skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Sunday, 29 April 2012

Kehidupan Medan Interaksi

Ditulis Oleh WAS Pada 20:38 – 0 Komen Anda
 
Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil lewa dan tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung hanya kepada diri dan kemampuannya semata-mata.
Bahkan, ianya mempunyai seribu satu erti dan makna. Di dalamnya mengandungi pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya.
Ia merupakan :
  1. Suatu lapangan atau tempat di mana Allah swt menyempurnakan kehambaan para hambaNya yang ingin menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya.
  2. Suatu peluang, tempoh untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran, kesabaran dan keredhaan kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan kepadaNya.
Manusia yang leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya, secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan kehidupan itu sendiri.
Ini adalah kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu diri serta kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah Allah swt yang Maha Pencinta.
Seseorang yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan kehidupan ini, sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan yang sementara ini.
  1. Apa yang dikejar selalunya tidak dapat.
  2. Apa yang didapatinya juga tidak akan kekal bersamanya setelah dia mati.
Maka, di manakah nilai sebuah kehidupan bagi manusia yang semacam ini?
Bagi seseorang manusia yang menghayati makna kehambaan diri kepada Tuhannya, pasti akan memahami kehidupan ini dengan maknanya yang lebih luas dan sempurna.
Kebendaan dan duniawi tidak lagi berkuasa menawan kebahagiaan dan kelapangan hati dan jiwanya.
Dia tahu, hidup ini ialah untuk menterjemahkan makna kehambaan diri kepada Allah swt dengan menunaikan ketaatan kepadaNya secara zahir mahupun batin.
Bertolak daripada itulah, akhirnya seseorang mula memahami bahawasanya, seluruh kehidupan ini, samada berkaitan dengan ketentuanNya mahupun penetapan hukum-hakamNya, merupakan penzahiran "interaksi" Tuhannya kepadanya.
Seseorang hamba yang sentiasa menghadirkan rasa kehambaan diri kepadaNya dalam setiap tindakannya dalam kehidupannya, akan turut merasai kehadiran muamalah (interaksi) Tuhannya kepadanya melalui segala yang berlaku dalam kehidupannya.
Bermula dengan menunaikan ketetapan syariat dan hukum Allah swt dalam kehidupannya, maka penghayatan terhadap makna syariat yang dilaksanakannya dengan jiwa hamba mula bersinar dalam hatinya.
Dia mula melihat hakikat di sebalik syariat dengan pandangan ‘zauq’ (perasaan rohani) kurniaan Ilahi. Dia mula menghayati bahawasanya, syariat ialah bukti kewujudan dan kehendak Tuhan yang menciptakan dan mentadbir seluruh alam ini.
Bertolak daripada itu juga, takkala dia menunaikan ketaatan batin (hati) kepada Tuhannya, dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, tawadhu’, istiqamah, sabar, syukur, redha dan sebagainya, maka dia mula mengenali hakikat ketentuan Allah swt dalam setiap sisi kehidupannya.
Apabila dia ditimpa sesuatu yang berat terasa oleh nafsu dan dirinya, maka di situlah peranan seseorang hamba dalam menzahirkan kehambaannya kepadaNya dengan melahirkan sifat "sabar" terhadap ketentuanNya yang menimpanya tersebut.
Dia juga menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah swt dengan mengembalikan ketentuanNya kepadaNya, dengan mengadu masalah yang menimpanya kepada Allah swt yang mengujinya dengan ketentuan tersebut, dalam rangka semata-mata untuk menagih keredhaan dan bantuanNya.
Seseorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah swt dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan dirinya kepadaNya berbeza dengan seseorang yang mengadu kepada Allah swt akan masalahnya dalam bentuk membangkang ketentuanNya.
Adapun seorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah swt dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan diri kepadaNya, tujuannya hanyalah untuk menzahirkan hakikat diri yang "lemah" dan sentiasa memerlukan bantuanNya dalam menghadapi ketetapanNya.
Manakala orang yang merungut di hadapan Allah swt mengenai ketentuanNya ke atasnya bertujuan untuk menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketentuanNya yang tidak mengikut kehendak dan keinginan nafsu dirinya.
Mengadu dengan tujuan menzahirkan rasa lemah kepada Allah swt tidak mengandungi unsur mempertikaikan ketentuan Allah swt, tetapi sekadar memohon rahmat dan bantuan Allah swt agar dia mampu menghadapi ketentuanNya dengan bantuanNya.
Adapun orang yang merungut kepada Allah swt membawa maksud mempertikaikan ketentuan Allah swt dan terkadang boleh membawa kepada menyalahkan Allah swt, seolah-olah dia lebih pandai dari Allah swt.
Adalah sesuatu yang berbeza antara :
  1. Menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah swt.
dan
  1. Menzahirkan kepandaian diri di hadapan Allah swt.
Oleh kerana itu, Imam Abu Al-Hasan As-Syazili yang menghayati makna kehambaan ini mengungkapkan ungkapan penuh adab di hadapan Allah swt dengan berdoa :
"Wahai Tuhanku. Aku tidak memohon agar tertegahnya apa yang Engkau mahu tentukan ke atasku. Tetapi, aku memohon sokonganMu (kepadaku) dengan bantuanMu kepadaku dalam setiap ketentuanMu ke atasku"
Nilai kehambaan ini juga pernah diungkapkan oleh Rasulullah saw dalam doa Baginda saw ketika di Thaif dengan berdoa:
"Wahai Tuhanku, aku mengadu kepadaMu akan lemahnya diriku…".
Nilai-nilai mengadu dalam rangka meminta bantuan daripadaNya dan menzahirkan kelemahan diri dan keperluan kepadaNya merupakan antara nilai kehambaan yang tertinggi dalam diri seseorang hamba kepada Tuhannya.
Oleh yang demikian, hamba yang beradab dengan adab kehambaan tersebut mula menzahirkan rasa memerlukanNya dan bersabar dalam rangka untuk membuktikan kehambaan diri kepadaNya dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripadaNya.
Adapun tatkala dia ditimpa sesuatu yang menyenangkan diri dan nafsunya, samada kesenangan dalam bentuk kebendaan, rezeki, jodoh dan sebagainya, maka dia akan menzahirkan rasa kesyukuran kepadaNya dengan mengembalikan segala kebaikan yang didapatinya kepada Allah swt, bukan menyandarkan kebaikan tersebut kepada usaha dirinya sendiri.
Inilah nilai kehambaan yang agung dalam diri seseorang manusia, di mana dia sentiasa berasa menghargai setiap kebaikan dalam kehidupannya kerana menghayati bahawa semua kebaikan adalah daripada Allah swt, Tuhan yang Maha Pemurah.
Dengan rasa syukur tersebut, maka Allah swt menganugerahkan ‘ma’rifatullah’ (mengenal Allah swt) kepadanya, dan menganugerahkan kefahaman tentang rahsia-rahsia muamalah Allah swt dalam segenap kehidupannya.
Inilah kelebihan daripada sifat syukur yang dijanjikan oleh Allah swt yang berfirman dengan maksud :
"Jika kamu bersyukur, Aku akan tambah buatmu akan nikmatKu"…
Penambahan nikmat yang agung adalah kefahaman tentang :
  1. Hakikat diri.
  2. Hakikat kehidupan.
  3. Hakikat ketuhanan Allah swt.
dalam kehidupannya seharian.
Hidup ini ialah tempat bermuamalah secara beradab.
Bagaimana seseorang ingin beradab dalam bermuamalah dengan Allah swt melalui kehidupannya, sedangkan dia tidak mengenal :
  1. Hakikat dirinya sebagai hamba Allah swt yang perlu beradab kepadaNya.
  2. Hakikat kehidupan yang merupakan tempat menzahirkan adab kepada Allah swt dalam berinteraksi kepadaNya.
  3. Allah swt, Tuhan yang ingin menyempurnakan adab kehambaannya melalui kehidupannya.
Dalam hidup ini terkandung risalah-risalah Allah swt dalam setiap detik dalam kehidupan kita, jika hati kita sentiasa hadir dalam bermuamalah denganNya dengan adab kehambaan kepadaNya.
Sabar dan syukur merupakan dua sayap utama bagi kerohanian seseorang hamba dalam menuju keredhaanNya.
Setelah seseorang mencapai istiqamah dalam sabar dan syukur dalam setiap kehidupannya terhadap setiap ketentuanNya dengan bantuan Allah swt, maka dia akan dianugerahkan rasa redha kepada Allah swt dalam setiap ketentuanNya.
Pada darjat "redha" inilah, seseorang manusia :
  1. Tidak lagi merasai perbezaan di antara suatu ketentuan dengan suatu ketentuan yang lain.
  2. Tiada merasai susah ataupun senang, kerana hatinya sentiasa fokus kepada mencari keredhaan Allah swt di sebalik setiap ketentuanNya, dan menghadapi setiap ketentuanNya dengan pandangan redha kepada Allah swt.
Sesungguhnya, redha kepada Allah swt ini merupakan darjat yang teragung yang dicapai oleh seseorang hamba Allah, kerana seseorang tidak akan meredhai Allah swt melainkan setelah Allah swt meredhainya dan berkehendak supaya dia juga meredhaiNya.
Kehidupan ini sebuah perjalanan dalam muamalah kehambaan seseorang hamba dengan Tuhannya.
Nilai kehidupan adalah pada penghayatan seseorang terhadap :
  1. Makna kehambaan dirinya dalam kehidupannya.
  2. Makna kehidupannya selaku hamba kepada Tuhannya.
  3. Makna ketuhanan Allah swt dalam kehidupannya selaku hambaNya.
Tanpa makna-makna tersebut, kehidupan tiada erti bagi seseorang manusia.
Hidup tanpa "makna", yang tinggal hanyalah makan, minum, tidur dan sebagainya, dalam rangka memenuhi nafsu di sekitar usianya yang semakin menuju kesudahan.
Akhirnya, dia di sisi Allah swt bagaikan binatang, bahkan lebih sesat dan rendah daripada binatang, kerana tidak menghargai nilai kehidupannya sebagai manusia yang penuh dengan makna-makna yang mulia.
Masalah kemurungan, kesedihan, penderitaan dan rasa malang manusia sebenarnya bukanlah kerana gagal menanggung ketentuan Allah swt, tetapi masalah-masalah tersebut kembali kepada "tidak memahami makna di sebalik ketentuanNya" lalu membawa kepada kegagalan dalam berinteraksi dengan ketentuanNya sebagaimana yang sepatutnya.
Tanpa menghayati makna kehambaan diri, makna kehidupan yang merupakan medan menyempurnakan kehambaan dan makna ketuhanan Allah swt dalam kehidupan, maka seseorang akan mencari kebahagiaan yang bukan sebenarnya suatu kebahagiaan, akhirnya dia terus menderita dalam rangka untuk mencari kebahagiaan menurut persepsinya.
Kebahagiaan bukan pada kepuasan nafsu, tetapi pada terealisasinya kehambaan diri kepada Allah swt.
Kekayaan itu ialah kekayaan jiwa, seperti yang diberitahu oleh Baginda Nabi saw yang mulia.
Hidup ini bukan tempat di mana setiap orang mencari apa yang dia mahukan, tetapi hidup ini ialah tempat setiap orang menunaikan tujuan asal dirinya diciptakan.
Jika mahu terus mencari makna kebahagiaan selain makna yang diingini oleh Tuhan, maka setiap langkah kita dalam mencarinya adalah suatu penderitaan. Akhirnya, yang kita himpunkan hanyalah penderitaan demi penderitaan.
Ya Allah, jadikanlah kehidupan ini sebagai medan dalam kami berinteraksi dan melahirkan rasa kehambaan kepadaMu serta peluang untuk kami menzahirkan rasa syukur, sabar dan ridha kepadaMu terhadap segala ketentuan yang telah ditaqdirkan kepada kami.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Friday, 27 April 2012

Merindui Jalan Dakwah

Ditulis Oleh WAS Pada 10:10 – 0 Komen Anda
 

Dakwah adalah "satu-satunya" jalan yang disediakan oleh Allah bagi hambaNya yang dibeliNya dengan harga syurga. Maka dakwah memiliki sejumlah keutamaan yang sangat luar biasa. 

Berdakwah merupakan suatu nikmat Allah yang terbesar lantaran dakwah itu sendiri merupakan sebaik-baik amal kerana ia memelihara nilai-nilai Islam dalam peribadi dan masyarakat.

Dakwah itu merupakan tugas pokok para rasul, maka berbahagialah orang-orang yang mewarisi tugas sebagaimana para rasul.

Dakwah merupakan kehidupan yang diridhai Allah. Seorang muslim yang disibukkan dengan dakwah akan sentiasa tunduk kepada Rabb (Tuhan) dalam kehidupannya sehingga ia akan mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan.

Oleh kerana itu, dakwah mesti menjadi sebahagian dari kehidupan seorang Muslim agar banyak manfaat yang akan diperolehi dari dakwah yang ia lakukan.

Banyaknya kenikmatan yang diterima oleh seorang hamba mencerminkan balasan di atas dakwah yang dilakukannya.

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (QS Ali Imran : 104)

Merindui Jalan Dakwah adalah bermakna melaksanakan dakwah dalam kehidupan kita agar :

a.       Hidup kita penuh dengan barakah.
b.      Hidup kita penuh bererti.
c.       Hidup kita benar-benar memberi manfaat kepada orang lain.

Segala apa yang kita miliki samada harta benda, tenaga, waktu dan kemudahan akan dinikmati dan dirasakan sebagai sesuatu yang barakah dan bermanfaat bagi diri kita dan orang lain.

Merindui jalan dakwah bererti kita menanam amal jariyah iaitu amal yang tidak akan terputus pahalanya hingga ke alam akhirat.

Hanya orang-orang yang berilmu dan mahu menyampaikan ilmunya kepada siapa sahaja yang akan mendapat pahala amal jariyah ini.

Rasulullah saw bersabda :

“Barangsiapa mengajak kepada petunjuk, baginya pahala seperti pahala orang yang akan mengikutinya. Tidak mengurangi pahala mereka sedikitpun.”

Merindui jalan dakwah bererti pengorbanan iaitu kita bersiap sedia untuk berkorban apa sahaja yang diminta di jalan dakwah ini.

Merindui jalan dakwah bererti kita sedang berjalan menuju pintu Allah yang tidak pernah tertutup oleh apa pun dan ditujukan kepada siapapun di antara hambanya.

Maka ketika kenikmatan datang, bersyukurlah dan ketika ujian atau musibah menghampiri, bersabarlah.

Dalam merindui jalan dakwah, ada banyak cara untuk menyedarkan kedudukan diri kita di samping menasihati dan mengingatkan keberadaan kita.

Abdullah bin Rawahah ra pernah berpesan pada sahabatnya :

“Akhi, ta’al nu’minu sa’ah” (Saudaraku, mari sejenak kita beriman)

Kata-kata yang ringkas tapi penuh makna ini di lontarkan oleh Ibnu Rawahah sambil menarik tangan Abu Darda’. Beliau menginginkan saudaranya, Abu Darda’ untuk berhenti sejenak dari hiruk pikuk dunia dan sejenak untuk memasuki majlis iman.

Ia adalah sebuah majlis yang dapat mengasah dan sentiasa memperbaharui keimanan.

Majlis iman inilah yang diperlukan untuk :

1.      Melembutkan hati kita.
2.      Mengasah jiwa kita agar sentiasa beredar dalam orbit kebaikan.
3.      Melatih kita untuk sentiasa sensitif pada keburukan hingga kita menjauhinya.
4.      Mengasah ‘pantang’ kita terhadap kemaksiatan dan kemungkaran.

Majlis iman ini dilaksanakan pada peringkat individu dan juga jamaah.

Pada peringkat indidvidu, majlis ini dilakukan dengan muhasabah ‘maknawiyah’ atau merenung secara aktif hingga melahirkan idea-idea baru yang kreatif dan produktif.

Pada peringkat jamaah, tradisi ini dilakukan untuk menjaga kemantapan jamaah, menjaga dan memperbaharui semangat jamaah, menyambung idea-idea individu menjadi idea jamaah dan menjadikan kelompok lebih produktif.

Kedua-duanya tentu sahaja tetap dalam rangka menjaga ciri-ciri dakwah yang sedang dipikul.

Majlis iman diperlukan setidak-tidaknya untuk dua kepentingan.

PERTAMA :

Untuk memantau keseimbangan antara berbagai perubahan pada lingkungan strategik dengan keadaan suasana dalaman dakwah yang semakin laju pertumbuhannya.

Pada tahap ini, kita dapat melakukan penilaian terhadap :

a.       Langkah-langkah kita.
b.      Orientasi kita.
c.       Kapasiti kita.
d.      Peluang dalaman dan luaran kita.
e.       Sasaran-sasaran kita yang telah ditetapkan.

KEDUA :

Untuk mengisi ruang hati kita dengan tenaga baru sekaligus membersihkan debu-debu yang melekat padanya sambil menjejaki jalan dakwah.

Langkah ini dilakukan untuk memperbaharui komitmen dan janji setia kita kepada Allah swt.

Dalam merindui jalan dakwah, mari kita perbaharui iman kita. Mungkin banyak kesempatan yang boleh kita lakukan untuk akhirat, tapi tidak banyak orang yang mempergunakannya.

Tidak sedikit orang yang dalam hidupnya habis waktunya untuk mengurus dunia hingga lupa terhadap akhiratnya.

Syeikh Abdullah Nashih Ulwan mengisyaratkan pentingnya ruhiyah bagi seorang pendakwah dengan berkata :

“Ketika jiwa seorang pendakwah telah :

1.      Sepenuhnya bertaqwa kepada Allah.
2.      Merasakan muraqabah dan keagungannya dalam hati.
3.      Secara rutinnya membaca Al Qur’an dengan tadabbur dan penuh kekhusyukan.
4.      Menyertai Nabi dengan berqudwah kepadanya.
5.      Menyertai orang-orang yang soleh yang berma’rifat kepada Allah dengan menimba berbagai hikmah dan kebaikan dari mereka.
6.      Berzikir kepada Allah secara berterusan untuk menambah keteguhan dan ketenangan dan sentiasa melakukan ibadah ‘nafilah’ untuk mendekatkan diri dan menambah kekhusyukan.

Maka ketika berbicara, berkhutbah atau mengajak ke jalan Allah, niscaya akan kita temui :

a.      Keimanan memancar dari kedua bola matanya.
b.      Keikhlasan nampak jelas menghiasi raut wajahnya.
c.       Kejujuran terus mengalir bersama kelembutan suaranya, ketenangan iramanya serta isyarat-isyarat tangannya.

Bahkan perkataannya  akan meresap ke dalam hati dan melenyapkan kegelapan jiwa seperti air sejuk yang meresap di kerongkongan orang yang kehausan umpama cahaya yang memusnahkan kegelapan.

Mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

1.      Dengan petunjuk mereka, orang-orang pun memperolehi petunjuk dan dakwah mereka akan mendapat sambutan yang luas.
2.      Dengan nasihat mereka, hati bergetar dan mata menangis.
3.      Dengan peringatan mereka, ahli maksiat bertaubat dan orang-orang sesat akan sedar dan kembali ke jalan yang lurus.”

Demikianlah pentingnya kualiti ruhiyah seorang pendakwah sehingga ia mesti menjadi suatu keutamaan di dalam kehidupannya.

Lebih-lebih lagi ketika pengembangan dan putaran dakwah menjadi semakin cepat. Begitu juga ketika ia menghadapi tentangan, halangan dan tribulasi dakwah yang sentiasa muncul di persimpangan jalan dakwah.

Bagaimanakah cara memperolehi peningkatan ruhiyah?

Ada lima cara yang perlu ditempuh oleh seorang aktivis dakwah untuk mempertingkatkan ruhiyahnya.

PERTAMA : MENGINGATI PERJANJIAN DENGAN ALLAH (MU’AHADAH)

Perjanjian seorang muslim dengan Rabbnya adalah :

“Hanya kepada Engkau kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.”

Kita berikrar untuk tetap berada di jalanNya. Inilah jalan yang mesti ditempuh oleh seorang aktivis dakwah untuk mendapatkan ketaqwaan kepadaNya.

Allah swt berfrman :

“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah(mu) itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpahmu itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.” (QS An Nahl : 91)

KEDUA : MERASAKAN KEBERSAMAAN ALLAH DENGAN DIRINYA (MURAQABAH)

Ia merasakan keagungan Allah di setiap waktu dan keadaan serta merasakan bersamaNya di kala sepi ataupun ramai.

Allah set berfirman :

“Dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.”  (QS Asy Syu’ara’ : 219)

KETIGA : INTROSPEKSI DIRI (MUHASABAH)

Setiap kita perlu menilai diri kita sendiri. Biasanya kita lebih mampu membetulkan orang lain dibandingkan diri sendiri. Namun Islam mengajarkan bahwa kita mesti mampu mengintrospeksi diri kita sendiri.

Hal ini adalah salah satu cara supaya ketika kita melangkah, kita mempunyai daya pengawalan yang baik. 

Dengan muhasabah ini, insyaAllah kita akan sentiasa memperbaiki semua yang telah kita lakukan termasuk juga niatnya.

KEEMPAT : PEMBERIAN DENDA (MU’AQABAH)

Denda dikenakan kepada seorang Muslim tatkala ia melakukan kesalahan.

Ketika kita menemui kesalahan kemudian membiarkannya, ia akan mempermudahkan terlanggarnya dan terulangnya kesalahan-kesalahan yang lain, bahkan ia akan semakin sukar untuk meninggalkannya.

Di sinilah pentingnya denda yang membuatkan seseorang serik untuk melakukannya kembali.

Jika denda telah dijatuhkan ketika melakukan kesalahan, sesungguhnya ia telah menempuh jalan taqwa dan telah menjalani ketinggian ruhani.

KELIMA :PERTINGKATKAN KESUNGGUHAN (MUJAHADAH)

Ia adalah sebuah kesungguhan seorang muslim dalam melaksanakan semua ‘amaliyah  yang telah disyari’atkan oleh Allah dan dicontohkan oleh Rasulullah saw yang mulia.

Mujahadah di sini secara tepatnya adalah sebuah pemaksaan terhadap diri sendiri apabila :

a.       Kemalasan mula menyelinap ke dalam diri kita.
b.      Sikap santai mula menguasai ruangan jiwa kita.
c.       Tahap kualiti ataupun kuantiti mulai menurun.

Ianya bukan hanya berkait dengan amalan-amalan yang wajib, bahkan amalan sunnah pun mesti dijaga dengan istiqamah.

Merindui jalan dakwah menuntut kesedaran kita untuk memperbaharui iman kita secara terus menerus tanpa henti.

Kita perlu perbaharui iman kita agar kita tidak merasa ‘futur’ dari jalan dakwah ini.

UJIAN DI JALAN DAKWAH

Oleh kerana dakwah merupakan suatu perkerjaan besar yang mulia dan berakhir di syurga, maka jalan dakwah akan sentiasa berhadapan dengan ujian.

Bagaimana seseorang aktivis dakwah menghadapi ujian itu akan menentukan samada ia akan lulus sebagai seorang pendakwah yang istiqamah atau terjatuh di jalan dakwah.

Manusia terbahagi kepada empat jenis ketika menghadapi ujian.

PERTAMA : JENIS LEMPENG BESI

Ia seumpama besi yang tahan panas lalu lama-lama menjadi muai bahkan akhirnya meleleh.

Manusia jenis ini, kuat bertahan pada awal ujian, namun ketika menghadapi suasana yang menekan di mana tekanan semakin lama menjadi semakin besar dan kompleks, ia mulai berubah bentuknya, membengkok dan mulai kelihatan tidak stabil.

Manusia seperti ini, di awalnya mampu menghadapi tekanan, namun ketika ujian itu berterusan dan tekanan semakin menjadi, ianya mulai melemah serta membuatkan mereka menyerah dan putus asa dan akhirnya kalah.

KEDUA : JENIS KAYU RAPUH

Sedikit sahaja ia mendapatkan tekanan ujian, ia akan patah arang dan putus asa. Boleh jadi, dari luar kelihatan bagus tetapi di dalam hatinya agak rapuh di mana senang sekali ia mengeluh  ketika kesulitan menjelma.

KETIGA : JENIS KAPAS

Ia mudah dilentur dan bersifat anjal. Bayangkan jika kita menekan sekarung kapas, ia akan mengikuti tekanan yang ada.

Keanjalannya mampu menyesuaikan dirinya dengan tekanan yang ada. Apabila tekanan dilepaskan, ia akan kembali ke bentuknya yang asal.

Manusia seperti ini mampu kembali bersemangat dan giat beramal, meskipun ketika mendapat ujian, ia tertekan.

KEEMPAT : JENIS BOLA PING PONG

Manusia jenis ini adalah yang ideal dan terhebat.

Cuba perhatikan bola ping pong. Ketika ditekan, justeru ia memantul ke atas dengan lebih dahsyat.

Seberapa besar ujian datang, sebesar itulah pula ia bersemangat, bekerja legih giat, berharakah, memberi sumbangan dalam dakwah. Ujian hanya membuatnya semakin kuat, bermotivasi, kreatif dan berpengalaman.

UJIAN DAKWAH SEBUAH KEMESTIAN

Dengan adanya ujian, seseorang akan sampai kepada kedudukan mulia yang sebenarnya. Melalui jambatan inilah ia diuji agar nyata sebagai orang yang terpuji.

Melalui ujian, seseorang ditempa untuk mampu menghadapi godaan yang membinasakan. samada ianya hawa nafsu, nafsu jiwa, syaitan mahupun dunia.

Ujian yang dihadapi oleh manusia pada hakikatnya berada dalam empat perkara yang membinasakan itu, termasuk ujian dalam dakwah.

Apakah dengan ujian itu ia mampu memenangkan imannya atau ia :

1.      Terjatuh dikelilingi lilitan hawa.
2.      Terikut kehendak nafsu.
3.      Tertipu oleh bujukan syaitan.
4.      Tertawan oleh gemerlapan dunia.

Ujian termasuk dalam dakwah juga sentiasa wujud kerana melalui ujian itulah seseorang mendapati darjatnya meninggi.

BERSEDIA MENGHADAPI UJIAN DAKWAH

Tidak cukup bagi seorang aktivis dakwah untuk meyakini bahwa ujian pasti datang bahkan lebih dari itu, ia perlu menyiapkan dirinya untuk menghadapinya.

Ia perlu bersedia untuk menghadapi ujian yang akan datang serta badai yang akan menerpa.

Bagaimanakah cara kita mempersiapkan diri?

PERTAMA : MENGUKUHKAN KEYAKINAN DAN KEIMANAN

Allah swt yang telah mewajibkan dakwah, maka Dia pula yang akan memberikan kekuatan kepada pemikulnya untuk kuat menanggung bebanan itu disebabkan segala ujian yang dihadapinya.

Keimananlah yang :

a.       Membuatkan bara api yang menyelimuti Nabi Ibrahim terasa dingin.
b.      Mengubah rasa takut dan kekhuatiran Nabi Musa hingga terbelah lautan ketika sampai ke penghujung laut akibat dikejar Fir’aun dan tenteranya.
c.       Membuatkan keluarga Masyitah membangun haruman kuburan dengan siksaan mendidihnya air di tungku kuali yang panas.

KEDUA : MENGUATKAN TEKAD

Tekad dan semangat para aktivis dakwah mampu dipertingkatkan dengan terus menyedari bahwa balasan syurga menanti bagi mereka yang ikhlas menempuh jalan ini.

Ia  sentiasa mendekat diri kepadaNya dan memperbaiki kualiti hubungan denganNya sehingga menjadikan seorang aktivis dakwah tersebut memiliki kekuatan tekad dan harapan bagi mendapatkan syurga yang terpancar di hadapannya.

Setiap kali ujian menerpa, aktivis dakwah sentiasa mengingatkan dirinya bahwa jika ia menyerah maka syurga tidak akan pernah diraihnya. Namun jika ia istiqamah, kesulitan yang membuatnya letih dan berdarah-darah pastilah tidak seberapa jika dibandingkan dengan balasan berupa syurga.

Di sebalik tekad yang kuat, ia mampu :

1.      Menyembuhkan kesakitan yang dideritainya akibat luka perang.
2.      Mengubah kesedihan menjadi kegembiraan.
3.      Mengubah yang jauh menjadi dekat.
4.      Mengubah yang letih menjadi bertenaga.
5.      Mengubah kesuntukan, ketegangan dan tekanan menjadi kesegaran. 

KETIGA : TERUS BEKERJA KERAS

Teruslah melangkah, melaksanakan aktiviti dan bekerja di jalan dakwah kerana dengan terus bekerja :

a.       Keyakinan akan memuncak.
b.      Keraguan akan terhapus.
c.       Ujian terasa lebih ringan.

Kerja keras adalah ekspresi keteguhan, sekaligus membuktikan bahwa kita merindui jalan dakwah. 
Merindui jalan dakwah mengajarkan kepada kita untuk bekerja keras dengan penuh keyakinan di mana melaluinya akan :

1.      Membuatkan seseorang boleh bertahan lebih lama kerana ia mengerti makna pekerjaan yang dilakukannya.
2.      Membuatkan ia mengerti  bahwa dakwah ini memerlukan mujahadah yang serius.

Dalam bekerja, kita juga :

a.       Memerlukan tenaga.
b.      Memerlukan keyakinan yang penuh.
c.       Memerlukan imuniti, ketekunan, konsistensi dan kepercayaan yang melahirkan karya bermakna dan berprestasi.

KEEMPAT : MENGAMBIL HIKMAH DARI SEGALA KEJADIAN TERMASUK KEKALAHAN

Ketika dakwah berjalan sekian lama namun kemenangan belum kunjung tiba, sebahagian orang menganggapnya sebagai kekalahan.

Kalaupun itu dianggap kekalahan, kita sepatutnya mampu mengambil hikmahnya dan memperbaiki diri serta jamaah untuk meraih kemenangan sepertimana perang Uhud yang tidak akan pernah berulang lagi. 

Maknanya kita boleh kalah, tetapi sebab-sebab kekalahan tidak boleh berulang.

Ada tiga faktor yang menyebabkan berubahnya kemenangan menjadi kekalahan kaum muslimin :

1.      Pelanggaran terhadap perintah Nabi saw oleh pasukan pemanah.
2.      Tersebarnya berita kematian Nabi saw yang melemahkan semangat ramai orang-orang yang yang beriman.
3.      Perselisihan faham di medan perang tentang arahan Nabi saw.

Merindui jalan dakwah mengajak kita melintasi waktu yang ada lantaran perubahan itu sangat cepat. Kadang-kadang menjadi sukar bagi kita untuk menentukan sikap dan keputusan di kala perubahan cepat yang berlaku. Tambahan pula dengan tentangan yang menghalang di hadapan kita yang bukan semakin ringan.

Merindui jalan dakwah juga mengajak kita berteman dengan kekalahan meskipun pilu dan mengiris hati.
Fenomena adanya aktivis dakwah yang melepaskan diri dari dakwah (insilakh) dan yang berguguran di jalan dakwah (tasaqut) sebenarnya memberi kesan kepada kelangsungan dakwah Islam secara umumnya.

Di antara sebab berlakunya kedua-dua fenomena tersebut adalah :

a.       Lemahnya tarbiyah.
b.      Tidak seimbang dalam memposisikan anggota.
c.       Tidak memberi fungsi kepada setiap anggota.
d.      Lemahnya pengawalan.
e.       Kurang peka dalam menyelesaikan masalah.
f.       Konflik dalaman.
g.      Kepimpinan yang lemah.

KELIMA : SENTIASA BERDOA

Ini adalah kerana dakwah ini adalah tugas dari Allah dan Dialah yang berkuasa memenangkannya. Dia pula yang telah menurunkan ujian dan kuasa untuk menguatkan hambaNya.

Maka berdoa adalah senjata yang tidak boleh tanggal dari jalan dakwah kita.

Betapa banyak keperluan kita sebagai seorang Muslim, apalagi sebagai aktivis dakwah sangat memerlukan pertolongan Allah swt samada :

1.      Urusan dunia ataupun urusan akhirat.
2.      Urusan dakwah, jihad, amar ma’ruf nahi mungkar ataupun urusan mencari rezeki.
3.      Dalam keadaan sulit ataupun lapang.
4.      Dalam keadaan perang ataupun dalam keadaan damai.

Oleh itu keperluan itu dapat disalurkan melalui doa kepadaNya.

Merindui jalan dakwah membuatkan kita sedar betapa kecilnya kita di hadapanNya.

a.       Tidak ada segala sesuatu kecuali dalam kekuasaanNya.
b.      Tidak ada harapan sedikitpun kecuali hanya kepadaNya.
c.       Tidak ada yang mampu menolong kita kecuali dariNya.
d.      Tidak ada kesulitan yang kita rasakan kecuali diiringai munajat doa kepadaNya.
e.       Tidak ada bebanan yang tidak mampu kita pikul kecuali ata spertolonganNya.

Jadi, apabila semua yang kita miliki telah hilang, maka masih ada yang paling berharga bagi kita, iaitu doa.

Maka berdoalah bila-bila masa sekalipun, di mana sahaja, untuk siapa sahaja dan atas keperluan apa sahaja dan jangan pernah letih untuk berdoa.

KEENAM : YAKINLAH BAHWA ALLAH SENTIASA AKAN MENOLONG HAMBANYA

Allah swt sentiasa akan menolong hambaNya yang tengah berdakwah dan berjuang menolong agamaNya.

Merindui jalan dakwah menegaskan  kembali dakwah ini di jalan Allah di mana Allah Maha Tahu dan Dialah yang menurunkan ujian dan yang menjaga serta melindungi kita.

Ingatkah kita ketika Rasulullah saw bersama Abu Bakar Ash Shiddiq memasuki gua Thur untuk sejenak berhenti dan mengalihkan perhatian musuh yang berkeliaran ingin menangkapnya?

Seketika itu pula, Allah swt melindungi dua hambaNya dengan mengubah mulut gua menjadi lebih tua dan tidak ada kesan serta bekas sedikitpun orang yang pernah melewati apalagi menempati gua tersebut.

Merindui jalan dakwah mengingatkan kita bahwa pertolongan Allah itu dekat. Bergabung dan beramal di jalan dakwah adalah sebahagian dari cara kita menolong agama Allah.

Merindui jalan dakwah juga membuatkan kita terbiasa bersahabat dengan kesulitan, melangkah dalam dakapan ikhtiar dan bersenandung munajat doa kepadaNya. Kita hanya berusaha, Allahlah yang akan menentukan hasil segalanya.

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu meolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (QS Muhammad : 7)

PENYELESAIAN ISLAM

Marilah kita menjadikan Islam sebagai jalan penyelesaian kepada segala perkara, khususnya dalam menghadapi ujian.

Bagaimana mungkin seseorang yang menyatakan memperjuangkan Islam tetapi ketika ada masalah mengambil sesuatu di luar Islam sebagai jalan penyelesaiannya?

Maka :

1.      Amal-amal Islami mestilah ditingkatkan.
2.      Jumlah aktivis dakwah hendaklah diperbanyakkan sekaligus kualitinya ditingkatkan.
3.      Maksiat ditinggalkan dan tidak boleh diteruskan.
4.      Solat malam hendaklah dibiasakan.
5.      Iman hendaklah terus menerus diperbaharui.

Saudaraku, kita adalah pendakwah dan pemikul amanah dakwah ini. Dakwah ini adalah :

a.       Cermin dari diri kita semua.
b.      Kumpulan dari sumbangan peranan-peranan kita.
c.       Hakikat sebenar akan keadaan diri kita.

Untuk itu, kenalilah, fahamilah dan jalanilah jalan dakwah ini. Seterusnya, yakinlah bahwa dakwah ini akan berkembang di tangan orang-orang yang memiliki kekuatan, semangat juang yang tidak pernah pudar lantaran ajaran yang mereka bawa mampu bertahan melebihi usia mereka.

Boleh jadi usia para mujahid pembawa misi dakwah tersebut tidak panjang tetapi cita-cita, semangat dan ajaran yang mereka bawa tetap hidup jauh sepeninggalan mereka.

Waktu adalah umur kita dan waktu kita adalah kehidupan kita. Salah satu perkara yang pertama kali akan ditanyakan oleh Allah swt kepada kita pada hari kiamat nanti adalah tentang waktu kita, samada waktu produktif iaitu waktu masa muda dan waktu secara keseluruhannya.

Kebangkitan Islam bukanlah hadiah dari Allah tanpa apa-apa alasan. Meskipun Rasulullah saw memberikan jaminan dalam sabdanya :

“Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang berperang di jalan Allah dan wujud hingga hari kiamat”.

Tapi, apakah ada jaminan bahwa kita termasuk dari golongan yang Rasulullah saw sabdakan itu?

Satu-satunya jalan untuk membuka jalan kebangkitan umat adalah melakukan aksi, tindakan dan kerja seperti yang disebut olah Allah swt :

“Bekerjalah kamu, maka Allah dan rasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (QS At Taubah : 105)

Kini pertanyaannya adalah seberapa besar sumbangan kita dalam dakwah?

Ya Allah, jadikanlah dunia  yang kami hidup di atasnya ini sebagai wasilah untuk kami mencapai cita-cita akhirat kami. Tetapkanlah kaki kami di atas rel dakwah yang terjaga dan terpelihara kerana kami memahami bahwa jalan dakwah ini masih panjang, penuh onak dan duri serta ujian yang semakin datang bertubi. Kurniakanlah kepada kami kefahaman terhadap tabiat jalan ini dan mafhum jalan mana yang paling tepat agar kami sampai pada tujuan yang dicita-citakan.

Ameen Ya rabbal Alameen
WAS   
[ Read More ]
Read more...
Newer Posts Older Posts
View mobile version
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
    Rijalud dakwah adalah seseorang yang telah di tarbiyah secara intensif sehingga memiliki persediaan untuk berjuang dan berkorban di jal...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Surah Yang Menjadi Pembela
    Allah swt telah menurunkan kepada kita Al Qur’an sebagai : a.        Cahaya. b.       Rahmat. c.        Ubat dari penyakit hati dan...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ▼  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ▼  April (16)
      • Kehidupan Medan Interaksi
      • Merindui Jalan Dakwah
      • Penuhilah Aqad Kita
      • Ikhlas Kunci Kebahagiaan Hakiki
      • Pelbagaikan Kaedah Dakwah
      • Kembalikan Landasan Kemurnian Dakwah
      • Akhlak Asas Pembangunan Diri
      • Perubahan Melalui Al Qur'an
      • Kejelasan Matlamat Perjuangan
      • Kemampuan Tanpa Batas
      • Menerobos Ke Ufuk Ta'alim
      • Memahami Dakwah Islam Sebenar
      • Cinta Membawa Ke Syurga
      • Pengaruh Kata-Kata Dan Tulisan
      • Memenuhi Seruan Allah Dan Rasul
      • Memahami Sasaran Dakwah
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger