Bagi membangunkan kekuatan sebuah jamaah, kita memerlukan suatu keadaan yang seringkali disebut sebagai ‘istiqrar’ (ketenangan atau kestabilan).
Sudah tentu,untuk membangun keadaan ini,yang pertama sekali dituntut ialah dari setiap aktivis dakwah dan mereka yang mempunyai komitmen dengan gerakan dakwah ini.
Ada beberapa jenis ketenangan atau kestabilan yang diperlukan bagi memastikan kemantapan jamaah dalam menghadapi halangan dan tentangan di medan kehidupan.
PERTAMA : KESTABILAN JIWA
Setiap aktivis dakwah mesti sentiasa memberi perhatian terhadap ketenangan dan kestabilan jiwanya.
Kita hendaklah memastikan bahwa jangan sampai akibat :
1. Kesibukan yang sedemikian banyak.
2. Tentangan yang sedemikian berat.
3. Tuntutan akan pengorbanan yang melampaui batas-batas kemampuan.
akan membuatkan jiwa kita menjadi kacau bilau dan tergoncang yang akhirnya seperti yang dikatakan oleh Sayyid Qutb sebagai ‘an-nufus al-mahzumah’ iaitu jiwa yang kalah terlebih dahulu sebelum terjun ke medan pertempuran.
Oleh kerana itu, setiap aktivis dakwah hendaklah memberi perhatian yang khusus di samping perlu memberikan ‘inayah’ yang cukup terhadap ketenangan dan kestabilan jiwanya.
Ketenangan jiwa hanya boleh diraih melalui usaha untuk sentiasa mengarahkan hati kita berhubung dengan Allah swt.
Hanya dengan itulah ketenangan jiwa dapat ditumbuhkan, dipelihara dan mampu dikembangkan.
Kita sebagai pendakwah mestilah menjadi orang yang paling sanggup memelihara hatinya dalam keadaan jiwa yang tenang.
Dari sanalah akan tumbuh ‘tsiqah’ iaitu yakin betul kepada Allah dan yakin betul akan adanya kemenangan yang akan dianugerahkan oleh Allah swt.
Tanpa perasaan yang sedemikian, dengan tentangan dan tugas berat ini, kita mungkin akan menjadi gelisah.
Oleh kerana itu, hati kita mesti sentiasa dihubungkan dengan kekuatan Yang Maha Besar, iaitu Allah swt yang bukan sahaja menggerakkan alam semesta, tapi Dialah Pencipta alam semesta dan Dialah yang mengarahkan ke mana bergeraknya alam semesta ini termasuk fenomena dengan berbagai ragam kelompok, ideologi dan programnya di mana seluruhnya digerakkan oleh Allah dan akan mencapai sasaran-sasaran yang sudah dibataskan oleh kehendakNya dan arah perjalananNya.
Memahami akan perkara ini, kita tidak seharusnya merasa gentar melihat kekuatan apapun kerana kita yakin bahwa hanya Allahlah Yang Maha Besar.
Kita tidak pernah merasa rendah diri apabila melihat organisasi lain yang lebih kaya raya, kerana kita yakin bahwa Allahlah yang Maha Kaya dan Maha Mulia.
Kita yakin, mungkin apa yang kita miliki sekarang sedikit, tapi yang dijanjikan Allah dalam bentuk pertolonganNya adalah Maha Besar.
Inilah apa yang disediakan oleh Allah untuk para mujahidin dan para pendakwah di jalanNya.
Inilah sifat ‘Qanaah’ yang mesti kita miliki. Tanpa ‘Qanaah’, kita mungkin terasa ngeri melihat kekayaan yang dimiliki oleh berbagai organisasi-organisasi besar yang sedemikian banyak seolah-olah di hadapan mata kita, berlaku satu perlumbaan dengan kekuatan seperti itu.
Tetapi kalau kita yakin bahwa yang memerintahkan kita berlumba (fastabiqul khairat) adalah Allah swt dalam rangka kebaikan, kita insyaallah tidak akan ragu untuk bermula dan berjalan dengan manhaj Allah dan mencapai garis penamatnya iaitu ‘mardhatillah’.
Jiwa yang semacam itulah yang mesti dimiliki oleh para pendakwah sehingga apapun yang kita hadapi perhitungannya bukan perhitungan bumi, tapi perhitungan langit, di mana seluruh fenomena sejagat ini tidak ada yang terlepas dari ‘tadbir rabbani’.
Alhamdulillah, selama ini organisasi ini sentiasa memahami kita, menjaga kita, memelihara kita, memberi inayah kepada kita agar hati kita terpelihara dan jangan sampai menjadi jiwa yang goncang dan kalut dalam menghadapi tentangan.
Bahkan Allah swt telah mengarahkan kepada kita bagaimana agar kestabilan jiwa itu boleh dipelihara, maka kemudian Allah swt menunjukkan jalan kepada kita dan menjadikannya satu sunnah iaitu berumah tangga dan berkeluarga.
Ini adalah kerana berkeluarga adalah salah satu tingkatan, salah satu wasilah dan salah satu wadah untuk memelihara kestabilan jiwa.
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (QS Ar Ruum : 21)
KEDUA : KESTABILAN KELUARGA
Oleh kerana itu, kestabilan jiwa itu perlu diteruskan dengan usaha mewujudkan kestabilan yang kedua iaitu kestabilan keluarga, iaitu ketenangan dan kestabilan keluarga para pendakwah.
Perlu kita sedari bahwa keluarga para pendakwah tidak seperti keluarga kebanyakan manusia lain sejak dari peringkat titik bermulanya dan pangkal bertolaknya mereka berumah tangga, dimana rumah tangga itu dibangun dengan kasih sayang kerana Allah (mahabbah fillah).
Selain itu, ia juga sama-sama dibangunkan melalui kesatuan aqidah (wihdatul aqidah), kesatuan fikrah (wihdatul fikrah) dan kesatuan manhaj (wihdatul minhaj).
Bahkan ia sentiasa seiring bergandingan tangan dalam perjalanan dakwah dengan segala pengorbanannya, maka ikatan ‘mahabbah fillah’ yang berdasarkan ‘wihdatul aqidah’, ‘wihdatul fikrah’ dan‘wihdatul manhaj’ itu diikat pula oleh ikatan romantik dakwah.
Ikatan romantik dakwahlah yang mengikat rumah tangga kita.
Oleh kerana itu, adalah sesuatu yang penting setelah kita sentiasa memelihara kestabilan jiwa, kita pun perlu benar-benar memelihara kestabilan keluarga kita serta ketenangan rumah tangga kita.
Sesungguhnya rumah tangga pendakwah adalah rumah tangga tapak asas bagi dakwah itu (qa’idah da’wiyyah) dan komandan markasnya adalah isteri kita.
Sudah tentu para perajurit dakwah memerlukan bantuan dari komandan agar :
a. Keghairahan berdakwahnya tetap bergelora.
b. Semangat dakwahnya tetap menggebu.
c. Daya juangnya tetap berkobar.
Oleh kerana itu, pergaulan dengan isteri dan keluarga dengan cara yang baik adalah merupakan sendi-sendi yang mesti diperhatikan dalam memelihara kestabilan keluarga terutama keluarga pendakwah.
Jika keluarga pendakwah tidak tenang dan stabil, sudah tentu ianya cukup memberi kesan kepada jamaah dan akan merencatkan gerak langkahnya. Ini adalah kerana ia merupakan salah satu batu bata dari struktur jamaah.
Setelah pembinaan individu, ia disusuli dengan pembinaan keluarga, iaitu keluarga ‘harakiyyah’ yang mesti dipelihara.
Tanpa keluarga yang seperti itu, kaki kita akan tersandung dan perjalanan kita akan terhuyung hayang.
Sekarang ini, setelah kestabilan jiwa, kestabilan keluarga itu perlu benar-benar dipelihara bersama oleh seluruh komponen keluarga.
Peliharalah hubungan dengan isteri, dengan suami, dengan anak-anak, dengan mertua, dengan ibu bapa dan dengan siapa pun yang terkait dengan keluarga kita kerana seluruhnya adalah merupakan modal utama bagi dakwah ini.
KETIGA : KESTABILAN SOSIAL
Ia adalah kestabilan sosial kita dalam berkomunikasi dengan jiran tetangga dan masyarakat sekitar.
Kita perlu bersikap baik dengan jiran, samada :
1. Jiran yang memang kerabat dekat kita atau jiran tetangga yang jauh.
2. Yang jauh lokasi rumahnya, mungkin berselang beberapa deretan rumah, tapi masih sebahagian dari lingkungan kehidupan kita.
3. Yang dekat lokasi rumahnya tapi jauh dari segi nasabnya.
Semuanya mesti kita pelihara. Kalau kita boleh memelihara kestabilan sosial, insyaallah persekitaran kita akan menjadi tapak asas sosial bagi dakwah kita (qa’idah ijtima’iah).
Apalagi jika persekitaran kita sekarang sesuai dengan perjalanan dakwah, maka ia sudah merupakan timbunan dari kumpulan keluarga-keluarga pendakwah yang berhimpun di suatu daerah, suatu kawasan atau suatu kampung.
Sudah tentu, ia perlu memperlihatkan keteladanannya dalam kestabilan sosial, iaitu memancarkan contoh tauladan, iaitu keteladanan masyarakat yang tenang dan tenteram.
Ini adalah kerana masyarakat yang tenang dan tenteram sahajalah yang akan memberikan sumbangannya bagi lingkungan-lingkungan yang lebih luas meliputi umat, bangsa dan negara.
KEEMPAT : KESTABILAN ORGANISASI
Dengan modal kestabilan jiwa, kestabilan keluarga dan kestabilan sosial itu, insyaallah, secara strukturnya kita pun akan tenang, organisasi kita akan tenang di mana :
a. Tidak banyak berlakunya konflik dalaman.
b. Tidak akan mendengar sindiran bahwa kita adalah jamaah bermasaalah kerana yang selalu dibahas adalah permasaalahan (Qadhaya).
Walaupun mungkin kita melihat fenomena ini agak sedikit berlaku, tapi bagi jamaah dakwah, ianya cukup mengusik hati dan fikiran.
Ia juga berpotensi bahwa kepimpinan dan pekerja dakwah akan terkesan oleh perkara-perkara tersebut.
Oleh kerana itu, dengan modal kestabilan jiwa, kestabilan keluarga dan kestabilan sosial, insyaallah kita akan mencapai modal yang keempat iaitu kestabilan organisasi.
Untuk memastikan kestabilan organisasi, kita perlu meningkatkan pembinaan dua kemampuan :
A. KEMAMPUAN GERAKAN
Kita perlu memastikan agar gerakan dakwah yang kita sama-sama pikul ini menjadi suatu gerakan yang berterusan iaitu :
1. Tidak terhalang oleh sebarang program lain.
2. Samada dalam keadaan aman atau dalam menghadapi ujian dan cobaan.
3. Tidak turun naik.
4. Tidak bersifat sementara.
5. Tidak bermusim.
Selain itu, anggota-anggota gerakan juga mesti mempunyai semangat berkorban yang tinggi kerana tidak ada perjuangan di dunia ini kecuali mesti disertai dengan pengorbanan.
Barangsiapa yang tidak berkorban ketika bersama dakwah, maka ia berdosa.
B. KEMAMPUAN ORGANISASI
Kemampuan organisasi akan hanya terserlah apabila kita memiliki tiga unsur, iaitu :
1. Wujudnya kepercayaan (Thiqah).
2. Wujudnya keterampilan (Kafaah).
3. Wujudnya tanggungjawab (Mas’uliyah).
Kepercayaan (Thiqah) adalah sikap rasa puas seorang anggota terhadap pimpinannya dalam hal kemampuan dan keikhlasannya dengan kepuasan yang mendalam sehingga menghasilkan perasaan cinta, penghargaan, penghormatan dan ketaatan.
Manakala keterampilan (Kafaah) pula meliputi tugas dakwahnya sebagai ‘murabbi’ dan ‘muballigh’ di samping penguasaan ilmiyyah dan berbagai seni dakwah.
Akhir sekali setiap anggota merasakan tanggungjawab (Mas’uliyah) untuk melaksanakan amanah dakwah. Ini dapat difahami dari sikap Nabi Ibrahim as dalam menyelesaikan dengan segera dan sempurna semua amanah dari Allah swt sebagaimana dalam ayat Al Quran :
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya.” (QS Al Baqarah : 124)
Oleh yang demikian, organisasi kita insyaallah akan menjadi organisasi atau struktur yang stabil, tenang dan tidak dikecohkan oleh isu, gosip dan pergeseran kerana jika dibiarkan ianya akan menimbulkan sikap berpuak-puak.
KELIMA : KESTABILAN DAKWAH
Jika kestabilan organisasi itu sudah wujud, maka insyaallah akan berlakulah kestabilan dakwah di mana dakwah kita akan menjadi stabil dan berjalan terus menerus di mana :
1. Goncangan apapun tidak akan membuatkan kita terguling.
2. Perangkap apapun tidak akan membuatkan kita terperosok.
3. Situasi apapun tidak akan membuatkan kita terkecoh.
Ini adalah kerana asas kekuatan dakwah bergantung kepada tiga pembinaan :
A.PEMBINAAN TARBAWI (TARBIYAH)
Ia meliputi pembangunan kemampuan teoretikal iaitu memahami :
a. Prinsip (Mabda’).
b. Ideologi (Fikrah).
c. Pedoman (Minhaj).
Prinsip asas (Mabda’) dakwah adalah berdasarkan lima perkara :
1. Allah matlamat kita.
2. Rasul pemimpin kita.
3. Al Qur’an perlembagaan kita.
4. Jihad adalah jalan kita.
5. Mati di jalan Allah adalah cita-cita kita.
Manakala ideologi (fikrah) kita pula berasaskan lapan perkara :
1. ‘Dakwah Salafiah’ kerana kita berdakwah untuk mengajak kembali (bersama Islam) kepada sumbernya yang jernih dari kitab Allah dan sunnah RasulNya.
2. ‘Thariqah Sunniah’ kerana kita membawa jiwa untuk beramal dengan sunnah yang suci (khususnya dalam masaalah aqidah dan ibadah) semaksimum mungkin sesuai dengan kemampuan masing-masing.
3. ‘Haqiqah Sufiah’ kerana kita memahami bahwa asas kebaikan adalah kesucian jiwa, kejernihan hati, penerusan amal, berpaling dari kebergantungan kepada makhluk, ‘mahabah fillah’ dan keterikatan kepada kebaikan.
4. ‘Hai’ah Siyasiyah’ kerana kita menuntut perbaikan dari dalam terhadap hukum hakam pemerintahan, meluruskan persepsi yang berkait dengan hubungan umat Islam terhadap bangsa-bangsa lain di luar negara, mentarbiyah bangsa agar memiliki 'izzah dan menjaga identitinya.
5. ‘Jamaah Riyadhiyah’ kerana kita sangat memberi perhatian terhadap masalah fizikal dan memahami benar bahwa seorang mukmin yang kuat itu lebih baik daripada seorang mukmin yang lemah sebagaimana sabda Nabi saw,
"Sesungguhnya badanmu mempunyai hak atas dirimu (untuk kamu perhatikan)."
Sesungguhnya, semua kewajiban dalam Islam tidak mungkin dapat terlaksana dengan sempurna dan benar tanpa didukung oleh fizikal yang kuat.
6. ‘Rabithah Ilmiah Thaqafiah’ kerana Islam menjadikan menuntut ilmu sebagai kewajiban bagi setiap muslim dan muslimah. Majlis-majlis kita pada asasnya adalah ‘madrasah-madrasah ta'lim’ dan peningkatan wawasan iaitu dalam rangka untuk mentarbiyah fizikal, akal, dan ruh.
7. Syarikat Iqtishadiah kerana Islam sangat memberi perhatian terhadap pemerolehan harta dan penyalurannya. Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw, “Sebaik-baik harta adalah (yang dipegang) oleh seorang yang soleh."
8. ‘Fikrah Ijtima’iah’ kerana mereka sangat menaruh perhatian terhadap segala 'penyakit' yang ada dalam masyarakat Islam dan berusaha melaksanakan terapi dan mengubatinya.
Akhir sekali pedoman (minhaj) dakwah berdasarkan syariat iaitu peraturan, jalan atau metod yang terang lagi jelas sepertimana dalam Al Qur’an :
“Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)”. (QS Al Maaidah : 48)
Pedoman ini terbahagi dua :
1. Pedoman asasi yang merangkumi tiga perkara :
a. Al Qur’an.
b. As Sunnah.
c. Sirah Salafus Soleh.
2. Pedoman amali yang merangkumi panduan dan prosedur ketetapan perlaksanaan.
Selain itu kita juga perlu membangun kemampuan maknawi meliputi kemahuan yang kuat dan kesetiaan yang kukuh.
Kemahuan yang kuat adalah ciri-ciri Rabbani yang diterangkan dalam Al Qur’an meliputi sifat tidak lemah semangat (Al Wahn), tidak lemah fizikal (Dha’if) dan pantang menyerah.
“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (QS Ali Imran : 146)
Manakala kesetiaan yang kukuh pula menggambarkan suatu kesetiaan dalam dakwah sejak dari awal hingga akhir hidupnya di samping kesetiaan dalam menjalani setiap marhalah dakwah.
Ini bersesuaian dengan sabda Nabi saw :
“Ketahuilah bahwa sesungguhnya roda Islam terus berputar, maka berputarlah bersama Al-Qur’an di mana pun dia berputar.” (HR Thabrani)
B. PEMBINAAN HARAKI (HARAKAH)
Ia termasuk kemampuan gerakan dan kemampuan organisasi sepertimana yang disebut sebelum ini.
C. PEMBINAAN FARDI (INDIVIDU)
Pembinaan individu merangkumi empat ciri keperibadian iaitu :
1. Keperibadian Islam yang meliputi
a. Kesejahteraan aqidah.
b. Kesahihan ibadah.
c. Kemantapan akhlak.
d. Berupaya untuk berusaha sendiri.
e. Mempunyai wawasan berfikir.
f. Kekuatan jasmani.
g. Berjihad ke atas diri sendiri.
h. Terurus di dalam segala urusannya.
i. Sangat menjaga waktunya.
j. Bermanfaat kepada orang lain.
2. Keperibadian pendakwah yang meliputi
a. Pengetahuan realiti umat.
b. Pengetahuan tentang penyelesaian secara Islam.
c. Pengetahuan tentang tatacara penyelesaian secara Islam.
d. Pengetahuan tentang bekalan dakwah.
3. Keperibadian sosial yang meliputi
a. Bersemangat tanpa bersikap tertutup dan bersikap terbuka tanpa larut.
b. Penceramah dalam masyarakat.
c. ‘Faqih’ dalam masyarakat.
4. Keperibadian kenegaraan yang memampukan dirinya menjadi seorang negarawan ulung.
Dengan wujudnya ketiga-tiga pembinaan ini, kita akan mampu menghasilkan penguasaan dakwah dalam masyarakat yang menjadi asas kekuatan dan kestabilan dakwah di mana natijahnya adalah :
a. Masyarakat mengenali kita.
b. Masyarakat mempercayai kita.
c. Masyarakat berhimpun di sekitar kita.
d. Masyarakat bergerak bersama kita.
e. Masyarakat beriltizam dengan kita.
Ya Allah, kurniakanlah ketenangan dan kestabilan dalam jiwa kami yang akan mampu untuk membentuk kestabilan keluarga yang menyokong usaha dakwah kami sehingga menjadikan kestabilan sosial yang tenang dan tenteram sebagai wadah perluasan dakwah yang akan memberi kekuatan kepada organisasi yang akhirnya akan melaksanakan misi dakwah secara terus menerus sehingga kami mampu mendapatkan kepercayaan masyarakat dan bergerak bersama kami untuk mendaulatkan syariatMu di mukabumi ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS