Dalam mengurus pengembangan dakwah di kalangan masyarakat, kemurnian dan keaslian dakwah perlulah sentiasa terjaga dan terpelihara sehingga memiliki landasan yang kuat dan kukuh untuk terus bergerak.
Oleh kerana dakwah sangat terkait dengan ‘takwin’ (pembentukan), maka ketika kita membicarakan dari segi konsepnya, aktivis dakwah mestilah sentiasa berpegang teguh kepada idealisma dakwah kerana seberat apapun ujian dalam dakwah, selagi mana aktivis dakwah memiliki pegangan yang kuat dalam melangkah, maka idealisma dakwah akan tetap terjaga dan terpelihara.
Oleh yang demikian, kita perlulah memahami tentang kemurnian dan keaslian dalam dakwah. Kejayaan aktivis dakwah menjaga kemurnian dakwah akan memberikan kekuatan yang sangat penting dalam ‘takwin’ (pembentukan) dan kemenangan dakwah.
Oleh itu, aktivis dakwah perlu memperhatikan perkara-perkara yang prinsip dalam dakwah sehingga kemurnian dakwah akan tetap terjaga.
Kemurnian dakwah memiliki landasan yang kuat dan jika diringkaskan akan menjadi tiga bahagian :
PERTAMA : KEMURNIAN SYARIAT
Aktivis dakwah mesti kembali kepada kemurnian dan keutuhan syariat.
Tidak ada fiqh dakwah tanpa fiqh syari’ah dan dengan yang demikian, ruang lingkup gerakan dakwah mesti sentiasa berada dalam bingkai syariat.
Jadi, ketika kita berbicara tentang syariat, ianya bukan semata-mata pada hukum yang lima, iaitu halal, haram, wajib, makruh, dan sunnah.
Setiap gerakan para aktivis dakwah mestilah sentiasa berada dalam kerangka ‘Ahkamu Syariah’ (hukum syariah) samada perkara tersebut wajib, sunnah, haram, makruh atau mubah.
Ketika kita berbicara tentang kemurnian syariat, ianya tidak boleh terlepas dari ‘Fiqh Aulawiyat Syari’ah’ (skala keutamaan dalam syari’ah) iaitu dengan sikap :
Ketika kita berbicara tentang kemurnian syariat, ianya tidak boleh terlepas dari ‘Fiqh Aulawiyat Syari’ah’ (skala keutamaan dalam syari’ah) iaitu dengan sikap :
a. Yang haram - tinggalkan.
b. Yang mubah - pilih sesuai dengan kemaslahatan.
c. Yang makruh – hindarkan.
d. Yang sunnah - tingkatkan.
Dengan skala keutamaan ini kita tidak disibukkan oleh hal-hal yang mubah dengan meremehkan kewajiban atau melaksanakan yang sunnah tanpa melakukan kewajiban.
Gerakan para aktivis dakwah mestilah terus berada dalam kerangka hukum syariah yang terikat dengan fiqh keutamaan.
Dalam konteks sekarang, kebiasaan menonton perlawanan bolasepak atau filem hukumnya boleh jadi makruh kerana menghabiskan waktu pada perkara yang tidak berguna bahkan kita boleh terjebak pada yang haram.
Dalam surah Al Mukminun, Allah swt menggambarkan mengenai sifat orang mukmin yang mendapatkan kemenangan serta mewarisi syurga Firdaus adalah salah satunya menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna.
Ingatlah, bahwa sibuk memperdebatkan hukum tentang kain di bawah mata kaki atau di atas mata kaki adalah pembahasan yang sia-sia dan menghabiskan waktu jika di belahan bumi lain ramai saudara-saudara kita dibunuh, disekat dan dizalimi oleh musuh-musuh Islam.
KEDUA : KEMURNIAN FIKRAH
Aktivis dakwah mestilah menjaga kemurnian dan keaslian fikrah, konsep atau manhaj.
Jadi, ketika aktivis dakwah hendak berfikir, mengemukakan wacana, memberi pendapat, menelurkan idea serta gagasan, maka ianya mestilah berlandaskan Al Qur’an dan sunnah Rasul, bukan sekadar memberi pandangan atau berbicara tanpa memiliki landasan yang jelas.
Bagi memudahkan kefahaman terhadap manhaj berfikir sesuai dengan Al Qur’an dan As Sunnah, Imam Hasan Al Banna telah meletakkan satu formula yang mudah yang terangkum dalam ‘Ushul Isyrin’ (Usul Dua Puluh).
Syeikh Said Hawwa menulis di dalam kitabnya “Fi Afaq At Ta’alim” (Ufuk Risalah Ta’alim) bahwa :
Pada saat Imam Hasan Al Banna memulakan dakwahnya, umat Islam telah mencapai kekacauan pemikiran yang sangat berat. Mereka adalah orang-orang yang telah mengkufuri Islam. Sebahagian yang lain :
a. Membataskannya pada aspek-aspek tertentu.
b. Meyakini bahwa Al Quran memiliki makna batin yang berbeza dengan zahirnya.
c. Mempunyai kefahaman yang salah terhadap kewalian.
d. Melangkah bebas hingga hampir-hampir merasa tidak memerlukan lagi petunjuk kenabian.
e. Beranggapan bahwa agama bertentangan dengan ilmu pengetahuan dan akal fikiran.
f. Memahami bahwa Islam adalah segala perkara yang keras.
g. Dengan cepat mengkafirkan saudaranya yang lain.
h. Sangat mempermudahkan dalam segala perkara.
i. Menyerah secara pasrah serta menjauhkan Islam dari wilayah kekuasaan dan perundangan.
Semua penyelewengan di atas memerlukan pengubatan dan pengubatan itu ada di dalam dua puluh (20) prinsip yang akan menghapuskan kefahaman yang salah.
Di antara fenomena kecelaruan pemikiran di tengah-tengah umat Islam itu adalah :
1. Bercampurnya perkara-perkara yang prinsip dengan perkara-perkara yang cabang.
2. Bersikap kerasnya sebahagian besar masyarakat dengan cabang-cabang itu dan untuk itu mereka memerangi saudara-saudara mereka sesama Muslim.
3. Memerangi orang-orang yang berpegang kepada perkara-perkara yang prinsip, meskipun ia adalah kebenaran yang murni.
Dalam menghadapi orang-orang yang seperti mereka, umat Islam tidak mungkin mampu melangkah maju dalam satu barisan.
Oleh yang demikian, ‘Usul Isyrin’ ini adalah terapi bagi pesakit dan menentukan baginya mana perkara yang prinsip yang tidak boleh dianggap mudah dan mana perkara cabang yang memungkinkan berlakunya pertemuan, meskipun terjadi perbezaan pendapat tentangnya.
Dalam menyusuri perjalanan sejarah yang panjang, maka terungkaplah faktor-faktor penyebab perpecahan dan konflik di antara kaum Muslimin sebagai akibat dari kecacatan dalam kefahaman, maka perlu ada usaha membumikan semula kefahaman bersama yang dapat membentuk barisan yang lebih mantap di antara kaum Muslimin, tanpa perlu mengorbankan hak pihak lain.
Dengan taufik dari Allah swt, ‘Usul Isyrin’ ini dapat diwujudkan semuanya. Ia telah :
a. Mengingatkan orang-orang yang lupa.
b. Mengurangkan sikap berlebihan.
c. Menyatukan yang telah tercerai-berai.
d. Meluruskan jalan.
Kita belum mendapati orang lain yang mampu menghimpun semua orang secara objektif di atas ajaran-ajaran yang mengajak mereka untuk bergerak maju dalam satu barisan sepertimana yang telah dilakukan oleh Imam Hasan Al-Banna dengan ‘Usul Isyrin’ yang telah Allah ilhamkan kepadanya untuk menghimpunkannya.
Mengenali Islam adalah kewajiban dan mengenali hukum-hukum yang ada di dalamnya juga kewajiban sementara hukum-hukum yang wajib diketahui oleh setiap Muslim berbeza-beza sesuai dengan perbezaan peribadi, ilmu dan tanggungjawabnya.
Pada rukun ‘Al Fahmu’ (kefahaman), Imam Hasan Al Banna telah menghimpun perkara-perkara yang mesti diketahui oleh setiap Muslim.
Di antaranya adalah perkara-perkara yang apabila tidak diketahui, akan menyebabkan orang mengingkari perkara-perkara yang secara asasnya adalah sebahagian dari agama dan ini boleh membawa kepada kekafiran.
Ada pula perkara-perkara yang apabila tidak diketahui, akan menjadikan seseorang itu tidak ada komitmen dengan agamanya dan ini adalah sebuah kekurangan.
Ada pula perkara-perkara yang apabila tidak diketahui, akan :
1. Membahayakan ideologi.
2. Mengancam jalinan ukhuwah di antara kaum Muslimin.
3. Berbahaya bagi persatuan gerakan Islam.
4. Mengancam kesatuan barisan.
5. Mengancam konsep-konsep kesejagatan seorang Muslim.
6. Mengancam kaum Muslimin secara keseluruhannya.
Sebagai aktivis dakwah, kita mestilah mengkaji ‘Ushul Isyrin’ secara mendalam dan komprehensif dan hendaklah berusaha mengaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari kerana kaidah-kaidah yang terangkum dalam dua puluh prinsip (intisari dari Al Qur’an dan Sunnah Rasul) tersebut adalah salah satu ijtihad abad yang ke-20 yang dilakukan oleh Imam Hasan Al Banna yang tidak dilakukan oleh ulama’ terdahulu.
Di dalamnya dibahas berbagai macam permasalahan kehidupan termasuk mengenai jamaah, khilafiyah, pemikiran dan lainnya.
Ini bererti, jika kita ingin menjaga konsep dakwah ini, maka semuanya telah terangkum dalam ‘Ushul Isyrin’.
Bahkan seluruh tulisan atau karya ilmiah yang ditulis oleh para ‘Qiyadah Dakwah’ atau ‘Masyaikh Dakwah’, semuanya mengambil rujukan dari ‘Ushul Isyrin’.
Kita dapat membaca kitab yang ditulis oleh Syeikh Mustafa Masyhur di mana semua rujukannya adalah ‘Ushul Isyrin’. Begitu juga ketika Dr Yusuf Al Qardhawi menulis dalam konsep berfikir manhaj, rujukannya adalah ‘Ushul Isyrin’.
Jadi, ianya bukan sekadar mengetahui 20 prinsip, tapi yang lebih penting bagaimana kita perlu memahami dan merealisasikan dalam kehidupan kita sehari-hari. Masalah ini dapat diatasi dengan menjaga kemurnian fikrah.
KETIGA : KEMURNIAN BERHARAKAH
Berbicara tentang dakwah, ianya adalah sebuah gerakan aktiviti atau kerja bukan wacana apalagi gosip.
Dakwah adalah pergerakan iaitu bekerja secara aktif.
Maka tidak menjadi sesuatu yang asli atau tidak murni lagi (palsu) jika masih ada aktivis dakwah yang tidak aktif.
Begitu juga, tidak asli dan tidak murni lagi jika kita hanya pandai berwacana tapi tidak ada sumbangan atau penglibatan dalam dakwah kerana kemurnian dakwah adalah di antaranya dinilai dengan pergerakan dan terus bekerja dan bukan dengan banyak berdebat atau berdiskusi tapi tanpa berbuat dan berkarya untuk dakwah.
Yang perlu sentiasa menjadi pertanyaan para aktivis dakwah adalah :
“Apa sumbangan saya dalam dakwah?”
Salah satu bukti jika seseorang aktivis dakwah masih murni dalam dakwah adalah ia memiliki peranan atau sumbangan aktif serta terlibat secara penuh dalam aktiviti harakah.
Jadi, kalau masih ada aktivis dakwah yang tidak terlibat dan tidak aktif maka kemurnian harakinya tidak berjalan dengan baik.
Dakwah adalah pergerakan. Perkara ini terbukti dalam sejarah kehidupan Nabi dan para sahabatnya.
Rasulullah saw selama 10 tahun di Madinah bersama para sahabat terlibat dalam peperangan selama hampir 100 kali di mana baginda mulai terlibat dengan peperangan pada tahun ke-2 samada :
a. Yang dipimpin oleh baginda sendiri atau yang dipimpin oleh para sahabat baginda.
b. Benar-benar berlaku peperangan atau yang tidak berlaku peperangan.
c. Peperangan yang besar atau yang kecil.
Bagi keadaan kita pada masa kini, sebenarnya tidak ada lagi kesempatan untuk :
1. Menonton perlawanan bolasepak.
2. Menonton filem.
3. Berdebat mengenai perkara yang remeh.
4. Berfikir yang “pelik-pelik”.
Jika kita perhatikan dengan teliti bahasa–bahasa Al Qur’an, sebenarnya kita tidak akan mengenal istilah uzur.
Dalam dakwah ini, berangkat ke medan perang semuanya sama samada dalam keadaan ringan, berat, susah ataupun mudah.
Semua mukmin mesti berangkat semuanya, sehingga ketika ada sebahagian sahabat yang uzur (terhalang) dalam ertikata tidak dapat memenuhi panggilan dakwah kerana tidak mempunyai dana, kenderaan, wasilah atau kemudahan, mereka tidak mudah atau dengan santai mengatakan Alhamdulillah.
Hal ini berbeza dengan keadaan sebahagian aktivis dakwah kita yang malah bersyukur dan mengucapkan Alhamdulillah ketika mendengar halaqah / liqa’ ditangguhkan.
Para sahabat yang tidak dapat turut serta dalam perjuangan (tidak hadir) dan tidak punya sumbangan mengalami kesedihan yang luar biasa meskipun secara hukum syar’ie tidak ada beban dosa terhadap mereka.
Tapi secara moral (psikologi) sebagai aktivis dakwah, ketika tidak terlibat atau tidak mampu memberi sumbangan, mereka tetap ada beban moral walaupun tidak berdosa.
Oleh yang demikian, pada prinsipnya, keterlibatan dalam dakwah adalah penglibatan yang aktif secara nyata dan mempunyai sumbangan yang terus menerus.
Dalam peristiwa Perang Tabuk, diceritakan di dalam Al Qur’an bahwa tiada berdosa orang– orang yang datang kepada Rasulullah saw supaya Rasulullah saw membawa mereka (pergi berperang), lalu Rasulullah saw berkata kepada mereka :
“Aku tiada memperolehi perbelanjaan untuk membawa kamu”
Beberapa orang sahabat datang kepada Rasulullah saw meminta untuk diberi kemudahan untuk diangkut, diberi kenderaan untuk pergi ke medan perang, tapi Rasulullah saw mengatakan :
“Saya tidak mampu lagi menyediakan kemudahan untuk kamu kerana sudah sangat terbatas. Sudah tidak ada lagi dana, kenderaan atau kemudahan. Kamu tinggal sahaja di rumah kamu, kerana tidak ada uzur (dosa) bagi kamu.”
Dan ketika Rasulullah saw mengatakan perkara tersebut, air mata mereka mengalir sedih.
Mengapa demikian?
Ini adalah kerana mereka tidak dapat bergabung atau tidak dapat memberi sumbangan.
Adalah menjadi suatu kerugian yang sangat besar ketika kita sebagai aktivis dakwah kemudiannya tidak mempunyai apa-apa sumbangan serta tidak terlibat secara aktif kerana orang lain sibuk mendapatkan pahala atau kesempatan untuk mendapatkan penghormatan memasuki ke syurga Allah bersama dengan para Nabi, manakala kita pula tertinggal di belakang.
Inilah yang mesti difahami betul-betul oleh para aktivis dakwah bahwa kita perlu bergerak atau sibuk dengan kerja-kerja atau urusan–urusan dakwah.
Sebagai contoh, dalam Perang Tabuk, Abu Zar Al Ghifari secara moralnya tidak perlu hadir, tidak perlu berangkat, tidak perlu terlibat dan tidak perlu berperanan kerana beliau dalam keadaan uzur. Namun beliau tetap berangkat walaupun perlu berjalan kaki bersendirian sejauh 700 meter dari Madinah ke Syam di bawah panas terik matahari.
Kenapa?
Ini adalah kerana beliau benar-benar memahami bahwa sebagai aktivis dakwah, beliau dituntut untuk memberikan kesetiaan dan terlibat secara aktif dalam perjuangan.
Ketika kita sudah mengikrarkan diri sebagai aktivis dakwah, maka kita perlu berangkat. Ertinya ketika sudah menyatakan diri sebagai aktivis dakwah, maka kita perlu berangkat atau terlibat dalam setiap aktiviti dakwah selama ada modal iman, modal motivasi serta akal dan fikiran yang sihat.
Kefahaman terhadap kemurnian dalam berharakah, seseorang aktivis dakwah mestilah terus bergerak aktif dan produktif apalagi kita dituntut untuk lebih cepat atau agresif untuk mendapat kemenangan dakwah.
Tidak mungkin kita akan meraih kemenangan yang besar jika kita sendiri masih berat untuk melangkah.
Semata-mata melangkah dengan cepat belum tentu mampu memenangkan dakwah apalagi jika kita melangkah dengan lambat dan penuh longlai.
Aktivis dakwah mesti perlu melompat cepat dan bertindak agresif untuk melakukan pengembangan jika memiliki cita–cita yang mulia iaitu bagi memenangkan dakwah.
Ingatlah baik–baik pesanan Imam Hasan Al Banna apabila beliau mengatakan :
“Tidak layak untuk dakwah ini kecuali orang yang siap sedia membela dakwah dengan segala potensi yang ia miliki.”
Ertinya sebagai aktvis dakwah, kita perlu bersedia untuk berkorban waktu, tenaga, fikiran, harta benda, istirehat, darah, nyawa dan lain-lainnya kerana dakwah adalah darah daging bagi aktivis dakwah yang layak mendapat kemenangan dari Allah.
Oleh yang demikian, penglibatan dalam dakwah adalah semangat bekerja. Apalagi ketika kita di hadapkan kepada banyak fitnah, godaan, ujian, huru hara dan gelap gulita.
Kita hidup dalam keadaan zaman yang rosak, yang boleh jadi bertambah kerosakannya jika kewujudan dakwah terancam disebabkan sikap pasif para aktivis dakwah sendiri.
Banyaknya fitnah, huru hara dan kegelapan boleh menjadikan seseorang di pagi hari dalam keadaan mukmin namun pada petang hari ia menjadi kafir atau di petang hari ia masih mukmin namun pada pagi keesokan harinya menjadi kafir.
Apa yang Rasulullah saw gambarkan itu benar–benar mulai menunjukkan gejala atau petanda kerosakan yang hebat, di mana kita menghadapi kekacauan yang luar biasa.
TIDAK ADA PILIHAN
Persoalannya, apakah yang perlu dilakukan oleh aktivis-aktivis dakwah untuk menghadapi situasi ini?
Tidak ada pilihan lain untuk menghindarkan diri dari perkara tersebut agar selamat kecuali dengan amal.
Segeralah berbuat atau beramal sebelum kedatangan kekacauan yang luar biasa dan lebih besar lagi kerana di saat itu, kita akan kesulitan untuk membezakan antara yang hak dan yang batil.
Harakah mestilah tersusun kemas dalam sebuah organisasi kerana dakwah akan lebih produktif dan harakah dapat berjalan secara berkesan jika ia bergerak dalam bentuk struktur yang tersusun.
Para aktivis dakwah perlu menghindarkan diri dari melakukan amal–amal yang tidak tersusun. Walaupun nampak amalnya bagus dan baik, tapi tidak tersusun kerana tidak masuk dalam struktur organisasi dan amal ini tidak banyak manfaatnya kerana program–program yang sifatnya tidak teratur dan tersusun.
Kita seringkali bersikap melakukan pembenaran terhadap amal–amal yang tidak teratur dan tersusun dengan berhujah bahwa :
“Ini kan dakwah juga…,”
Sebagai aktivis dakwah, kita perlu ingat, cara–cara yang tidak teratur dan tersusun hanya memberi kesan sejenak dan dalam jangka masa panjang mungkin memberi kesan buruk bagi dakwah.
Padahal yang kita inginkan adalah dakwah yang teratur dan tersusun dalam bingkai polisi atau strategi umum dakwah dan bukannya hanya sekadar bergerak bersendirian di luar struktur organisasi kerana kalau sekadar bergerak begitu, maka ianya akan lebih banyak mudaratnya bagi dakwah.
Ilustrasi amal yang tidak teratur dan tersusun yang berada di luar struktur organisasi boleh diibaratkan seperti air.
Air kalau tidak mengalir ke parit-parit atau terusan-terusan yang telah dipersiapkan, ia akan merosakkan laluan dan mungkin akan melimpah ke jalan tar yang akan menyebabkannya menjadi berlubang lalu akan menimbulkan kesesakan laluan akibat banjir.
Begitu juga ketika kita berharakah dalam keadaan yang tidak tersusun dan tidak tertib, kecenderungannya akan menyebabkan kerosakan seperti aliran air yang tidak mengalir melalui parit dan terusan tadi.
Oleh yang demikian, gerakan yang kita lakukan mestilah menjurus kepada konsep tarbiyah, ertinya jangan kerana kita terlalu aktif menyebabkan kita lupa pada tarbiyah.
Ada sebahagian aktivis dakwah yang aktif dalam berbagai lembaga, institusi dan organisasi massa, namun dia lupa untuk mentarbiyah dirinya sendiri, padahal amal haraki akan hanya memberi banyak faedah apabila ianya bermula dari tarbiyah kerana dengan tarbiyahlah kita sentiasa diingatkan tentang :
a. Keikhlasan.
b. Kesabaran.
c. Istiqamah.
Yang sangat disayangi, ada sebahagian aktivis dakwah yang begitu luar biasa aktifnya namun kadang-kadang tidak mencerminkan semangat berharakah.
Ertinya, ia :
1. Mengajak orang melakukan perubahan serta berbuat baik sementara perilaku hidupnya jauh dari nilai-nilai yang dia seru iaitu bertolak ke belakang dengan apa yang disampaikan kepada masyarakat.
2. Membicarakan tentang tarbiyah, manakala dia sendiri tidak ditarbiyah dengan baik.
3. Mengajak kepada dakwah tapi lalai untuk mengimplementasikan nilai dakwah dalam keperibadiannya sebagai aktivis dakwah.
Cuba kita renungkan bagaimana dialog di antara sahabat Anshar dengan Rasulullah saw :
“Ya Rasulullah, jika engkau kehendaki, kami siap dengan pedang–pedang kami untuk menghadapi kaum musyrikin saat ini juga.”
Ketika rahsia pertemuan Rasulullah saw dengan para sahabat Anshar diketahui atau dibocorkan, maka Rasulullah saw mengatakan :
“Lebih baik kamu pulang ke kampung kamu masing–masing menyebarkan dakwah, memperbanyakkan pengikut, memperluaskan dakwah dan kita belum sampai waktunya untuk melakukan ini dan pada saatnya tiba, kita akan melakukan ini.”
Jika penjagaan terhadap kemurnian dakwah kita fahami dengan baik, InsyaAllah kita akan menjadi aktivis dakwah yang terkedepan untuk sentiasa menjaga kemurnian dakwah.
Dalam kerja dakwah yang berat ini, tentu sangat diperlukan kefahaman yang utuh mengenai kemurnian dakwah sehingga kita dapat mengembalikan umat ini kepada kemurnian dakwah yang memiliki landasan yang kuat dan kukuh kerana adalah sesuatu yang mustahil kita akan dapat memenangkan dakwah sementara kita tidak segera kembali kepada kemurnian dakwah yang sebenarnya.
Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di atas landasan kemurnian dakwahMu kerana hanya berpegang teguh dengan kemurnian dakwahMu akan menjamin kemenangan yang hakiki samada yang kami dapat kecapi dengan tertegaknya syariatMu di mukabumi atau ganjaran yang tidak terhingga dalam memasuki syurgaMu di akhirat nanti.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS