skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Sunday, 13 May 2012

Mujahid Yang Sabar

Ditulis Oleh WAS Pada 09:32 – 0 Komen Anda
 

Syaikh Hussein Khalil Saqar Al Awawidah atau lebih dikenali dengan nama Syaikh Abu Bakar Al Awawidah, satu nama yang tidak asing di kalangan ulama’ dan mujahidin di Palestin. Beliau adalah Penasihat Kanan Rabithatul Ulama’ Filistin atau Kesatuan Ulama’ Palestin dan kini berusia 50 tahun.
Sejak tahun 1992, beliau bersama isteri dan lapan anaknya terpaksa hidup dalam buangan di kota Damsyik, Syria iaitu kira-kira 200km dari kampung tempat kelahirannya, Dora di Al Khalil, Hebron, Tebing Barat yang juga merupakan tempat bersemayamnya jasad Nabi Allah Ibrahim as.
Tubuhnya agak tinggi dan sentiasa menunduk ke bawah, suaranya agak lembut apabila berbicara, murah dengan senyuman dan lengannya kena sentiasa dituntun kerana matanya telah buta akibat dipukul dan dikenakan siksaan berupa kejutan aliran elektrik ke tubuhnya oleh tentera Zionis Israel selama 54 hari berturut-turut pada tahun 1981 sehingga menyebabkan matanya buta.
Namun begitu, gelapnya dunia di mata Syaikh Abu Bakar sama sekali tidak melemahkan keteguhannya untuk memberi penerangan ruhiyah dan ilmiyah kepada rakyat Palestin yang terusir dan terpaksa bermukim di Syria yang jumlahnya sekitar setengah juta orang.
KETURUNAN MUJAHID 

"Nenek moyang saya adalah penembak yang bergabung dalam angkatan bersenjata Turki, di antara mereka syahid ketika berjuang menentang Inggeris," tuturnya.

Pendahulu yang paling dekat dengannya, datuk dan ayahnya, ikut berjihad melawan Inggeris dalam Perang Kastall di Al-Quds Barat pada tahun 1948. Mereka dipimpin oleh seorang 'alim mujahid Palestin iaitu Abdul Qadir Al-Husaini. Pada waktu itu bapa saudaranya syahid.

Ketika berlakunya peristiwa ‘An-Naksah’ pada tahun 1967
 iaitu penawanan Masjid Al Aqsa secara kekal oleh rejim Zionis sehingga ke hari ini., Syaikh Abu Bakar baru berusia 7 tahun. Ia masih ingat bagaimana Israel menyerang dan menguasai kawasan-kawasan Tebing Barat, Gaza , Sinai dan Bukit Golan..

"Ayah dan abang-abang saya ikut menentang pasukan Israel ," kenang Syaikh Abu Bakar. Sesudah peristiwa itu, mereka tertangkap dan dipenjara.
Syaikh Abu Bakar mempunyai 15 adik beradik dari dua orang ibu. Dari jumlah itu, adik beradik yang seibu dengannya adalah 6 laki-laki dan 4 perempuan.
Setelah menamatkan sekolah menengah atas di Dora , ia melanjutkan pelajaran di Maahad Syari’ah Al Quds untuk persiapan sebagai imam dan khatib pada tahun 1979. Pada masa itulah ia berkenalan dengan gerakan dakwah Al Ikhwanul Muslimun.
Bersama rakan belajarnya dan para ustaz di Maahad itu, mereka mempersiapkan diri untuk berjihad di jalan Allah swt bagi merebut kembali tanah-tanah Palestin yang dirampas oleh Zionis Israel . Keinginan mereka ditolak oleh kelompok perjuangan Marxis dan sekular yang pada waktu itu menguasai sebahagian besar struktur Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasser Arafat.
Sambil terus belajar di Maahad itu, Syaikh Abu Bakar mengikuti kuliah musim panas di Universiti Beirut dalam jurusan falsafah dan sosiologi. Syaikh Abu Bakar semakin aktif dalam kegiatan tarbiyah samada untuk dirinya sendiri mahupun membina pemuda-pemuda Palestin melalui daurah (kursus) Al Quran di masjid-masjid, maahad-maahad dan sekolah-sekolah.
Kegiatan-kegiatan itu dilakukannya sepanjang 10 tahun berikutnya dan berkali-kali pula ia keluar masuk penjara dan disiksa oleh Zionis Israel akibat kegiatannya.
1.      Pada tahun 1981, ia dipenjara selama 54 hari.
2.      Pada tahun 1982, ia dipenjara selama 5 bulan.
3.      Pada tahun 1983 ia dipenjara selama 15 hari.
4.      Pada tahun 1988, ia dipenjara selama 6 bulan.
5.      Pada tahun 1990, ia ditangkap 2 kali iaitu kali pertama selama 37 hari manakala kali kedua 14 hari.
6.      Pada tahun 1991, ia mendekam di penjara selama 5 bulan.
Semua waktu-waktu di atas belum dicampur dengan waktu di luar penjara di mana ia berkali-kali ditangkap dan disiksa oleh Zionis Israel selama beberapa jam.
Kemuncaknya ialah pada tahun 1992 di mana Syaikh Abu Bakar Al Awawidah ditangkap dan diusir ke Marj Az Zuhur iaitu daerah perbatasan antara Palestin dan Lebanon bersama 414 orang mujahidin Palestin lainnya termasuk As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi.
Di tanah tak bertuan itu, mereka dipaksa bekerja secara fizikal siang dan malam di kawasan yang agak sejuk dan hampir sentiasa bersalji selama setahun. Selepas setahun, yang dibenarkan kembali ke Palestin hanya 401 orang sedangkan 13 orang lainnya termasuk dirinya diusir ke berbagai negara dan dirinya diusir ke Syria.
“Jika kami nekad untuk pulang ke Palestin, mereka mengancam akan terus membunuh kami.” Kata Syaikh Abu Bakar.
SIKSAAN DEMI SIKSAAN DI PENJARA ISRAEL
Penangkapan yang pertama kali dialami oleh Syaikh Abu Bakar Al Awawidah (1981) adalah yang paling memberi kesan mendalam kepada dirinya di mana ketika itu beliau berumur 21 tahun. Selama 54 hari, ia disiksa tanpa henti dengan begitu keras sekali tanpa apa-apa proses pengadilan.
Tubuhnya dijadikan sasaran habis-habisan oleh empat atau lima orang tentera Zionis secara sekaligus dan sasaran utama penyiksaan adalah kepala dan alat sulit.
“Sakitnya begitu terasa jika kita dipukul dan ditendang sambil tangan diikat ke belakang dan kepala saya ditutup dengan sarung plastik,” kenangnya.
“Sebagai manusia, saya hanya mampu bersabar waktu itu.”
Akibat dipukul dengan batang kayu dan dialirkan kejutan elektrik ke tubuhnya secara terus menerus menyebabkan kedua penglihatannya semakin kabur dan lama kelamaan ia menjadi buta sama sekali sehingga kini.
Begitu juga tulang punggungnya berkali-kali mengalami patah dan akibatnya, jika ia duduk di lantai atau di atas permaidani, ia mesti mengubah posisinya beberapa kali kerana menahan sakit.
Selain dipukul, janggutnya juga dicabut lalu disumbatkan ke mulutnya dan dipaksa untuk menelannya.
“Waktu itu saya disiksa bersama dengan tiga orang lagi sahabat saya dan salah seorangnya adalah ustaz di Maahad Al Quds,” kenangnya.
Di waktu yang lain, tangannya diikat di belakang dan dipaksa berdiri terus menerus selama 7 jam. Akibatnya, seluruh sendi-sendi dan kulitnya kehilangan deria rasa sehingga ketika buang air di dalam seluarnya pun tidak terasa lagi kerana sudah hilang sensitiviti deria rasa.
Ia juga pernah dipenjara di ruang kecil selama 25 hari tanpa ada cahaya sama sekali. Yang ada hanya sedikit lubang udara. Sepanjang masa tersebut, beliau melakukan solat tanpa berwudhu’ tapi hanya bertayammum. Jika tangannya diikat, maka solatpun dilakukan dengan berdiri.
Namun Syaikh Abu Bakar bersyukur kepada Allah swt atas pengalamannya dipenjara oleh Zionis Israel berkali-kali.
Kenapa beliau bersyukur?
Betapa tidak, di penjara-penjara itulah justeru ia menambah banyak ilmu kerana koleksi buku-bukunya yang lengkap.
Selain itu, ia juga berbulan-bulan ‘dipaksa’ tinggal dengan para ulama’ besar Palestin, di antaranya Asy Syahid Syaikh Ahmad Yaasin.
“Sebelum buta, saya hanya menghafal 4 juz Al Quran, namun setelah dibutakan mata saya oleh Zionis Israel, saya malah boleh menghafal 20 juz,” katanya sambil tersenyum.
PEGAWAI PENYIASAT YANG LUCU 

Di penjara yang dahsyat itu, kejadian-kejadian lucu juga pernah dialaminya. Suatu hari, setelah disiksa berhari-hari, seorang pegawai penyiasat memberi pilihan kepadanya :
“Kamu boleh pilih samada dipenjara seumur hidup atau mati dibunuh oleh saya atau diusir dari Palestin”. 

Syaikh Abu Bakar menjawab, "Saya tidak akan menjawab kepada kamu kecuali dengan mengutip perkataan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah :
1.      Kalau saya dipenjara maka saya berkhalwat (bersendirian) dengan Allah.
2.     Kalau dibunuh maka saya syahid dan akan segera bertemu Allah, itu lebih saya sukai.
3.     Kalau saya diusir maka itu suatu peluang rekreasi dan saya akan kembali ke Palestin.

Mendengar jawaban itu, pegawai penyiasat dengan penuh semangat mengambil pen sambil membentak,
"Beritahu saya, di mana orang yang namanya Ibnu Taimiyah ini sekarang berada?!" 

Sambil menahan gelihati, Syaikh Abu Bakar memberitahunya bahwa orang itu sekarang tinggal di dalam kubur di Damsyik.

Pegawai penyiasat itu sungguh marah lalu dengan suara yang tinggi melaung, "Kamu bohong! Beritahu perkara yang sebenarnya, di mana alamat Ibnu Taimiyah itu?!"

Oleh kerana jawabannya tetap sama, Syaikh Abu Bakar dipukul lagi.

Meskipun penuh dengan kenangan yang buruk, Syaikh Abu Bakar masih mampu menyebut satu per satu nama pegawai penyiasat yang menyoal siasat dan menyiksanya.

Di antara mereka ada yang bernama Major Yusi Abu Ghazala dan Abu Nihad, dua orang Yahudi Iraq, Bini, Yahudi Libya, Abram dari Eropah dan Ori yang tidak jelas asal usulnya.
"Mereka semua membentak-bentak dan bertanya kepada saya dengan bahasa Arab yang terpecah-pecah," kenangnya. 

MEMPERDAYA PEGAWAI PENYIASAT

Dalam salah satu pengalamannya di penjara, Syaikh Abu Bakar sempat memperdaya pegawai penyiasatnya. Tangannya diikat dengan gari di belakang dan dipaksa berdiri selama 5 jam.
"Badan saya rasanya sudah kaku seperti kayu," katanya.

Lalu Syaikh Abu Bakar berkata kepada pegawai penyiasatnya, "Baiklah, saya akan menceritakan seluruh riwayat hidup diri saya sejak ibu saya melahirkan saya."

Kemudian pegawai penyiasat itu membuka gari dan menghantarnya ke bilik air kerana saya minta izin untuk mandi dan solat dahulu. "Badan saya sudah berbau hancing kerana saya dipaksa kencing di dalam seluar saya," katanya.

Sesudah mandi dengan baju tetap di badannya, Syaikh Abu Bakar melakukan solat Maghrib, Isya’, solat sunat dan solat witir sampai menghabiskan waktu lebih dari setengah jam.

"Dalam waktu solat saya membaca ayat-ayat yang mengisahkan tentang Bani Israil dalam surah Al-Baqarah. Pada waktu itu, pegawai penyiasat itu mula beremosi dan tidak sabar-sabar menunggu sambil merokok dan minum kopi," beritahunya.

"Selesai saja solat, pegawai penyiasat itu menagih cerita yang dibacanya di dalam solat tadi," kata Syaikh Abu Bakar, " tapi saya beritahunya, tadi kan sudah saya bacakan ceritanya dalam waktu solat?"

Pegawai penyiasat yang seorang lagi amat marah sekali dan hendak memukul lagi. Yang seorang lagi cuba mencegahnya. Lalu Syaikh Abu Bakar mulai bercerita. Entah bagaimana keduanya dengan begitu tekun sekali mendengarnya sehingga seperti kanak-kanak mendengar cerita dongeng.
"Mereka beritahu… teruskan…jadi bagaimana… teruskan…. jadi bagaimana….mereka benar-benar ingin tahu," kata Syaikh Abu Bakar sambil tersenyum.

Syaikh Abu Bakar sengaja memanjang-manjangkan ceritanya lalu suatu kali ia meminta untuk beristirehat hingga akhirnya ia kehabisan cerita dan kemudian ia beritahu begini, "Ya itulah ceritanya. Jadi kesimpulannya, saya tidak tahu kenapa kamu menangkap saya?"
Kedua pegawai penyiasat itu bangkit lalu memukulnya lagi. "Tapi waktu itu agak sederhana kerana tangan saya tidak diikat. Kalau diikat serta dipukul, rasanya amat sakit sekali," ujarnya.
MELANGSUNGKAN PERKAHWINAN
Pada tahun 1982, setelah keluar dari penjara Israel (entah yang ke berapa kali), ia merasa sudah tiba waktunya untuk mendirikan rumahtangga dengan seorang perempuan. Ketika itu, ia sudah menjadi imam dan khatib di sebuah masjid di Al Khalil, Hebron .
Nama masjidnya ialah ‘Al Mughtaribin’ (orang-orang yang terusir) di kampong Karmah dan pada masa itu pula, penglihatannya sudak tidak normal lagi akibat penyiksaan.
Beliau memberitahu keluarganya akan syarat utama untuk menjadi isterinya ialah perempuan yang berhijab sesuai dengan tuntutan syari’ah dan rajin berpuasa hari Isnin dan Khamis.
“Keluarga saya beritahu saya bahwa agak sukar untuk mendapatkan perempuan seperti itu,” kenangnya.
Namun, pada bulan Februari, tahun 1983, Syaikh Abu Bakar mendapatkan perempuan itu, lalu melamarnya.
Sebelum melamar, beliau berterus terang kepada perempuan itu bahwa penglihatannya telah lemah. Walaupun ketika itu ia masih boleh melihat secara samar-samar tapi sudah tidak boleh menulis dan membaca lagi.
“Kalau ditangkap dan disiksa sekali lagi, mungkin saya akan buta sama sekali. Mahukah kamu menjadi isteri saya?”
Jawapan gadis itu sungguh di luar dugaan di mana beliau berkata kepada Syaikh, “ Semoga Allah membalas kamu dengan pahala yang banyak.”
Lalu, gadis itu mengutip ayat 46 di dalam surah Al Hajj :
“….Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.”
Alhamdulillah, lamarannya diterima. Namun 4 bulan sesudah melamar, Syaikh Abu Bakar ditangkap lagi. Namun ia bertuah kerana dengan izin Allah swt, kedua insan itu tetap boleh melangsungkan perkahwinan pada tanggal 9 September, 1983.
Perkahwinan itu penuh dengan keberkatan dan terbukti, kini, pasangan itu telah dikurniakan 5 anak laki-laki dan 3 anak perempuan.
Syaikh Abu Bakar bersyukur kepada Allah swt kerana ia mampu mengajarkan kepada anak-anaknya aqidah Islam yang benar. Beliau bersama isterinya mengajar anak-anak mereka menghafal Al Quran hingga sekarang 4 anaknya yang pertama sudah hafaz Al Quran.
KEKUATAN RUHIYAH 

Satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan oleh mereka-mereka yang  pernah melakukan perjalanan bersama Syaikh Abu Bakar semasa beliau berkunjung ke Indonesia selama lebih dari sepuluh hari pada bulan Ramadhan tahun 2009 benar-benar memberi pelajaran yang sungguh berharga bahwa ternyata, pekerjaan utama seorang mujahid bukanlah semata-mata terlibat dalam pertempuran- pertempuran menggunakan senjata.

Yang paling banyak menyita waktu seorang 'alim mujahid seperti Syaikh Abu Bakar adalah usaha terus menerus untuk “taqarrub ila-Allah” (menjaga hubungan akrab dengan Allah swt) melalui berbagai cara yang dicontohkan oleh Panglima Mujahidin sepanjang zaman, Nabi Muhammad saw.

"Tidak ada kemenangan sebenar tanpa pertolongan Allah yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana," katanya berbisik memetik ayat Al-Qur'an.

Malam pertama tiba di Jakarta , seorang kawan mengajaknya makan di sebuah restoran. Sesudah makan, Syaikh Abu Bakar mengajak kami solat Isya’ berjamaah di musolla restoran yang agak sederhana.

Perkiraan kami bahwa sesudah solat sunat ba'diyah, kami akan segera pulang kerana  sudah agak larut malam kerana tetamu istimewa ini masih kelihatan agak letih setelah berjam-jam duduk di dalam kapalterbang.

Di luar dugaan, beliau berdiri dan mengisyaratkan kami untuk melaksanakan solat tarawih berjama'ah. Ayat-ayat yang dibacanya cukup panjang dan bacaannya menggetarkan dada. Bacaan Al-Qur'an dengan lagu yang sederhana namun dengan tekanan-tekanan suara seseorang yang begitu akrab dengan Penciptanya.

Selesai solat tarawih dan witir 11 rakaat, barulah saya menyedari, dadanya basah oleh air mata yang menitis-nitis dari janggutnya. Subhanallah!

Keesokan harinya sebelum subuh iaitu pada waktu sahur, kami sekali lagi disentakkan oleh usaha gigihnya untuk “taqarrub ila-Allah”. Selesai menyantap hidangan sahur, saya dan seorang kawan asyik berbual untuk melepaskan rindu.
Tiba-tiba Syaikh Abu Bakar bertanya, “Berapa minit lagi azan subuh?”
Kami jawab sekitar 5 minit lagi. Ia lalu mengingatkan bahwa ini waktu-waktu yang terbaik untuk memohon ampun kepada Allah. Seketika kami berhenti berbual dan ikut beristighfar. 

Perjalanan di dalam kenderaan sentiasa dilantuni oleh senandung ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa. Salah satu doa kesukaannya adalah :
“Bismillahi nasiiru, wa bismillaahi nuqaatil”, Dengan nama Allah kami melakukan perjalanan dan dengan nama Allah kami berperang!” 

Setiap kali naik kapal terbang, beliau melafazkan doa dengan suara yang benar-benar boleh didengar oleh para penumpang di sekitarnya seakan-akan mengajak semua orang untuk ingat bahwa hanya kepada Allah sahaja mereka semestinya menyerahkan nyawa dan keselamatannya. Beberapa orang di sekitarnya menoleh kepadanya kerana ingin melihat wajah orang yang membaca doa-doa musafir dengan suara yang jelas itu.

Setiap kali naik kapal terbang juga, sejak dari bertolak sehingga menjelang untuk mendarat semula, waktunya dihabiskan untuk solat dhuha.

Suatu malam, kenderaan yang kami naiki terjebak dalam kesesakan yang teruk. Hampir dua jam kami di atas kenderaan padahal baru berbuka puasa hanya dengan segelas air buah di rumah salah seorang kawan.

Seperti biasa Syaikh Abu Bakar tidak mengeluh sama sekali samada soal makanan, soal kenderaan ataupun soal tempat tidur  dan selama lebih dari 10 hari perjalanan, hanya dua malam Syaikh Abu Bakar tidur di atas katil manakala selebihnya beliau tidur di atas tilam atau permaidani sederhana sedangkan kami, para penghantarnya sudah cukup gelisah kerana memikirkan perut tetamu istimewa kami pasti sudah berkeroncong.

Satu-satunya yang membuatkan beliau gelisah adalah waktu Isya’ yang sudah masuk.

Ketika akhirnya kami tiba di restoran yang cukup nyaman, kami cepat-cepat memesan makanan dan minuman namun beliau mengajak kami solat dahulu di musolla restoran.
Kami para penghantarnya sudah saling senyum membayangkan kejadian yang akan berlaku berikutnya.
Ternyata benar dugaan kami, sesudah solat Isya’, kami terus diajaknya solat Tarawih dan witir. Beliau tidak mempedulikan perut yang sudah berkeroncong dan hidangan lazat yang sudah terhidang di meja. Sesungguhnya Allahlah yang didahulukannya, MasyaAllah! 

Di sela-sela antara waktu solat, tilawah Al-Qur'an dan doa-doa yang banyak itulah saya sempat menanya kepadanya berkenaan cerita-cerita yang luar biasa tentang kejayaan demi kejayaan pasukan mujahidin bagi merebut Gaza, mengusir Israel dan kaum munafiqin yang bersekongkol dengannya serta tentang keyakinannya bahwa Masjidil Aqsa akan dibebaskan dalam waktu yang tidak lama lagi.

Dalam tausiyahnya di berbagai tempat di Indonesia , Syaikh Abu Bakar Al-Awawidah mengharapkan saudara-saudaranya di Indonesia untuk ikut berjihad membebaskan Masjidil Aqsa yang masih terjajah.

"Kalau tidak boleh dengan dirinya, dengan hartanya. Kalau tidak boleh dengan hartanya, dengan doa-doa selepas selesai solat tahajjud dan solat fardu. Kalau tidak boleh dengan doa-doa, dengan mendidik anak-anak menjadi generasi Al-Quran dan As-Sunnah yang akan ikut berjihad membebaskan negeri-negeri Muslim yang terjajah, terutama Masjidil Aqsa dan Palestin dari penjajahan Zionis Israel."
Sementara menunggu kita semua untuk ikut dalam kafilah itu, kata beliau, kami bangsa Palestin akan terus bersabar dan bertahan di jalan jihad.
Beliau mengakhiri kata-katanya bahwa jika Israel berjaya menangkapnya kali ini, ia akan dipenjarakan selama 500 tahun. Namun segala ancaman tersebut tidak sedikitpun menggugat keazamannya untuk terus bekerja dan berjuang bagi membebaskan Al Aqsa dan bumi suci Palestin dari cengkaman Israel .
Sesungguhnya perjalanan hidup Syaikh Abu bakar Al Awawidah adalah simbol keteguhan dan kesabaran bangsa Palestin dalam menghadapi pencerobohan dan penindasan Zionis Israel .
Ya Allah, kembalikanlah semula penglihatan saudaraku Syaikh Abu Bakar Al Awawidah kerana sesungguhnya beliau cukup sabar menghadapi segala mehnah dan ujian. Limpahkanlah kasih sayangMu kepadanya dan ampunilah dosa-dosanya serta kurniakanlah sebaik-baik balasanMu kepadanya di akhirat nanti iaitu syurgaMu yang tiada tandingan dengan segala nikmat dan perhiasan dunia ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
Labels: Tokoh Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Qudwah Di Jalan Dakwah
    Ustaz Mustafa Masyhur dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Sa'din, dari kota Manya Al-Qamh, Mesir. Beliau terdidik di dalam s...
  • Sifat Bolak Balik Hati
    Manusia dari masa ke semasa akan mengalami perubahan dan pergantian. Bermula dari seorang bayi, kemudian berkembang menjadi seorang anak ...
  • Seni Menciptakan Manusia
    Gerakan dakwah adalah diumpamakan seperti para pendaki gunung. Apabila kita sudah sampai pada suatu ketinggian, jika kita melihat ke punc...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ▼  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ▼  May (15)
      • Mencari Teman Yang Abadi
      • Nasyid Perjuangan
      • Meneliti Kejelasan Beramal
      • Mengurus Perkembangan Dakwah
      • Khilafah Di Atas Jalan Kenabian
      • Wawancara Isteri Bakal Presiden
      • Pelbagai Teknik Dakwah
      • Akhlak Penyatu Umat
      • Pendakwah Bukan Penghukum
      • Transformasi Tarbiyah Kepada Dakwah
      • Mujahid Yang Sabar
      • Dakwah Penyelamat Umat
      • Agenda Perjuangan Aktivis Dakwah
      • Generasi Revolusi Yang Dinantikan
      • Kestabilan Kehidupan Pendakwah
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger