skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Tuesday, 27 January 2015

Ketegaran Meniti Jalan Allah

Ditulis Oleh WAS Pada 07:27 – 0 Komen Anda
 
Secara terminologinya, ‘tsabat’ di jalan Allah bererti ketegaran, ketetapan dan keteguhan hati dalam menjejaki jalan Ilahi bertujuan :
1.      Meraih matlamat kehidupan.
2.      Berkorban demi tersebarnya nilai-nilai iman.
3.      Memberi komitmen terhadap prinsip agama.
4.      Istiqamah di atas manhaj Rabbani.
sehingga ia menemui Rabb-nya.
‘Tsabat’ adalah antonim (perkataan berlawanan) dari perkataan kegoncangan hati dan kebimbangan jiwa.
Rasulullah saw bersabda :
“Sesungguhnya umat sesudah kamu akan mengalami hari-hari (sulit) yang memerlukan kesabaran. Bagi orang yang konsisten (berpegang teguh pada ajaran Islam) sebagaimana yang kamu perbuat, akan mendapatkan balasan lima puluh kali ganda dari kamu.” Para sahabat bertanya, “Wahai Nabi Allah, apakah penggandaan pahala itu dari mereka?.” Baginda menjawab, “(Bukan), tetapi dari kamu.” (HR Tirmidzi dan dihasankan oleh Syeikh Al-Albani dalam kitab “Silsilah hadith-hadith shahih” no: 494 dan 957).
Al-Khazandar mendefinisikan ‘tsabat’ dengan ucapannya,
a.      Teguh dalam menjejaki jalan hidayah.
b.      Komitmen dengan tuntutan jalan ini.
c.       Berterusan mengukir kebaikan.
d.      Bersungguh-sungguh mendaki puncak ketaatan.
Ketika kita mendengar perkataan ‘tsabat’, maka ingatan kita terus melekat dengan peristiwa penyiksaan yang dialami oleh Bilal bin Rabah. Ketika itu ia menjadi hamba Umayyah bin Khalaf. Sewaktu Umayyah mendengar bahwa Bilal telah memeluk Islam, maka dia membuat berbagai cara penyiksaan yang tiada tara.
1.      Mengalungkan leher Bilal dengan tali yang kuat, lalu dia memerintahkan anak-anak kecil untuk mengaraknya berkeliling bukit di Makkah. Leher Bilal menampakkan kesan kemerahan disebabkan bekas dari jeratan tali itu kerana memang Umayyah mengikat tali tersebut dengan begitu kuat.
2.      Pernah di suatu siang hari yang panas terik membakar kulit, Umayyah melemparkannya ke padang pasir, kemudian meletakkan batu panas di atas dadanya, kemudian menarik kedua tangannya dengan sekuat tenaganya diiringi dengan pukulan dahsyat yang tidak terperi.
Meskipun demikian beratnya siksaan yang dialaminya, namun ke-istiqamahan dan ketegaran Bilal tidak goyah walau sedikitpun. Bibirnya di tengah siksaan tetap melantunkan kalimat suci, “Ahad, Ahad.” hingga akhirnya Abu Bakar membeli Bilal dari tangan Umayyah, lalu memerdekakannya.
Suara jeritan Ammar bin Yasir terdengar begitu jelas ketika kita berbicara tentang ‘tsabat’. Setelah ‘Ammar dan ayahnya Yasir serta ibunya Sumayyah memeluk Islam, maka Abu Jahal menyiksa mereka dengan siksaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ketika Rasulullah saw menyaksikan beratnya siksaan yang mereka alami, baginda hanya mampu memberikan untaian kata-kata hiburan yang mengandungi khabar gembira :
“Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana sesungguhnya tempat kembali kamu adalah syurga.”
Kemudian Abu Jahal menghunjamkan tombaknya pada kehormatan Sumayyah, hingga wanita tegar itu meraih syahadah. Sumayyah ra adalah ‘awwalu syahidatin fi al-Islam’ (wanita muslimah pertama yang mati syahid di jalan Islam).
Abu Fulaikah mengalami siksaan yang berbeza, nama asalnya ialah Aflah, hamba dari bani Abdi Ad Dar, ia diikat kedua kakinya dengan ikatan yang kuat, lalu dia diseret di atas padang pasir nan tandus.
Begitu pula Khabab bin Al-Arats ra, hamba milik Ummu Ammar binti Siba’ al-Khuza’iyyah. Ia juga mendapat siksaan yang tidak kalah pedihnya berbanding sahabat-sahabat lainnya. Di mana ia dipegang rambutnya lalu ditarik dengan tarikan yang keras, dan menjeratkan tali di lehernya dan menelentangkannya ke tanah beberapa kali di atas pasir yang panas menyengat. Kemudian mereka meletakkan batu di atas tubuhnya dan menyeterika tubuh lemah itu dengan batu tersebut, hingga ia terkulai lemas dan tidak mampu untuk bangkit lagi.
Mush’ab bin ‘Umair ra diusir oleh ibunya dari rumahnya setelah ibunya mengetahui keislaman puteranya.
Begitu pula dengan apa yang dialami oleh Utsman bin Affan setelah ia memeluk Islam, bapa saudaranya  menyelubunginya dengan tikar dari daun kurma, lalu menariknya dari bahagian bawahnya.
Bukan hanya itu sahaja perlakuan kaum Quraisy terhadap kaum muslimin. Bahkan mereka ada yang memakaikan pakaian besi, kemudian melemparkannya di batu yang panas membakar kulit.
Senarai orang-orang yang disiksa kerana keislaman mereka masih banyak dan panjang serta mengerikan. Siapapun yang diketahui masuk Islam, pasti ia akan mendapatkan siksaan yang sangat mengerikan.
Kisah-kisah sahabat di atas hanya sekadar pengingat, bahwa keyakinan yang kita imani dalam hati, terucap dengan lidah dan kita buktikan dengan amal nyata dalam realiti kehidupan kita, memerlukan penjagaan dan pemeliharaan semaksimum kemampuan kita agar iman kita :
a.       Tidak lekang disapa hawa panas.
b.      Tidak lapuk dijirus hujan.
c.       Tidak terpengaruh dengan pergantian musim.
Ujian kehidupan adalah ibarat garam dalam ramuan masakan. Cuba kita bayangkan sayur kailan tanpa ikan masin atau ayam goreng tanpa garam dan seterusnya.
Ujian kehidupan yang menyapa kita, jika kita hadapi dengan sabar dan ‘tsabat’, maka ia akan membantu kita meraih kedewasaan iman dan mencapai kematangan ruhani.
Namun sebaliknya, jika kita tidak sabar dalam menghadapi ujian kehidupan berupa :
a.       Kemiskinan.
b.      Kegagalan dalam membangun perniagaan.
c.       Kesakitan yang mendera tubuh.
d.      Pemergian orang-orang yang kita kasihi.
e.       Celaan orang-orang yang jauh dari petunjuk Allah.
f.       Kesempitan hidup yang menghimpit.
g.      Kedukaan yang mendera jiwa.
h.      Musibah alam semulajadi yang merosakkan harta benda.
i.        Perampasan hak asasi dan kebebasan individu oleh pemerintah yang zalim.
atau yang senada dengan itu, maka kita tidak akan lulus dalam menghadapi ujian-Nya.
Demikian pula jika kita tidak ‘tsabat’ dalam menerima anugerah-Nya berupa :
1.      Tubuh yang sentiasa sihat dan segar.
2.      Kelapangan dalam rezeki.
3.      Perniagaan yang sentiasa memberikan pulangan keuntungan yang baik.
4.      Kemasyhuran yang tidak pernah meredup.
5.      Kejayaan dalam setiap usaha yang diceburi.
atau yang seirama dengan itu, namun jika kita tidak dapat mengembangkan makna syukur, jiwa yang semakin subur dan akal yang penuh tafakkur, maka kita telah merelakan diri kita terlempar dari kafilah orang-orang yang ‘tsabat’.
TABIAT JALAN DAKWAH DAN KEPENTINGAN THABAT
Imam Hasan Al-Banna telah menjelaskan mengenai tabiat jalan dakwah di dalam risalahnya “Di antara semalam dan hari ini.”
“ Semua kerajaan akan menghalang jalan kamu, Setiap kerajaan akan menyekat kegiatan kamu, dan mereka akan wujudkan pelbagai sekatan sepanjang jalan kamu, mereka akan saling bekerjasama menggunakan apa sahaja cara untuk menghapuskan kamu dan melenyapkan sinar dakwah kamu….
… Mereka akan mempergunakan segala kerajaan yang lemah, golongan yang berakhlak buruk, golongan yang pada satu masa yang lalu menghulur tangan mengharapkan bantuan mereka dan dalam masa yang lain menghulur tangan menindas dan memusuhi kamu…
…Semua pihak akan menimbulkan pelbagai syak wasangka dan fitnah kepada dakwah kamu. Mereka akan cuba memburuk-burukkan dakwah ini. Mereka akan memaparkan dakwah ini kepada orang ramai dalam bentuk yang amat buruk. Mereka menggunakan segala kekuatan dan kuasa yang ada pada mereka…
… Mereka akan bertindak menggunakan segala harta dan kuasa yang mereka miliki.
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (QS At-Taubah : 32)
… Sudah tentu kamu terpaksa melalui era ujian dan cubaan. Kamu akan dipenjara dan ditangkap. Kamu akan dihalau dan diusir. Segala harta kamu akan dirampas. Kamu akan dipecat dan rumah kamu akan digeledah. Mungkin ujian ini akan berlaku dalam tempoh yang lama.
“Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” (QS Al-Ankabut : 2)
… Namun Allah janjikan kamu kemenangan bagi mereka yang berjuang. Allah janjikan bagi mereka yang benar-benar beramal lagi melakukan kebaikan.
Firman Allah swt :

“Dan betapa banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertaqwa. Mereka tidak (menjadi) lemah kerana bencana yg menimpa nya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar. Dan tidak lain ucapan mereka hanyalah doa, “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tidakan kami yang berlebihan (dalam urusan kami) dan tetapkanlah pendirian kami terhadap orang-orang kafir”. Maka Allah memberi mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat. Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS Ali Imran : 146 – 148)
PENDIRIAN-PENDIRIAN YANG AMALI
Allah swt telah memberi taufiq kepada Ikhwanul Muslimin untuk menjulang panji-panji perjuangan. Allah swt juga telah mengurniakan kepada mereka ‘At-Thabat’ untuk menjulangnya, walaupun mereka berhadapan dengan berbagai tribulasi, gangguan dan tipu daya serta mereka terjun dalam pertembungan-pertembungan yang sengit, namun mereka tetap hidup dengan ‘thabat’ secara amali dan bukan semata-mata slogan yang bersifat teori.
Di antara sebab-sebab yang membantu mereka untuk ‘thabat’ di atas jalan Allah adalah kerana mereka memiliki :
a.       Iman yang kuat – yang memberi mereka cahaya serta menyuluh jalan dakwah yang dilalui serta memelihara mereka dari penyimpangan semasa melalui jalan dakwah tersebut.
b.      Ukhuwah (persaudaraan yang benar) – yang memperkukuhkan langkah-langkah yang diambil di atas jalan tersebut.

Dr Mazin Farukh dalam kitabnya “Al-Raid Durus Fi Ad-Dakwah Wat Tarbiyah” menyebut beberapa cara agar kita menjadi orang yang ‘tsabat’ di jalan Allah, di antaranya :
PERTAMA : KEYAKINAN KITA TERHADAP KEBENARAN AJARAN AGAMA YANG KITA ANUTI
Kita sedar bahwa jalan Allah bukanlah hamparan jalan yang ditaburi dengan bunga mawar dan keindahan tetapi ia adalah jalan yang dipagari dengan duri dan diselimuti oleh batu-batu yang licin dan curam. Namun, kita yakin bahwa di akhirat sana ada :
a.       Bidadari bermata jeli yang sedang menanti kedatangan kita.
b.      Pahala yang berlipat ganda menunggu kita.
c.       Syurga yang mendambakan kedatangan kita ke sana.
KEDUA : MEMILIKI KETERIKATAN HATI YANG KUAT DENGAN AL QUR’AN
Ini adalah kerana Al Qur’an merupakan :
1.      Penuntun jalan hidup kita.
2.      Pelita hidup kita.
3.      Obor penerang dalam perjalanan kita.
4.      Ruh penggerak amal soleh kita.
5.      Ubat penawar penyakit hati kita.
6.      Pengingat di kala kita lupa.
7.      Pembangkit saat kita terjatuh.
8.      Pembangun ketika kita terlelap.
Sukar untuk membayangkan seorang mu’min yang berjauhan dengan Al-Qur’an; tentulah :
a.       Matanya sayu.
b.      Wajahnya suram.
c.       Hatinya gelap.
d.      Pandangannya redup.
e.       Perkataannya kasar.
f.       Perilakunya tidak sedap di pandang mata.
g.      Percakapannya panas didengar oleh telinga kita.
KETIGA : MENENGADAHKAN TANGAN KE LANGIT (BERDOA KEPADA ALLAH SWT) MEMOHON KETEGUHAN HATI
Kita menjadi kuat jika kita berpegang pada pautan Zat yang Maha Kuat. Ia adalah suatu perkara yang sangat-sangat kita perlukan agar kita mampu melalui ujian-Nya dengan penuh keridhaan.
KEEMPAT : BANYAK BERINTERAKSI DENGAN ORANG-ORANG YANG TSABAT
Imam Ahmad justeru belajar ‘tsabat’ dari seorang pencuri, yang ‘tsabat’ ketika dirotan puluhan kali setiap hari kerana ia telah mengambil barang orang lain tanpa hak.
KELIMA : MEMBUKA LEMBARAN HIDUP PARA SALAFUS SOLEH
Ibrahim Al-Harbi pernah berkata,
“Aku menemani Imam Ahmad selama dua puluh tahun, di kala malam dan siang, musim panas dan musim dingin, aku tidak melihat setiap harinya kecuali aku saksikan ke-tsabatan-nya semakin mengkagumkan dan amalannya semakin bertambah.”
KEENAM : MENGENANG NIKMAT ALLAH SWT DI MANA DIA MEMILIH KITA SEBAGAI PEJUANG DI JALANNYA
Ada lagikah satu nikmat yang lebih besar dari nikmat tersebut? Tentu tidak ada wahai saudaraku. Menjadi bahagian dari busur-busur kebaikan dan kebenaran adalah nikmat terbesar yang Allah anugerahkan kepada kita.
Maka, mulai hari ini dan seterusnya, marilah kita belajar bagaimana untuk :
1.      ‘Tsabat’ dalam menjalani ujian kehidupan.
2.      Sabar dalam menghadapi mihnah-Nya.
3.      Tegar dalam menelusuri tribulasi-Nya.
Sesungguhnya ‘Thabat’ merupakan satu taklif atau tanggungjawab yang amat besar, oleh itu ganjarannya juga amat besar.

Allah swt akan :

a.      Bersama dengan hambanya yang ‘thabat’.
b.      Menenangkannya.
c.       Meringankan rasa bebanannya.
d.      Melapangkan dadanya.
e.       Menolongnya.
f.       Mendekatkan mereka kepada-Nya di dalam syurga di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa. 

Ini semua kita lakukan agar kita mendapat balasan lima puluh kali ganda dibandingkan pahala yang Allah berikan kepada para sahabat, generasi terbaik umat ini.
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami ‘thabat’ (ketegaran) untuk meniti jalanMu walaupun tabiat jalan ini adalah panjang, sukar dan dihiasi dengan pelbagai ujian yang berat sehingga kami kembali kepadaMu samada dengan memperolehi kemenangan ataupun syahid di atas jalanMu serta mendapat syurga dan keridhaanMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS
[ Read More ]
Read more...
Saturday, 24 January 2015

Mutiara Hikmah Para Duat

Ditulis Oleh WAS Pada 08:25 – 0 Komen Anda
 



















[ Read More ]
Read more...
Wednesday, 14 January 2015

Renungan Di Serambi Madinah

Ditulis Oleh WAS Pada 08:57 – 0 Komen Anda
 
Imam Hasan Al Banna pernah menyampaikan ceramahnya di serambi Madinah semasa beliau berkunjung ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji.
Mari kita sama-sama telusuri peringatan-peringatan yang disampaikan oleh beliau semoga kita mampu mengambil iktibar darinya serta mendapatkan manfaat yang sebanyak-banyaknya.
Wahai saudaraku yang mulia. aku sampaikan salam penghormatan Islam, salam penghormatan dari sisi Allah yang baik dan diberkati, Assalamu’alaikum wa rahmatullah wa barakatuh.
Amma ba’du. Alangkah bahagianya aku dapat berjumpa dengan kamu semua di serambi Madinah Al Munawwarah, kerana keutamaan Rasulullah shalallahu ‘alayhi wa sallam.
a.       Tanah Madinah adalah berkat.
b.      Udaranya berkat.
c.       Langitnya berkat.
d.      Semua yang ada di dalamnya adalah berkat.
e.       Bahkan, Madinah adalah sumber keberkatan, kebaikan dan cahaya.
Saudaraku sekalian, aku datang untuk berkenalan dengan kamu semua dan untuk menyatukan perkataan sebagaimana yang diserukan oleh Al-Qur’anul Karim. Aku ingin mengarahkan perhatian kamu, bahwa agama yang ‘hanif’ ini telah menyelamatkan kita dari kegelapan kejahilan kepada cahaya petunjuk dan pengetahuan.
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itu Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keridhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” (QS Al- Maidah : 15-16)
Dunia ketika ini dalam keadaan bingung. Dunia tumbuh di atas :
1.      Kerosakan aqidah.
2.      Kegelapan kejahilan
Sehingga ia dibangun tanpa asas serta bekerja tanpa petunjuk. Kemudian Islam datang untuk menerangkan jalan yang lurus kepadanya.
“Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keridhaan(Nya) itu yang baik ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke neraka Jahannam?”(QS At-Taubah : 109)
Islam datang dengan beberapa asas yang dijadikannya sebagai tapak bagi bangunan Islam. Jumlahnya ada tujuh asas dan aku akan menjelaskannya kepada kamu semua.
ASAS PERTAMA : IMAN
Apabila iman kita kuat, kita pun menjadi kuat dan kemenangan akan sentiasa menyertai kita.
“Dan Kami selalu berkewajiban menolong orang-orang yang beriman.”(QS Ar-Rum : 47)
“(Ingatlah) ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkanlah (pendirian) orang-orang yang telah beriman.’ Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap hujung jari mereka.” (QS Al-Anfal : 12)
“Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya. (Ingatlah) ketika kamu mengatakan kepada orang mu’min, ‘Apakah tidak cukup bagi kamu Allah membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan (dari langit)?’ Ya (cukup), jika kamu bersabar dan bersiap siaga, dan mereka datang menyerang kamu dengan seketika itu juga, niscaya Allah menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang diturunkan (dari langit).” (QS Ali-lmran : 123-125)
Jika keimanan yang kuat melekat di hati kita, maka segala kesulitan terasa ringan. Nabi Musa alayhissalaam pernah keluar bersama kaumnya yang berjumlah sedikit dan hampir dapat dikejar oleh Fir’aun dan bala tenteranya.
“Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa, ‘Sesungguhnya kita akan benar-benar tersusul.'” (QS Asy- Syu’ara : 61)
Tetapi, Musa yang hatinya telah dipenuhi dengan keimanan, mengatakan, “Sekali-kali tidak akan tersusul, sesungguhnya Tuhanku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku.” (QS Asy-Syu’ara : 62)
Saudaraku sekalian, demikianlah keadaan rasul kita shalallahu ‘alayhi wa sallam ketika berada di dalam gua, sedangkan Abu Bakar As Shiddiq radhliyallahu ‘anhu telah merasa khuatir terhadap keselamatan baginda.
Sebagai menampakkan kewujudan yang sempurna dari keimanan yang kuat, Nabi shalallahu ‘alayhi wa sallam mengatakan, “Bagaimana pendapatmu, Abu Bakar, tentang dua orang, yang Allah adalah yang ketiganya?”
“Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita.” (QS At-Taubah : 40)
Maka Allah subhanahu wa ta’ala menurunkan pelajaran yang agung.
“Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berkata kepada temannya, ‘Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita.’ Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Mahaperkasa lagi Mahabijaksana.” (QS At-Taubah : 40)
Sekarang ada orang-orang yang mengatakan,
“Mereka adalah para nabi, tentu sahaja kita tidak sama dengan mereka.”
Aku jawab,
“Sesungguhnya, selain memuliakan para Rasul, Allah subhanahu wa ta’ala juga memuliakan pengikut-pengikut para rasul itu dan siapa sahaja yang mengikuti jejak mereka.”
Para sahabat ketika berhadapan dengan orang-orang yang mengatakan :
‘Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka,’ maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab, ‘Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.'” (QS Ali-lmran : 173)
Bahkan Allah subhanahu wa ta’ala telah memperlakukan perkara demikian itu secara umum.
“Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari Kiamat).” (QS Al-Mu’min : 51)
ASAS KEDUA : ILMU
Ilmu boleh membawa manusia kepada kebahagiaan dan ketinggian. Tidak ada kebangkitan pada suatu umat tanpa ilmu. Orang-orang kafir tidak dapat berkuasa kecuali kerana ilmu. Dan kita tidak mengalami kemunduran kecuali kerana kebodohan.
Ilmu dan kebodohan adalah dua perkara yang tidak sama.
“Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (QS Az-Zumar : 9)
Nabi shalallahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda,
“Siapakah di antara kamu yang suka pergi ke Bathan atau ke Atiq, lantas menemui unta yang gemuk, kemudian dibolehkan membawanya tanpa dianggap berdosa atau bersalah?”
Maka para sahabat menjawab,
“Wahai Rasulullah, kami semua suka.”
Maka baginda bersabda,
“Sungguh, salah seorang dari kamu pergi ke masjid, belajar satu ayat dari kitab Allah, itu lebih baik daripada seekor unta. Dua ayat lebih baik daripada dua ekor unta, tiga ayat lebih baik daripada tiga ekor unta, demikian seterusnya dengan hitungan yang lebih baik daripada unta.”
Saudaraku sekalian, yang aku maksudkan ilmu di sini adalah dengan kedua jenisnya, iaitu ilmu deen (agama) dan ilmu duniawi. Bahkan, apabila umat memerlukan ilmu duniawi, maka mencarinya merupakan kewajiban kifayah bagi umat tersebut.
Al-Qur’anul Karim mengisyaratkan perkara itu di dalam firman Allah subhanahu wa ta’ala,
“Tidakkah kamu melihat bahwasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat. Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’.” (QS Fathir : 27-28)
ASAS KETIGA : HARTA
Harta adalah perhiasan kehidupan di dunia. Ia merupakan urat nadi kehidupan dan bekalan bangsa-bangsa.
“Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasan kamu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan.” (QS An-Nisaa’ : 5)
Maka setiap individu dan bangsa wajib berusaha mencukupi keperluan dirinya dengan cara bekerja. Seorang mu’min tidak selayaknya menggantungkan kehidupannya kepada orang lain, meminta-minta kepada orang lain, kerana tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang di bawah.
Allah subhanahu wa ta’ala telah memerintahkan untuk bekerja.
“Maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.” (QS Al-Mulk : 15)
Para sahabat radhliyallahu ‘anhum adalah orang-orang yang asalnya fakir, lantas Allah menjadikan mereka kaya dan membukakan perbendaharaan Kisra (Parsi) dan Kaisar (Romawi) untuk mereka.
Zuhud bukan bererti kamu meninggalkan dunia dan membiarkannya dikelolakan dan dinikmati oleh orang-orang kafir, sedangkan kamu tidak memperolehinya dengan memberi alasan kepada sabda Rasulullah shalallahu ‘alayhi wa sallam, 
“Ketahuilah, sesungguhnya dunia adalah terkutuk dan segala yang ada di dalamnya adalah terkutuk.”
Juga sabda baginda shalallahu ‘alayhi wa sallam, 
“Andaikata berat dunia itu di sisi Allah setara dengan berat sayap nyamuk, niscaya Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun hanya setitis air.”
Hakikat zuhud, wahai saudaraku, adalah hendaklah kamu memiliki dunia sehingga bagi kamu sama sahaja antara emas dan tanah, lantas menginfakkan harta kamu di jalan Allah dalam keadaan lapang tanpa merasa sayang terhadap apa yang telah kamu infakkan itu dan tanpa berlebih-lebihan, dengan syarat hendaklah hasil kerja kamu diperolehi melalui jalan yang halal.
Nabi shalallahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda kepada Amru bin Al Ash, 
“Amru, sebaik-baik harta halal adalah harta yang dimiliki oleh orang-orang yang soleh.”
Suatu ketika Abdurrahman bin Auf datang kepada Aisyah, Ummul Mu’minin radhliyallahu ‘anha, Aisyah berkata dengan nada bercanda,
“Abdurrahman, menurutku kamu akan masuk syurga dengan merangkak dan tertinggal dari sahabat-sahabatmu kerana banyaknya harta dan hisabmu.”
Maka Abdurahman menjawab,
“Demi Allah, jika engkau mahu, aku akan memasukinya dengan berlari.”
Aisyah bertanya, “Bagaimana?”
Abdurahman balik bertanya,
“Apakah engkau pernah mendengar kafilah Mesir?”
Aisyah menjawab, “Ya.”
Abdurrahman berkata,
“Semua aku sedekahkan kepada orang-orang fakir dan miskin.”
Aisyah berkata, “Jika demikian, engkau akan memasukinya dengan berlari.”
Disebutkan dalam sebuah hikayat bahwa seseorang membekalkan anaknya dengan sejumlah wang agar digunakannya untuk berdagang. Hal itu dimaksudkan untuk menyiapkan anaknya menghadapi masa depannya. Dalam perjalanan, anak itu melihat seekor serigala yang lemah dan sudah tidak dapat mencari makan. Ia berfikir, dari mana serigala itu makan? Tiba-tiba ia melihat singa membawa binatang mangsanya. Ia memakan mangsanya sampai kenyang, kemudian melemparkan sisanya kepada serigala itu. Serigala itu pun memakannya. Maka, pemuda itu berkata dalam hatinya, “Buat apa aku menyusahkan diri sendiri, sedangkan Allah telah menjamin rezeki hamba-Nya?”
Ketika kembali kepada ayahnya tanpa membawa hasil apa pun sesuai kehendak ayahnya, pemuda itu menceritakan apa yang dilihatnya.
Maka sang ayah berkata, “Aku ingin agar kamu menjadi singa yang dapat memberi makan banyak serigala, bukan serigala yang memakan sisa-sisa makanan singa.”
Wahai saudaraku, janganlah lantaran zuhud, kamu meninggalkan dunia dan membiarkannya dinikmati oleh orang-orang kafir dan digunakannya untuk memerangi kamu.
ASAS KEEMPAT : KESIHATAN
Kesihatan ibarat mahkota yang kamu kenakan di kepala dan hanya dapat dilihat oleh orang yang tidak memilikinya.
Kekuatan dan kesihatan merupakan hiasan bagi manusia. Oleh kerana itu, hendaklah kamu memperhatikannya, kerana Nabi shalallahu ‘alayhi wa sallam telah menganjurkannya kepada kita dan membuat peraturan untuk itu,
“Sesungguhnya, badanmu mempunyai hak atas dirimu.” 
Nabi shalallahu ‘alayhi wa sallam adalah penghulu dari orang-orang yang sihat dan kuat. Baginda pernah bergusti melawan sepuluh orang dan berhasil mengalahkan mereka semua.
Al-Qur’anul Karim telah mengisyaratkan tentang kekuatan pada firman Allah, 
“Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi raja kamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.” (QS Al-Baqarah : 247)
Nabi shalallahu ‘alayhi wa sallam biasa memohon kepada Allah akan kesihatan, samada di dunia ataupun di akhirat.
Salah satu doa baginda shalallahu ‘alayhi wa sallam adalah : 
“Ya Allah, anugerahkanlah aku kesihatan badan, anugerahkanlah aku kesihatan pendengaran dan anugerahlah kepadaku kesihatan penglihatan.”
Baginda shalallahu ‘alayhi wa sallam berdoa, 
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari kekhuatiran dan kesedihan, aku berlindung kepadamu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu dari kepengecutan dan kebakhilan, dan aku berlindung kepada-Mu dari hutang yang menumpuk dan paksaan orang. “
Baginda telah menjelaskan kepada umat Islam, bagaimana memelihara kesihatan dan kekuatan.
ASAS KELIMA : KEKUATAN JIHAD
Hakikat kaidah ini adalah persiapan dan kesiapan untuk menghadapi musuh. Allah telah mewajibkan jihad kepada kita dan menjadikannya sebagai puncak ajaran Islam.
“Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya.” (QS Al-Hajj : 78)
Nabi shalallahu ‘alayhi wa sallam bersabda dalam rangka menanamkan motivasi berjihad, 
“Ku ingin kiranya aku terbunuh, kemudian hidup, kemudian dibunuh lagi.” 
Baginda bersabda demikian, tiga kali.
Baginda shalallahu ‘alayhi wa sallam juga bersabda kepada Jabir bin Abdullah - setelah ayahnya terbunuh sebagai syahid,
“Jabir, apakah yang telah dilakukan Allah terhadap ayahmu?”
Jabir menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.”
Baginda bersabda, “Allah mendirikannya di hadapan-Nya, lantas ia memohon kepada Allah agar dikembalikan ke dunia supaya dapat berjihad dan dibunuh kembali, lantaran kemuliaan yang dilihatnya.”
Saudaraku sekalian, jihad merupakan cita-cita yang dirindukan dan terus tersimpan dalam diri mereka sampai mereka dapat mencapainya.
Untuk meraihnya mereka rela mengorbankan apa pun yang sangat mereka cintai. Dalam bidang fiqh, para fuqaha’ membuat bab khusus tentang jihad yang mereka namakan “Bab Jihad”. 
Para ahli mengatakan,
“Barangsiapa yang memegang kunci-kunci laut, maka kemenangan akan sentiasa menyertainya.”
Demikianlah keadaan para salaf pendahulu kita. Mereka menguasai Gibraltar, Suez, Singapura, Ghalambuli, Babul Mandab, dan selat-selat yang lain.
ASAS KEENAM : HARGA DIRI DAN KEMULIAAN
Kemuliaan merupakan sifat khas orang-orang yang beriman. Dengan kemuliaan itu, orang-orang beriman menjadi umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia.
Nabi shalallahu ‘alayhi wa sallam bersabda,
“Barangsiapa yang memberikan kerendahan dirinya dengan sukarela, tanpa dipaksa, ia bukan dari golonganku.” 
Rasul shalallahu ‘alayhi wa sallam merasa senang apabila umatnya mempunyai kemuliaan dan harga diri.
ASAS KETUJUH : KEADILAN
Keadilan ertinya, hendaklah dada kamu lapang, sehingga bersikap adil terhadap diri sendiri, saudara-saudara kamu dan semua orang.
Inilah saudaraku sekalian, jalan yang lurus.
Aku kagum dengan perkataan sebahagian orang bahwa manusia itu dibahagi menjadi tiga. 
PERTAMA : Orang-orang yang mencari kebenaran, kemudian mengetahuinya tetapi lantas menyimpang darinya. 
KEDUA : Orang-orang yang mencari kebenaran, tetapi tidak berhasil mengetahuinya. 
KETIGA : Orang-orang yang mencari kebenaran, kemudian mendapatkannya dan mereka konsisten melaksanakannya.
1.      Golongan pertama akan binasa.
2.      Golongan kedua dimaafkan.
3.      Golongan yang ketiga adalah yang selamat atas izin Allah.
Aku rasa cukuplah di sini, aku memohon ampunan kepada Allah untuk diriku dan kamu semua. Semoga Allah melimpahkan solawat dan salam kepada Sayyidina Muhammad, juga kepada segenap keluarga dan sahabatnya.
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami perasaan kasih dan cinta kepada Rasul junjungan mulia yang telah menunjukkan kepada kami jalan-jalan kehidupan yang perlu ditelusuri bagi mendapatkan kemuliaan dan kemenangan yang hakiki.
Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS
[ Read More ]
Read more...
Newer Posts Older Posts
View mobile version
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
    Rijalud dakwah adalah seseorang yang telah di tarbiyah secara intensif sehingga memiliki persediaan untuk berjuang dan berkorban di jal...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Surah Yang Menjadi Pembela
    Allah swt telah menurunkan kepada kita Al Qur’an sebagai : a.        Cahaya. b.       Rahmat. c.        Ubat dari penyakit hati dan...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ▼  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ▼  January (5)
      • Ketegaran Meniti Jalan Allah
      • Mutiara Hikmah Para Duat
      • Renungan Di Serambi Madinah
      • Mutiara Hikmah
      • Mutiara Hikmah Para Duat
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger