skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Thursday, 29 March 2012

Naqib Titik Tolak Dakwah

Ditulis Oleh WAS Pada 04:08 – 0 Komen Anda
 
Seperti yang kita fahami bahwa perubahan menuju perbaikan diri dan masyarakat melalui institusi-institusi yang strategik menjadi sebahagian dari kerja dakwah pada paksi institusi tersebut.

Melalui pemerkasaan institusi tersebut, instrumennya dapat mengukuhkan dakwah dan perluasannya. 

Imam Hasan Al Banna dalam ‘Muktamar Keenam’ menjelaskan tentang berbagai saluran dan media untuk menjadi wasilah bagi tertegaknya dakwah :

“Bahwa saluran dan cara yang kita pakai secara umum adalah memberikan kemantapan dan menyebarkan dakwah dengan berbagai wasilah sehingga mudah difahami oleh masyarakat umum lalu menjadi pandangan umum masyarakat.

Kemudiannya kita akan memilih peribadi-peribadi yang baik untuk menjadi pendukung dakwah yang kukuh. Juga perjuangan dalam kerangka lunas-lunas undang-undang agar dakwah ini memiliki suara di institusi pemerintahan dan didukung oleh kekuatan eksekutif.

Dengan asas ini, calon-calon kita akan menjadi ‘khatibul jamahiri’ (penceramah dalam masyarakat) dan apabila tiba waktu yang sesuai akan tampil mewakili umat di Parlimen.

Yakinlah akan pertolongan Allah swt selama mana tujuan kita adalah untuk meraih keridhaanNya”.

Semua ini amat memerlukan peranan dan potensi dari seluruh aktivis dakwah yang dapat digunakan sebagai wasilah untuk mewujudkan pekerjaan tersebut sehingga seluruh potensinya tidak ada yang tidak dapat dimanfaatkan bahkan jika demikian, tidak boleh ada aktivis dakwah yang tidak menjadi sebahagian dari kerja besar ini.

Aktivis dakwah yang memiliki pelbagai peranan mestilah menjadi batu bata dari tugas ini di mana salah satu peranan yang sangat signifikan dalam mendukung tugas perubahan ini adalah peranan ‘naqib’.

Kedudukan dan peranannya sangat penting kerana ‘naqib’ merupakan tulang belakang yang amat strategik dalam perjalanan tarbiyah ini.

Ia menjadi simpulan ikatan kepada perubahan yang asasi iaitu paling kurang dalam komuniti terkecil dalam masyarakat ini iaitu melalui tarbiyah atau pembinaan aktivis dakwah.

Kedudukan dan peranan inilah yang digerakkan oleh generasi terdahulu untuk memperluaskan skop dakwah demi perubahan masyarakat.

Mereka menjadi titik tolaknya kerana peribadi mereka merupakan parameter kepada perubahan.

Komuniti suatu masyarakat akan mudah diarahkan apabila parameternya jelas dan benar dan mampu menjadi cerminan dalam merealisasikan perubahan diri untuk seterusnya menjadi agen perubah dalam masyarakat.

Oleh kerana itu, Allah swt telah mengingatkan akan peranan ini sebagaimana umat terdahulu yang menjadikan ‘naqib’ sebagai ‘titik tolak’ nya.

“Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (dari) Bani Israil dan telah Kami angkat di antara mereka 12 orang ‘naqib’ (pemimpin) dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku beserta kamu, sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasulKu dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik sesungguhnya Aku akan menghapus dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Kumasukkan ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai. Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya ia telah tersesat dari jalan yang lurus”. (QS Al-Maidah : 12)

Demikian juga ketika perjalanan dakwah Rasulullah saw di masa-masa permulaan pertumbuhan dakwah di mana baginda mengangkat sahabat yang memiliki kapasiti untuk memikul amanah dakwah ini menjadi ‘naqib’.

Dari para ‘naqib’ yang dipilih, umat dapat belajar dan bekerjasama merefleksikan amal Islam sehari-hari. Mereka menjadi ukuran sejauh mana tingkatan dan kualiti suatu masyarakat yang akan diajak kepada perubahan.

Begitu pula ketika orang-orang Madinah menjumpai Rasulullah saw, kemudian baginda mengumpulkan mereka lalu menetapkan pemimpin mereka sebagai ‘naqib’ yang menjadi pengarah bagi kabilahnya.

Ternyata peranan ‘naqib’ yang dilaksanakan oleh para sahabat Anshar itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Ini dapat dilihat pada sambutan atau sokongan padu masyarakat Madinah yang menyambut seruan Islam dan mereka menjadi pengikut setia Nabi saw.

Perkembangan ajaran Islam dan entiti muslim sangat pesat di sana sehinggakan mereka bersedia untuk menerima kedatangan Rasulullah saw sebagai pemimpin mereka di dunia dan di akhirat.

Kemudian baginda membinanya hingga berlakunya perubahan budaya dan peradaban umat manusia di antara kegelapan perilaku ‘insaniyah ‘waktu itu.

Melaksanakan peranan ‘naqib’ seperti kaum muslimin di masa lalu memang tidaklah semudah membicarakannya kerana banyak unsur-unsur yang terkait, namun kita tidak dibenarkan bersikap pesimis lantaran tidak mudah untuk merealisasikan peranan tersebut.

Walaubagaimanapun, usaha untuk dapat mencontohi sedikit demi sedikit sifat ‘naqib’ hingga akhirnya sempurna mestilah menjadi sesuatu yang tetap berkobar di dalam jiwa kita.

Dalam kaedah usul fiqh, ada disebutkan bahwa :

‘Maala yudraku kulluhu la yutroku kulluhu’.

(Apabila tidak dapat menjangkau seluruhnya maka janganlah meninggalkan keseluruhannya”).

Oleh kerana itu, para ‘naqib’ sepatutnya memahami peranan yang mampu dilaksanakan agar cita-cita yang didambakan dapat segera diwujudkan sepertimana keadaan yang pernah dibangunkan oleh generasi silam.

Adapun peranan yang perlu dilaksanakan oleh para ‘naqib’ untuk mencapai perubahan diri dan masyarakat ini di antaranya seperti berikut :

PERTAMA : MENINGKATKAN PRESTASI DIRI

Sesungguhnya Allah swt telah menyerahkan urusan umat ini kepada ‘naqib’. Kemaslahatan mereka pada hari ini dan masa depan merupakan amanah Allah yang perlu ditunaikan.

‘Naqib’ bertanggungjawab di hadapan Allah swt pada hari akhirat kelak.

Jika generasi hari ini adalah kekuatan bagi ‘naqib’, maka generasi hari esok merupakan tanaman.

Alangkah mulianya seseorang jika ia bersikap amanah, bertanggungjawab dan mahu memikirkan binaannya sebagaimana yang diingatkan oleh Rasulullah saw :

“Bahwa setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan diminta pertanggung jawabannya”. (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana ‘naqib’ sebagai ‘murabbi’ dalam lingkaran pembinaannya maka meningkatkan prestasi diri dalam pembinaannya ini menjadi peranan yang mesti dilaksanakan dengan baik dan berikut adalah beberapa cara yang boleh dilakukan.

CARA PERTAMA : Merealisasikan aspek-aspek keseimbangan dalam diri aktivis yang dibinanya samada secara ‘ma’nawi’, ‘nafsi’ dan ‘amali’ sehingga aktivis yang dibinanya dapat menyerlahkan ajaran Islam yang lengkap secara ruhani, pemikiran, jiwa dan amal dalam urusan sehariannya.

CARA KEDUA : Memunculkan azam yang kuat dan tawakkal kepada Allah swt yang akan  membuatkan mereka sentiasa memiliki tekad yang tidak pernah kendur dalam memperjuangkan Islam.

CARA KETIGA : Meningkatkan sifat keberanian dan kepahlawanan dalam diri mereka di mana mereka berani untuk menyatakan kebenaran dan bersifat patriotik dalam membelanya.

CARA KEEMPAT : Memunculkan rasa tanggungjawab kepada binaannya terhadap kerja dakwah agar mereka dapat menjadi pelopor dakwah sehingga dakwah berterusan dan mampu melahirkan generasi yang lebih baik.

Sasaran utama untuk meningkatkan prestasi diri yang dibina oleh para ‘naqib’ adalah untuk mempunyai sikap puas dan tenang kepada manhaj dakwah dan struktur organisasi. Sasaran inilah yang perlu diperhatikan oleh para ‘naqib’ dalam menjalankan tugas mulianya ini.

Dalam diri ‘naqib’, hanya ada rasa cinta pada aktivis dakwah yang dibinanya agar ia menjadi peribadi yang lebih baik sehingga ‘naqib’ sentiasa gembira dan senang hati dalam melaksanakan tugasnya.

Imam Muhammad ibnu Ahmad yang lebih dikenali dengan nama ‘Ibnu Razquwaih’ menyatakan kepada murid-muridnya yang ia cintai kerana ia ingin murid-muridnya lebih baik dari segi kualiti dan keperibadiannya dari murid-murid yang sebelumnya. :

“Demi Allah, aku menyukai kehidupan di dunia bukan kerana usaha dan bukan pula kerana perniagaan, akan tetapi kerana zikir kepada Allah bersama kamu dan membacakan hadits kepada kamu sehingga kamu menjadi lebih baik dariku”.

Sesungguhnya para ‘naqib’ perlu merenungkan kata-kata Syeikh di atas agar amanah ini dapat ditunaikan di bahu kita sehingga ia menjadi amal pemberat timbangan kebaikan kita di akhirat kelak serta sekaligus mampu mengimplementasikan firman Allah swt bahwa pemimpin dan pengarah yang baik adalah laksana pohon yang mengakar dan berdiri tegak memberikan buah yang tidak pernah henti.

“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka, kamu lihat mereka ruku` dan sujud mencari kurnia Allah dan keridhaanNya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menakutkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mu’min). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar”. (QS Al Fath : 29)

KEDUA : PENGEMBANGAN KEMAMPUAN KEAHLIAN

Alangkah beratnya tugas ‘naqib’, maka ia perlu meningkatkan kemampuan dirinya sehingga tugas-tugas tersebut dapat diselesaikan secara bertanggungjawab.

Kemampuan itu adalah:

A : Kejelasan Wawasan Dan Pandangan

Naqib perlu memperolehi kejelasan wawasan dan pandangan tentang dakwah dan arah pergerakannya sehingga ia tidak pening atau ragu-ragu dalam melaksanakan tugas dakwahnya.

Kejelasan wawasan juga dapat mengusir sifat keragu-raguan terhadap sikap baik dirinya mahupun orang lain.

Jiwa yang yakin akan dapat mempengaruhi orang lain pada fikrahnya terutama aktivis dakwah yang ia bina sehingga mereka berada dalam barisan dakwah di belakang ‘naqib’ nya dan agar tidak ada lagi ‘tasykik’ (keraguan) tentang langkah dakwah dan program yang sedang dicanangkan lalu dapat ikut serta terlibat di dalamnya.

B : Meningkatkan Kecerdasan

Usaha peningkatan kecerdasan yang sempurna perlu dilakukan agar ‘naqib’ mampu menjadi rujukan kepada suatu masalah dan sekaligus mampu memberikan jalan penyelesaiannya.

Kecerdasan ‘naqib’ sepatutnya sentiasa meningkat dari hari ke hari kerana ‘naqib’ sebagai orang yang akan mengarahkan binaannya.

Naqib yang cerdas dapat memberikan nilai tambah pada binaannya sehingga muncul kepuasan ‘tarbawi’ yang mereka ikuti.

C : Kemampuan Kreativiti Dan Daya Cipta / Inovasi

Dalam mengelola tarbiyah untuk ikut serta terlibat dalam kerja dakwah di paksi mana sekalipun, ‘naqib’ tidak boleh kehabisan kreativiti apalagi mati akal dalam menimbulkan inovasi kerana musuh-musuh dakwah sentiasa dalam keadaan penuh kreativiti dan daya cipta dalam menghadapi umat Islam.

Untuk menandingi mereka tentunya bukan dengan kemampuan material yang kita punyai melainkan dengan mengembangkan kemampuan kreativiti yang kita miliki.

Kreativiti yang hidup menjamin peluang-peluang besar bagi dakwah dan pelaksananya.

Seorang pujangga pernah membuat sebuah paparan :

“Siapapun tidak akan mampu mematikan lawannya selama mana kreativiti mereka tetap hidup”.

D : Kekuatan Tindakbalas Terhadap Sesuatu

Naqib yang cepat dalam membuat sesuatu tindakbalas menandakan sikap kepeduliannya yang amat besar samada tindakbalas terhadap situasi, para binaannya mahupun tugas yang diamanahkan kepadanya.

Usaha ini dilakukan semata-mata untuk menjaga aset dakwah yang amat mahal serta menginginkan kebaikan dan keselamatan bagi binaannya.

Kekuatan rasanya begitu besar sehingga ia ingin benar-benar memberikan perkara yang lebih baik pada binaannya sebagaimana firman Allah swt :

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mu’min”. (QS At Taubah : 125)

Jika para ‘naqib’ meningkatkan kemampuan mereka, maka keahlian dan penguasaan mereka  semakin kuat dan bermakna. Hal ini akan sangat berguna untuk ketahanan dan kekukuhan dakwahnya.

Keahlian yang seperti itu amat diperlukan untuk menjadi pintu-pintu masuknya dakwah di seluruh elemen masyarakat ketika ini sehingga instrumen dalam masyarakat dapat menerima dan berhimpun di dalamnya.

Keahlian apapun dalam ajaran Islam amat dihargai dan ia tidak boleh diabaikan atau melupakan kemampuan yang dimiliki oleh seorang muslim apalagi hingga mencampakkan begitu sahaja keahliannya.

Rasulullah saw telah mengingatkatkan :

“Barang siapa yang telah memiliki keahlian melempar kemudian melupakannya maka ia bukanlah golonganku”. (HR Muslim)

Naqib dalam merealisasikan peranannya mestilah menjaga cita-citanya agar sentiasa hidup sekalipun cita-cita itu belum terwujud pada ketika ia melaksanakannya kerana cita-cita tersebut kadang-kadang lebih cepat atau lambat seperti coretan seorang pujangga :

“Peliharalah cita-citamu, kerana sesungguhnya cita-citamu mendahului segala sesuatu. Barang siapa yang baik cita-citanya dan dia jujur padanya niscaya pekerjaan yang dilakukannya akan melahirkan hasil yang baik pula”.

Iqbal juga dalam untaian bait syairnya memaparkan bahwa :

“Cita-cita orang yang merdeka dapat menghidupkan yang telah hancur, dan tiupan orang-orang yang bertaqwa dapat menghidupkan umat. Dan semua penyakit itu bersumber dari pudarnya cita-cita”.

Untaian syair tersebut mengumpamakan ‘naqib’ sebagai nadi kepada aktivis dakwah ini. Oleh kerana itu, sayugialah para ‘naqib’ tetap menjaga kesihatan nadinya agar tidak pernah berhenti dan diam.

KETIGA : PENGEMBANGAN KEMAMPUAN ORGANISASI

Naqib adalah penjaga struktur organisasi dan oleh yang demikian, ia menjadi orang yang paling ke depan dalam pengembangan struktur organisasi.

Agar tidak mengalami rencatan marhalah dalam perjalanan dakwah ini maka ‘naqib’ mestilah memahami beberapa pra-syarat untuk dapat melaksanakan peranan tersebut iaitu :

A : Penguasaan terhadap perkara-perkara yang tetap dan yang berubah dalam jalan dakwah

Dengan penguasaan ini, ia tahu mana perkara yang memang sudah tetap dalam dakwah ini dan mana yang boleh berubah-ubah sesuai dengan situasi dan keadaannya sehingga dapat ia menggunakan kebijaksanaan yang tepat untuk kepentingan dakwah.

B : Penguasaan terhadap perancangan organisasi

Perancangan yang difahami oleh ‘naqib’ dapat mempermudahkan, merealisasikannya serta mempercepatkan ke arah yang telah digariskannya oleh organisasi kerana ‘naqib’ dapat melibatkan secara langsung aktivis-aktivis dakwahnya sebagai pejuang hadapan dakwah ini.

C : Kemampuan Mengkoordinasikan elemen dakwah

D : Memelihara Keteguhan Organisasi

Oleh kerana peranan dan kedudukan ‘naqib’ amat strategik dalam struktur dakwah ini, maka diharapkan merekalah yang akan menjadi penjaga paling depan dalam menjaga ketahanan organisasi.

Ia boleh menegur aktivis dakwah lain terhadap kekeliruannya di samping dapat meluruskan penyelewengan dalaman yang berkembang.

Selain itu, ia juga dapat memberikan jawaban ke atas tuduhan dan fitnah yang dilontarkan pada organisasi walau dari sesiapapun sehingga ‘naqib’ amat berautoriti untuk membina kemantapan struktur organisasi terutama kepada aktivis dakwah yang di bawah kelolaannya dan bahkan para ‘naqib’ menjadi sebuah kekuatan komitmen pada dakwah ini.

Abul ‘Ala Al Maududi mengingatkan bahwa ‘naqib’ merupakan penjaga struktur organisasi yang mesti mampu menjadi penggerak dakwah ini kepada seluruh lapisan masyarakatnya dengan mengerahkan seluruh potensinya.

Pesanannya kepada ‘naqib’ adalah seperti berkut :

“Menjadi suatu yang ironi sekali apabila ‘naqib’ sebagai orang-orang yang dianugerahkan kecerdasan yang unggul dari kalangan individu umat kita ini, tergila-gila meraih kedudukan duniawi dengan mencurahkan segenap kemampuannya tanpa kenal penat lelah sepanjang siang dan malam.

Di tempat kerja, mereka tidak mahu menerima kecuali pihak yang mahu menawarkan kepada mereka dengan bayaran yang tinggi sedangkan keterlibatan mereka dengan dakwah ini tidak sampai pada tingkatan mengorbankan kepentingan mereka untuk kepentingan dakwah, bahkan tidak pula sekadar mengorbankan jasa yang mereka miliki.

Jika kamu berharap dengan menyandarkan pengorbanan yang mandul ini untuk dapat meraih kemenangan melawan orang-orang yang menimbulkan kerusakan di muka bumi ini yang rela mengorbankan jutaan wangnya setiap hari demi mencapai tujuan mereka yang batil, maka harapan ini tiada lain hanyalah suatu tindakan yang bodoh”.

KEEMPAT : PENGEMBANGAN KEMAMPUAN BERMASYARAKAT

Naqib juga adalah sebahagian dari masyarakat dan oleh yang demikian, ia mesti mampu melakukan pengembangan kemampuan bermasyarakat kerana masyarakat akan menjadi sebahagian dari kerja dan objek dakwahnya.

Masyarakat yang mendukung dakwah akan mengukuhkan kewujudan dakwah dan akhirnya dapat menjadikan dakwah berdiri tegak.

Jadi, ‘naqib’ perlu menyedari akan peranannya di tengah-tengah masyarakatnya iaitu :

A : Membangun hubungan dengan masyarakat.

B : Mampu tampil sebagai cermin perubahan kepada masyarakat.

C : Membangun pandangan umum yang mantap.

D : Mampu tampil sebagai peribadi pemimpin umum.

Pada akhirnya, ‘naqib’ sebenarnya berupaya untuk membangun perubahan yang mendasar pada masyarakat manakala dialah yang memulainya sehingga masyarakat dapat menjadikannya sebagai contoh tauladan secara langsung.

Imam Hasan Al Banna mengingatkan seluruh aktivis dakwah terutamanya ‘naqib’ untuk menjadi penggerak perubahan dan menjadi kekuatan yang hidup memikul usaha-usaha perbaikan dan kemaslahatan ummah dengan kata-katanya yang masyhur :

“Kamu adalah ruh baru yang mengalir ke seluruh jasad umat ini”.

Ya Allah, jadikanlah kami para nuqaba’ sebagai jantung yang terus berdenyut dan sentiasa mengepam ruh kehidupan, ruh kerohanian dan ruh gerakan ke dalam urat nadi masyarakat sehingga kami menjadi pelaksana asasi bagi berbagai proses tarbiyah, organisasi dan pengurusan dakwah yang akan membangunkan umat ini dari tidur dan kelalaian seraya menyahut seruan untuk menegakkan DeenMu di mukabumi ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Tuesday, 27 March 2012

Rijal Dakwah Sentiasa Bergantian

Ditulis Oleh WAS Pada 09:20 – 0 Komen Anda
 
Sesungguhnya dakwah ini tidak akan mengalami kerugian sama sekali dengan adanya para aktivis yang gugur di atas jalannya.

Ini adalah kerana Allah Azza wa Jalla Maha Berkuasa di atas segalanya di mana Ia akan menggantikan mereka dengan kaum yang lebih baik iaitu kaum yang siap siaga untuk berjihad ‘fisabilillah’ dengan harta dan jiwa mereka.

Janganlah mereka mengira bahwa dengan ketidakhadiran mereka dari pentas dakwah membuatkan dakwah ini akan goncang dan kehilangan kekuatannya.

Masih ramai  pemuda-pemuda Muslim yang ingin masuk untuk memperjuangkan agama ini dan meninggikan panji-panjinya.

Untuk itu, adalah suatu perkara yang mudah bagi Allah Azza wa Jalla.

Allah swt berfirman :

“Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepadamu: ‘Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia Ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, niscaya Allah menyiksa kamu dengan siksaan yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (QS At Taubah : 38 - 39)

Imam Asy Syaukani dalam kitab tafsirnya ‘Fathul Qadir’ menjelaskan bahwa ayat di atas tidak ada perbezaan pendapat, turun ketika perang Tabuk tahun ke 9 selepas hijrah, ketika ramai manusia yang menyanggah perintah Rasulullah saw untuk berangkat ke Tabuk. 

Pada ayat 38, Allah menggunakan kalimah pertanyaan :

‘Apakah sebabnya jika dikatakan kepadamu’ yang merupakan pengingkaran dan celaan ke atas perilaku mereka iaitu :

Apa yang menghalangi kamu untuk berangkat (an nafr)?

‘An Nafr’ adalah bertolak secara cepat dari satu tempat ke tempat lain kerana adanya perintah.

Apakah halangan itu adalah kenikmatan dunia? (dalam kitab lain disebut bahwa ketika itu sedang musim menuai pohon kurma). Padahal ia tidak seberapa dibandingkan kenikmatan akhirat yang abadi.

Ayat 39, kalimah ‘Illa tanfiruu’ (jika kamu tidak berangkat untuk berperang) merupakan satu peringatan yang keras dan ancaman yang amat serius ke atas orang-orang yang tidak mahu berangkat untuk berjihad ke Tabuk bersama Rasulullah saw.

“Yu’adzdzibkum ‘adzaaban aliima” ertinya kamu akan dibinasakan dengan azab yang keras dan menyakitkan. Ada yang mengatakan di dunia sahaja dan ada pula yang mengatakan lebih dari itu.

‘Wa yastabdil qauman ghairakum’ ertinya Allah Azza wa Jalla akan jadikan untuk RasulNya pengganti kamu dari kalangan orang-orang yang tidak santai dan menunda-nunda untuk memenuhi panggilannya.

Siapakah kaum itu?

Ada yang mengatakan penduduk Yaman dan ada pula yang menyebut Parsi, namun tidak ada keterangan yang spesifik tentang ini.

FirmanNya  lagi :

“Wa laa tadhurruu hu syai’a” (dan kamu tidaklah memberi kemudharatan kepadaNya sedikit pun).

Ayat di atas masih berkait dengan ‘yastabdil’ (diganti), adapun ‘dhamir’ (kata ganti nama) ‘hu’ disebutkan untuk Allah dan ada juga pendapat mengatakan ‘hu’ tersebut untuk Nabi saw.

Jadi maknanya :

Ia sama sekali tidak memudharatkan Allah jika kamu meninggalkan perintah untuk berangkat  berjihad dan sama sekali tidak merugikan RasulNya jika kamu tidak menolongnya dengan berangkat bersamanya.

FirmanNya lagi : ‘Wallahu ‘ala kulli syai’in qadiir’  (Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu)

Maksudnya di antara kekuasaanNya adalah  Dia mengazabkan kamu dan mengganti kamu dengan kaum yang lain.

Begitulah keterangan tafsir ayat dari Imam Asy Syaukani.

Demikianlah, Allah Azza Wajalla sangat mampu untuk mendapatkan rijal-rijal baru bagi menggantikan yang lama yang telah menjadi buih.

Buih adalah benda yang amat ringan dan mudah terumbang ambing dan tentunya sudah tidak berharga lagi.

Apakah Rijal yang dimaksudkan itu?

Siapa dan bagaimana rijal yang kita inginkan?

Apakah sekadar laki-laki sesuai dengan makna bahasanya?

Tidak!

Rijal di sini adalah rijal yang digambarkan oleh Al Qur’an bahkan ia bukan monopoli kaum laki-laki sahaja kerana secara nilai dan intipati sifatnya , ia boleh sahaja terdiri dari kaum wanita yang mungkin lebih ‘rijal’ dari laki-laki.

Inilah sifat-sifat Rijal tersebut :

PERTAMA : MENEPATI JANJINYA KEPADA ALLAH AZZAWAJALLA UNTUK MATI SYAHID

Allah swt berfirman :

dalam surat Al Ahzab (33):

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang gugur. dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).” (QS Al Ahzab : 33)

Ayat ini turun lantaran tekad seorang sahabat iaitu Anas bin An Nadhar ra yang luput dari perang Badar sehingga ia tidak dapat berjihad bersama Rasulullah saw ketika itu, lalu ia berjanji akan ikut menemani jihad Rasulullah di Uhud. Ketika berlaku peperangan, ia terbunuh dengan tujuh puluh luka akibat lemparan tombak, lalu turunlah ayat di atas. (HR Muslim)

Kekuatan untuk menepati janji inilah yang menyebabkan Anas bin An-Nadhar ra (bapa saudara Anas bin Malik ra) membuktikan tindakbalas spontan kepada Sa’ad bin Mu’az ra tatkala pasukan mukmin dalam keadaan terdesak oleh kepungan musyrikin di perang Uhud dengan ucapannya :

Ya Sa’ad ! Syurga… aku mencium baunya di bawah bukit Uhud..

Kemudian beliau maju menyambut syahid sehingga jenazahnya tidak dapat dikenali kecuali oleh saudara perempuannya melalui jari tangannya (Muttafaq ‘alaih - Riyadhus shalihin)

Rijal seperti ini tidak boleh duduk diam walau sejenak, ia :

  1. Sentiasa bergerak bersama dakwah atau para kafilahnya.
  2. Sedih jika tidak bersama mereka.
  3. Menangis jika ketinggalan dari kafilah dakwah.
KEDUA : BERJIWA PEMIMPIN

Inilah ciri-ciri Rijal Dakwah seterusnya iaitu :

  1. Cerdas.
  2. Kuat.
  3. Terjaga.
  4. Amanah.
  5. Bertanggung jawab.
  6. Bersedia menerima kritikan.
  7. Adil.
  8. Melindungi.
  9. Menjaga. 

Walaupun kadang-kadang ia mesti bersedia menerima arahan untuk menjadi perajurit biasa tanpa merasa direndahkan sebagaimana ‘Saifullah Al Maslul’ (pedang Allah yang terhunus) iaitu Khalid bin Al Walid ra.

Allah Azza wa Jalla berfirman :

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) ke atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka...(QS An Nisa’ : 34)

Ayat ini  merupakan ayat yang jelas bahwa lelaki adalah pemimpin bagi wanita, bukan hanya dalam rumahtangga tetapi juga dalam jamaah dakwah dan negara.

Sebahagian golongan liberal mengatakan bahwa ayat ini hanya menunjukkan bahwa kepemimpinan laki-laki hanya dalam rumahtangga. Ini suatu kefahaman yang perlu diperbetulkan.

Dalam ‘ushul fiqh’, ada istilah ‘qiyas aula’, contohnya, Allah Azza wa Jalla melarang keras seorang anak  berkata ‘uh’ terhadap kedua ibu bapanya. Nah! jika ‘uh’ dilarang keras, apalagi jika lebih dari itu seperti menganiaya secara fizikal.

Begitu pula dalam masalah ini, jika wanita bukanlah pemimpin dalam rumahtangga, apalagi kalau jawatan yang lebih tinggi dan kompleks dari itu seperti pemimpin sebuah negara.

Namun, tidak dapat dimungkiri lagi bahwa tidak sedikit lelaki yang bukan rijal!

Begitu juga, tidak dapat dimungkiri lagi bahwa tidak sedikit pula wanita kuat yang bermental waja dan berhati singa.

Merekalah mujahidah yang di tangannyalah lahir singa-singa dakwah dan jihad seperti Kamaluddin as Sananiri, Marwan Hadid, Said Hawwa, ‘Imad ‘Aqil, Muhammad Fathi Farhat, Abdullah Azzam dan lain-lain.

Rugilah para ibu yang tidak mampu membentuk peribadi-peribadi seperti mereka.

Walaupun anda bukan pemimpin, tetapi di tangan andalah lahirnya para pemimpin dan pahlawan.

KETIGA : SENTIASA BERZIKIR KEPADA ALLAH SWT

Rijal Dakwah, walau dalam keadaan bagaimana sekalipun, tidak akan terlepas darinya zikir kepada Allah, samada:

  1. Melalui lisan atau hati.
  2. Bersendirian atau keramaian.
  3. Lapang atau sibuk.

Berzikir kepada Allah Azza wa Jalla merupakan manifestasi dari kecintaan kepada Allah kerana banyak mengingati Allah merupakan salah satu alamat  (tanda) jatuh cinta kepada Allah Ta’ala.

Lebih dari itu, kerana Rijal Dakwah mengerti betapa dahsyatnya hari pembalasan itu.

Allah swt berfirman :

“Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.” (QS An Nur : 37)

Imam Asy Syaukani dalam tafsir ‘Fathul Qadir’ nya mengatakan :

Inilah sifat rijal di mana kesibukan mereka dalam perniagaan dan jual beli tidaklah melalaikan mereka dari mengingati Allah. Dikhususkannya perniagaan kerana itu adalah kesibukan yang paling besar bagi manusia.

Ada pun perbezaan antara ‘at tijaarah’ (perniagaan) dan ‘al bai’’ (jual beli) adalah jika ‘at tijaarah’ adalah aktiviti perdagangan bagi musafir, sedangkan ‘al bai’’ aktiviti perdagangan bagi yang bermukim, sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al Waqidy.

Imam Hasan Al Banna pernah berkata dalam sepuluh wasiatnya :

“Dirikanlah solat ketika engkau mendengar panggilannya, walaubagaimana sekalipun keadaanmu”.

Tindakbalasnya cepat terhadap hak ibadah seperti :

  1. Tepat waktu.
  2. Menjaga adab-adab dan rutinnya.

sehingga ia menjadi contoh bagi orang yang berinteraksi dengannya.

Tanpa ia berdakwah secara lisan (lisanul maqal) pun, manusia sudah dapat merasakan ajakan kebaikan melalui perilakunya (lisanul haal).

KEEMPAT : MEMAKMURKAN MASJID

Aktiviti Rijal Dakwah sentiasa terpaut dengan masjid, bukan semata-mata badannya, tetapi hati dan akhlaknya.

Di mana sahaja ia berada, ia tidak pernah menanggalkan akhlak masjid, iaitu taqwa.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda (tentang tujuh golongan manusia yang akan mendapatkan naungan pada hari akhir nanti, diantaranya) :

“……… Rajulun qalbuhu mua’llaqatun fil masjid (seseorang yang hatinya terpaut dengan masjid)”. (HR Muttafaq ‘Alaih. Riyadhus Solehin)

Dari Abu Zar dan Mu’az bin Jabal Radhiallahu ‘Anhuma, Rasulullah saw juga bersabda :

“Bertaqwalah kamu di mana sahaja berada, dan ikutilah perbuatan buruk kamu dengan perbuatan baik, nicaya(kebaikan) itu akan menghapuskan keburukan, dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik” (HR At Tirmizi)

Allah Ta’ala berfirman :

“Janganlah kamu bersolat dalam masjid itu (masjid dhirar) selama-lamanya. sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba’), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. di dalamnya mesjid itu ada orang-orang (rijal) yang ingin membersihkan diri. dan Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih. (QS At Taubah : 9)

Itulah ciri-ciri Rijal Dakwah!

Namun, tidak sedikit orang-orang yang dahulunya rijal, sekarang telah hilang dari peredaran masa, jangankan dakwah, solat berjamaah di masjid pun tidak kelihatan.

Ia sibuk dengan urusan dunia, mengumpulkan harta, mengejar sasaran hidup yang tidak pernah habis, bahkan justeru berbalik menyerang dakwah.

Kebersamaan dengan mereka kini hanya tinggal kenangan sahaja.

Dulu ;

  1. Menangis bersama.
  2. Usrah bersama.
  3. Daurah bersama.
  4. Mukhayyam bersama.
  5. Syura bersama.

Tapi kini?

Di mana dikau wahai saudaraku?

Boleh jadi, di antara mereka merupakan ‘mu’assis’ (perintis) dakwah ini.

  1. Dialah yang membuka ladang dakwah pertama kali di tempatnya.
  2. Dialah yang membangunkan manusia dari tidurnya.
  3. Dialah yang merekrut ramai mujahid muda.

Namun kini, di mana engkau wahai saudaraku?

Semoga Allah tidak menyia-nyiakan amalmu yang bermanfaat kerana yang bermanfaat akan tetap tinggal di bumi, adapun buih pasti akan lenyap.

Renungkanlah ayat ini :

“Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, Maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, Maka arus itu membawa buih yang mengambang. Dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.” (QS Ar Ra’du : 17)  

Ya Allah, tetapkanlah kakiku di atas jalan dakwah ini kerana hanya melalui jalan inilah telah lahir ramai Rijal-Rijal Dakwah yang telah menepati janji mereka denganMu di mana mereka berjiwa pemimpin dan hati mereka sentiasa berzikir mengingatiMu serta terpaut erat dengan rumahMu dan ditangan merekalah kejayaan dariMu sentiasa mengiringi samada Islam tertegak di mukabumi atau mereka syahid mendapatkan kenikmatan kehidupan abadi di sisiMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

[ Read More ]
Read more...
Newer Posts Older Posts
View mobile version
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
    Rijalud dakwah adalah seseorang yang telah di tarbiyah secara intensif sehingga memiliki persediaan untuk berjuang dan berkorban di jal...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Surah Yang Menjadi Pembela
    Allah swt telah menurunkan kepada kita Al Qur’an sebagai : a.        Cahaya. b.       Rahmat. c.        Ubat dari penyakit hati dan...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ▼  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ▼  March (18)
      • Naqib Titik Tolak Dakwah
      • Rijal Dakwah Sentiasa Bergantian
      • Al Qur'an, Ruh Yang Menghidupkan
      • Berinteraksi Dengan Al Qur'an
      • Mutiara Petunjuk Buat Murabbi
      • Kalam Berharga Buat Murabbi
      • Zikrullah Makanan Ruhani
      • Memahami Skop Dakwah & Tarbiyah
      • Prinsip Nasihat Yang Berkesan
      • Mencium Hembusan Angin Syurga
      • Memelihara Akhlak Memberi
      • Hak Allah Ke Atas Manusia
      • Peranan Aktif Aktivis Dakwah
      • Jamaah Perkukuhkan Dakwah
      • Cinta Penguat Dakwah
      • Gerbang Syuhada' Yang Menakjubkan
      • Dakwah Melalui Qudwah
      • Iman Asas Amanah
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger