skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Thursday, 26 July 2012

Ramadhan Menyegarkan Kehidupan

Ditulis Oleh WAS Pada 09:08 – 0 Komen Anda
 

Rasa bosan kebiasaannya timbul apabila kita melakukan sesuatu aktiviti secara berulang kali.
Jika rasa bosan ini sudah muncul, maka produktiviti kerja akan semakin menurun dan akhirnya keghairahan untuk menikmati kehidupan menjadi semakin memudar.
Maka, pada ketika itulah manusia memerlukan aktiviti penyegar untuk membangkitkan semula perasaan ghairahnya yang sudah layu.
Islam datang kepada manusia mengajarkan berbagai aktiviti penyegar yang sihat bagi manusia. Oleh kerana itulah banyak ajaran Islam disyari’atkan oleh Allah berada di tengah-tengah kesibukan yang membosankan.
Di antara pengaruh yang diharapkan adalah kemampuan untuk menumbuhkan jiwa yang segar dan semangat hidup kembali menjadi stabil.
Jika kita membuat perkiraan ke atas semua kegiatan ibadah yang diajarkan oleh Islam, maka kita akan dapati bahwa :
  1. Solat lima waktu menjadi wasilah penyegar terhadap kehidupan rutin harian kita.
  2. Solat Jumaat menjadi wasilah penyegar terhadap rutin mingguan.
  3. Bulan Ramadhan adalah wasilah penyegar terhadap rutin tahunan.
Dari perkiraan tersebut, nampak jelas konsep Islam dalam menimbulkan suasana penyegaran yang berbeza jauh dengan konsep lainnya.
Islam tidak mengajarkan proses penyegaran untuk merasakan kerehatan, tetapi mengajak untuk menyibukkan diri dengan aktiviti lain.
Allah swt berfirman :
“Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap”. (QS Al-Insyirah : 7-8)
Islam memandang bahwa semangat hidup berkait rapat dengan keadaan hati seseorang. Hati orang-orang yang beriman tidak akan pernah berputus asa, sementara orang kafir sangat berpotensi untuk berputus asa.
Dari sini kita faham bahwa ibadah-ibadah yang diajarkan oleh Islam itu akan menumbuhkan semangat waja sehingga hidup menjadi lebih bermakna.
Berbicara tentang Ramadhan, Allah swt telah menjadikan bulan ini sebagai madrasah ruhiyah (sekolah kerohanian) untuk mentarbiyah atau mendidik hamba-hambaNya.
"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan. Bulan keberkatan yang Allah wajibkan puasa di dalamnya. Dalam bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak mendapat kebaikan di dalamnya, maka ia telah luput dari banyak kebaikan." (HR Ahmad)
Syukur kepada Allah, kita masih dipertemukan dengan bulan yang sangat mulia dan berharga untuk meraih pahala yang tiada batas. Kita semua sangat memerlukan datangnya bulan penyucian diri ini.
Ramadhan datang :
  1. Dengan membawa kebaikan dan keberkatan.
  2. Dengan membawa berita gembira untuk seluruh alam.
  3. Untuk menyuci hati hamba-hamba yang berdosa.
  4. Untuk mengangkat darjat para hamba yang berbakti ke tahap semakin tinggi dari sebelumnya.
Ramadhan adalah bulan yang Allah pilih untuk menjadi saat turunnya kitab dan risalah-Nya.
Ia adalah :
  1. Bulan penghubung antara langit dan bumi.
  2. Saat rahmat tercurah dengan lebat.
  3. Saat maghfirah (keampunan) meluncur bagai air bah.
  4. Saat cahaya terpancar memenuhi segala penjuru.
  5. Saat kebaikan memancar di setiap minit dan detiknya.
Dalam bulan ini, disyariatkan ibadah puasa yang mempunyai banyak sekali keutamaan.
Puasa :
  1. Mempunyai pengaruh yang menakjubkan dalam menjaga anggota tubuh luar dan kekuatan batin di dalamnya.
  2. Menjaga perkara-perkara yang buruk yang boleh mempengaruhi dan merosakkan jiwa.
  3. Meningkatkan jiwa menuju ketinggian akhlak, kehalusan budi, keindahan pekerti, kematangan peribadi, kepekaan rasa dan penghambaan yang seutuhnya kepada Yang Maha Pencipta.
  4. Membebaskan diri dari belitan nafsu yang mengajak kepada perkara-perkara yang rendah nilainya.
  5. Menjadikan jiwanya merdeka dari lilitan nafsu syahwat dan kebinatangan yang berdiri kuat dalam dirinya.
Dengan berpuasa, seorang hamba dapat :
  1. Mempersempitkan laluan syaitan dalam aliran darah.
  2. Mengubah rasa ego menjadi cinta dan kasih sayang.
  3. Mengubah sikap rakus menjadi ridha dan qana'ah.
  4. Menukar sikap liar menjadi sabar, tenang dan terarah.
Maka jadilah kebahagiaan dirinya tidak lagi terbatas pada pemuasan syahwat semata-mata. Tidak sekadar memuaskan keperluan jasmaninya yang tidak pernah ada penghujungnya.
Namun lebih dari itu, dengan berpuasa :
  1. Ia menikmati kenikmatan jiwa yang tiada tara dalam dirinya.
  2. Ia akan merasai ketenangan dan kedamaian jiwa yang luar biasa dan sentiasa bersamanya di manapun ia berada.
Itulah kelazatan iman yang dapat membawanya kepada kebahagiaan abadi sepanjang masa.
Ibnu Abdil Barr berkata :
"Cukuplah pernyataan Allah ‘Ash-Shaumu Li’ – ‘Puasa adalah untukKu’ menjadikan puasa suatu keutamaan dibandingkan dengan ibadah-ibadah lainnya."
Ibnul Jauzi pernah berkata :
"Puasa itu ada tiga bentuk :
  1. Puasa rohani iaitu dengan tidak banyak berangan-angan.
  2. Puasa akal iaitu dengan menentang hawa nafsu.
  3. Puasa anggota tubuh dengan menahan diri dari makan, minum dan hubungan badan”
Berbagai macam ibadah diajarkan di bulan ini yang akhirnya adalah untuk menyegarkan kembali aktiviti kehidupan di samping menumbuhkan semangat hidup baru.
Mari kita renungkan beberapa perkara berikut :
PERTAMA : WAKTU SAHUR
Di Bulan Ramadhan, Allah swt mengajarkan hambaNya untuk melakukan sahur. Waktu sahur adalah waktu yang sangat mustajab.
Allah swt meletakkan kemuliaan yang sangat besar pada waktu tersebut. Sayang sekali, kebanyakan manusia hanya memanfaatkannya untuk makan sahur tanpa meluangkan waktu untuk bermunajat kepadaNya.
Mengapa mereka melalaikan sabda Rasulullah saw seperti berikut?
“Rabb kita (Allah) swt turun pada setiap malam ke langit dunia, pada sepertiga malam terakhir, lalu berfirman, ”Siapa yang berdoa kepadaKu maka aku akan kabulkan baginya, siapa yang meminta kepadaKu, maka aku beri kepadanya, Siapa yang meminta ampunan maka Aku akan mengampuninya” (HR Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya kita sangat memerlukan waktu-waktu seperti ini untuk :
a. Memohon kebaikan hidup di dunia dan akhirat kepada Allah swt.
b. Memohon keselamatan hati kita.
c. Memohon supaya hidup kita sentiasa bermakna.
KEDUA : SOLAT SUBUH DI MASJID
Ramai manusia yang meninggalkan solat subuh (fajar) dengan berjamaah di masjid. Kita boleh saksikan ketika solat Jumaat, masjid pasti sentiasa penuh tetapi jamaah Subuh tidak pernah mencapai ¼ dari jamaah Jumaat.
Lalu datanglah bulan Ramadhan, untuk menyedarkan bahwa di sana ada solat yang disaksikan oleh para malaikat.
Firman Allah swt :
“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat)”. (QS Al-Isra’ : 78)
Rasulullah saw menambahkan :
“Berikan khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan menuju masjid di kegelapan dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat kelak.” (HR Tirmizi dan Abu Dawud)
Sayangnya betapa ramai kaum muslimin yang meninggalkan solat jamaah subuh di bulan Ramadhan hanya kerana tertidur setelah bersahur. Alangkah ruginya meninggalkan aktiviti yang boleh memupuk semangat dan kesegaran hidup yang hakiki.
KETIGA : BERDOA
Rasulullah saw memberitahu kita bahwa doa orang yang berpuasa akan mendapatkan keutamaan pengabulan dari Allah swt.
Ini sebagaimana disebutkan di dalam hadis Nabi saw :
“Tiga golongan yang doanya tidak akan ditolak, di antaranya adalah orang yang berpuasa sehingga ia berbuka, di dalam riwayat lain dikatakan, orang yang puasa ketika hendak berbuka.” (HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Demikian juga Allah swt meletakkan ayat tentang berdoa di antara ayat-ayat yang menjelaskan tentang puasa iaitu ayat 186 surah Al Baqarah :
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”.
Para ulama’ menjelaskan bahwa rahsia perletakan ayat ini adalah untuk mengisyaratkan bahwa doa orang yang berpuasa itu tidak tertolak.
Namun berapa ramai di antara kita yang memperhatikan perkara ini?
Padahal doa inilah intipati ibadah di dalam Islam atau dengan kata lain, doa ini akan memberikan semangat dan kesegaran baru dalam kehidupan seorang muslim.
KEEMPAT : MEMBACA AL QUR’AN
Di bulan Ramadhan, Rasulullah saw memerintahkan untuk memperbanyakkan qira’at al-Qur’an atau membaca Al-Quran kerana bulan ini adalah bulan Al-Qur’an.
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). (QS Al-Baqarah : 185)
Selama bulan Ramadhan ini, hedaklah setiap muslim berusaha untuk mengkhatamkan Al- Qur’an meskipun hanya sekali.
Tentu sahaja membaca di sini bukan sekadar membaca tetapi bacaan yang disertai dengan tafakkur dan tadabbur.
a. Al-Qur’an bagi seorang mukmin adalah panduan hidup.
b. Al-Qur’an juga penawar hati dari segala penyakit jiwa.
Oleh itu membaca Al-Qur’an yang disertai dengan tadabbur akan membuatkan jiwa kita semakin segar dan terarah kehidupannya.
KELIMA : MEMPERBANYAKKAN SEDEKAH
Di bulan Ramadhan, Rasulullah saw memberikan contoh tauladan untuk  memperbanyakkan sedekah.
Sedekah adalah sebuah amal yang menjanjikan pahala yang sangat besar.
Allah swt berfirman;
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki. dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui. (QS Al-Baqarah : 261)
Dengan sedekah ini, maka akan :
  1. Terciptalah silaturrahim.
  2. Diperolehi makna ‘ukhuwwah fillah’ .
  3. Terjaga persatuan kaum muslimin.
Memulakan suatu kebiasaan baik adalah sebuah langkah yang berat tetapi Allah swt dan RasulNya saw telah mengajarkan kita untuk memulakan langkah pertama itu di bulan Ramadhan.
Sayang sekali, kebanyakan manusia menganggap bahwa Ramadhanlah hanya satu-satunya waktu untuk melakukan kewajiban ini semua dan bukan sebagai pembuka kepada permulaan amal soleh.
Akibatnya mereka menghentikan semua amal soleh itu setelah selesainya Ramadhan. Inilah yang menjadikan kita sentiasa kembali ke titik permulaan semula.
Ramadhan semestinya dijadikan garis permulaan yang mesti sentiasa diteruskan dengan tindakan selanjutnya dan ditingkatkan, bukan dianggap sebagai suatu musim ibadah seperti musim-musim yang lain, bersemangat ketika tiba dan berhenti ketika ramadhan berakhir.
Ramadhan adalah waktu terapi intensif untuk memperbaiki dan menjernihkan hati. Ibadah puasa, sahur, solat tarawih, berdoa, membaca Al-Quran, infak dan sedekah serta segenap ibadah yang diperintahkan dan disyariatkan didalamnya merupakan rangkaian program pembaikan diri dan masyarakat.
Saat-saat Ramadhan ini juga adalah waktu yang tepat untuk membuktikan kekuatan :

  1. Menahan keinginan dan perasaan.
  2. Kesetiaan dalam ucapan.
  3. Kebenaran dalam sikap.
  4. Ketabahan dalam melaksanakan komitmen yang sudah diputuskan.

Jika kita mampu meneruskan segala amal soleh yang telah dimulai pada bulan Ramadhan, maka selepas dari bulan Ramadhan, kita akan merasakan hidup baru iaitu hidup yang lebih menyegarkan namun jika kita kalah di bulan Ramadhan, maka bersedialah untuk kalah di bulan-bulan selepasnya.

Ya Allah, kurniakanlah kekuatan jiwa kepada kami supaya kami mampu jadikan Ramadhan sebagai medan permulaan kepada kami untuk kami laksanakan amal-amal soleh yang boleh menyegarkan kembali iman dan keyakinan kami kepadaMu sehingga ianya boleh merubah orientasi dan cara hidup kami ke arah yang lebih baik dan menyegarkan.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Wednesday, 25 July 2012

Hakikat Puasa Yang Bernilai

Ditulis Oleh WAS Pada 09:00 – 1 Komen Anda
 

Nilai puasa di sisi Allah swt adalah sangat bergantung pada kualitinya.

Semakin ia berkualiti, semakin tinggi nilainya di sisi Allah swt.

Sebaliknya :

Puasa yang kualitinya sekadar menahan lapar dan dahaga, ia tidak bernilai apa-apa di sisi Allah swt.

Rasulullah saw bersabda :

“Betapa ramai orang yang berpuasa tapi tidak mendapatkan apa-apa baginya kecuali rasa lapar.” (HR An-Nasaie dan Ibnu Majah)

Puasa di bulan Ramadhan merupakan ibadah istimewa yang akan dinilai secara langsung oleh Allah swt sehingga ia tidak dibataskan hanya dengan pahala 10 hingga 700 kali ganda.

Rasullullah saw bersabda :

“Setiap amal anak Adam dilipatgandakan; satu kebaikan dibalas dengan sepuluh (10) kebaikan yang serupa hingga tujuh ratus (700) kali. Allah Azza wa Jalla berfirman, “Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku sendiri yang membalasnya…” (HR Muslim, An-Nasaie, Ad-Darimi dan Al-Baihaqi)

Adalah menjadi suatu kemestian bahwa kita :

  1. Melakukan amal dengan bersungguh-sungguh.
  2. Berusaha mendapatkan kualiti yang tertinggi.
Inilah yang menjadi sebab mengapa Dr. Musthafa Dieb Al-Bugho dan Muhyidin Mistu dalam kitab mereka ‘Al-Wafi’ iaitu syarah kepada hadits 40 ketika menjelaskan hadits berikut :

“Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan dalam segala hal .” (HR Muslim)

Mereka berdua mengatakan:

Hadits ini merupakan nash (dalil) yang menunjukkan kemestian berlaku ihsan iaitu dengan melakukan suatu perbuatan dengan :

  1. Terbaik.
  2. Usaha maksima.
Maka, begitulah juga dengan puasa.

Marilah kita tunaikan puasa kita dengan sebaik-baiknya sehingga ia benar-benar menjadi puasa yang bernilai.

Jadi, apakah kriteria-kriteria puasa yang bernilai itu?

PERTAMA : IKHLAS

Inilah penentu awal nilai puasa kita iaitu keikhlasan.

Ia tidak hanya berlaku untuk puasa semata-mata bahkan seluruh amal akan ditentukan pertama kalinya oleh ukuran ini.

Jika ia melakukannya dengan ikhlas kerana Allah maka amalnya akan menuju Allah (berpeluang diterima oleh Allah), tetapi jika ia melakukannya kerana selain Allah, maka amal itu tidak memiliki peluang sama sekali untuk menjadi bernilai di sisi Allah swt.

Rasulullah saw bersabda :

“Sesungguhnya segala amal tergantung pada niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan.” (HR Bukhari dan Muslim)

Demikian juga dengan keampunan yang dijanjikan oleh Allah bagi orang yang berpuasa kerana tidak semua orang akan mendapatkan keampunan ini secara percuma.

Hanya mereka yang ikhlas sahaja yang berhak mendapatkan janji ini dan membuktikannya di hadapan Allah swt di akhirat kelak.

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharap perhitungan (pahala) akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Muttafaq ‘alaih)

Hadits di atas sekaligus menjadi dalil bahwa mengharapkan pahala dari Allah swt adalah termasuk dalam kategori ikhlas.

Ini berbeza dengan ungkapan golongan sufi yang ekstrim mengatakan tentang keikhlasan:

Ya Allah,
Jika aku beribadah kepadaMu kerana mengharapkan syurga.
Haramkanlah aku memasukinya.
Jika aku beribadah kepadaMu kerana takut neraka.
Campakkanlah aku ke dalamnya.


Alhamdulillah, menjaga keikhlasan puasa itu lebih mudah daripada ibadah lain kerana puasa adalah amalan batin.

Maka Imam Al-Ghazali menjelaskan dalam kitab ‘Ihya’ Ulumiddin’ :

“Puasa itu sendiri adalah rahsia yang padanya tidak ada amal yang disaksikan. Seluruh amal ketaatan itu disaksikan dan dilihat oleh makhluk sedangkan puasa hanya dilihat oleh Allah Azza wa Jalla, kerana puasa itu amal batin dengan semata-mata kesabaran.”

KEDUA : MENINGGALKAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

Tentu sahaja untuk menjadikan puasa kita bernilai, puasa itu mestilah sah, ertinya, kita mesti meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Sayyid Sabiq dalam kitab ‘Fiqh Sunnah’ menjelaskan bahwa perkara-perkara yang membatalkan puasa itu dibahagi kepada dua :

PERTAMA : Perkara-perkara yang membatalkan puasa dan wajib qadha’.

  1. Makan atau minum dengan sengaja.
Jika seseorang makan dan minum dalam keadaan lupa, itu tidak membatalkan puasanya.

“Barangsiapa yang lupa, padahal ia berpuasa, lalu ia makan atau minum, hendaklah ia meneruskan puasanya. Kerana ia diberi makan dan minum oleh Allah.” (HR  Jamaah)

  1. Muntah dengan sengaja

    “Barangsiapa didesak muntah, ia tidak wajib mengqadha’, tetapi siapa yang menyengaja muntah hendaklah ia mengqadha’. (HR Ahmad, Abu Dawud, Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Daruquthni dan Hakim)
  2. Mengeluarkan mani samada kerana mencium isterinya atau hal lain di luar persetubuhan dan mimpi. Jika bersetubuh ia dikenakan kafarat dan jika kerana mimpi maka tidak mempengaruhi puasanya.
  3. Meniatkan berbuka. Oleh kerana niat merupakan rukun puasa, maka niat berbuka bererti membatalkan puasanya.
KEDUA : Perkara-perkara yang membatalkan puasa dan wajib qadha’ dan kafarah.

Mengenai tindakan membatalkan puasa dan kerananya wajib qadha serta kafarah, menurut jumhur ulama hanyalah bersetubuh dengan isteri dan tidak ada yang lain.

Kafarahnya adalah memerdekakan hamba, jika tidak mampu maka berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak mampu juga maka hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin.

“Abu Hurairah berkata: Seorang laki-laki datang mendapatkan Nabi saw. Ia berkata, “Celaka aku, wahai Rasulullah!” Nabi saw bertanya, “Apa yang mencelakakan itu?” “Aku menyetubuhi isteriku pada bulan Ramadhan.” Maka tanya Nabi saw “Adakah padamu sesuatu untuk memerdekakan hamba?” “Tidak” ujarnya. Nabi bertanya lagi, “Sanggupkah engkau berpuasa dua (2) bulan terus menerus?” “Tidak”, ujarnya. Nabi bertanya lagi, “Apakah engkau memiliki makanan untuk diberikan kepada enam puluh (60) orang miskin?” “Tidak” ujarnya. Laki-laki itu pun duduk, kemudian dibawa orang kepada Nabi satu bakul besar berisi kurma. “Nah, sedekahkanlah ini” titah Nabi. “Apakah kepada orang yang lebih miskin daripada kami?” Tanya laki-laki itu. “Kerana di daerah yang terletak di antara tanah yang berbatu-batu hitam itu, tidak ada suatu keluarga yang lebih memerlukannya daripada kami” Maka Nabi pun tertawa hingga geraham beliau terlihat lalu berkata, “Pergilah, berikanlah kepada keluargamu.” (HR Jamaah)

KETIGA : MENINGGALKAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBUATKAN PUASA SIA-SIA

Ikhlas serta meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja tidak cukup untuk menjadikan puasa kita memiliki nilai yang tinggi.

Unsur lain yang perlu kita lakukan adalah meninggalkan perkara-perkara yang menjadikan puasa kita sia-sia.

“Betapa ramai orang yang berpuasa tapi tidak mendapatkan apa-apa baginya kecuali rasa lapar.” (HR An-Nasaie dan Ibnu Majah)

Iaitu dengan menjauhi perkara-perkara yang telah diharamkan oleh Allah swt, di antaranya adalah menjaga emosi kita agar tidak marah seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw :

“Puasa adalah perisai, maka barangsiapa sedang berpuasa janganlah berkata keji dan berteriak keras, jika seseorang mencela atau mengajaknya bertengkar hendaklah dia mengatakan : aku sedang berpuasa.” (Muttafaq ’alaih)

Begitu juga dengan perkataan dan perbuatan dusta, boleh membuatkan puasa menjadi sia-sia dan oleh kerana itu, mestilah dijauhi.

“Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan palsu dan pengamalannya, maka Allah tidak mempunyai keperluan untuk meninggalkan makanan dan minumannya (puasanya).” (HR Bukhari)

KEEMPAT : MENINGGALKAN PERKARA-PERKARA YANG TIDAK BERMANFAAT

Sering kita jumpai, ada orang yang berpuasa lalu mengisi siang harinya dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat dengan alasan agar ia lupa akan rasa lapar dan dahaga selama ia berpuasa misalnya dengan menghabiskan masa seharian :

  1. Di depan televisyen.
  2. Bermain permainan komputer.
  3. Melayari laman sesawang yang tidak berfaedah.
Perkara-perkara seperti ini hendaklah ditinggalkan agar puasa kita benar-benar memiliki nilai.

“Di antara tanda sempurnanya Islam seseorang adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat.” (HR Tirmizi dan Ibnu Majah)

KELIMA : BERPUASA DENGAN SELURUH ORGAN TUBUH, FIKIRAN DAN HATI

Inilah yang diistilahkan sebagai puasa khusus oleh Imam Al Ghazali dalam kitab ‘Ihya’ Ulumiddin’ dan ditegaskan semula oleh Ibnu Qudamah dalam kitab ‘Mukhtashar Minhajul Qasidin’.

1. Berpuasa mata dengan menahannya dari pandangan kepada sesuatu :

  1. Yang tercela.
  2. Dibenci oleh syari’at.
  3. Yang melalaikan.
Allah swt berfirman :

“Pandangan itu salah satu anak panah Iblis yang berbisa. Barangsiapa meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka Allah Azza wa Jalla memberinya keimanan yang manisnya dirasai dalam hatinya.” (HR Hakim)

2. Berpuasa lidah dengan memeliharanya dari :

  1. Berbicara tanpa arah.
  2. Berdusta.
  3. Mengumpat.
  4. Memfitnah.
  5. Berkata buruk.
  6. Berkata kasar.
  7. Permusuhan.
  8. Menzalimi orang lain.
“Puasa adalah perisai, maka barangsiapa sedang berpuasa janganlah berkata keji dan berteriak keras, jika seseorang mencela atau mengajaknya bertengkar hendaklah dia mengatakan: aku sedang berpuasa.” (Muttafaq ’alaih)

3. Berpuasa telinga dari mendengarkan segala sesuatu yang :

  1. Haram.
  2. Makruh.
Ini adalah kerana segala sesuatu yang haram diucapkan adalah haram pula untuk didengarkan. Bahkan, Allah swt mengumpamakan orang yang mencari pendengaran haram dengan pemakan harta haram.

“Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan makanan haram.” (QS Al-Maidah : 42)

“Mengapa orang-orang alim mereka, pendita-pendita mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram. Sesungguhnya amat buruk apa yang telah mereka kerjakan.” (QS Al-Maidah : 63)

4. Berpuasa tangan dari :

  1. Menzalimi orang lain.
  2. Mengambil sesuatu yang bukan haknya.
  3. Melakukan perbuatan yang dilarang oleh syari’at.
5. Berpuasa kaki dari berjalan ke arah yang diharamkan oleh Allah swt.

6. Berpuasa hati dari penyakit-penyakit kerohanian seperti :

  1. Dengki.
  2. Riya’.
  3. Marah.
  4. Kecintaan pada dunia.
“Janganlah kamu saling membenci, saling memutus hubungan, saling mendengki dan saling bermusuhan. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari dan Muslim)

7. Berpuasa fikiran dari membayangkan perkara-perkara :

  1. Yang disukai oleh syahwat.
  2. Yang dibenci oleh syari’at.
  3. Tipu daya dan lintasan fikiran yang merosakkan minda.
KEENAM : MEMPERBANYAKKAN AMAL SOLEH SEPANJANG BULAN RAMADHAN

Ramai orang tersilap faham dengan memperbanyakkan tidur ketika bulan puasa kerana merasakan itu sebagai ibadah.

Memang ia lebih baik dibandingkan jika ia melakukan perkara-perkara yang makruh atau haram.

Namun, tentunya lebih baik lagi jika dalam masa puasa, kita memperbanyakkan amal soleh dan mengisinya dengan aktiviti-aktiviti positif yang bernilai ibadah di sisi Allah swt seperti :

  1. Memperbanyakkan tilawah Al-Qur’an.
  2. Berzikir kepada Allah swt.
  3. Membanyakkan solat sunnah.
  4. Bertafakur.
  5. Mengkaji ilmu-ilmu agama.
  6. Memperbanyakkan infaq.
Rasulullah saw dan para shahabatnya sangat mengerti tentang keutamaan Ramadhan dan bagaimana memperbaiki nilai puasa mereka dan oleh yang demikian, dalam kesempatan istimewa itu mereka memperbanyakkan amal soleh.

Ibnu Abbas ra menuturkan bagaimana peningkatan amal soleh Rasulullah saw, khususnya tilawah dan infaq sebagai berikut:

“Rasulullah saw adalah orang yang paling dermawan. Dan kedermawanannya memuncak pada bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya setiap malam untuk tadarus Al-Qur’an. Sungguh Rasulullah saw lebih murah hati melakukan kebaikan daripada angin yang berhembus.” (HR Bukhari)

Demikianlah cara untuk mewujudkan puasa yang memiliki nilai tinggi.

Semoga kita termasuk orang-orang yang dimudahkan oleh Allah swt sehingga dapat berpuasa dengan kualiti seperti itu dan akhirnya :

  1. Mencapai darjat taqwa.
  2. Mendapatkan keampunan dari Allah swt.
  3. Meraih ridha Allah swt.
  4. Dimasukkan ke dalam syurgaNya.
Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami untuk kami melaksanakan ibadah puasa dengan bersungguh-sungguh, berkualiti serta menepati tujuan ia disyari’atkan. Jauhkanlah kami dari terjatuh ke dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa atau mengurangkan pahala dan ganjaran dariMu. Kurniakanlah keampunan yang tidak bertepi dariMu serta keutamaan untuk kami menemui malam Al Qadr yang lebih baik dari seribu bulan.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS 

[ Read More ]
Read more...
Tuesday, 24 July 2012

Perjuangan Mendapatkan Taqwa

Ditulis Oleh WAS Pada 08:46 – 0 Komen Anda
 

Ada satu perkataan yang sangat penting dalam Al Qur’an. Perkataan itu adalah taqwa.

Mengapa?

Ini adalah kerana taqwa merupakan :
  1. Tujuan dari diturunkannya Al Qur’an.
  2. Tujuan dari diutusnya Rasulullah saw.
  3. Pra-syarat meraih kebahagiaan dunia dan akhirat.
“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal.” (QS Al Baqarah : 197)

Sesungguh, adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila dalam khutbah Jumaat, khatib sentiasa mengajak jamaah untuk bertaqwa.

Salah satunya yang tersebut dalam ayat berikut :

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (QS Ali Imran : 102)

Tidak kurang dari 15 kali perkataan taqwa berulang dalam Al Qur’an. Perintah bertaqwa (ittaqu) pula berulang sebanyak 69 kali sedangkan perkataan ‘muttaquun’ (orang-orang yang bertaqwa--jamak) sebanyak 6 kali dan ‘muttaqiin’ sebanyak 43 kali.

Perkataan ‘taqwa’ diambil dari akar kata ‘waqaa-yaqii’ yang bermakna menjaga (melindungi) dari bencana atau sesuatu yang menyakitkan.

Pendapat lain menyatakan bahwa perkataan ini diambil dari akar kata ‘waqwaa’, kemudian huruf ‘wau’ pada awalnya diganti dengan ‘ta'’ sehingga berbunyi ‘taqwa’, yang ertinya terhalang.

Ada ungkapan yang dinilai sebagai berasal dari Rasulullah saw yang menyatakan ‘al-taqii muljam’ bahwa orang bertaqwa itu terkawal lidahnya.

Ungkapan ini bermakna sikap berhati-hati. Demikianlah huraian Dr Quraish Shihab tentang makna taqwa dalam bukunya ‘Secercah Cahaya Ilahi’.

TAQWA BUKAN SEKADAR RITUAL

Persamaan perkataan taqwa dengan sikap berhati-hati terungkap dalam percakapan antara Umar bin Al Khatthab dengan Ubay bin Ka'ab.

Ketika itu, Ubay bertanya kepada Umar tentang makna taqwa.

Khalifah yang kedua ini kemudiannya bertanya balik, “Pernahkah engkau berjalan di tempat yang penuh duri?

Ya pernah, ungkap Ubay.

Apa yang engkau lakukan? tanya Umar kembali.

Tentu aku sangat berhati-hati melaluinya!”  jawab Ubay.

“Itulah yang dinamakan taqwa”, tegas Umar.

Jadi, orang yang bertaqwa adalah orang yang berhati-hati dalam bersikap di mana segalanya penuh perhitungan manakala kefahaman, emosi dan gerakan fizikalnya benar-benar dipandu oleh peraturan Ilahi agar seiring dan sejalan.
  1. Mereka tidak mahu menerima wang, kecuali wang tersebut didapati dengan cara yang dibenarkan.
  2. Mereka tidak mahu makan, kecuali makanan yang terjamin kehalalannya, baik zatnya atau cara mendapatkannya.
  3. Mereka tidak mahu berbicara, kecuali pembicaraannya benar dan tidak menyakiti.
  4. Mereka tidak mahu berniaga, kecuali perniagaannya tidak merugikan orang, barang yang dijual terjamin kehalalannya, tidak melanggar undang-undang dan tidak tersentuh unsur riba.
Intipatinya, dalam perkara apa pun, orang yang bertaqwa sentiasa menyertakan sikap berhati-hati yang bersumber dari keinginan untuk menyelaraskan diri dengan peraturan Allah swt.

Dalam bahasa pengurusan, orang yang bertaqwa adalah orang yang ‘pro-aktif'.

Ertinya, ia mampu :

“Memanfaatkan ruang antara stimuli (rangsangan) dan respons (tindakan) untuk berfikir sesuai dengan prinsip.”

Secara mudahnya, orang yang bertaqwa itu sentiasa melibatkan fikiran dalam setiap tindakannya sehingga tindakan yang dihasilkan dapat dipertanggungjawabkan di dunia dan di akhirat kerana selalunya berasaskan kepada prinsip-prinsip Ilahiyah.

Contohnya, seorang pegawai di pejabat menerima sampul surat berisi wang dua ribu ringgit. Ini merupakan satu stimuli.

Apakah respons pegawai ini?

Jika ia seorang ‘muttaqin’, maka ia tidak akan menerima sampul surat tersebut begitu sahaja.

Ia akan bertanya :
  1. Sampul surat ini dari siapa?
  2. Untuk apa?
  3. Apakah sesuai dengan prosedur yang sedia ada?
  4. Apakah ianya halal untuk diambil?
  5. Apakah tidak menyalahi nilai-nilai kejujuran dalam agama?
Jika memang sampul surat itu hak dirinya serta terjamin kehalalannya, maka ia terima. Namun jika tidak, ia menolak walaupun dipaksa.

Itulah respons yang didahului oleh proses berhenti sejenak untuk berfikir dan menyesuaikan diri dengan prinsip-prinsip Ilahi.

Dalam apa perkara pun, tidak semestinya yang hanya berkaitan dengan wang, malah tindakan dan ucapannya juga benar-benar terkawal dan penuh dengan sikap berhati-hati.

Sebenarnya, sikap berhati-hati dan mengawal diri akan menjamin keselamatan seseorang di dunia dan akhirat di samping ianya sebagai sebab bagi mengundang datangnya pertolongan Allah.

Firman Allah swt :

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya. Barangsiapa bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.” (QS At Thalaq : 2-5)

Sebaliknya, sikap suka menceroboh dan tidak mengawal diri akan membuatkan seseorang binasa.

Hampir semua masalah bermula dari tidak adanya sifat taqwa (kecerobohan, kurang perhitungan, kurang kawalan).
  1. Perkelahian boleh berlaku kerana tidak berhati-hati menjaga lidah.
  2. Terjerumusnya seseorang ke lembah hitam boleh bermula dari sikap kurang berhati-hati memilih pergaulan.
Maka jelaslah, taqwa itu tidak hanya sekadar diukur dengan jumlah ibadah-ibadah ritual semata-mata bahkan ianya mesti wujud dalam kehidupan seharian.

Benarlah firman Allah swt di awal tadi agar kita menjadikan taqwa sebagai bekalan.

RAMADHAN DAN SIKAP BERHATI-HATI

Ramadhan yang sedang kita jalani sekarang ini sebenarnya menjadi momentum yang tepat untuk menumbuhkan sikap berhati-hati.

Selama satu bulan penuh kita :
  1. Dilatih untuk tidak berkata kecuali yang baik, benar lagi sesuai dengan keadaannya.
  2. Dilatih mengendalikan perut untuk tidak makan makanan haram bahkan makanan halal secara berlebihan.
  3. Dilatih mengendalikan mata bukan sahaja dari memandang yang haram dipandang, tapi juga dari memandang hal-hal yang membawa kepada pembaziran.
  4. Dilatih menjaga panca indera lain dan perasaan agar semuanya terkawal.
Intipatinya, Ramadhan melatih kita menjadi manusia yang sentiasa berhati-hati.

Allah swt berfirman :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (QS Al Baqarah : 183)

PUASA MEMBUAHKAN TAQWA


Bagaimana caranya supaya puasa kita mampu mencapai darjat taqwa yang hakiki?

Dalam banyak penulisan Imam Al-Ghazali dan Imam Al-Qusyairi, kedua-duanya sangat menyarankan untuk berpuasa dalam tingkatan hakikat, namun tingkatan hakikat ini tidak dapat diraih dengan begitu mudah bahkan ianya perlu bertahap dari fasa ‘syariat’ ke fasa ‘thariqat’ dan akhirnya menuju ke destinasi ‘hakikat’.


Pada fasa syariat ini, seorang muslim perlu memahami dalil-dalil syari’e dan hukum sah dan batalnya puasa.
Kemudian ia diseru untuk meningkatkan puasanya ke tahap selanjutnya, iaitu thariqat di mana selain puasa secara lahiriah (syariat), ia juga mesti berpuasa dari aspek batinnya seperti :

1.      Mencela.
2.      Memaki.
3.      Bohong.
4.      Bertengkar.
5.      Berfikir tentang yang perkara-perkara yang boleh menaikkan hawa nafsunya.
6.      Melakukan perkara-perkara buruk yang boleh membuatkan rusaknya nilai puasa.
7.      Meninggalkan ibadah-ibadah wajib dan sunah yang rutin dikerjakan.

Jadi pada fasa thariqat, seorang muslim dituntut untuk lebih kreatif dan produktif dengan semakin meningkatkan amalan-amalan lainnya. Apabila seorang muslim tersebut tetap istiqamah dalam kedua fasa tersebut maka ia sedang menuju tangga hakikat.

Oleh kerana itu, ia mesti mampu merasakan dengan kesedaran penuh bahwa dengan puasa ia sebenarnya sedang berhubungan dengan Allah swt sehingga apapun yang kita kerjakan dan lakukan, samada ketika berpuasa ataupun saat di luar ibadah puasa, ia sentiasa merasa dijaga dan diawasi serta berada dalam aturan nash-nash dan semata-mata lillahi ta`ala.

Inilah yang dimaksudkan berada dalam tingkatan hakikat.

Pendekata :

a.       Puasa secara syariat adalah ‘khidmatullah’ (Ubudiyah kepada Allah).
b.      Puasa secara thariqat adalah ‘qurbatullah’ (Mendekatkan diri kepada Allah).
c.       Puasa secara hakikat ialah ‘maiyyatullah’ (Merasakan kehadiran Allah dalam setiap keadaan).

Akhirnya, puasa di bulan Ramadhan bukan hanya melaksanakan syariat, tetapi juga untuk mengembalikan kita pada fitrah dan kesucian.

Maka, bagi mereka yang membersihkan diri (tazkiyatun nafs), adalah sayugia untuk sampai kepada ‘idul fitri’.


Yang jelas bahwa dengan melaksanakan peraturan Allah dengan penuh keikhlasan akan memudahkan kita menuju menjadi manusia yang sempurna iaitu manusia yang tidak lagi bergantung kepada sesuatu yang lain samada kebendaan ataupun jawatan kerana segala keperluaannya telah dipenuhi dan dijamin oleh Yang Maha Sempurna.

Bukankah Allah swt berfirman :

“Dia telah memberikan kepadamu segala keperluan dari apa-apa yang kamu mohonkan. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah maka tidak akan dapat menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan ingkar” (QS Ibrahim : 34)


Jadi, benarlah yang diceritakan di atas bahwa kita yang mempunyai mata, telinga, mulut, tangan dan segala panca indera atau diberi akal dan hati tetapi sangat jarang bersyukur kapada Tuhan.

Padahal kalau kita renungkan bahwa dengan matalah, kita dapat melihat dan berpengetahuan, namun ketika kita mengetahui segala sesuatu yang terlihat dengan mata itu, kita jarang memikirkan kenapa mata dapat melihat dan siapakah yang menciptakannya.

Maka dengan melaksanakan puasa secara sesungguhnya, kita sedang dibina untuk menjadi manusia yang bertaqwa.

Untuk menjadi manusia yang bertaqwa, tentunya dilakukan dengan proses yang panjang. Ia diwajibkan berakhlak mulia, taat dan patuh terhadap perintah dan larangan agama dan hal ini termasuk melaksanakan puasa.

Apabila seorang muslim melaksanakannya dengan sebenar-benarnya, maka ia dianggap sebagai orang yang bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

Inilah sebabnya puasa Ramadhan diakhiri dengan idul fitri iaitu perayaan di atas kemenangan umat Islam yang berhasil mensucikan dan membersihkan dirinya dari perkara-perkara yang nista dan kotoran-kotoran jiwa.

Sebenarnya, kesucian dan kebersihan itu dipertahankan atau dijadikan “benteng” dari terpaan-terpaan negatif di bulan-bulan lain sehingga wajarlah apabila Rasulullah saw merasa sedih bila berada di penghujung hari-hari Ramadhan kerana khuatir takut nanti jiwa yang bersih dan suci itu akan dikotori oleh perkara-perkara yang akan membawa kepada dosa.

Oleh kerana itu, seorang muslim di katakan buruk apabila hari ini lebih buruk dari kelmarin.

Selain itu, ia juga dikatakan rugi jika kelak selepas Ramadhannya itu, ia tidak meningkatkan kualiti hidup atau menurun kuantiti dan kualiti ibadahnya.

Mereka inilah yang digelar sebagai tidak berhasil dan tidak berprestasi dalam puasa Ramadhannya.

Inilah yang diperingatkan dalam sebuah hadits bahwa :

“Ramai di antara orang yang berpuasa hanya mendapatkan rasa lapar dan dahaga, dan ramai orang yang solat malam (namun) yang didapatkannya itu hanya terjaga dari tidur (belaka).” (HR Ahmad dan Hakim)


Ya Allah, jadikanlah Ramadhan kami kali ini sebagai medan perjuangan untuk kami harungi segala halangan dan ujian bagi mencapai matlamat yang telah Engkau tetapkan iaitu mendapat hadiah ketaqwaan yang akan menjadi benteng keselamatan bagi iman kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Monday, 23 July 2012

Ramadhan Tonggak Inspirasi

Ditulis Oleh WAS Pada 09:05 – 0 Komen Anda
 

Marilah kita panjatkan pujian dan syukur kita ke hadhrat Allah swt yang telah memberikan kesempatan kepada kita bertemu kembali dengan bulan yang penuh rahmah, berkah dan maghfirah iaitu bulan Ramadhan.


Bulan ini adalah bulan peluang bagi umat Muhammad saw untuk meningkatkan amal ibadat dan berbagai amal soleh, sekaligus memaksimumkannya untuk meraih pahala yang dilipatgandakan dari amal kebajikan yang sama di bulan yang lain.


Ramadhan, sebagaimana yang disebut oleh Dr.Yusuf Al Qardhawi sebagai “madrasah mutamayyizah” (sekolah istimewa) yang dibuka oleh Islam setiap tahun untuk proses pendidikan praktikal bagi menanamkan seagung-agung nilai dan setinggi-tinggi hakikat iaitu ‘la’allakum tattaqun”, (agar kamu bertaqwa).


Semua aktiviti ibadah yang digiatkan di dalamnya merupakan “riyadhatu ruh” (latihan ruhani) untuk mencapai tingkatan “ubudiyah” tertinggi itu iaitu taqwa.


Inilah sasaran dan kesibukan kita di bulan yang penuh berkah ini, sekaligus inspirasi dalam gerak langkah hidup kita pada sebelas bulan berikutnya.


INSPIRASI PUASA


Di bulan Ramadhan kita menahan diri dari lapar dan dahaga serta syahwat di siang hari kerana Allah.


Ini adalah inspirasi tentang pentingnya “tazkiyah an-nafs” (pembersihan jiwa) dengan :

a.       Mematuhi perintah-perintahNya.
b.      Menjauhi segala laranganNya.
c.       Melatih diri untuk menyempurnakan ibadah kepada Allah semata-mata.

Jika kita mahu, boleh sahaja kita makan, minum dan bersama isteri kita di bulan ini dan tiada seorang pun yang mengetahuinya, namun kita tetap meninggalkan semua itu semata-mata kerana Allah swt.


Puasa Ramadhan juga memberi inspirasi kepada kita tentang kesederhanaan dan menjauhi sifat “israf” (berlebih-lebihan) dalam makan dan minum sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt :

 “…Makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (QS Al-A’raaf : 31)


Puasa menanamkan ajaran Islam yang mensejajarkan tuntutan jasmani dengan tuntutan rohani dan mencegah agar jangan sampai unsur yang satu itu mengalahkan unsur yang lain.


Puasa mendidik supaya jangan sampai manusia menjadi hamba perutnya di mana :

1.      Hidup di dunia ini sekadar untuk makan dan minum.
2.      Siang malam hanya sibuk memasukkan berbagai macam makanan dan minuman ke dalam perutnya.

Selain itu, puasa juga memberi inspirasi kepada kita tentang pentingnya :

a.       Menahan diri dari makanan dan minuman yang haram.
b.      Melatih jiwa agar mampu menahan diri dari nafsu serakah, tamak dan rakus.
c.       Melatih diri untuk menjaga pola hidup bersih.

Pola hidup bersih ini meliputi :

1.      Bersih hati dan batin dari kemusyrikan dan kemaksiatan.
2.      Bersih dari harta yang haram seperti riba (wang bunga), rasuah, manipulasi dan mencuri.
3.      Bersih zahir dan lingkungan dari berbagai macam kotoran.

 “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; Kerana Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (QS Al-Baqarah : 168)


IINSPIRASI TILAWAH AL-QUR’AN


Ramadhan adalah bulan diturunkannya Al-Qur’an,


 “…bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).” (QS Al-Baqarah : 185)


dan di bulan ini malaikat Jibril turun untuk memuraja’ah (mendengar dan mengecek) bacaan Al-Qur’an dari Rasulullah.


Imam Az-Zuhri pernah berkata :


“Apabila datang Ramadhan, maka kegiatan utama kita (selain puasa) ialah membaca Al-Qur’an”.


Ramadhan mengingatkan kita tentang wajibnya menjadikan Al-Qur’an sebagai :

a.       Sahabat karib.
b.      Kawan bicara.
c.       Guru.

Kita mesti membacanya dan jangan sampai hari berlalu tanpa menjalin hubungan dengan Al-Qur’an.


Demikianlah salafus soleh mencontohkannya kepada kita. Mereka begitu mencurahkan waktunya untuk Al-Qur’an sehingga Rasulullah saw pernah turun tangan untuk melarang mereka berlebih-lebihan di dalam membacanya.  


Perkara ini disebutkan dalam sebuah hadits di mana Nabi saw menyuruh Abdullah bin Amru bin ‘Ash untuk mengkhatamkan Al-Qur’an cukup sekali dalam sebulan, sekali dalam 20 hari, atau sekali dalam seminggu, tidak boleh kurang dari seminggu,


“Kerana sesungguhnya isterimu mempunyai hak yang mesti kau tunaikan, tamumu mempunyai hak yang mesti kau tunaikan, dan jasadmu mempunyai hak yang mesti kau tunaikan…” (HR Bukhari dan Muslim)


Utsman bin Affan memiliki kebiasaan mengkhatamkan Al-Qur’an dalam seminggu, ia membuka:

1.      Malam Jum’at dengan membaca Al-Baqarah sampai Al-Maidah.
2.      Malam Sabtu surah Al-An’am sampai surah Hud.
3.      Malam Ahad surah Yusuf sampai Maryam.
4.      Malam Isnin surah Thaha sampai Al-Qashash.
5.      Malam Selasa surah Al-Ankabut sampai Shad.
6.      Malam Khamis ia mengkhatamkannya.

Manakala di bulan Ramadhan ia mengkhatamkannya setiap hari.


Rasulullah saw bersabda tentang orang yang gemar membaca Al-Qur’an secara rutin.

“Di antara hamba-hamba Allah yang paling dicintai oleh Allah adalah ‘Al-Hallul Murtahil’ (orang yang singgah dan pergi).”


Para sahabat bertanya : “Siapakah ‘Al-Hallul Murtahil’ itu wahai Rasulullah?”


Baginda saw bersabda : “Orang yang mengkhatamkan Al-Qur’an lalu memulainya lagi dan orang yang memulai membaca Al-Qur’an kemudian mengkhatamkannya. Demikianlah, ia terus berada dalam keadaan singgah dan pergi bersama kitab Allah tabaraka wa ta’ala”.


Umar bin Abdul Aziz apabila disibukkan oleh urusan kaum muslimin, beliau mengambil mushaf dan membacanya walaupun hanya dua atau tiga ayat.


Beliau berkata :

“Agar saya tidak termasuk mereka yang menjadikan Al-Qur’an sebagai sesuatu yang ditinggalkan.”


Semua ini tentu sahaja dilakukan dengan tetap memperhatikan tajwid dan intipati asas diturunkannya Al-Qur’an untuk ditadabbur, difahami dan diamalkan.


 “Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (QS Shad : 29)


Dengan tilawah Al-Qur’an kita berharap dapat menumbuhkan ciri-ciri “Ummatun Qa’imah”, golongan yang berlaku lurus, seperti Abdullah bin Salam, seorang Yahudi yang kemudian diberi limpahan nikmat iman oleh Allah swt.


 “Mereka itu tidak sama; di antara ahli Kitab itu ada golongan yang berlaku lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di malam hari, sedang mereka juga bersujud (solat).” (QS Ali Imran : 113)


IINSPIRASI QIYAM RAMADHAN


Ibadah yang sangat ditekankan oleh Rasulullah saw malam Ramadhan adalah “Qiyam Ramadhan” atau yang biasa dikenali dengan solat tarawih.


Rasulullah saw bersabda :


“Barangsiapa yang melakukan qiyam dengan penuh iman dan perhitungan, maka diampuni dosanya yang telah lalu”. (Muttafaqun ‘alaih)


Qiyam Ramadhan memberi inspirasi kepada kita tentang pentingnya ‘taqarrub’ dan komunikasi intensif dengan Allah swt. Sebulan lamanya kita dilatih melaksanakannya agar selepas Ramadhan kita akan terbiasa melaksanakan qiyamullail.


Dari Jabir ra, ia barkata :

“Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya pada malam hari itu benar-benar ada saat yang seorang muslim dapat menepatinya untuk memohon kepada Allah suatu kebaikan dunia dan akhirat, pasti Allah akan memberikannya (mengabulkannya); dan itu setiap malam.” (HR Muslim dan Ahmad)


Qiyamullail adalah wasilah berkomunikasi seorang hamba dengan Rabbnya. Seorang hamba merasa lazat di kala munajat dengan Penciptanya.


Ia :

a.       Berdoa.
b.      Beristighfar.
c.       Bertasbih memuji  Penciptanya.

Manakala, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, sesuai dengan janjinya, akan mencintai hamba yang mendekatkan diri kepadanya. Jika Allah swt mencintai seorang hamba, maka Ia akan mempermudahkan semua aspek kehidupan hambaNya. Hambanya itu akan dekat dengan Rabbnya, diampuni dosanya, dihormati oleh sesama insan dan menjadi penghuni syurga yang disediakan untuknya.


IINSPIRASI ZAKAT, INFAQ DAN SEDEKAH


Rasulullah saw adalah orang yang paling pemurah dan di bulan Ramadhan Baginda lebih pemurah lagi. Kebaikan Rasulullah saw di bulan Ramadhan melebihi angin yang berhembus keranaa begitu cepat dan banyaknya dalam bersedekah.

Dalam sebuah hadits disebutkan,


“Sebaik-baik sedekah iaitu sedekah di bulan Ramadhan” (HR Al-Baihaqi, Al-Khatib dan At-Tirmizi)


Salah satu bentuk sedekah yang dianjurkan adalah memberikan ‘ifthar’ (santapan buka puasa).


Ini sepertimana sabda Nabi saw :

“Barangsiapa yang memberi ‘ifthar’ kepada orang-orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala senilai pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang puasa tersebut”. (HR Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah)


Di akhir bulan Ramadhan, kaum muslimin menunaikan zakat fitrah yang bertujuan untuk menyucikan orang yang melaksanakan puasa dan untuk membantu fakir miskin.


Zakat, infaq dan sedekah memberi inspirasi kepada kita agar sentiasa memiliki semangat kebersamaan dan kepedulian kepada sesama umat Islam.


Selain dalam rangka mematuhi perintah Allah, zakat juga memiliki hikmah :

1.      Menumbuhkan sikap menolong yang lemah.
2.      Mewujudkan sikap meratakan nikmat harta.
3.      Membersihkan jiwa kikir.
4.      Mewujudkan persaudaraan.

Ini semua tidak semestinya dilakukan dalam bulan Ramadhan sahaja, tetapi juga di bulan-bulan lainnya.


INSPIRASI I’TIKAF


I’tikaf adalah puncak ibadah Ramadhan kerana pada hakikatnya inti ibadah Ramadhan adalah usaha menahan diri (imsak) dari makan dan minum dan segala sesuatu yang membatalkannya di siang hari dengan harapan dapat menahan diri dari segala yang diharamkan Allah.


Sementara i’tikaf pula bukan hanya menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga menahan diri untuk :

a.       Tetap tinggal di masjid.
b.      Taqarrub kepada Allah.
c.       Menjauhkan diri dari segala aktiviti keduniaan.

Itulah sunnah yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah saw pada bulan Ramadhan, sepertimana yang disebutkan dalam sebuah hadits :


“Adalah (Nabi saw) beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan sehingga Allah ‘azza wa jalla mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda beri’tikaf sesudah itu.” (HR Bukhari dan Muslim)


Selama melakukan i’tikaf, seseorang tidak boleh bersetubuh dengan isteri, kerana hal itu boleh membatalkan i’tikaf.


Ini sesuai dengan ketentuan Al-Qur’an :

 “…Janganlah kamu bercampur dengan isteri-isterimu ketika kamu sedang i’tikaf di dalam masjid…” (QS Al-Baqarah : 187)


Tempat i’tikaf mestilah di dalam masjid dan tidak boleh di surau, mushalla, rumah atau tempat-tempat lain.
Selama i’tikaf, tidak boleh keluar dari masjid kecuali untuk keperluan-keperluan sangat mendesak seperti qadha hajat, mandi, berubat atau makan.


Perkara ini dijelaskan dalam hadits berikut :


Dari ‘Aisyah ra, ia berkata :


“Ketika I’tikaf Rasulullah saw pernah mengeluarkan kepalanya dari dalam masjid kepada saya, lalu saya sikat rambutnya. Baginda tidak masuk ke dalam rumah, kecuali ada keperluan.” (HR Bukhari dan Muslim)


Ibadah yang penting ini sering dianggap berat oleh kaum muslimin sehingga ramai yang tidak melakukannya.


Imam Az-Zuhri berkata :

“Aneh benar keadaan orang Islam, mereka meninggalkan i’tikaf, padahal Rasulullah tidak pernah meninggalkannya sejak baginda datang ke Madinah sehingga baginda wafat”.


I’tikaf memberi inspirasi kepada kita untuk membasmi virus ‘al-wahn’ di dalam jiwa.


Kita teringat hadits Nabi saw :

“Hampir datang masanya bangsa-bangsa mengerumuni kamu sebagaimana mengerumuni makanan di atas meja makan.” Ada yang bertanya: “Apakah saat itu kita sedikit?” Baginda menjawab: “Justeru ketika itu kamu  banyak, tetapi laksana buih di lautan. Allah telah mencabut rasa takut dalam dada musuh-musuh kamu terhadap kamu, sedangkan Allah telah melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘Al Wahn’,” Ada yang bertanya: “Apakah ‘Al Wahn’?” Baginda menjawab: “Cinta dunia dan takut mati!” (HR Ibnu Majah)


I’tikaf mengingatkan kita tentang ‘ubudiyah’ dan pengagungan Allah Rabbul ‘Alamin. Dengan melaksanakannya, manusia membuktikan bahwa dirinya bukan hamba dunia dan bukan pengagung dunia.


Memang demikianlah semestinya sikap seorang hamba yang beriman kerana Rasulullah saw bersabda:


“Apabila umatku mengagungkan dunia, maka dicabutlah kehebatan Islam darinya. Kemudian apabila meninggalkan amar ma’ruf nahi munkar, terdindinglah keberkatan wahyu”. (HR Tirmizi)


Marilah kita bangkitkan semangat beribadah di bulan Ramadhan ini dengan landasan iman dan kita jadikan puasa, tilawah Al-Qur’an, qiyam Ramadhan, zakat, infaq, sedekah, i’tikaf dan ibadah-ibadah lainnya sebagai ‘riyadhatu ruh’ (latihan ruhani) dalam meniti tingkatan ketaqwaan serta jangan biarkan Ramadhan berlalu tanpa kita menanamkan inspirasi bagi kehidupan kita.

Ya Allah, jadikanlah amal-amal ibadah yang kami lakukan di bulan Ramadhan ini sebagai inspirasi untuk kami pertingkatkan lagi di bulan-bulan yang lain. Berilah kekuatan semangat untuk kami gandakan aktiviti ibadah melalui latihan ruhani bagi mencapai tingkatan ubudiyah yang paling tinggi iaitu ketaqwaan.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS    
[ Read More ]
Read more...
Newer Posts Older Posts
View mobile version
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
    Rijalud dakwah adalah seseorang yang telah di tarbiyah secara intensif sehingga memiliki persediaan untuk berjuang dan berkorban di jal...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Surah Yang Menjadi Pembela
    Allah swt telah menurunkan kepada kita Al Qur’an sebagai : a.        Cahaya. b.       Rahmat. c.        Ubat dari penyakit hati dan...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ▼  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ▼  July (12)
      • Ramadhan Menyegarkan Kehidupan
      • Hakikat Puasa Yang Bernilai
      • Perjuangan Mendapatkan Taqwa
      • Ramadhan Tonggak Inspirasi
      • Ramadhan Yang Didambakan
      • Tausiyah Ramadhan Hasan Al Banna
      • Taujih Ramadhan Hasan Al Banna
      • Pesona Ramadhan Menggamit Lagi
      • Puasa Yang Menggugurkan Dosa
      • Madrasah Kebangkitan Umat
      • Meniti Laluan Rabbani
      • Mendalami Seni Berbicara
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger