Kewajiban kaum muslimin dalam menegakkan ‘Dakwah Islamiyah’ adalah bertitik tolak dari pertimbangan yang logik di mana yang paling penting di antaranya ialah diutusnya Rasulullah saw sebagaimana yang tercermin dalam ‘Deen’ (Al Islam).
“Pada hari ini telah aku sempurnakan kepadamu agamamu”. (QS Al Maidah : 3)
Manusia dalam sejarahnya sentiasa dirosakkan oleh kesesatan dan penyimpangan manakala tugas menyampaikan petunjuk kepada manusia pula dibebankan kepada para Nabi dan Rasul.
“Dan tidak ada satu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan”. (QS Al Fathir : 24)
Setiap kali berlakunya penyelewengan dari manhaj Allah oleh suatu kaum, Allah swt akan mengutus seorang Nabi di tengah-tengah mereka sebagai pemberi khabar gembira atau pemberi peringatan.
Pada mulanya manusia itu satu umat. Kemudian mereka banyak yang sesat dan oleh kerana itulah Allah swt mengutus Nabi dan Rasul untuk mengembalikan mereka kepada kebenaran.
“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para Nabi, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan”. (QS Al Baqarah : 213)
Ketika manusia mencapai tahap kemajuan ilmu, kematangan berfikir serta bersedia menerima era kesejagatan, Allah swt mengutus seorang Rasul terakhir sebagai pembawa risalah terakhir dan tidak ada lagi risalah lain yang berisi petunjuk kepada kebenaran sesudahnya.
Oleh yang demikian, kedatangan seorang Nabi dan Rasul untuk membawa risalah baru tidak diperlukan lagi dan akhirnya, tugas para Rasul tersebut diserahkan kepada pewarisnya.
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar”. (QS Ali Imran : 110)
Kebaikan umat ini terletak pada kualitinya dalam memelihara dan memperjuangkan ‘Al-Haq’ di mana aktiviti ini dilakukan sesuai dengan kemampuannya.
Rasulullah saw bersabda :
“Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat”.
“Jika Allah memberikan hidayah kepada seseorang dengan perantaraanmu, maka hal itu lebih baik bagimu daripada dunia dan seisinya”.
Perkara ini jelas menunjukkan bahwa kebaikan ‘Dakwah ila Allah’ iaitu ‘amar ma’ruf nahi munkar’ dengan hati, lisan dan tangan terletak pada kesungguhan dan pengorbanannya serta sesuai dengan karakter kemungkaran yang akan dihancurkannya atau kema’rufan yang akan ditegakkan.
Semua itu perlu dilakukan dengan penuh kesungguhan dan pengorbanan, samada dilaksanakan :
- Secara ‘fardi’ ataupun ‘jama’ie’.
- Dengan cara lemah lembut ataupun dengan cara kekerasan.
Kadang-kadang kita lihat ada masalah yang dihadapi oleh ramai para pendakwah bahkan termasuk juga para ‘asatizah’ di mana mereka merasakan belum mampu atau mahir dalam bidang dakwah lalu mereka merasa lemah semangat, berputus asa dan ‘na’udzubillah’ ada yang berhenti dari berdakwah.
Jika ini yang berlaku, maka sesungguhnya :
PERTAMA :
Kita akan kehilangan kesempatan dan peluang untuk meraih keutamaan dakwah.
KEDUA :
Masyarakat akan kehilangan ramai para pembimbing, pembina, murabbi dan penegak amar ma’ruf nahi munkar.
Agar masalah yang dihadapi oleh sesetengah pendakwah menjadi jelas, ianya boleh dibahas dalam empat sudut :
PERTAMA : Adakah ianya syarat dalam berdakwah?
KEDUA : Ianya adalah kewajiban menuntut ilmu.
KETIGA : Masalah penyatuan berbagai potensi dan kemampuan umat untuk berjaya dalam dakwah.
KEEMPAT : Cerita tentang pengalaman seorang pendakwah.
Berkait dengan Masalah Pertama, Rasulullah saw bersabda :
“Sampaikanlah dariku, walaupun satu ayat.” (HR Imam Bukhari)
Hadits ini menjelaskan bahwa walaupun yang kita miliki “hanya” atau “baru” satu ayat, maka kita telah terkena kewajiban untuk menyampaikan satu ayat itu.
Betul, memang orang yang melakukan ‘amar ma’ruf nahi munkar’ wajib memiliki ilmu iaitu :
- Ilmu tentang ‘ma’ruf’ yang akan disampaikan.
- Ilmu tentang ‘mungkar’ yang akan dicegah.
- Ilmu tentang orang yang menjadi objek dan sasaran ‘amar ma’ruf nahi munkar’.
- Ilmu tentang ‘amar ma’ruf nahi munkar’ itu sendiri.
Namun, yang dimaksudkan dengan ilmu di sini, samada secara kuantitatif ataupun kualitatif, tidaklah seperti yang digambarkan dalam hadits yang disabdakan oleh Rasulullah saw di atas.
Yang perlu dicatatkan di sini adalah kita tidak boleh menyampaikan sesuatu yang kita tidak ketahui atau yang kita tidak ada ilmu terhadapnya.
Berkait dengan Masalah Kedua, kita sebagai seorang muslim atau muslimah, khususnya para pendakwah, murabbi dan para aktivis dakwah lainnya berkewajiban untuk menuntut ilmu, meningkatkan kefahaman kita dan menambah wawasan kita dalam rangka melaksanakan sabda Rasulullah saw :
“Menuntut ilmu adalah sesuatu yang fardhu bagi setiap muslim.” (HR Ibnu Majah dan Al-Baihaqi).
Selain itu, ia juga dalam rangka melaksanakan perintah Allah swt kepada Nabi Muhammad saw (dan juga kepada kita) :
“ Dan katakan (wahai Muhammad), Ya Allah Rabbku, tambahkanlah ilmu pada diriku.” (QS Thaha : 114)
Oleh kerana itu, teruskanlah langkah kita dalam membina masyarakat. Tingkatkan ilmu dan kefahaman serta perluaskan wawasan dengan banyak membaca dan berguru kepada para ahlinya.
Berkait dengan Masalah Ketiga, perlu kita ingat dan sedari bahwa Allah swt memberikan kemampuan yang berbeza antara satu orang dengan yang lain.
- Ada orang yang berkemampuan menjadi ‘mujtahid’ (mampu menggali secara langsung nas-nas Al-Qur’an dan Al-Hadits).
- Ada yang berkemampuan menghafal Al-Qur’an dan Al-Hadits tanpa mampu ber-‘ijtihad’.
- Ada yang berkemampuan dalam syarahan, ceramah, memberi tazkirah walaupun ilmu dan wawasannya terbatas.
- Ada yang berkemampuan membina, mempengaruhi dan mengajak orang lain kepada kebaikan.
Kewajiban kita adalah menyatukan berbagai potensi itu semuanya demi kejayaan tugas dan amanah dakwah ini dan bukan sebaliknya iaitu membuatkan orang yang terjun dalam dunia dakwah bersikap putus asa dan takut.
Jika kita menemui kekurangan pada seseorang itu, tugas kitalah untuk melengkapi dan menutup kekurangan tersebut sehingga seluruh potensi dan kemampuan umat bahu-membahu dalam perkara ini.
Banyak sekali ayat, hadits dan peristiwa pada zaman Nabi, sahabat, dan salafus-soleh yang membenarkan perkara ini.
Salah satunya adalah kisah seorang lelaki (Habib An Najar) yang diceritakan dalam surah Yasin ayat 20. Al-Qur’an mengisahkan tentang seorang lelaki yang bukan nabi, rasul dan bukan pula ulama’, tapi hanya orang biasa (awam) yang terlibat aktif dalam mendukung dakwah. Allah swt menyanjung dan memberikan balasan syurga kepadanya.
Berkait Masalah Keempat, marilah kita semak sedikit dialog yang dialami oleh seorang pendakwah yang sedikit sebanyak memberikan gambaran tentang masalah yang kita hadapi saat ini dan bagaimana sebaiknya seorang pendakwah bersikap.
Ini kisah seorang pendakwah abad ke 20 iaitu Imam Hasan Al-Banna. Dia hanya seorang guru ‘Madrasah Ibtidai’yyah’.
Suatu hari, selepas dia mengisi pengajian, dia “diuji” oleh sebahagian hadirin dengan berbagai pertanyaan, maka dia menjawab :
“Wahai Saudaraku, aku ini bukan ulama’. Aku hanyalah seorang guru biasa yang hafal sebahagian dari ayat-ayat Al-Qur’an, sebahagian hadits nabi, serta sebahagian dari hukum-hukum agama yang aku baca dari beberapa kitab, lalu aku berusaha mengajarkannya kepada orang ramai. Jika engkau membawaku keluar dari ruang lingkup ini, bererti engkau telah membuatku mengalami kesulitan. Siapa yang menjawab, ‘tidak tahu’ sebenarnya ia telah memberikan jawabannya.”
Seterusnya dia berkata :
“Namun, jika engkau menginginkan jawaban dan pengetahuan yang lebih luas, maka tanyakanlah kepada selain diriku. Tanyakan kepada para ulama’ yang ahli. Merekalah yang mampu memberikan fatwa kepadamu mengenai apa yang engkau inginkan itu. Adapun aku, hanya inilah kapasiti keilmuan yang aku miliki. Allah tidak membebani seorang hamba melainkan sebatas kesanggupannya.”
Kisah di atas memberi petunjuk kepada kita bahwa sifat positif dalam menyampaikan risalah ini merupakan rahsia kelestarian Islam dan kewajiban suci seorang muslim walauapapun peringkat kematangan dan kapasitinya.
Jelas, dalam aktiviti dakwah terdapat peringkat-peringkat kewajibannya. Misalnya, masalah amar ma’ruf dan nahi munkar merupakan tugas utama pemerintah sedangkan masalah ijtihad dan menjelaskan persoalan agama secara terperinci merupakan tugas utama para ulama’.
Rasulullah saw bersabda :
“Ulama’ itu pewaris para Nabi”
“Ulama’ umatku laksana Nabi-Nabi Bani Isra’il”
Islam tidak akan tegak kecuali pada pewarisnya yang bangkit serentak menegakkan Dakwah Islamiyah secara merata di seluruh lapisan masyarakat. Tentulah, semua ini dilakukan sesuai dengan kemampuannya.
Ini perintah dan penegasan dari Allah swt :
“Serulah (manusia) kejalan Rabbmu”. (QS An Nahl : 125)
“Kami tidak akan memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar kesanggupannya”. (QS Al An’am : 152)
Kebaikan umat, keteladanan yang berterusan dan sifat konsisten dalam memelihara ‘Al-Haq’ terletak pada sejauh mana umat Islam menegakkan risalah abadi ini, iaitu menyeru manusia kepada Islam. Inilah risalah Muslim.
Risalah ini diarahkan kepada dua golongan :
PERTAMA : UMAT ISLAM
Tujuannya agar kehidupan sentiasa di dalam keadaan ma’ruf dan kemungkaran sentiasa dilihat sebagai sesuatu yang mudharat.
Ertinya, umat Islam tetap konsisten memandang kema’rufan sebagai kebaikan yang mesti ditegakkan. Sebaliknya kemungkaran sebagai kejahatan yang perlu dihapuskan. Ini perlu ditegakkan secara teori dan praktikal.
Mengapa?
Agar ‘Al Haq’ tetap menjadi mulia dan ‘Al Bathil’ menjadi hina.
Ini adalah kerana tujuan ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar’ pada peringkat ini bukan menghapuskan kejahatan secara sekaligus kerana hal yang demikian bertentangan dengan tabiat kejadian makhluk tetapi, ia lebih menekankan usaha mempersempit dan mengawal ruang gerak kemungkaran sehingga tidak menjadi suatu kekuatan dan seterusnya kema’rufanlah yang akan mendominasi kehidupan.
Aktiviti seperti itu jelas hanya dapat dilakukan oleh ‘Jundiyyah Islamiyah’ (Pejuang Islam) yang secara konkritnya menjadi sendi ‘Al-Haq’.
Pejuang ini sekaligus menjadi pendakwah yang menyeru manusia kepada Islam di mana mereka mampu menghimpun manusia di bawah panji-panji Islam dan merekalah yang disebut sebagai ‘Hizbullah’.
‘Hizbullah’ bermaksud :
- Manusia-manusia yang ikhlas dan menyandarkan seluruh nilai hidupnya hanya kepada Islam.
- Orang-orang yang terus menerus menggunakan wasilah amal, mengerahkan tenaga, kesungguhan dan menghimpun anggota sebanyak-banyaknya untuk kepentingan dakwah.
Dalam tingkatan seperti itu, aktiviti mereka tidak hanya difokuskan kepada bentuk-bentuk seperti pembangunan masjid, madrasah dan yayasan-yayasan Islam.
Sasarannya ialah :
- Melestarikan Islam di tengah-tengah umat.
- Merancang dan membangun aktiviti dakwah.
- Mendayagunakan seluruh potensi umat pada setiap sektor kehidupan masyarakat berpandukan kepimpinan ‘Qur’ani’ di seluruh lapisan masyarakat.
Berusaha untuk melaksanakan semua perkara di atas merupakan satu kewajiban. Ini adalah sebahagian dari kaidah ‘Ushul Fiqh’ yang menyatakan :
“Suatu kewajiban yang tidak sempurna kecuali dengannya, maka ia adalah wajib”.
Kadang-kadang, dakwah dalam peringkat ini tidak dapat lari dari ‘uslub’ jihad melawan penguasa zalim yang melakukan sesuatu secara sewenang-wenang bagi tujuan mengembalikan seluruh kekuasaan mereka kepada umat Islam sehingga seluruh pegawai di dalam pemerintahan tersebut diarahkan supaya berkhidmat untuk Islam dan umatnya.
KEDUA : KAUM KUFFAR
Tujuan dakwah pada sektor ini adalah :
- Melakukan pembelaan terhadap tipu daya musuh-musuh Islam yang bersifat pemikiran ataupun kebendaan.
- Menolak sikap mereka dalam melakukan secara sewenang-wenangnya terhadap umat Islam.
- Mencegah fitnah mereka terhadap negara-negara Islam dan kaum Muslimin minoriti yang hidup di bawah cengkaman mereka.
Tujuan tersebut mestilah diwujudkan :
- Dengan mengerahkan berbagai wasilah yang bersifat pemikiran ataupun kebendaan.
- Dari yang paling mudah hingga yang paling sukar.
Seterusnya, umat Islam mesti bangkit menyampaikan kebenaran dan menegakkan hujjah di tengah-tengah kaum kuffar.
Kaidah dakwah dalam peringkat ini ialah :
“Dan katakanlah : “Kebenaran itu dari Rabb kamu sekalian. Maka barang siapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman dan barangsiapa yang ingin (kafir) hendaknya ia kafir”. (QS Al Kahfi : 29)
“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Rabbmu”. (QS Al Maidah : 67)
Dakwah Islam tidak memaksa orang supaya masuk Islam. Ini tercermin di dalam konsep jihad Islam di mana ia lebih bersifat menyingkirkan halangan-halangan dan duri-duri yang merintangi perjalanan dakwah, kebebasannya dan membela kaum yang tertindas yang diperkosa oleh penguasa ‘thaghut’.
“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita ataupun anak-anak yang semuanya berdoa, “Ya Rabb kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya dan berikan kami pelindung dari sisi Engkau dan berikan kami penolong dari sisi Engkau”. (QS An Nisaa’ : 75)
Dewasa ini muncul fenomena lain yang memaksa kita perlu untuk memikirkan lebih jauh tentang istilah tersebut iaitu :
- Wujudnya kecenderungan kebebasan berfikir.
- Kebebasan mengemukakan pendapat.
- Kemudahan seorang Muslim untuk melahirkan syiar-syiar agamanya seperti mendirikan masjid, pusat-pusat Islam dan lain sebagainya di negara-negara bukan Islam.
Namun sebaliknya hal-hal seperti itu dilarang di beberapa negara-negara Islam sebelum ini seperti Tunisia, Turki dan lain-lainnya. Bahkan kebebasan berdakwah hampir boleh dikatakan tidak ada malah di beberapa negara tertentu, penguasanya melarang kaum Muslimin memakai pakaian yang menepati ciri-ciri Islam.
Ringkasnya, ‘Dakwah Islamiyah' adalah risalah setiap Muslim. Risalah ini mesti ditegakkan samada oleh individu atau jamaah sesuai dengan kesanggupannya serta keperluan dakwah itu sendiri.
‘Dakwah Islamiyah’ ialah sejumlah aktiviti yang diarahkan untuk memelihara aqidah Islam dan ajaran-ajarannya yang lurus dari segala bentuk bid’ah.
Ia adalah usaha untuk :
- Melindungi kemurnian aqidah.
- Memperbaiki kehidupan kaum Muslimin.
- Membela kesatuan tanah airnya.
Jika dilihat dari perspektif luarannya, ‘Dakwah Islamiyah’ adalah usaha untuk mewujudkan penerusan dakwah yang tersebar di seluruh dunia sebagai saksi ke atas manusia di samping mencegah timbulnya fitnah ke atas kaum minoriti Muslim dan orang-orang yang lemah.
Firman Allah swt :
“Serulah kepada jalan tuhan kamu dengan cara hikmah, nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. ” (QS Al-Nahl : 125)
Ahli tafsir telah menghuraikan maksud ketiga-tiga cara tersebut :
PERTAMA : HIKMAH
Ahli tafsir telah menghuraikan maksud ketiga-tiga cara tersebut :
PERTAMA : HIKMAH
Ia adalah keterangan yang jitu dan tepat yang dapat meyakinkan dan menghilangkan keraguan dengan memasukkan roh tauhid dengan aqidah iman serta dalil-dalil dan keterangan-keterangan yang jelas sehingga meyakinkan akal.
Termasuk dalam hikmah ialah dengan menggunakan susunan kata-kata yang biasa dan senang diterima akal dan bukannya menggunakan kata-kata yang tidak difahami atau sukar difahami oleh penerima dakwah sepertimana yang dilakukan oleh Rasullullah saw.
KEDUA : NASIHAT YANG BAIK
KEDUA : NASIHAT YANG BAIK
Ia adalah huraian–huraian yang memberi petunjuk dan nasihat yang dapat menyedarkan dan membuka pintu hati untuk mentaati semua petunjuk Islam.
Huraian-huraian ini dilakukan dengan jelas tanpa menyakitkan hati orang lain. Metod ini ditujukan kepada orang-orang yang menerima dan sudah komited dengan prinsip dan fikrah Islam.
Mereka tidak memerlukan kecuali nasihat untuk mengingatkan, memperlembutkan hati dan menjernihkan segala kekeruhan yang wujud.
KETIGA : BERDIALOG DENGAN CARA YANG BAIK
KETIGA : BERDIALOG DENGAN CARA YANG BAIK
Ia adalah sebuah ‘uslub’ memberi hujah atau bukti-bukti yang dapat menolak sanggahan dan pendapat lawan.
Menurut pendapat ulama’, metod ‘mujadalah hasanah’ adalah metod yang diizinkan oleh Al-Qur’an, iaitu pendakwah memberikan penjelasan kepada pihak lawan dengan menggunakan prinsip-prinsip dan kesimpulan logik agar mereka dapat merenungkannya, menerima kebenaran atau tidak menentang seruan dakwah lagi.
‘Dakwah Islamiyah’ yang hendak dilakukan juga hendaklah mengikut metodologi yang ditunjukkan oleh para Nabi dan Rasul berpandukan Al-Qur’an dan Hadis Nabi bagi mencapai matlamatnya.
‘Dakwah Islamiyah’ yang hendak dilakukan juga hendaklah mengikut metodologi yang ditunjukkan oleh para Nabi dan Rasul berpandukan Al-Qur’an dan Hadis Nabi bagi mencapai matlamatnya.
Di samping itu, ‘Dakwah Islamiyah’ tidak hanya terhad kepada seruan secara lisan, tetapi juga perlu menggunakan media yang luas dan terkini asalkan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Golongan pendakwah yang menyeru manusia ke arah kebenaran mestilah terlebih dahulu mempraktikkan akhlak Islam dan mempunyai sifat-sifat yang ditunjukkan.
‘Dakwah Islamiyah’ di sepanjang zaman telah mengharungi jalan panjang perjuangan, merentasi hamparan bongkah benua, merenangi gelombang lautan yang terhampar luas serta menembusi tembok kekuasaan.
Jika kita menelusuri rakaman sirah perjuangan dakwah Nabi saw di kota Makkah, kita akan dapati ada beberapa fasa perjuangan :
FASA PERTAMA :
Rasulullah saw telah memilih anasir-anasir terbaik di kalangan peserta pertama generasi dakwah. Seruan mula merayap dari telinga ke telinga dan akhirnya menyatu di lubuk hati.
Generasi Al-Qur’an telah dipasak dengan keupayaan terbaik dalam menyampaikan dakwah. Fasa pertama ini memerlukan kesediaan yang tinggi dan berstrategi serta bukan digarap dengan sambil lewa. Ianya berjalan secara rahsia selama tiga tahun.
FASA KEDUA :
Perjalanan dakwah semakin mencabar apabila memasuki fasa kedua yang merupakan perintah Allah swt kepada Nabi saw dan fasa ini merupakan ujian kepada pendakwah kerana penentangan secara terbuka golongan musyirikin terhadap para pendakwah.
Dakwah Islam dilihat mencabar sistem yang ada dan menjadi pesaing kepada apa yang mereka imani selama ini. Para sahabat telah mengalami pembantaian dan diselimuti oleh sejuta kesakitan seperti yang dialami oleh peribadi besar dakwah seperti Khabab Al Arath yang dibaringkan di atas bara api yang membakar sehingga lemak badannya telah memadamkan bara api tersebut. Tercatat juga dalam sketsa penderitaan ini adalah pejuang muslimat tersohor, iaitu Sumaiyyah yang gugur sebagai syuhada’ akibat mempertahankan kemuliaan aqidah.
Yang jelas, pendakwah akan terus berhadapan dengan pelbagai tribulasi dalam usahanya untuk menyampaikan kebenaran kerana ia merupakan satu sunnah perjuangan.
Ya Allah, jadikanlah kami penyeru dan pendakwah kepada agamaMu sehingga DeenMu tegak berdiri di atas muka bumi ini dan manusia seluruhnya akan mendapat petunjuk dan hidayah untuk menjalani jalanMu yang lurus.
Ameen Ya Rabbal Alameen.
WAS