tidak baik.
b. Memangkas yang berlebihan.
c.
Melakukan pengarahan.
d. Memberi dorongan dan motivasi.
e.
Melakukan penguatan
f.
Memberi peneguhan.
Di sudut
yang lain, ia memerlukan :
1.
Pengalaman-pengalaman sebenar yang pahit.
2.
Ujian-ujian yang berat dan
meletihkan.
3.
Pengarahan untuk mengambil pelajaran
dari berbagai pengalaman dan ujian ini.
Di dalam semua
usaha-usaha dan pengalaman-pengalaman di atas, akan terserlah ‘ri’ayah ilahiyah’ (pemeliharaan
Ilahi) terhadap jamaah pilihan bagi memikul amanah terbesar ini dan
merealisasikan kehendak Allah di muka bumi.
Padahal, pada jamaah ini terdapat berbagai keutamaan dan potensi-potensi yang tersimpan di dalam generasi tersebut.
Padahal, pada jamaah ini terdapat berbagai keutamaan dan potensi-potensi yang tersimpan di dalam generasi tersebut.
Di samping
terdapat berbagai situasi dan keadaan yang disiapkan untuknya.
Dengan ini semua, cahaya yang mengkagumkan itu memancar dalam sejarah manusia dan terealisasilah hakikat yang nampak dari jauh seolah-olah mimpi yang mengepak-ngepak di dalam hati atau mimpi-mimpi yang melayang-layang di dalam khayalan!
Dalam kalimat di atas, Sayyid Qutb menjelaskan bagaimana jamaah Sahabat Nabi Muhammad saw terbentuk pada waktu itu.
Ada empat bahagian yang disorot oleh Sayyid Qutb.
Dengan ini semua, cahaya yang mengkagumkan itu memancar dalam sejarah manusia dan terealisasilah hakikat yang nampak dari jauh seolah-olah mimpi yang mengepak-ngepak di dalam hati atau mimpi-mimpi yang melayang-layang di dalam khayalan!
Dalam kalimat di atas, Sayyid Qutb menjelaskan bagaimana jamaah Sahabat Nabi Muhammad saw terbentuk pada waktu itu.
Ada empat bahagian yang disorot oleh Sayyid Qutb.
PERTAMA :
Susah payah
dan usaha Nabi Muhammad saw sebagai murabbi yang dikerahkan dalam mentarbiyah
mereka.
KEDUA :
Aspek pemeliharaan
Ilahiyah.
KETIGA :
Potensi
para sahabat Nabi itu sendiri.
KEEMPAT :
Situasi
dan keadaan.
Dengan kata lain,
terwujudnya jamaah sahabat Nabi Muhammad saw sebagai sebuah jamaah yang
menakjubkan dalam sejarah umat manusia adalah kerana adanya faktor pemeliharaan
Ilahi di samping potensi dan kelebihan sahabat yang luar biasa. Selain itu,
situasi dan keadaan yang telah dipersiapkan sedemikian rupa oleh Allah swt
dengan kehadiran peribadi murabbi agung iaitu Rasulullah saw.
Lalu bagaimana dengan
keinginan kita untuk memunculkan semula generasi baru yang akan memikul amanah
dakwah ini?
Menurut Syeikh Jasim Muhalhil yang mengambil kata-kata Imam Hasan Al Banna :
Menurut Syeikh Jasim Muhalhil yang mengambil kata-kata Imam Hasan Al Banna :
“Apa yang paling banyak dilakukan oleh Rasulullah saw tidak lain adalah
mendakwahkan manusia pada keimanan dan amal. Kemudian memadukan hati kaum
mu’minin di atas tiang cinta dan persaudaraan. Lalu terpadulah antara kekuatan
aqidah dan kekuatan persatuan.”
Dalam kesempatan lain, Imam Al Banna
mengatakan :
“Wasilah-wasilah umum bagi dakwah tidak berubah, tidak
berganti dan tidak lain dari aspek iman yang mendalam (Imaan ‘amiq), pembentukan yang cermat (takwin daqiq), dan amal yang berterusan
(amal mutawashil).”
Selain
itu, beliau telah menyebutkan bahwa rukun-rukun dalam dakwah ada tiga :
a. Manhaj yang benar (minhaj shahih).
b. Orang mukmin yang beramal (mu’minun ‘amilun)
c.
Pemimpin yang tahan lasak dan
dipercayai (qiyadah hazimah mautsuq biha).
Melalui penjelasan singkat di atas,
kita dapat mengetahui bahwa misi utama dakwah Ikhwan, adalah melakukan ‘ishlah’
(perbaikan) dalam diri umat Islam.
Sebagaimana yang kita ketahui bahwa salah
satu dari faktor penting yang diperlukan untuk melakukan misi tersebut ada pada
ungkapan Imam Hasan Al Banna :
“Pemimpin yang tahan lasak dan dipercayai.”
Ini adalah kerana sesungguhnya
setiap amal yang bertolak dari selain permulaan ini, tidak dapat bertahan lama
dan kekal abadi. Lebih diperlukan lagi pemimpin yang mampu melakukan pembaharuan,
penelitian dan melaksanakan kewajiban seluruhnya sebagaimana kemaslahatan umat
Islam seluruhnya.
Oleh yang demikian, mencari unsur
kepimpinan Islam dalam hal ini, membinanya dan memberinya peranan yang sesuai
merupakan isu yang asasi dan penting dalam amal Islami, sehingga jalan dakwah perlu
sungguh-sungguh cermat bagi mewujudkannya.
Pemimpin
mestilah :
1.
Mampu memiliki iman yang mengakar.
2.
Mampu mengurus ‘amaliyah’ pembinaan (takwin) secara terperinci.
3.
Mampu melakukan pekerjaan terus
menerus di atas petunjuk manhaj yang shahih.
4.
Mampu melaksanakan kerja
bersama-sama para pendakwah yang lain.
PERINCIAN WASILAH DAKWAH IKHWANUL MUSLIMIN
PERTAMA : MENYEBARKAN DAKWAH
Ini dilakukan melalui semua wasilah
sehingga dapat difahami oleh masyarakat umum dan mereka akan menjadi penolong
dakwah yang didorong oleh aqidah dan iman.
KEDUA : MENYARING SEMUA UNSUR-UNSUR YANG BAIK
Tujuan saringan ini adalah untuk
dijadikan tiang pendukung yang kukuh bagi fikrah perbaikan.
KETIGA : MEMPERJUANGKAN PERUNDANGAN
Ini adalah suatu yang penting untuk
memastikan suara dakwah Islam dapat berkumandang secara formal dan ‘legal’
dalam pemerintahan sekaligus mendukungnya dan menjadi kekuatan dalam perlaksanaannya.
Di atas landasan ini, Ikhwan telah mengajukan
calon mereka dalam pemilihan parlimen ketika datang saat yang tepat pada umat
untuk melakukannya.
Ikhwan yakin akan kejayaan dakwah
yang merupakan pertolongan Allah swt, selama mana mereka mengharapkan itu
kepada Allah swt semata-mata.
“Dan niscaya Allah akan menolong orang yang menolong (agama)Nya.
Sesungguhnya Dia Maha Kuat dan Maha Mulia.” (QS Al Hajj : 40)
KEEMPAT : MANHAJ YANG BENAR
Ikhwan telah mendapatkannya dari Al
Qur’an, sunnah RasulNya dan melalui berbagai hukum Islam ketika kaum muslimin
memahaminya secara bersih, jauh dari tambahan unsur asing dan kedustaan.
Ikhwan melakukan kajian terhadap
Islam di atas landasan ini dengan mudah, luas disertai penguasaan yang
menyeluruh.
KELIMA : KAUM MUKMININ YANG BERAMAL ATAU AKTIVIS MUSLIM
Ikhwan menerapkan apa yang mereka fahami
dari agama Allah dengan penerapan yang menyeluruh tanpa pilih bulu.
Ikhwan, alhamdulillah, mengimani
fikrah, meyakini tujuan dan percaya dengan pertolongan Allah kepada mereka
selama mana mereka bekerja untukNya serta berada di atas petunjuk Rasulullah saw.
KEENAM : KEPIMPINAN YANG TAHAN LASAK DAN DIPERCAYAI
Ikhwanul Muslimin telah
mendapatkannya di mana anggota Ikhwan taat pada pimpinannya dan beramal di
bawah benderanya.
Ringkasnya, tujuan asasi Ikhwanul
Muslimin di mana sasarannya yang paling utama dan perbaikan yang diinginkan serta
dipersiapkan untuknya adalah :
“Islah secara menyeluruh dan sempurna serta disokong oleh
kekuatan umat dan diarahkan untuk seluruh umat yang mencakupi perubahan dan
pergantian seluruh keadaan yang negatif.”
Ikhwanul Muslimin menyuarakan dakwah,
mengimani manhaj, memperjuangkan aqidah, beramal dalam rangka menunjukkan
manusia pada sebuah sistem kemasyarakatan yang mencakupi segenap aspek
kehidupan Islam.
Ikhwan ingin membangkitkan sebuah umat
Islam ideal yang memeluk Islam secara benar dan menjadikannya sebagai petunjuk
dan imam hingga manusia mengetahuinya sebagai negara Al Qur’an yang sepenuhnya
bersandar pada Al Qur’an, yang mendakwahkannya, yang berjihad di jalannya, yang
berkorban di atas jalannya, dengan jiwa dan harta.
Wasilah-wasilah ini memerlukan
kesabaran yang berlipat kali ganda.
Imam Hasan Al Banna mengatakan :
“Sesungguhnya jalan kamu telah ditentukan
langkah-langkahnya, ditetapkan batasan-batasannya. Aku tidak ingin melanggar
batasan ini yang telah aku yakini sebagai jalan yang menjamin sampai pada
tujuan… Benar, ini merupakan perjalanan yang panjang, akan tetapi di sana tidak
ada lagi selain jalan ini.
Sesungguhnya sikap ‘rujulah’
(kejantanan) itu terserlah pada sikap :
a.
Sabar.
b.
Kesungguhan.
c.
Amal yang terus menerus.
Maka barangsiapa di antara kamu ingin terburu-buru memetik
buah sebelum saat matangnya, atau mengambil bunga sebelum masanya, aku tidak
bersama mereka dalam hal tersebut. Lebih baik baginya untuk keluar dari dakwah
ini kepada selainnya.
Tetapi barang siapa yang bersabar bersamaku hingga biji
telah tumbuh menjadi sebuah pohon dan menghasilkan buah hingga tiba saatnya
untuk dipetik, maka Allah yang akan membalasnya sebagaimana balasan untuk
orang-orang muhsinin, yakni kemenangan atau kekuasaan, mati syahid atau
kebahagiaan.
Sesungguhnya perjalanan waktu akan menyingkap banyak
peristiwa-peristiwa besar. Kesempatan masih terbuka bagi amal-amal yang agung.
Dunia menanti dakwah kamu. Dakwah hidayah, cahaya, dan keselamatan agar dapat
membebaskannya dari derita kesakitan.
Peranan kamu adalah memimpin dunia.
“Dan hari-hari itu akan Kami (Allah) gilirkan di atara
manusia.”
Kamu mengharapkan pada Allah sesuatu yang tidak dapat mereka
harapkan kepadaNya. Maka bersiaplah, beramallah sekarang juga, mungkin kamu tidak
mampu lagi beramal untuk esok hari.
1.
Kepada mereka yang bersemangat di antara kamu, saya anjurkan
untuk menanti perputaran zaman.
2.
Kepada mereka yang masih tinggal diam, saya anjurkan agar
bangkit dan beramal, kerana tidak ada istirahat bersama jihad.”
“Dan orang-orang yang berjihad di jalan Kami, niscaya akan
Kami tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah pasti bersama
orang-orang yang muhsinin.” (QS Al Ankabut: 69)
Syeikh Sa’id Hawwa mengatakan :
“Imam Hasan Al Banna telah meletakkan prinsip untuk kefahaman,
prinsip dalam pembinaan, prinsip dalam organisasi dan prinsip dalam berstrategi
dan berharakah.
Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al
Banna berhasil mendirikan sebuah bangunan yang tetap sesuai dengan berbagai keadaan
zaman.
Imam Al Banna berhasil membentuk
lingkaran global yang mampu menghimpun seluruh kaum muslimin pada satu fikrah
dan tanzim. Beliau berhasil memadukan seluruh pemikiran yang positif dan
menyaring pemikiran yang keliru.
Dalam dakwahnya, dapat dipadukan
seluruh kebaikan yang mungkin menjadi faktor pemecah dalam organisasi
selainnya. Sebaliknya, Ikhwan mampu menjauhi dakwah dari segala keburukan dan
kekeliruan.”
Secara khususnya pula Sayyid Qutb mengungkapkan
kekagumannya terhadap kejeniusan Imam Hasan Al Banna dalam dua sudut penting :
PERTAMA :
Kemampuannya membina ruh dan jiwa
secara seimbang terhadap anggota harakah, melalui bahagian yang sesuai antara
ilmu, ruh dan harakah, dan antara kekhususan ‘Tarbiyah Islamiyah’ berbanding
sudut lain.
KEDUA :
Kemampuan pembinaan organisasi bagi
Jamaah. Jamaah Ikhwan adalah jamaah pelopor amal jama’ie (kerja kolektif) yang
pertama kali muncul dalam bentuk sebuah pertubuhan Islam.
Ya Allah, jadikanlah diri-diri kami
sebagai murabbi yang akan membangunkan semula umat ini sebagaimana ianya
pertama kali dibangunkan oleh murabbi agung iaitu Rasulullah saw. Kurniakanlah
kesabaran kepada kami sehingga kami mampu memetik buah yang telah masak pada
masanya yang telah ditentukan olehMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
artikel yang ada gambar HAB tu WAS ekstrak dari majmuk rasail ke?
Ada bahagian2 yg diambil dari majmu' rasail dengan sedikit pengubahsuaian ayat2 tanpa menghilangkan maksud asal.