‘Washatiyyah’ atau sikap bersederhana merupakan salah satu daripada ajaran yang diterapkan oleh Islam kepada Umat Islam seluruhnya yang merangkumi segenap aspek kehidupan kita.
Ia adalah sebuah ajaran yang tidak terlalu melampau dan tidak pula terlalu mengambil mudah akan sesuatu perkara atau urusan. Oleh itu Islam merupakan satu agama yang sederhana dan memerintahkan agar umat Islam pun turut bersederhana dalam kehidupan seharian mereka.
Ini bersesuaian dengan firman Allah swt :
“Allah menghendaki untuk kamu kemudahan dan tidak menginginkan kesukaran…“ (QS Al Baqarah : 185)
Begitu juga dengan sabda Rasulullah saw :
“Permudahkanlah, janganlah memberat-beratkan, tenangkanlah janganlah meliarkan…”
Arahan di atas hendaklah difahami secara ilmiah bukan secara membabi-buta.
Yang dimaksudkan dengan arahan-arahan di atas ialah :
“Melaksanakan segala perintah Allah swt dan Rasul-Nya secara bersungguh-sungguh, ikhlas, berhati-hati dan penuh tanggungjawab dan tidak boleh dilaksanakan secara melampaui batas, cuai, mengambil mudah, meringan-ringankan sesuatu ibadah atau perintah Allah dan Rasul-Nya.”
Melakukan sesuatu ibadah atau perintah Allah dan Rasul-Nya secara melampaui batas akan melahirkan satu ibadah yang boleh memberatkan orang lain sehingga menjadi ia satu bid’ah manakala meringan-ringankan pula akan mendorong atau menjerumuskannya kepada meninggalkan terus ibadah tersebut.
Cuba kita perhatikan kehidupan Rasulullah saw di dalam melakukan ibadah, baginda akan mengerjakannya secara bersungguh-sungguh serta menyama-ratakan dengan aktiviti hariannya. Ini bermakna ibadah dan kehidupan seharian adalah seimbang atau tidak berat sebelah. Ini dapat dilihat di dalam maksud sebuah hadis dari Aisyah ra di mana beliau berkata :
“Apabila Rasulullah diberi pilihan, baginda akan memilih yang paling mudah daripada keduanya selagi ia tidak berdosa. Jika ia berdosa maka dialah manusia yang paling jauh daripadanya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Demikianlah peribadi Nabi Muhammad saw sebagai seorang Rasul yang diutuskan sebagai rahmat untuk seluruh alam sebagaimana firman Allah swt :
“Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (QS Al-Anbiya’ : 107)
Sehingga risalahnya adalah risalah yang membawa rahmat bagi sekalian alam. Sebagai sebuah risalah rahmat, maka Islam memiliki karakteristik ‘washathiyah’ (pertengahan / moderat) atau yang lebih dikenali dengan ‘tawazun’ (seimbang).
‘Washathiyah’ atau ‘tawazun’ itu adalah karakteristik Islam yang pertengahan dan seimbang antara dua kutub yang berlawanan dan bertentangan. Masing-masing kutub tidak berpengaruh secara sendirian sementara kutub lawannya dibuang semenatara salah satu dari kedua kutub itu tidak diambil lebih dari yang semestinya (haknya) dan melanggar serta menzalimi kutub lawannya.
Karakteristik Islam itu juga :
1. Tidak ‘tasyaddud’ (ketat, menyusahkan).
2. Tidak ‘tasahul’ (longgar, terlalu bermudah).
Jika Islam bersifat ‘tasyaddud’ akan hilang rasanya sebagai rahmat, kerana orang yang melaksanakan Islam akan memiliki kesukaran. Padahal Rasulullah saw sebagai pembawanya memerintahkan untuk mempermudahkan dan jangan mempersulitkan.
Begitu juga jika Islam bersifat ‘tasahul’ , ia juga akan membuat rasa rahmat itu hilang kerana peraturan Islam menjadi tidak jelas batasannya. Hidup tanpa peraturan akan membuatkan hidup karut-marut lalu, seperti apakah rasanya hidup yang karut-marut? Niscaya ramai orang yang terzalimi kerana pada hakikatnya tanpa peraturan, ia akan mengambil hak orang lain.
MODERAT DALAM IBADAH
Moderat dalam ibadah dapat dilihat dalam firman Allah swt :
“Wahai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jum’at, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah, dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.” (QS Al-Jumuah : 9-10)
Sikap moderat dalam ibadah dan rahmatnya Islam benar-benar terserlah dalam ayat-ayat di atas.
Islam tidak mewajibkan umatnya untuk memutuskan sama sekali aspek duniawi (dalam hal ini aktiviti jual beli) atas ibadah. Sebelum solat Jum’at, umat Islam melakukan perniagaan. Setelah selesai solat Jum’at, umat Islam meneruskan perniagaan kembali, dengan sentiasa berzikir kepada Allah. Ini bererti kehidupan berniaganya pun tidak lepas dari aktiviti ibadah dan praktik ritual lainnya.
MODERAT DALAM AKHLAK
Islam bersikap moderat antara golongan yang ekstrim / terlalu ideal di mana mereka membayangkan manusia sebagai malaikat atau menyerupai malaikat. Maka mereka meletakkan untuknya nilai-nilai dan adab susila yang tidak mungkin untuk dilaksanakan dengan golongan pragmatic yang menyangka manusia adalah bagaikan haiwan. Maka mereka menginginkan tata cara perilaku yang tidak layak bagi manusia.
Manusia menurut pandangan Islam, tentulah sebagaimana yang Allah sampaikan melalui firman-Nya :
“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (QS Asy-Syams : 7-10)
Firman Allah swt lagi :
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan (saksi) kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).” (QS Al-Baqarah : 143)
Secara bahasa, perkataan ‘wasath’ bermaksud :
a. Adil.
b. Terbaik (dari segi kebaikan dan kualiti).
c. Yang paling utama.
d. Yang paling mulia.
Disebut di dalam kamus ‘Lisan Al-Arab’ bahawa :
“Perkara yang paling ‘wasath’ ialah yang paling baik, yang paling benar dan yang paling adil”.
Ibnu Katsir menyebut :
“Wasath’ adalah pilihan yang paling baik dan kualiti yang paling baik” sebagaimana dikatakan, “Quraisy adalah yang paling ‘wasath’ (baik) di kalangan orang Arab dari segi keturunan dan kualiti hidup. Juga dikatakan, “Muhammad Rasulullah adalah yang paling wasath (baik) di kalangan kaumnya” yakni yang paling mulia di kalangan mereka.
Makna wasath dari segi bahasa hampir sama dengan makna istilah (makna syar’ie)nya.
Makna wasath dari segi bahasa hampir sama dengan makna istilah (makna syar’ie)nya.
Diriwayatkan oleh At-Tirmizi dari Abu Said Al-Khudri dari Nabi saw berkenaan firman Allah swt :
“Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ‘ummatan wasathan’”,
Dia berkata : “(maknanya) umat yang adil”.
Katanya lagi, hadis ini (statusnya) hasan sahih.
Imam Qurtubi juga menukilkan bahawa makna ‘wasath’ adalah ‘adil’.
‘Ummatan wasathan’ adalah umat yang adil dan umat pilihan.
Sikap ‘wasath’ tidak lain adalah :
1. Sikap adil, iaitu menempatkan segala sesuatu sesuai dengan posisi dan ketentuannya menurut ukuran syara’.
2. Sikap menegakkan dan menyebarkan risalah Islam kerana ciri-ciri sebagai umat ‘wasath’ itu dikaitkan dengan risalah Islam.
3. Sikap memilih yang terbaik dari berbagai perkara dan memilih yang benar dan paling bagus.
4. Sikap melaksanakan dan terikat dengan ketentuan Allah, iaitu syariah Islam.
Dalam ayat di atas, perkataan ‘wasathan’ yang merujuk kepada ‘umat Islam’ membawa maksud bahawa :
PERTAMA : PERSAKSIAN UMAT ISLAM TERHADAP UMAT YANG LAIN.
KEDUA : PERSAKSIAN RASULULLAH TERHADAP UMAT ISLAM.
Keadilan merupakan satu syarat untuk menjadi saksi (atas bangsa lain), justeru ‘ummatan wasathan’ adalah satu umat yang layak menjadi saksi atas umat (bangsa) yang lain.
Ini adalah satu penghargaan dari Allah dan suatu keutamaan untuk orang-orang Islam (dengan menjadikan mereka sebagai ‘ummatan wasathan’.
Syed Qutb telah menghuraikan ayat di atas di dalam "Fi Zilal Al-Quran" dengan kata-kata yang menyeluruh di mana beliau berkata :
“Ianya adalah :
a. Umat pertengahan yang layak memberi keterangan kepada umat manusia seluruhnya, untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan, dan meletakkan keseimbangan dan nilai-nilai.
b. Umat pertengahan dalam persepsi dan kepercayaan, tidak melampau dalam amalan kerohanian atau tenggelam dengan keseronokan kebendaan , tetapi mengikuti naluri atau fitrah itu.
c. Umat pertengahan dalam pemikiran dan perasaan yang tidak jumud tentang apa yang diketahui dan menutup pintu-pintu percubaan dan pengetahuan.
d. Umat pertengahan ini tidak mengikut semua slogan dan menurut tradisi monyet yang ketawa, tetapi umat yang berpegang kepada semua pandangan, pendekatan dan usul mereka kemudian menimbangkan segala hasil pemikiran dan percubaan.
e. Umat pertengahan di dalam pengurusan dan penyelarasan yang tidak mengabaikan perasaan dan suara hati dalam seluruh hidupnya dan tidak mengabaikan undang-undang dan disiplin iaitu saling menggabungkan antara itu dan ini.
f. Umat pertengahan dalam hubungan dan ikatan yang tidak meninggalkan ciri-ciri dan keperibadian individu dan tidak mengenepikan jati dirinya dalam menurut jati diri dan keperibadian jamaah atau negara.
g. Umat yang menentukan tanggungjawab dan tugas yang menjadikan individu ini sebagai pembantu kepada jamaah, kerana jamaah adalah penjamin kepada seseorang individu dalam keserasian dan pemasaran.”
MANHAJ MODERAT TERUS RELEVAN
Islam adalah agama yang ‘washatiyah’ dan sederhana.
Menurut Dr Yusof Al-Qardhawi, manhaj moderat adalah metod dan cara terbaik yang dapat mengembangkan dakwah Islam sehingga umat Islam mencapai matlamatnya. Orang yang berpaling dari metodologi moderat akan membawa kepada sikap samada berlebih-lebihan atau meremehkan.
Bentuk dan ciri-ciri sikap berlebihan ialah :
PERTAMA :
Tidak mengakui pendapat orang lain dan fanatik terhadap pendapatnya sahaja.
KEDUA :
Memaksa umat secara keras untuk beramal dan lupa perbezaan manusia, ada yang kuat dan ada yang lemah, mewajibkan mereka semua dengan amalan sunat tanpa memperhatikan kedudukan mereka.
KETIGA :
Bertindak keras bukan pada tempat dan masanya.
KEEMPAT :
Keras dalam berdakwah dan tidak mengikuti manhaj Al-Qur’an yang menyuruh berhikmah dan berlemah lembut.
KELIMA :
Buruk sangka terhadap manusia dan menghina orang lain.
KEENAM :
Saling mengkafirkan orang lain.
Di antara intisari ajaran ‘washatiyah’ ini ialah :
1. Berasaskan kemudahan dan khabar gembira. Kemudahan dalam hukum-hakam dan khabar gembira dalam berdakwah.
2. Perpaduan antara salafiah dan pembaharuan atau antara tradisi dengan kemodenan. Maksud salafiah ialah kembali kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah dan pembaharuan adalah menyatu dan mengikuti perkembangan dan tuntutan zaman.
3. Penyesuaian antara salafiah dan sufi dengan mengambil ajaran yang terbaik dari kedua-duanya sehingga menghasilkan jalan terbaik dari kedua-duanya.
4. Bersikap moderat antara aliran zahiriyah dengan golongan takwil. Moderat antara sikap yang kaku dalam melihat zahir nas dan sikap yang berlebih-lebihan dalam mentakwilkan teks-teks agama, tidak terlalu luas dan tidak kaku.
5. Perimbangan antara perkara yang ‘thabit’ (tetap) dengan perkara yang berubah-ubah dalam Islam.
6. Melihat dan memperhatikan realiti serta tidak banyak berbicara tentang masa lalu sehingga lupa akan masa depan atau terlalu idealistik tanpa melihat realiti yang ada.
7. Toleransi dan hidup dalam ukhuwah serta saling hormat menghormati.
8. Berlandaskan syura dan memberi kebebasan kepada masyarakat.
9. Mengembalikan kedudukan wanita sebagai saudara kembar bagi kaum lelaki.
10. Menghidupkan kembali ‘ijtihad’.
Manhaj ‘washatiyah’ yang sebenar adalah orang yang berpegang teguh kepada asas-asas agama yang sebenar seperti di atas dari segi kefahaman, keyakinan, pengamalan mahupun dakwah.
Dr Yusof Al-Qardhawi membahagikan gerakan yang ada kepada empat aliran utama :
PERTAMA : GOLONGAN TAKFIR IAITU GOLONGAN YANG MUDAH MENGKAFIRKAN ORANG
Kumpulan ini mulanya muncul di Mesir dengan persepsi pemikiran untuk mengkafirkan masyarakat atau orang ramai secara keseluruhan kecuali orang-orang yang percaya kepada prinsip-prinsip mereka dan bergabung dengan jamaah mereka.
KEDUA : GOLONGAN YANG MENGGUNAKAN KEKERASAN DAN SENJATA UNTUK MENGHADAPI KEBATILAN DAN MERUBAH APA YANG DILIHATNYA SEBAGAI MUNGKAR
Pada dasarnya, kekerasan kelompok ini lebih ditujukan kepada para penguasa yang tidak menjalankan syariat Allah.
KETIGA : GOLONGAN JUMUD DALAM PEMIKIRAN DAN MENGAMBIL MAKNA SECARA LITERAL DALAM FIQH, MENCARI YANG SULIT DALAM FATWA, KERAS DALAM BERDAKWAH DAN KASAR DALAM BERINTERAKSI
Mereka mengingkari ‘tajdid’ atau pembaharuan dalam agama, ‘ijtihad’ dalam fiqh, kemudahan dalam berfatwa, khabar gembira dalam berdakwah, tidak membuat keseimbangan antara teks dan tujuan syariat, lalu akhirnya bersikap keras terhadap orang lain.
Mereka seringkali mengeluarkan kata-kata haram mahupun bid'ah. Masalah-masalah yang ditimbulkan oleh kumpulan ini bukanlah perkara yang asas tetapi perkara remeh, memperhatikan rupa dan mengabaikan hakikat, memperhatikan perkara-perkara yang diperselisihkan dan mengabaikan perkara-perkara yang telah disepakati.
KEEMPAT : KELOMPOK YANG TERBESAR, BANYAK PENGIKUTNYA DAN PANJANG UMURNYA IAITU KELOMPOK MODERAT (WASHATIYAH)
Kelompok inilah yang dapat mengambarkan Islam yang sebenarnya sama ada dari sudut ilmu mahupun amalan. Aliran ini berdasarkan kepada tiga asas terpenting iaitu :
a. Mudah.
b. Pembaharuan.
c. Pertengahan.
Oleh itu, kita memerlukan aliran yang mempunyai ciri-ciri moderat (washatiyyah) yang diidamkan iaitu :
1. Mempunyai metod yang mudah dalam berfatwa dan memberi khabar gembira dalam berdakwah.
Ini adalah manhaj yang telah digariskan oleh Nabi dengan sabdanya :
"Buatlah yang lebih mudah dan janganlah mempersulitkan, buatlah mereka gembira dan jangan buat mereka lari." (muttafaq alaihi)
Termasuk dalam perkara ini adalah bebas dari fanatik terhadap kelompok atau mazhab tertentu dan melaksanakan kaedah perubahan fatwa berdasarkan perubahan zaman, tempat, tradisi dan adat. Sementara khabar gembira dalam berdakwah adalah menunjukkan manifestasi kecintaan kepada Allah, menanamkan dalam hati mereka harapan dan bukan putus asa, membangkitkan semangat untuk perkara yang lebih baik dan banyak menyampaikan berita-berita kemenangan.
2. ‘Tajdid’ dan ‘Ijtihad’.
Ciri pemikirannya ialah mereka berdakwah kepada pembaharuan agama. Dengan pembaharuan agama, akal pun menjadi baru dengan diisi ma’rifah, hati menjadi baru kerana diisi iman dan segala aspek kehidupan menjadi baru kerana diisi dengan pergerakan dan maju ke hadapan.
Di antara fenomena pembaharuan agama ialah ijtihad iaitu mengeluarkan hukum-hukum yang baru berdasarkan teks Al-Qur’an dan As-Sunnah. Ijtihad merupakan keperluan umat Islam dan tuntutan agama. Ijtihad hendaklah dilakukan oleh orang yang selayaknya dan tidak boleh berijtihad dalam perkara-perkara yang pintunya memang tertutup.
3. Pemikiran yang seimbang dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain, suatu pandangan yang menggambarkan jalan pertengahan bagi umat pilihan, jauh dari sikap berlebih-lebihan dan pengabaian.
Pemikiran ini seimbang antara penyeruan kepada pemikiran mazhab yang sempit dan penyeruan tanpa mazhab, pertengahan antara orang yang mengagungkan akal walaupun bertentangan dengan teks dengan golongan yang mengabaikan akal walaupun dalam memahami teks, pertengahan antara keras dalam masalah cabang dengan golongan yang mengabaikan dalam masalah asas dan pokok.
Namun, masa depan aliran moderat (washatiyyah) ini adalah bergantung kepada sejauh mana keterikatannya dengan dasar-dasar Islam dengan kefahaman yang jelas, kesanggupan memenuhi keperluan masyarakat moden dan berbagai-bagai tuntutannya sama ada material mahupun kerohanian, memiliki pengaruh yang kuat dalam masyarakat dan berkembang secara meluas dalam masyarakat.
Kita tidak boleh lagi mengecilkan diri bahkan kita mesti menjalinkan hubungan dengan semua lapisan masyarakat. Pendekatan ini mestilah disuburkan dalam masyarakat.
Sikap ‘konservatif’ dan ‘liberal’ yang keterlaluan adalah menyimpang dari manhaj yang dikehendaki dalam agama Islam. Malah, aliran yang membawa imej yang sederhana seringkali ingin dicampakkan dalam kategori ektremis mahupun liberal.
Kita berkeyakinan penuh bahawa kekuatan umat ini adalah Islam. Umat ini tidak boleh hidup tanpa Islam, tidak boleh bangun kecuali dari Islam, tidak boleh mengorbankan harta dan jiwanya kecuali untuk Islam, tidak boleh berhimpun kalimatnya kecuali atas Islam. Islam adalah satu-satunya pintu kemenangan umat. Kemenangan tidak akan muncul sepanjang sejarah umat ini kecuali bernaung di bawah benderanya. Umat ini akan mencipta kegemilangan apabila kita bersama Al-Qur’an dan keimanan.
Oleh itu kita berharap kebangkitan Islam mestilah menyeluruh tanpa mengira kelompok atau golongan tertentu atau berlakunya pemisahan antara sesama umat Islam kerana berbeza pendekatan.
Di samping itu, kita perlu menghadirkan suatu iklim yang bebas dan aman bagi perkembangan kebangkitan Islam untuk mempratikkannya tanpa merasai ketakutan.
Dalam hal ini, antara kewajipan umat Islam terhadap kebangkitan Islam ialah :
PERTAMA :
Setiap orang perlu melibatkan diri dengan kebangkitan Islam.
KEDUA :
Meluruskan kefahaman yang salah tentang ajaran Islam.
KETIGA :
Menjadikan kebangkitan Islam sebagai hasratnya yang paling besar.
KEEMPAT :
Mesti menjadikan kebangkitan Islam untuk membangun, bukan untuk merosakkannya.
KELIMA :
Membuka dialog dengan semua golongan yang berbeza pandangan.
KEENAM :
Jangan menyibukkan diri dalam masalah-masalah cabang dan melalaikan masalah yang mendasar.
KETUJUH :
Memperhatikan sunnatullah terhadap alam dan manusia. Apabila kita berbuat sesuai dengan sunnatullah, niscaya akan mencapai kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.
Namun apa yang kita khuatirkan adalah gelombang kebangkitan Islam yang dicemari oleh unsur-unsur berikut :
a. Aliran jumud yang menolak pembaharuan dan ijtihad.
b. Aliran fanatik dan keras iaitu mempersempitkan apa yang dilapangkan Allah, bersikap keras di tempat yang seharusnya lembut.
c.Aliran yang terburu-buru dan bertempur dengan penguasa sebelum tiba waktunya tanpa ada keperluan yang sebenarnya.
d. Aliran merasa hebat di tengah masyarakat dan tidak mahu bercampur dengan masyarakat dalam proses perubahan.
e. Fanatik kepada individu dan organisasinya sendiri tanpa melihat kebaikan organisasi lain.
f. Tenggelam dalam politik setempat yang keterlaluan dan membatasi dalam bidang politik sahaja dan tidak peduli mengenai bidang-bidang yang lain.
Kebangkitan aliran moderat (washatiyah) ini merupakan gelombang hari esok, yang diharap dan yang didambakan oleh umat Islam. Gelombang ini mestilah menjadi dominan dalam masyarakat dan melakukan perubahan dari dalam diri dan masyarakat. Islam adalah kekuatan umat ini. Tidak ada jalan keluar bagi umat ini kecuali dengan Islam, tidak ada kemuliaan dan kebangkitan kecuali dengan Islam.
Cuma persoalannya ialah :
1. Apakah konsep moderat atau kesederhanaan yang difahami oleh masyarakat sekarang ini benar-benar mengikuti ukuran dan acuan Islam?
2. Apakah moderat atau sederhana itu bermaksud membenarkan sistem ekonomi yang berasaskan riba terus berjalan?
3. Apakah ia bermaksud melaksanakan undang-undang kufur ciptaan manusia?
4. Apakah ia bermaksud membiarkan manusia bebas menggubal dan membuat undang-undang sendiri di Parlimen?
Dalam erti kata lainnya, apakah yang dikatakan “washatiyah” (moderat atau sederhana) itu adalah dengan mencampur adukkan di antara perkara yang hak dengan yang batil?
Marilah sama-sama kita fikirkan.
Sesungguhnya, ajaran dan kehidupan Rasulullah saw yang secara tidak langsung telah memberikan kita satu pengajaran dan teladan untuk dicontohi bersama dan menjadikannya sebagai teras kehidupan kita seharian agar kita dapat menyeimbangkan keperluan hidup di dunia dan di akhirat.
Ya Allah, jadikanlah kami umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan yang bermatlamat untuk mencari kebenaran atau dengan erti meletakkan sesuatu pada tempatnya serta menjadi saksi ke atas manusia dalam erti membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah dengan sikap seadil-adilnya sebagaimana Rasulullah saw sendiri menjadi saksi kepada umat Islam.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS