a. Ditebus dengan darah dan air mata.
b. Digadaikan dengan harta benda dan jiwa raga.
Jalannya licin dan penuh dengan perangkap di mana pendaki-pendakinya mendaki dengan penuh ujian dan cobaan.
Hanya pejuang yang memiliki ciri-ciri pengikut Rasulullah saw sahajalah yang sanggup dan mahu menanggung beban perjuangan ini.
Firman Allah swt :
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman. dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (QS At-Taubah : 16)
Sesungguhnya pejuang dakwah adalah umpama pohon rendang yang lebat daun dan buahnya serta memiliki akar yang kukuh dan cabang yang tinggi.
“Yang akarnya kukuh sedang cabangnya menjulang tinggi ke langit.” (QS Ibrahim : 24)
Mereka adalah orang yang menyebarkan kebaikan dan cahaya kepada orang yang berada disekelilingnya melalui :
- Gerakan dan perbuatan.
- Cahaya yang mengharap ridha Allah dan petunjuknya.
Maka, dengan itu kebaikan dan pahala akan menghampiri mereka dan bagi orang-orang yang mengikuti mereka, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadits Rasulullah saw :
“Barangsiapa yang menyeru kepada hidayah maka baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya dan tidak dikurangi sedikitpun ganjaran mereka”. (HR Muslim)
Para pejuang dakwah hendaklah sentiasa mengenang sabda Rasulullah saw seperti yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Malik di mana beliau menceritakan bagaimana berlakunya bai’ah Aqabah kedua yang menggentarkan orang-orang Quraisy.
Dia berkata :
“ … setelah sekelompok orang dari Aus dan Khazraj berkumpul bersama Rasulullah saw, dan menilai setiap orang dari mereka terhadap keteguhan agama dan dirinya, Rasulullah saw bersabda kepada mereka : “Keluarlah kamu bersama aku 12 orang wakil ini untuk menjadi penyeru di antara kaumnya”. (HR Ishaq dan Ahmad)
Jadi, tangga dakwah dan jalan pergerakan serta arah ‘Tarbiyah Rabbaniyah’ terlaksana melalui pengambilan bai’ah para pendakwah yang memiliki kemampuan dalam diri mereka melakukan pembinaan dan meluruskannya atas apa yang dicintai Allah dan diridhaiNya.
Tanggungjawab ini merupakan sebahagian dari perjanjian yang memiliki syarat-syarat dan ganjaran seperti yang telah Allah jelaskan tentang kisah Bani Israil dalam surah Al-Maidah, di mana Allah swt berfirman :
“Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (dari ) Bani Israil dan telah kami angkat di antara mereka 12 orang pemimpin dan Allah berfirman : “Sesungguhnya Aku beserta kamu, sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, sesungguhnya Aku akan menghapus dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Kumasukkan ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai. Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya ia telah tersesat dari jalan yang lurus.” (Al-Maidah : 12)
Dari ayat tersebut, Allah menjelaskan perjanjianNya bersama Bani Israil dalam dua sudut iaitu :
- Syarat.
- Ganjaran.
Adapun perjanjian bersama para pemimpin pilihan yang merupakan keturunan dari Nabi Ya’kub yang berjumlah 12 orang, sedangkan perjanjian dengan para pemimpin dan orang-orang yang berada di belakang mereka sebagai perjanjian atas setiap individu, dan perjanjian ini seperti yang dikenali dalam ilmu usul; ibrahnya bukan kerana pengkhususan suatu sebab namun kerana kesejagatan lafaz, iaitu perjanjian atas seluruh manusia yang memiliki hubungan yang erat dengan Allah.
Adapun syarat-syaratnya adalah :
- Mendirikan solat dan seluruh intipatinya.
- Menunaikan zakat harta.
- Menunaikan zakat ilmu dan pengetahuan.
- Beriman kepada para rasul dan mengakui mereka dan sesuatu yang dibawa oleh mereka dengan perintah untuk beribadah kepada Allah.
- Menjauhi ‘Thaghut’.
- Tidak cukup hanya beriman dalam ucapan sahaja namun perlu diaplikasikan dalam menolong mereka, manhaj mereka, jejak mereka dan dakwah mereka yang mereka bawa iaitu dengan bentuk pinjaman dan pengorbanan harta dan jiwa.
- Tidak hanya memberikan pinjaman namun juga mencakupi pada melakukan ihsan dalam berinfak dan bersedekah, kerana yang demikian merupakan pokok utama dalam setiap permasalahan sehingga kepada proses penumpahan darah dalam berkorban.
Kemudian setelah itu ganjaran sebagai manifestasi dari syarat
“Kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik.”
Oleh kerana akibat pinjaman tersebut adalah kembali kepada pemiliknya, maka bagaimana pinjaman ini akan kembali dan bila berlakunya?
Sudah tentu pinjaman tersebut akan kembali kepada pemiliknya di dunia dan di akhirat, kerana ia merupakan sebab terhapusnya dosa dan masuknya ke syurga di mana perkara ini merupakan ganjaran yang paling sempurna dalam perjanjian.
Adapun bagi orang yang mengkhianatinya maka hasilnya sangatlah jelas iaitu kerugian di dunia dan di akhirat, maka yang demikian merupakan kerugian yang sangat nyata.
Kemudian setelah pemaparan yang singkat ini, para pejuang dakwah hendaklah bersegera untuk sentiasa berbaik sangka kepada diri mereka sendiri, kerana sebaik-baik peninggalan adalah sebaik-baik warisan, iaitu melalui tarbiyah dengan :
- Kefahaman yang mendalam.
- Iman yang kukuh.
- Amal yang berterusan.
Setidaknya-tidaknya ada beberapa sifat atau ciri yang perlu dimiliki oleh para pejuang dakwah yang mana boleh diklasifikasikan kepada tiga :
PERTAMA : ‘MU’MIN HAQQA’ (MU’MIN SEBENAR)
Mukmin yang sebenar-benarnya memiliki aqidah yang kuat terpatri dalam jiwanya hingga ia memiliki sikap ‘Furqan’.
Firman Allah swt :
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan Dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari kurnia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka nampak pada wajah mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya. Maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar” (QS Al-Fath : 29)
Mu’min sebenar adalah mu’min yang memiliki sikap tegas (FURQAN), di mana ia bersikap keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang dengan orang-orang mu’min.
Ketegasannya terhadap orang kafir dibuktikan dengan :
1. Berlepas diri atau keluar dari lingkungan kedaulatan institusi jahiliyah.
2. Mengkufuri mereka.
3. Memusuhi mereka.
Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as melalui firman Allah swt :
“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (as) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata". (QS Al-Mumtahanah : 4)
Selain itu, mereka juga sentiasa berada dalam ketumbukan ‘Fisabilillah’ dalam memerangi ‘Sabilitthaghut’ sebagaimana firman Allah swt :
“Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan ‘Thaghut’ (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (QS An-Nisaa’ : 76)
Ini bersesuaian dengan undang-undang Allah swt yang menyatakan bahwa berjihad itu mestilah dimulai dengan ‘Hijrah’ (keluar dari kedaulatan institusi jahiliyah) dan ‘Hijrah’ pula mestilah dimulai dengan Iman.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (QS Al-Baqarah : 218)
KEDUA : ‘RIBBIYYUN’ (MU’MIN YANG MEMILIKI KUALITI MENTAL TAHAP TERTINGGI – SABAR)
KEDUA : ‘RIBBIYYUN’ (MU’MIN YANG MEMILIKI KUALITI MENTAL TAHAP TERTINGGI – SABAR)
Mukmin yang memiliki kualiti kesabaran ini tercermin dalam langkahnya yang sentiasa :
a. Berjuang tanpa henti.
b. Pantang menyerah kalah.
c. Tidak sesekali berputus asa.
walaupun mereka didera dengan musibah yang datang bertubi-tubi.
Firman Allah swt :
“Dan berapa banyaknya Nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertaqwa. mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar.” (QS Ali Imran : 146)
Sabar dalam menempuh jalan licin perjuangan merupakan kaidah yang mutlak yang perlu dimiliki kerana kemenangan hanyalah suatu khayalan jika ianya tidak disertai oleh kesabaran.
Sabar dalam menempuh jalan licin perjuangan merupakan kaidah yang mutlak yang perlu dimiliki kerana kemenangan hanyalah suatu khayalan jika ianya tidak disertai oleh kesabaran.
Firman Allah swt :
“Wahai Nabi, Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.” (QS Al-Anfal : 65)
Firman Allah swt lagi :
“Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia telah mengetahui bahwa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan seizin Allah. dan Allah beserta orang-orang yang sabar.” (QS Al-Anfal : 66)
Batas kesabaran bagi pejuang Islam adalah kematian.
Batas kesabaran bagi pejuang Islam adalah kematian.
Ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh salah seorang sahabat Rasulullah saw iaitu Handzalah yang mengejar Abu Sufyan dalam perang Uhud di mana beliau terus mengejar tanpa mempedulikan badannya yang sudah tertusuk oleh tombak musuh.
Ia tidak menyerah dan tidak berhenti sehingga akhirnya satu hentaman tombak musuh yang menghentikan gerakan Handzalah di mana ia gugur sebagai syuhada’ Uhud.
Rasulullah saw bersabda :
“Aku melihat Handzalah dimandikan oleh Malaikat”.
KETIGA : ‘HIZBULLAH’ (MU’MIN YANG MEMILIKI KESETIAAN PENUH KEPADA ALLAH, RASUL DAN JAMAAHNYA)
KETIGA : ‘HIZBULLAH’ (MU’MIN YANG MEMILIKI KESETIAAN PENUH KEPADA ALLAH, RASUL DAN JAMAAHNYA)
Firman Allah swt :
“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, Sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Meraka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah ridha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. mereka itulah golongan Allah. ketahuilah, bahwa sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung”. (QS Al-Mujadilah : 22)
Pejuang Islam tidak mungkin menyerahkan ‘wala’’ (kesetiaan penuh) kepada para penentang risalah.
Pejuang Islam tidak mungkin menyerahkan ‘wala’’ (kesetiaan penuh) kepada para penentang risalah.
Kesetiaan kaum mu’minin hanya akan diserahkan kepada Allah, Rasul dan Pimpinan orang-orang yang beriman.
“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku’ (tunduk menjunjung perintah Allah).” (QS Al-Maidah : 55)
Seorang mujahid sentiasa taat pada perintah imam jihadnya dalam rangka berjihad, kerana sikap itulah yang akan menghidupkan jiwanya.
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” (QS Al-Anfal : 24)
Selain itu, seorang pejuang dakwah juga mesti memiliki beberapa sifat lagi dalam rangka untuk meningkatkan kualiti dakwah dan mujahadah serta jihad fi sabilillah. Di antaranya ialah :
PERTAMA : SABAR
Sabar merupakan akibat secara langsung dari mujahadah.
Sifat ini bukan hanya merupakan salah satu akibat secara logik yang perlu diterapkan dalam bermujahadah di jalan Allah, namun ia juga merupakan sebahagian dari sifat dalam segala situasi.
Perbezaannya adalah :
Bahwa dalam mujahadah di jalan Allah (jihad), ia memerlukan kesabaran yang begitu kuat sehingga tidak mudah lentur dan lemah keimanannya, sedang jihad dalam erti kata bekerja dan berusaha juga memerlukan kesabaran namun dalam ukuran yang berbeza.
Sabar dalam jihad di jalan Allah memiliki berbagai macam cara, di antaranya adalah :
1. Sifat berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam melakukan sesuatu kegiatan atau dengan kata lain ia melakukannya selangkah demi langkah.
2. Sifat istiqamah dan gigih dalam beramal sehingga tidak mudah lemah dan putus asa ketika menghadapi kesulitan, ujian dan rintangan atau juga tidak mudah berputus asa dan menjauhkan diri dari sifat ‘Al-Wahn’ (cinta dunia dan takut mati) walaupun tanda-tanda kejayaan yang diharapkan belum nampak jelas tapi terus bekerja walau dalam keadaan bagaimanapun.
3. Sifat tidak mudah goyah ketika berhadapan dengan bahaya, kesulitan, rintangan yang akan mengancam jiwanya.
4. Sifat tidak mudah kehilangan keseimbangan walau dalam keadaan yang sangat kritikal dan genting terutama yang menyangkut dengan gejolak hati di mana ia sentiasa melakukan kegiatannya dengan penuh ketenangan, kecermatan akal, ketegaran dan kegigihan.
Perlu diketahui bahwa seorang pejuang dakwah tidak hanya diperintahkan untuk bersabar sahaja namun juga diperintahkan untuk mengukuhkan dan meneguhkan kesabaran tersebut di dalam lubuk hati mereka.
Menghadapi kekuatan musuh yang memiliki persenjataan lengkap mestilah dengan senjata yang lebih unggul dari mereka sehingga dapat dengan mudah menghancurkan dan menundukkan mereka.
Allah swt berfirman :
“Dan kuatkanlah kesabaran kamu” setelah sebelumnya diperintahkan: “Wahai orang-orang yang beriman bersabarlah kamu”.
KEDUA : ‘ITSAR’ (MENDAHULUKAN KEPENTINGAN ORANG LAIN)
Memiliki sifat ‘itsar’ adalah membangunkan jiwa berkorban samada terhadap waktu, tenaga, fikiran, masa depan termasuk terhadap cita-cita dan harapan.
Selama mana kita masih terus dianggap terbelakang dibandingkan dengan kekuatan musuh dan untuk melengkapi kekurangan (dari segi persenjataan dan ketenteraan) untuk mengalahkan mereka agak sukar dan memerlukan waktu yang lama, maka kita perlu memiliki keunggulan lain iaitu jiwa berkorban dan ‘itsar’ (mementingkan hajat orang lain).
Namun yang menyedihkan kita bahwa ada di antara umat Islam ini yang sudi menjual diri mereka kepada musuh-musuh Allah hanya kerana ingin mendapatkan harta yang sedikit.
Sikap ini merupakan fenomena yang dapat menghilangkan keghairahan umat untuk berjuang sehingga tidak ada lagi harapan yang ingin di capai.
Ada di antara mereka yang berat mengorbankan diri untuk berkhidmat kepada agama Allah walaupun dengan imbalan yang minimum.
Jika di antara kita, tidak ada yang sanggup berkorban dan tidak berusaha memantapkan diri dalam berjihad di jalan Allah, maka bagaimana mungkin sebuah gerakan Islam akan maju dan berkembang di tengah-tengah arus globalisasi yang kian mencengkam ini.
Padahal tidak ada suatu gerakanpun di dunia ini yang boleh maju dan berkembang jika ianya hanya bergantung kepada kekuatan keanggotaannya semata-mata yang hanya menggunakan kekuatan tangan dan kaki sahaja kerana kedua-dua pancaindera ini tidak mungkin boleh memberikan manfaat jika tidak diiringi dengan hati yang bersih dan akal yang cerdas.
Dengan kata lain, kita memerlukan pemimpin dan panglima yang bijak dan cerdas agar dapat dimanfaatkan dalam dakwah.
Namun ironiknya, mereka yang memiliki potensi ideologi dan kecerdasan akal biasanya memiliki kecerdasan dalam meningkatkan kesejahteraan hidup di dunia, gigih dalam bekerja siang dan malam dan memiliki prestasi yang tinggi, tapi tidak memiliki perhatian terhadap dakwah.
Jika kita tetap mengharapkan kepada mereka yang kering akan jiwa dan semangat berkorbannya bagi memenangkan peperangan dan suka berbuat kerusakan di muka bumi ini serta menginfakkan harta mereka demi menegakkan kebatilan, maka tidak ada yang dapat diraih dan dicapai kecuali hanyalah kehinaan belaka.
KETIGA : SEMANGAT DALAM MENGGAPAI CITA-CITA
Jika ada yang memahami misi gerakan ini hanya sekadar pemberian jaminan kehidupan yang tenteram sementara tidak ada dalam dirinya tanggungjawab untuk menyebarkannya, maka pada hakikatnya kefahaman tersebut tidak akan memberikan sumbangan positif dalam gerakan dakwah ini, ibaratnya tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan rasa lapar.
Sesungguhnya kewajiban kita semua adalah memiliki hati yang bergelora dan menyala yang boleh disumbangkan demi kemaslahatan dakwah dan paling tidak mesti wujud dalam diri kita semangat untuk memajukan dakwah ini.
Jika anak kita sakit, maka jangan dibiarkan begitu sahaja, tapi bawalah ia berjumpa doktor. Ketika kita tidak menemui jalan penyelesaian akan keruntuhan moral anak-anak muda dan menyebabkan kekhuatiran yang mendalam sehingga mendorong kita untuk berusaha dan bekerja keras untuk memperbaikinya, maka lakukanlah sesegera mungkin.
Kita mesti memiliki perasaan yang jujur dalam setiap keadaan bagi mencapai misi ini iaitu bersikap tenang, ikhlas dan bersih dari keinginan duniawi dan sentiasa berkeinginan untuk meningkatkan kesungguhan sehingga urusan peribadi dan keluarga diletakkan sebagai nombor dua, bahkan tidak menoleh kepadanya kecuali dengan sikap pasif.
Kita tidak melakukan urusan peribadi kecuali hanya sedikit waktu atau tenaga yang diperuntukkan sehingga pekerjaan yang kita lakukan tidak hanya tertumpu pada kesenangan hidup duniawi sahaja.
Perasaan ini jika tidak bersumber dari lubuk hati yang murni dan diiringi dengan ruh dan jiwa yang bergelora, maka agak sukar menimbulkan kewibawaan terhadap perkataan yang kita ucapkan.
Jika hubungan kita dengan Allah sangat kuat, maka tentulah kita akan kurang memikirkan kepentingan diri kita sendiri dan tidak akan takut terhadap kematian dan kehidupan yang penuh cabaran.
Jika kita melangkahkan kaki dalam dakwah ini dengan hati yang dingin, maka pasti kita akan menemui kegagalan yang tidak akan memancarkan keberanian para generasi selepasnya untuk bergelut dalam gerakan dakwah yang memakan masa yang panjang.
Hendaklah kita memperlihatkan keteguhan hati dan akhlak terpuji sebelum memikirkan langkah berikutnya yang begitu besar, menyiapkan diri dengan keberanian dan kegigihan serta bersedia menghadapi bahaya yang menghalang dalam berjihad di jalan Allah swt.
KEEMPAT : BERTERUSAN DAN TERATUR
Hendaklah kita membiasakan diri dalam melakukan kegiatan yang berterusan dan teratur.
Sungguh, umat Islam sebelum kita telah mengaplikasikan perkara ini dengan melakukan perbuatan yang mudah dan tidak melangkah kecuali jelas maksud dan tujuannya.
Dalam soal ini, pejuang dakwah hendaklah merubah kebiasaan mereka dengan melatih diri mereka dengan pekerjaan yang tetap serta yang memiliki prospek dan hasil dalam jangka panjang dengan teratur dan rapi.
Ini adalah kerana setiap perbuatan walaupun nilainya rendah dalam pandangan masyarakat namun jika ianya memiliki nilai yang strategik, maka kita hendaklah melakukannya dengan ‘itqan’ (profesional) tanpa menunggu hasil dengan tergesa-gesa serta tanpa mengharapkan pujian dan ucapan terimakasih dari orang lain atas kerja keras kita.
Medan jihad bukanlah hanya wujud dalam satu masa dan setiap perajurit dalam berperang kebiasaannya tidak semuanya maju ke barisan hadapan, namun dalam bahasa jihad, perang hanya sekali dan oleh yang demikian, ia memerlukan persiapan yang matang dan waktu yang panjang.
Jika ada beberapa ribu pasukan sedang berperang menghadapi musuh di barisan hadapan, maka mesti ada barisan di belakang, sepuluh ribu pasukan lain yang berdiri dan sibuk menyiapkan keperluan perang, walaupun pada kenyataanya, nilainya tidak sebanding dengan orang yang terjun secara langsung dalam perang.
Kita memerlukan pejuang-pejuang dakwah yang mempunyai firasat iman seperti Abu Bakar bin Yasdainar Rahimahullah sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Muhammad Ahmad Ar Rasyid dalam kitabnya yang terkenal “Al Munthalaq” (Langkah Bermula).
Pernah seseorang bertanya kepadanya :
“Apakah itu firasat iman?”
Dia menjawab:
“Pandangan orang yang soleh dengan kesolehan yang mengandungi cahaya ketaqwaan, keimanan, hakikat dan kebenaran, dengan zuhud di dunia dan kecintaan terhadap hari akhirat. Pandangan ini menjadikan dia berani mengingkari kemungkaran ahli mungkar.”
Perhatikan satu seruan yang besar di dalam kata-kata yang ringkas ini.
Beliau menjelaskan bahawasanya firasat itu menjadikan seseorang pejuang dakwah itu :
a. Sangat yakin terhadap balasan Allah pada hari kiamat.
b. Mengenali betapa rendahnya nilai kelazatan dan kesenangan dunia yang terbatas dan akan musnah.
c. Memiliki keyakinan yang menyebabkan dia tampil dengan berani mengubah kemungkaran dan menentang pelaku kemungkaran.
Demi Allah, sesungguhnya itulah firasat yang tinggi yang menjadikan semua firasat yang lain menjadi kecil, sekalipun ianya benar.
Perhatikan empat unsur yang mendorong pemiliknya untuk melaungkan suara kebenaran di hadapan manusia.
1. Taqwa : Menyahut perintah Allah dan berhenti pada batas syubhat.
2. Iman : Dengan keyakinan pada akhiratnya dia mampu melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh orang yang mati hatinya.
3. Hakikat : Dia hidup di alam realiti, bukan keraguan dan khayalan dunia yang singkat dan fana.
4. Kebenaran : Hati yang benar di dalam membuat andaian dan lidah yang benar di dalam berkata-kata.
Ya Allah, jadikanlah kami pejuang dakwah hakiki yang tegas dan mempunyai tahap kekuatan mental yang tinggi serta memiliki kesetiaan penuh kepada Allah, Rasul dan orang-orang yang beriman sehingga kami mampu memikul amanah dakwah secara maksimum serta melakukan perbaikan di tengah masyarakat yang sedang dilanda penyakit.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS