Tujuan pertama dari Tarbiyah Islamiyah adalah membentuk manusia yang beriman kepada Allah swt.
Iman dalam Islam bukanlah :
1. Semata-mata pengetahuan seperti pengetahuan para ahli teologi dan ahli falsafah.
2. Semata-mata perasaan jiwa yang menerawang seperti perasaan orang sufi.
3. Semata-mata ketekunan beribadat seperti ketekunan orang-orang zahid.
Malah iman adalah kesatuan dari semua itu :
- Tidak menyimpang dari kebenaran.
- Tidak lalai.
- Tidak pula berlebih-lebihan.
- Disertai kreativiti menyebarkan kebenaran dan kebaikan demi membimbing manusia ke jalan yang benar.
KEPENTINGAN KEIMANAN
Aspek keimanan dalam Tarbiyah Islamiyah adalah aspek yang paling penting dan paling mendalam pengaruhnya terhadap jiwa seseorang.
Iman menurut pengertian Islam bukanlah hanya kata-kata yang diucapkan atau slogan yang dipertahankan tetapi ia adalah suatu hakikat yang :
1. Meresap ke dalam akal.
2. Menggugah perasaan.
3. Menggerakkan kemahuan oleh apa yang diyakini dalam hati.
4. Dibuktikan kebenarannya dengan amal perbuatan.
Allah swt berfirman :
"Sesungguhnya orang-orang yang sebenamya beriman hanyalah orang-orangyang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragudan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, merekaitulah orang-orang yang benar. "(QS Al-Hujurat : 15)
Dalam tarbiyah, kita akan berusaha menyatukan apa-apa yang dipisah-pisahkan oleh para ahli teologi, kaum sufi dan para fuqaha’ dari unsur-unsur iman yang benar.
Kita juga akan berusaha memperbaiki apa yang telah dirosakkan oleh kaum muslimin pada masa akhir-akhir ini, iaitu pengertian iman yang benar, lalu mereka kembali kepada sumber yang bersih, mengambil daripadanya hakikat iman yang mesti ditanamkan dalam diri setiap anggota gerakan iaitu iman yang bersumberkan Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw dengan cabang-cabangnya yang sampai enam puluh atau tujuh puluh lebih itu di mana Imam Baihaqi telah menyusunnya dalam sebuah kitab bernama "Syu'abul Iman."
Itulah iman para sahabat dan tabi'in yang meliputi :
a. Keyakinan hati.
b. Pengakuan lisan.
c. Amal perbuatan.
Iman yang mewarnai kehidupan mereka :
1. Di masjid.
2. Di rumah.
3. Dalam masyarakat.
4. Dalam keadaan sendirian.
5. Di depan umum.
6. Di waktu malam dan siang.
7. Dalam pekerjaan dunia .
8. Dalam amal akhirat.
Demikianlah ciri keluasan dan kedalaman iman dalam Tarbiyah Islamiyah.
CIRI-CIRI KHAS KEIMANAN
Iman yang mempunyai ciri-ciri khas dengan :
a. Daya gerakannya.
b. Daya dorongannya.
c. Gerakan aktifnya.
Ianya bagaikan :
1. Obor yang menyala-nyala.
2. Arus yang bergelora.
3. Sinar yang menerangi.
4. Api yang membakar.
Tiang tarbiyah berdasarkan keimanan adalah hati yang hidup yang :
a. Berhubung dengan Allah swt.
b. Meyakini pertemuan denganNya dan hisabNya.
c. Mengharapkan RahmatNya.
d. Takut akan siksaNya.
Hakikat manusia bukanlah terletak pada bentuk fizikalnya yang terdiri dari sel-sel dan jaringan, tulang dan otot-otot tetapi hakikatnya itu terletak pada jiwa yang bersemi pada fizikal itu yang menggerakkannya, menyuruh dan melarangnya.
Hakikat itu adalah segumpal darah (mudhghah), bila ia baik maka baiklah tubuh seluruhnya dan bila ia rosak maka rosaklah tubuh seluruhnya, hakikat itu adalah hati.
Hati, ruh atau ‘fu'ad’ atau apa-pun namanya adalah suatu hakikat kewujudan yang sedar yang menghubungkan manusia dengan rahsia kehidupan dan rahsia kewujudan dan mengangkatnya :
- Dari alam bumi ke alam yang tinggi.
- Dari makhluk kepada Khalik.
- Dari alam fana’ (akan lenyap) ke alam yang baqa’ (kekal).
Hati yang hiduplah yang menjadi :
a. Penilaian Allah swt.
b. TajalliNya.
c. Pancaran nurNya.
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk (tubuh) mu, tetapi Dia melihat kepada hatimu." (Al-Hadith)
Hati adalah satu-satunya pegangan yang dapat ditunjukkan oleh seorang hamba kepada Tuhannya pada hari kiamat sebagai wasilah bagi keselamatannya.
Allah swt berfirman :
"Pada hari harta dan anak-anak tidak berguna kecuali orang-orangyang menghadap Allah dengan hati yang bersih " (QS Asy-Syu'ara' : 88-89)
Tanpa hati yang dilimpahi iman dan disinari keyakinan ini, manusia adalah mayat, meskipun menurut statistik ia masih hidup.
Allah swt berfirman :
"Apakah orang-orang yang sudah mati, kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang berada dalam gelap-gulita yang tidak dapat keluar daripadanya? " (QS Al-An'aam : 122)
TUJUAN TARBIYAH ISLAMIYAH
Oleh kerana itu, Tarbiyah Islamiyah bertujuan untuk :
1. Menghidupkan hati supaya ia tidak mati.
2. Memperbaikinya sehingga ia tidak rosak.
3. Memperhaluskannya sehingga ia tidak menjadi kasar dan keras kerana kekasaran dan kekerasan hati merupakan siksaan yang dimohonkan perlindungan Allah dari bahayanya.
Allah swt mencela Bani Israil dalam firmanNya :
"Kerana mereka melanggar janjinya, Kami kutuki mereka dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. " (QS Al-Maidah : 13)
Dalam ayat lain Allah swt berfirman mengenai mereka :
“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi "(QS Al-Baqarah : 74)
Kemudian Allah swt mengingatkan orang yang beriman dalam firmanNya :
"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya. Kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka, lalu hati mereka menjadi keras." (QS Al Hadid : 16)
Nabi saw sentiasa berlindung kepada Allah swt dari ilmu yang tidak bermanfaat dan dari hati yang tidak khusyu'.
Surat-surat Imam Hasan Al-Banna kepada pengikutnya, begitu juga tulisan-tulisannya dan pidato-pidatonya dalam kesempatan-kesempatan umum dan khusus sentiasa mengetuk hati manusia sehingga terbuka untuk :
a. Mengenal Allah swt.
b. Mengharapkan kurniaNya.
c. Takut kepadaNya.
d. Bertaubat dan bertawakal kepadaNya.
e. Yakin akan rahmat yang tersedia di sisiNya.
f. Cinta dan ridha terhadapNya.
g. Merasa tenteram dengan mendekatkan diri kepadaNya dan dengan mengingatiNya.
Allah swt berfirman :
"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram " (QS Ar-Ra'du: 28)
KESAN KEIMANAN YANG MENDALAM
Dengan yang demikian, hati seorang mukmin :
1. Menganggap mudah segala kesulitan.
2. Memandang manis apa yang pahit.
3. Menganggap ringan segala penderitaan, kesukaran dan kesulitan.
Bahkan semuanya itu enak rasanya selama mana ia tetap berjuang kerana Allah dan untuk meninggikan agama, ibarat seorang yang dimabuk cinta merasa lazat semua kesulitan perjalanan sehingga ia lupa akan haus dan lapar, kerana tujuannya adalah bertemu dengan kekasihnya seperti yang disenandungkan oleh Ibnul Qayyim :
"Ingatan anda kepadaNya membuatkan anda lupa membawa makanan dan menyiapkan perbekalan, keletihan perjalanan menjadi hilang kerana harapan akan bertemu denganNya. "
KEPERLUAN HATI
Hati manusia adalah sama dengan tubuhnya, memerlukan tiga perkara :
a. Pemeliharaan supaya ia selamat.
b. Makanan supaya ia hidup.
c. Pengubatan supaya ia sihat.
Perkara pertama yang wajib dipelihara supaya hati bebas daripadanya dan diberi suntikan supaya kebal terhadapnya ialah sifat cinta kepada dunia kerana ia adalah :
“Pokok setiap kesalahan dan sumber setiap penyakit”.
Manakala suntikan untuk mencegahnya ialah :
- Yakin kepada akhirat.
- Ingat kepada balasan Allah.
- Membanding-bandingkan antara kekerdilan apa yang ada pada kita dengan kebesaran apa yang ada di sisi Allah.
- Membandingkan antara yang fana’ (akan lenyap) dan yang baqa’ (kekal).
Allah swt berfirman :
"Apa yang ada di sisimu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal "(QS An-Nahl: 96)
Untuk mengetahui perbandingan dan kelebihan ini dengan jelas dan nyata, cukuplah seorang mukmin membaca ayat :
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik (syurga). Katakanlah: Inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian ? Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah) pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan (ada pula) isteri-isteri yang disucikan serta keridhaan Allah. Allah Maha Melihat akan hamba-hamba- Nya. "(QS Ali Imran : 14-15)
Di sebalik keinginan kebendaan ini ada :
- Keinginan perut dan seks.
- Kecintaan kepada harta.
- Kecintaan kepada anak-anak.
- Keinginan hati dan hawa nafsu.
Hawa Nafsu adalah seburuk-buruk "tuhan" yang disembah di bumi.
Allah swt berfirman :
"Siapakah yang lebih sesat dari pada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun." (QS Al Qashash : 50)
PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIHINDARKAN OLEH HATI
Kita hendaklah menghindarkan diri dari :
- Nafsu kemegahan.
- Nafsu kekuasaan.
- Bertuhankan makhluk Allah.
- Memperturutkan hawa nafsu dan keinginan.
- Mengharapkan tepukan orang ramai.
- Menuntut pujian golongan atasan.
kerana semua itu adalah racun yang membunuh yang membuatkan hati menjadi buta dan tuli, merosak dan mematikannya.
Inilah yang dinamakan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya' Ulumiddin’ nya sebagai "Al Muhlikaat" (yang merosakkan dan memusnahkan) berdasarkan hadith Nabi saw yang berbunyi :
"Ada tiga perkara yang merosakkan : kekeliruan yang diikuti, hawa nafsu yang diperuntukkan dan kekaguman manusia terhadap dirinya.”
Namun sayang, kebanyakan manusia tidak mempedulikan hal-hal maknawi yang merosakkan peribadi-peribadi dan kelompok-kelompok ini.
Mereka mengarahkan perhatian sepenuhnya kepada perbuatan-perbuatan zahir yang merosakkan seperti mencuri, berzina dan minum minuman keras. Memang semua perbuatan itu termasuk perbuatan yang merosakkan, tetapi lebih kecil kemudaratannya dan lebih ringan bahayanya.
Sebenarnya di sebalik semua perkara zahir yang merosakkan ini terdapat penyakit kejiwaan yang diketahui oleh sebahagian orang dan tidak diketahui oleh sebahagian yang lain.
TARBIYAH TERHADAP HATI
Oleh kerana itu, sejak dari awal lagi, Tarbiyah Islamiyah mengutamakan pembebasan jiwa dari pengaruh-pengaruh dunia dan mengarahkannya kepada Allah sebelum kepada segala sesuatu yang lain.
Tarbiyah Islamiyah mengalihkan jiwa manusia dari setiap keuntungan dan kesenangan duniawi yang tidak bernilai di sisi Allah kepada pemusatan perhatian kepada Allah dengan sepenuh kekuatan dan menyiapkan ke arah itu fikiran dan perasaan serta menyiapkan pula suasana dan wasilahnya.
Sisi keimanan inilah yang mendapat tempat yang luas dan perhatian yang besar dalam sistem pentarbiyahan kita.
Dakwah hanyalah dakwah kepada Allah sebelum segala sesuatu yang lain.
Dakwah keimanan hanya mengarahkan pandangan kepada Allah sahaja dan menjadikan ridha-Nya sebagai tujuan akhir.
"Bila cintamu benar maka semuanya menjadi mudah, setiap yang ada di atas tanah adalah tanah ".
Allah swt tidak melihat kepada bentuk zahir tetapi kepada hati dan tidak memberi balasan berdasarkan jumlah amal yang nampak, tetapi berdasarkan keikhlasan yang berada di sebaliknya.
Allah swt tidak menerima, kecuali amal yang ikhlas keranaNya. Dialah Yang Paling tidak menghargai syirik sedang riya' adalah syirik yang tersembunyi. Oleh sebab itu, Dia tidak menyukai amal yang berbau syirik dan hati yang musyrik. Amal yang berbau syirik dan hati yang syirik tidaklah diterimaNya.
"Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya ,maka hendalah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya." (QS Al Kahfi : 110)
Tidak hairanlah mengapa kita sentiasa melaung-laungkan slogan :
"Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd".
Di mana kita perlu menjadikan ucapan pertama yang diajarkan kepada kita dan ditanamkan dalam akal dan perasaan kita adalah tujuannya dan pengertiannya yang agung iaitu "Allah adalah tujuan kita."
Jika kita meneliti misi pentarbiyahan Imam Hasan Al-Banna yang menjadikan ikhlas sebagai rukun kedua dari rukun-rukun “bai'ah” sesudah "memahami" apa yang dimaksudkan dengan Islam dalam batas-batas "usul dua puluh" yang terkenal itu.
Beliau menafsirkannya dengan kata-kata :
“Seorang muslim dengan perkataan, perbuatan dan perjuangannya tidak lain ditujunya hanyalah Allah serta mengharap ridha dan balasanNya yang baik, tanpa melihat kepada keuntungan, kesenangan, kemegahan, kepayahan, kemajuan atau kemunduran.Dengan yang demikian ia menjadi seorang pejuang fikrah dan akidah, bukan pejuang kerana sesuatu maksud tertentu atau manfaat.”
Allah swt berfirman :
"Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ihadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku." (QS Al-An'am : 162-163)
MENGENALI PENYAKIT HATI
Orang-orang yang mengenal penyakit-penyakit hati dan jiwa mengetahui bahawa sesuatu yang paling berbahaya yang dihadapi oleh mereka yang bergerak di bidang dakwah ialah :
a. Terpengaruh dengan hawa nafsu.
b. Mengharapkan berdiri di barisan hadapan.
c. Menginginkan populariti dan kepimpinan.
Oleh kerana itu, Rasulullah saw memperingatkan agar kita jangan terjerumus ke dalam jurang cinta kemegahan dan harta dan ke dalam syirik yang tersembunyi, iaitu riya’.
Al Qur-an dan Sunnah Nabi saw dengan nada yang tinggi memanggil orang-orang ikhlas yang mengerjakan apa yang mereka kerjakan "kerana mengharap ridha Allah," tidak menghendaki balasan dan ucapan terima kasih dari seseorang.
Rasulullah saw memuji orang muslim yang kreatif lagi pendiam yang melaksanakan kewajibannya sedang ia tidak dikenali dan tidak mendapat pujian di kalangan masyarakat.
Baginda saw bersabda :
"Kadang-kadang orang yang berambut kusut masai, tidak terurus, berpakaian tidak rapi, tidak diindahkan orang, sekiranya ia bersumpah dengan nama Allah tentulah Allah mengabulkannya. "
"Mujurlah seorang hamba yang memegang kekang kudanya fi sabilillah, kusut masai rambutnya, berdebu kakinya, jika dalam penjagaan ia tetap dalam penjagaan dan jika dalam penyerangan ia tetap dalam penyerangan. "
Semoga Allah memberi rahmat kepada Khalid bin Al Walid, Saifullah dan sebagai panglima, ia telah memimpin dengan sebaik-baiknya dan sebagai perajurit, ia telah pula melaksanakan tugasnya dengan sebaik-baiknya.
HASIL TARBIYAH ISLAMIYAH
Tarbiyah Islamiyah benar-benar menekankan pengertian-pengertian ini dalam pentarbiyahannya dan sama sekali melarang penonjolan diri yang membawa kepada patahnya tulang punggung.
Di antara hasil tarbiyah ini lahirlah ramai perajurit yang tidak dikenali dalam jamaah ini atau seperti yang disebutkan oleh Hadith Nabi saw yang diriwayatkan oleh Tirmizi :
"Orang-orang baik yang bertakwa yang tidak dikenali, bila mereka tidak hadir tidak dicari-cari dan jika mereka hadir maka mereka tidak dikenal orang."
Begitu pula di kalangan mereka, kita temui pendukung-pendukung seperti kaum Anshar yang kelihatan ramai ketika dalam keadaan sulit dan kelihatan sedikit ketika memperebutkan keuntungan.
Betapa ramai orang yang mengorbankan harta dan jiwa mereka tanpa disebut-sebut namanya atau dipukul gendang menyambut kehadirannya.
Berapa ramai pemuda-pemuda yang berjuang di Palestin dan Terusan Suez yang menunjukkan kepahlawanan yang mengkagumkan tanpa mengharapkan balasan atau ucapan terima kasih dari seseorang dan tanpa meminta disebut-sebut jasanya kerana takut akan lenyap nilai amalnya disebabkan rasa takabur dan sombong.
Ya Allah, tetapkanlah niat dan tujuan kami dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiyah semata-mata untuk membawa manusia kembali kepada mengenalMu dengan sebenar-benarnya dan menjadikan mereka istiqamah berada di atas jalanMu serta merangsang mereka untuk melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dalam rangka menegakkan hukum dan syariatMu di muka bumi ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS