skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Thursday, 18 July 2013

Ramadhan Mentarbiyah Umat

Ditulis Oleh WAS Pada 08:31 – 0 Komen Anda
 
Syukur kepada Allah kerana kita masih dipertemukan dengan bulan Ramadhan yang sangat mulia dan berharga untuk meraih pahala yang tiada batas. Kita semua sangat memerlukan datangnya bulan penyucian diri ini.

Allah swt telah menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai ‘madrasah ruhiyah’ (sekolah kerohanian) untuk mentarbiyah atau mendidik hamba-hambaNya.

“Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan. Bulan keberkatan yang Allah wajibkan puasa di dalamnya. Dalam bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak mendapat kebaikan di dalamnya, maka ia telah luput dari banyak kebaikan.” (HR Ahmad)

Ramadhan datang dengan membawa kebaikan dan keberkatan. Ia datang membawa berita gembira untuk seluruh alam.

Ramadhan datang untuk :

1.      Menyuci hati hamba-hamba yang berdosa.
2.      Mengangkat darjat para hamba yang berbakti semakin tinggi dari sebelumnya.

Ramadhan adalah bulan yang Allah pilih untuk menjadi saat turunnya kitab dan risalahNya.

Ia adalah :

a.       Bulan penghubung antara langit dan bumi.
b.      Saat rahmat tercurah dengan lebat.
c.       Saat ‘maghfirah’ (keampunan) meluncur bagai air bah.
d.      Saat cahaya terpancar memenuhi segala penjuru.
e.       Saat kebaikan memancar di setiap minit dan detiknya.

Dalam bulan ini, disyariatkan ibadah puasa yang mempunyai banyak sekali keutamaannya.

Puasa mempunyai pengaruh yang menakjubkan dalam menjaga anggota tubuh zahir dan kekuatan batin di dalamnya.

Puasa juga menjaga perkara-perkara yang buruk yang boleh mempengaruhi dan merosakkan jiwa.

Puasa dapat meningkatkan :

a.       Jiwa menuju ketinggian akhlak.
b.      Kehalusan budi.
c.       Keindahan pekerti.
d.      Kematangan peribadi.
e.       Kepekaan rasa.
f.       Penghambaan yang seutuhnya kepada Yang Maha Pencipta.

Puasa dapat membebaskan diri dari belitan nafsu yang mengajak kepada perkara-perkara yang rendah nilainya. Ia juga menjadikan jiwanya merdeka dari lilitan nafsu syahwat dan kebinatangan yang berdiri kuat dalam dirinya.

Dengan berpuasa, seorang hamba dapat :

1.      Mempersempitkan laluan syaitan dalam aliran darahnya.
2.      Mengubah rasa ego menjadi cinta dan kasih sayang.
3.      Mengubah sikap rakus menjadi ridha dan qana'ah.
4.      Menukar sikap liar menjadi sabar, tenang dan terarah.

Maka jadilah kebahagiaan dirinya :

1.      Tidak lagi terbatas pada pemuasan syahwat semata-mata.
2.      Tidak sekadar memuaskan keperluan jasmaninya yang tidak pernah ada penghujungnya.

Namun lebih dari itu, dengan berpuasa :

a.       Ia merasai kenikmatan jiwa yang tiada tara dalam dirinya.
b.      Ia akan merasai ketenangan dan kedamaian jiwa yang luar biasa dan sentiasa
bersamanya di manapun ia berada.
c.       Itulah kelazatan iman yang dapat membawanya kepada kebahagiaan abadi sepanjang
masa.

Ibnu Abdil Barr berkata :

“Cukuplah pernyataan Allah `Ash-Shaumu Li' –`Puasa adalah untukKu' menjadikan puasa suatu keutamaan dibandingkan dengan ibadah-ibadah lainnya.”

Ibnul Jauzi pernah berkata:

"Puasa itu ada tiga jenis :

1.      Puasa rohani iaitu dengan tidak banyak berangan-angan.
2.      Puasa akal iaitu dengan menentang hawa nafsu.
3.      Puasa anggota tubuh dengan menahan diri dari makan, minum dan hubungan badan"

Ketika Allah swt :

1.      Menjadikan Islam sebagai rahmat buat alam semesta.
2.      Menghendaki dari umat Islam menjadi umat terbaik.
3.      Menghendaki agar umat Islam mampu memikul amanah untuk memimpin dunia ini.
4.      Menghendaki agar umat Islam menjadi saksi bagi seluruh umat manusia.

Maka ketika itulah Allah swt mempersiapkan umat Islam sedemikian rupa agar umat Islam ini layak menjadi umat yang terbaik.

Di antara wasilahnya adalah dengan pembentukan manusia yang bertaqwa. Pembentukan manusia yang bertaqwa inilah yang banyak dilupakan manusia sehingga ukuran kemajuan atau ukuran kesejahteraan hidup diukur dengan kayu pengukur material.

Kita lupa bahwa manusia itu bukan hanya terdiri dari unsur material semata-semata, tetapi manusia juga mempunyai nurani yang mesti diperhatikan serta  perlu dibina sehingga layak untuk menjadi manusia yang terbaik.

Oleh kerana itu, Ramadhan hadir di tengah-tengah kita dalam rangka untuk menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik yang layak memimpin dunia ini.

Di dalam bulan Ramadhan ini, banyak sekali kebajikan Ilahi yang perlu kita dapatkan sehingga apabila kita keluar dari bulan Ramadhan ini, kita benar-benar menjadi :

a.       Manusia terbaik.
b.      Manusia yang berkualiti.
c.       Manusia yang berprestasi.

Oleh kerana itu, marilah kita benar-benar berusaha memahami puasa itu sebagaimana yang diharapkan oleh Allah swt.

PERTAMA : Puasa dapat membentuk manusia yang mampu mengawal kehendak diri sendiri.

Mengapa?

Ini adalah kerana puasa sangat berkait dengan keimanan seseorang. Seseorang boleh sahaja mengatakan bahwa dirinya sedang berpuasa, sekalipun sebenarnya tidak.

Oleh kerana itu puasa disebut sebagai ‘ibaadah sirriyyah’ (ibadah yang bersifat rahsia). Ia adalah rahsia antara seorang hamba dengan ‘Al-Khaliq’ (Pencipta) sehingga Allah swt mengatakan dalam sebuah hadits Qudsi yang sering kita dengar :

“Setiap amal manusia untuk dirinya sendiri, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku. Dan akulah yang membalasnya”.

Persoalannya adalah, apakah amal selain puasa tidak dibalas oleh Allah?

Ya, semuanya dibalas oleh Allah.

Tapi kenapa dalam masalah puasa Allah menegaskan bahwa Dia yang akan membalasnya sehingga seolah-olah amal yang lain itu bukan Allah yang membalasnya?

Ini merupakan isyarat Rabbaniyah bahwa amal manusia yang bernama ‘Ash-Shiyam’ benar-benar insyaAllah akan dijamin diterima oleh Allah swt.

Apakah yang lain tidak dijamin?

Ini adalah kerana puasa itu adalah ‘ibadah sirriiyyah’, di mana orang tidak mengetahui dan tidak melihat ketika kita berpuasa kerana ketika kita berpuasa, tidak ada orang lain yang tahu.

Maka ibadah yang ‘sirriyyah’ itu adalah sangat dekat dengan keikhlasan dan syarat agar suatu amal itu diterima oleh Allah, selain ia benar dan sesuai dengan ajaran Rasulullah saw, amal itu juga hendaklah ikhlas.

Oleh yang demikian, jika ingin menjadi orang yang popular, tidak boleh melalui pintu puasa. Kita boleh menjadi terkenal sebagai seorang pendakwah bebas, qari dan qari’ah, ahli politik dan lain-lain dan itu semuanya sangat rapat kaitannya dengan riya’ dan riya’ itu menjadikan amal tidak diterima oleh Allah swt.

Itulah  sebabnya mengapa dalam kaitannya dengan puasa ini Allah swt menegaskan bahwa Dia sendiri yang akan membalasnya.

Inilah yang dikatakan bahwa puasa akan melatih kita untuk mempunyai tingkatan pengawalan yang tinggi, baik ketika kita menjadi seorang pemimpin atau karyawan, ulama’ atau yang lainnya.

Kita tidak merasa dikawal oleh orang lain, namun yang terpenting adalah kita sedar bahwa kita diawasi oleh Allah swt.

KEDUA : Puasa mendorong kita agar obsesi kita tentang kehidupan akhirat itu lebih dominan daripada obsesi dunia.

Jadi obsesi ‘ukhrawi’ kita agar kita menjadi hamba Allah yang akan mendapatkan kenikmatan abadi itu mestilah lebih dominan daripada kesenangan yang sifatnya sementara.

Ini adalah kerana seluruh kenikmatan yang ada di dunia ini walauapapun namanya, harta, pangkat dan sebagainya semuanya itu bersifat sementara.

Oleh yang demikian, dalam bahasa Al Qur’an, kenikmatan dunia itu tidak disebut sebagai nikmat tetapi disebut sebagai “mata’”.

“Mata’” itu ertinya adalah :

“Sesuatu yang disukai oleh manusia, namun sedikit demi sedikit akan hilang.”

Jika kita ditakdirkan oleh Allah mempunyai isteri yang sangat cantik, namun ketika sudah berusia 60 tahun, maka kecantikannya pasti akan luntur, sehingga mungkin kita berfikir untuk mencari yang lebih muda lagi.

Kenapa?

Ini adalah kerana kenikmatan dunia itu pasti ada batasnya.

Puasa itu melatih kita agar obsesi yang ada dalam diri kita itu obsesi yang berkait dengan kehidupan yang abadi di akhirat.

Oleh yang demikian, makanan, minuman, isteri dan semua yang halal itu kita gapai dalam rangka untuk mendapatkan kenikmatan yang abadi.

Di berbagai negara, kita lihat bahwa masyarakatnya sedang menghadapi krisis multi dimensional ini dan dipenuhi dengan rusuhan, ketidakstabilan dan lain-lain disebabkan kerana ramai manusia di negara tersebut yang obsesinya bukan obsesi ukhrawi.

Ada orang yang ingin menjatuhkan orang lain dan ada pula yang khuatir kalau-kalau ia dijatuhkan. Jika obsesi duniawi ini dominan, boleh jadi kita akan kehilangan kehidupan ukhrawi kita.

Ketika kita memasuki bulan Ramadhan, maka kita akan ditarbiyah oleh Allah swt agar obsesi kita adalah obsesi ukhrawi. Namun ini bukan bererti kehidupan duniawi dilarang, tetapi duniawi itu bukan menjadi dominan dalam kehidupan kita.

Oleh sebab itu kita diajarkan untuk berdoa dengan doa berikut :

“Jangan jadikan dunia sebagai obsesi terbesar dalam kehidupan kami.”

KETIGA : Puasa ini akan melahirkan manusia-manusia yang benar-benar mempunyai mempunyai kepekaan sosial yang tinggi.

Dari mana dapat kita ketahui?

Ketika kita berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis atau puasa ‘Ayyamul Bidh’ (Hari-hari putih 13,14 & 15 bulan hijriyah), kita merasakan berpuasa sendirian namun apabila kita berpuasa di bulan Ramadhan, kita akan merasakan kebersamaan berpuasa dengan semua saudara-saudara muslim kita yang lain.

Namun, sayang sekali apabila kita perhatikan sebahagian besar masyarakat kita sudah mula hilang akan kepekaan sosial.

Ini terbukti apabila berlaku tindakan kemungkaran di tempat awam, sangat sedikit kita temui orang yang mengambil peduli dengan membantu untuk melawan pelaku kemungkaran tersebut.

Ini menjadi bukti akan lesunya sikap kepedulian dalam kehidupan sosial sehingga  kemaksiatan sudah menjadi sebuah institusi dan orang ramai hanya diam ketika menyaksikannya.

Padahal di zaman Rasulullah saw, orang tidak akan tinggal diam ketika melihat suatu kemungkaran. Bahkan jauh selepas kehidupan Rasulullah saw, samada di zaman ‘tabi’in’ ataupun ‘tabi’it tabi’in’, di mana mereka masih kuat beriltizam dengan ajaran Allah sehingga  sensitiviti sosial mereka itu sangat tinggi.

Misalnya, di zaman dahulu, jika kita solat jamaah di masjid, kemudian kita melihat ada jiran tetangga atau saudara kita tidak datang, maka selepas selesai solat, semua ahli jamaah terus mendatangi orang yang tidak solat berjamaah tadi untuk menziarahinya, seolah-olah orang yang tidak solat jamaah itu adalah orang yang mati sehingga perlu diberi ‘ta’ziyah’.

Jika seandainya kita tidak solat jamaah dan kemudiannya kita diberi ‘ta’ziyah’, maka kita akan termotivasi untuk sentiasa solat jamaah dan solat jamaah adalah ibadah yang sangat berkait dengan sensitiviti sosial.
Pada zaman Rasulullah saw, kemaksiatan juga berlaku di mana ada juga sahabat yang berbuat maksiat kerana mereka bukanlah malaikat. Sekalipun sebaik-baik generasi adalah generasi di zaman Rasulullah saw, tetapi ada juga yang terjerumus ke dalam maksiat.

Misalnya ada yang pernah mencuri, ada yang pernah berbuat zina dan lainnya. Namun, perbuatan tersebut amat kecil sekali sehingga jarang ditemui malah ianya hanya bersifat peribadi dan dilakukan dengan sembunyi-sembunyi.

Ironiknya, sekarang maksiat itu dilakukan beramai-ramai dan secara terang-terangan tanpa rasa malu sehingga yang benar itu tertutup dan akhirnya keamanan tidak terzahir. Yang zahir adalah sesuatu yang menakutkan. Bahkan kadang-kadang hingga di tempat yang suci seperti masjidpun, orang tidak dapat khusyu’ solatnya kerana takut kasut atau seliparnya hilang.

Jika di masjid sahaja orang masih tidak khusyu’ beribadah kerana khuatir menjadi korban kejahatan, maka bagaimanalah di tempat yang lain?

Ini semua adalah kerana ramai manusia yang telah kehilangan kepedulian sosialnya.

Inilah bezanya antara zaman kita dengan zaman Rasulullah saw. Bahkan di zaman Rasulullah saw, ketika ada seorang wanita melakukan zina dan kemudian dia hamil, dia sendiri kemudiannya bertaubat dan malah dia sendirilah yang melaporkan perbuatannya itu kepada Rasulullah saw kerana ketika dia berzina, itu berlaku kerana kelemahan imannya.

Dalam hadits dijelaskan bahwa :

“Tidaklah seseorang berani berbuat zina, sementara dia dalam keadaan beriman.”

Ketika seorang wanita berzina dan selepas itu ia sedar bahwa ia telah berbuat dosa, ia terus datang kepada Rasulullah saw meminta agar dia dihukum sesuai dengan ajaran Islam.

Jadi, memang benar bahwa pada zaman Rasulullah saw pun ada orang yang berbuat salah. Namun, ketika ada di antara mereka yang berbuat salah, dia langsung mengaku dan minta dihukum, padahal orang lain tidak tahu.

Sekarang bagaimanakah keadaannya?

Adakah jika kita bersalah, kita datang untuk minta dihukum?

Sesungguhnya, seorang mukmin yang benar-benar beriman, ia benar-benar yakin bahwa siksa akhirat itu lebih pedih.

Jadi, seandainya semua orang sama dengan wanita yang bertaubat ini, maka mahkamah kehakiman mungkin tidak lagi menjadi suatu keperluan.

‘Ash-shiyam’ secara bahasa ertinya adalah ‘Al-Habsu’ (menahan diri), iaitu menahan diri dari seluruh bentuk kemaksiatan.

Jika setiap dari kita menahan diri, jangankan terhadap yang haram, yang harus pun akan kita tinggalkan.
Makanan, minuman dan hubungan dengan isteri itu adalah sesuatu yang harus dan dibolehkan tetapi di bulan Ramadhan pada siang harinya semuanya mampu kita tahan.

Jika yang halal sahaja pun dapat kita tahan, apalagi yang haram?

Oleh kerana itu dalam berpuasa, jangan kita lakukan secara terbalik, iaitu yang harus ditinggalkan tetapi yang haram dilakukan.

Makanan, minuman ditinggalkan tetapi mengumpat dilakukan dan rasuah berjalan terus dengan alasan untuk persiapan menyambut hari raya.

Inilah kepekaan-kepekaan ruhani yang benar-benar mengalir dalam setiap diri kita ketika kita berpuasa sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt.

Begitu juga jangan sampai ada di antara kita yang menganggap bahwa puasa itu berat. Bahkan Rasulullah saw dan para sahabat serta para tabi’in, ramai di kalangan mereka yang melalui Ramadhan dalam keadaan berjihad di jalan Allah swt.

Perang Badar, Perang Fathu Makkah, Perang ‘Aiin Jaalut’ yang berlaku pada abad ke-7 Hijriyah, di mana tentera-tentera Islam di bawah pimpinan kerajaan ‘Mamluk’ dapat mengalahkan tentera-tentera salib yang berlaku di bulan Ramadhan.

Begitu hebatnya kemenangan yang dicapai oleh umat Islam pada bulan Ramadhan sehingga Allah swt mengabadikannya dalam Al Qur’an di mana perang Badar disebut sebagai ‘Yaumal Furqan’ :

“Ketahuilah, sesungguhnya apa sahaja yang dapat kamu perolehi sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan Ibnu sabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqaan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Maha Penguasa segala sesuatu” (QS Al-Anfal : 41)

Pasukan kebenaran yang jumlahnya sedikit, namun dimenangkan oleh Allah swt dalam melawan pasukan batil yang mempunyai kekuatan besar dan jumlah tentera yang sangat banyak.

Oleh kerana itu, semoga Ramadhan yang kita lalui ini dapat menghantarkan kita kepada kemenangan iaitu kemenangan umat Islam dalam :

1.      Melawan hawa nafsu.
2.      Melalui pelbagai krisis.
3.      Menghadapi perselisihan.
4.      Pertikaian politik antara sesama mereka.
5.      Menghadapi konspirasi dunia antarabangsa yang digerakkan oleh golongan Zionis Yahudi.

Marilah kita jadikan Ramadhan ini sebagai sebuah momentum untuk mentarbiyah kembali umat ini agar ia sentiasa kembali kepada Allah sehingga kita mencapai kemenangan yang hakiki.

Ya Allah, jadikanlah Ramadhan yang kami lalui ini sebagai madrasah untuk kami mentarbiyah jasad, akal dan ruh kami sehingga semuanya tunduk dan pasrah di bawah pengawasanMu. Permudahkanlah untuk kami mengutip bahan-bahan yang cukup bernilai dan berharga di dalamnya sehingga kami dapat menghasilkan produk yang benar-benar berkualiti dan diterima di sisiMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS


[ Read More ]
Read more...
Sunday, 14 July 2013

Kembalikan Semangat Ramadhan

Ditulis Oleh WAS Pada 19:18 – 0 Komen Anda
 

Tidak terasa kepada kita bahwa waktu terus berlalu dan hari-hari telah dilalui sehingga kita kini bertemu kembali dengan bulan Ramadhan Al Mubarak.

Seperti baru kelmarin Ramadhan tahun lepas kita tinggalkan, iaitu bulan mulia yang
penuh dengan keberkatan.

Jika kita mengimbau suasana di bulan Ramadhan tahun lalu itu, kita mungkin merasa begitu dekat dengan Allah swt.

Kita lalui hari-harinya untuk sentiasa beribadah kepadaNya dengan :

a.      Solat berjamaah di masjid.

b.     Solat Tarawikh.

c.      Qiyamullail.

d.     Tilawah Al Qur'an.

e.      Sedekah.

dan berbagai ibadah lainnya.

Lebih-lebih lagi di sepuluh hari terakhirnya di mana kita tidak ketinggalan untuk :

1.     Beri'tikaf di masjid bagi lebih mendekatkan lagi diri kita ke pangkuan Ilahi.

2.     Memanjatkan doa memohon ampun atas semua dosa yang pernah kita lakukan.

Selepas Ramadhan itu pergi, memasuki bulan Syawal kita masih boleh menghadirkan semangat Ramadhan pada diri kita dengan melaksanakan ibadah puasa sunnah Syawal.

Masih boleh kita pertahankan untuk menghiasi malam-malamnya dengan qiyamullail.

Tilawah Al Qur'an masih boleh satu juz dalam sehari serta ibadah-ibadah yang lainnya.

Subhanallah!!!

Namun secara perlahan-lahan semangat Ramadhan itu hilang dari diri kita diiringi semakin jauhnya kita dengan Allah swt yang boleh dikesan apabila :

a.      Berkurangnya kualiti ibadah kita.

b.     Dosa-dosa pun banyak yang kita perbuat.

Astaghfirullah!!!

Kualiti ibadah kita mencerminkan nilai keimanan yang ada pada diri kita.

Ketika kualiti ibadah kita itu menurun bererti menurun pula nilai keimanan kita kerana memang keimanan kita kadang-kadang menaik dan kadang-kadang menurun.

Imam Ghazali menjelaskan bahwa keimanan kita naik dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan sebaliknya keimanan kita menurun dengan melakukan kemaksiatan kepadaNya.

Tanpa kita sedari begitu banyak dosa itu datang dari :

1.     Pandangan mata kita.

2.     Ucapan lisan kita.

3.     Pendengaran telinga kita.

4.     Segenap pancaindera kita.

Sungguh semua itu tidak terasa kita lakukan kerana memang begitu halus cara syaitan menggelincirkan kita dari jalan yang di ridhai oleh Allah swt sekalipun kita adalah orang yang sentiasa rajin beribadah, apatah lagi mereka yang memang jauh dari ajaran agama ini.

Dari berbagai arah syaitan mencuba dengan memujuk rayu supaya kita menjadi manusia-manusia pembuat dosa.

Dari arah depan kita, ia datang menggoda, dari arah belakang kita, ia datang menggoda, juga dari arah kanan dan kiri kita, ia datang menggoda supaya kita manusia jauh dari ketaatan.

Ini merupakan janji syaitan / iblis kepada Allah swt yang diabadikan di dalam Al Qur'an:

“Iblis menjawab : Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).”(QS Al A'raaf : 16-17)

Menyedari diri kita yang penuh dengan dosa inilah, maka kedatangan bulan Ramadhan sangat kita rindukan.

Ia adalah bulan yang mulia dan bulan yang penuh dengan keberkatan di mana Allah swt dalam bulan Ramadhan ini menjanjikan untuk :

a.      Menghapuskan dosa-dosa kita.

b.     Mengabulkan segala doa yang kita panjatkan kepadaNya.

Semoga Allah swt masih memberikan nikmatNya kepada kita sebuah anugerah terindah iaitu boleh merasakan kembali bulan Ramadhan tahun ini.

Walaubagaimanapun, ramai juga orang-orang yang terdekat dengan kita, teman, sahabat, saudara bahkan juga ibubapa kita telah mendahului kita mengadap Ilahi. Mereka pergi dan tidak akan pernah kembali lagi selama-lamanya.

Mereka tidak sempat merasakan lagi bulan Ramadhan dan semua itu adalah takdir yang kita tidak boleh lagi untuk menawarnya.

Semoga mereka yang telah mendahului kita di ampuni oleh Allah swt akan dosa-dosanya... Ameen...

Kita juga belum tahu, apakah Allah swt akan mentakdirkan kita mampu melalui bulan Ramadhan sepenuhnya untuk tahun ini atau kita ditakdirkan menyusul orang-orang yang
terdekat dengan kita yang telah lebih dahulu mengadap Ilahi sebelum berakhirnya Ramadhan.

Oleh kerana itu, jangan tunggu hingga berakhirnya bulan Ramadhan datang untuk kita bertaubat kepadanya.

Mulailah dari sekarang untuk kita dekatkan diri kepada Allah swt. Jangan sampai kita termasuk orang-orang yang zalim kerana kita enggan bertaubat.

Firman Allah swt :

“...dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS Al Hujuraat : 11)

Marilah kita buka lembaran Ramadhan ini dengan taubat dan menutup lembaran terakhirnya dengan taubat.

Jadikanlah taubat amal pertama, amal pertengahan dan amal terakhir di bulan ini.

Sungguh setiap manusia tidak pernah kosong dari sikap lalai. Setiap manusia itu bersalah dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat.

Allah, Rabbul Izzah adalah Zat yang :

1.     Paling berhak untuk ditaati dan tidak dilanggar perintahNya.

2.     Paling utama untuk diingati dan tidak dilupakan.

3.     Paling layak untuk disyukuri dan tidak dikufuri.

Dengarlah firman Allah swt ini :

“Dan bertaubatlah kamu kepada Allah seluruhnya, wahai orang-orang yang beriman, semoga kamu menjadi orang-orang yang menang…” (QS An Nur : 31)

Rasulullah saw bersabda :

“Wahai manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah dan mohonlah ampun kepadanya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam satu hari seratus kali…” Dan dalam riwayat lain disebutkan….’tujuh puluh kali’.”

Bersegeralah bertaubat dan meminta ampun sebelum datangnya bencana yang dapat menutup pintu taubat.

Sungguh, kebaikan itu tidak pernah lapuk dan dosa itu tidak mungkin dilupakan. Allah swt telah menyeru seluruh orang yang melakukan dosa untuk kembali dan bertaubat kepadaNya.

Allah menjelaskan bahwa Dia mengampuni dosa bagi siapa yang mahu bertaubat dan menghentikan perbuatan dosanya.

Dengarlah panggilan Allah swt :

“Katakanlah : “Wahai hambaKu yang telah melampaui batas atas diri mereka sendiri, janganlah engkau putus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah swt mengampuni dosa-dosa semuanya…Sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (QS Az Zumar : 53)

Taubat adalah sikap kembali :

1.     Seorang hamba kepada Allah swt.

2.     Meniti jalanNya yang lurus.

3.     Menjalani perintahNya.

Allah swt berfirman :

“Dan ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan lain yang boleh memisahkan kamu dari jalanNya. Demikianlah kami wasiatkan kamu semoga kamu bertaqwa.” (Qs Al Anaam : 153)

Jika kita termasuk orang-orang yang tidur, waspadalah sebelum :

a.      Keranda kematian menjemput kita.

b.     Datang serangan yang menghancurkan semua kenikmatan.

c.      Datang sesuatu yang mencerai-beraikan perkumpulan dengan orang yang dicinta.

Tidak ada :

1.     Yang dapat menghalangi kedatangannya.

2.     Yang dapat membatasi kehadirannya.

3.     Yang dimintakan izin untuk kedatangannya.

4.     Pintu yang terketuk untuk kehadirannya.

Inilah bulan Ramadhan yang kita sekarang berada di dalamnya. Inilah bulan taubat di mana Allah mencurahkan seluruh keampunan kepada kita  dan menurunkan limpahan kebaikan.

Berbahagialah orang yang menyambut dan benar perilaku amal di dalamnya. Celakalah apabila kita termasuk orang yang tertolak dari pintu Ramadhan.

Maka, marilah hadirkan semangat Ramadhan itu kembali beserta  qiyamullail, tilawah Al Qur'an dan ibadah-ibadah lainnya supaya kita lebih bersedia untuk mengisi hari-harinya dengan sentiasa beribadah kepadaNya.

Sungguh, jangan lalui hari-harinya dengan sia-sia.

Berusahalah ketika kita berada dalam bulan Ramadhan ini untuk menjemput rahmatNya dengan berlumba-lumba membuat kebajikan dan mempersembahkan kepada Allah
swt ibadah-ibadah terbaik kita di mana dengan itu semua Allah swt akan membanggakan kita kepada para malaikatNya.

Rasulullah saw bersabda :

“Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkatan. Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat kamu berlumba-lumba pada bulan ini dan membanggakan kamu kepada para malaikatNya. Maka tunjukkanlah kepada Allah perkara-perkara yang baik dari kamu kerana orang yang sengsara (celaka) adalah orang yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini.” (HR At Thabrani)

Hadirkanlah semangat Ramadhan itu kembali. Jika memang Allah akan memanggil kita
sebelum berakhirnya Ramadhan itu, kita sudah berada dalam kedekatan kepadaNya serta  dalam keadaan iman yang terbaik.

Itulah yang kita harapkan jika memang Allah swt telah tentukan akhir waktu umur kita hidup di dunia ini.

Tetaplah berdoa memohon kepada Allah swt untuk kita dapat mengisi waktu kita sepenuhnya dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan pada tahun ini.

Setiap orang pasti menginginkan kejayaan dari apa yang dilakukannya di bulan Ramadhan.

Ada dua pilihan yang tersedia :

a. Mengusahakan secara terbaik bagi manfaat untuk diri sendiri.

b. Mengusahakan secara terbaik bagi manfaat untuk orang lain.

Kecenderungan pertama nampak jelas pada orang yang berlumba atau memberi fokus dalam mengumpulkan makanan untuk berbuka puasa bagi dirinya tanpa rasa peduli terhadap keadaan orang lain.

Kecenderungan kedua pula nampak pada mereka yang lebih menunjukkan sifat peduli dan berkongsi rasa dengan sesama muslim iaitu :

1. Mengambil peduli akan keperluan orang ramai sehingga mendorongnya untuk
berkongsi ilmu dan pemikiran.

2. Mengambil peduli dengan kesedihan orang lain sehingga mendorongnya untuk
berkongsi perasaan dalam hati.

3. Mengambil peduli dengan kemiskinan / kesusahan orang lain sehingga mendorongnya
untuk berkongsi harta benda.

Manusia yang paling baik adalah manusia yang paling banyak manfaatnya bagi manusia lainnya. Nampaknya asas manfaatnya ini boleh dijadikan kriteria untuk mengukur kejayaan seseorang dalam menjalani tarbiyah Ramadhan.

Barangsiapa yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain tanpa melupakan manfaat bagi dirinya sendiri maka dialah yang paling berjaya menjalani tarbiyah Ramadhan.

a. Manfaat ilmu adalah dengan memberikan nasihat dan pengarahan.

b. Manfaat hati adalah dengan perhatian, cinta, kasih sayang dan doa bagi
keluarga atau saudara-saudaranya.

c. Manfaat harta adalah dengan menginfakkan kepada mereka yang berhak dan
memerlukan.

Boleh jadi, itulah rahsianya kenapa Rasulullah saw begitu peduli dengan nasib kaum Muslimin di bulan Ramadhan.

Baginda begitu cepat dan ringan dalam menginfakkan harta melebihi cepat atau lajunya angin berhembus.

Sikap seperti itu merupakan tauladan yang memberi hikmah bahwa Rasulullah saw menginginkan umatnya untuk lebih bernilai dan bermanfaat bagi saudara lainnya kerana
ketulusan iman tercermin dari manfaat yang diberikannya kepada orang lain.

Semoga Allah membimbing kita untuk sentiasa boleh bermanfaat kepada orang lain terutamanya di bulan Ramadhan di mana Rasulullah saw telah mencontohkannya kepada kita dengan memaksimumkan manfaat hidupnya untuk kepentingan umat.

1.     Wahai kelalaian yang menyelimuti hati, hilanglah.

2.     Wahai mentari ketaqwaan dan keimanan, bersinarlah.

3.     Wahai lembar-lembar amal orang yang berpuasa, naiklah.

4.     Wahai hati orang-orang yang berpuasa, tunduklah.

5.     Wahai kaki-kaki orang yang mendirikan tahajjud, sujudlah dan ruku’lah kepada tuhanMu.

6.     Wahai mata orang yang bertahajjud, jangan lemah.

7.     Wahai dosa orang yang bertaubat, janganlah kembali.

8.     Wahai langit jiwa, merdekalah.

9.     Wahai lintasan fikiran orang-orang yang arif, bangkitlah.

10.  Wahai kecintaan selain Allah, jangan datang.

Ya Allah, panjangkanlah umur kami sehingga kami dapat melalui Ramadhan ini dengan penuh kekuatan dan Engkau hadirkanlah kembali semangat Ramadhan di dalam hati kami sehingga kami dapat mengisi hari-harinya dengan amal-amal yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada diri kami bahkan kepada kaum Muslimin yang lain.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Newer Posts Older Posts
View mobile version
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
    Rijalud dakwah adalah seseorang yang telah di tarbiyah secara intensif sehingga memiliki persediaan untuk berjuang dan berkorban di jal...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Surah Yang Menjadi Pembela
    Allah swt telah menurunkan kepada kita Al Qur’an sebagai : a.        Cahaya. b.       Rahmat. c.        Ubat dari penyakit hati dan...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ▼  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ▼  July (5)
      • Ramadhan Mentarbiyah Umat
      • Kembalikan Semangat Ramadhan
      • Mengejar Matlamat Puasa
      • Menjadi Pendokong 'Al Haq'
      • Puasa Di Bawah Naungan Al Qur'an
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger