Taujihat Syeikh Jum’ah Amin Abdul Aziz – Siri Akhir
Murabbi perlu sentiasa berusaha mengukuhkan iman yang ada di dalam jamaah kerana seperti itulah yang dilakukan oleh Abu Bakar ra.
Ia sentiasa memeriksa pasukan dengan menilai :
1. Sekuat mana keimanan mereka.
2. Sejauh mana ketaatan mereka kepada Allah.
Ini adalah kerana, ketika kamu dan musuh kamu sama-sama bermaksiat, maka kemenangan akan berpihak kepada yang :
a. Lebih kuat persediaan persenjataannya.
b. Lebih banyak bilangan dan jumlahnya.
Dengan sebab itulah, Umar bin Al Khathab berkata :
“Yang paling aku takuti adalah dosa kamu berbanding dosa musuh kamu.”
Begitu juga Abdullah bin Rawahah pernah berkata :
“Amal solehlah yang akan mengalahkan musuh kamu.”
Dengan minda seperti inilah mereka ‘tsabat’ dan menang dan dengan sebab itu pula ianya mesti menjadi perhatian setiap murabbi.
Ikhlas adalah kata kunci bagi mewujudkan kejayaan. Jika Allah sudah cinta, semua akan menjadi mudah.
Perhatikan juga kekuatan ikatan tanzhim setelah kekuatan iman. Urutan ini penting kerana :
Kekuatan tanzhim asasnya BUKAN pengurusan dan peraturan,
TETAPI bergantung kepada tahap :
1. ‘Ukhuwah’.
2. ‘Tsiqah’ kepada qiyadah.
3. ‘Tha’ah’.
Murabbi perlu merasa sebagai penjaga dakwah dan menghargai semua ‘lawaaih’ (peraturan-peraturan) jamaah.
Istilah ‘mursyid’, ‘naib’, ‘mas’ul’, ‘qism’ dan lain-lain hanyalah bertujuan untuk pembahagian kerja dan bukannya kemuliaan.
Semua orang sama sahaja bagaikan gigi sikat. Boleh jadi ada orang yang kusut masai namun jika ia bersumpah dengan nama Allah, Allah swt mengabulkan sumpahnya.
Semua kita akan dihisab dan mendapat catatan amal masing-masing. Baik atau buruknya suasana kubur kita, kitalah yang menyiapkannya.
PESANAN BUAT MURABBI
Dewasa ini kita hidup dalam masyarakat yang berpaksikan materialistik. Tentu sahaja ini merupakan halangan yang tidak mudah untuk kita tetap mampu menjaga orientasi dakwah kita.
Itulah tugas murabbi, mereka :
a. Penjaga dakwah.
b. Menjaga fikrah jamaah ini agar tidak salah, keliru dan menyimpang.
c. Menjaga ‘uslub’ dakwah dengan ‘hikmah’ dan ‘mauizah hasanah’.
d. Menjaga jamaah agar tidak lemah.
e. Mewarisi semangat “sampaikan dariku, walau satu ayat” yang diwasiatkan oleh Rasulullah saw.
Jadi, tugas kamu wahai para murabbi adalah untuk mewariskan dakwah ini dengan segala keteguhannya kepada generasi sesudah kamu dan ingatlah, nasihat wajib bagi yang menasihati dan tidak wajib bagi yang dinasihati. Jangan sampai kamu merahsiakan nasihat yang kamu sepatutnya berikan kepada orang lain.
TARBIYAH IMANIYAH TITIK TOLAK
Titik tolak kita dalam tarbiyah adalah ibadah BUKAN budaya bangsa atau kaum.
Kefahaman kita terhadap ‘la ilaha illallah’ sebagai budaya kita adalah yang berpaksikan kepada hari akhirat. Kebudayaan kita yang hakiki adalah ketika kita bertemu dengan Tuhan kita di mana semua gerakan kita mesti ke arah untuk beribadah kepada Allah swt.
Perlu kamu bezakan antara ‘tajammu’’ (keramaian) dan ‘jamaah’ (perkumpulan). Jamaah adalah salah satu ‘tsawabit’ kita. Kita tidak boleh mentarbiyah dengan baik tanpa usrah. Ini adalah ‘tsawabit’. Kelemahan naqib tidak membuatkan kita melemahkan jamaah bahkan kita perlu kuatkan naqib.
Tarbiyah imaniyah adalah wahana di mana kita mentarbiyah diri kita. Ada banyak jenis tarbiyah, model dan kegiatan umpamanya ‘siyasiyyah’, ‘ijtimaiyah’ dan ‘istishadiyah’ tapi, yang utama adalah ‘tarbiyah imaniyah’. Inilah titik tolak kita.
JAGA KESEIMBANGAN DALAM TARBIYAH
Rasulullah saw bersabda bahwa di atas diri kamu dan isteri kamu mempunyai hak, jasad kamu juga mempunyai hak. Masing-masing mempunyai hak. Hendaknya kamu memenuhi hak-hak tersebut secara seimbang iaitu tidak berlebihan dan tidak mengurangi.
Perlu ada ‘tawazun’ (keseimbangan) iaitu tidak hanya fokus kepada sisi tertentu sahaja bahkan tidak boleh berpusat pada diri sendiri serta mesti bergaul dengan orang lain.
Inilah tugas kamu iaitu bergaul dengan masyarakat dengan akhlak mulia kamu. Jangan berkumpul hanya dengan sesama ikhwah sahaja. Ketika pilihanraya di Mesir, semua aktivis dakwah mengetuk pintu rumah masyarakat sehingga ianya dikenali dengan “tahun ketuk pintu”.
Berdakwah juga bukan hanya kepada sesama muslim bahkan ‘ashalah’ dakwah adalah kepada bukan-muslim di mana Rasulullah saw pun bergaul dengan orang-orang musyrik.
Ikhwah di Mesir mempunyai program kursus bahasa Arab untuk orang asing bukan-muslim. Kita berdakwah kepada bukan-muslim agar syubahat tentang Islam dapat dihilangkan. Kami katakan kepada mereka :
“Dengarlah dari kami dan jangan dengar tentang kami (dari orang lain).”
Itulah sifat keterbukaan yang kami lakukan kepada semua komponen masyarakat dan hasilnya, Rafiq Habid, seorang Kristian Koptik tampil membela dan membantu ikhwah di Mesir. Disebabkan jasanya, ia kini dilantik menjadi Ketua Dua Parti Kebebasan dan Keadilan yang kami dirikan.
Landasan kita dalam keterbukaan dan kebebasan adalah berasaskan kepada perkataan Imam Hasan Al-Banna :
“Kam minnaa wa laisuu fiinaa wa kam fiinaa wa laisuu minna.”
“Berapa ramai orang yang bersama kita tapi mereka bukan sebahagian dari kita, dan berapa ramai orang yang menjadi sebahagian dari kita tapi mereka tidak bersama kita.”
PENERUSAN TUGAS TARBIYAH
Saya katakan bahwa definasi tarbiyah adalah :
“Menyampaikan sesuatu menuju kepada kesempurnaan dan memindahkan generasi lama menuju generasi seterusnya.”
Dengan yang demikian, akan ada kesinambungan dalam tarbiyah.
Ingatlah bahwa tarbiyah dengan kekuatan dan kekerasan tidak akan memberikan pengaruh. Kita melakukan dengan kelembutan.
Seorang murabbi mesti mampu menggerakkan akal dan jasadnya untuk dapat mengubah dirinya secara berakhlak. Ingatlah bahwa dalam tarbiyah, kamu menyampaikan ajaran akhlak dan adab.
Tapi, para murabbi juga perlu menyampaikan tarbiyah secara terang dan ini adalah tanggungjawab secara individu. Oleh kerana itu sebagai murabbi, kamu mesti sentiasa menumbuhkan perasaaan tanggungjawab kepada setiap mad’u kamu dengan wasilah yang berbagai dan memberi arahan perlaksanaan kewajiban menuju kecintaan menunaikan kewajiban.
Yang terakhir, manfaatkan waktu semaksimum mungkin kerana waktu merupakan kesempatan yang sangat berharga.
TARBIYAH YANG BERSEPADU
Kami ingin seorang murabbi memiliki perasaan ‘izzah’ (kemuliaan) bahwa ia sedang melaksanakan sunnah Nabi. Itulah yang membezakan antara tarbiyah menurut ‘Ikhwanul Muslimin’ dan jamaah lainnya.
Tarbiyah pada jamaah lainnya hanya mengutamakan tranformasi ilmu, sementara jamaah ‘Ikhwanul Muslimin’ memperhatikan perbaikan individu, baik secara perilaku, akhlak, dan ruhi.
Jadi, poin penting yang mesti kamu peka adalah tarbiyah menurut jamaah kita adalah membentuk orang, tidak hanya menjadi peribadi yang ‘soleh’, namun juga menjadi peribadi yang ‘musleh’.
Semoga kita dapat memahami dan seterusnya dapat kita realisasikan dan kita tidak ingin pembahasan ini hanya ada pada tahap ucapan semata-mata. Kita takut firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan.” (QS As Shaff : 2 – 3)
TARBIYAH MENGHADAPI PERANCANGAN JAHAT MUSUH
Ketahuilah bahwa kita hidup dibayangi oleh perancangan jahat dan perdebatan yang tidak berkesudahan. Musuh-musuh Islam melancarkan semua itu untuk menghalang manusia dari jalan Allah.
Kita masuk ke dalam peperangan yang dipenuhi dengan berbagai macam strategi dan kita tidak akan pernah mampu melawan perancangan mereka kecuali dengan meminta kepada Allah dengan mengatakan :
“Ya Allah, aku mengadukan kelemahanku kepadaMu….”
Cuba kita renungkan kembali ucapan Bani Israil kepada Nabi Musa as ini :
“Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa: “Sesungguhnya kita benar-benar akan tersusul”. (QS Asy Syu’ara : 61)
Nabi Musa as dengan penuh ‘tsiqah’ dan yakin akan pertolongan Allah berkata kepada kaumnya:
“Musa menjawab, “Sekali-kali tidak akan tersusul; sesungguhnya Tuhanku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku.” (Asy Syu’ara : 62)
Dan yang berlaku seterusnya adalah :
“Lalu Kami wahyukan kepada Musa: "Pukullah lautan itu dengan tongkatmu". Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar. Dan di sanalah Kami dekatkan golongan yang lain. Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang besertanya semuanya. Dan Kami tenggelamkan golongan yang lain itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar merupakan suatu tanda yang besar (mukjizat) dan tetapi adalah kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.” (QS Asy Syu’ara’ : 63 – 68)
Lihatlah sikap seorang mukmin ketika datang ancaman dari berbagai penjuru. Tidak seharusnya ia bersikap sebagaimana umat Nabi Musa di mana mereka seolah-olah dihinggapi oleh sifat ‘lupa’.
Mereka melupakan janji Allah bahkan bersikap seolah-olah apa-apa yang dijanjikan oleh Allah hanyalah tipuan belaka. Berbeza dengan mereka yang ditarbiyah dalam keimanan dan mempunyai tanggungjawab risalah, di mana ketika melihat musuh di hadapan, mereka akan berkata :
“Inilah yang Allah dan rasulNya janjikan.”
Jadi tarbiyah bukan sekadar ‘tsaqafah’ (ilmu pengetahuan), tapi mempersiapkan diri untuk menangani segala perancangan jahat samada dari barat atau timur.
Lihatlah keteguhan Rasulullah saw ketika menghadapi berbagai tipu daya kafir Quraisy :
“Demi Allah, jika mereka mampu meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, agar aku menghentikan dakwah ini, niscaya tidak akan pernah menggoyahkanku, sampai Allah memenangkan dakwah ini atau aku hancur bersamanya.”
Sekali lagi, itulah tarbiyah.
Untuk menghadapi perancangan jahat musuh, sangat diperlukan ketegaran sebagaimana kisah bekas tukang sihir yang hendak dihukum oleh Fir’aun.
“Kemudian Musa melemparkan tongkatnya maka tiba-tiba ia menelan benda-benda palsu yang mereka ada-adakan itu. Maka tersungkurlah ahli-ahli sihir sambil bersujud (kepada Allah). Mereka berkata: "Kami beriman kepada Tuhan semesta alam," (iaitu) Tuhan Musa dan Harun". Firaun berkata: "Apakah kamu sekalian beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya dia benar-benar pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu maka kamu nanti pasti benar-benar akan mengetahui (akibat perbuatanmu); sesungguhnya aku akan memotong tanganmu dan kakimu dengan bersilangan dan aku akan menyalibmu semuanya". Mereka berkata: "Tidak ada kemudaratan (bagi kami); sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami, sesungguhnya kami amat menginginkan bahwa Tuhan kami akan mengampuni kesalahan kami, kerana kami adalah orang-orang yang pertama-tama beriman". (QS As Syu’ara’ : 45 – 51)
TARBIYAH MEMBENTUK RIJAL
Tarbiyah juga memberikan nilai-nilai yang cukup mendalam. Ketika nilai-nilai rabbaniyah telah ‘menshibghah’, maka apa pun yang berlaku, kamu tidak akan terpengaruh sehingga kepada ancaman kehilangan nyawa sekalipun seperti yang diterima oleh bekas ahli-ahli sihir Fir’aun.
Seperti itulah tarbiyah membentuk ‘rijal’. Tentu sahaja untuk sampai ke tahap ‘rijal’ yang ‘shiddiq’ ada ujiannya dan iman mereka itu teruji dengan ujian.
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (QS Al Baqarah : 214)
MANFAAT UJIAN ALLAH
Ada tiga (3) manfaat ke atas ujian dan tarbiyah dengan kesulitan di antaranya ialah :
PERTAMA : UNTUK MENYARING YANG BAIK DARI YANG BURUK
“Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga Dia menyisihkan yang buruk (munafik) dari yang baik (mukmin). Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih siapa yang dikehendakiNya di antara rasul-rasulNya. Kerana itu berimanlah kepada Allah dan rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka bagimu pahala yang besar” (QS Ali Imran : 179)
Ujian datang untuk menyaring kualiti orang-orang yang beriman dan menghasilkan kepemipinan yang tahan lasak.
KEDUA : UNTUK MEMBERSIHKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN MENGHINAKAN ORANG-ORANG KAFIR
“Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.” (QS Ali Imran : 141)
KETIGA : MEMILIH PARA SYUHADA’
“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itu pun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya (gugur sebagai) syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.” (QS Ali Imran : 140)
Jelaslah dari ketiga-tiga ayat di atas bahwa yang memilih adalah Allah, bukan kita.
MATI SYAHID MENINGKATKAN DARJAT
Ingatkah kamu akan kisah Khalid bin Al Walid ketika di ambang kematian padahal bekas-bekas luka dari medan perang menghiasi sekujur tubuhnya. Ia meninggal dalam keadaan normal di tempat tidurnya sendiri sehingga terkeluar dari kata-katanya :
“Aku mati seperti unta, celakalah orang-orang penakut.”
Seorang mukmin sejati tidak takut mati kerana kematian akan datang bila-bila masa pun dan di mana pun. Ketika Sayyid Qutb dihukum gantung, kami solat dan salah seorang akh yang suaranya merdu membaca surah Ghafir (Mu’min).
“Wahai kaumku, bagaimanakah kamu, aku menyeru kamu kepada keselamatan, tetapi kamu menyeru aku ke neraka? (Kenapa) kamu menyeruku supaya kafir kepada Allah dan mempersekutukanNya dengan apa yang tidak kuketahui, padahal aku menyeru kamu (beriman) kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun? Sudah pasti bahwa apa yang kamu seru supaya aku (beriman) kepadanya tidak dapat memperkenankan seruan apa pun baik di dunia mahupun di akhirat. Dan sesungguhnya kita kembali kepada Allah dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas, mereka itulah penghuni neraka. Kelak kamu akan ingat kepada apa yang ku katakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya”. (QS Al Mu’min / Ghafir : 41 – 44)
Ketika kami dengar beliau akan digantung, air mata kami meleleh kerana sedih dan sebahagian dari kami menangis. Semoga beliau termasuk orang-orang yang soleh.
Saya bertanya, sekiranya beliau tidak mati di tali gantung, apakah beliau juga akan mati?
Tentu sekali, terutama apabila ajal sudah tiba.
Lalu apakah erti syahadah?
Ertinya, Allah mengganti dari kematian yang wajar untuk mengangkat darjatnya.
PERHATIAN UNTUK MURABBI
Selain itu ada beberapa lagi yang perlu diperhatikan oleh murabbi, iaitu :
PERTAMA : MANHAJ YANG BENAR
Muarabbi hendaklah bekerja sesuai dengan manhaj secara terus menerus, tanpa ada rasa penat lelah. Bahkan, ketika bekerja ia merasa kurang dan tidak merasa sudah baik, maka ia sentiasa merasa perlu untuk menyempurnakan pekerjaannya.
KEDUA : NAFAS PANJANG
Oleh kerana ujian itu mungkin berlangsung lama, maka ia perlu sabar. Kesabaran yang bagus yang tidak ada kesedihan serta membuatkan kamu ridha sepertimana sabda Rasulullah saw :
“Sungguh menakjubkan urusan orang beriman. Setiap urusan dianggap baik dan itu tidak akan ada kecuali dalam diri orang beriman. Jika mendapat kenikmatan, ia bersyukur dan itu adalah lebih baik baginya. Jika mendapat kesulitan, ia bersabar dan itu adalah lebih baik baginya.” (HR Muslim)
Sabar memberikan nafas panjang. Setelah menjalani kesabaran, ia perlu pula membekalkan dirinya dengan kefahaman agama dan kefahaman politik di mana kefahaman ini memerlukan disiplin dan komitmennya di dalam harakah sehingga ia tahu bila ia perlu bergerak.
Seseorang perlu mempunyai ilmu untuk mengetahui rahsia kehidupan dan keadaan masyarakat dan itulah sebenarnya keperibadian yang sempurna.
Oleh kerana itu, Allah berfirman kepada Rasulullah saw :
“Ia mengajarkan Kitab dan Hikmah…”
Walaupun ada yang menafsirkan hikmah adalah sunnah, kita ikuti pendapat lain bahwa hikmah adalah hikmah ilmu.
SIFAT-SIFAT UMUM MURABBI
Ketahuilah oleh kamu akan sifat-sifat umum seorang murabbi, iaitu :
PERTAMA : IKHLAS DALAM AMAL
Semua gerakannya adalah untuk Allah. Saya tidak ingat apakah saya telah sampaikan ini kepada kamu atau yang lain, hadits riwayat Abu Daud bahwa Rasulullah saw setiap kali keluar dari bilik air, baginda membaca istighfar.
Kenapa?
Ini adalah kerana, di dalam bilik air, baginda terhalang untuk berzikir kepada Allah.
Begitulah seharusnya seorang murabbi di mana ia sentiasa berzikir kepada Allah swt bahkan semua aktiviti hidupnya adalah ‘lillahi ta’ala’ (semata-mata kerana Allah).
KEDUA : BENAR DALAM MANHAJ DAN YAKIN DALAM MENGIKUTINYA
Para ulama’ merasa yakin bahwa mereka berada di atas manhaj yang benar. Manhaj ini bersambung sehingga sampai kepada manhaj Rasulullah saw.
Begitu juga kita dalam dakwah ini di mana kamu sebenarnya tidak ikut kepada manusia, tetapi ikut fikrahnya. Kita menghargai orang dan bukan memujanya. Ada perbezaan antara ‘taqdir’ dan ‘taqdis’.
Jika kita memberi komitmen, itu ertinya memberi komitmen kepada manhaj kerana manhaj itu benar. Ini semua mesti jelas bagi seorang murabbi kerana jika semuanya jelas bagaikan matahari di siang hari, murabbi mampu mengalihkannya kepada orang lain kerana ia mempunyai hujjah yang kuat untuk disampaikan, sehingga kepada orang yang mendebatkannya dan bertanya kepadanya.
KETIGA : FAHAM AKAN KEADAAN MASYARAKAT
Kita hidup dalam masyarakat yang berbilang bangsa, berlainan agama dan berbagai profesyen seperti petani, pedagang, pegawai kerajaan, pegawai swasta, buruh dan lain-lain. Oleh kerana itu, seorang murabbi mesti memahami keadaan masyarakat. Surah Al-Kahfi ayat 19 mengingatkan kita tentang erti bersabar, iaitu sampai memahami keadaan masyarakat. Jangan terburu-buru serta jangan beremosi.
KEEMPAT : MENGETAHUI KEADAN MANUSIA DAN BERHUBUNG DENGAN MEREKA
Mencari ilmu, mempelajari keadaan masyarakat serta tidak tergesa-gesa adalah di antara beberapa kata kunci dalam dakwah.
Dalam risalahnya, Imam Hasan Al Banna mengatakan :
“Barangsiapa ingin memetik hasil sebelum masa menuai, hendaklah mencari jalan lain, bukan jalan Ikhwan.”
Umar Al Khattab berkata:
“Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari kekerasan orang ‘fajir’ (jahat) dan kelemahan orang yang bertaqwa.”
SIFAT HATI-HATI MURABBI
Hendaklah murabbi berhati-hati dengan perkara-perkara berikut :
PERTAMA : JAUHKAN DARI SENTIMEN PERIBADI
Cinta dan benci kerana Allah, bukan kerana sentimen peribadi.
KEDUA : JAUH DARI TINDAKAN EMOSIONAL
Keras suaranya seolah-olah ia komander perang ketika berdebat dengan orang lain. Kalau kamu bersikap emosional begini, bagaimana mereka akan mendengar kamu.
KETIGA : SENTIASA WASPADA DENGAN REALITI MASYARAKAT
Berhati-hati untuk memahami realiti yang dihadapinya. Pernah beberapa pemuda dari Mesir yang akan di hantar ke Afghanistan dan yang pertama sekali yang perlu dipelajari adalah Fiqh Hanafi kerana masyarakat di sana majoritinya bermazhab Hanafi.
Saya pernah diundang ke suatu daerah dan ketika itu saya tidak memakai kopiah. Ketika hendak solat seseorang membuka kopiahnya lalu mengatakan kepada saya, jika tidak keberatan, pakailah ini.
Saya ucapkan jazakallah, lalu bertanya kepadanya, kenapa kamu beri saya kopiah, namun kamu sendiri solat tanpa menutup kepala atau berkopiah?
Imam Hasan Al-Banna pernah mengatakan :
“Setiap pertanyaan yang tidak ada kecenderungan untuk beramal dengannya, maka melakukannya adalah suatu bentuk bebanan yang dilarang oleh agama.”
Sifat ini sangat penting kerana jika kamu telah memenuhi sifat ini, maka kamu akan mula berfikir kepada yang lebih terperinci dan mendalam.
KEPENTINGAN TARBIYAH AKAL
Inilah tarbiyah yang membentuk ideologi atau yang dinamakan ‘Tarbiyah Aqlul Muslim’. Seorang muslim mesti menyusun terlebih dahulu akalnya pada tingkatan rabbani.
Jika seorang ikhwah bersikap keras yang akan memberi kesan buruk kepada orang lain, maka dia seharusnya tidak mengucapkan walau sepatah kata pun.
Lihatlah apa yang telah dicontohkan oleh seorang sahabat yang ingin menyampaikan saranan kepada Rasulullah saw.
Dia bertanya terlebih dahulu, apakah ini wahyu yang diturunkan Allah atau sekadar inisiatif dari Rasulullah saw.
Nabi saw mengatakan bahwa itu inisiatif dirinya, maka, sahabat itupun mula menyampaikan idea dan cadangannya.
Seorang dari kepimpinan juga tidak boleh memotong pendapat yang dilontarkan kepadanya kerana itu akan memutuskan idea yang akan disampaikan. Jika perlara itu dilakukan, ianya akan melemahkan konsep tarbiyah.
Imam mazhab pernah mengatakan :
“Pendapat saya mungkin benar tapi boleh jadi keliru; dan pendapat yang lain mungkin keliru tapi boleh jadi benar.”
Kamu sebagai murabbi perlu sentiasa :
- Memasang telinga untuk mendengar.
- Menyiapkan dada yang lapang.
- Menyerlahkan wajah yang penuh senyuman.
Begitulah Nabi kamu, Muhammad saw. Baginda sentiasa berwajah senyum, kecuali jika melihat ada penyimpangan yang berkait dengan syariat di mana dalam keadaan tersebut, bagindalah orang yang paling dahulu marah melalui perubahan di wajahnya.
Seorang murabbi mesti sentiasa meletakkan dirinya dalam keadaan tetap ‘tsiqah’ dan jangan cuba untuk mengurangi keyakinannya.
Sudut lain yang kita bahas adalah :
- Sentiasa bersikap tawadhu’.
- Sentiasa mendengar.
- Sentiasa melaksanakan syura.
- Menghormati pemikiran mad’u sekalipun dalam memberikan kritikan atau cadangan.
Murabbi juga mestilah sentiasa mengambil bahagian dalam kegiatan masyarakat sehingga mereka dapat memberikan idea kerana dengan yang demikian kamu sedang mentarbiyah mereka tentang syura dan menyatukan kefahaman serta sikap mereka sepertimana yang kita fahami sebagaimana Rasulullah saw menyatukan perbezaan pendapat antara Abu Bakar, Umar, Utsman, dan Ali.
Saya katakan bahwa tidak dapat dimungkiri lagi bahwa dengan kamu mengambil bahagian, ianya akan memberikan rasa gembira kepada mereka dan oleh yang demikian :
- Jangan menghukumkan mereka.
- Jangan merendahkan mereka.
- Jangan memotong pembicaraan mereka.
SEPULUH (10) WASIAT IMAM HASAN AL-BANNA
Saya ingin menutup taujihat ini dengan mengingatkan kembali 10 Wasiat Imam Hasan Al-Banna:
- Bangunlah segera untuk melakukan solat apabila mendengar azan walau bagaimanapun keadaannya.
- Baca, telaah dan dengarkan Al-Qur’an atau zikirlah kepada Allah; dan janganlah engkau menghambur-hamburkan waktumu dalam masalah yang tidak ada manfaatnya.
- Bersungguh-sungguhlah untuk dapat berbicara dalam bahasa Arab dengan fasih.
- Jangan memperbanyakkan perdebatan, kerana hal itu tidak akan mendatangkan kebaikan.
- Jangan banyak ketawa kerana hati yang tenang dan tenteram adalah yang sentiasa berkomunikasi dengan Allah (zikir).
- Jangan bergurau kerana umat yang berjihad tidak berbuat kecuali dengan bersungguh-sungguh dan terus-menerus.
- Jangan mengeraskan suara di atas suara yang diperlukan oleh pendengar kerana hal ini akan mengganggu dan menyakiti orang yang mendengarkan.
- Jauhilah dari membicarakan keburukan orang lain atau melukainya dalam bentuk apapun, dan jangan berbicara kecuali yang baik.
- Berta’aruflah dengan saudaramu yang kamu temui walaupun dia tidak meminta kerana prinsip dakwah kita adalah cinta dan ta’awun (kerjasama).
- Pekerjaan rumah kita sebenarnya lebih bertumpuk daripada waktu yang tersedia, maka manfaatkanlah waktu; dan apabila kamu mempunyai sesuatu keperluan, maka sederhanakanlah dan percepatlah untuk diselesaikan.
JAGALAH UKHUWAH
Seterusnya, wasiat saya kepada kamu :
Jagalah ukhuwah!, jagalah ukhuwah! kerana dengan itulah kita dapat ‘tsabat’ dan memiliki kekuatan. Perkara inilah yang sentiasa diwasiatkan dan disampaikan oleh Imam Hasan Al-Banna pada ‘hadits tsulasa’’ (ceramah pada hari Selasa).
Dakwah akan kukuh dengan ukhuwah dan keteguhan kita pada manhaj. Oleh yang demikian, perkara terpenting setelah keimanan yang mesti kamu perhatikan adalah ukhuwah.
Akhir sekali, saya ingin mengundang kamu untuk berkunjung ke Mesir. Setelah Allah swt membuka Mesir dengan revolusi di awal tahun 2011, setiap hari ramai orang-orang yang datang menziarahi kami dan ini membuatkan musuh-musuh bertambah takut.
Saya tutup taujihat ini dengan doa rabithah :
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahwa hati-hati ini telah berkumpul atas dasar kecintaan kepadaMu, bertemu atas dasar ketaatan padaMu, bersatu dalam rangka menyeru di jalanMu, dan berjanji setia untuk membela syariatMu, maka kuatkanlah ikatan pertaliannya, Ya Allah, abadikanlah kasih sayangnya, tunjukkanlah jalan-jalannya, dan penuhilah ia dengan cahayaMu yang tidak pernah padam, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakal kepadaMu, dan matikanlah ia dalam keadaan syahid di jalanMu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Dan semoga solawat serta salam tercurah kepada junjungan kami, Muhammad saw, kepada keluarganya, dan kepada semua sahabatnya.”
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
Salam,
Syukran Jzkk atas perkongsian.
Ana nak tanya, seluruh teks ni daripada Syeikh Jum'ah Amin kah?
Ya