Tahun 2011 merupakan tahun yang penuh bersejarah dan bersemarak bagi gerakan Islam terutama di timur tengah di mana fenomena kemenangan sedang dirasai oleh para pejuang gerakan Islam kerana kejayaan mereka menumbangkan para diktator.
Dimulai dengan Tunisia, Libya dan kemudiannya Mesir, mereka akhirnya berjaya menumbangkan rejim diktator masing-masing dan kini mereka masih bertempur dengan hebat menghadapi kezaliman diktator di Syria.
Satu persatu rejim diktator tersebut tumbang seolah-olah menyusul guru mereka iaitu diktator yang diabadikan di dalam Al-Qur’an, iaitu Fira’un.
Fenomena kebangkitan Islam di timur tengah di mana barat menyebutnya sebagai fenomena ‘Arab Spring’ mengingatkan kita kepada sebuah pencerahan nubuwwah akhir zaman dari Rasulullah saw :
“…Kemudian akan berlangsung kerajaan yang memaksakan kehendak mereka (secara sewenang-wenang) menurut kelangsungan yang dikehendaki Allah. Lalu Allah akan mengangkatnya ketika Ia menghendaki. Kemudian akan berlangsung khilafah di atas jalan kenabian. Lalu beliau diam” ( HR Ahmad)
Jika kita meneliti suasana perkembangan semasa dengan lebih mendalam, pencerahan nubuwwah baginda Nabi saw yang dimaksudkan itu telah benar-benar berlaku di depan mata kita.
Ya, boleh dikatakan, fenomena ‘Arab Spring’ telah melapangkan jalan menuju kekhalifahan yang telah lama hilang di mana :
1. Sebuah suasana dunia yang penuh rahmat yang kita rindukan.
2. Sebuah era di mana serigalapun sanggup menjadi binatang ‘herbivor’ dan enggan menyantap kambing yang ada di hadapannya.
3. Sebuah zaman yang mengambarkan kemakmuran sebuah negeri yang disebutkan dalam surah Saba’ ayat 15, “(Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun”.
Sebuah jalan kini telah terbentang dan momentum yang menjadi takdir sejarah kita, kini telah siap kita susuri sepertimana yang dicatatkan oleh seorang penulis :
“Takdir sejarah kita adalah pertemuan-pertemuan yang mengharukan antara karya-karya besar yang lahir dari keupayaan sebenar kita, dengan keperluan yang sangat mendesak dari lingkungan komuniti di mana kita hidup, pada suatu ruang dan waktu tertentu. Itulah momentum sejarah kita; saat di mana potensi-potensi kita meledak menjadi karya-karya besar dan bertemu dengan keperluan komuniti kita pada saat yang sama”
Jika kita melihat ke belakang iaitu di penghujung kekhalifahan Turki Utsmaniyah yang runtuh pada tahun 1924. Selang hanya beberapa tahun kemudiannya iaitu pada tahun 1928, Imam Hasan Al Banna mendirikan ‘Al Ikhwan Al Muslimun’ dan mulai merintis kembali jalan penegakan khilafah dengan marhalah-marhalah yang sangat teliti dalam ‘maraatib al ‘amal nya.
Kini, momentum itupun umpama baton bersambut setelah hampir seratus tahun kemudian. Ya, inilah saat dan ketikanya.
Bahkan Al Hafidz Imam As Suyuthi dalam ‘Tarikh Khulafa’ pada bahagian akhir kitabnya menulis sebuah catatan di mana beliau menukilkan pendapat Ibnu Hatim dalam tafsirnya tentang sebuah Atsar dari Abdullah Ibn Amr Ibn Al Ash :
“Tidak ada dalam seluruh perhitungan waktu sejak dunia ini ada, kecuali akan sentiasa berlaku suatu yang sangat menggemparkan di hujung seratus tahun.”
Kini, sebuah momentum penggiliran sejarah sudah ada bersama kita dan berpihak pada kita. Cuma tinggal bagaimana kita mampu menjemput momentum sejarah itu dengan takdir sejarah kita sepertimana firman Allah swt :
“Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran).” (QS Ali Imran : 140)
Sedarlah kita bahwa masa kekhalifahan itu sudah sangat dekat!!!
DAKWAH MENYEDIAKAN PERIBADI PEMEGANG AMANAH
Tugas besar itu kini bukanlah menantikan bila datangnya masa kekhalifahan yang berjalan di atas jalan kenabian tetapi adalah bagaimana kita mempersiapkan diri kita bagi menjemput takdir sejarah gemilang itu.
Momentum sudah ada di depan mata tapi jika kita tidak bersiap sedia dan sanggup menerima momentum itu, maka ianya hanya akan menjadi sebuah episod zaman tanpa apa-apa erti.
Bahkan, mungkin lebih buruk lagi jika kita kadang-kadang terlena oleh kehangatan kemenangan dan kelimpahan material seperti yang disebutkan oleh Ibnu Khaldun :
“Kelimpahan material kadang-kadang menumpulkan semangat juang umat secara perlahan-lahan dan membuatkan mereka kurang peka pada perkara-perkara kecil yang sedemikian mudah untuk dipengaruhi sehingga mencetuskan perpecahan”.
Akhirnya fenomena tersebut membuatkan kita lupa untuk mempersiapkan takdir sejarah kita sehingga momentum yang adapun berlalu begitu sahaja.
Ustaz Rahmat Abdullah pernah berkata :
“Li kulli marhalatin rijaaluha, Wa li kulli marhalatin masa’iluha” (Setiap marhalah memiliki rijal-rijalnya masing-masing dan setiap marhalah memiliki masalahnya yang tersendiri)
Sudah tentu, usaha untuk menyediakan para pemegang amanah yang bersedia memikul tanggung jawab besar adalah sebuah kewajiban.
Ini sepertimana yang kita fahami dalam kaidah fiqh, “Maa laa yatimmu al waajib illaa bihi fa huwa waajib”. (Sesuatu yang tanpanya menjadikan sesuatu itu wajib, maka sesuatu tersebut dihukumkan wajib juga)
Menegakkan sebuah khilafah adalah sebuah kewajiban kerana memang misi manusia adalah menjadi hamba Allah dan Khalifah Allah di muka bumi manakala momentumnya juga sudah ada.
Namun, apalah ertinya sebuah kekhalifahan jika tidak dipikul oleh seorang yang berkompeten?
Adakah kita akan mengulangi musibah terhadap sejarah dengan menempatkan orang-orang yahudi dan majusi dalam pemerintahan sehingga menjadi gunting dalam lipatan dan memporakperandakan bentuk dan susunan khilafah yang telah terbina dengan memunculkan dinasti Fatimiyyin?
Oleh yang demikian, menyediakan peribadi ‘rijal’ yang sanggup memikul amanah adalah sebuah kewajiban yang semestinya dan tidak dapat dielakkan.
IMAN, DAKWAH DAN KHILAFAH
Maka, dari sinilah kita akan memulainya dengan menyediakan ‘rijal-rijal’ yang kuat dan kompeten yang sanggup memikul bebanan tanggungjawab yang besar.
Jika kita merujuk kepada rangka tindakan gerakan yang telah disusun dengan cerdas oleh Imam Hasan Al Banna yang bertajuk ‘Maaratib Al ‘Amal’, ianya dimulai dengan langkah perbaikan kualiti diri (Ishlah An Nafs).
Penerus beliau iaitu Imam Hasan Al Hudhaibi menyatakan “Aqim daulatal Islami fii qalbika, taqum fii ardhika” (Tegakkan daulah Islam di dalam hati kamu, maka ia akan tegak di atas bumimu.”
Sebelum melangkah lebih jauh, mari kita semak firman Allah swt berikut:
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.” (QS Ibrahim : 24-25)
Pohon itu seperti seorang mukmin, tidak gugur daunnya, kukuh pokok dan batangnya serta cabangnya menjulang ke langit.
Ibnu Al Qayyim Al Jauziyah pun juga membuat perumpamaan demikian, bahwa iman adalah laksana sebatang pohon yang akarnya jauh menghujam ke jiwa, batangnya kukuh, dahan-dahannya menjuntai ke langit tinggi dan buahnya nan manis, harum serta lembut yang sentiasa hadir di sepanjang musim di sepanjang tahun.
Begitulah gambaran iman, ia dimulai dari sebuah keyakinan yang kuat menghunjam ke dalam jiwa dan sentiasa menjaga perhubungannya dengan Allah. Kemudian dari iman itu akan muncul buah yang manis, harum dan lembut berupa tutur kata, akhlak yang santun dan selalu memberikan manfaat kepada sesiapapun dan pada bila-bila masapun serta tidak bergantung kepada musim, cuaca dan waktu.
Seorang mukmin mestilah sentiasa menisbahkan dirinya dengan ‘pemberi manfaat’ kepada siapa sahaja dan bila-bila masa sahaja. Itulah batang iman sementara penghujungnya adalah kesediaan untuk mengutamakan orang lain daripada diri sendiri atau yang sering disebut dengan ‘itsar’.
Jadi, apakah kaitan antara iman, dakwah dan khilafah?
Jika iman diibaratkan oleh sebuah pohon yang sentiasa berbuah di sepanjang musim dan di sepanjang tahun dengan buahnya yang harum, manis dan lembut.
Maka, dakwah adalah usaha penyemaian benih-benih yang akan menumbuhkan pohon iman hingga di suatu masa tidak ada lagi tumbuhan selain pepohon iman yang kuat akarnya menghunjam, batangnya kukuh, dahannya melangit dan buahnya yang harum, manis dan lembut sentiasa dapat dinikmati sepanjang tahun.
Kelak, dari rimbunan dedaunnya akan membuatkan sesiapa yang melintas di bawahnya akan diteduhi dari panas mentari dan dari buah yang dihasilkannya, setiap orang yang melintas tidak akan kelaparan. Sistem pertanian yang akan menumbuhkan pohon iman inilah yang kelak kita sebut sebagai sebuah khilafah!
KHILAFAH BUKAN SEKADAR KEKUASAAN
Khilafah hadir sebagai sebuah sistem untuk menjaga penerusan hidup manusia dengan prinsip keadilan dan sebagai rahmat bagi semesta alam.
Ia akan membumikan syariat Allah yang sempurna untuk mengatur perilaku hidup umat manusia agar selaras dengan sesama manusia dan alam semesta.
Ia adalah wakil yang diamanahkan dalam pengelolaan alam semesta dan oleh yang demikian, 'maqashid syari’at’ atau tujuan perlaksanaan syariat adalah untuk menjaga apa yang dinamakan dengan lima hajat utama di dalam kehidupan iaitu :
a. ‘Ad-Din’ (Agama).
b. ‘An-Nafs’ (jiwa).
c. ‘Al- Aql’ (akal).
d. ‘An-Nasl’ (Keturunan).
e. ‘Al-Mal’ (Harta).
Ini adalah kerana semua yang tersebut di atas adalah suatu hak yang paling asasi dari setiap manusia agar tidak berlaku perampasan hak dan kezaliman terhadap hak-hak tersebut di antara manusia.
Inilah tugas Khalifah sehingga berlaku keseimbangan dan keselarasan hidup antara manusia dan alam semesta disebabkan terjaganya keadilan. Bahkan orang bukan Islam sekalipun dapat juga merasakan betapa agung dan besarnya keadilan Islam.
Ini seperti kisah persengketaan tanah antara Gabernur Mesir Amr Ibn Al-‘Ash dengan seorang yahudi yang miskin. Keadilan khalifah Amirul Mukminin Umar Ibn Khaththab yang ternyata membela pemilikan tanah orang yahudi tersebut membuatkan yahudi itu masuk Islam dek kerana takjubnya dengan keadilan khalifah Islam yang memimpin.
Ya, itu adalah visi besar dan cita-cita kita. Khilafah bukan sekadar membahasakan kekuasaan ‘super state’, tetapi ianya lebih daripada itu di mana ia mestilah mampu :
1. Meninggikan kalimah Allah.
2. Membumikan syariatNya.
Khilafah dalam bahasa Imam Hasan Al Banna adalah sebuah ‘Ustaziyyatul ‘Alam’ iaitu sebuah guru peradaban alam semesta.
Kita tidak perlu lagi mengambil contoh dari peradaban barat romawi atau peradaban timur Parsi bahkan Islamlah yang menjadi sebuah peradaban besar yang akan menjadi kiblat utama dan rujukan bagi seluruh peradaban dunia.
Persoalannya kepada kita sekarang adalah bagaimanakah sebuah peradaban besar itu mampu terbit dan menggoncang zaman?
Jawabannya cukup mudah iaitu dengan :
a. Dakwah.
b. Tarbiyah.
Mursyidul ‘Aam ketiga Al Ikhwan Al Muslimun, Ustaz Umar at Tilmisani menyatakan bahwa tarbiyah adalah satu jalan yang panjang sekaligus memerlukan waktu yang lama namun hasilnya terjamin.
Dengan memulai langkah dari sebuah perbaikan diri sendiri (Ishlah An Nafs), kemudian membentuk keluarga Islam dan masyarakat Islam, seterusnya adalah pembebasan negeri muslim yang terjajah hingga berlakunya perbaikan kepada undang-undang yang berteraskan syariat dan berakhir pada tahap Ustaziyyatul ‘Alam.
Manakala dakwah pula adalah usaha mengajak orang-orang untuk memperbaiki dirinya dengan menanamkan pengetahuan keislaman kepadanya. Inilah yang sebut oleh Ustaz Hasan Al Hudhaibi sebagai “Aqim daulatal islami fii qalbika, taqum fii ardhika” (tegakkanlah Islam dalam diri kamu, niscaya ianya akan tertegak di bumimu).
Dalam konsep yang lebih sederhana, untuk merubah bangsa diperlukan 3M iaitu :
1. Mulai dari diri sendiri.
2. Mulai dari perkara yang terkecil.
3. Mulai dari saat ini.
Kelak, dari tarbiyah ini akan lahir rijal-rijal dakwah yang terbaik yang akan bersedia memikul amanah dalam kekhalifahan.
Ini adalah kerana tugas khalifah adalah melayani umat manusia dan menjaga penerusan keseimbangan dan keadilannya di mana keperluan umat sangat beragam dan banyak.
Ulama-ulama ahli sunnah wal jamaah telah menyatakan bahawa tegaknya Khilafah Islamiyah adalah janji Allah swt kepada orang-orang mukmin.
Al-Quran telah menyebutkan janji ini (tegaknya kekhalifahan Islam) dengan jelas dan terang.
Firman Allah swt :
Firman Allah swt :
"Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di antara kamu, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa" (QS An-Nur : 55)
Imam Ibnu Katsir, ketika menafsirkan ayat di atas, menyatakan :
Imam Ibnu Katsir, ketika menafsirkan ayat di atas, menyatakan :
“Inilah janji dari Allah swt kepada Rasulullah saw, bahawa Allah swt akan menjadikan umat Nabi Muhammad saw sebagai ‘khulafa’ al-ardh’; iaitu pemimpin dan pelindung kepada umat manusia. Dengan merekalah (para khalifah) akan memelihara negeri dan seluruh hamba Allah akan tunduk kepada mereka.”
Ya Allah, berilah kemenangan kepada gerakan Islam yang telah banyak melakukan amal soleh di bumi Mesir kerana mereka yang bergabung di dalamnya adalah mereka yang benar-benar beriman kepada risalah yang dibawa oleh RasulMu. Jadikanlah mereka pemimpin dan pelindung kepada umat Islam dan juga umat manusia secara keseluruhan.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
Allahu Akbar wa lillahilhamd! jazakallah khairan ustaz atas artikel ni.