Suatu suasana yang cukup kontra
antara tangisan dan senyuman sehingga sukar dipadukan dalam satu waktu.
Sungguh sukar untuk kita mengharapkan
sikap optimis yang tumbuh di hadapan musibah serta memancarkan semangat di tengah-tengah
tragedi kerana dalam masa 10 tahun yang terakhir ini, badan umat Islam telah dikoyak
oleh badai bencana yang merentang dari Timur Tengah hingga ke Timor Timur.
Cuba kita perhatikan rentetan
sejarah berikut :
- Pada Tahun 2001, Afghanistan
dijajah.
- Pada tahun 2002, Timor Timor
secara rasminya terpisah dari Indonesia.
- Pada tahun 2003, giliran Irak pula
dijajah.
- Pada tahun 2004, ombak Tsunami
menerpa Aceh dan sejak itu gerakan misionari kristian giat menjalankan
usaha-usaha mereka di tengah-tengah malapetaka yang menimpa.
- Pada tahun 2005, Denmark
kembali panas dengan karikatur penghinaan terhadap manusia yang paling
berjasa untuk kemanusiaan, iaitu Rasulullah saw.
- Pada tahun 2006, meletusnya peperangan
di Lebanon melawan Yahudi.
- Pada tahun 2007, Palestin terpecah
kepada dua iaitu pemerintah Hamas di Gaza dan Fatah di tebing barat.
- Pada tahun 2008, penduduk Gaza
dibantai di mana tiga ribu yang terkorban dan majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak.
- Pada tahun 2009, minoriti
muslim di Turkistan dianiaya dan dihancurkan oleh kerajaan Cina.
- Pada tahun 2010, Sudan Selatan
terpecah dari induknya iaitu Sudan.
Begitu juga di negara-negara dunia
Islam, khususnya Timur Tengah yang sesetengahnya masih di dalam perhambaan
bentuk moden.
Salah satu situasi yang agak ekstrim
adalah apa yang berlaku di Syria.
Mengikut apa yang ditulis oleh
seorang penganalisis politik dunia, Fahmi Huwaidi yang berasal dari Mesir, beliau
menggambarkan sebuah potret kehidupan yang benar-benar meremukkan hati siapa
yang mendengarnya
- Hanya
di Syria, Bandar-bandar sesak dengan kereta-kereta kebal perang untuk
diarahkan kepada rakyatnya.
- Hanya
di Syria, bekalan elektrik diputuskan di musim panas untuk dijual ke
negara lain.
- Hanya
di Syria, anak-anak masuk penjara sebelum masuk sekolah.
- Hanya
di Syria, jiran tetangga kita pergi bekerja di pagi hari dan kembali
setelah sebelas tahun.
- Hanya
di Syria, rakyat tidak tenang membuka mulutnya kecuali jika pergi berjumpa
doktor gigi.
- Hanya
di Syria, menghina Presiden dianggap kafir dan menghina agama sekadar dikatakan
pendapat peribadi.
Para pemimpin diktator itu mempunyai
guru yang sama iaitu Fir’aun.
“…yang mempunyai bagunan-bangunan
yang besar, yang berbuat sewenang-wenang di dalam negeri, lalu mereka banyak
berbuat kerusakan di dalam negeri itu…” (QS Al Fajr 10 – 12)
Maka agak sukar untuk umat menegakkan
kembali kepalanya untuk memandang jauh ke masa depannya.
Inilah saat-saat yang paling
genting, bukan pada bencananya, tapi wabak pesimistik yang mulai meresap ke setiap
sendi dan menuju ke jantung umat hingga tersungkur dalam pusaran keputusasaan.
Putus asa bahwa perubahan tidak
mungkin berlaku dan kemenangan umat menjadi suatu yang ‘utopia’.
Inilah yang menjadi krisis umat
bukan sekadar bencana yang menimpanya. Padahal kita faham bahwa “yang
berputus asa dari rahmat Allah hanyalah orang-orang kafir”. (QS Yusuf : 87)
Sepanjang sejarah Islam, umat pernah
menghadapi bencana-bencana yang jauh lebih besar dari kumpulan ujian-ujian
ketika ini.
Ia dimulai dari :
- Gerakan murtad di zaman sahabat
ketika Islam baru mulai mengembangkan kewujudannya.
- Fitnah di akhir zaman Khulafaur
Rasyidin.
- Terjajahnya Al-Quds oleh tentera
Salib.
- Hancurnya peradaban Islam
setelah mencapai kemuncaknya di Baghdad oleh kaum Tatar.
- Terpecahnya negeri-negeri
kawasan Daulah Ustmaniyah hingga mencapai keruntuhannya.
Namun, sepanjang waktu itu, umat
Islam tidak pernah mati, tidak seperti umat yang lain yang peranannya di bumi
ini berakhir dan tidak pernah lahir lagi generasi penerus selepasnya seperti kaum
Tsamud, kaum ‘Ad, tamadun Sumeria dan tamadun Babilon.
Ini adalah kerana janji Allah bahwa umat
Islam tidak akan pernah mati.
“Kamu adalah umat terbaik yang
dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran,
dan beriman kepada Allah”. (QS Ali
‘Imran : 110)
Pesanan ini adalah umur umat yang mesti
disempurnakannya hingga akhir zaman.
Namun ada sesuatu yang mungkin
berakhir iaitu generasi yang tidak produktif.
Generasi sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi’in
telah memainkan peranannya dengan baik.
Bagitu juga generasi Umar bin Abdul
Aziz, Harun ar-Rasyid, Salahuddîn Al Ayyubi, Muzhaffar Quthz, Abdurrahman bin
Mu’awiyyah, Yusuf bin Tasyfîn, Muhammad al-Fatih dan Sultan Sulaiman al-Qanuni.
Di bahu generasi merekalah umat berjaya
dan mampu menegakkan kepala. Ini adalah kerana mereka begitu produktif dalam menyelesaikan
misi besar mereka dengan baik.
Jika tidak di zaman ini, umat akan
tetap berjaya walau bila-bilapun atau berlaku di zaman generasi lain.
Inilah rahsia dari firman Allah swt
:
“Itulah hari-hari yang Kami pergilirkan di antara
manusia …” (QS Ali ‘Imran :
110)
Fenomena ini membuka ruang sehingga
sebuah generasi mendapat giliran memikul badan umat ketika ia mampu memahami keperluan
zamannya dan menjelaskan misi-misi yang diperlukannya. Jika tidak, ia akan berakhir
dan digantikan dengan generasi yang lain di tempat lain dan di waktu yang lain.
Misi itulah yang sedang menanti
generasi kini.
Setelah 10 tahun umat hampir putus
asa, Allah swt memberikan ‘busyra’ (berita gembira) kepada
umat di akhir tahun 2010 hingga ianya membiak menjadi Musim Semi Revolusi Arab.
Titik perubahan ini bukan dimulai
dari negara yang mengamalkan Islam, tapi ianya dari negara yang paling jauh
praktik Islamnya iaitu Tunisia. Bahkan ianya lebih liberal dan sekular dari
Eropah.
Di Perancis :
- Kebebasan masih tersisa bagi
muslimah yang boleh berjilbab di universiti-universiti.
- Umat Islam pendatang boleh
mendapatkan hak-hak dan sokongan yang sama sepertimana warga asal Perancis.
- Umat Islam berlumba-lumba mendirikan masjd untuk melaksanakan
pelbagai aktiviti di dalamnya.
Namun, semua ini tidak berlaku di
Tunisia.
Bahkan letusan revolusi itu dimulai
dari tindakan yang secara mutlaknya tercela dalam Islam iaitu bunuh diri yang tidak
mempunyai asas dalam keadaan apapun.
Tapi inilah yang berlaku sehingga
dalam waktu dua bulan sahaja, dunia Islam Arab terbakar panas revolusinya
merentasi Mesir, Libya, Bahrain, Yaman dan Syria.
SEKARANG ATAU TUNGGU 60 TAHUN LAGI
Revolusi ini bukan karya manusia,
bahkan siapapun yang melihat dan merasakan hari-hari revolusi Mesir sejak 25
Januari di Kaherah akan sangat memahami makna ini.
Di Medan Tahrir, tiga juta manusia
berkumpul tanpa pemimpin, tanpa kordinator, tanpa rapat raksasa yang
dimatangkan selama berbulan-bulan.
Padahal tahun itu, aktivis Islam dalam
keadaan tidak mempunyai semangat kerana ketika pilihanraya parlimen November
2010 itu diumumkan, aktivis Islam luntur semangat mereka dengan hasil pilihanraya tersebut.
Kekerasan dan penipuan pilihanraya
itu dilakukan di siang hari yang terang dan menyedut tenaga optimis umat sehingga
jelas, mengapa suara Parti Nasional Demokrat pimpinan Hosni Mubarak mencapai
81%.
Mungkin kita tidak sedar bahwa Niccolo
Machiavelli pernah menulis sebuah kaidah dalam ‘Il Prince’ bahwa
“Pemimpin....setiap kali bertambah
kekerasannya, semakin lemah pula sistem pemerintahannya”.
Ini sepertimana yang berlaku di
Negara barat di mana Norway pernah melawan penjajahan NAZI atau Belanda, Jerman
dan Chekoslovakia melawan fahaman komunis di negara masing-masing yang menyebabkan
runtuhnya sistem komunis di Eropah.
Inilah juga fenomena sejarah yang
menjadi sunatullah di dunia Arab. Syria misalnya, masyarakat antarabangsa bersedia
untuk menghancurkan presiden yang zalim itu jika ia tetap tidak mahu mendengar suara
Liga Arab yang sebenarnya hanya tinggal menunggu waktu dan kesempatan sahaja.
Itulah juga yang menjadi sebab
kenapa dengan begitu terburu-buru, raja Moroko, Mohamed VI membuka ruang
demokrasi secepat kilat bagi rakyatnya dengan pemilihan parlimen.
Di Mesir, hanya dalam 18 hari,
revolusi itu gilang-gemilang dan sekarang memasuki pemilihan Presiden pertama secara
bebas dalam sejarah mereka sejak zaman Fir’aun.
Kalau kita renungkan, bukan orang
Mesir yang merancang revolusi itu dan bukan pula umat Islam, tapi Allah sendiri
yang menetapkan sunatullah bagi para pemimpin zalim seperti ayat berikut :
“kerana itu Tuhanmu menimpakan
cemeti azab kepada mereka”. (QS Al-Fajr
:13)
Allahlah juga yang menghancurkannya
:
“bukanlah kamu yang melempar saat
melempar, tapi Allah yang melempar…” (QS
Al-Anfal : 17)
Revolusi ini adalah kesempatan dari
Allah swt. Kesempatan ini pernah diberikan kepada generasi 50-an selepas perang
dunia kedua.
Ketika itu, negara-negara Islam
merdeka dan mulai mentadbir negara masing-masing tapi generasi tersebut tidak
berhasil menjadikan Islam sebagai konsep kehidupan mereka bahkan sistem-sistem
yang ketika ini sedang menuju kehancuranlah yang digunapakai oleh mereka
seperti komunis dan kapitalis.
Bagi negara seperti Turki, Islam
bukan hanya tidak dijadikan pilihan tapi dilarang secara undang-undang dan sistem
perundangan yang diimpot dari barat itu menjadi lebih parah dengan para
pemimpin diktator sehingga sempurnalah seluruh suasana bagi umat untuk mengeram
perjuangan mereka di dalam gua hangatnya.
Ketika generasi 50-an gagal, umat perlu
menunggu lebih lama. Sepanjang masa itu tidak ada perubahan yang bererti bahkan
yang ada justeru berlakunya peperangan sesama negara Islam.
Generasi 60-an hingga generasi 90-an
tidak mampu masuk ke gelanggang pertarungan atas nama umat. Dunia Islam tidak banyak
berubah dan umat masih menunggu generasi baru yang akan menjemputnya.
Sekarang, kesempatan itu sedang
Allah letakkan di bahu generasi revolusi (Thaurah). Mereka bukanlah rakyat
Tunisia, Libya, Mesir dan Syria. Bahkan mereka bukan hanya generasi Arab sahaja,
tapi mereka adalah generasi muslim zaman ini yang memberi sumbangan kepada
revolusi, walauapapun warganegaranya.
Dengan syarat, mereka masuk ke dalam
barisan kerja untuk membawa umat ke gerbang sejarah baru. Oleh kerana itu
generasi revolusi (Thaurah) perlu memahami realiti zamannya, keperluan-keperluannya
dan langkah paling realistik untuk membawa umat kembali memimpin.
Jika generasi revolusi tidak
memahami peranannya maka umat kembali menunggu generasi lain setelah sepuluh
tahun atau dua puluh atau enam puluh tahun lagi.
MISI GENERASI REVOLUSI (THAURAH)
Secara praktiknya, ada tiga kekuatan
untuk bekalan bagi generasi revolusi (Thaurah) membawa umat ke gerbang
sejarah baru.
PERTAMA : KEMANTAPAN IMAN
Revolusi Arab ini hanyalah meruntuhkan
gerbang yang menghalang umat untuk masuk. Tapi di dalamnya ada timbunan sampah
kehidupan yang perlu diurus. Kerja-kerja pasca revolusi jauh lebih besar dan
panjang dibandingkan dengan demonstrasi dan teriakan di lapangan.
Di sinilah ujiannya ketika panas
perlawanan berkecamuk di mana Allah sentiasa terasa dekat di hati dan barisan
begitu bersatu. Solat tetap berjalan di tengah desingan peluru dan kepungan gas
pemedih mata.
Allahlah yang telah menjaga kesatuan
barisan para penunjuk perasaan dan ketabahan mereka. Ketika ucapan beremosi
Mubarak disiarkan, ibu-ibu Mesir di rumah-rumah mereka terpengaruh dan menyeru
anak-anak mereka untuk berhenti berdemonstrasi.
Barisan terpecah dan suara tidak
lagi bulat dan revolusi hampir gagal, tapi tidak ada yang pernah membayangkan
apalagi merencanakan bahwa gara-gara masuknya unta ke barisan mereka sehingga
menambah buruk lagi keadaan rusuhan dan memakan korban yang banyak justeru dari
sanalah barisan kembali kental hingga revolusi menjadi teguh kembali sehingga hari
turunnya Mubarak.
Siapa yang merancang semua ini?
Kelompok mana yang membuat koordinasi
kejadian ini?
Tidak ada, kecuali Allah swt sehingga
di awal, pertengahan hingga ke penghujung revolusi ini nanti, Allah swt tetap
menjadi sumber inspirasi dan slogan utama kebebasan rakyat kerana dariNyalah
kemenangan-kemenangan ini akan lahir dan Allahlah sebenarnya Penguasa utama di
sebalik revolusi ini.
KEDUA : KEMANTAPAN BARISAN
Kesamaan tuntutan pada revolusi Arab
umumnya sekadar pada turunnya presiden yang bersikap diktator. Tapi ketika
proses masuk ke tahap pengurusan pemerintahan, terlihatlah taring sebenar beberapa
kelompok. Dalam sebuah seminar terbuka, menurut akhbar harian ‘Akhbar al-Yaum’, barisan Sosialis
Revolusi Mesir lantang menyatakan :
“wahai orang-orang Salafi dan Ikhwan Muslimun,
ruang waktu kamu adalah kematian dan kembali ke penjara-penjara”.
Permusuhan terhadap Islam dan semua
kelompok berhaluan Islam mulai bersahutan. Tapi itu suatu yang wajar kerana untuk
prinsip itulah mereka hidup.
Yang merisaukan kita adalah jika
barisan kelompok Islampun terpecah. Demonstrasi mereka tidak lagi menjadi satu
suara dan berbagai kepentingan masuk dan agen-agen provokasi mula menyebarkan
jarum-jarum mereka.
Jika diteliti dengan dalam semua
fitnah dan permusuhan pasca revolusi, ianya bukan kerana fitnah agama atau
mazhab gerakan.
Sejarah telah memberikan kaidahnya.
Fitnah itu bukan kerana perbezaan pendapat kelompok Ali, atau Muawwiyah, tapi
sebuah kumpulan membakar semangat anak-anak muda kumpulan Ali dan Muawwiyah
secara bersamaan.
Ini yang berlaku ketika itu. Fitnah
persatuan umat Islam pasca revolusi adalah fitnah rekaan, fitnah hasil
pengkajian kumpulan strategik serta fitnah sebuah kumpula kerja yang melaksanakan
berbagai peranan.
Ada kumpulan yang bertugas membakar
semangat keislaman menentang calon-calon Kristian atau membakar gereja atau
menghasut orang Kristian bahwa sistem Islam membahayakan bukan Islam atau
mendukung penunjuk perasaan melawan tentera; atau mendukung tentera menembak penunjuk
perasaan.
Mereka semua satu kumpulan iaitu
kumpulan dari sistem diktator yang masih tersisa. Kumpulan yang tidak ingin
semua misi revolusi tercapai. Kumpulan yang ingin revolusi berhenti untuk
kemudiannya pemerintahan diganti pemimpin baru dengan sistem yang sama iaitu
sistem diktator.
Oleh yang demikian, generasi
revolusi merapikan kertas kerja mereka, memperkukuhkan komunikasi antara para
pemimpin gerakan Islam untuk projek bersama pasca revolusi kerana terlalu
banyak tema besar yang sama yang perlu diperjuangkan dibandingkan dengan perbezaan.
Walaupun ianya tidak mudah, tapi berkemungkinan
boleh berlaku. Setidak-tidaknya mereka memahami bahwa ada perancangan jahat
untuk mengoyak persatuan, maka mereka perlu mempertajamkan lagi naluri generasi
revolusi untuk tidak mudah terpancing dengan isu-isu popular baru di luar
rancangan-rancangan perubahan yang sudah dipegang.
KETIGA : KEUTAMAAN PERUBAHAN
Titik ini adalah garis pemisah yang
akan menguji apakah generasi revolusi (Thaurah) ini layak untuk menghantarkan
umat ke gerbang sejarah baru atau hanya mengulangi kesilapan yang sama dengan
generasi 50-an.
Kesamaan revolusi di beberapa negara
Arab adalah ke arah penghapusan sistem diktator, namun ia bukanlah tujuan akhir
kerana setelah itu risiko-risiko revolusi seperti krisis ekonomi perlu ditangani
dengan bijak, lebih-lebih lagi risalah Islam perlu menjadi penekanan utama
selain kesejahteraan.
Namun, seperti apakah bentuk
nyatanya?
Apakah generasi revolusi (Thaurah)
ini menginginkan kehidupan bernegara seperti negara Madinah di zaman Rasulullah
atau malah seperti Saudi atau tidak mempunyai cadangan sistem sama sekali?
Sesuatu yang perlu disedari bahwa
kepimpinan itu diperlukan hanya untuk melindungi dan menjamin umat melaksanakan
peranannya iaitu “Rahmatan lil Alamin”
untuk “Hidayatul Basyar”
(membimbing manusia).
Sehingga ke saat ini, jika sebuah
sistem mampu menjamin peranan ini, maka ia pilihan keutamaan pasca revolusi.
Memang ada sistem ideal untuk merealisasikan peranan itu, tapi ia bukanlah
keutamaan saat ini.
Kebebasan adalah modal utama umat
untuk kembali membangun kekuatannya sepertimana perjanjian Hudaibiyah.
Kebebasan dakwah yang menjadi keutamaan,
bukan pengurusan masyarakat dan negara yang serba sempurna.
Di depan sisa-sisa sistem diktator
yang masih berebut kesempatan bagi menuju kebebasan yang agak sempit dan pendek
ini sehingga generasi revolusi (Thaurah) perlu sedar akan situasi
ini.
Sekali kesempatan ini terlepas dari
umat, maka perubahan yang ada sekadar perubahan dari diktator lama menuju ke
diktator baru dan umat perlu menunggu saat revolusi 60 tahun lagi.
NASIONALISMA
PALSU
Marilah kita renung kata-kata Imam Hasan Al Banna di
dalam ‘Risalah Dakwatuna’tentang perjuangan yang hanya
bersandarkan kepada semangat nasionalisma kepartian semata-mata :
“Jika yang
mereka maksudkan dengan nasionalisma itu adalah memecah belah umat menjadi kelompok-kelompok yang :
- Saling bermusuhan.
- Saling mendengki.
- Saling mencela.
- Saling melempar tuduhan.
- Saling menipu.
- Saling memperdaya antara satu sama lainnya.
Begitu
juga jika ia fanatik dan mendukung sistem buatan manusia yang :
- Cenderung kepada hawa nafsu.
- Dibentuk pada misi dan tujuan tertentu.
- Ditafsirkan sesuai dengan kepentingan peribadi
semata-mata.
sehingga musuh
:
- Mengambil banyak keuntungan untuk
kemaslahatannya sendiri.
- Bebas mengobarkan api permusuhan.
- Memecah belahkan mereka dalam kebenaran.
- Menyatukan mereka pada kebatilan.
- Mengharamkan ke atas mereka untuk menjalin hubungan
antara satu sama lain serta kerjasama sebahagian mereka dengan yang
lainnya.
di mana hubungan
hanya boleh terjalin dan berhimpun atas dasar nasionalisma ini hingga umat
hanya memperhatikan organisasi atau negerinya dan tidak berkumpul kecuali
orang-orang yang sekelompok dengannya.
Nasionalisma seperti itu adalah
nasionalisma palsu yang tidak membawa kebaikan samada buat penyerunya ataupun
masyarakat sekeliling.
BATAS NASIONALISMA KAMI
“Perbezaan
antara kami dan mereka adalah bahwa kami menganggap batas nasionalisma adalah
aqidah sementara mereka menganggap batasnya adalah wilayah negara dan
batas-batas geografi.
Bagi kami,
setiap jengkal tanah yang dihuni muslim yang mengucapkan ‘Laa Ilaha Illallah’
adalah tanah air kami yang berhak mendapatkan :
- Penghormatan.
- Penghargaan.
- Kecintaan.
- Ketulusan.
- Jihad
demi kebaikannya.
Semua
muslim di semua wilayah geografi ini adalah keluarga dan saudara kami. Kami
dapat memperhatikan mereka dan merasakan apa yang mereka rasakan.
Sementara
para penyeru nasionalisma sempit tidak seperti itu. Perhatian mereka hanya pada
urusan wilayah terbatas dan sempit di bumi ini.
Perbezaan
akan nampak lebih jelas ketika sebuah bangsa hendak memperkuat dirinya dengan
cara merugikan bangsa lain.
Bagi kaum
nasionalis, mereka menganggap yang demikian itu tidak menjadi masaalah. Oleh kerana
itu :
- Berbagai ikatan menjadi renggang.
- Kekuatan melemah.
- Musuh menggunakan sebahagian untuk membinasakan
sebahagian yang lain.
Seluruh
perhatian kaum nasionalis hanya tertuju kepada kemerdekaan negaranya sahaja.
Apabila berhasil mengukuhkan negaranya, fokus mereka hanya memperhatikan
aspek-aspek fizikal semata-mata sebagaimana yang dilakukan oleh barat ketika
ini.
Sebaliknya
kami meyakini bahwa di leher setiap muslim tergantung amanah, di mana ia wajib
mengorbankan jiwa, darah dan hartanya untuk menunaikannya.
Amanah
tersebut adalah :
- Membimbing manusia dengan cahaya Islam.
- Mengibarkan bendera Islam di seluruh penjuru
bumi.
Semuanya
dilakukan bukan untuk mencari harta, kemasyhuran, kekuasaan ke atas orang lain
dan bukan pula untuk memperhambakan bangsa lain tetapi untuk :
- Mencari ridha Allah semata-mata.
- Membahagiakan alam dengan agamanya.
- Meninggikan kalimatnya.
Inilah
yang mendorong para Salafus Soleh melakukan pembebasan-pembebasan yang suci
yang telah memeranjatkan dunia dan mengungguli berbagai pembebasan yang pernah
dikenali sejarah dalam hal :
- Kecepatan.
- Keadilan.
- Kepiawaian.
- Keutamaan.”
Ya Allah, lahirkanlah
generasi revolusi (Thaurah) yang memahami realiti zamannya, keperluan-keperluannya dan
langkah paling realistik untuk membawa umat kembali memimpin, bekerja dan
berusaha ke arah membangunkan semula "Jama'atul Muslimin" dan selamatkanlah
iman kami dari fitnah dan kerosakan yang bakal muncul di akhir-akhir fasa "Mulkan
Jabriyyan" yang akan tiba ke kemuncaknya apabila keluarnya dajjal.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
sika artikel ini... betul bagi semangat.. terimakasih