Bai’ah bermakna janji setia dan setiap muslim hukumnya wajib dalam berbai’ah.
‘Syahadatain’ (mengucap dua kalimah syahadah) adalah sebuah bentuk bai’ah yang menjadi rukun Islam yang pertama.
Tanpa ‘syahadatain’, maka tidak sah keislaman seseorang namun sebaliknya, dengan ‘syahadatain’ yang :
- Diucapkan.
- Difahami.
- Diwujudkan dengan baik dan benar.
ianya akan menghasilkan muslim yang mu’min.
Oleh kerana itulah setiap muslim wajib berbai’ah, bahkan bai’ah ini sering diulang-ulang dalam perlaksanaan solat kita.
Selain itu, dalam sejarah Islam, kita juga mengenali bahwa ada beberapa bai’ah yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw dan para sahabat seperti :
- ‘Bai’atul ‘Aqabah’.
- ‘Bai’atur Ridhwan’.
- Bai’ah kepada khalifah.
Jadi, bai’ah bukanlah merupakan suatu perkara yang asing dalam kehidupan seorang muslim.
Perjuangan menegakkan kebenaran dan membasmi kemungkaran memerlukan aktivis-aktivis dakwah yang istiqamah selain diperlukan juga barisan yang mantap.
Maka diperlukanlah bai’ah sebagai salah satu unsur pengukuhnya di mana bai’ah yang benar dalam konteks perjuangan ini akan memberikan jaminan aktivis-aktivis dakwah yang :
- Setia dengan manhaj.
- Bersabar dalam berjuang.
- Rela berkorban.
Perkara ini menjadi suatu yang sangat penting dalam jamaah dakwah.
Bai’ah yang dimaksudkan dalam jamaah dakwah bukanlah bai’ah tanpa kefahaman, iaitu bai’ah secara ikut-ikutan di mana sesiapapun boleh berbai’ah dalam perjuangan ini.
Imam Hasan Al Banna memberikan arahan yang jelas dalam urusan bai’ah ini sebagaimana ynag disebut dalam ‘Risalah Ta’alim’ kerana bai’ah bukanlah suatu perkara yang boleh dilakukan sembarangan.
Beliau menulis sepuluh asas yang menjadi rukun dari bai’ah di mana setiap aktivis dakwah wajib menghafal dan mengamalkannya sesuai dengan urutan dan tuntutannya, iaitu:
1. ‘Al Fahmu’ (kefahaman).
2. ‘Al Ikhlash’ (keikhlasan).
3. ‘Al ‘Amal’ (perbuatan / aktiviti).
4. ‘Al Jihad’ (jihad).
5. ‘At Tadhhiyah’ (pengorbanan).
6. ‘Ath Tha’ah’ (ketaatan).
7. ‘Ats Tsabat’ (keteguhan).
8. ‘At Tajarrud’ (keutuhan / kemurnian).
9. ‘Al Ukhuwah’ (persaudaraan).
10. ‘Ats Tsiqah’ (kepercayaan).
Sepuluh Rukun Bai’ah yang ditulis dengan teliti oleh Imam Hassan Al-Banna nampak begitu menyeluruh kerana ia telah menggariskan asas-asas yang perlu ada pada diri seorang aktivis dakwah untuk menggerakkan sebuah jamaah dakwah iaitu bermula dengan rukun Faham dan berakhir dengan Tsiqah.Bai’ah boleh dikategorikan kepada dua bahagian :
PERTAMA : BAI’AH KUBRA (BESAR)
Bai’ah kepada pemimpin / khalifah negara Islam yang dilantik secara sah.
KEDUA : BAI’AH SUGHRA (KECIL)
Bai’ah untuk bersepakat dan berjanji bersama melakukan sesuatu kewajipan atau amalan.
Aktivis dakwah yang telah berbai’ah seharusnya mengingatkan diri mereka untuk mengambil berat soal bai’ah ini kerana ia menuntut kepada penunaian janji mereka.
Walaupun bai’ah yang telah dilafazkan itu tidak dikategorikan sebagai bai’ah ‘Kubra’, namun janji-janji yang telah dilafazkan oleh mereka bersaksikan dengan nama Allah dan dengan yang demikian ianya mestilah ditunaikan dengan sebaik mungkin.
“Wahai orang-orang yang beriman! Tunaikanlah janji-janji kamu.” (QS Al-Maidah : 1)
Janganlah sekali-kali kita berbai’ah tanpa berfikir malah kita sepatutnya berfikir menggunakan akal melalui keimanan di dalam hati dan seterusnya beramal dengan janji setia yang telah dibuat.
Yakinlah kita dengan janji Allah kerana sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya.
Percayalah kita kepada adanya azab neraka Allah dan yakinlah kita kepada adanya nikmat syurga Allah di mana InsyaAllah, dengan keyakinan ini akan memberi kekuatan untuk kita menunaikan janji setia yang telah kita lafazkan.
Walaupun tuntutan kepada bai’ah itu berat menimpa ke atas bahu kita, perjuangan ini masih mempertimbangkan kemampuan masing-masing kerana kemampuan setiap individu itu berbeza, namun, apa yang diharapkan, setiap kali kita menilai kemampuan diri kita, pastikan penilaian itu dibuat dengan adil serta penuh keyakinan dan bukan semata-mata ingin melepaskan batuk di tangga.
Jika kita buat yang terbaik untuk pejuangan ini, InsyaAllah ridha Allah akan kita perolehi.
“Berkata Maimunah binti Raqiqah :
‘Aku mendatangi Rasulullah saw bersama kaum wanita. Kami membai’ahnya atas Islam.
Lalu kami berkata :
‘Wahai Rasulullah! Kami membai’ah kamu untuk tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, kami tidak akan mencuri, kami tidak akan berzina, kami tidak akan membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan mendatangi cerita bohong yang kami reka di antara dua tangan dan kaki kami, kami tidak akan melakukan maksiat terhadap engkau dalam perkara yang ma’ruf’
Berkata Rasulullah saw :
‘Pada kadar yang kamu mampu dan berupaya’…..” (HR Malik & At-Tirmizi)
Oleh kerana bai’ah ditegakkan di atas sepuluh asas tersebut, jika salah satu sahaja rukun tersebut tidak dipenuhi, maka bai’ah akan menjadi lemah dan mudah goyah, bahkan mungkin menjadi batal.
Rukun-rukun bai’ah ini dijelaskan satu persatu maksud dan tujuannya oleh Imam Hasan Al Banna dalam ‘Risalah Ta’alim’ agar menjadi suatu gambaran yang jelas dan boleh difahami.
Rukun-rukun bai’ah merupakan bahagian pertama dalam ‘Risalah Ta’alim’. Ia merupakan landasan pembinaan peribadi aktivis dakwah. Aktivis yang terbina berasaskan hal inilah yang layak berbai’ah untuk memikul bebanan perjuangan.
PERTAMA : AL FAHMU
‘Al Fahmu’ dituliskan oleh Imam Hasan Al Banna sebagai rukun pertama.
Jika kita melihat tradisi penulisan kitab-kitab hadits atau fiqh, maka yang pertama sekali diulas oleh para ulama’ adalah mengenai ‘Al Ikhlash’.
Namun Imam Hasan Al Banna justeru menempatkan ‘Al Fahmu’ sebagai rukun pertama.
Allah swt berfirman :
“Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (QS Az Zumar : 9)
Dari ayat di atas, ianya cukup jelas mengapa ‘Al Fahmu’ diambil sebagai rukun pertama.
Perjuangan ini memerlukan orang-orang yang boleh bergerak dengan baik dan benar. Ini memerlukan wawasan kerana orang-orang yang berjuang tanpa wawasan akan mudah dihancurkan atau mudah melencong dari garis perjuangannya.
Suatu amal ibadah yang dikerjakan secara ikut-ikutan atau tidak sesuai kaidahnya (disebabkan si pengamalnya tidak memiliki kefahaman akan perkara itu) akan tertolak walau seikhlas manapun hatinya.
‘Al Fahmu’ setidak-tidaknya akan memastikan perkara-perkara berikut :
- Tetap pada jalur yang benar.
- Tidak tertipu oleh berbagai godaan.
- Cepat mengambil keputusan.
- Anjal dalam bergerak.
- Bijaksana.
Perjuangan yang bertolak dari kefahaman yang jelas dapat menghindarkan jamaah dakwah daripada ‘khilaf’ serta kecelaruan fikrah dan tindakan di kalangan anggota gerakan Islam sedangkan ‘Al-Jidal’ (bertelingkah) adalah faktor kesetatan.
“Tidak sesat sesuatu kaum selepas mendapat petunjuk melainkan mereka sering berjidal (bertelingkah)” (HR At-Tirmizi)
Kefahaman yang jelas akan menatijahkan kesejahteraan amal dan perlaksanaan jitu dalam operasi gerakan yang dilancarkan, justeru tindakan melulu tanpa asas kefahaman yang mendalam hanyalah membawa padah yang tidak berkesudahan.
Umar bin Abdul Aziz menyatakan :
“Barangsiapa yang beramal tanpa ilmu, ia telah mendorong kerosakan yang banyak mengatasi kebaikan”. (Manaqib Umar - Ibn Jauzi)
Sabda Rasulullah saw :
“Seorang yang faham (faqih) terlebih sukar ke atas syaitan berbanding 1000 orang abid (ahli ibadah).” (HR At Tirmizi)
Imam Hasan Al Banna kemudiannya menetapkan sebuah tatacara kefahaman bagi aktivis dakwah yang dikenali dengan ‘Ushul ‘Isyrin’ atau dua puluh prinsip Islam.
Ini adalah kefahaman paling asas bagi setiap aktivis dakwah.
Keseluruhan dua puluh prinsip Islam ini adalah perkara-perkara yang menjadi kesepakatan seluruh umat muslimin walau di manapun mereka berada dan pada zaman mana sekalipun.
Tidak ada perbezaan pendapat dalam perkara ini kerana ia bukanlah perkara furu’ yang padanya terbuka ruang interpretasi yang amat luas sehingga menimbulkan kepelbagaian pemikiran, namun ‘Ushul Isyrin’ tidak demikian kerana ia merupakan nilai-nilai asas dari Islam.
Dengan memahami ‘Ushul Isyrin’, maka akan muncul aktivis dakwah yang bijak dalam berdakwah di tengah-tengah umat, kerana ia tidak mengutamakan urusan furu’ malah sebaliknya justeru mengutamakan perkara-perkara prinsip di mana semua kaum muslimin sepakat dalam perkara itu.
Aktivis-aktivis dakwah yang memahami ‘Ushul Isyrin’ diharapkan dapat menjadi agen pengikat ukhuwah umat Islam, di mana di zaman sekarang ini, isu perpecahan di tubuh umat Islam masih terasa hangat.
Dakwah Ikhwanul Muslimin pada hakikatnya adalah dakwah yang menyatukan berasaskan kefahaman terhadap ‘Ushul Isyrin’. Dengan kefahaman yang jelas ini, ia akan dapat menyelamatkan pendukung gerakan dakwah dari bahaya kesesatan dan kegagalan.
KEDUA : AL IKHLAS
‘Al Ikhlas’ akan :
- Mencegah seseorang ‘al akh’ dari niat selain ‘Lillahi Ta’ala’.
- Menjadikan setiap langkah amalnya ringan.
- Mengikis penyakit hati berupa riya’ dan sum’ah.
- Menghapuskan penyakit ‘Al Wahn’ (Cinta dunia dan takut mati).
Barangsiapa yang mempunyai niat yang lain selain ridha dan mengharapkan rahmat Allah swt seperti ingin jawatan dan harta benda, niscaya ia akan segera tersungkur di jalan dakwah samada cepat atau lambat.
“Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab ra, dia berkata :
‘Saya mendengar Rasulullah saw bersabda :
“Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan RasulNya. Dan siapa yang hijrahnya kerana menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.” (HR Bukhari dan Muslim)
KETIGA : AL AMAL
‘Al Amal’ mendapat perhatian khusus oleh Imam Hasan Al Banna. Di dalam Risalah Ta’alim, beliau menulis tentang ‘Maratibul ‘Amal’ (tingkatan-tingkatan amal).
Bahkan beliau juga menulis sebuah risalah yang tersendiri iaitu “Hal Nahnu Qaumun ‘Amaliyun?” (Adakah kita golongan yang bekerja?)
Jamaah ini dibentuk bukan untuk sekadar melahirkan gagasan dan wacana, namun jauh lebih penting adalah melakukan kerja secara nyata kerana inilah yang diperintahkan oleh Allah swt.
“Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan". (QS At Taubah : 105)
Namun amal yang dimaksudkan bukanlah sekadar menggugurkan kewajiban tapi amal yang terarah dan konsisten.
Maka oleh sebab itu, beliau menyusun ‘Maratibul Amal’ yang menjadi keutamaan program kerja gerakan dakwah.
Dengan ‘Maratibul Amal’ ini akan menjadi jelas :
- Apa yang mesti dilaksanakan.
- Siapa yang perlu terlibat.
- Apa yang perlu dipersiapkan.
- Bagaimana mewujudkannya.
KEEMPAT : AL JIHAD
‘Al Jihad’ dimasukkan ke dalam rukun bai’ah kerana jihad inilah yang boleh dikatakan sebagai unsur yang menggerakkan.
Tanpa adanya jihad, niscaya tidak akan ada gerakan.
Jihadlah sebenarnya yang :
- Membenteng perjuangan ini dari berbagai fitnah.
- Menumbuhkan dan menjaga harga diri umat.
Imam Hasan Al Banna menambah bahwa jihad ini adalah kewajiban yang telah termaktub secara terang dalam Al Qur’an dan As Sunnah sehingga tidak boleh lagi ada pertentangan pendapat mengenai perkara ini.
KELIMA : AT TADHHIYAH
‘At Tadhhiyah’ adalah modal asasi untuk mencapai tujuan. Tanpa ‘tadhhiyah’, maka pencapaian kepada tujuan hanyalah angan-angan belaka.
‘Tadhhiyah’ akan menghapuskan perilaku santai dan bersenang-senang dalam perjuangan. Imam Hasan Al Banna bahkan menganggap perilaku santai ini sebagai sebuah dosa dalam gerakan dakwah.
Dakwah Islam ini, dengan semua pencapaiannya serta masih berterusan hingga ke saat ini adalah disebabkan oleh pengorbanan para pejuang yang terdahulu.
KEENAM : AT THA’AH
‘Ath Tha’ah’ memegang peranan penting dalam jamaah. Taat memberikan kepastian setidak-tidaknya dalam perkara-perkara berikut :
- Terlaksananya perintah.
- Kesatuan langkah.
- Kukuhnya barisan.
Berkait dengan kadar ketaatan dan kepentingannya bagi gerakan Islam, Imam Hasan Al Banna memberikan catatan mengenai tahapan dakwah iaitu :
- Ta’rif (pengenalan).
Di fasa ini, ketaatan belum bersifat mutlak dan ianya masih pada peringkat cukup pada rasa hormat dan cinta pada sistem dan prinsip umum jamaah.
- Takwin (pembentukan).
Di fasa ini, ketaatan bersifat mutlak, tanpa ragu dan bimbang lagi. Ini disebabkan kerana sistem dakwah pada peringkat ini telah bersifat ‘sufi tulen’ dari sudut ruhiyah dan ‘ketenteraan tulen’ dari sudut operasi.
- Tanfizh (perlaksanaan).
Di fasa ini, ketaatan telah mencapai puncaknya di mana dakwah di peringkat ini adalah jihad tanpa kenal sikap ragu-ragu di samping bekerja terus menerus untuk mencapai tujuan serta bersedia menanggung ujian yang berat.
KETUJUH : ATS TSABAT
‘Ats Tsabat’ merupakan nilai yang penting dalam gerakan Islam.
Setiap ‘al akh’ diminta untuk terus menerus bekerja melaksanakan program-program dakwah hingga akhir hayatnya serta tidak mundur sedikitpun dan tidak pula tergoda oleh habuan duniawi.
‘Tsabat’ ini merupakan manifestasi atau penjelmaan dari sifat sabar.
Menurut Dr. Yusuf Al Qardhawi, sabar ini merupakan sebuah prinsip asas dalam gerakan Islam.
KELAPAN : AT TAJARRUD
‘At Tajarrud’ juga merupakan perkara yang penting kerana ia merupakan rukun yang akan mengarahkan kepada kebulatan tekad.
‘Tajarrud’ akan mengembalikan setiap aktivis dakwah pada fikrah yang satu dan tidak bercampur-baur.
Apabila suatu fikrah telah bercampur-baur, maka boleh dipastikan bahwa tidak akan ada pihak yang akan berpegang teguh dan memperjuangkannya kerana fikrah tersebut meragukan.
Fikrah yang ragu-ragu atau tidak kukuh akan menghasilkan aktivis dakwah yang ragu-ragu pula.
Maka oleh sebab itu, Imam Hasan Al Banna meminta setiap ‘al akh’ untuk membersihkan hati dan fikirannya dari fikrah lain selain fikrah yang sesuai dengan Al Qur’an dan As Sunnah.
KESEMBILAN : AL UKHUWAH
‘Al Ukhuwah’ sangat diperlukan kerana dakwah ini didukung secara berjamaah oleh individu-individu aktivis dakwah yang diikat oleh kesatuan aqidah.
‘Ukhuwah’ yang dimaksudkan bukanlah berasaskan kepada material atau slogan-slogan kosong tetapi ia berlandaskan kepada ‘Aqidah Islamiyah’.
Imam Hasan Al Banna bahkan menegaskan bahwa ‘ukhuwah’ merupakan salah satu bentuk realisasi dari keimanan.
Iman dan ukhuwah ibarat sekeping mata wang syiling. Di mana ada keimanan, maka di sebaliknya ada ukhuwah.
Sebaliknya beliau mencela perpecahan kerana perpecahan adalah saudara kandung kepada kekufuran dan akan menyebabkan hancurnya bangunan jamaah.
Dengan adanya ‘ukhuwah’ ini maka akan muncul rasa senasib sepenanggungan serta bahu membahu dalam memperjuangkan dakwah.
Di antara unsur-unsur yang penting dalam ‘ukhuwah’ di antaranya :
- Saling mengingatkan dalam kebenaran dan kesabaran.
- Saling tolong menolong dalam kebaikan dan ketaqwaan.
- Saling berkasih sayang dan merendah diri sesama mereka.
- Saling mengutamakan saudaranya.
KESEPULUH : ATS TSIQAH
‘Ats Tsiqah’ melengkapi rangkaian rukun bai’ah ini.
‘Tsiqah’ erat kaitannya dengan urusan kepemimpinan. Hubungan tentera dan komandannya akan rapat dan erat dengan adanya ‘tsiqah’ ini.
Jalur hubungan ini penting kerana dakwah pada hakikatnya adalah umpama peperangan antara ‘al haq’ dan ‘al bathil’.
Oleh itu, diperlukan tahap kedisiplinan yang tinggi di mana disiplin ini muncul dari rasa ‘tsiqah’ tadi.
Imam Hasan Al Banna menulis beberapa pertanyaan sebagai syarat dari ‘tsiqah’. Di antaranya :
- Apakah sejak dari awal ia mengenali pemimpinnya dan telah mempelajari riwayat hidupnya?
- Apakah ia percaya pada kapasiti dan keikhlasannya?
- Apakah ia bersedia menganggap semua arahannya mesti dilaksanakan tanpa berbelah bagi, tanpa ragu, tanpa dikurangi atau ditambahi dengan diiringi keberanian memberi nasihat dan peringatan untuk tujuan yang benar?
- Apakah ia bersedia menganggap dirinya salah dan pemimpinnya benar dalam perkara yang berlaku pertentangan dalam urusan ‘ijitihadiyah’ yang tidak ada teks yang tegas dalam syariah?
- Apakah ia bersedia meletakkan seluruh aktivitinya dalam kendalian dakwah?
- Apakah pemimpin berhak untuk mentarjih antara maslahah dirinya dan maslahah dakwah secara umum?
Jawaban dari pertanyaan-pertanyaan di atas akan menentukan kadar kepercayaan dan ketaatan kepada pemimpin.
PERLAKSANAAN RUKUN BAI’AH
Sepuluh rukun bai’ah adalah landasan ideologi bagi pembentukan ciri-ciri aktivis dakwah.
Imam Hasan Al Banna juga kemudiannya menyusun teknik operasi rukun bai’ah itu yang juga merupakan perlaksanaan nilai-nilai yang terkandung dalam rukun bai’ah untuk setiap individu aktivis dakwah.
Teknik itu disebut sebagai ‘Wajibatul Akh’ (kewajiban seorang aktivis dakwah) yang mengandungi 38 buah kewajiban indvidu yang mencakupi semua aspek dalam kehidupannya.
‘Wajibatul Akh’ ini adalah bukti bahwa seseorang telah benar dalam berbai’ah dan ia akan menjelma menjadi seorang aktivis dakwah yang boleh diharap dan dipertanggungjawabkan.
Perlu diingatkan bahwa seorang aktivis dakwah yang memiliki kesegaran jasmani tanpa disertai dengan kekuatan ‘ruhiyah ma’nawiyah’, maka ia tidak akan mampu melaksanakan kerja-kerja dakwah.
Kekukuhan ma’nawiyah merupakan daya dorong untuk melaksanakan kegiatan-kegiatan dan operasi dakwah.
Tidak diragukan lagi keimanan yang dimiliki oleh generasi salafus soleh ikut memberi saham yang besar dalam setiap kejayaan kerja dakwah manakala kekuatan ruhiyah aktivis dakwah juga memiliki pengaruh besar dalam mencapai kemenangan dakwah dan mendapat kepercayaan masyarakat.
Allah swt berfirman :
“Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, mendirikan solat, dan membayar zakat. Mereka takut pada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.” (QS An Nur : 37)
Rasulullah saw sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah ra pernah melakukan solat sampai kaki baginda bengkak.
Umar bin Al Khatthab sentiasa berpesan kepada tentera muslimin sebelum berangkat untuk bertempur dengan musuh agar mereka tidak mengabaikan kekuatan ruhiyah kerana ia merupakan modal utama bagi mereka dalam menghadapi kaum kuffar.
Memang diakui bahwa selain dimensi keilmuan, kekuatan ruhiyah mestilah dimiliki oleh aktivis dakwah sebagaimana yang digambarkan oleh Imam Syafi’ie dalam antologi puisinya :
“Barangsiapa pada waktu mudanya tidak melakukan dakwah, hendaklah ditakbirkan empat kali kerana ia telah wafat. Dan hakikat seorang pemuda (demi Allah swt) hanya dengan keilmuan dan ketaqwaan. Maka, jika ia tidak memiliki keduanya, janganlah kamu anggap sebagai pemuda.”
Oleh kerana itu, Imam Hasan Al Banna sangat mengambil berat dan memberi perhatian yang khusus dalam membangun aktivis dakwah yang teguh sebagaimana yang terjelma dalam beberapa tulisan dan risalah beliau khususnya rukun bai’ah dan ‘Wajibatul Akh’.
Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang teguh dengan janji setia yang kami ucapkan dengan namaMu serta melaksanakan segala kewajiban hasil dari pengakuan janji setia tersebut. Permudahkanlah segala urusan kami sehingga kami mampu merealisasikan setiap tuntutan dari rukun-rukun bai’ah dengan sempurna.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS