Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil lewa dan tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung hanya kepada diri dan kemampuannya semata-mata.
Bahkan, ianya mempunyai seribu satu erti dan makna. Di dalamnya mengandungi pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya.
Ia merupakan :
- Suatu lapangan atau tempat di mana Allah swt menyempurnakan kehambaan para hambaNya yang ingin menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya.
- Suatu peluang, tempoh untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran, kesabaran dan keredhaan kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan kepadaNya.
Manusia yang leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya, secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan kehidupan itu sendiri.
Ini adalah kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu diri serta kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah Allah swt yang Maha Pencinta.
Seseorang yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan kehidupan ini, sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan yang sementara ini.
- Apa yang dikejar selalunya tidak dapat.
- Apa yang didapatinya juga tidak akan kekal bersamanya setelah dia mati.
Maka, di manakah nilai sebuah kehidupan bagi manusia yang semacam ini?
Bagi seseorang manusia yang menghayati makna kehambaan diri kepada Tuhannya, pasti akan memahami kehidupan ini dengan maknanya yang lebih luas dan sempurna.
Kebendaan dan duniawi tidak lagi berkuasa menawan kebahagiaan dan kelapangan hati dan jiwanya.
Dia tahu, hidup ini ialah untuk menterjemahkan makna kehambaan diri kepada Allah swt dengan menunaikan ketaatan kepadaNya secara zahir mahupun batin.
Bertolak daripada itulah, akhirnya seseorang mula memahami bahawasanya, seluruh kehidupan ini, samada berkaitan dengan ketentuanNya mahupun penetapan hukum-hakamNya, merupakan penzahiran "interaksi" Tuhannya kepadanya.
Seseorang hamba yang sentiasa menghadirkan rasa kehambaan diri kepadaNya dalam setiap tindakannya dalam kehidupannya, akan turut merasai kehadiran muamalah (interaksi) Tuhannya kepadanya melalui segala yang berlaku dalam kehidupannya.
Bermula dengan menunaikan ketetapan syariat dan hukum Allah swt dalam kehidupannya, maka penghayatan terhadap makna syariat yang dilaksanakannya dengan jiwa hamba mula bersinar dalam hatinya.
Dia mula melihat hakikat di sebalik syariat dengan pandangan ‘zauq’ (perasaan rohani) kurniaan Ilahi. Dia mula menghayati bahawasanya, syariat ialah bukti kewujudan dan kehendak Tuhan yang menciptakan dan mentadbir seluruh alam ini.
Bertolak daripada itu juga, takkala dia menunaikan ketaatan batin (hati) kepada Tuhannya, dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, tawadhu’, istiqamah, sabar, syukur, redha dan sebagainya, maka dia mula mengenali hakikat ketentuan Allah swt dalam setiap sisi kehidupannya.
Apabila dia ditimpa sesuatu yang berat terasa oleh nafsu dan dirinya, maka di situlah peranan seseorang hamba dalam menzahirkan kehambaannya kepadaNya dengan melahirkan sifat "sabar" terhadap ketentuanNya yang menimpanya tersebut.
Dia juga menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah swt dengan mengembalikan ketentuanNya kepadaNya, dengan mengadu masalah yang menimpanya kepada Allah swt yang mengujinya dengan ketentuan tersebut, dalam rangka semata-mata untuk menagih keredhaan dan bantuanNya.
Seseorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah swt dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan dirinya kepadaNya berbeza dengan seseorang yang mengadu kepada Allah swt akan masalahnya dalam bentuk membangkang ketentuanNya.
Adapun seorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah swt dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan diri kepadaNya, tujuannya hanyalah untuk menzahirkan hakikat diri yang "lemah" dan sentiasa memerlukan bantuanNya dalam menghadapi ketetapanNya.
Manakala orang yang merungut di hadapan Allah swt mengenai ketentuanNya ke atasnya bertujuan untuk menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketentuanNya yang tidak mengikut kehendak dan keinginan nafsu dirinya.
Mengadu dengan tujuan menzahirkan rasa lemah kepada Allah swt tidak mengandungi unsur mempertikaikan ketentuan Allah swt, tetapi sekadar memohon rahmat dan bantuan Allah swt agar dia mampu menghadapi ketentuanNya dengan bantuanNya.
Adapun orang yang merungut kepada Allah swt membawa maksud mempertikaikan ketentuan Allah swt dan terkadang boleh membawa kepada menyalahkan Allah swt, seolah-olah dia lebih pandai dari Allah swt.
Adalah sesuatu yang berbeza antara :
- Menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah swt.
dan
- Menzahirkan kepandaian diri di hadapan Allah swt.
Oleh kerana itu, Imam Abu Al-Hasan As-Syazili yang menghayati makna kehambaan ini mengungkapkan ungkapan penuh adab di hadapan Allah swt dengan berdoa :
"Wahai Tuhanku. Aku tidak memohon agar tertegahnya apa yang Engkau mahu tentukan ke atasku. Tetapi, aku memohon sokonganMu (kepadaku) dengan bantuanMu kepadaku dalam setiap ketentuanMu ke atasku"
Nilai kehambaan ini juga pernah diungkapkan oleh Rasulullah saw dalam doa Baginda saw ketika di Thaif dengan berdoa:
"Wahai Tuhanku, aku mengadu kepadaMu akan lemahnya diriku…".
Nilai-nilai mengadu dalam rangka meminta bantuan daripadaNya dan menzahirkan kelemahan diri dan keperluan kepadaNya merupakan antara nilai kehambaan yang tertinggi dalam diri seseorang hamba kepada Tuhannya.
Oleh yang demikian, hamba yang beradab dengan adab kehambaan tersebut mula menzahirkan rasa memerlukanNya dan bersabar dalam rangka untuk membuktikan kehambaan diri kepadaNya dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripadaNya.
Adapun tatkala dia ditimpa sesuatu yang menyenangkan diri dan nafsunya, samada kesenangan dalam bentuk kebendaan, rezeki, jodoh dan sebagainya, maka dia akan menzahirkan rasa kesyukuran kepadaNya dengan mengembalikan segala kebaikan yang didapatinya kepada Allah swt, bukan menyandarkan kebaikan tersebut kepada usaha dirinya sendiri.
Inilah nilai kehambaan yang agung dalam diri seseorang manusia, di mana dia sentiasa berasa menghargai setiap kebaikan dalam kehidupannya kerana menghayati bahawa semua kebaikan adalah daripada Allah swt, Tuhan yang Maha Pemurah.
Dengan rasa syukur tersebut, maka Allah swt menganugerahkan ‘ma’rifatullah’ (mengenal Allah swt) kepadanya, dan menganugerahkan kefahaman tentang rahsia-rahsia muamalah Allah swt dalam segenap kehidupannya.
Inilah kelebihan daripada sifat syukur yang dijanjikan oleh Allah swt yang berfirman dengan maksud :
"Jika kamu bersyukur, Aku akan tambah buatmu akan nikmatKu"…
Penambahan nikmat yang agung adalah kefahaman tentang :
- Hakikat diri.
- Hakikat kehidupan.
- Hakikat ketuhanan Allah swt.
dalam kehidupannya seharian.
Hidup ini ialah tempat bermuamalah secara beradab.
Bagaimana seseorang ingin beradab dalam bermuamalah dengan Allah swt melalui kehidupannya, sedangkan dia tidak mengenal :
- Hakikat dirinya sebagai hamba Allah swt yang perlu beradab kepadaNya.
- Hakikat kehidupan yang merupakan tempat menzahirkan adab kepada Allah swt dalam berinteraksi kepadaNya.
- Allah swt, Tuhan yang ingin menyempurnakan adab kehambaannya melalui kehidupannya.
Dalam hidup ini terkandung risalah-risalah Allah swt dalam setiap detik dalam kehidupan kita, jika hati kita sentiasa hadir dalam bermuamalah denganNya dengan adab kehambaan kepadaNya.
Sabar dan syukur merupakan dua sayap utama bagi kerohanian seseorang hamba dalam menuju keredhaanNya.
Setelah seseorang mencapai istiqamah dalam sabar dan syukur dalam setiap kehidupannya terhadap setiap ketentuanNya dengan bantuan Allah swt, maka dia akan dianugerahkan rasa redha kepada Allah swt dalam setiap ketentuanNya.
Pada darjat "redha" inilah, seseorang manusia :
- Tidak lagi merasai perbezaan di antara suatu ketentuan dengan suatu ketentuan yang lain.
- Tiada merasai susah ataupun senang, kerana hatinya sentiasa fokus kepada mencari keredhaan Allah swt di sebalik setiap ketentuanNya, dan menghadapi setiap ketentuanNya dengan pandangan redha kepada Allah swt.
Sesungguhnya, redha kepada Allah swt ini merupakan darjat yang teragung yang dicapai oleh seseorang hamba Allah, kerana seseorang tidak akan meredhai Allah swt melainkan setelah Allah swt meredhainya dan berkehendak supaya dia juga meredhaiNya.
Kehidupan ini sebuah perjalanan dalam muamalah kehambaan seseorang hamba dengan Tuhannya.
Nilai kehidupan adalah pada penghayatan seseorang terhadap :
- Makna kehambaan dirinya dalam kehidupannya.
- Makna kehidupannya selaku hamba kepada Tuhannya.
- Makna ketuhanan Allah swt dalam kehidupannya selaku hambaNya.
Tanpa makna-makna tersebut, kehidupan tiada erti bagi seseorang manusia.
Hidup tanpa "makna", yang tinggal hanyalah makan, minum, tidur dan sebagainya, dalam rangka memenuhi nafsu di sekitar usianya yang semakin menuju kesudahan.
Akhirnya, dia di sisi Allah swt bagaikan binatang, bahkan lebih sesat dan rendah daripada binatang, kerana tidak menghargai nilai kehidupannya sebagai manusia yang penuh dengan makna-makna yang mulia.
Masalah kemurungan, kesedihan, penderitaan dan rasa malang manusia sebenarnya bukanlah kerana gagal menanggung ketentuan Allah swt, tetapi masalah-masalah tersebut kembali kepada "tidak memahami makna di sebalik ketentuanNya" lalu membawa kepada kegagalan dalam berinteraksi dengan ketentuanNya sebagaimana yang sepatutnya.
Tanpa menghayati makna kehambaan diri, makna kehidupan yang merupakan medan menyempurnakan kehambaan dan makna ketuhanan Allah swt dalam kehidupan, maka seseorang akan mencari kebahagiaan yang bukan sebenarnya suatu kebahagiaan, akhirnya dia terus menderita dalam rangka untuk mencari kebahagiaan menurut persepsinya.
Kebahagiaan bukan pada kepuasan nafsu, tetapi pada terealisasinya kehambaan diri kepada Allah swt.
Kekayaan itu ialah kekayaan jiwa, seperti yang diberitahu oleh Baginda Nabi saw yang mulia.
Hidup ini bukan tempat di mana setiap orang mencari apa yang dia mahukan, tetapi hidup ini ialah tempat setiap orang menunaikan tujuan asal dirinya diciptakan.
Jika mahu terus mencari makna kebahagiaan selain makna yang diingini oleh Tuhan, maka setiap langkah kita dalam mencarinya adalah suatu penderitaan. Akhirnya, yang kita himpunkan hanyalah penderitaan demi penderitaan.
Ya Allah, jadikanlah kehidupan ini sebagai medan dalam kami berinteraksi dan melahirkan rasa kehambaan kepadaMu serta peluang untuk kami menzahirkan rasa syukur, sabar dan ridha kepadaMu terhadap segala ketentuan yang telah ditaqdirkan kepada kami.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS