Dari segi bahasa, ‘Tarbiyah Islamiyah’ bermakna :
- ‘Rabba-yarbu’
(tumbuh berkembang).
- ‘Rabbiya-yarba’
(tumbuh secara alami).
- ‘Rabba-yarubbu’ (memperbaiki,
meningkatkan).
Ada beberapa perkataan dalam bahasa arab yang seerti dan senada
dengan perkataan ‘Tarbiyah’ iaitu :
- ‘Ziyadah’ (penambahan).
- ‘Nas’ah’ (pertumbuhan).
- ‘Taghdiyyah’ (pemberian zat makanan).
- ‘Ri’ayah’ (pemeliharaan).
- ‘Muhafazhah’ (penjagaan).
Sedangkan secara istilah, ‘Tarbiyah Islamiyah’
adalah memperbaiki sesuatu, menjaga serta memeliharanya.
Secara ringkasnya, ‘Tarbiyah Islamiyah’ adalah proses
penyiapan manusia yang soleh, yakni agar tercipta suatu keseimbangan dalam
potensi, tujuan, ucapan dan tindakannya secara keseluruhan.
ALASAN KEPERLUAN KEPADA TARBIYAH
ALASAN KEPERLUAN KEPADA TARBIYAH
DARI
ASPEK DALAMAN AJARAN ISLAM
PERTAMA
:
Hasil kajian kita terhadap sirah
Rasulullah saw memberi kita kefahaman bahwa Rasulullah saw telah membimbing
umat manusia untuk keluar dari kongkongan ciri-ciri berikut :
- Kejahilan (Al Jahl).
- Kehinaan (Dzillah).
- Kemiskinan (Faqr).
- Perpecahan (Tanafur).
KEDUA :
Keadaan umat Islam sekarang tidak memahami Islam itu
sendiri sehingga akhirnya terjebak dalam suasana jahiliyah moden dengan
kesesatan yang lebih dahsyat dan nyata sebagaimana firman Allah swt :
“Sesungguhnya
Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah
Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri,
yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang
membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari
iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah
(pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya
mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang
nyata.” (QS Ali Imran : 164)
Kesan dari suasana tersebut, umat Islam sekarang berada
pada tahap kritikal yang diakibatkan oleh :
- Kecintaan pada dunia yang
berlebihan dan takut mati.
- Saling berpecah belah.
- Mengkotak-katikkan ajaran
Islam.
- Penyimpangan ajaran Islam hasil
pengaruh sekularisma, plularisma dan liberalisma.
- Terbelenggu dengan ajaran
yang berbau tahayul, bid’ah dan khurafat.
- Meninggalkan jihad.
KETIGA :
Ia adalah satu-satunya jalan keluar dari kesesatan melalui
pembinaan yang di dalamnya terkandung :
- ‘Tilawah’ (Membaca
& dibacakan).
- ‘Tazkiyah’ (Pembersihan
diri).
- ‘Ta’limul kitab wal hikmah’
(Belajar Al-Qur’an dan hadits)
“(Nikmat
berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti
(nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu
Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu
(dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab
(Al-Quran) serta Hikmah kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu
ketahui.” (QS Al Baqarah : 151)
Usaha di atas dilaksanakan sehingga kita akan memperolehi
nikmat yang akan menghantarkan kita kepada ‘Khairu
Ummah.’
“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk
manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu
beriman kepada Allah.” (QS Ali
‘Imran : 110)
dengan ciri-ciri :
- Berpengetahuan.
- Terhormat.
- Kekayaan.
- Persaudaraan.
DARI
ASPEK INDIVIDU
PERTAMA :
Hakikat jiwa yang memerlukan pembinaan sebagaimana firman
Allah swt :
“Serta
mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan
yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah
orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih
(dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah
orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam
kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (QS Ash Syams : 8-10)
Hakikat jiwa tersebut menghadapi persoalan bahwa secara
fitrahnya, pada diri kita terdapat kecenderungan kepada taqwa dan kecenderungan
kepada dosa.
KEDUA :
Adanya musuh turun temurun yang tidak hanya membuat perancangan
yang matang tapi juga merealisasikannya sebagai sebahagian dari langkah syaitan.
“Wahai
sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan
janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu
ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh
kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya
kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah
benarnya).” (QS Al Baqarah : 168 - 169)
“Demi
sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali
permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan
orang-orang musyrik.” (QS Al Maaidah : 82)
“Sesungguhnya
Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi
tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari
penduduk neraka.” (QS Faathir : 6)
Untuk menghalang serangan musuh diperlukan amal jama’ie di kalangan
kaum muslimin dan ianya tidak akan berlaku kecuali dimulai dengan tarbiyah.
Seperti yang kita ketahui bahwa tujuan penciptaan manusia oleh Allah swt hanyalah satu iaitu beribadah kepada Allah, seperti berikut :
“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi(beribadah) kepada-Ku”. (Qs Az Zaariyaat : 56)
Agar kehidupan manusia di dunia bernilai ibadah maka manusia mestilah sentiasa menyandarkan tuntunan hidupnya kepada Islam secara kaffah (menyeluruh) dan mampu merefleksikan Al Qur’an sebagai pedoman hidup dalam mengharungi kehidupannya di dunia ini.
Namun, pada kenyataannya sekarang ini manusia, khususnya majoriti umat Islam berada dalam keadaan yang sangat memperihatinkan, jauh dari tuntunan Islam, sehingga yang nampak adalah bahwa umat Islam itu bodoh, hina, lemah, miskin, berpecah belah dan tidak memiliki kebanggaan terhadap Islam.
Tarbiyah memiliki kepentingan yang tiada taranya, sejak amal Islami dibangunkan pada masa-masa awalnya, kita telah memahami bahwa langkah yang paling efektif untuk proses perbaikan adalah pembinaan peribadi sesuai dengan nilai-nilai Islam dan sistemnya untuk menghantarkannya kepada suatu tujuan, iaitu masyarakat muslim, lalu umat muslim, kemudian Negara Islam yang menegakkan syariat Allah swt.
Tarbiyah memiliki pengertian bahwa :
“Ia adalah satu cara yang ideal dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, samada secara langsung (berupa kata-kata) ataupun secara tidak langsung (berupa keteladanan, sesuai dengan sistem dan tingkatannya yang khas), untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan yang lebih baik.”
Imam Hasan Al Banna bersama Ikhwanul Muslimin yang didirikannya pada tahun 1928 mencanangkan idealisma yang sedemikian tinggi sehingga tertegaknya kembali kejayaan Islam. Tapi untuk menuju ke situ, kita perlu mempunyai satu modal, iaitu pemuda.
Maka tidak ada yang perlu dilakukan kecuali mentarbiyah mereka sehingga akhirnya tarbiyah menjadi semacam “trade mark” bagi Jamaah Ikhwanul Muslimin.
Tarbiyah Ikhwanul Muslimin lahir dari Kitabullah dan Sunnah RasulNya, menyusuri perjalanan sahabat dan tabi’in serta mengambil suri teladan dari manusia teladan yang ma’sum, Muhammad saw, para mujaddi yang soleh serta para tokoh Islam sepanjang sejarah.
Imam Hasan Al Banna telah menggariskan bahwa tahapan aktiviti dalam Ikhwanul Muslimin ada tiga, iaitu :
a. ‘Ta’rif’ (pengenalan).
b. ‘Takwin’ (pembinaan).
c.
‘Tanfizh’ (perlaksanaan).
Oleh kerana itu, adalah penting untuk memberi perhatian yang khusus kepada tarbiyah dan menjadikannya sebagai keutamaan di setiap kegiatannya, bahkan menjadikannya sebagai aktiviti yang berterusan dan tidak berhenti di tahapan manapun dari tahapan-tahapan sejarahnya.
Penekanan terhadap kepentingan tarbiyah ini kadangkala mengundang komentar dari orang luar bahwa :
‘Tarbiyah bukanlah segala-galanya dan dengan tarbiyah semata-mata, kita tidak akan mampu meraih kemenangan.’
Namun, ia kemudiannya dijawab oleh salah seorang tokoh Ikhwanul Muslimin, Syeikh Musthafa Masyhur bahwa :
‘Tarbiyah memang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya tidak akan mampu diraih kecuali melalui tarbiyah.’
Tarbiyah Islamiyah sebagaimana yang sudah disebutkan memberi erti proses mempersiapkan seseorang dengan persiapan yang menyentuh :
1. Seluruh aspek kehidupannya meliputi ruhani,
jasmani dan akal fikiran.
2. Kehidupan duniawinya dengan segenap aspek
hubungan dan kemaslahatan yang mengikatnya.
3. Kehidupan akhiratnya dengan segala amalan
yang dilakukannya yang
membuatkan samada Allah ridha
atau murka.
PERANAN
TARBIYAH DALAM KEHIDUPAN
- Memahami gambaran yang jelas
mengenai Islam yang sempurna dan benar.
- Membentuk keperibadian
muslim secara utuh.
- Menumbuhkan harga diri dan peribadi
yang tidak mudah dipecah belahkan
- Keimanan dan
ketaqwaan penduduk merupakan asas terwujudnya kemakmuran yang penuh
berkah.
- Mewujudkan ketenteraman dan
kestabilan masyarakat.
CIRI-CIRI
TARBIYAH ISLAMIYAH
- ‘Rabbaniyah’,
iaitu seluruh aspeknya diasaskan kepada nilai rabbaniyah yang dihuraikan
dalam Kitabullah dan Sunnah RasulNya.
- ‘Syamilah’,
iaitu tarbiyah yang dibangun dengan memperhatikan segala aspek dalam
kehidupan samada akal, jasad dan ruh, ataupun dalam kerangka hubungan
individu dengan masyarakat, alam dan al Khaliq tanpa ada apa-apa pemisahan.
- ‘Mutakamilah’,
iaitu tarbiyah yang tidak terbatas pada tempat tertentu serta berlangsung
di sekolah, masjid, rumah, di jalan, di kebun, medan pertempuran bahkan di
pasar.
- ‘Marhaliyah’,
iaitu seluruh tabiat alam berlaku secara bertahap, demikian pula
perkembangan fizikal dan psikologi manusia. Oleh kerana itu, pendidikan
dibangun dengan sifat bertahap dan mengikuti perkembangan kematangan
manusia.
- ‘Muruunah’,
iaitu dalam aplikasi tarbiyah disesuaikan dengan situasi dan keadaan yang
melatar belakangkan dan melingkupi objek dan subjek pendidikan, justeru
dalam rangka untuk mendapatkan hasil yang optimum.
- ‘Istimrariyah’,
iaitu proses tarbiyah yang tidak mengenal istilah “Selesai”. Setiap
individu wajib belajar sepanjang hayat (Tarbiyah Maddal Hayah)
- ‘Tanmawiyah’,
iaitu memberikan peluang pembaharuan metod dan gaya penyampaian selari
dengan penemuan dan perkembangan ilmu, selama ia berjalan pada
prinsip-prinsip asas Islam.
- ‘Fardhiyah’,
Islam mewajibkan setiap individu untuk menuntut ilmu. Implikasinya, bererti
melibatkan semua pihak untuk mempersiapkan segala tingkatan, wasilah dan kelengkapan
pendidikan sebaik-baiknya.
- ‘Tathbiqiyah’,
iaitu tarbiyah yang bersifat praktikal, ertinya setiap ilmu yang diperolehi
mesti berorientasikan kepada produktiviti.
- ‘Hurriyah’,
iaitu tarbiyah yang berasaskan kepada kebebasan. Islam tidak memaksakan perlu
belajar apa dan bagaimana, setiap individu bebas mereguk ilmu apa sahaja
dan sebatas manapun selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
- ‘Infitah’,
iaitu tarbiyah yang berasaskan prinsip keterbukaan. Setiap muslim menyerap
ilmu dari mana sahaja serta mampu pula memanfaatkan warisan peradaban
manusia terdahulu yang bermanfaat.
- ‘Maslahah’,
iaitu tarbiyah yang dibangun untuk memberikan kemaslahatan ummah, memberikan sumbangan dalam pendidikan
kesejahteraan, kemakmuran dan peradaban ummah. Oleh kerana itu, pendidikan
Islam berorientasi pada nilai manfaat dan mashlahat bagi ummat.
TUJUAN TARBIYAH ISLAMIYAH
Tarbiyah Islamiyah
mempunyai beberapa tujuan dan di antaranya adalah :
- Membentuk
manusia beraqidah (tarbiyah ‘aqidiyah)
- Membentuk
manusia berakhlak mulia (tarbiyah khuluqiyah)
- Membentuk manusia
berfikir (tarbiyah fikriyah)
- Membentuk
manusia yang sihat dan kuat (tarbiyah jismiyah)
- Membentuk
manusia yang kreatif, berinisiatif, antisipatif dan responsif (tarbiyah
amaliyah)
Dalam kitab ‘Thariqud-da’wah; bainal ashalah wal inhiraf’ (Jalan Dakwah, antara
keaslian dan penyimpangan), Syekh Musthafa Masyhur mengatakan bahwa :
“Peribadi muslim adalah batu bata asas dalam pembinaan, samada
pembinaan ‘al bait al muslim’ (keluarga muslim), atau ‘al mujtama’
al muslim’ (masyarakat muslim), atau ‘al hukumah al muslimah dan ad-daulah’. Sesuai dengan
kadar yang diterima oleh peribadi dalam hal ‘tarbiyah’, sesuai denagn itu
pulalah kekukuhan bangunannya.
Aqidah dan iman yang
kuat adalah asas pembentukan peribadi muslim, oleh yang demikian, kecuaian di
bidang ‘tarbiyah’ terhitung sebagai kelemahan dalam tapak asas dan akan
menghadapkan bangunan kepada keruntuhan, samada cepat atau lambat.
Tidak memberikan perhatian
yang selayaknya kepada ‘tarbiyah’ juga akan memberi kesan kepada menurunnya
tingkatan keperibadian sehingga tidak meluluskan seseorang menjadi
peribadi-peribadi dengan tingkatan tanggungjawab dan daya tahan dalam memikul
berbagai amanah amal, di mana seharusnya mereka meringankan beban-beban dakwah, tapi
sebaliknya ia malah menimbulkan berbagai permasaalahan dan
pertentangan-pertentangan dan jadilah mereka itu beban yang merugikan amal,
produktiviti dan dakwah.
Tarbiyah mempunyai
pengaruh yang sangat panjang sepanjang hari-hari yang ada, dan juga dalam
menghadapi berbagai peristiwa serta memenuhi tuntutan-tuntutan amal di atas
jalan dakwah, samada di saat berlakunya ‘mihnah’ (ujian) dan
menghadapi tipu daya musuh, ataupun di saat munculnya tuntutan jihad, ‘tadhhiyah’
(pengorbanan) dan tugas-tugas lainnya.
Sangat penting juga
untuk dijelaskan bahwa tidak tepat kefahaman bahwa ‘tarbiyah’ hanya
terbatas pada orang baru dalam dakwah dan tidak lagi relevan bagi orang yang
telah lama di jalan dakwah ini, akan tetapi, ‘tarbiyah’ mestilah
bersifat terus menerus dan untuk berbagai tingkatan serta berbagai tahap
senioriti, kerana, tidak ada seorangpun kecuali memerlukan bekalan dan peringatan”.
Seterusnya, beliau menjelaskan tentang sebab-sebab pengabaian
tarbiyah di antaranya adalah :
- Dominannya
aspek ‘siyasah’ (politik) dalam harakah berbanding aspek
tarbiyah. Kesannya, banyak waktu-waktu yang terjebak pada aspek-aspek
formal, diskusi-diskusi dan lain-lain.
- Tidak
menyiapkan murabbi-murabbi baru yang sanggup membina pendatang-pendatang
baru, maka dari sinilah tingkatan ‘tarbiyah’
akan menurun. Demikian juga kerana adanya perhatian yang berlebihan
terhadap penyebaran dakwah yang memberi kesan kepada ramainya pendatang
baru tanpa diimbangi oleh daya dukung untuk mengukuhkan mereka dengan tarbiyah. Oleh yang
demikian, menjadi suatu kemestian untuk memberi perhatian dalam menyiapkan
para murabbi dan menyelaraskan antara penyebaran dakwah dan tarbiyah,
maksudnya antara ‘marhalah
ta’rif’ (pengenalan) dan ‘marhalah takwin’ (pembentukan).
- Berubahnya
halaqah menjadi kelas-kelas pengajian yang sekadar tingkatan ‘ma’rifah’ (tahu) dan mendapat
pelajaran, padahal ia seharusnya menjadi bingkai tempat dituangkannya
bahan manhaj, ‘takwin’
(pembentukan) dan ‘taqwimul
akhlaq’ (pelurusan akhlak) atau secara umumnya, ‘inhiraf’ (penyelewengan)
dalam hal ini adalah pengosongan wasilah-wasilah tarbiyah dari mutiara intinya
sehingga wasilah-wasilah tersebut hanya berbentuk penampilan luaran
semata-mata.
- Disibukkan
oleh bidang-bidang kegiatan tertentu, kerana situasi dan keadaan yang
muncul sehingga menyebabkan terabainya tarbiyah. Tidak benar kalau sampai
ada sesuatu perkara yang menyebabkan ditinggalkannya tarbiyah kerana
kesibukan menguruskan sesuatu, apapun ia, termasuk jihad dan memerangi
musuh, bahkan, tarbiyah dalam situasi dan keadaan yang sangat sulit dan
genting itu justeru menjadi urusan yang paling mustahak, kerana unsur iman
adalah sebab yang paling penting untuk dipenuhi dalam rangka mendapatkan dukungan,
pertolongan dan kemenangan dari Allah swt.
Dalam kitab tersebut juga, Syekh Musthafa Masyhur menyebutkan
berbagai bentuk penyimpangan, di antaranya adalah :
- Sedikit
ilmu.
- Perhatian
hanya kepada aspek penampilan yang melupakan mutiara isinya dan dominasi
debat dan diskusi yang mengalahkan amal.
- Asal kerja
berjalan dan tidak ada perancangan.
Oleh yang demikian, untuk tetap bertahan pada jalan yang
lurus iaitu jalan taqwa, manusia memerlukan pengawalan yang ketat secara
terus-menerus dan perkara ini hanya boleh terlaksana dengan ‘Tarbiyah
Islamiyah’ yang sentiasa memastikan setiap individu berjalan di atas
jalan ketaqwaan.
Hakikatnya ‘Tarbiyah Islamiyah’ adalah wajib
kerana ia merupakan wasilah terlaksananya kewajiban agama iaitu ibadah. Ta’lim
adalah bahagian dari tarbiyah dan ibadah tidak sah tanpa mengetahui hukum dan
syarat sahnya ibadah.
Ya Allah, berilah kefahaman yang jelas kepada kami sehingga
kami tetap berpegang dan meningkatkan komitmen kami terhadap Tarbiyah Islamiyah
kerana ia adalah asas binaan yang kukuh ke arah pembentukan individu,
masyarakat, negara dan dunia bagi tujuan menyebar luaskan dakwah ke seluruh
pelusuk bumi bagi memenuhi matlamat membawa rahmat ke seluruh alam.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
amenn.
Tarikh penulisan dan nama penulis tidak ada? Harap dapat sertakan nama penulis sebagai rujukan kami
Jzkk kpd saudara Saifullah di atas kesediaan membaca tulisan ini. Tarikh penulisan saya tidak ingat tapi ianya ditulis pada bulan Jun 2012. Nama penulis adalah saya yang lebih dikenali dengan nama pena iaitu WAS. Tulisan saya kebanyakannya disunting dari beberapa sumber dan untuk tulisan ini ada dirujuk kpd kitab 'Jalan Dakwah, Antara Keaslian Dan Penyimpangan' karangan Syeikh Mustafa Masyhur.
jika tuan dapat sertakan nama. mungkin boleh dijadikan blog ini sebagai rujukan. sebab saya sedang menulis latihan ilmiah. perlukan tarikh penulisan dan nama penulis.
Tuan boleh tak sebutkan sumber2 yang tuan tulis?