Sesungguhnya, tidak menjadi masalah sekiranya wujud beberapa kelompok dan jamaah yang berjuang untuk menegakkan Islam apabila ia lebih merupakan ‘ta’addudu tanawwu’ (perbezaan yang bersifat variatif) dan bukannya ‘ta’addudu taarudh’ (perbezaan yang bersifat kontradiktif).
Selain perbezaan yang bersifat variatif, semua pihak perlu ada hubungan kerjasama dan koordinasi sehingga saling menyempurnakan dan menguatkan dalam menghadapi masalah-masalah asas dan keperihatinan bersama yang seharusnya mencerminkan satu barisan, laksana bangunan yang kukuh.
Kerjasama dan pertautan antara gerakan Islam akan mudah diwujudkan jika masing-masing gerakan samada dari kalangan kepimpinan mahupun pengikutnya memiliki asas akhlak yang sama iaitu berdiri di atas landasan akhlak yang diajarkan oleh Allah dan Rasulullah saw.
Namun, hati ini akan benar-benar tersentuh tatkala ada pendakwah dan aktivis Islam yang tidak menghargai masalah ini dan menyebarkan benih-benih perpecahan di mana sahaja ia singgah.
Mereka sentiasa :
- Menyalakan api permusuhan dan perpecahan.
- Menumpukan kepada pusat-pusat perselisihan dan bukan kepada titik-titik pertemuan.
- Mengkagumi pendapatnya dan organisasinya sendiri sambil menuduh organisasi yang lain.
Sebenarnya perbezaan pendapat itu sendiri tidaklah bahaya, khususnya dalam soal ‘furu’’ (cabang) dan sebahagian ‘usul’ (pokok) yang bukan asas.
Namun, yang berbahaya adalah perpecahan dan permusuhan yang telah diingatkan oleh Allah dan Rasulullah saw kepada kita.
Oleh sebab itu, kebangkitan Islam dan gerakan Islam dengan semua kecenderungan dan madrasahnya sangat memerlukan kesedaran yang mendalam tentang apa yang dinamakan sebagai ‘Fiqh Ikhtilaf’.
Ia merupakan salah satu cabang daripada lima ilmu fiqh yang mesti ditekankan dan diperhatikan kerana kita sangat memerlukannya.
Paling tidak ada enam (6) asas akhlak yang menjadi syarat bagi kewujudan pertautan antara gerakan Islam.
Dr. Yusuf Al Qardhawi menjelaskan perkara ini dalam kitabnya “Shafwatul Islamiyyah Bainal Ikhtilafil Masyru’ wat Tafarruqil Mazmum” atau tajuk dalam edisi bahasa Melayu “Fiqh Ikhtilaf: Perbezaan Pendapat Antara Gerakan Islam Yang Dibenarkan dan Yang Dilarang” seperti berikut :
PERTAMA : IKHLAS KERANA ALLAH DAN TERBEBAS DARI HAWA NAFSU
Menurut beliau, seringkali perselisihan antara kelompok atau peribadi nampak secara lahiriah sebagai perselisihan ilmiah atau mengenai masalah-masalah pemikiran semata-mata.
Namun, sesungguhnya perselisihan tersebut timbul kerana :
- Faktor kebanggan terhadap sendiri (sifat ego).
- Memperturutkan hawa nafsu yang dapat menyesatkan seseorang dari jalan Allah.
Seringkali perselisihan itu berlaku kerana faktor-faktor peribadi dan kemasyhuran, sekalipun dibalut dengan kepentingan Islam atau jamaah dan sebagainya yang tidak diketahui bahkan oleh manusia itu sendiri.
Banyak timbul perselisihan hanya kerana si A ingin menjadi pemimpin atau kerana si B mengharapkan untuk menjadi ketua, kemudian para pengikut masing-masing mengira ianya sebagai perselisihan mengenai prinsip dan kefahaman. Padahal ia lebih merupakan perselisihan bagi merebut kepimpinan atau jawatan.
Tarbiyah Islamiah sentiasa menempa agar setiap mukmin menjadikan tujuannya hanyalah :
- Mencari ridha Allah, bukan ridha makhluk.
- Kebahagiaan akhirat, bukan kemaslahatan duniawi.
- Mengutamakan apa yang ada di sisi Allah, bukan apa yang ada di sisi manusia.
“Apa yang di sisimu akan lenyap, sedangkan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Sesungguhnya kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (QS An-Nahl : 96)
KEDUA : MENINGGALKAN SIKAP FANATIK TERHADAP INDIVIDU, MAZHAB DAN GOLONGAN
Seseorang boleh berlaku ikhlas sepenuhnya kepada Allah dan berpihak hanya kepada kebenaran jika ia dapat membebaskan dirinya dari sikap fanatik terhadap pendapat orang, mazhab dan golongan.
Dengan kata lain, ia tidak mengikat dirinya kecuali dengan dalil.
Jika dilihatnya ada dalil yang menguatkan maka ia segera mengikutinya, sekalipun bertentangan dengan :
- Mazhab yang dianutnya.
- Perkataan seorang Imam yang dikaguminya.
- Golongan yang diikutinya.
Ini adalah kerana, kebenaran lebih berhak untuk diikuti daripada pendapat si A atau si B.
Allah tidak memerintahkan kita beribadah mengikuti perkataan seorang ulama’ atau Imam tertentu, tetapi Allah memerintahkan kita agar beribadah sesuai dengan apa yang terdapat di dalam kitabNya dan sunnah NabiNya saw.
Seseorang perlu melepaskan dirinya dari sikap fanatik terhadap pendapatnya sendiri, mazhab, kelompok atau parti.
Al-Qur’an menceritakan beberapa contoh dari orang-orang yang bersikap fanatik ini sebagai kecaman terhadap mereka dan peringatan kepada kaum muslimin agar tidak mengikuti jejak langkah mereka.
Firman Allah swt tentang Bani Israil :
“Apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kepada Al Quran yang diturunkan Allah," mereka berkata: "Kami hanya beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami". Lalu mereka kafir kepada Al Quran yang diturunkan sesudahnya, sedang Al Quran itu adalah (Kitab) yang hak; yang membenarkan apa yang ada pada mereka. " (QS Al-Baqarah : 91)
Firman Allah swt tentang orang-orang Musyrik :
“Apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami". "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?". (QS Al-Baqarah : 170)
Di antara akhlak yang mampu meninggalkan sikap fanatik terhadap individu, mazhab dan golongan ialah sikap melihat kepada perkataan bukan kepada orang yang mengatakannya.
Hendaklah ia memiliki dalam dirinya :
- Keberanian untuk mengkritik diri sendiri.
- Mengakui kesalahannya.
- Menerima dengan lapang dada kritikan orang lain.
- Tidak segan meminta nasihat dan penilaian dari orang lain.
- Memanfaatkan ilmu dan hikmah yang dimiliki oleh orang lain.
- Menghargai orang yang tidak sependapat dengannya jika memang pendapat itu baik.
- Membela orang yang dituduh dengan tuduhan yang batil atau diperlecehkan dengan tidak benar.
KETIGA : BERPRASANGKA BAIK KEPADA ORANG LAIN
Di antara akhlak asas yang penting dalam pergaulan sesama aktivis dakwah ialah :
- Berprasangka baik kepada orang lain.
- Membuang kacamata hitam ketika melihat amal-amal dan sikap-sikap mereka.
Akhlak dan pandangan seorang mukmin tidak boleh diasaskan kepada prinsip memuji diri sendiri dan menyalahkan orang lain.
Allah swt melarang kita menganggap diri kita suci.
FirmanNya :
“Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertaqwa. (QS An-Najm : 32)
Seorang mukmin seperti yang dikatakan oleh para salaf :
- Lebih keras mengadili diri sendiri berbanding mengadili penguasa yang zalim atau teman yang bakhil.
- Sentiasa menuduh dirinya sendiri.
- Tidak memberikan toleransi kepada dirinya dan tidak mencari-cari dalih atas kesalahan-kesalahannya.
- Sentiasa dihantui rasa kurang melaksanakan perintah-perintah Allah dan menunaikan hak-hak hamba Allah.
- Sentiasa mencarikan alasan bagi kesalahan-kesalahan makhluk Allah, terutama para saudaranya dan orang-orang yang berjuang bersama-sama untuk membela agama Allah.
- Sentiasa mengatakan apa yang diucapkan oleh sebahagian salaf yang soleh :
“Aku mencarikan ‘uzur (alasan) bagi kesalahan saudaraku sampai tujuh puluh alasan, kemudian aku katakan lagi : barangkali dia mempunyai alasan lain yang tidak aku ketahui”.
Di antara cabang iman yang terbesar ialah berprasangka baik kepada Allah dan manusia.
KEEMPAT : TIDAK MENYAKITI DAN MENCELA
Di antara faktor penyambung hubungan ialah sikap tidak menyakiti dan mencela orang yang berbeza pendapat serta meminta maaf kepadanya sekalipun dia salah dalam anggapan kita.
Kadang-kadang boleh jadi dia yang benar dan kita yang salah, kerana dalam masalah ijtihad tidak ada kepastian tentang kebenaran salah satu dari kedua pendapat yang diperselisihkan.
Dalam perkara ini, yang boleh dilakukan adalah ‘tarjih’ sedangkan ‘tarjih’ itu sendiri bukanlah bererti sebuah kepastian.
Orang yang keliru dalam masalah-masalah ‘ijtihadiyah’ juga tidak boleh dicela sama sekali.
Kesalahannya perlu dimaafkan bahkan mungkin sahaja dia memperolehi pahala dari Allah sebagaimana yang ditegaskan dalam hadits Nabi saw.
Bagaimana mungkin kita mencela dan menyakiti orang yang melakukan ijtihad yang telah diberi pahala oleh Allah, sekalipun hanya satu pahala?
Demikianlah manhaj para salaf dalam berbeza pendapat yang menyangkut masalah ‘ijtihadiyah’ di mana mereka tidak saling mencela atau menyakiti, bahkan saling memuji, sekalipun tetap berbeza pendapat.
KELIMA : MENJAUHI BERTIKAM LIDAH (JIDAL) DAN PERMUSUHAN SENGIT
Di lapangan dakwah Islam, kita saksikan adanya orang-orang yang tidak memiliki perhatian kecuali sentiasa berbantah dalam segala perkara.
Mereka tidak mempunyai kesediaan untuk menerima pendapat orang lain sedikitpun. Mereka hanya menginginkan agar orang lain mengikuti pendapatnya. Mereka merasa sentiasa benar sedangkan orang lain sentiasa salah.
Di antara mereka :
- Ada yang mengecam fanatik kepada mazhab tetapi mereka sendiri membuat mazhab baru dan menyerang orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka dan tidak mahu mengikutinya.
- Ada yang mengharamkan ‘taqlid’ tetapi mereka sendiri menuntut orang lain agar mengikutinya.
- Ada yang melarang ‘taqlid’ kepada ulama’ terdahulu, sementara mereka sendiri bertaqlid kepada ulama’ sekarang.
- Ada yang melakukan konfrontasi demi masalah-masalah ‘furu’iyah’ (cabang), padahal para salaf sendiri pernah memperselisihkannya, tetapi tidak sampai menimbulkan kekeruhan hubungan sesama saudaranya.
Rasulullah saw mengecam keras sikap berbantah dan menganjurkan umatnya agar menjauhinya.
Dari Abu Umamah ra bahwa Nabi saw bersabda :
“Aku menjamin istana di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar…” (HR Abu Dawud)
“Tidaklah sesat suatu kaum setelah mendapatkan petunjuk, kecuali kerana mereka melakukan perdebatan.” (HR Tirmizi)
Pertikaman lidah dan perdebatan yang paling dibenci ialah perdebatan di sekitar Al-Qur’an yang sesungguhnya diturunkan oleh Allah untuk memberi kata putus terhadap apa yang diperselisihkan oleh manusia.
Jika Al-Qur’an dijadikan sumber perselisihan, maka ukuran dan pedoman apa lagi yang akan dijadikan rujukan oleh manusia?
Ibnu Amir berkata :
“Aku dan saudaraku pernah duduk dalam sebuah majlis yang lebih aku sukai daripada unta merah. Ketika itu aku dan saudaraku datang. Namun ada beberapa orang sahabat Rasulullah saw duduk di salah satu pintunya. Kami tidak ingin memisahkan tempat duduk mereka sehingga kami duduk terpisah di sudut. Tiba-tiba mereka menyebutkan satu ayat Al-Qur’an dan memperdebatkannya sehingga suara mereka semakin keras. Mendengar ini Rasulullah saw terus keluar dalam keadaan marah dan merah mukanya. Seraya menaburkan pasir kepada mereka, Rasulullah saw bersabda :
“Dengan inilah umat-umat sebelum kamu binasa. Mereka menentang para Nabi mereka dan mempertentangkan sebahagian isi Al-Kitab dengan sebahagian yang lain. Sesungguhnya Al-Qur’an tidak diturunkan sebahagiannya mendustakan sebahagian yang lain. Tetapi justeru sebahagiannya membenarkan sebahagian yang lain. Apa yang telah kamu ketahui darinya hendaklah kamu amalkan dan apa yang belum kamu ketahui hendaklah kamu kembalikan (tanyakan) kepada orang yang mengetahuinya.” (Syakir berkata : sanadnya sahih).
KEENAM : DIALOG DENGAN CARA YANG LEBIH BAIK
Allah swt berfirman :
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS An-Nahl : 125)
Dalam ayat ini terdapat perbezaan ungkapan antara apa yang dituntut dalam melakukan nasihat (mau’izhah) dan apa yang dituntut dalam melakukan bantahan (jidal).
Dalam melakukan ‘mau’izhah’ cukup dengan cara yang baik (hasanah), tetapi dalam melakukan ‘jidal’ tidak dibenarkan kecuali dengan cara yang lebih baik (ahsan).
Ada dua cara dalam melakukan ‘jidal’.
- Cara yang baik.
- Cara yang lebih baik.
Kita diperintahkan untuk melaksanakan yang lebih baik.
‘Mau’izhah’ biasanya ditujukan kepada orang-orang yang menerima dan sudah ada komitmen dengan prinsip dan fikrah.
Mereka tidak memerlukan kecuali nasihat yang :
- Mengingatkan.
- Melembutkan hati.
- Menjernihkan kekeruhan.
- Memperkuatkan tekad mereka.
Sedangkan ‘jidal’ biasanya ditujukan kepada orang-orang yang :
- Menentang pendapat seseorang secara membuta tuli.
- Seringkali membuat orang yang berselisih pendapat dengan mereka tidak sabar sehingga mengeluarkan ungkapan yang kasar dan sikap keras kepala.
Maka dengan bijaksana, Al-Qur’an memerintahkan kita agar mengambil ‘cara yang lebih baik’ dalam berdialog dengan mereka, agar membuahkan hasil yang baik.
Di antara caranya ialah berdialog dengan memilih ungkapan-ungkapan yang lembut dan sejuk.
Al-Qur’an dalam menghadapi orang-orang Yahudi dan Nasrani menggunakan ungkapan yang menyiratkan makna pendekatan antara mereka dan kaum muslimin seperti ungkapan :
‘Ahlul Kitab’ atau ‘Orang yang diberi Al-Kitab’.
Bahkan kepada orang-orang musyrik penyembah berhala, Al-Qur’an TIDAK menggunakan ungkapan, “Wahai orang-orang musyrik”, tetapi memanggil mereka dengan, “Wahai manusia”.
Di dalam Al-Qur’an, tidak terdapat seruan kepada orang-orang musyrik dengan menggunakan ungkapan kemusyrikan atau kekafiran kecuali di dalam surah ‘Al-Kafirun’.
Itu pun kerana tujuan khusus iaitu bagi tujuan memutuskan harapan kaum musyrikin dalam merayu kaum muslimin agar bersedia mengalah sedikit dalam masalah aqidah mereka, aqidah tauhid.
Oleh sebab itu ayat tersebut mengulang-ulang masalah tauhid dengan beberapa ungkapan sebagai peneguhan.
Walaubagaimanapun, surah tersebut diakhiri dengan sebuah ayat yang mencerminkan puncak toleransi iaitu :
“Bagimu agamamu dan bagiku agamaku.”
Di antara cara dialog yang baik ialah menekankan pada ‘titik pertemuan’ dan ‘faktor kesepakatan’ antara kita dan lawan dialog kita.
Cara ini adalah cara Al-Qur’an yang perlu kita kenali dan terapkan.
Perdebatan-perdebatan para Rasul dengan kaum mereka, sebagaimana yang diceritakan di dalam Al-Qur’an, memperjelaskan sikap ini iaitu :
- Sikap lembut.
- Sopan.
- Menggunakan ungkapan yang sejuk dalam dakwah dan dialog.
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami cahaya yang akan menerangi langkah kami di dalam kegelapan, ketajaman pandangan yang dapat membezakan di antara perkara-perkara yang ‘mutasyabihat’ serta keseimbangan yang akan menerangi kami di persimpangan jalan. Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami kerana sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS