skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Friday, 28 February 2014

Pemimpin Gear 5

Ditulis Oleh WAS Pada 00:59 – 0 Komen Anda
 

Kepimpinan adalah keperluan naluri umat manusia untuk kelangsungan kehidupannya kerana manusia adalah makhluk sosial di mana kecenderungannya untuk hidup bersosial memberinya petunjuk agar hidupnya lebih teratur dalam kumpulannya.

Keteraturan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa wujudnya sebuah sistem yang mengatur tatacara dan pola hidup mereka dan sistem tersebut mestilah dilakukan oleh orang-orang yang mengelola dan melaksanakan segala peraturan yang berlaku demi merealisasikan tujuan dan maksud mereka.

Sepanjang sejarah kemanusiaan, kepimpinan menjadi keperluan hidup atau dengan kata lain “Tiada kehidupan tanpa kepimpinan”.

Memahami makna yang sama juga, Imam Hasan Al Banna pernah berkata :

“Pemimpin adalah unsur penting dakwah dan tidak ada dakwah tanpa kepimpinan.”

Kepimpinan dalam terminologi Islam dikenali dengan istilah-istilah yang berbagai antara lain:

  1. Imamah.
  2. Qiyadah.
  3. Khilafah.
  4. Imarah.
  5. Ulil Amri.
  6. Ri’asah.

Dalam bahasa Inggeris ia disebut “leadership”.

Dalam sejarah kepimpinan umat manusia, Islam memandang bahwa pengutusan para rasul adalah “Intipati Kepimpinan”.

Ini adalah kerana dengan diutusnya para rasul, ia sebenarnya adalah untuk memimpin umat manusia membawa mereka dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang. Allah swt menjelaskan bahwa tiada satu umat yang wujud kecuali Allah mengutus seorang manusia pilihanNya yang mampu :

  1. Menegakkan prinsip dan nilai ‘islah’.
  2. Memperbaiki aqidah.
  3. Meluruskan perilaku-perilaku yang menyimpang di tengah masyarakat.

Firman Allah swt :

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah dan jauhilah thagut sesembahan selainNya.” (QS An-Nahl : 36)

Oleh kerana beratnya tugas yang dipikul oleh para rasul iaitu membimbing dan membawa umat manusia ke jalan yang benar, maka sifat-sifat kompeten yang asas yang dimiliki oleh mereka juga merupakan kesan dari posisi mereka sebagai pemimpin, iaitu :

  1. ‘Shiddiq’ (jujur).
  2. ‘Amanah’ (penuh tanggungjawab).
  3. ‘Fathanah’ (bijaksana).
  4. ‘Tabligh’ (menyampaikan misi).

Sifat-sifat itu pulalah yang sebenarnya diperlukan oleh pemimpin yang ingin berjaya dalam melaksanakan misinya di tengah umat. Ia merupakan sifat asas bagi para pemimpin umat dari kalangan para nabi dan rasul Allah swt.

PERTAMA : ’SHIDDIQ’

Ia adalah visi hidup seorang muslim kerana hidup ini berasal dari Yang Maha Benar (Jujur), maka hidup mestilah benar dan dirumuskan dengan benar dan baik. ’Shiddiq’ akan memunculkan konsep pengurusan dan kepimpinan efektif dan efisyen. Efektif dapat diukur dengan pencapaian matlamat secara benar dan tepat, sedangkan efisyen dapat diukur dengan keluhuran kegiatan dengan teknik dan metod yang tidak membazir dan tidak sia-sia.

KEDUA : ’AMANAH’

Amanah ertinya tanggungjawab. Ia boleh pula bermakna sebuah kepercayaan dan kredibiliti yakni kemampuan melaksanakan tugas dengan benar dan baik. Jika ’Shiddiq’ merupakan visi hidup, maka amanah adalah misi hidup setiap muslim, ertinya setiap pemimpin sebenarnya melaksanakan tugas kepimpinan dan kewajiban kemaslahatan umat dengan penuh amanah dan tanggungjawab dengan cara melaksanakannya secara benar sesuai dengan peraturan agama dan perlembagaan yang berlaku serta baik dan sesuai dengan etika dan akhlak sebagai seorang tokoh ikutan umat; kerana Allah hanya dapat ditemui dengan ridha dan diridhai iaitu apabila amanah ditepati.

KETIGA : ’FATHANAH’

’Fathanah’ maknanya kebijaksanaan dan dengan bahasa yang lain ia melibatkan penggunaan intelektual untuk mencapai sesuatu yang benar dan baik iaitu dengan mengerahkan segala potensi antara lain akal; kerana itu Allah swt selalu ’menyindir’ orang yang menolak kebenaran dengan firmanNya, ”Afalaa Ta’qiluun” (adakah kamu menggunakan akalmu), ’Awalam yatafakkaruun’ (apakah mereka tidak berfikir?) dan sebagainya.

Implikasi politik dari sifat ’Fathanah’ adalah segala aktiviti sebenarnya dilakukan berdasarkan ilmu, kebijaksanaan dan memaksimumkan potensi akal. Ini adalah kerana  kejujuran, amanah dan kredibiliti tidak cukup dalam kepimpinan, tetapi mesti ada kebijaksanaan agar tidak mudah terperangkap dalam tipu muslihat orang lain. Islam juga tidak mengajarkan pemisahan antara ”Work Hard and Work Smart”, bahkan keduanya mesti berjalan seiring secara harmoni dan seimbang.

KEEMPAT : ’TABLIGH’

Ia bererti menyampaikan, iaitu menyampaikan visi dan misi pembinaan umat sebagaimana semestinya. ’Tabligh’ juga boleh bermakna pemimpin yang melaksanakan komunikasi dengan masyarakatnya. Implikasi politik dari sifat ’tabligh’ ini antara lain kemampuan berkongsi dengan masyarakat dan institusi-institusi yang membantunya serta memiliki sikap perihatin iaitu empati dan kepedulian terhadap sesama ahli masyarakat sehinggakan ’Tabligh’ dalam kepimpinan merupakan ’Prinsip Komunikasi Persendirian dan Massa’, atau boleh juga disebut sebagai ’Sistem Pemasaran’ atau ’Pengurusan Terbuka.’

KEPIMPINAN DALAM DAKWAH

Kepimpinan dalam dakwah adalah sifat dan ciri tingkah laku pemimpin yang mengandungi kemampuan untuk mempengaruhi dan mengarahkan daya kemampuan seseorang atau kelompok bagi mencapai tujuan dakwah yang telah ditetapkan.

Dengan kata lain pemimpin dakwah adalah orang yang menggerakkan orang lain yang ada di sekitarnya untuk mengikutinya dalam proses mencapai tujuan dakwah.

Seorang pemimpin dakwah mestilah berusaha mengembangkan motivasi dalam diri sasaran dakwah serta mengarahkan motivasi tersebut ke arah tujuan dakwah.

Selain itu ia juga perlu memiliki sifat-sifat dan ciri-ciri dinamik yang dapat mempengaruhi dan menggerakkan orang ke arah satu tujuan sehingga terciptalah suatu suasana dinamik di kalangan pengikutnya yang terarah dan bertujuan. Selain ciri-ciri pemimpin secara umum, Islam menggariskan ciri pemimpin yang paling penting iaitu keimanan dan ketaatan kepada Allah swt.

KEPIMPINAN DALAM ORGANISASI

Pemimpin merupakan kekuatan utama di sebalik kejayaan sesebuah organisasi dan untuk melahirkan sebuah organisasi yang mantap dan teguh, diperlukan kepimpinan bagi menolong organisasi untuk mencapai sesebuah visi tentang apa yang akan berlaku serta memobilisasikan organisasi ke arah visi tersebut.

 

Pemimpin juga mempunyai peranan yang aktif dalam segala bentuk masalah yang berhubungan dengan keperluan-keperluan anggota organisasinya di mana seorang pemimpin mestilah berusaha agar kelompok yang dipimpinnya dapat merealisasikan tujuan organisasi dalam kerjasama yang produktif, kerana walaupun anggota dalam organisasi mempunyai keyakinan yang sama namun mereka sering pula memiliki pandangan yang berbeza mengenai sesebuah tugas dan misi yang perlu dilaksanakan.

 

Pemimpin mesti bijak untuk mengintegrasikan pandangan anggota organisasinya yang menyeluruh mengenai situasi dalam kelompok dan luar kelompok. Pandangan tersebut hendaklah mampu diterima oleh semua anggota organisasi yang berkaitan.

 

Dalam susunan atau tingkatan kepimpinan, ada lima (5) gear yang akan memacu kehebatan sesebuah kepimpinan.

  1. Gear 1 – Individu Yang Berkeupayaan Tinggi

Menghasilkan sumbangan yang produktif melalui keterampilan, pengetahuan, skil dan carta bekerja yang baik.

  1. Gear 2 – Ahli Pasukan Yang Menyumbang

Menyumbang melalui keupayaan individu bagi mencapai objektif kumpulan dan bekerja dengan efektif dengan rakan lain dalam satu kumpulan.

  1. Gear 3 – Pengurus Yang Kompeten

Mengurus manusia dan sumber lain ke arah suatu gerakerja yang efektif dan berkesan dalam memenuhi objektif yang telah ditetapkan.

  1. Gear 4 – Pemimpin Yang Berkesan

Menggerakkan komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh ke arah visi yang jelas dan termaktub yang merangsang kepada ketetapan yang lebih baik.

  1. Gear 5 – Eksekutif Gear 5

Membentuk kehebatan yang berterusan melalui persenyawaan muafakat antara kerendahan diri dan cita-cita yang profesional.    

 

Pernahkah kita mendengar ungkapan berikut :

“Baik” adalah musuh kepada “Hebat”.

Ramai orang sudah merasa puas dengan melakukan sesuatu yang baik sehingga mereka berhenti berusaha untuk menjadi lebih baik, untuk akhirnya menjadi yang terbaik (hebat).

Namun ianya tidak demikian bagi pemimpin gear 5 di mana mereka tidak akan berhenti berjuang untuk melakukan yang terbaik yang boleh mereka kerjakan dan mereka tidak akan berhenti untuk sentiasa berjuang untuk menghasilkan sesuatu yang paling baik (hebat).

Siapakah pemimpin gear 5 tersebut?

Jika kita melihat adanya kejayaan yang berterusan dan tidak nampak seorangpun yang menonjolkan diri sebagai ‘pahlawan’ maka di situlah adanya pemimpin gear 5.

 

Penelitian yang dilakukan oleh pakar pengkaji perniagaan menunjukkan bahwa perniagaan yang dapat bertahan di posisi puncak untuk waktu yang lama (sekitar 15 tahun atau lebih), iaitu perniagaan yang berhasil melebihi prestasi pasaran di dalam industri yang diceburi, umumnya diketuai oleh para pemimpin gear 5 dengan karakteristik seperti berikut :

PERTAMA : RENDAH DIRI

Jika pemimpin “biasa” akan berusaha menarik perhatian dunia pada prestasi yang dilakukannya dan berfokus pada diri sendiri, maka pemimpin gear 5 melakukan yang sebaliknya.

Mereka melakukan yang terbaik untuk ramai orang tanpa banyak bicara. Sedapat mungkin, mereka cenderung untuk mengalihkan topik pembicaraan dari prestasi mereka kepada prestasi dan dukungan orang-orang yang ada di sekitar mereka.

Mereka mengatakan bahwa orang-orang di sekitar merekalah yang berperanan lebih penting dalam meraih kejayaan dan dengan kerendahan dirinya itulah yang menyebabkan mereka  disayangi dan dihormati oleh rakan taulan, keluarga dan masyarakat.

KEDUA : SEDERHANA

Selain rendah diri, para pemimpin gear 5 juga memilih untuk hidup secara sederhana dan tidak berlebihan. Mereka juga tidak menuntut untuk diperlakukan secara istimewa oleh orang-orang di sekitar mereka.

Pada saat ia berehat di rumah, ia juga lebih suka memakai pakaian seperti orang kebanyakan yang dibeli di pasaraya atau kedai biasa.

KETIGA : KEYAKINAN YANG KUAT

Seorang pemimpin gear 5 lebih cenderung untuk memiliki keyakinan untuk mendapat kejayaan.

Keyakinan yang kuat ini mengeluarkan tenaga dan semangat yang luar biasa untuk berjuang bagi meraih kejayaan yang diyakininya tersebut.

Segala masalah, halangan, kesulitan, bahkan krisis ekonomi sekalipun tidak dapat mematahkan semangatnya untuk meraih kejayaan.

Mereka berkeyakinan bahwa manusia, walau siapapun mereka memiliki darjat yang sama. Keyakinannya ini terus dipegang dengan teguh sehingga ia berjaya menikmati kemenangan yang luar biasa.

KEEMPAT : CITA-CITA DALAM MELAKUKAN YANG TERBAIK

Pemimpin gear 5 selalunya berusaha melakukan yang terbaik untuk setiap pekerjaan yang menjadi tanggungjawabnya. Terbaik di sini tentu sahaja bukan terbaik hanya untuk dirinya sendiri, melainkan terbaik untuk ramai orang.

Ia tidak akan berhenti, sebelum ia berhasil mempersembahkan karyanya yang terbaik. Api cita-cita untuk melakukan yang terbaik sentiasa dipelihara dengan baik dalam dirinya sendiri, mahupun dalam organisasi yang dipimpinnya agar ia tidak padam.

Para pemimpin gear 5 percaya bahwa keinginan kuat untuk sentiasa melakukan yang terbaik akan membuahkan inovasi dan perubahan yang positif.

KELIMA : TEGAS DALAM BERTINDAK

Ketika seorang pemimpin gear 5 telah memiliki keyakinan untuk berhasil, mereka tidak akan tinggal diam bahkan mereka akan bertindak untuk bergerak ke arah mencapai kejayaan.

Dalam bertindak, mereka tidak segan-segan untuk bertindak dengan tegas, jika memang itu yang diperlukan untuk menyingkirkan akar permasalahan yang mengganggu perjalanan bagi membawa para pendukungnya menuju kejayaan.

KEENAM : MENABUR KHIDMAT UNTUK MASA DEPAN

Sebuah organisasi boleh sahaja menjadi organisasi terkemuka di suatu ketika di bawah kepimpinan seorang pemimpin tertentu. Namun, setelah pemimpin itu sudah tidak ada lagi  di situ, maka organisasi itu mula menghadapi masalah dan goyang.

Pemimpin gear 5 tidak memikirkan kejayaan sesaat, tetapi apa yang difikirkan adalah suatu kejayaan yang berterusan. Semua keputusan yang diambil sentiasa berorientasikan kepada kejayaaan yang berterusan sehingga sampai ke masa depan.

Untuk itu, mereka tidak merasa sombong untuk menyimpan kepada diri  sendiri semata-mata, seluruh kepandaian, pengalaman dan keterampilan yang mereka miliki.

Sejak mereka masih menjawat jawatan sebagai pemimpin, mereka telah menyiapkan calon-calon pemimpin masa depan sebagai generasi penerusnya.

Tidak hairan apabila kita melihat ada organisasi yang tetap melahirkan kejayaan walaupun pemimpin mereka sudah ramai berganti.

APAKAH YANG PEMIMPIN GEAR 5 LAKUKAN?

Setelah kita mengenali karakteristik pemimpin gear 5, seterusnya kita tentu ingin tahu apakah yang mereka lakukan untuk meraih kejayaan.

PERTAMA : PILIH ORANG DAHULU KEMUDIAN BARU TENTUKAN TUJUAN

Jika pemimpin biasa menentukan tujuan terlebih dahulu lalu baru mengumpulkan orang, pemimpin gear 5 melakukan yang sebaliknya.

Mereka memilih dan mengumpulkan orang-orang yang tepat terlebih dahulu, sebelum akhirnya bersama-sama menentukan kejayaan yang akan diraih. Orang-orang yang terbaik pada posisi yang tepat akan menjadi satu pasukan yang hebat untuk meraih kejayaan.

Mereka tidak perlu lagi dimotivasi kerana mereka telah memiliki motivasi diri. Mereka tidak perlu terlalu diawasi kerana mereka telah memiliki sikap positif dan keterampilan yang tinggi sehingga seorang pemimpin mampu melakukan konsentrasi untuk mengatur kendalian dan memastikan bahwa arah pergerakan organisasi yang dipimpinnya benar-benar berada di landasan yang tepat.

Jika, ternyata arah pergerakan perlu diubah, maka orang-orang pilihan ini tidak akan menghadapi  kesukaran untuk menyesuaikan diri kerana mereka bersama-sama terlibat untuk meraih kejayaan.

Dalam memilih, para pemimpin gear 5 biasanya lebih memusatkan perhatian mereka kepada “sikap” bukannya pendidikan, keterampilan ataupun pengalaman.

Ketika orang-orang yang terbaik dengan sikap yang positif sudah berhasil direkrut, ia tidak akan segan-segan untuk menyanjungi mereka jauh lebih besar dari yang diberikan oleh organisasi-organisasi lain.

KEDUA : MENGENALI REALITI TANPA KEHILANGAN KEYAKINAN UNTUK BERJAYA

Pemimpin gear 5 sentiasa melihat pada realiti.

Mereka juga tidak malu-malu untuk mengakui :

  1. Kelemahan yang mereka miliki.
  2. Kesulitan yang dihadapi.
  3. Krisis yang mesti ditanggung.

Jika sememangnya mereka tidak mampu untuk menunjukkan prestasi atau mempersembahkan yang terbaik di satu bidang, maka mereka akan mengalihkan perhatian kepada bidang lain yang mereka yakini boleh unggul dibandingkan dengan bidang yang diceburi sebelum ini.

KETIGA : BERJUANG UNTUK MENJADI YANG TERBAIK

Jika kita tidak boleh menjadi yang terbaik di satu bidang, tinggalkan bidang tersebut dan carilah bidang lain yang boleh kita jadikan tempat berpijak untuk menghasilkan yang terbaik.

Inilah sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin gear 5. Mereka akan memilih bidang di mana mereka boleh mempersembahkan karya terbaik. Jika bidang pilihan sudah ditentukan, maka mereka akan berjuang segigih mungkin untuk tampil terbaik (untuk orang ramai, dengan kesan yang menjangkau waktu yang panjang, sehingga ke masa depan) dalam semua tindakan dan keputusan yang mereka ambil.

KEEMPAT : MEMILIKI DISIPLIN YANG TINGGI

Para pemimpin gear 5 sentiasa menunjukkan kedisiplinan diri yang tinggi hampir di semua bidang.

Mereka sangat berdisiplin dalam menggunakan waktu iaitu :

  1. Dalam memenuhi sasaran dakwah.
  2. Dalam memenuhi tarikh sasaran yang ditetapkan.
  3. Dalam mengatur keseimbangan kegiatan mereka di pejabat, keluarga dan masyarakat.

 

Mereka juga berdisiplin dalam menerapkan prinsip-prinsip kejayaan yang mereka yakini, misalnya prinsip untuk sentiasa melakukan yang terbaik.

KELIMA : MEMANFAATKAN TEKNOLOGI

Ramai pemimpin yang memanfaatkan teknologi untuk menciptakan perubahan namun banyak berlaku di mana mereka seringkali berakhir dengan “dimanfaatkan” oleh teknologi yang perkembangannya di luar kendalian mereka.  

Para pemimpin gear 5 ini memanfaatkan teknologi untuk mendukung kegiatan organisasi mereka untuk menjadi yang terbaik. Jika teknologi baru dirasakan tidak menambah nilai secara signifikan bagi kejayaan organisasi yang dipimpinnya, maka mereka tidak akan secara “ikut-ikutan” menggunakan teknologi baru tersebut. Mereka akan hanya menggunakan teknologi sebagai kemudahan yang akan memperlancarkan lagi usaha-usaha bagi mencapai sasaran dakwah mereka.

KEENAM : BERKEMBANG DENGAN RODA PERUBAHAN

Perubahan, walaupun merupakan bahagian yang tidak terpisah dari sebuah pertumbuhan, namun ia selalunya akan dimulai dengan ketidaksenangan.

Para pemimpin gear 5 sedar akan hal ini sehingga mereka tidak menciptakan perubahan yang mendadak yang sangat menyakitkan dan yang kemungkinan besar akan berakhir dengan kegagalan (disebabkan banyaknya halangan dan penolakan dari banyak pihak).

Sebaliknya, perubahan dijadikan sebagai sesuatu yang sentiasa ada (sebahagian dari budaya organisasi) di mana perubahan dirancang dan diterapkan secara bertahap dengan tujuan untuk mencapai kejayaan yang berterusan.

Oleh yang demikian kepimpinan gear 5 merupakan salah satu kunci lompatan sesebuah organisasi dari ‘Baik’ menjadi ‘Hebat’.

Kepimpinan gear 5 memberi makna sebagai suatu tingkatan dalam memimpin yang tidak memerlukan jawatan serta tanpa perlu melakukan banyak perkara untuk mempengaruhi orang lain. Para pemimpin di peringkat ini mampu mewujudkan keseimbangan antara kerendahan diri dan peribadi dan cita-cita profesional. Mereka memiliki cita-cita, namun cita-cita itu ditujukan untuk kemajuan organisasi, bukan untuk diri sendiri.

Pemimpin gear 5 akan menjauhkan diri mereka dari kepentingan peribadi dan memusatkan tenaga dan cita-citanya untuk membangun organisasi. Ini bukan bererti pemimpin gear 5 tidak memiliki cita-cita, bahkan justeru ia dilihat sebagai pemimpin gear 5 yang memiliki cita-cita dan kemahuan yang besar untuk memajukan dan mengembangkan organisasi.

Dalam diri pemimpin gear 5 tersebut, terdapat kombinasi yang unik antara kehendak cita-cita dengan kerendahan diri.

KEPIMPINAN GEAR 5 DALAM PERSPEKTIF DAKWAH

Organisasi dakwah memerlukan pola kepimpinan gear 5, di mana dalam diri seorang pemimpin berpadu antara kerendahan diri dengan cita-cita profesional.

Kerendahan diri merupakan syarat agar organisasi dakwah akan semakin diterima dalam masyarakat.

Kesombongan dan sikap yang bongkak merupakan penghalang sampainya dakwah kepada masyarakat dan ianya berpotensi untuk menjadi sikap penolakan masyarakat terhadap peribadi dan organisasi tersebut.

Masyarakat secara umumnya sangat menghargai kesantunan sikap bahkan mereka akan merasa selesa jika sikap ini diposisikan secara tepat dan seimbang sehingga ia tidak akan diperlekehkan, direndahkan, dihina atau diejek.

Usaha memuliakan orang lain ini memerlukan sikap kerendahan diri. Ini bukan sikap rendah diri yang negatif, bahkan ia merupakan sikap yang mulia dan indah yang justeru mengangkat pelakunya pada kedudukan yang terhormat.

Pemimpin tidak akan :

  1. Terhina kerana menampilkan sikap kerendahan diri, kesederhanaan dan kesantunan.
  2. Hilang kewibawaannya kerana ia bersikap rendah diri serta berani bergaul dengan masyarakat dan pihak yang dipimpinnya.

Namun, pemimpin akan dijauhi oleh anggotanya dan juga dibenci oleh masyarakat umum apabila menampakkan sikap-sikap sombong, meninggi diri, pantang dikritik, tertutup serta tidak dapat menerima masukan dari orang lain dan sentiasa menempatkan dirinya pada posisi menara gading yang tidak tersentuh oleh anggota organisasinya.

Pada masa yang sama, pemimpin gear 5 memiliki cita-cita profesional. Mereka memiliki semangat yang kuat, cita-cita yang hebat untuk memajukan organisasi dakwah. Berbagai cara dan usaha mereka tempuhi agar dapat membawa organisasi dakwah dari ‘baik’ menjadi ‘hebat’. Berbagai cara pengurusan diterapkan untuk mengembangkan organisasi dakwah bagi mencapai visi dan tujuan-tujuannya.

Citi-cita ini barangkali dalam bahasa dakwahnya disebut sebagai ‘tumuhat’. Ia bukan cita-cita yang bersifat negatif, namun ia dalam erti keinginan untuk maju yang kuat demi kemaslahatan dakwah dan umat.

Cita-cita yang negatif adalah apabila ianya bersifat peribadi dan seluruh keinginan tersebut sekadar untuk kepentingan dirinya sendiri. Dalam perspektif dakwah, ciri cita-cita ini samada bersifat peribadi atau cita-cita untuk kebaikan organisasi, dapat dilihat dari ketaatan terhadap mekanisma organisasi.

Cita-cita yang bersifat peribadi apabila tidak mengindahkan peraturan dan mekanisma organisasi, maka semua keinginan itu semata-mata merupakan refleksi dari visi dan keinginan peribadi dan bukannya sebahagian dari usaha untuk memajukan dan mengkonsolidasikan potensi organisasi dakwah.

MENYIAPKAN DIRI MENUJU PEMIMPIN DAKWAH GEAR 5

Apakah semua orang boleh menjadi pemimpin gear 5 ?

Jawabannya pasti: Boleh!

Dalam konteks dakwah, semua aktivis dakwah adalah pemimpin pada tahap masing-masing. Pemimpin bagi diri, keluarga dan masyarakat. Sebahagian memikul amanah sebagai pemimpin dalam struktur organisasi di peringkat daerah, negeri dan pusat.

Ramai kalangan meyakini bahwa kemampuan memimpin adalah sesuatu yang sifatnya ‘bawaan dari kelahiran’, namun sesungguhnya memimpin adalah sesuatu yang boleh dipelajari.

Kuncinya ada pada sikap :

  1. Keterbukaan terhadap masukan.
  2. Kemahuan untuk berubah.

Tanpa dua perkara tersebut, seseorang tidak akan pernah membangun sesuatu yang lebih besar dan lebih abadi. Orang-orang ini bekerja berdasarkan apa yang akan mereka dapatkan seperti kemasyhuran, keuntungan, pujian, kekuasaan dan lain sebagainya, bukan berdasarkan apa yang ingin mereka bangun, ciptakan dan sumbangkan untuk kebaikan organisasi.

Orang-orang yang terbuka terhadap masukan dan memiliki kemahuan untuk berubah, mereka memiliki peluang untuk terus mengembangkan diri dan menjadi pemimpin gear 5.

Penilaian diri peribadi, kesedaran akan pengembangan diri, bimbingan para mentor dan guru serta orang-orang terdekat, juga pengalaman hidup yang hebat akan dapat mempercepatkan kita untuk menjadi pemimpin gear 5.

Pada era dakwah sekarang ini, Kepimpinan gear 5 sangat dirasakan keperluannya. Kita memerlukan seramai mungkin pemimpin yang bersikap rendah diri namun memiliki cita-cita yang sangat kuat untuk memajukan organisasi dakwah.

Jika ramai orang memiliki kualiti pemimpin gear 5, maka dapat dipastikan bahwa kita akan dengan cepat :

  1. Meraih kejayaan yang berterusan.
  2. Menciptakan sebuah negara dengan rakyat yang hidup saling mendukung dan bukan saling curiga mencurigai ataupun memusuhi antara satu dengan yang lain.
  3. Melahirkan suasana damai dan sejahtera (tidak bermusuhan, tidak saling menjatuhkan dan tidak saling membunuh).

 

Apakah kita tidak ada pemimpin gear 5?

Jika ada, di manakah para pemimpin gear 5 ini bersembunyi?

Sudahkah kita melihat di sekeliling kita?

Jika kita menemui mereka, bergurulah kepada mereka.

Jika belum, ciptakan dan tanamkan kualiti kepimpinan gear 5 pada diri kita sendiri.

Ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana kita mampu untuk menjadi pemimpin gear 5 yang diimpikan tersebut.

Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami untuk kami menggilap potensi yang diberikan olehMu bagi melahirkan pemimpin yang berjiwa hamba namun memiliki cita-cita dan kekuatan himmah untuk menegakkan kalimahMu di mukabumi ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

 
[ Read More ]
Read more...
Newer Posts Older Posts
View mobile version
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
    Rijalud dakwah adalah seseorang yang telah di tarbiyah secara intensif sehingga memiliki persediaan untuk berjuang dan berkorban di jal...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Surah Yang Menjadi Pembela
    Allah swt telah menurunkan kepada kita Al Qur’an sebagai : a.        Cahaya. b.       Rahmat. c.        Ubat dari penyakit hati dan...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ▼  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ▼  February (3)
      • Pemimpin Gear 5
      • Pengurusan Minda Positif
      • Kepimpinan Tarbawi Berstrategi
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger