skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Tuesday, 31 January 2012

Intipati Penghayatan Rabbani

Ditulis Oleh WAS Pada 23:38 – 0 Komen Anda
 
Kehidupan ini adalah untuk kita hidup menghadapi realiti bukan membina makna realiti itu sendiri.
Bahkan :
  1. Hakikat hidup sudah ditentukan.
  2. Makna hidup sudah dijelaskan.
Jika kita terus memilih selain hakikat dan makna hidup yang telah dijelaskan oleh Allah swt, maka kita hanya mencari kebahagiaan yang palsu.
  1. Semakin kita melangkah menuju kebahagiaan palsu, semakin kita menjauhi kebahagiaan hakiki.
  2. Semakin kita menuju ‘realiti’ ciptaan sendiri, semakin kita memalingkan diri daripada hakikat sebenar kehidupan ini.
Kebanyakan manusia melihat kehidupan dari berbagai sudutnya.
  1. Ada yang melihat kesusahan hidup lalu memahami kehidupan ini suatu tempat yang dikelilingi oleh kedukaan.
  2. Ada yang melihat kesenangan duniawi lalu memahami kehidupan adalah tempat yang paling layak untuk menikmatinya.
Ini semua adalah nilai kehidupan dengan pandangan kepentingan dan syahwat tapi, kenapa kita mahu melihat kehidupan ini pada sisi susah atau senangnya sedangkan setelah berlalunya kesusahan maka akan hadirlah kesenangan dan begitu juga apabila kesenangan telah meninggalkan kita maka kesusahan akan segera hadir. Begitulah silih berganti.
Malah, kesenangan di dunia bukan selamanya, begitu juga kesusahannya. Akhirnya insan yang sibuk dengan kesusahan dan kesenangan hidup di dunia akan mati meninggalkan dunia ini. Itu semua hanyalah persepsi yang bersifat keanak-anakan semata-mata yang menginginkan khayalannya menjadi mimpi yang nyata.
Begitulah insan yang sentiasa terkesan samada dalam kesenangan mahupun dalam kesusahan.
Cahaya keimanan yang sepatutnya kita warisi daripada generasi Sahabat yang sentiasa tenang dalam susah dan senang, seakan-akan suatu fantasi semata-mata.
Memang benar bahwa indahnya berbicara berbanding menghadapinya. Namun, inilah realitinya.
Bagaimana Bilal ra mampu memikul batu berat di bawah panas terik matahari hanya dengan menyebut ‘ahad’…’ahad’ tapi kita, dengan sembilan puluh sembilan nama Allah telah dihafal, namun belum tentu sanggup memikul dugaan kerana Allah swt.
Begitu jauh penghayatan aqidah kita berbanding penghayatan aqidah mereka yang dididik oleh  Rasulullah saw.
Nilai aqidah itu adalah pada penghayatannya BUKAN pada perbahasannya.
Semua orang berbicara dalam manhaj yang berbeza-beza tetapi tetap berkongsi kemanisan yang sama, jika benar tauhid mereka.
Bukti berharga paling utama yang menunjukkan aqidah kita benar pada manhaj mereka yang terdahulu (as-salaf as-soleh) khususnya para sahabat ra, adalah kita berkongsi penghayatan mereka terhadap aqidah Islam itu sendiri.
Iman itu harganya pada kelazatannya dalam berinteraksi dengan Allah swt melalui  kehidupan.
Bagaimana generasi sahabat khususnya, tidak pernah mengenal erti susah dalam menghadapi rintangan kehidupan mereka?
Ramai orang berkata  bahwa :
  1. Kekuatan mereka adalah pada kefahaman mereka tentang dakwah Islam.
  2. Kekuatan mereka pada ilmu dan amal mereka.
Namun, hakikat sebenar yang menjadi kunci utama kekuatan mereka adalah :
  1. Penghayatan mereka terhadap aqidah mereka.
  2. Kelazatan tauhid yang mereka kecapi saban hari.
Kelazatan iman mereka membawa mereka kepada mengenal makna kehidupan yang lebih besar.
Ianya adalah cahaya yang terbit dari kerohanian yang bersih dan suci daripada maksiat dan kelalaian.
Ianya lahir daripada jiwa yang sentiasa menginsafi diri dan memperbanyakkan taubat bukan sekadar kerana rasa diri berdosa, tetapi kerana takut rasa diri tidak berdosa yang mana itu juga merupakan sifat ujub yang tercela.
Qudwah mereka adalah Rasulullah saw. Mereka melihat bagaimana Rasulullah saw beristighfar seratus kali setiap hari sedangkan sudah terpelihara daripada dosa.
Mereka meneliti bagaimanakah penghayatan baginda Rasulullah saw dalam memperbanyakkan taubat.
Nah, kelazatan dan penghayatan itulah yang diwarisi oleh para sahabat radhiallahu anhum yang secara halusnya telah meresap di dalam tarbiah yang dibawa oleh Rasulullah saw.
Kunci utama bagi seseorang untuk mewarisi perkara yang berkaitan dengan hati dan kebersihan rohani adalah pada kecintaan dalam keimanan.
Oleh sebab itulah, Rasulullah saw menyuruh para sahabat ra mencintai baginda saw lebih daripada diri mereka sendiri. Ini kerana, kunci berlakunya proses pewarisan hubungan hati seseorang dengan Allah daripada Rasulullah saw adalah dengan cinta kepada Rasulullah saw.
Jalan untuk mencintai Rasulullah saw adalah dengan mencintai para pewaris Rasulullah saw iaitu:
  1. Para sahabat radhiallahu anhum.
  2. Keluarga Rasulullah saw.
  3. Para ulama’ (yang mewarisi ilmu Rasulullah saw).
  4. Para solehin (yang mewarisi amalan Rasulullah saw).
  5. Para murabbi (yang mewarisi manhaj tarbiah Rasulullah saw).
Ini adalah kecintaan kerana Allah swt. yang berteraskan kecintaan kepada Rasulullah saw dan inilah juga antara sebab untuk mendapatkan kelazatan iman.
Penghayatan ini juga dikuatkan dengan mujahadah melawan hawa nafsu dengan meninggalkan terus maksiat dan dosa kita tanpa menoleh kepadanya semula.
Antara kuncinya adalah dengan membenci untuk kembali kepada dosa sebagaimana takut untuk dicampak ke dalam neraka. Perasaan takut itu apabila terus meningkat, maka ia akan membawa kepada takut akan murka Allah swt.
Kemuncak proses mengecapi penghayatan aqidah tauhid dan kelazatan iman adalah dengan menjadikan setinggi-tinggi cinta teragung seseorang adalah Allah swt.
Kecintaan kepada Allah swt. ini bukan suatu proses yang mudah semudah mengungkapkannya dengan lisan semata-mata. Betapa ramai manusia yang mudah mengungkap cinta tetapi debu cinta pun tiada di hatinya.
Prosesnya adalah dengan mencintai jalan-jalan untuk mencintai Allah swt iaitu mencintai :
  1. Para solehin.
  2. Para murabbi.
  3. Para ahlul-bait.
  4. Para sahabat radhiallahu anhum.
dan kemuncaknya adalah cinta kepada Rasulullah saw.
Dengan kecintaan kepada Rasulullah saw melebihi cinta kita kepada segalanya, akan membawa kepada kecintaan kepada Allah swt dengan bantuanNya.
Memang benar bahwa cinta kepada Allah swt adalah suatu anugerah. Ianya :
  1. Tidak semudah sehingga semua yang mendakwanya, memilikinya.
  2. Tidak serendah semua yang membicarakannya, merasainya.
Ianya adalah :
  1. Pilihan dalam pilihan.
  2. Anugerah dalam hadiah.
  3. Kurniaan dalam pemberian.
Maka, mintalah cinta kepadaNya hanya daripadaNya.
Dengan mencintai Allah swt, seseorang akan memfokuskan dirinya hanya kepada Allah swt.
Seluruh jalan cerita dalam kehidupannya adalah ungkapan untuk mendapatkan redha dan cintaNya.
Sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Jum’ah Amin bahwa :

Mereka yang mencintai Allah swt ialah yang benar-benar memahami tugas, risalah dan matlamat kejadian setiap insan iaitu untuk beribadah kepada Allah swt yang Esa sebagaimana firmannya :

“Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” (QS Az Zariaat : 56)

Ibadah yang dimaksudkan ialah yang syumul dan lengkap.

Setiap insan tidak dapat mencapai kebahagiaan, kebebasan, kemuliaan, ketamadunan dan kemanusiaannya kecuali dengan keikhlasan ubudiyah kepada Allah semata-mata.

Hakikat diri insan yang mulia terletak pada kehinaannya di hadapan Allah swt. Oleh itu seorang muslim merupakan seorang hamba yang bebas apabila ia mengungkapkan :

"Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau yang kami mohon pertolongan".

Ibadahnya mengambil semua ruang lingkup dan detik kehidupannya, tidak kira :

  1. Malam atau siang.
  2. Ketika menjadi rahib di malam hari atau bagaikan pahlawan di siang hari.

Dia adalah hamba di dalam :

  1. Masjid.
  2. Rumah.
  3. Institusi.
  4. Tempat kerja.
  5. Jalanraya.
  6. Kehidupan pendidikannya.
  7. Ilmunya.
  8. Kegiatan politiknya.
  9. Pergaulan sosialnya.
  10. Kehidupan keluarganya.
  11. Kehidupan peribadi dan umumnya.
  12. Perancangan dan pengurusannya.
  13. Halatujunya.

"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya.” (QS Al An’aam : 162-163)

Ciri istimewa yang ada padanya serta garis tetap dalam kehidupannya ialah ibadah kepada Allah swt.

"Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid". (QS Al Bayyinah : 5)

Ini adalah kerana dengan ibadahlah kita boleh sampai ke peringkat pimpinan dunia.

Benarlah Imam Hasan Al-Banna apabila ia berkata :

"Jadilah kamu hamba-hamba sebelum menjadi pemimpin. Ibadah menyampaikan kamu kepada sebaik-baik kepemimpinan".

Oleh itu, dia tidak akan meninggalkan perhambaannya itu selama-lamanya.

Kesempurnaan ibadah menyebabkan dia tidak takut kepada keganasan taghut, walaupun tidak mempunyai apa-apa kekuatan material.

"Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat tinggal dan diperkuatkan-Nya, serta di kurniakan-Nya kamu daripada rezeki yang baik, supaya kamu bersyukur" (QS Al Anfal : 26)

Syeikh Jum’ah Amin menambah lagi :

Apabila kita telah menunaikan tanggungjawab dan kesemua hak-hak yang sepatutnya, secara pasti kita akan mampu bangkit untuk mencapai matlamat iaitu ubudiyah kepada Allah swt.

Dalam rangka itulah, maka kita hendaklah menjadi hamba-hambanya yang sentiasa :

  1. Berwudhu’ dan sujud.
  2. Berkaki kematu akibat ibadah.
  3. Mengalir air matanya.
  4. Berzikir dengan lidahnya.
  5. Bergetar hatinya kerana Allah.
  6. Khusyu’ anggota tubuh badannya.

"Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadi mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian daripada apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpahan kurnia yang mulia (di syurga)" (QS Al Anfaal : 2 - 4)

Mereka adalah ‘mukminun  yang sebenarnya kerana matlamat mereka ialah Allah sehingga masuk ke syurga pun matlamat mereka tetap Allah.

Matlamat ini ialah unsur tetap dakwah yang menuntut setiap diri yang bergabung dengan dakwah ini agar sentiasa menimbang segala aktiviti berdasarkan neraca matlamat ini.

Setiap sesuatu yang bermaksud untuk mendapat keredhaan Allah adalah diterima dalam dakwah ini. Sebaliknya setiap sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah adalah dibenci dan tidak diterima dalam dakwah ini.

Itulah sebenarnya hakikat apabila kita sudah mulai mencintai Allah. Apa sahaja akan sanggup untuk diredah demi redha dan cinta kepadaNya. Pandangan redha yang dicintai adalah idaman setiap sang pencinta.
Jika benar kita mencari redha Allah :
  1. Mengapa kita mengeluh ketika diberi ruang untuk mendapatkannya?
  2. Bukankah ujian dan dugaan hidup itu ruang untuk mendapatkan redhaNya?
  3. Mengapa ketika diberi ruang untuk mendapat redhaNya dalam dugaan yang melanda, dengan sabar dan redha dalam setiap ketentuanNya, namun kita tetap memilih untuk mengeluh dan mula merasa duka?
  4. Bukankah seseorang yang Allah swt cinta, semakin kuat diuji?
  5. Bukankah ujian itu sebenarnya nilai cinta?
  6. Mengapa kita mengeluh ketika dikurniakan simbol cinta?
  7. Adakah kerana kita tidak memahami hakikat cinta?
  8. Atau kerana memang dalam diri kita tiada cinta kepadaNya?
Oleh kerana itulah, hidup kita tidak sunyi dari keluhan terhadap Allah swt dan memberontak apabila diberi ujian.
Para pencinta dari kalangan salaf dan khalaf mengenali dan menghayati hakikat cinta lalu, setiap inci kehidupan mereka dilalui dengan penuh redha sebagai seorang hamba.
Mereka melihat agungnya “nilai” di sebalik ujian berbanding beratnya ujian.
Mereka melihat besarnya “tujuan” mereka dalam redha kepadaNya, iaitu demi meraih redhaNya, berbanding melihat ketentuanNya dalam kehidupan mereka.
Seseorang yang sentiasa fokus terhadap kebesaran tujuan dan keagungan nilai di sebalik ketentuan, tidak pernah letih untuk menghadapi ketentuan demi ketentuan kerana tahu apa yang dicari di sebalik kesabaran dalam menempuh ketentuan.
Bagaimana boleh terungkap di mulut para pencinta :
“sedang lautan api sanggup ku redahi demi cinta…”, kalau memang itu bukanlah hakikat sebenar cinta.
Itulah hakikat cinta wahai sang pencari cinta.
Rasulullah saw sangat kagum dengan sikap orang yang beriman yang sentiasa mendapati kebaikan dalam kehidupannya, samada dalam kesenangan mahupun kesusahan. Malah, Rasulullah saw sendiri sebagai simbol teragung dalam menterjemahkan makna kelapangan hidup dalam hidup baginda saw.
Teringat kisah di mana linangan air mata mulia baginda saw menitis keluar dari kedua mata baginda saw yang mulia, ketika pemergian anakanda baginda saw yang bernama Ibrahim. Lalu para sahabat ra bertanya tentang titisan air mata tersebut, adakah ianya tanda sedih atau bagaimana.
Lalu Rasulullah saw bersabda :
“Ini adalah rahmat (kasih sayang)”.
Apa makna di sebalik itu?
Maknanya, sehingga kepada menangis itu sendiripun dalam penghayatan baginda saw adalah rahmat daripada Allah swt, bukan suatu kesempitan, apatah lagi segala ketentuan dalam kehidupan baginda saw.
Rasulullah saw mengecapi rahmat dan kelembutan Allah sswt dalam setiap ketentuanNya sehingga air mata itu juga dirasakan nikmat daripada rahmat Allah swt.
  1. Inilah hakikat penghayatan iman dan taqwa yang mendalam.
  2. Inilah penghayatan aqidah yang murni yang perlu dirasai oleh setiap orang yang beriman.
Maka, carilah para pembimbing yang dapat membantu kita untuk mewarisi penghayatan ini daripada generasi terdahulu melalui :
  1. Tarbiah.
  2. Qudwah.
Indahnya hidup dengan melaluinya berbekalkan kelazatan iman dan penghayatan tauhid yang murni. Fokuslah kepada keagungan nilai tujuan, niscaya lapang bagi kita setiap jalan menujunya.
Ya Allah, berilah kekuatan dan kemudahan untuk kami meningkatkan penghayatan Rabbani meliputi aqidah, kecintaan, iman dan taqwa semata-mata keranaMu. Bimbinglah kami untuk kami warisi penghayatan tersebut melalui tarbiyah dan qudwah sehingga kami benar-benar dapat membentuk suatu kehidupan Rabbani yang menekankan penghayatan amali.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS  
[ Read More ]
Read more...

Membina Rumah Akhirat Di Dunia

Ditulis Oleh WAS Pada 01:53 – 0 Komen Anda
 
Di akhirat kelak, tidak ada sesuatu yang paling disesali oleh penghuni syurga kecuali penyesalan mereka terhadap waktu yang hilang di dunia tanpa diisi dengan amal soleh.

Amal-amal kita tidak hanya dicatat oleh para malaikat kerana cerita-cerita dan kesan-kesan yang kita tinggalkan di dunia setelah kita mati adalah seperti cermin nilai dari perilaku kita selama kita hidup di dunia.
  1. Alangkah indahnya, sebuah kematian yang mampu meninggalkan cerita-cerita baik pada keluarga kita.
  2. Alangkah bahagianya, sebuah kematian yang meninggalkan jejak hidup yang menjadi pelajaran kebaikan bagi mereka yang masih menjalani kehidupan.
  3. Alangkah gembiranya, bila kematian kita memberikan kesan dari amal-amal soleh yang bermanfaat untuk orang lain.
Oleh kerana itu, ketika ada seorang yang soleh ditanya :

"Kenapa engkau meletihkan jiwamu dalam beribadah?"

Ia menjawab :

"Aku ingin mengistirehatkan jiwaku."

Istirehat yang dimaksudkan adalah :
  1. Istirehat di dunia dengan jiwa yang tenang setelah beribadah.
  2. Istirehat di akhirat dengan memasuki kehidupan yang begitu mententeramkan dan menggembirakan.
Menurut Ibnul Jauzi, ruang waktu kehidupan di dunia ini tidak ada bezanya dengan tempat jual beli berbagai macam barangan.
  1. Ada barang yang bagus.
  2. Ada juga yang buruk.
Beliau menambah lagi bahwa :
  1. Orang yang berakal pasti akan membeli barang yang bermutu meskipun harganya mahal kerana barangan itu lebih mempunyai nilai dari barangan yang buruk meskipun harganya murah.
  2. Orang yang tahu akan kemuliaan alam semesta mesti meraih sesuatu yang paling mulia yang ada di alam semesta ini dan sesuatu yang paling mahal nilainya di dunia ini adalah, mengenal Allah swt.  
Seseorang yang mengenal Allah swt bererti ia mengetahui ke-Maha Besaran-Nya.

Dalam masa yang sama ia juga mengetahui :
  1. Kekerdilan dirinya.
  2. Kelemahan dirinya.
  3. Kebergantungan dirinya.
dengan Yang Maha Berkuasa.

Pengenalan yang seperti inilah yang boleh memunculkan kekuatan dan keteguhan dalam mengharungi gelombang kehidupan.

Tidak takut, tidak lemah dan tidak bergantung kepada sesiapapun kecuali Allah dan selama mana ia berada di jalan Allah, ia tidak akan senang, gembira dan sukacita kecuali bersama Allah swt.

Lihatlah perkataan Masruq, seorang mufassir yang juga sahabat Said bin Jubair yang pernah berkata :

"Tidak ada lagi yang lebih menyenangkan diriku dari meletakkan wajahku di tanah (sujud). Aku tidak pernah bersedih kerana sesuatu melebihi kesedihanku kerana tidak dapat bersujud kepada Allah." (kitab Siyar A’lam An Nubala’ karangan Az Zahabi).
  1. Sujud adalah saat-saat seorang hamba yang paling dekat dengan Tuhannya.
  2. Sujud merupakan tanda ketundukan dan kerendahan seorang hamba di hadapan Tuhannya.
  3. Sujud juga menandakan kepasrahan, ketaatan, kerinduan dan kecintaan seorang hamba pada Tuhannya.
Keadaan-keadaan seperti itulah yang sangat didambakan oleh Masruq hingga tidak ada lagi kesedihan baginya kecuali jika ia tidak mampu melakukan sujud di hadapan Allah swt.

Itulah gambaran keyakinan yang tertanam kuat dalam jiwa orang-orang soleh, para pejuang dakwah Islam.

Ketundukan, kedekatan dan keyakinannya kepada Allah menjadikan tekad mereka seperti besi waja dan keberanian yang tidak pernah kenal takut.
  1. Basahnya lidah mereka oleh zikir.
  2. Larutnya hati mereka dalam kecintaan kepada Allah.
  3. Tunduknya jiwa mereka pada keagungan Allah.
Semua itu memunculkan suatu keperibadian yang kuat dan teguh.
Tinggi rendahnya seseorang itu dinilai berdasarkan :
  1. Kekuatan.
  2. Kualiti.
  3. Sifat istiqamahnya.
dalam beribadah kepada Allah swt.

Ianya bukan dinilai :
  1. Dari kekayaan material / harta yang dimilikinya.
  2. Oleh ibubapanya.
  3. Dari rupa paras, ketampanan dan keindahan fizikalnya.
Ini adalah kerana, semua itu hanya fatamorgana yang hanya dapat dinikmati se saat.

Peribadi yang kuat dan teguh sentiasa muncul dari :

“Habitat kehidupan yang penuh dengan tentangan dan halangan.”

BUKAN

“Suasana kehidupan yang serba mudah, memanjakan dan melemahkan jiwa.”

Mari kita lihat bagaimana penjelasan salah seorang anak dari Syaikh Ahmad Yasin rahimahullah, tokoh pejuang Palestin abad ini yang beberapa tahun lepas telah gugur syahid oleh pesawat Israel.

"Ayah tidak mencintai dunia. Ia lebih mencintai rumah akhirat. Ramai orang yang menyarankan agar ayah mendiami rumah sebagaimana selayaknya seorang pemimpin.

Pemerintah Palestin juga pernah menawarkan sebuah rumah yang besar di perkampungan Gaza namun ayah menolak tawaran itu.

Ayahku lebih menginginkan akhirat sehingga ia tidak begitu memperhatikan perabot duniawi.

Ruangan rumahnya amat kecil yang hanya menempatkan tiga ruangan kecil. Tanpa siramik di lantai dan ruang dapur yang sudah rosak.

Bila musim sejuk tiba, keadaan rumah menjadi sangat sejuk. Sebaliknya bila musim panas datang, ruangan rumah terasa panas sekali.

Ayah tidak pernah berfikir untuk memperbaiki rumahnya. Sekali lagi, ia benar-benar sibuk mempersiapkan rumahnya di akhirat."

Itulah rahsia keteguhan Syaikh Ahmad Yasin.

RUMAH AKHIRAT

Pernahkah terlintas di dalam hati kita tentang rumah kita di akhirat?

Pernahkah kita merancang dan bermimpi untuk memiliki rumah yang indah di akhirat dan bukan di dunia?

Bagaimana kita membayangkan kesan akhir yang kita tinggalkan pada keluarga kita setelah kita berpisah dengan mereka di dunia?
  1. Apakah menjadi kebanggaan mereka apa yang kita tinggalkan atau sebaliknya?
  2. Apakah mereka juga akan berkata, kita lebih mencintai dan menginginkan rumah akhirat?
Syaikh Ahmad Yasin memberikan pelajaran besar bagi kita tentang keyakinannya kepada keputusan Allah swt.

Bahwa apa yang diputuskan oleh Allah tetap akan berlaku, walauapapun usaha yang kita lakukan.

Syaikh Ahmad Yasin juga memberi pendidikan secara langsung kepada sesiapapun, tentang batas apa yang mesti diberikan oleh seseorang yang menginginkan mati di jalan Allah swt.

Sekitar lima minit sebelum pesawat Israel ditembakkan ke arahnya yang sedang duduk di kerusi roda itu, seorang anaknya, Abdul Ghani sempat mengingatkannya untuk berhati-hati dengan mengatakan :

"Ayah, ada pesawat pembunuh di atas."

Apa jawaban Syaikh Ahmad Yasin ketika itu?

Dengan tenang ia menjawab :

"Ya, aku di sini juga sedang menanti pesawat pembunuh itu."

Sesungguhnya, tidak ada keraguan dan ketakutan sedikit pun di dalam hatinya.

Kita di sini, sedang :
  1. Menanti detik demi detik kematian yang pasti menjemput.
  2. Menunggu saat kita menarik nafas terakhir dan menghembuskannya lagi untuk yang terakhir.
  3. Melambai udara dingin yang merayap dari hujung jemari kaki hingga ke bahagian kepala.
  4. Menantikan saat mata tertutup dan tidak mampu terbuka lagi. Ketika badan terbujur dan tidak dapat bergerak lagi. Ketika kita masuk dalam keranda dan diangkat oleh anggota keluarga dan teman-teman kita.
Setelah itu semua,

Maka, manusia mula berbicara tentang diri kita dan kita sebenarnya menuju rumah kita yang kekal abadi di akhirat sana.

Ya Allah, kurniakanlah kesedaran yang hakiki ke dalam hati kami tentang rumah akhirat yang sepatutnya kami usahakan untuk mendapatkannya di dunia ini dan juga terhadap penantian yang pasti berlaku iaitu kematian yang akan menyentuh setiap yang bernyawa sehingga akhirnya habislah catatan kehidupan kami di dunia yang kemudiannya akan dinilai oleh manusia yang masih mendiami dunia ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS     
[ Read More ]
Read more...
Monday, 30 January 2012

Pembentukan Nilai Rabbani

Ditulis Oleh WAS Pada 03:11 – 0 Komen Anda
 
Nilai-nilai materialistik yang menjadi neraca utama dalam setiap sisi kehidupan di zaman moden kini telah membuatkan manusia menjadi bingung dan kehilangan pegangan hidup.

Mereka memerlukan sebuah seruan yang dapat mengembalikan semula kesucian diri mereka sebagai manusia.

Manakala di satu sudut yang lain, dakwah untuk mengembalikan umat manusia kepada fitrah asal :
  1. Mulai kehilangan ruh (hakikat dan semangat dakwah).
  2. Tidak memiliki manhaj yang mantap.
  3. Tidal mampu memberi pedoman dan arahan yang jelas.
terutamanya untuk menjadikan kaum muslimin sebagai sebaik-baik ummah yang dapat memainkan peranan utama dalam kancah kepimpinan dunia.

Maka umat Islam mesti menyedari dan kembali kepada kefahaman dakwah yang benar, iaitu dakwah yang berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’.

Adapun yang dimaksudkan dengan ‘Rabbani’ adalah kerana asas yang menjadi tujuan utama adalah :

1.      Untuk memberikan kefahaman kepada manusia akan hakikat Tuhan mereka.
2.      Untuk menyandarkan kekuatan hubungan ruhaniyah yang mulia dengan Allah.

sehingga hubungan ini mampu menyucikan jiwa mereka dari kejumudan kebendaan yang kuat pengaruhnya di samping penyimpangan-penyimpangan yang ada di dalamnya menuju kebersihan dan keindahan jiwa insani.

Oleh sebab itu, syiar yang sentiasa dilaung-laungkan dari lubuk hati kita yang paling dalam adalah :

“Allah Adalah Tujuan Kita”


Jadi, tujuan pertama dakwah ini adalah mengingatkan umat untuk sedar akan hubungannya yang erat  kepada Allah dari perkara-perkara yang boleh membuatkan Allah melupakan mereka.

Allah swt berfirman :

“Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu agar kamu menjadi orang yang bertaqwa”. (QS Al Baqarah : 21)


Pada hakikatnya, inilah kunci pertama untuk menyelesaikan masaalah kemanusiaan yang tertutup oleh adanya kejumudan kebendaan di hadapan manusia sehingga mereka tidak mampu menemui jalan penyelesaiannya.

Tanpa kunci ini, maka tidak akan berlaku perubahan dan perbaikan.

Oleh yang demikian, setiap pemimpin umat dan pemegang bendera dakwah hendaklah  :

1.      Menghiasi diri dengan sifat-sifat dan nilai-nilai ‘Rabbani’.
2.      Berakhlak dengannya.
3.      Melaksanakannya dalam jiwa mereka.

sehingga terwujudnya peribadi hamba rabbani yang :

a.       Memahami akan perintah Allah dan larangan-laranganNya.
b.      Memahami syariat Allah dan wahyuNya hingga mampu mengubah apa yang ada dalam jiwa mereka.
c.       Mengajak umat menuju kepadanya samada untuk dunia atau akhirat.

Demikianlah kewajiban kita sebagaimana firman Allah swt :


“Namun jadikanlah kamu orang-orang rabbani”. (QS Ali Imran : 79)


Jika kita mahu mendapatkan nilai ‘Rabbani’ sebagaimana yang kita inginkan, maka hendaklah yang pertama sekali kita lakukan adalah merealisasikannya :

PERTAMA : DALAM DIRI KITA TERLEBIH DAHULU


“Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan semesta alam”. (QS Al-An’am : 162)


“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat ihsan (kebaikan)”. (QS An-Nahl : 128)


KEDUA : DALAM RUMAHTANGGA KITA


“Dan jadikanlah rumah-rumah kamu kiblat dan dirikanlah solat, dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”. (QS Yunus : 87)


KETIGA : DALAM MASYARAKAT KITA


Ini dapat dilakukan dengan mempraktikkan akhlak mulia sehingga dapat membangkitkan umat menuju kebaikan yang telah digariskan oleh Allah swt :

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah”. (QS Ali Imran : 110)


Maka fahamlah kita bahwa  niali-nilai ‘Rabbani’ adalah mengikatkan diri kepada Tuhan dan ikatan ini tidak akan wujud kecuali dengan menjadikan Allah, Tuhan semesta alam berada dan hadir dalam berbagai keadaan.

Hakikat Nilai ‘Rabbani’ itu sendiri tidak akan hadir kecuali dengan perkara-perkara berikut :

1.      Beribadah kepada Allah melalui kefahaman yang sempurna terhadap ibadah tersebut, iaitu menjadikan hidup dan mati, gerak dan diam hanya untuk Allah swt.
2.      Tidak berbicara kecuali dengan apa yang diridhai oleh Allah.
3.      Tidak bekerja dan berbuat sesuatu kecuali kerana Allah.
4.      Tidak mengarahkan niat kita dalam ucapan dan perbuatan kecuali kerana Allah.

Dakwah yang berasakan nilai ‘Rabbani’ ini merupakan satu-satunya dakwah yang dapat memperbaiki umat dan mengembalikan kaum muslimin menjadi pemimpin dunia kerana dakwah ini berdiri di atas jalan Islam yang lurus dan sesiapa yang mengikuti jalannya, mereka tidak akan sekali-kali mengalami kesesatan. 

"Sesungguhnya ‘Deen’ (pedoman hidup) yang benar di sisi Allah adalah Islam" (QS Ali Imran : 19)

Dasar dakwah kita adalah Islam dan kita bersandar, bersumber dan berjuang untuk Islam bagi meninggikan kalimatnya.

Tidak ada pedoman hidup yang dapat menandingi Deen Al-Islam. Kita hanya berpedoman kepada ajaran Islam dan hanya patuh pada syari’at Islam dan tidak akan rela memilih pedoman hidup selain Islam.

Allah swt memperingatkan kita :

"Siapa yang mencari ‘Deen’ (pedoman hidup) selain Islam, maka tidak akan diterima pedoman hidup itu. Dan dia di akhirat termasuk ke dalam golongan orang orang yang merugi". (QS Ali Imran : 85) 

Dakwah yang berasaskan nilai ‘Rabbani’ adalah dakwah yang :
  1. Dimulai dengan niat yang ikhlas.
  2. Menggunakan manhaj atau sistem Allah.
  3. Bertujuan hanya kepada Allah.
Allah swt menegaskan :

"Katakanlah: inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru (manusia) kepada Allah di atas hujjah / keterangan (yang jelas). Dan Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk dari golongan musyrikin". (QS Yusof : 108)

Dengan hujjah atau keterangan yang jelas, maka dakwah yang berasaskan nilai ‘Rabbani’ tidak membenarkan kaedah ‘tujuan menghalalkan segala cara’.

Dakwah yang tidak dimulai dengan niat yang ikhlas, maka ia akan lenyap dan tidak mampu bertahan lama. 

Dakwahnya itu akan berumur sepanjang niatnya yang tidak ‘lillah’ (kerana Allah).

Rasulullah saw menjelaskan dalam haditsnya :

"Tidak (diterima) amal-amal itu, melainkan menurut niat. Seseorang tidak akan dapat, melainkan apa yang ia niatkan. Lantaran itu barang siapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka pahalanya itu ialah (pahala amalan) kerana Allah dan RasulNya dan barang siapa berhijrah kerana dunia, nanti ia dapat dunia itu, atau kerana perempuan nanti ia kahwin dengan perempuan itu, (singkatnya) ganjaran hijrah itu menurut niat ia berhijrah". (HR Bukhari) 

Imam Hasan Al-Banna berkata :

“Niat yang ikhlas adalah seluruh ucapan, perbuatan, ibadah, dakwah dan jihadnya semata-mata demi wajah Allah dan mengharap keridhaannya serta ganjaran baik, tanpa memandang keuntungan, kemasyhuran, kedudukan (kemuliaan), gelaran, kemajuan ataupun kemunduran. Dengan demikian, ia menjadi "pejuang fikrah dan aqidah", bukan "pejuang kepentingan dan cita-cita peribadi"”.

Allah swt mengingatkan di dalam Al-Qur’an :

"Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagiNya. Demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)". (QS Al An’aam : 162-163)

Dakwah yang bercirikan nilai-nilai ‘Rabbani’ ini adalah dakwah yang pernah dilaksanakan oleh generasi pertama Islam yang telah :
  1. Melepaskan manusia ketika itu dari terkaman dan perangkap sistem hidup jahiliyyah.
  2. Membebaskan manusia dari belenggu kebodohan dan penghambaan sesama manusia.
  3. Memuliakan manusia dengan hidayah iman dan Islam.
Dengan iman itu, mereka berdiri memimpin dunia, menyebarkan dan menyampaikan Islam ke seluruh dunia dengan dakwah ini sehingga sampailah Islam itu kepada kita. 

Jika ada seorang muslim yang tidak ingin berdakwah dengan sistem ‘Rabbani’ yang berlandaskan ‘Deenul Haq’, maka sesungguhnya ia telah meninggalkan suatu kewajiban yang besar dan mengingkari keislaman dirinya kerana Islam sampai kepadanya lantaran dakwah ini.

Kaum muslimin ketika ini mesti menyedari bahwa Dakwah yang berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’ adalah dakwah yang mengajak umat untuk :
  1. Kembali kepada keaslian Islam yang murni dan sesuai dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya.
  2. Mengajak umat untuk memahami aqidah lslamiyyah secara jelas dan shahih.
  3. Menerangkan syari’at Islam dengan jelas, lengkap dan tepat kepada seluruh umat manusia.
Semuanya itu mesti dilakukan hanya untuk mencari ridha Allah bagi melaksanakan kewajiban dan memandu umat manusia. 

Ianya BUKAN dakwah yang :
  1. Memperdebatkan masalah khilafiyyah.
  2. Mengajak manusia untuk fanatik terhadap golongan sendiri (ashabiyyah) dan mendewa-dewakan pemimpin.
Tetapi sebaliknya ia ADALAH dakwah yang :
  1. Membersihkan dan membina aqidah umat.
  2. Mencetak ‘syakhshiyah muslimah’ (peribadi muslim).
  3. Melahirkan ‘jundullah’ (tentera Allah) untuk melepaskan dan membebaskan umat dari meng-ilah-kan hawa nafsu dan manusia.
  4. Menegakkan ‘Al-Haq’ dan menghancurkan ‘Al-Bathil’.
Dakwah ini mesti mampu membangkitkan iman dan menjadikan umat merasa mulia dengan iman.
Menilai dakwah tidak hanya dari segi zahirnya dan bentuk formalnya semata-mata namun ia mesti dapat melihat motivasi dan aspirasi kerohanian yang ada di dalamnya yang pada hakikatnya merupakan inti untuk mencapai kejayaan dakwah itu sendiri.

Inilah rahsia misi dakwah yang berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’ yang pada kenyataannya belum benar-benar difahami oleh kaum muslimin. 

Sesungguhnya di sebalik kenyataan-kenyataan yang kita lihat dalam misi dakwah itu terdapat kesan dinamik dan kekuatan batin yang :
  1. Menggerakkan.
  2. Mengawasi.
  3. Melahirkan kekuatan luar biasa.
sehingga misi dakwah dapat berjalan lancar dan inilah yang akan membangkitkan umat Islam untuk memperbaiki diri mereka.

Tanpa adanya faktor kebangkitan motivasi rohani, mustahil umat ini akan bangkit menghimpunkan diri dalam satu aqidah yang mantap untuk tegaknya ‘Deenul Islam’.

"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum, sehingga mereka merubah keadaan apa yang ada pada diri mereka sendiri." (QS Ar Ra’du : 11)

Oleh kerana itu, melalui dakwah yang berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’lah, kaum muslimin dapat menghimpun :
  1. Jiwa yang hidup, kuat dan sihat.
  2. Hati yang penuh kesegaran.
  3. Perasaan yang bersemangat dan berkobar-kobar.
  4. Jiwa-jiwa yang optimis yang merindukan nilai-nilai Islam dan tegaknya tujuan yang lurus.
sehingga semua itu berkumpul menjadi suatu aqidah lslamiyyah yang mantap.

Tidak ada yang mampu menempuh kejayaan dakwah kecuali melalui jalan ini. Oleh kerana itu, para pendakwah yang rabbani adalah mereka yang berhasil menghadapi rintangan dan ujian ini dan tidak menyandarkan diri mereka kecuali kepada Allah dan tidak menundukkan kepala mereka selain kepadaNya.

Oleh yang demikian, nilai ‘Rabbani’ adalah rahsia untuk tetap berada dalam dakwah ini sekalipun angin taufan begitu kuat menghentam (ujian dan rintangan), bahkan ia merupakan rahsia untuk mampu merubah dunia yang dimulai melalui nilai-nilai ini.

Sekiranya musuh-musuh tahu akan perkara tersebut maka mereka akan mengerahkan tenaga mereka yang telah hilang dan harta yang telah binasa untuk menghalang usaha-usaha ini semata-mata kerana satu alasan iaitu menghancurkan nilai-nilai ‘Rabbani’.

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam Jahanamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan”. (QS Al Anfaal : 36)

Bahwa sesungguhnya dakwah ini sangat memerlukan peribadi yang mempunyai ciri-ciri ‘Rabbani’ yang mengikuti langkah dan jalan yang telah di gariskan oleh Nabi Muhammad saw.

Begitu juga, ianya sebagaimana yang telah dilakukan oleh Imam Hasan Al-Banna dengan :

1.      Menyeru manusia untuk berjalan menuju Tuhan mereka.
2.      Bersandar pada indahnya berkomunikasi dengan kekuatan kerohanian.

sehingga mampu menghadapi berbagai masaalah, musibah dan krisis.

Oleh kerana itulah, asas misi dakwah ini adalah berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’ iaitu mengingatkan manusia untuk menjalin komunikasi dan hubungan yang erat dengan Allah swt.

Ya Allah, sesungguhnya dakwah yang berasaskan nilai-nilai ‘Rabbani’ ini adalah satu misi yang suci untuk mengembalikan semula hakikat pengabdian manusia kepadaMu. Berilah pertolongan kepada hamba-hambaMu yang ‘Rabbani’ yang memikul risalah suci ini walau di bumi mana mereka berada serta tetapkanlah kaki mereka di atas jalan ini dan limpahkanlah kesabaran kepada mereka sehingga mereka menemuiMu samada dalam keadaan syahid atau menikmati kemenangan DeenMu di atas muka bumi ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

[ Read More ]
Read more...
Newer Posts Older Posts
View mobile version
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
    Rijalud dakwah adalah seseorang yang telah di tarbiyah secara intensif sehingga memiliki persediaan untuk berjuang dan berkorban di jal...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Surah Yang Menjadi Pembela
    Allah swt telah menurunkan kepada kita Al Qur’an sebagai : a.        Cahaya. b.       Rahmat. c.        Ubat dari penyakit hati dan...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ▼  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ▼  January (28)
      • Intipati Penghayatan Rabbani
      • Membina Rumah Akhirat Di Dunia
      • Pembentukan Nilai Rabbani
      • Putaran Islam Kembali Menjelma
      • Memburu Sumber Hidayah
      • Teruskan Beramal Walau Sedikit
      • Islah Asas Perubahan
      • Gejala Kelesuan Ruhiyah
      • Memperkukuhkan Tiang Persaudaraan
      • Rijal Penerus Risalah Dakwah
      • Pusat Pembangun Generasi
      • Lidah Sumber Malapetaka
      • Menguasai Kesenian Berdakwah
      • Menterjemahkan Risalah Dakwah
      • Membangun Unsur Perubah
      • Kafilah Dakwah Di Perjalanan
      • Tarbiyah Menghasilkan Aktivisma
      • Kehidupan Adalah Ujian Amal
      • Transformasi Aktivis Dakwah
      • Pahala Hangus Akibat Dengki
      • Nasihat Tanpa Menyelak Keaiban
      • Tarbiyah Membangun Tamadun
      • Membina Keupayaan Murabbi
      • Perjuangan Berasaskan Paksi Dakwah
      • Pembangunan Umat Melalui Tarbiyah
      • Amal Dan Tuntutan Waktu
      • Tarbiyah Mewariskan Dakwah
      • Andai Dia Berada Di Antara Kita
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger