Tarbiyah memainkan peranan yang amat penting bagi melahirkan ‘Syakhshiyah Islamiyah Mutakamilah Mutawazinah’ (keperibadian Islam yang sempurna dan seimbang) yang bersedia untuk menghadapi tentangan dan halangan zaman dengan segala masalah, ujian dan cobaannya.
Oleh yang demikian, kita memerlukan kefahaman yang sahih terhadap fiqh tarbiyah agar usaha-usaha untuk menghasilkan rijal-rijal seperti yang tersebut di atas akan berhasil.
Bagi mencapai matlamat tersebut, manhaj tarbiyah mestilah mampu merealisasikan tujuan-tujuan berikut :
PERTAMA : Memahami Islam sebagai manhaj atau pedoman hidup bagi manusia yang bersifat :
- ‘Syumul’ (lengkap).
- ‘Tawazun’ (seimbang).
- ‘Takamul’ (sempurna).
- ‘Alamiyah’ (sejagat).
- ‘Murunah’ (anjal).
- ‘Waqi’ieyah’ (realististik).
- ‘Rabbaniyah’ (bersumber dari Allah).
KEDUA : Memiliki komitmen pada Islam dalam semua aspeknya samada sosial, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lainnya sehingga semua teori dan pandangan dapat di aplikasikan di dalam kehidupan yang nyata.
KETIGA : Memperhatikan keadaan objektif masyarakat dalam hal aplikasi, komunikasi dan interaksi dengan prinsip-prinsip Islam. Semua ini mesti disesuaikan dengan situasi, keadaan, waktu dan tempat samada yang melibatkan kaum muslimin ataupun dengan bukan muslim dan juga samada dalam interaksi dakwah ataupun interaksi politik.
Selain itu juga perlu dilihat apakah di dalam masyarakat yang mempunyai ketaatan yang jitu ataukah ketaatan yang pelbagai dimensi kerana memang tidak mungkin untuk mengaplikasikan Islam hanya dengan satu model.
Oleh kerana itu diperlukan pengukuhan hukum syari’e dalam berinteraksi dengan orang lain dan manhaj tarbiyah mestilah dicernakan di atas landasan ini.
KEEMPAT : Memperhatikan tanggungjawab tarbiyah dalam rangka mencetak rijal dakwah dan generasi yang boleh bergaul dengan masyarakat luar, mampu mempengaruhi dan tidak menganggap mereka sebagai musuh walaupun perlakuan mereka keras, kasar dan menyakitkan.
Oleh kerana itu, pendakwah sebenar dan rijal yang berjaya adalah justeru orang yang mampu merekrut orang-orang yang sukar direkrut. Di sini nampak adanya perbezaan daya tarik dan kemampuan di antara para rijal untuk menguasai dan merekrut masyarakat.
PEMBINAAN RIJAL
Pembinaan rijal merupakan lanjutan dari pembinaan masyarakat yang berfungsi untuk saling melengkapi dan tidak boleh dipisahkan antara yang satu dengan yang lainnya.
Pembinaan rijal adalah proses pembentukan yang difokuskan kepada orang-orang tertentu hasil rekrut dari masyarakat dan bertujuan untuk mempersiapkan para pendakwah dan murabbi di tengah-tengah masyarakat serta untuk masyarakat.
Jika perkara ini tidak menjadi tujuan tarbiyah, maka proses pembinaan rijal hanya akan menjadi sebagai kegiatan rutin yang terbatas pada pengislahan peribadi yang ekslusif, bahkan kebaikan yang bersifat pasif, kerana tidak memiliki peranan pengislahan terhadap masyarakat dan realiti kehidupan.
Pembinaan rijal adalah bertujuan untuk meningkatkan berbagai kemampuan dan keahlian rijal agar dapat berperanan dalam mengendalikan dan merekrut anggota masyarakat di bidang tarbiah, dakwah, harakah dan siasah serta mampu menyiapkan masyarakat agar bersedia melakukan gerakan reformasi dan perubahan.
Namun, tidak semua orang mesti atau dipaksakan mengikuti proses pembinaan rijal kerana potensi, kemampuan dan persediaan manusia tidaklah sama. Selain itu, tidak semua orang memiliki persediaan untuk menjadi ‘Rijal Dakwah’.
Di antara sifat-sifat yang mesti ada pada seorang pendakwah adalah :
- Pandangan yang jauh ke depan.
- Kejernihan hati.
- Bijak.
- Sabar.
- Mencintai orang lain.
- Bersemangat membimbing mereka.
- Tawakkal kepada Allah.
- Ikhlas hanya menginginkan balasan dariNya.
sehingga ia mampu membuatkan :
- Sesuatu yang dibenci menjadi disenangi.
- Yang jauh menjadi dekat.
- Lawan menjadi kawan.
Orang-orang pilihan Allah, para nabi dan rasul berdakwah secara aktif di tengah-tengah masyarakat dan hidup bersama mereka.
Sebagai contoh perjuangan Nabi Nuh alaihissalam untuk berdakwah kepada kaumnya tanpa kenal penat lelah :
“Nuh berkata: ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari(dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sangat. Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan, kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan diam–diam, maka aku katakan kepada mereka: mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah? padahal Dia sesungguhnya telah menciptakan kamu dalam beberapa tingkatan kejadian“ (QS Nuh : 5 – 14)
Kemudian Nabi Ibrahim as yang merupakan peribadi pemimpin yang taat kepada Allah swt, yang menghadapi kaumnya sendiri tanpa adanya jamaah, parti atau golongan yang mendukungnya. Ia menghadapi mereka dengan pembahasan yang kuat dan logik yang mantap ketika kaumnya berpaling maka ia menghancurkan berhala-berhala mereka.
“Demi Allah, sesungguhnya aku akan melakukan tipu daya terhadap berhala-berhalamu sesudah kamu pergi meninggalkannya. Maka Ibrahim membuat berhala-berhala itu hancur terpotong-potong kecuali yang terbesar (induk) dari patung-patung yang lain agar mereka kembalikan (untuk bertanya) kepadanya. Mereka berkata: siapa yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami?, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim. Mereka berkata: Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim. Mereka berkata: (Kalau demikian) bawalah dia dengan cara yang dapat dilihat orang banyak agar mereka menyaksikan. Mereka bertanya: Apakah kamu yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan–tuhan kami wahai Ibrahim? Ibrahim menjawab: Sesungguhnya patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada berhala itu jika mereka dapat berbicara. Maka mereka telah kembali kepada kesedaran mereka dan lalu berkata: Sesungguhnya kamu sekalian adalah orang–orang yang menganiaya (diri sendiri) “. (QS Al-Anbiya’ : 58 - 64.)
Dan akhirnya Nabi Muhammad saw yang tidak membiarkan kesempatan berlalu tanpa usaha dakwah, mengajak manusia ke jalan Allah.
Baginda di satu sudut mempersiapkan ‘Rijal Dakwah’ di rumah Al Arqam bin Abi Al Arqam namun di sudut lain juga tidak pernah putus berdakwah dalam masyarakat Arab dengan mendatangi tempat-tempat berkumpulnya orang ramai seperti di pasar-pasar ‘Ukaz, Majinnah, Zilmajaz dan Mina.
Bukankah Rasul memang diutus sebagai rahmat untuk semesta alam sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al Qur’an :
“Wahai manusia sesungguhnya aku utusan Allah kepada kamu semua“. (QS AL A’raf : 158)
‘Dan Aku tidak mengutusmu melainkan sebagai rahmat untuk semesta alam“. (QS Al-Anbiya’ : 107)
“Dan Kami tidak mengutusmu (Muhammad) melainkan untuk seluruh manusia membawa berita gembira dan peringatan akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya“. (QS Saba’ : 28)
Imam Hasan Al Banna pernah ditanya, kenapa ia tidak menyusun buku (kitab) lalu beliau menjawab :
“Aku lebih suka menghasilkan dan mencetak rijal berbanding buku kerana buku akan tersimpan dan menjadi usang di rak-rak buku, hanya segelintir yang mahu menikmati manfaatnya.
Sedangkan rijal akan menjadi buku berjalan yang akan memberikan manfaat bagi siapa sahaja yang bersentuhan dengannya.”
TUJUAN TARBIYAH
Di antara tujuan tarbiyah adalah untuk :
1. Menguatkan keimanan.
2. Menambah ilmu pengetahuan.
3. Memperkukuhkan akhlak.
4. Meningkatkan kesolehan.
5. Melaksanakan kewajiban dakwah.
6. Memiliki komitmen di jalan dakwah untuk menggapai ridha Allah.
Oleh yang demikian, pembinaan rijal untuk peningkatan kualiti peribadi dan difungsikannya rijal tersebut untuk kepentingan Islam mestilah sesuatu yang menjadi tujuan tarbiyah.
Allah memilih para Nabi bukan sebagai tujuan, tetapi yang menjadi tujuan adalah :
a. Menyiapkan mereka untuk bertarung melawan kebatilan.
b. Menyelamatkan masyarakat dari kekuasaan thaghut (pemimpin yang zalim).
c. Membimbing manusia agar mereka tunduk beribadah hanya kepada Allah.
d. Menolak segala bentuk sistem jahiliyah dalam masyarakat.
PEMBINAAN MASYARAKAT
Sebagaimana yang dijelaskan di permulaan di mana pembinaan rijal adalah lanjutan dari pembinaan masyarakat. Ia merupakan penggerak pembinaan masyarakat dan sekaligus mengarahkan, meluruskan serta mengendalikannya. Jadi pembinaan rijal bukanlah sebagai pengganti atau sesuatu yang kontradiktif.
Sementara pembinaan masyarakat adalah usaha untuk merealisasikan peranan pembinaan rijal melalui :
1. Usaha tabligh.
2. Penyebaran fikrah.
3. Usaha pengajaran Islam kepada masyarakat.
sehingga mereka akan menjadi pendukung dakwah dan dengan itu akan berlakulah proses merekrut anggota masyarakat.
Jika perkara itu tidak berlaku, ini bererti pembinaan rijal telah gagal kerana tarbiyah menjadi sesuatu yang tidak mempunyai peranan dan tujuan.
Oleh yang demikian, pembinaan rijal mesti direalisasikan dalam aktiviti dan sumbangan sosial sesuai dengan perspektif hadits nabawi :
‘Sampaikanlah olehmu dariku walaupun hanya satu ayat’. (HR Bukhari)
- Belajar mestilah diteruskan dengan usaha mengajar.
- Menerima mestilah diikuti dengan memberi.
Oleh yang demikian, pembinaan rijal dan pembinaan masyarakat bagaikan dua sisi mata wang yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain dalam gerakan dakwah.
Ini jelas tergambar di dalam arahan Allah kepada para anbiya’ :
PERTAMA : Nabi Musa dan Harun alaihimas-salam :
“Dan Aku telah memilihmu untuk diriku (menjadi rasul). Pergilah kamu beserta saudaramu dengan membawa ayat-ayatKu, dan janganlah kamu berdua lalai dalam mengingatiKu; Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas; maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut “. (QS Thaha : 41 – 44)
KEDUA : Nabi Muhammad saw :
“Wahai Nabi sesungguhnya Kami mengutusmu untuk menjadi saksi, dan membawa khabar gembira dan pemberi peringatan dan untuk itu jadi penyeru (da’ie) kepada agama Allah dengan izinNya dan untuk jadi cahaya yang menerangi “. (QS Al-Ahzab : 45 – 46)
KETIGA : Para Nabi dan Rasul, dakwah mereka adalah juga dakwah kepada massa :
“Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi segala umat (di masa mereka masing-masing), sebagai satu keturunan yang sebahagiannya (keturunan) dari yang lain. Dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui“. (QS Ali ‘Imran : 33 – 34)
“Dan tidaklah Kami mengutus para rasul itu melainkan untuk memberi khabar gembira dan memberi peringatan. Barang siapa beriman dan mengadakan perbaikan maka tidak ada kekhuatiran pada mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati“. (QS Al ‘An’am : 48)
Ayat-ayat di atas dan yang serupa dengannya menegaskan akan adanya :
1. Komunikasi dengan masyarakat.
2. Arahan terhadap masyarakat awam.
3. Seruan dakwah secara terbuka.
Ini adalah prinsip dalam syariat Islam iaitu wajib dilaksanakan dan tidak boleh diabaikan walaupun dengan alasan :
a. Tiada keamanan.
b. Belum ada kekuatan tanzim.
c. Dakwah masih pada marhalah tertentu.
Jika kelalaian itu berlaku ianya bererti kita telah mengabaikan kewajiban ‘Da’wah Ilallah’ dan ‘Amar Ma’ruf Nahi Munkar’ yang mungkin disebabkan :
1. Lemahnya semangat.
2. Sibuk dengan dunia.
3. Lemah iman.
4. Takut kehilangan harta benda.
5. Takut mati.
Dakwah wajib disampaikan sekalipun situasi ketika itu berat dan sulit, kerana pandangan tentang adanya ‘da’wah sirriyah’ itu tidak mempunyai dalil syar’ie yang kuat sementara prinsip dalam dakwah adalah ‘jahriyah’ (terbuka). Dakwah tidak boleh hilang kerana takutkan akan bahaya walaupun perlu menyesuaikan caranya (‘fiqh da’wah’).
Al-Qur’an dan Sunnah Rasulllah saw menegaskan perkara ini :
Firman Allah :
“Dan katakanlah yang Haq dari Rabbmu maka barangsiapa menginginkan maka berimanlah dan barangsiapa yang menginginkan maka kafirlah.”
‘Ubadah bin Shamit meriwayatkan :
“Rasulullah memerintahkan kepada saya agar saya bicara yang Haq sekalipun pahit dan memerintahkan kepada saya agar saya tidak takut di jalan Allah akan kecaman orang lain”. (HR Ahmad)
Demikianlah kefahaman yang benar tentang ‘Fiqh Tarbiyah’, iaitu tidak boleh ada rijal yang :
1. Tidak memiliki kewajiban dakwah dan tarbiyah.
2. Mengemukakan alasan untuk tidak berdakwah atau mentarbiyah.
3. Berpeluk tubuh menjadi penganggur harakah.
Setiap rijal mestilah menjadi unsur yang produktif dengan memberikan sumbangannya kepada jamaah dan harakah agar jamaah terus berkembang dan meluas tanpa perlu menunggu perintah kepimpinan dan tanzim kerana pada dasarnya setiap muslim bertanggungjawab kepada Allah swt :
’’Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri“
(QS Maryam : 95)
“Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya“. (QS Al-Muddathir : 38)
BEBERAPA KESIMPULAN
PERTAMA : Bahwa tarbiyah bersifat terbuka nampak jelas melalui arahan nabi / hadits yang diulang-ulang dan anjuran yang terus menerus untuk memenuhi keperluan masyarakat luas di mana perlu adanya sikap kepedulian terhadap urusan mereka dan menghilangkan kezaliman yang menimpa mereka.
“Barang siapa yang bermalam dan ia tidak peduli terhadap urusan kaum muslimin, maka ia tidak termasuk golongan mereka”. (HR Al-Bazzar)
KEDUA : Tarbiyah bersifat terbuka nampak jelas melalui keterangan rasul tentang hubungan yang terus berkembang dan maju di antara sesama kaum muslimin dan antara kaum muslimin dengan bukan muslim. Di antaranya kewajiban setiap individu terhadap yang lainnya:
- Pada gambaran sosial, Rasulullah saw bersabda :
“Hak seorang muslim atas muslim yang lain ada enam; [1] bila kamu bertemu dengannya maka ucapkan salam kepadanya, [2] bila kamu diundang maka penuhilah undangannya, [3] bila ia minta nasihat kepadamu maka nasihatilah dia, [4] bila ia bersin dan membaca alhamdulillah maka doakanlah dia dengan mengucap yarhamukallah, [5] bila ia sakit maka jenguklah dan [6] bila ia meninggal maka hantarkanlah jenazahnya sampai ke perkuburan”. (HR Muslim)
“Orang yang paling baik adalah orang yang paling bermanfaat buat masyarakatnya”. (HR Al-Qadha’i)
“Seorang mu’min yang bergaul dengan masyarakat dan bersabar atas perilaku dan sikap buruk mereka itu lebih utama dari pada seorang mu’min yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas perilaku dan sikap buruk mereka”. (HR Tirmizi)
- Pada gambaran dakwah, Rasulullah saw bersabda :
“ Belalah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi, lalu berkata seorang laki-laki: ya Rasulullah, saya membelanya jika ia dizalimi, bagaimana saya membelanya jika ia yang menzalimi? Rasul menjawab: kamu cegah dia dari berbuat zalim, dengan demikian kamu telah membelanya”. (HR Bukhari)
“Demi Allah, dengan usahamu Allah memberikan hidayah kepada seseorang itu lebih baik bagi kamu dari unta merah (harta yang paling berharga)”. (HR Bukhari dan Muslim)
“Barang siapa yang menunjukkan orang lain kepada kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang melakukannya”. (HR Muslim)
- Pada gambaran hubungan persaudaraan, Rasulullah saw bersabda :
“Seorang mu’min dengan mu’min yang lain bagaikan satu bangunan, satu dengan yang lain saling memperkuat”. (HR Bukhari dan Muslim)
“Seorang muslim adalah orang yang tidak mengganggu kaum muslimin dengan lidah (kata-kata) dan tangan (perbuatan) nya, dan seorang mu’min adalah orang yang memberikan jaminan keamanan terhadap nyawa dan harta orang lain”. (HR Tirmizi dan Nasaie)
“Seorang muslim bersaudara dengan muslim yang lain, maka ia tidak boleh mengkhianati, mendustai dan menjadikannya hina, setiap muslim atas muslim yang lain baginya haram kehormatan, harta dan darah (nyawa) nya, taqwa ada di sini (Rasulullah mengisyaratkan tangan ke dadanya/hati), sudah cukup keburukan bagi seseorang dengan menghina saudaranya yang muslim”. (HR Tirmizi)
- Pada gambaran amal jama’ie dalam menjalankan misi dakwah, ‘amar ma’ruf nahi munkar’, pengislahan dan pengarahan, Allah swt berfirman :
“Dan mesti ada di antara kamu ummat (golongan) yang menyeru kepada kebajikan, memerintahkan yang ma’ruf (baik) dan mencegah dari yang munkar (buruk) dan mereka adalah orang-orang yang beruntung “. (QS Ali ‘Imran : 104)
“Dan bekerjasamalah kamu atas dasar kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah bekerjasama di atas dosa dan permusuhan “. (QS Al-Maidah : 2)
Rasulullah saw bersabda :
“Dan saya memerintahkan kepada kamu lima perkara, Allah memerintahkan saya dengannya: [1] berjamaah, [2] selalu bersedia untuk mendengar, [3] taat, [4] hijrah dan [5] jihad fi sabilillah. Barang siapa yang keluar dari jamaah walaupun hanya satu jengkal maka ia telah melepaskan ikatan Islam dari lehernya sampai ia kembali dan berkomitmen lagi pada jamaah, para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, sekalipun solat dan puasa? Rasul menjawab: Sekalipun ia puasa dan solat serta mengaku sebagai seorang muslim”. (HR Ahmad)
Ya Allah, berilah kefahaman yang benar kepada kami terhadap fiqh tarbiyah sehingga ianya
mampu menjadikan proses pembinaan rijal sebagai wasilah ke arah pengumpulan dan
penggembelingan masyarakat.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS