Dengan cara apakah keluhuran Islam dan kemuliaannya dapat kita rasakan ketika ini setelah perjalanan sejarah 15 abad berlalu?
Ya, mata rantai sejarah adalah mata rantai ‘rijal-rijal’ (manusia-manusia) pilihan dan rakaman jejak langkah mereka itu menjadi untaian tinta emas sejarah yang bukan sahaja dikenang tetapi juga dijadikan rujukan dan kemudiannya diteladani kerana merekalah generasi terbaik umat Islam bahkan yang terbaik dari generasi umat manusia yang pernah ada.
Sejarah memilih mereka bukan tanpa alasan dan tidak juga melalui jalan yang mudah tetapi ianya hasil sebuah perjuangan yang gigih untuk membentuk ‘rijal-rijal’ pilihan.
Boleh dikatakan, itulah buah perjuangan tarbiyah yang tulus dan bersepadu kerana hitam putihnya manusia adalah buah dari proses tarbiyah yang menempa dan membentuknya.
Dengan tarbiyah yang bersepadu, tulus dan gigih itulah yang dilakukan oleh Rasulullah saw untuk membentuk peribadi-peribadi terbaik yang dijamin masuk syurga itu.
“Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (QS At Taubah : 100)
RIJAL DAKWAH IDAMAN
Kita mengidamkan rijal yang :
a. Sentiasa rindukan Allah dan mengharapkan mati syahid seumpama Urwah bin Mas’ud As Thaqafi ra.
b. Berjiwa besar seperti Rabi’ah bin Kaab Al Islami ra.
c. Menunaikan sumpah setianya seperti Anas bin An Nadhar ra.
d. Segera melaksanakan segala arahan seumpama Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as.
e. Menjiwai tanggungjawabnya sebagai qudwah kepada manusia lalu sanggup menanggung sebarang keperitan seumpama Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah.
Selain nama-nama besar di atas, kita juga mengidamkan rijal yang :
1. Kata-katanya samada zikir kepada Allah atau dakwah kepada manusia.
2. Mencari dunia untuk memberi khidmat kepada dakwah.
3. Memiliki keberanian yang dikawal dengan sikap berhati-hati.
4. Sentiasa taat yang diselimuti kefahaman.
5. Tenaga yang disalurkan untuk merealisasikan strategi harakah.
6. Mempunyai keinginan melonjak-lonjak yang diiringi dengan pengalaman.
7. Mempertahankan isu muslimin, memiliki iman yang diperkukuhkan dengan tafakur, ibadah yang disusuli oleh amal dakwah, tidak berputus asa dengan situasi umat, jiwanya mengharap rahmat Allah dan sentiasa ‘thiqah’ dengan janji-Nya.
8. Menjadi penegak syariah, menentang bid’ah dan mempertahankan As Sunnah.
9. Jalan hidupnya adalah jalan hidup Rasulullah saw, pakaiannya adalah taqwa dan matlamatnya adalah keredhaan Allah swt.
10. Waktunya diisi dengan ibadah dan menyeru masnuia di medan-medan dakwah.
11. Sentiasa bersama dengan kumpulan ‘Al Haq’. Ketika diarahkan berangkat, dia berangkat. Ketika melakukan sesuatu, dia tekun. Ketika berada di medan yang genting, dia bersabar.
Sseungguhnya rijal idaman yang dinantikan itu tiada padanya erti kesusahan selagi dakwah tidak mencapai matlamat dan tenaganya masih tidak sampai ke penghujungnya.
Tiada kekasaran di dalam arahannya, tiada kehinaan di dalam ketaatannya dan kritikannya membina.
Dia dan orang seumpamanya adalah orang-orang yang marah melihat kemungkaran dan sentiasa menyeru ke arah yang ma’ruf.
Merekalah murabbi dan pengatur strategi di mana mereka berdisiplin dan mendisiplinkan saudara mereka yang lain.
Apabila mereka menjadi qiyadah, mereka menunaikan tanggungjawab dan apabila mereka menjadi pengikut, mereka memberikan ketaatan kepada qiyadah.
Mereka memiliki kemampuan berfikir untuk menghuraikan masalah umat dan mengatur amal dakwah untuk menyelamatkan mereka.
Merekalah harapan agama ini dan pada tubuh mereka kedengaran suara lembut :
“Kemenangan dari Allah dan pembukaan yang hampir.”
Mereka bergembira menunaikan tanggungjawab agama, menjauhi segala peraturan ‘taghut’ dan menyanggahi hawa nafsu mereka.
Mereka tahu bahwa jihad adalah ‘rahbaniyah’ lalu mereka mengasah senjata mereka.Mereka tahu bahwa perjalanan mereka hanya akan berakhir di lubang kubur lalu mereka membersihkan diri dari debu dunia.
Hidup mereka keseluruhannya untuk dakwah di mana mereka :
a. Bercakap berkenaan dakwah.
b. Bergerak dengan dakwah.
c. Berpindah randah bersama-sama dakwah.
Tidur mereka sedikit dan mereka hanya bercakap ketika perlu dan mereka sentiasa memuhasabah diri mereka agar mereka tidak ditipu oleh iblis.
RIJAL IDAMAN ABAD KE 15 HIJRIYAH
Walaupun Imam Hasan Al Banna telah kembali menghadap Rabbnya, ia telah meninggalkan jejak kebaikan bagi setiap generasi yang ada di belakangnya.
1. Memberinya sesuatu untuk menguatkan hubungannya dengan Allah swt.
2. Mengukuhkan kefahamannya terhadap agamanya.
3. Mengajaknya untuk mempersembahkan ketaatannya untuk Islam dan kaum muslimin.
Dia adalah pejuang yang sentiasa menyibukkan diri untuk mendidik manusia.
Cahaya yang tiada henti bersinar hanyalah bintang yang tergantung di langit dan Imam Hasan Al Banna berada pada jarak terdekat darinya. Ia adalah peribadi yang dapat menyerap tabiat bintang kerana permata yang melekat dalam dirinya tidak pernah berhenti memancarkan sinarnya.
Tanyalah kepada ribuan manusia yang bertemu dengannya atau semua yang terkena siraman cahaya lelaki ini, niscaya mereka pasti menyimpan pengaruh pencerahan yang disampaikan olehnya dalam jiwa dan fikirannya. Jejak yang bernilai tinggi bagi mereka bahkan mereka menganggapnya lebih berharga dari segala yang mereka perolehi dalam kehidupan dunia ini.
Seorang pendakwah bukanlah :
a. Sekadar wasilah yang berfungsi untuk memindahkan pengetahuan dan informasi seperti lori kontena yang membawa barang dagangan dan memindahkannya dari satu tempat ke tempat yang lain.
b. Hanya mengalihkan nas-nas yang terdapat di dalam Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw kepada telinga manusia, kemudian selesai sampai di situ.
Salah satu kelebihan beliau adalah pengetahuannya yang mendalam tentang :
- Ilmu jiwa.
- Seni membina.
- Teori sosial.
Ia juga memiliki kecerdasan dalam mengetahui :
- Tabiat manusia.
- Struktur keperibadian.
- Piawaian potensi setiap orang.
Ini adalah beberapa kemampuan peribadinya yang membantunya dalam berdakwah.
Namun, yang sangat berperanan besar dalam dirinya berbanding potensi lain adalah adanya ilham Allah dalam dirinya.
Ilham ini membuatnya mampu :
- Memilih peranan yang sesuai untuknya.
- Mengemas susunan kata yang dapat menyingkirkan hawa nafsu dari mendengarnya.
- Meninggalkan jejak luhur dalam jiwa dan akal mereka.
Kebiasaannya bagi seorang ahli pemanah, ketika ia hendak melepaskan anak panah dari busurnya menuju sasaran yang dikehendaki, ia akan berusaha untuk menarik tali busur itu dengan sekuat tenaga.
Namun, jika lontarannya jatuh jauh dari sasaran, mereka yang menjadi sasaran bidikan hanya akan lari lebih jauh. Maksudnya, betapa ramai pendakwah yang menyampaikan kata-kata hikmah dan ajakan kepada kebaikan melalui lisan mereka seperti peluru yang menuju sasaran tembakan, namun tidak mengenai sasaran disebabkan kurang kemahiran dalam membidik.
Adapun Imam Hasan Al Banna, ia diberi kemampuan membidik sasaran dengan tepat, piawai dalam merekrut dan menjaring aktivis dakwah ditambah pula dengan kata-katanya yang menarik hati pendengarnya.
Itu adalah salah satu keutamaan yang Allah berikan padanya iaitu keutamaan yang jauh lebih besar dari sekadar kecerdasannya yang luar biasa. Kalimat yang keluar dari lisannya mampu mengikat hati pendengarnya sebagaimana firman Allah swt :
“Dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allahlah yang melempar (Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka).” (QS Al Anfaal : 17)
Imam Hasan Al Banna memulakan langkahnya dengan membina generasi muda Islam di atas tikar yang telah ia hamparkan. Ia ingin membangun sebuah Negara Islam dan menegakkan syariat Allah yang agung, maka ia pun menempuh sebuah jalan di mana hanya ada satu jalan untuk sampai pada tujuannya meskipun :
- Jalan itu terbentang jauh di hadapannya.
- Perjalanannya memakan waktu yang lama.
- Terpaksa menanggung beban yang berat.
Itulah jalan ‘Tarbiyah Islamiyah’.
Imam Hasan Al Banna sangat memahami bahwa kaum Muslimin diserang dari pelbagai arah dan kekuatannya telah dihancurkan pada penghujung abad ini sehingga musuh-musuh mereka ynag kafir itu mampu menyusul dan mengejar hingga ke dalam rumah mereka.
‘Rijal’ ini juga tahu bahkan sangat faham sebab-sebab kekalahan yang memilukan itu iaitu antara lain :
- Jiwa kaum Muslimin telah dipenuhi dengan kemaksiatan.
- Jamaah dan organisasi keislaman pun telah melakukan banyak penyimpangan.
- Negeri-negeri Islam hancur kerana kecintaan mereka kepada dunia dan ketakutan mereka terhadap kematian.
Itulah saat dan ketikanya di mana orang-orang kafir mampu memenangi pertarungan ini.
Oleh kerana itu, beliau berusaha untuk membangun jiwa ini dalam ketaatan kepada Allah serta memerangi perilaku ‘Israf” (berlebih-lebihan) dan kemewahan dengan cara cukup berhemah.
Umat ini mesti mengetahui bahwa kebahagiaan hidup akan muncul seiring dengan lahirnya keberanian menyambut ujian dan cobaan. Semua itu dapat terlaksana dengan kukuhnya dukungan yang berasal dari kekuatan hubungan dengan Allah bahkan rintangan pun dapat dilalui dengan kekuatan doa :
“Ya Tuhan kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.” (QS Al Baqarah : 250)
Kemenangan sesungguhnya bermula dari sini.
Ada sesetengah kalangan mengatakan bahwa mengembalikan masalah ini kepada Allah hanya layak dilakukan oleh orang-orang yang lemah.
Tapi, jika kita benar-benar memahami ayat di atas, niscaya mereka akan tahu bahwa yang mengumandangkan doa di atas adalah pasukan yang teguh yang menerobos medan laga untuk menghancurkan musuh-musuh Islam yang merintangi jalan dakwah.
Mereka terus berjuang hingga dapat mempersembahkan kemenangan bagi kebenaran dan rela mengorbankan jiwa mereka untuk mempertahankannya. Sebesar apapun ujian dan cobaan yang menimpa mereka di jalan Allah, mereka tetap tegar sambil tetap melaksanakan kewajiban mereka dengan baik.
“Tidak ada doa mereka selain ucapan, ‘Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami….” (QS Ali Imran : 147)
Ada kekuatan yang terbangun dari eratnya hubungan setiap individu dengan tuhannya iaitu kekuatan yang membuatkan mereka semakin produktif, menerima ketentuan Allah dan sentiasa memohon ampun kepadaNya. Hubungan itu bukanlah hubungan yang menyebabkan mereka malas, mundur dan tercerai berai.
Imam Hasan Al Banna kemudiannya datang dan mengumpulkan batu-bata yang telah jatuh berserakan, menyusunnya kembali menjadi satu bangunan baru. Dengan usaha tersebut, ia mengembalikan semula tiang-tiang hukum Islam yang telah runtuh.
Mungkin ramai orang yang tidak yakin akan tujuan dari proses tarbiyah yang dilakukan oleh Imam Hasan Al Banna sehingga negeri Syam dan Terusan Suez menyaksikan sendiri bagaimana anak cucu Khalid Al Walid, Abu Ubaidah Al Jarrah, Az Zubair ibnul Al Awwam dan Ubadah bin Shamit terlahir kembali pada zaman ini ketika Jamaah Ikhwanul Muslimin menghantar sukarelawan mujahidin dan berperang dengan gagah berani menentang pasukan Zionis Yahudi. Mereka bagaikan mukjizat Rasulullah saw yang berlaku pada masa lalu muncul kembali pada abad 20 ini.
Sesungguhnya kebesaran peribadi rijal idaman ini sebagai pemimpin nampak jelas bertumpu pada kemampuan menyatukan berbagai keragaman seperti :
- Tingkatan ilmu dan wawasan.
- Srata ekonomi dan ketokohan.
- Keyakinan terhadap dakwah.
- Kefahaman terhadap sebuah visi.
Kesemua perbezaan di atas dapat beliau satukan dalam sebuah barisan yang kukuh dan berjalan bersama dalam satu kafilah dakwah untuk meraih satu tujuan.
Apabila diajukan pertanyaan ini :
“Bagaimana seorang insan seperti Hasan Al Banna mampu mewujudkan satu pasukan yang boleh menyatukan yang kaya dan miskin, yang tua dan muda, yang kuat dan lemah dan yang sentiasa bersemangat dan yang berkeperibadian tenang?”
Jawabannya adalah :
“Semua itu berlaku berkat kehendak Allah semata-mata. Ia tidak muncul secara kebetulan, namun semuanya adalah hasil dari buah perjuangan yang berterusan dan amal yang dilakukan secara konsisten.”
Ya Allah, berilah pahala kepada kami dengan kebaikan bagi Islam dan kaum Muslimin sebagaimana pahala yang Engkau berikan kepada pemimpin kaum Muslimin yang diberi petunjuk. Permudahkanlah jalan kepada kami untuk kami mencontohi ‘rijal-rijal’ dakwah idaman umat yang telah menunaikan janji mereka kepadaMu dan bangkitkanlah kami pada hari Kiamat bersama para Nabi dan para ‘Shiddiqin’.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS