Usianya lebih panjang dari penyeru dakwah itu sendiri.
Hari ini merupakan hari-hari perjuangan iaitu berjuang untuk menunaikan tugas dakwah yang mulia.
Tugas yang tidak pernah selesai seiring dengan perjalanan waktu. Malah semakin berlalunya waktu semakin muncul berbagai tugas baru.
Seorang pujangga pernah berkata :
“Terbitnya fajar, merekahkan harapan cerah dan membawa sekelumit bebanan”.
Namun, bagi seorang aktivis dakwah, waktu menjadi bahan bakar perjalanan kehidupannya sehingga mereka sentiasa mengurus waktunya demi kehidupan yang ia jalani agar sentiasa bersedia menggalas tugas yang ada di hadapannya.
Bukanlah sesuatu yang pelik bahwa tugas dakwah memang bukanlah tugas yang ringan. Ia mempunyai banyak liku dan kendala yang rumit samada dari pihak luaran ataupun dari dalaman sendiri.
Kadang-kadang tugas dakwah menjadi beban berat untuk dipikul lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkeperibadian rapuh.
Tugas itu menjadi tembok besar yang teramat sukar untuk dilewati. Mereka akan terasa sempit jiwa apabila menatap tugas demi tugas serta terasa berat untuk menggerakkan kaki dan tangan menerima tugas tersebut.
Para Rasul dan Nabi yang telah merintis dan melaluinya telah memberikan banyak pelajaran bagi mereka yang meneruskan usaha dakwah ini. Al-Qur’an juga telah mengabadikan risalah panjang ini.
Rintangan dan ujian dalam berjuang di jalan dakwah adalah sebuah kemestiaan yang tidak mungkin kita hindari atau kita lari darinya bahkan ia pasti akan menghampiri kita.
Jangan pernah berhenti dari berdakwah kerana para Nabi dan pengikutnya tidak pernah berhenti ataupun lemah kerana rintangan ini.
1. Nabi Nuh telah menghadapi cacian kaumnya.
2. Nabi Ibrahim dibakar dalam nyalaan api.
3. Nabi Isa dimusuhi.
4. Nabi Muhammad saw mendapat ancaman bunuh setelah seringkali mendapat cacian, penghinaan dan penyiksaan.
Allah swt berfirman :
“Dan berapa banyak dari Nabi-Nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (QS Ali Imran : 146)
Sesungguhnya ayat di atas perlu kita tadabbur di mana ia memberikan sebuah pelajaran dalam sebuah perjuangan.
Dalam perjuangan para Rasul dan para pengikutnya, mereka tidak pernah :
a. Terpesona dengan apa-apa tarikan.
b. Menjadi lemah.
c. Berhenti dalam dakwah.
Di dalam ayat ini ada tiga (3) sifat yang menjadi halangan di jalan dakwah di mana sifat-sifat ini perlu diambil perhatian oleh para pendakwah dan penyeru kebenaran agar mereka tidak terjatuh dalam golongan orang-orang yang gugur di jalan dakwah.
SIFAT PERTAMA : ‘WAHN’ – CINTA DUNIA DAN TAKUT MATI (Famaa wahanu)
Sifat ‘wahn’ dapat diertikan sepertimana yang disebut dalam sebuah hadist ketika para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw tentang sebuah penyakit wahn :
“Apakah itu ‘al-wahn’ ya Rasulallah?”
Rasulullah saw menjawab :
“Cinta dunia dan takut mati”.
Sifat ‘wahn’ ini banyak membuatkan para penyeru dakwah berguguran boleh jadi kerana tidak tahan atau kuat menghadapi siksaan ataupun godaan dunia yang melemahkan.
Seorang yang telah memasuki arena dakwah dalam pertarungan antara kebenaran dan kebatilan akan dihadapkan dengan perkara ini.
Sekali lagi sejarah telah menceritakan itu.
Bukankah Rasulullah saw juga :
1. Ditawarkan harta yang bergelimang?
2. Ditawarkan untuk menjadi penguasa di Jazirah Arab?
3. Dijanjikan wanita Arab yang paling mempesonakan?
Namun jawaban yang Rasulullah saw katakan :
“Kalaupun sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan rembulan di tangan kiriku niscaya aku tidak akan meninggalkan dakwah ini”.
SIFAT KEDUA : ‘DHO’F’ – LEMAH (Wama dho’ufu)
Tentulah menjadi suatu keharusan ketika sebuah kebenaran berteriak lantang dan mulai menyedarkan kebisuan dan keterlenaan ramai orang, dakwah akan berhadapan dengan sebuah kekuatan yang akan menghalangnya.
Begitulah ketika :
a. Fir’aun menghalang dakwah Nabi Musa.
b. Abu Jahal dan Abu Lahab menghalang dakwah Rasulullah saw.
c. Jamal Abdul Naser menghalang dakwah Imam Hasan Al-Banna dan Ikhwan.
SIFAT KETIGA : ‘ISTIKAN’ – BERDIAM DIRI (Wamastakaanu)
Para pemikul dakwah tidak pernah berdiam diri bahkan mereka terus bergerak di tengah-tengah kesulitan dan ujian.
Seorang pendakwah sejati tidak pernah menunggu panggilan untuk berdakwah.
Bagaimana mungkin ia mampu berdiam diri sedangkan kemungkaran berada di sekelilingnya.
Ketika dakwah belum juga menampakkan hasilnya, maka tidaklah membuatkan para pendakwah berdiam diri, kerana :
“Yang dituntut darinya bukanlah hasil.”
NAMUN
“Yang dipinta darinya hanyalah amal.”
sedangkan hasil adalah urusan Allah semata-mata.
Ketiga-tiga sifat di atas hendaklah dihindari dan dibuang jauh-jauh dari kamus para pendakwah.
Dengan yang demikian, untuk menjaga kualiti ruhiyah agar tetap ‘tsabat’, para pejuang dakwah hendaklah tidak bosan-bosan untuk mengulang-ulang sebuah doa yang juga diucapkan oleh para Nabi dan pengikutnya :
“Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.” (QS Ali Imran : 147)
HAKIKAT DAKWAH
Hakikat jalan dakwah adalah perjuangan. Suka dan duka, ibarat dua sisi mata wang yang tidak pernah dapat dipisahkan.
Di sana bukan hanya terdapat kegembiraan dan kebahagiaan sahaja tetapi :
- Onak duri.
- Jalan yang penuh liku.
- Tentangan yang sentiasa menghalang.
- Keletihan.
- Kekeluan.
- Penderitaan.
- Duka nestapa.
Semua perkara di atas adalah hal-hal biasa yang sentiasa dihadapi oleh para pendakwah di jalan dakwah.
Sabar dan istiqamah adalah kata kunci yang menguatkan posisi pendakwah dalam menentukan keberlangsungan dan penerusan dakwah Islam.
Para ulama’ menyebutkan hakikat dakwah sebagai berikut :
Para ulama’ menyebutkan hakikat dakwah sebagai berikut :
- Jalannya panjang.
- Halangannya banyak.
- Pendokongnya sedikit.
Inilah hakikat dakwah di mana ianya adalah jalan yang penuh kemuliaan disisi Allah swt.
Maka oleh sebab itu, dakwah tidak boleh dipikul dengan sikap bermudah-mudah oleh orang-orang yang malas.
Dakwah hanya boleh dipikul oleh orang-orang pilihan yang berkualiti.
Selain memiliki perasaan maknawi yang kukuh, ia juga mesti didukung dengan kefahaman yang benar dan utuh tentang dakwah samada menyangkut :
- Strategi.
- Keutamaan.
- Wasilah.
- Metod atau cara yang digunakan.
Dalam hubungan ini Allah swt berfirman :
“Sekiranya yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, namun tempat yang dituju itu terasa jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah ‘Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-sama kamu’. Mereka membinasakan diri mereka sendiri (disebabkan sumpah mereka yang palsu itu) dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang- orang yang berdusta“ (QS At Taubah : 42)
Dakwah mesti difahami sebagai aktiviti mulia di muka bumi.
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata ‘sungguh aku termasuk di antara orang-orang yang berserah diri.” (QS Fusshilat : 33)
Oleh kerana itu dakwah hendaklah dilakukan dengan :
- Kesedaran.
- Ilmu.
- Hikmah.
- Kefahaman.
- Pandangan yang luas.
Sejarah para Rasul telah memberi bekalan yang cukup untuk kita fahami bahwa perjalanan dakwah yang panjang dan berat akan terasa lebih menarik, dinamik dan mudah apabila kita mengambil contoh daripada mereka.
Beberapa contoh yang boleh dipelajari antara lain :
PERTAMA : Memberi keutamaan pembahasan kepada masalah Tauhid (Aqidah)
PERTAMA : Memberi keutamaan pembahasan kepada masalah Tauhid (Aqidah)
“Dan tidaklah kami mengutus sebelummu ( wahai Muhammad ) seorang Rasulpun melainkan kami wahyukan kepadanya bahwa sesungguhnya tiada Ilah yang (berhak disembah) melainkan aku, oleh kerana itu beribadahlah kepadaKu.” (QS Al-Anbiyaa’: 25)
KEDUA : Menggunakan adab yang baik seperti lemah lembut, juga tidak berharap perubahan objek dakwah terlalu cepat atau secara terus, tapi memberikan kesempatan kepada mereka untuk memikirkan dan menganalisa diri mereka sendiri.
Allah swt berfirman :
“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, kerana dia benar-benar telah melampaui batas, maka bicaralah kamu berdua kepadanya ( Fir’aun ) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia sabar atau takut.” (QS Thaha : 43 – 44)
Allah perintahkan Musa as dan Harun as untuk menyeru Fir’aun dengan lemah lembut.
Allah perintahkan Musa as dan Harun as untuk menyeru Fir’aun dengan lemah lembut.
Jika dengan Fir’aun yang zalim dan sombong itupun para Rasul yang mulia disuruh oleh Allah untuk bersikap lemah lembut apalagi kepada orang yang tidak sezalim dan sesombong Fir’aun, sudah semestinya kita lebih bersikap lemah lembut. Selain itu kita jangan lupa berdoa kepada Allah dan mengenal kelemahan diri.
Dalam ayat lain Allah swt berfirman :
Dalam ayat lain Allah swt berfirman :
“Dia Musa berkata Ya Rabbku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskan kekeluan dari lidahku, agar mereka mengerti perkataanku dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, iaitu Harun saudaraku, teguhkanlah kekuatanku, dengan adanya dia ( Harun ) dan jadikanlah dia teman dalam urusanku.” (QS Thaha : 25 – 32)
"Serulah kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (QS An-Nahl : 125)
"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu . Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya." (QS Ali Imran : 159)
KETIGA : Memberi ketenangan dan kekuatan dalam berpegang teguh pada kebenaran.
Dalam sejarah para Rasul, kita melihat mereka di zalimi dengan berbagai cara oleh umatnya. Kezaliman ini mereka terima kerana sikap istiqamah mereka terhadap kebenaran.
Allah khabarkan perkara ini dengan dengan maksud yang jelas seperti dalam ayat berikut :
“Dan semua kisah Rasul-rasul kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) agar dengan kisah itu kami teguhkan hatimu (untuk menguatkan kamu) dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.” (QS Hud : 20)
Semakin berat perjuangan ini semakin besar janji yang diberikan Allah swt kepadanya. Kesetiaan yang bersemayam dalam diri mereka itulah yang membuat mereka tidak akan pernah menyalahi janjiNya dan mereka pun tidak mahu merubah janji kepadaNya.
“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya).” (QS Al Ahzab : 23)
PERLAKSANAAN DAKWAH DI ZAMAN MODEN
Mari kita susuri perjalanan dakwah Abdul Fattah Abu Ismail, salah seorang pengikut Imam Hasan Al Banna yang sentiasa menjalankan tugas dakwahnya tanpa apa-apa keluhan walau sedikitpun.
Dialah yang disebutkan oleh Imam Hasan Al Banna sebagai orang yang setelah pulang dari tempat kerjanya sudah berada di kota lain untuk memberikan ceramah kemudian berpindah ke tempat lain pula untuk mengisi pengajian dari masa ke semasa secara berterusan. Dia sentiasa berpindah dari satu kota ke kota yang lain untuk menunaikan amanah dakwah.
Sesudah menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya, ia merupakan orang yang pertama sekali tiba ke tempat kerjanya malah, ia yang membukakan pintu pagarnya.
Suatu ketika ia pernah mengalami keletihan hingga tertidur di atas sofa di rumah Zainab Al-Ghazali semasa beliau diutus untuk berbincang dengannya.
Melihat keadaan tubuhnya yang keletihan dan kepenatan itu, tuan rumah membiarkan tetamunya tertidur sampai ia terjaga.
Setelah menyampaikan amanah untuk Zainab Al Ghazali, Abdul Fattah Abu Ismail meminta izin untuk bergegas ke kota lain pula. Disebabkan keletihan yang dialaminya, Zainab Al Ghazali menghulurkan wang untuk beliau naik teksi.
Abdul Fattah Abu Ismail mengembalikan wang tersebut sambil mengatakan,
“Dakwah ini tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang manja.”
Zainab pun menjawab,
“Saya sering ke mana-mana dengan teksi dan kereta-kereta mewah, tapi saya tetap dapat memikul dakwah ini dan saya pun tidak menjadi orang yang manja terhadap dakwah. Oleh itu, gunakanlah wang ini, tubuhmu letih dan engkau memerlukan istirehat sejenak.”
Ia pun menjawab,
“Berbahagialah ibu. Ibu telah berjaya menghadapi ujian Allah swt berupa kenikmatan-kenikmatan itu, namun, saya khuatir saya tidak dapat menghadapinya sebagaimana sikap ibu. Terima kasih di atas kebaikan ibu. Biarlah saya naik kenderaan awam sahaja.”
Itulah contoh orang yang telah membuktikan kesetiaannya kepada dakwah lantaran keyakinannya terhadap janji-janji Allah swt. Janji yang tidak akan pernah dimungkiri sedikit pun. Allah swt telah banyak memberikan janjiNya kepada orang-orang yang beriman yang setia pada jalan dakwah berupa berbagai anugerahNya sebagaimana yang terdapat dalam Al-Qur’an :
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (QS Al-Anfal : 29)
Dengan janji Allah swt tersebut, orang-orang beriman tetap bertahan mengharungi jalan dakwah ini kerana mereka pun tahu bahwa perjuangan yang berat itu sebagai kunci untuk mendapatkannya.
KESABARAN MENAMBAH KETABAHAN
Aktivis dakwah sangat menyakini bahwa kesabaran yang ada pada dirinyalah yang membuatkan mereka tabah menghadapi berbagai rintangan dakwah.
Jika dibandingkan apa yang kita lakukan serta yang kita dapatkan sebagai risiko perjuangan di hari ini dengan keadaan orang-orang terdahulu dalam perjalanan dakwah ini, belumlah dikira seberapa.
Pengorbanan kita di hari ini masih sekadar :
1. Pengorbanan waktu untuk dakwah.
2. Pengorbanan tenaga dalam amal kebaikan untuk kepentingan dakwah.
3. Pengorbanan sebahagian kecil dari harta kita yang banyak.
Namun cuba kita lihat pengorbanan orang-orang yang terdahulu, ada yang :
1. Dicakar dengan sikat besi.
2. Digergaji tubuhnya.
3. Diikat dengan empat ekor kuda yang berlawanan arah, lalu kuda itu dipukul untuk lari sekencang-kencangnya hingga robeklah badan orang itu.
4. Dibakar dengan tungku api yang berisi minyak panas.
Mereka dapat menerima risiko kerana kesabaran yang ada pada diri mereka.
Kesabaran adalah kenderaan pertahanan orang-orang yang beriman dalam meniti perjalanan ini. Bekalan kesabaran mereka tidak pernah berkurang sedikit pun kerana keikhlasan dan kesetiaan mereka kepada Allah swt.
“Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. (QS Ali Imran : 146)
Apabila kita memandang kehidupan generasi pilihan, kita akan menemui kisah-kisah agung yang telah menyuburkan dakwah ini.
Muncullah satu pertanyaan besar yang seharusnya kita tujukan pada diri kita ketika ini iaitu :
Apakah kita dapat menyemai dakwah ini menjadi subur dengan perjuangan yang kita lakukan sekarang ini ataukah kita akan menjadi generasi yang hilang dalam sejarah dakwah ini?
Marilah kita benar-benar insafi bahwa dakwah ini tidak akan mampu dipikul oleh orang-orang yang manja dan yang mempunyai sikap bermudah-mudah kerana sebenarnya hanya perjuangan gigih tanpa mengenal penat lelah seseorang aktivis dakwah merupakan kenderaan yang akan menghantarkan kepada kejayaan.
Semoga Allah menguatkan langkah kita dalam menjejaki jalan dakwah ini serta ‘tsabat’ atas rintangan dan ujian yang menghalang kita di atas jalan ini.
Semoga Allah menguatkan langkah kita dalam menjejaki jalan dakwah ini serta ‘tsabat’ atas rintangan dan ujian yang menghalang kita di atas jalan ini.
Ya Allah, berikanlah kami kekuatan untuk menghadapi segala rintangan dan ujian yang muncul dalam perjuangan dakwah ini kerana sesungguhnya ia adalah tabiat asasi jalan ini. Limpahkanlah kesabaran yang tinggi kepada kami sehingga kami tetap berada dan berjalan di atas jalan ini samada kami gugur syahid di atasnya atau mendapat kurniaan kemenangan ke atas musuh-musuhMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS