Dakwah adalah suatu pekerjaan yang mudah namun hasilnya luarbiasa. Siapa sahaja boleh berdakwah dan siapa sahaja boleh memperolehi hasilnya yang luarbiasa.
Allah swt memang Maha Pemurah sehingga Ia mengurniakan kepada kita satu amalan yang mudah dengan hasil yang luarbiasa ini.
Meskipun demikian, jangan lupa ada musuh yang sentiasa berusaha untuk menjatuhkan kita iaitu syaithan.Oleh kerana syaithan mengetahui bahwa pekerjaan ini sangat mudah tetapi hasilnya luarbiasa, maka dia dan balatenteranya bermati-matian berusaha untuk menghalang kita dari melakukannya.
Nah! apakah kita termasuk orang yang berhasil dijatuhkan oleh syaithan atau mudah-mudahan termasuk orang yang selamat?
PENGERTIAN MUDAH DAKWAH
Secara mudahnya, dakwah bererti usaha apa pun yang dilakukan untuk mengajak orang lain mengenali dan mencintai Allah swt.
Ia boleh dilakukan melalui:
a. Ucapan.
b. Tindakan.
c. Contoh keteladanan.
d. Sekadar mendoakan.
e. Mengingkari dalam hati.
Pengertian dakwah di atas adalah pengertian menurut agama Islam.
Pengertian lainnya adalah pengertian menurut bahasa, di mana dakwah bererti:
1. Memanggil.
2. Menyeru.
3. Mengajak.
tanpa memperhatikan apakah mengajaknya kepada Allah atau kepada selainNya.
Oleh kerana itu boleh sahaja kita mengatakan ada dakwah di jalan syaithan (misalnya mengajak orang lain berbuat syirik), dakwah kebatilan dan sebagainya.
PEKERJAAN YANG MUDAH
Dakwah adalah pekerjaan yang sangat mudah dan tidak memerlukan banyak pembiayaan atau sumber kewangan lainnya.
Misalnya semasa kita ingin berangkat ke masjid, kemudian melihat adik atau anak saudara kita masih bermain-main. Dengan lembut kita pegang tangannya, kita ajak ia turut berangkat ke masjid. Tindakan mudah ini sudah boleh dikatakan sebagai dakwah iaitu dakwah dengan tangan atau tindakan.
Contoh lainnya, kita melihat kawan kita menonton filem cinta di pawagam, kemudian kita katakan kepadanya, “Eh, daripada menonton filem begini, lebih baik kita cari kegiatan lain, jom!”
Kata-kata ringan dan mudah sebegitu sudahpun bernilai dakwah, iaitu dakwah dengan lisan.
Contoh terakhir, apabila kita berkunjung ke pusat membeli belah yang ternyata di dalamnya menjual minuman keras. Di sebabkan merasa takut untuk menegur, akhirnya kita memilih untuk tidak datang lagi ke pusat membeli belah tersebut selama mana ia masih menjual minuman keras.
Tindakan ini, meskipun hanya berupa pengingkaran dalam hati, namun sudah dicatat sebagai dakwah juga dan pelakunya tetap mendapat pahala dakwah, iaitu dakwah dengan hati.
Nabi Muhammad saw bersabda:
“Barangsiapa di antara kamu melihat suatu kemungkaran maka :
1. Hendaklah ia merubahnya dengan tangannya,
2. Jika tidak boleh maka dengan lisannya,
3. Jika tidak boleh juga maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (HR Bukhari dan Muslim)
Sebahagian orang mengatakan bahwa dakwah adalah suatu pekerjaan yang besar dan berat sehingga memerlukan sumber mansuia, tenaga, dana, bahkan persenjataan yang banyak, lengkap dan canggih.
Dengan kefahaman yang sedemikian, bagaimana mungkin boleh dikatakan bahwa dakwah adalah sebuah pekerjaan yang mudah?
Jawaban di atas pertanyaan ini adalah :
Dakwah ini mempunyai beberapa tingkatan dari yang paling sederhana sampai yang paling sukar.
Dakwah yang wajib bagi semua orang adalah dakwah yang ringan dan mudah, sedangkan dakwah bagi orang-orang yang melibatkan diri pada pengkhususan tertentu adalah dakwah yang lebih sukar dan tidak boleh dilakukan oleh sebarangan orang.
Wujudnya tingkatan-tingkatan ini tidak akan membuatkan kita berkecil hati kerana sesiapapun yang melangkah di jalan dakwah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh niscaya akan ditingkatkan darjatnya oleh Allah sehingga ia akan meningkat ke tingkatan yang lebih tinggi sesuai dengan kehendakNya.
PENDAKWAH ADALAH ORANG-ORANG YANG BERUNTUNG
“Dan hendaklah ada di antara kamu, segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang – orang yang beruntung” (QS Ali Imran : 104)
Melalui ayat ini, Allah swt menyatakan bahwa setiap muslim mempunyai kewajiban melakukan dakwah :
a. Sesuai dengan kemampuan dan bidang keahliannya.
b. Walau apapun profesyen, kedudukan dan jawatannya.
c. Walau di manapun ia berada.
Pada akhir ayat tersebut, Allah swt berfirman bahwa “merekalah orang-orang yang beruntung”, bagi mempertegaskan lagi bahwa dakwah itu wajib hukumnya bagi kita.
Ayat ini ditujukan kepada semua kalangan walau siapapun kita dan apapun profesyen kita.
Allah swt berfirman kepada setiap individu untuk melaksanakannya sesuai dengan kemampuan dan persoalan yang dihadapi masing-masing.
Imam Ibnu Katsir menjelaskan bahwa maksud ayat ini adalah bahwa Allah menyeru kepada kita agar kita menjadi sekelompok manusia dari umat yang melaksanakan kewajiban dakwah yang memang ditujukan kepada setiap muslim.
Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya, kalau tidak mampu, hendaklah mengubah dengan lisannya, kalau tidak mampu hendaklah mengubah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (HR Bukhari dan Muslim)
Dan pada riwayat lain, “Dan setelah itu tidak ada iman sedikitpun.”
‘Dakwah ilallah’ merupakan kewajiban yang disyariatkan dan menjadi tanggungjawab yang mesti dipikul oleh kaum muslimin seluruhnya. Setiap muslim diwajibkan berdakwah sesuai dengan kemampuannya, menyertakan diri dalam menyebarkan Islam ke mana dan di mana sahaja kita berada.
“Kamu semua adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia menyuruh kepada yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.” (QS Ali Imran : 110)
Dari ayat di atas, Allah swt menyatakan bahwa Dia akan memberikan gelaran kepada kita sebagai umat terbaik jika kita memenuhi tiga syarat.
PERTAMA : MENYURUH KEPADA PERBUATAN YANG MA’RUF
Dakwah tidaklah sesukar yang kita bayangkan. Di tempat manapun kita berada, kita mampu mengajak orang untuk berbuat kebaikan.
1. Di siang hari ketika mendengar azan zuhur di pejabat, kita boleh mengingatkan teman sepejabat untuk bersama-sama solat zuhur secara berjamaah.
2. Ketika bersama-sama dalam perjalanan, kita dapat mengajak teman seperjalanan untuk menyediakan wang seikhlasnya untuk disedekahkan kepada fakir miskin di sepanjang perjalanan tersebut.
Ketika di manapun, kita boleh memulakan dari diri sendiri untuk :
a. Menjadi contoh orang yang suka menyapa.
b. Mengucapkan salam.
c. Mengukir senyuman.
KEDUA : MENCEGAH PERBUATAN YANG MUNGKAR
Mencegah kemungkaran, bagi sesetengah orang, mungkin terasa lebih sukar dibandingkan dengan menyuruh perbuatan ma’ruf, namun, ianya tidak selalunya demikian.
Kita boleh memulakannya dengan yang paling ringan dan mudah, terutama kepada orang-orang yang terdekat dengan kita.
1. Jika ada saudara kita yang menjalin hubungan cinta yang tidak dibenarkan oleh syariat, kita mungkin boleh mendekatinya, memahamkannya perlahan-lahan dan cuba untuk menawarkan penyelesaian terbaik.
2. Mungkin ada kawan rapat yang suka mengajak kita bercerita pasal perempuan, kita cuba mengingatkannya atau mengalihkannya kepada pembicaraan lain yang lebih bermanfaat.
KETIGA : BERIMAN KEPADA ALLAH
Beriman adalah meyakini dalam hati dan mengucapkan dengan lisan serta mengamalkannya melalui perbuatan.
Dari keyakinan kita yang begitu kuat, ucapan kita akan menjadi mantap dan seterusnya amalan kita akan menjadi cukup hebat.
Tentu sahaja untuk mengajak orang kepada perbuatan ma’ruf dan mencegahnya dari kemungkaran, kita perlu memulakannya dari diri kita sendiri. Tanpa banyak memberi hadiah, tanpa banyak merayu dengan kata-kata yang indah, apa yang kita sampaikan akan mudah diterima jika kita telah menjadi peribadi mukmin yang kuat.
Oleh kerana dakwah diwajibkan kepada seluruh manusia dengan latar belakang yang berbeza-beza dan di manapun kita berada, maka cakupan dakwah tidak hanya terbatas dalam bentuk ceramah semata-mata sebagaimana masyarakat umum memahaminya.
Dakwah perlu menyentuh semua sektor kehidupan yang nyata samada :
a. Dakwah secara lisan.
b. Dakwah melalui tulisan.
c. Dakwah dengan amal perbuatan melalui contoh-contoh yang konkrit yang mampu menjadi ladang garapan kita.
Di antara perkara-perkara yang perlu kita perhatikan bagi mengembalikan semula semangat dan komitmen dakwah kita agar usaha ini tidak menjadi hambar dan sering tersekat akibat digigit oleh virus-virus dalaman dan luaran adalah :
PERTAMA : FAHAMI BAHWA DAKWAH ITU FARDHU
Perlu wujud suatu kesedaran bahwa bagi orang yang tidak melaksanakan dakwah ianya akan mengakibatkan dosa kepada mereka.
Perdebatan mengenai jenis kefardhuan ini samada fardhu ‘ain atau fardhu kifayah sudah selesai dengan kesimpulan bahwa walau siapapun kita, ia mesti turut serta melaksanakannya.
Kenyataannya adalah sehingga kini, umat yang kita hadapi masih memerlukan sentuhan dakwah, sementara wahyu Allah yang memerintahkan untuk berdakwah telah sampai kepada kita.
KEDUA : BERSIHKAN MINDA KITA DARI FIKIRAN YANG KOTOR, NAFSU KEBEBASAN DAN FAHAMAN YANG MENYESATKAN
Ketika kita memasang komputer baru, semua virus dan ‘file’ aktif yang mencurigakan mestilah dibersihkan terlebih dahulu, jika kita tidak ingin pemasangan itu gagal kerana ‘software’ kita akan kalah oleh virus tersebut.
Seseorang akan merasa enggan untuk berdakwah ketika ia masih beranggapan bahwa semua agama itu benar, lalu terjerumus ke dalam prinsip kepelbagaian dan pluralisma yang menyeleweng.
KETIGA : TANAMKAN NIAT DAN TUJUAN YANG BENAR, IKHLAS SEMATA-MATA MENGHARAP RIDHA ALLAH
Niat akan mempengaruhi perolehan kita. Ketika kita berdakwah dengan niat kerana Allah, niscaya Allah memberi bimbingan sesuai yang dikehendakiNya dan tiadalah Allah berkehendak kecuali yang terbaik.
Dakwah dengan niat mencari kemasyhuran, merintis sokongan politik, mencari keuntungan kebendaan dan sebagainya akan menghasilkan apa yang ia niatkan, namun, tujuan utama dakwah, iaitu memperbaiki masyarakat, tidak akan terwujud dan Allah akan memberi peringatan dengan caraNya yang sesuai kepada para pendakwah yang tidak lurus itu.
KEEMPAT : KATAKAN DENGAN SEMANGAT PEJUANG ; “INI TUGASKU”
Keberanian ini akan mendorong kita untuk mengambil tanggungjawab, memikul amanah kerana merasa terpanggil oleh seruan-seruan Allah.
Komitmen dakwah sering lemah disebabkan oleh sebahagian dari kita menganggap amanah dakwah adalah “tugas mereka”, iaitu tugas para pendakwah dan mubaligh yang sering tampil di televisyen, radio, masjid-masjid atau media massa dan elektronik yang lain.
KELIMA : YAKIN BAHWA AMANAH INI “WAJIB”
Selama mana kita menganggapnya “wajib”, kita tidak akan teragak-agak untuk gigih memperjuangkannya.
Selain kerana alasan fardhu, kemestian berdakwah juga perlu berlandaskan kenyataan bahwa keadaan umat sudah begitu terancam.
Keyakinan ini secara logiknya seperti ketika kita sedang berjalan jauh, lalu merasa keletihan dan akhirnya singgah dan duduk di tepian kedai buku. Ketika pemilik kedai buku itu menyuruh kita pergi, kita mempunyai seribu satu alasan ‘keletihan’ untuk tidak melangkah dan tidak merasa perlu untuk berangkat pergi.
Tapi, ketika tiba-tiba anjing menyalak dan menyerang kita (kita merasa terancam), baru kita benar-benar berlari dan ternyata masih kuat walaupun letih. Kita kuat melakukan sesuatu kerana meyakini sesuatu itu “WAJIB ATAU MESTI” kita lakukan.
KEENAM : JANGAN MUDAH MERASA GAGAL
Walau apapun yang berlaku, ianya adalah sebuah proses dan walaupun usaha kita berjaya, kita jangan pula merasa cukup gembira dengan hasil tersebut kerana hanya Allah dan RasulNya yang menilai apa yang kita perbuat serta niat kita dan bukan kejayaan simbolik yang biasanya akan menjerumuskan manusia kepada sifat riya’ dan ujub.
Namun demikian, tidak merasai kegagalan bukan bererti selalu merasa berjaya. Satu kejayaan dalam dakwah hanyalah hasil kecil yang akan terus disusuli dengan amanah berikutnya.
KETUJUH : SENTIASA MENJAGA DAN MEMELIHARA KETIKA KOMITMEN ITU SUDAH TERTANAM
Penjagaan boleh kita lakukan dengan :
a. Memperbanyakkan interaksi dengan Al Qur’an.
b. Meningkatkan amal sunnah.
c. Memohon kemantapan hati.
d. Berinteraksi dalam kumpulan para pendakwah yang bersemangat dan optimis.
Ini adalah kerana semangat dan sikap optimis itu mampu berkembang, demikian juga dengan kemalasan dan keputusasaan.
PAHALA DAKWAH YANG LUAR BIASA
Apabila kita ingin mengira pahala dakwah berbanding dengan pahala amalan lainnya, kita perlu merenung kepada sabda Nabi saw berikut sebagai asas :
“Barangsiapa menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala seperti (pahala yang diterima) pelakunya.” (HR Tirmizi)
Jadi, misalnya kita solat dengan nilai 1 pahala. Ketika kita dapat mengajak orang lain, maka kita akan mendapat pahala tambahan sebanyak orang yang melakukannya kerana ajakan kita tersebut.
Apabila di kemudian hari, orang itu menjadi rajin untuk solat hasil dakwah kita, setiap kali ia solat, Allah akan mengirimkan lagi pahala buat kita meskipun kita mungkin hanya sedang duduk-duduk sahaja.
Bayangkan apabila kita mengajak seribu orang. Bayangkan juga jika kita mengajak orang, kemudian orang tersebut juga mengajak orang lain pula dan orang ketiga ini kemudiannya juga mengajak orang yang keempat dan seterusnya… Subhaanallaah… Betapa banyaknya pahala yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.
SIAPA SAHAJA BOLEH MELAKUKAN DAKWAH
Persoalan yang sering muncul :
1. Apakah semua orang mesti berdakwah?
2. Bagaimana jika orang itu belum memahami ilmunya?
Jawaban terhadap persoalan di atas boleh kita ringkaskan seperti berikut :
Dakwah diwajibkan kepada setiap orang sesuai dengan kemampuannya.
Apabila seorang muslim baru memahami asas-asas agama, maka ia hanya diwajibkan mendakwahkan asas-asas tersebut dan tidak wajib baginya mengajak kepada perkara-perkara yang tidak ia ketahui.
Maka pada tahap itu, ia boleh mengajak orang lain untuk solat, berzakat, berpuasa, meninggalkan minuman keras, menjauhi zina, meninggalkan amalan mencuri dan sebagainya yang memungkinkan ia untuk melakukan tugas tersebut.
DAKWAH JALAN CINTA YANG AGUNG
Bersusah-payah dan bertatih di jalan dakwah merupakan suatu jalan cinta yang agung.
Namun, semua itu akan benar-benar berharga ketika kita menjejaki jalan cinta itu :
a. Kerana mematuhiNya.
b. Kerana perintahNya.
c. Kerana takut kepadaNya.
d. Kerana mengharap ridhaNya.
Maka, orang yang paling baik di atas jalan cinta adalah mereka yang melaksanakannya kerana Allah, bukan kerana orang lain atau mengharap balasan atau imbalan.
“Katakanlah, Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Rabb semesta alam” (QS Al-An’am :162)
Sering kita mendengar keluhan mengenai kegersangan ruhiyah dan ukhuwah para aktivis dakwah.
Ia merasa tidak menjejaki jalan cinta seperti yang dirintis oleh Rasulullah saw. Aktivis dakwah hari ini banyak terkesan dengan sikap ego dan mementingkan diri sendiri. Ini dapat dikesan dengan kurangnya sikap saling kepedulian antara sesama aktivis dakwah.
Realiti ini adalah sebahagian fenomena di jalan cinta. Tentulah, untuk menjadi para pencinta sejati di jalan cintaNya, Allah akan berikan ujian sebagai bukti dan penyaringan apakah sebenarnya kita berada di jalan cinta ini kerana Allah atau masih kerana orang lain yang sentiasa mengajak kita?
Namun, masing-masing diri kita perlulah mempunyai kemahuan yang tinggi dalam memperbaiki diri. InsyaAllah perjalanan panjang jalan cinta ini akan mengajarkan kita dan mentarbiyah kita dengan sebenar-benar tarbiyah.
Lalu yang terpenting adalah kita memahami jalan cinta “Ilallah” adalah jalan :
1. Keindahan, seperti indahnya cinta.
2. Kenikmatan, seperti kenikmatan cinta.
3. Kesejukan, seperti kesejukan udara cinta yang menyejukkan
Jadi, paradigma kita mengenai jalan cinta mestilah seperti itu, dan tidak boleh berubah.
Jika kita memahami bahwa jalan cinta itu adalah keindahan, kenikmatan dan kesejukan maka adalah diyakini bahwa setiap dari kita akan meletakkan semua itu di dalam diri kita terlebih dahulu sebelum memberikannya kepada orang lain.
Para pejuang cinta mestilah mampu membuatkan ramai orang :
a. Merasakan keindahan Islam melalui dirinya.
b. Merasakan kenikmatan berjuang bersama dengannya.
c. Merasakan angin kesejukan meluru ke dalam hati mereka di kala angin gersang nan panas menimpa mereka.
Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah saw di jalan dakwahnya di kala itu, membuatkan semua para sahabat merasa paling dicintai dan para musuh pun menaruh rasa hormat dan segan kepada mereka.
Maka jalan cinta kita adalah keindahan, kenikmatan, dan kesejukan dan itu semua lahir dari :
1. Kedekatan diri kita dengan Allah.
2. Kefahaman yang benar terhadap Islam.
3. Akhlak mulia yang sangat luar biasa.
Terapkanlah semua itu di dalam diri kita agar ramai manusia merasakan keindahan, kenikmatan dan kesejukan di jalan cinta kita iaitu jalan dakwah ini sehingga jangan wujud lagi kegersangan di jalan cinta kita disebabkan oleh tangan-tangan kita sendiri.
Akhirnya, marilah kita tetap terlibat dalam dakwah dan bagi yang merasa belum masanya, mulailah dengan apapun yang kita mampu, dari perkara-perkara yang paling kecil dan paling sederhana agar kita tidak mendapat teguran Allah di hari akhirat kelak hanya kerana tidak menganggap bahwa dakwah itu wajib lalu tidak terlibat di dalamnya.
Sebagai renungan, mari kita mengambil iktibar dari kisah kehidupan Imam Hasan Al Banna di mana di dalam suatu peperiksaan semasa di Darul Ulum, Imam Hasan Al-Banna pernah diminta menulis sebuah karangan yang bertajuk :“Apa yang akan kamu buat selepas menamatkan pengajian dan apakah cara yang kamu gunakan?”
Imam Hasan Al-Banna menulis seperti berikut :
“Aku ingin menjadi seorang guru dan pendakwah. Aku akan mendidik para pemuda pada waktu siang, malam dan waktu cuti. Aku akan mengajak keluarga mereka mengamalkan cara hidup Islam dan menunjukkan kepada mereka jalan untuk mendapatkan kegembiraan dan kebahagiaan hidup yang sebenar. Aku akan menggunakan cara-cara yang paling baik yang termampu olehku untuk mencapai tujuan ini melalui syarahan, penulisan dan pengembaraan di jalan raya dan lorong-lorong.”
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang dijalanNya dalam barisan yang teratur, seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh” (QS As-Shaf : 4)
Ya Allah jadikanlah usaha dakwah ini mudah bagi kami sehingga dengan kemudahan itu Engkau menunjuki mereka-mereka yang ingin berjalan di atas jalan cinta kepadaMu. Kurniakanlah cahaya dariMu yang akan menerangi dinding-dinding jiwa manusia sehingga mereka bangun untuk menyahut seruanMu menuju jalan yang diridhai olehMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS