skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Wednesday, 30 January 2013

Sunnatullah Di Jalan Dakwah

Ditulis Oleh WAS Pada 18:50 – 1 Komen Anda
 
Sudah menjadi sunnatullah bahwa jalan dakwah adalah merupakan jalan yang penuh dengan hambatan, halangan, rintangan dan kesukaran serta ianya perlu difahami dengan mendalam agar segala permasalahannya mampu ditangani dengan sebaiknya.

Apabila melalui jalan dakwah ini, kita pasti akan melalui berbagai halangan dalaman yang berkait dengan amal jamai’e.

Dakwah berbentuk amal jamai’e boleh terhalang atau tertangguh apabila berdepan dengan halangan-halangan luaran mahupun dalaman yakni daripada anggota-anggota jamaah itu sendiri yang seterusnya mencalarkan penyatuan sesebuah jamaah.
Syeikh Muhammad Ahmad Ar Rasyid mengatakan bahwa :
“Seorang Muslim yang sejati itu adalah yang : 
a. Datang ketika manusia lainnya berpaling.
b. Setia ketika orang-orang lain berkhianat.
c. Berbuat kebaikan ketika orang lain berbuat mungkar.
Sesungguhnya dakwah ini tidak rugi dengan orang-orang yang enggan mengikuti dakwah.
Sesungguhnya keberuntungan seseorang dari dakwah ini ialah bahawa siapa yang berbuat untuk kepentingan dakwah ini maka Allah akan memuliakannya namun, siapa yang meninggalkan dakwah ini, maka sebenarnya ia telah menjauhkan kebaikan dari dirinya dan ia tidak akan merugikan dakwah ini sedikitpun.
Pada awal perjalanannya menuju Allah, ia memahami bahawa :
1. Ia sudah berada pada jalan yang tinggi dan mulia.
2. Ia faham bahawa kedudukan di hadapan Allah itu bertingkat-tingkat.
3. Ia sentiasa ingin naik ke darjat yang lebih tinggi.
4. Ia yakin bahawa darjat syurga yang tinggi menuntutnya untuk meninggikan mutu niatnya dan ketinggian jalan yang ditempuhnya serta bebas dari segala noda dan kekurangan.”
Apabila seorang pendakwah mengikat dirinya dengan jamaah, bererti dia telah berbai’ah untuk taat, teguh dan berjihad dalam barisan perjuangan serta tetap bersama jamaah dalam apa jua situasi.

Janji setia ini juga mendorong kepada perlumbaan :

a. Berjihad dalam ketaatan.
b. Cinta persaudaraan (ukhuwah).
c. Kejernihan hati sesama anggota jamaah.

Masing-masing akan berusaha keras untuk berada di barisan paling depan untuk menjadi golongan paling awal memasuki syurga kerana kesatuan mereka; seperti sabda Rasulullah saw :

"Tidak ada pertikaian di antara mereka, kerana ; sesungguhnya mereka sehati."

Para pendakwah seharusnya menganggap ketaatan ini sebagai rukun kepada keimanan.

Namun setiap amal atau ketaatan itu ada masa naik dan ada juga masa turunnya sepertimana  halnya dengan keimanan yang ada di dalam diri kita.

Pendakwah yang berjaya ialah mereka yang tidak berlebihan ketika tingkatan imannya naik dan tidak pula melampaui batas ketika imannya turun.

Justeru, ia perlu disertai dengan sikap menahan diri dari keinginan untuk melepaskan kendali nafsu sehingga menyebabkan :

1. Kelengahan.
2. Sifat ego.
3. Pertengkaran.

yang menyebabkan hilangnya pahala amal jamai’e.

Seterusnya, nilai penting dalam ketaatan dan hubungan sesama ahli jamaah adalah :

a. Kasih sayang.
b. Jalinan hubungan.

sebagaimana dakwah juga telah mengajar kepada kita erti kasih sayang.

Kita boleh menghapuskan kejahilan atau keburukan dalam diri kita sekiranya kita berusaha meninggalkannya atau dalam erti kata yang lain memerdekakan diri kita sendiri.

Pendakwah yang berkesedaran tinggi akan sentiasa memastikan kebersihan jiwa dan ketinggian akhlak serta menetapkan ciri-ciri tersebut sebagai keutamaan terutama dalam memilih kepimpinan di mana padanya bakal diberikan ketaatan mereka.

Malahan seorang aktivis dakwah akan sentiasa setia kepada para murabbi yang :

1. Mendidiknya.
2. Menghormatinya.
3. Menghargainya.

Apakah yang dimaksudkan dengan KETAATAN?

Ia adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam Hasan Al Banna iaitu :

a. Sifat akur kepada perintah.
b. Segera melaksanakan samada dalam keadaan senang atau susah, dalam perkara yang disukai atau dibenci.

KETAATAN DALAM BERJAMAAH

Ini adalah unsur yang sangat penting dalam usaha dakwah dan amal jamai’e dan ia bermakna :

“Apabila jamaah telah sepakat dengan satu pandangan, maka semua ahli syura hendaklah

1. Iltizam.
2. Bersatu suara.
3. Menuju satu halatuju.”
Realitinya dalam gerakan dakwah, unsur ini sering menjadi pertikaian dan kadang-kadang masih belum mampu untnk bersikap “Sami’na wa  ‘Atha’na”.

Sesungguhnya, bersatunya sebuah saf di atas kebenaran itu lebih baik berbanding dengan berpecah di atas perkara yang lebih benar.

Inilah fikrah yang perlu kita imani walaupun iman boleh turun dan naik.

Di antara perkara yang sering menyebabkan berlakunya perselisihan antara ahli jamaah adalah :

a. Penguasaan ilmu dan fikrah yang lemah.
b. Ego peribadi.
c. Suka bertelagah.
d. Kurang berkomunikasi dan sifat keterbukaan.

Mari kita renung ayat Al Qur’an berikut :     
“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agamaNya), Allah akan menyiksa kamu dengan azab siksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (QS At Taubah : 39)

Ibnu Taimiyah dalam menafsirkan ayat di atas berkata :

“Sesungguhnya apabila umat disibukkan dengan berjihad fi sabilillah, Allah akan mempersatukan hati mereka dan menjadikan potensi kekerasan yang ada pada mereka terarah kepada musuh mereka dan musuh Allah. Tetapi sebaliknya, apabila tidak mahu berjuang di jalan Allah, Allah akan mengazab dengan cara membuatkan mereka berpecah-belah sehingga saling bermusuhan.”

Sungguh jelas bahwa apabila kita disibukkan dengan amal, kita akan kurangkan persengketaan kerana ‘jihad fi sabilillah’ mengalihkan potensi kita pada jalan-jalan kebaikan.

Dalam soal ini, peranan qiyadah cukup penting kerana kelemahan qiyadah boleh membawa kepada peluang-peluang untuk berpecah.

Di antara peranan penting qiyadah adalah :

1. Wujudkan iklim amal.
2. Manfaatkan potensi ahli.

“Apabila jihad fi sabilillah ditinggalkan atau diabaikan, maka tunggulah saat perpecahan.”

Kesimpulannya bahwa tarbiyah untuk memiliki ketaatan yang sejati adalah menjadi asas dalam gerakan dakwah kerana ketaatan ialah ‘RAHSIA KEJAYAAN’ jamaah.
PERSPEKTIF KETAATAN DALAM KONTEKS TARBIYAH
PERTAMA :
Pengajaran daripada kisah Nabi Musa dengan hamba yang soleh (dalam surah Al-Kahfi : 66-69) yang membawa kepada satu lagi dimensi ketaatan seorang murid pada guru di mana guru mentarbiyah murid dengan ketaatan dan sebagai pemimpin dakwah atau naqib, kita perlu mempelajari seni kepemimpinan yang amat penting iaitu :
“BELAJAR UNTUK TAAT PADA PERINTAH.”

KEDUA :
Tarbiyah yang berterusan dan istiqamah akan mengajar kita tentang tabiat dakwah yang panjang ini yang bertujuan untuk :
a. Membersihkan aqidah dan keyakinan kita.
b. Meningkatkan kualiti diri dengan ibadah.
c. Memperelokkan akhlak serta keteguhan hati (tsabat) dalam dakwah.
Ini adalah kerana pendukung-pendukung dakwah akan melalui cabaran setelah masa berlalu.

Unsur ketaatan akan hilang apabila para pendakwah seronok atau asyik denagn kerja-kerja rutin yang dirasakan sentiasa benar dalam semua keadaan sehinggakan apabila ianya bertentangan dengan kepercayaan peribadi, maka ia terus membawa kepada perasaan bosan untuk terus dengan dakwah ini. Oleh itu, kita perlu memperbetulkan niat serta sentiasa merawat jiwa kita.

KETIGA :
Tarbiyah juga mengajar kita supaya :
1. Sentiasa berhati-hati dan sabar.
2. Menjaga diri kita daripada sifat tergesa-gesa.
3. Banyakkan berfikir.
4. Emosi perlu dirawat dengan tarbiyah hati.
Hanya dengan bersama tarbiyah dan istiqamah, kita akan kutip hikmah bekerja dan perlu juga mampu menerima teguran orang lain terhadap kita kerana kesombongan ialah apabila kita :
a. Menolak kebenaran.
b. Meremehkan atau menghina manusia lain.

Bagaimanakah kita nak merawat hati kita?
Fudhail bin ‘Iyad berkata :
1. Berpegang teguh dengan Al Qur’an.
2. Berpegang teguh dengan sunnah.
3. Solat berjamaah dengan tekun.
4. Jaga lidah kita.
5. Tawadhu’ (sembunyikan kedudukan).
6. Qiamullail sebagai penawar.
7. Buat amal soleh dan tinggalkan mungkar.

Bahkan inilah yang dikatakan ‘SIYASAH TARBAWIYAH’ dan inilah tarbiyah yang hakiki.

KEEMPAT :
Kesetiaan bermula daripada pembersihan jiwa dan inilah yang dilakukan oleh generasi salaf.
Mereka banyak berdepan dengan fitnah dan mereka berjaya melaluinya. Pemimpin akan menerima ketaatan pengikut apabila kita benar-benar ‘taaruf’ dengan ahli kita dan tahu akan perihal mereka.
Kita perlu berjiwa besar apabila menghadapi fitnah dan ujian. Yang penting, ketaatan adalah satu amal soleh yang perlu dilalui dengan tarbiah yang berterusan.
KEPENTINGAN UKHUWAH IMANIYAH
Kita sedia maklum akan kepentingan kesatuan di dalam jamaah yang menjadi penyokong kekuatannya di mana setiap orang yang bergerak di dalamnya diikat dengan satu ikatan yang paling kuat iaitu ‘Ukhuwah Imaniyah’.
Namun, tingkatan kefahaman ukhuwah itu sendiri sentiasa menjadi pembeza antara para pendakwah di mana seseorang pendakwah tidak akan mencapai puncak kesedaran kecuali apabila ia telah menjadikan realisasi akhlak ‘ukhuwah imaniyah’ yakni persaudaraan seiman dan pengajaran terhadap persaudaraan sebagai tujuan utama dakwah Islam.

Akibat peningkatan akhlak antara sesama Muslimin dan kehadirannya dalam jamaah amal yang saling bersaudara akan membuatkan dakwah lebih mengutamakan keberhasilan.
Mari kita renung beberapa perkara yang menyentuh perpecahan :
a. Fitnah yang melanda saf gerakan Islam yang memberi kesan kepada jamaah satu hati ialah ‘PERPECAHAN’.
b. Punca berlakunya perpecahan ialah apabila mengurangnya ukhuwah dan ketaatan di dalam saf.
c. Dalam banyak keadaan, punca utama kepada perpecahan ialah wujudnya interpretasi yang menyeleweng daripada prinsip-prinsip utama perjuangan.
d. Ianya berlaku apabila hati dinodai oleh fitnah pentakwilan yang menyeleweng dan ianya bukanlah satu perkara baru dalam sejarah umat.

Sebagai contoh, hasil dari sejarah penyelewengan umat di sudut aqidah, maka keluarlah golongan JAHMIYAH, MU’TAZILAH, KHAWARIJ, MURJI’AH dan seumpamanya.
Begitu juga dengan perpecahan yang wujud dalam saf umat hari ini sehinggakan sesetengah gerakan Islam mengutamakan usaha :
1. Memanjangkan period tarbiah.
2. Memurnikan dakwah atas dasar aqidah.
3. Menjauhi "persekutuan" dengan parti-parti politik serta berhati-hati agar tidak dikuasai oleh hegemoni pemerintah.
Ini semua dilakukan agar anggota jamaah sentiasa mempunyai kekuatan yang utuh bersendikan
a. Semangat ukhuwah.
b. Prinsip ketaatan yang jelas.

Apabila fitnah telah menguasai, akan wujudlah suasana :
1. Bermasam muka.
2. Bermulut kasar.
3. Meninggalkan amal jamai’e.
4. Menanggalkan bai’ah.
Sesiapa yang berjaya menolak noda fitnah ini sehingga akhirnya, Allah akan membimbingnya ke jalan hidayah dan begitulah sebaliknya.

Hati yang bersih mampu menyaring segala bentuk pentakwilan yang menyeleweng ini seumpama sebuah kolam yang dilontar batu, tidak menjadikan ianya keruh sebaliknya, ada kolam yang dilontar batu serta menggangu mendapan lumpur di dalamnya lantas mengeruhkan airnya.

Perlu diingat bahawa dakwah ini bukan milik peribadi tertentu dan ianya adalah milik Allah dan oleh kerana itu, dakwah ini akan tetap terpelihara. Justeru sesiapa yang meninggalkan ‘dakwah Ila Allah’ ini, sebenarnya menjauhkan kebaikan dari dirinya.

Ukhuwah juga suatu proses dan ianya tidak terbina begitu sahaja hingga seseorang yang sudah lama dalam gerakan dakwah pun, boleh kecundang di mana dalam sirah pun, banyak peristiwa yang boleh dipelajari misalnya kisah ‘hadithul-ifk’ yang melibatkan Aisyah ra dengan Safwan Al Mu’tal ra.

Sebenarnya, fitnah ini dapat dikuasai apabila kita sentiasa di atas landasan ilmu yang disuluh oleh iman yang mendalam.
Justeru, kita mesti membekalkan diri dengan ilmu dan taqwa dengan dalil yang jelas dalam menjejaki jalan ini lalu berjalan sesuai dengan sistem, perancangan dan tata kehidupan berjamaah.
MATA RANTAI KEAIBAN

Para pendakwah hendaklah menyedari dan memahami bahwa dalam menelusuri jalan dakwah dan amal jamai’e yang luas dan terang, ia mempunyai berbagai :
1. Bentuk penyimpangan.
2. Kepentingan hawa nafsu.
Para pendakwah perlu sentiasa berusaha melakukan peningkatan diri ke arah kesempurnaan unsur-unsur keimanannya apabila melalui jalan dakwah yang tinggi dan mulia ini.

Di dalam perjalanan dakwah ini, sudah pastilah pendakwah akan berhadapan dengan hambatan atau perkara-perkara yang membawanya kembali meninggalkan jalan dengan melakukan perkara-perkara kejahatan.
Oleh itu pendakwah mestilah berusaha memurnikan niat dan usaha agar mampu meningkatkan diri ke arah kesempurnaan diri menuju Allah swt.

Apakah yang dimaksudkan dengan keaiban?
Keaiban adalah kekurangan-kekurangan dan kelemahan diri yang wujud disebabkan oleh kesalahan-kesalahan atau kemaksiatan yang dilakukan oleh pendakwah.

Pendakwah juga berpotensi untuk mencampur adukkan kebenaran dan kebatilan yang boleh menjadikan pendakwah tewas jiwanya.
Jiwa yang tewas adalah laksana bulan gerhana dibandingkan dengan jiwa yang teguh laksana bulan purnama.
Jiwa yang teguh secara senyap-senyap menampilkan kehebatannya yang tidak diragui lagi manakala jiwa yang tewas laksana bulan gerhana terpaksa menzahirkan kehebatan walaupun kita tahu memang ada kekurangannya.

Para sahabat dan salafus soleh amat memberi perhatian terhadap aspek kejiwaan ini agar tidak dijangkiti oleh penyakit-penyakit hati yang boleh meruntuhkan amalan.
Ini sebagaimana peringatan Abu Bakar ra kepada panglimanya Khalid bin Al-Walid ra dengan penekanan berikut sambil terus istiqamah dengan amalan.
Khalid bin Al-Walid yang hebat itupun diperingatkan oleh pemimpinnya agar tidak merasa ujub dan takabur iaitu dua sifat mazmumah yang menjatuhkan keperibadian pendakwah.
Abu Bakar ra mengingatkan Khalid agar :
a. Diberi kelurusan niat serta kedudukan.
b. Perelokkan amalan.
c. Jauhkan penyakit ujub (kagum dengan diri sendiri).
d. Jauhkan dari sifat suka menunjuk-nunjuk dan mempamirkan diri.

Pendakwah mestilah sensitif dengan perkara ini dan sentiasa perlu memperbaharui niat dalam setiap pekerjaan dakwah agar amalan-amalan kebaikan tidak sebaliknya menjadi beban; yakni apabila ia menjadi bahan ujub dan memasyhurkan diri.
Ini adalah kerana setiap insan itu tidak terlepas dari tarikan keimanan dan tarikan syaitan, maka pendakwah sentiasa diperingatkan dengan 2 panahan syaitan :
PERTAMA : UJUB 
Amal soleh adalah sinar dan cahaya. Ia akan berubah menjadi kelam apabila angin ‘ujub’ berhembus padanya walaupun sekali hembus.
KEDUA : MENYUKAI PUJIAN
Ramai orang terpedaya oleh kerana Allah tidak menampakkan keburukan mereka. Mereka terkena fitnah kerana sanjungan yang baik. Maka janganlah sampai ketidaktahuan orang lain tentang dirimu itu mengalahkan pengetahuan tentang diri sendiri.
Barang siapa yang mencela dirinya di tengah khalayak ramai, maka bererti dia telah memuji dirinya, sedangkan hal itu adalah salah satu dari tanda riya’.
Ibnu Taimiyah melakarkan perkataannya :
“Orang yang terpenjara adalah orang yang hatinya dihalangi dari Tuhannya, sedangkan orang yang ditawan adalah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya.”
Manusia tergolong kepada 2 kumpulan iaitu :
1. Yang teguh istiqamah.
2. Yang goyah hatinya.
Keburukan akan melahirkan keburukan yang seterusnya dan ia adalah mata rantai keaiban seseorang umpama penularan sesuatu penyakit yang merebak ke sesuatu lokasi.
Ia mungkin bermula dengan ‘ujub’ (kagum dengan diri sendiri), kemudian merebak kepada ‘ghibah’ (mengumpat), seterusnya ‘su’uz zhon’ (bersangka buruk) dan ‘tajassus’ (mencari kesalahan orang lain) yang membuatkannya ‘berdusta’ hinggalah membawa kepada ‘pertengkaran’ dan ‘persengketaan’.

Ghibah, hawa nafsu dan sifat ego juga merupakan titik tolak dari kemunculan keburukan-keburukan yang lain juga.
Bagi pendakwah yang lengah dan jahil, akan mudah menjustifikasikan keburukan-keburukan yang dilakukan seperti ghibah dan sifat ego dengan sesuatu nama yang mereka sukai, sedangkan mereka tidak sedar mereka sedang menuju ke jalan penyelewengan.

Maksudnya, perkara yang asalnya buruk namun dijustifikasikan dengan sesuatu yang baik niatnya.
Contoh 1
Kenapa ghibah? Sebab nak perbetulkan niat.
Contoh 2
Sifat ego diperakukan atas nama ijtihad peribadi.
Rasulullah saw bersabda :
“Dibentangkan fitnah ke atas hati manusia seperti jalinan tikar, satu demi satu, maka mana-mana hati yang menerimanya akan dititik dengan titik hitam. Mana-mana hati yang menolaknya pula akan dititik dengan titik putih sehingga hati itu menjadi salah satu dari dua hati tadi. Satu putih melepak seperti batu putih yang tidak dapat dicacatkan oleh sebarang fitnah, manakala satu lagi adalah hati yang hitam legam yang tidak lagi mengenali sebarang kebaikan dan tidak menolak sebarang kemungkaran.”
Pendakwah perlu sentiasa bersegera untuk bertaubat dengan menyesali perbuatan maksiat serta memohon keampunan dari Allah swt.

Firman Allah swt :

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (QS Ali-Imran : 135)
Sabda Nabi saw :
“Setiap anak Adam (manusia) itu melakukan kesalahan, sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan (dosa) ialah mereka yang bertaubat.” (HR Ahmad & Tirmizi)
Gunakanlah cahaya hati dan cahaya akal untuk menghadapi keburukan-keburukan yang bertitik tolak dari hawa nafsu.
Hati yang paling disukai Allah ialah hati yang hidup, cekal, bersih dan lembut. Akal pula adalah ciptaan Allah yang dapat menimbulkan rasa takut kepada Allah swt berdasarkan ilmu yang  benar dan kefahaman yang mendalam.
Ya Allah, sesungguhnya kami memahami bahwa dalam kami mengharungi jalan dakwah di dalam gerakan amal Islami, terdapat padanya ijtihad-ijtihad yang menyeleweng dan mengikut hawa nafsu di sebelah menyebelahnya manakala di sekitarnya terdapat lorong-lorong yang sempit, simpang-simpang maut dan halangan-halangan yang membantut perjalanan. Berilah kemudahan kepada kami supaya kami mampu mematuhi segala tanda-tanda jalan serta melalui jalan ini dengan selamat sehingga sampai ke tujuan dan matlamatnya dengan hati yang tenang, aman dan penuh kegembiraan.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS



[ Read More ]
Read more...
Monday, 28 January 2013

Simbol Ketabahan Wanita Gaza

Ditulis Oleh WAS Pada 17:51 – 0 Komen Anda
 
Alhamdulillah, dengan izin Allah swt Puan Rasha Al Adlouni (Ummu Muhammad) isteri kepada As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi telah kembali membuat lawatan ke Malaysia.
Dalam ceramah-ceramah yang disampaikan oleh beliau di beberapa masjid, kita dapat mendengar dari kekuatan ucapannya dengan suaranya yang begitu bersemangat dan kadang-kadang sambil berdiri, kita terasa seolah-olah yang berucap itu adalah As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi sendiri.
Itulah tarbiyah yang telah dilaksanakan oleh Dr Abdul Aziz kepada isterinya yang akan meneruskan usaha-usaha dakwah dan jihad di Palestin walaupun beliau telah pergi menemui Allah swt dalam keadaan "Hidup Dan Mendapat Rezeki DariNYA".

Puan Rasya Al Adlouni adalah simbol kegigihan wanita Gaza yang telah membuktikan bahwa semangat dan kekuatan wanita yang beriman benar-benar boleh kita jadikan contoh tauladan bagi kaum wanita di negara-negara umat Islam lain. Walaupun umurnya sudah hampir 60 tahun dan kini mempunyai sekurang-kurangnya 20 orang cucu, beliau masih mampu berdakwah dan menyampaikan kebenaran tanpa ditimpa oleh perasaan lemah dan gentar.
Beliau sangat bersyukur kerana melalui lawatannya ke Malaysia, beliau mendengar banyak penyampaian yang dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan berkenaan perjuangan di Palestin yang disampaikan oleh orang Malaysia namun beliau merasakan seolah-olah ianya disampaikan oleh orang Palestin sendiri kerana isinya benar-benar menyentuh hati dan itulah sebenarnya yang diperjuangkan oleh orang-orang Palestin termasuk suaminya As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi.

Penyampaian dan amanatnya kepada semua hadirin sungguh memberi kesan dengan suaranya yang begitu bersemangat tanpa ada kelihatan tanda-tanda kesedihan di atas pemergian suaminya hampir sembilan tahun yang lepas. Ini sesungguhnya membuktikan keteguhan iman beliau dan kesabaran yang cukup tinggi yang hanya mengharapkan redha Allah swt.

Sempena kedatangan beliau ke sini, marilah kita cuba meneliti kembali liku-liku kehidupan beliau bersama suami tercinta melalui wawancara yang diadakan setelah kesyahidan suami beliau, As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi.

Kita semua sudah tahu bahwa Dr Abdul Aziz Ar Rantisi syahid pada 17 April 2004. Setiap kehebatan seorang suami pasti ada pendorong yang tidak lain dan tidak bukan adalah isterinya yang bernama Puan Rasha Al Adlouni (Ummu Muhammad).
Mari kita sama-sama selami akan ketabahan hidup beliau sebagai seorang isteri kepada pejuang yang hebat ini.

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan perolehi dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu." (QS Al-Baqarah : 120) 
Kata-kata beliau (isteri as-Syahid) menggambarkan kesabaran yang luar biasa dan pendirian yang mengkagumkan disulami dengan sinar suara yang tidak ternilai serta tutur katanya yang lemah lembut.
Apa yang lebih penting, sifat tawadhu' yang terhimpun dalam percakapannya, perbualannya dan juga tindak-balasnya.
Apabila dikatakan kepadanya :
“Sesuailah ungkapan kepada puan bahwa di sebalik setiap lelaki hebat pasti ada seorang wanita yang hebat.” 

Kata beliau :
“TIDAK! Demi Allah, jika ada di sana wanita yang menjadi sebab kejayaan Dr. Rantisi dan menjadi sebab sampai kepada matlamatnya, ianya tidak lain dan tidak bukan adalah ibunya yang membimbing dan mendidiknya. Ibunyalah jua yang menanamkan kewibawaan dan rasa izzah.”
Maka dengan kalimat inilah bermulanya wawancara dengan Puan Rasha Al Adlouni (Ummu Muhammad) isteri as-Syahid Dr. Abdul Aziz ar-Rantisi.

SOALAN : BAGAIMANA TITIK PERKENALAN PUAN DENGAN AS SYAHID?
JAWABAN :
Saya seorang gadis yang telah tamat pendidikan menengah dan ketika itu saya bukanlah pendokong utama kepada gerakan Islam tetapi saya menyokong ke arahnya, tidak seperti sahabat-sahabat yang sebaya dengan saya yang menjadi pendokong utama kepada gerakan Islam. 

Saya sangat berkeinginan untuk menyempurnakan pengajian di universiti tetapi kedua ibu bapa saya membantah kerana niat saya adalah untuk ke Mesir bagi meneruskan pengajian saya.

Semasa Abu Muhammad (Dr. Rantisi) masuk meminang saya, saya dapati padanya terdapat sifat-sifat yang menjadi idaman gadis-gadis, lebih-lebih lagi kerjayanya sebagai seorang doktor.
Beliau tidak pernah menyakiti atau melukai saya walaupun hanya dengan satu kalimah dan beliau sentiasa menjaga kebenaran, oleh itu beliau menjadi amat istimewa di kalangan masyarakat.

SOALAN : APAKAH CABARAN, MEHNAH DAN TRIBULASI YANG DIHADAPI OLEH AS SYAHID?

JAWABAN :
Saya telah bersedia dengan masalah penahanannya samada pada intifadhah pertama atau kedua, perkara ini pastilah amat sukar bagi saya pada permulaannya tetapi apa yang membuatkan saya teguh dan cekal ialah keimanan bahawa Allah swt yang telah mentakdirkannya sebegitu. Sesungguhnya gerakan intifadhah ini adalah tanggungjawab kita samada beliau bersama atau tidak.

Ketika percubaan membunuh beliau pada 10 Jun, 2003, ketika itu saya sedang bekerja, saya menjadi kaku dan segala kerja saya terhenti lalu saya memohon untuk pulang ke rumah. Saya yakin adalah sukar untuk sampai ke Hospital Shifa' yang dipenuhi dengan ramai orang dan saya telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Perlu kita ketahui sesungguhnya jalan yang dilalui oleh Abu Muhammad (as-Syahid) sepanjang kehidupan jihadnya selama lebih 30 tahun adalah semata-mata mencari keredhaan Allah swt. Hanya dengan itu akan tercapai kebahagiaan yang hakiki. 

Jalan ini bukanlah jalan yang dihampar dengan permaidani merah. Ia penuh dengan halangan dan pengorbanan tetapi matlamat mulia yang diimpikan menjadikan manusia itu jauh daripada rasa rendah diri dan hina dengan apa yang dibawa. Ini adalah sunnatullah dalam dakwah semenjak Saidina Adam as sehinggalah ke hari ini.

SOALAN : BAGAIMANAKAH CARA DR. RANTISI DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK?
JAWABAN :
Dalam kemuncak kesibukannya, walaupun dikritik dan ditekan oleh pelbagai pihak termasuk media, sewaktu beliau di rumah, jika ada sesuatu yang ingin diambil dan masuk ke bilik, apabila terlihat cucunya atau menantunya ataupun salah seorang daripada anak-anaknya maka cepat-cepat beliau tersenyum dan bertanya khabar akan keadaan mereka. 

Beliau amat mengambil berat walaupun perkara yang kecil kepada setiap orang yang bersamanya sepertimana telah saya jelaskan tadi bahawa beliau sangat menjaga hubungan silaturahim walaupun hanya berhubung melalui telefon.Tambahan pula beliau adalah seorang yang amat menyayangi kanak-kanak terutama cucunya yang seramai 14 orang (pada masa itu).

Anak beliau Ahmad 21 tahun (pada masa itu), yang terlibat dalam operasi pembunuhan tersebut amat menyerupai ayahnya samada dari segi luaran mahupun dalaman.Dia bercita-cita mengikut jejak langkah bapanya. Ahmad juga seorang pemuda yang amat menjaga kesatuan bersama rakan-rakannya serta sentiasa menekankan sifat tawadu' dan kepercayaan kepada diri sendiri.

SOALAN : BAGAIMANA PENERIMAAN DR. RANTISI TENTANG BERITA SYAHIDNYA SYEIKH AHMAD YASIN?
JAWABAN :

Dr. Rantisi amat terkesan dengan kesyahidan pemimpin yang juga sahabatnya. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas ketika majlis memperingati As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin. Saya lihat beliau menangis ketika mana disebut nama sahabat beliau itu. Beliau merasakan amat berat untuk memikul tanggungjawab meneruskan perjuangan yang amat penting dan berat ini. Akhirnya, beliau bersetuju meneruskan matlamat perjuangan beliau dan para sahabatnya.

SOALAN : ADAKAH DR. RANSTISI TERKESAN DENGAN OPERASI PEMBUNUHAN SYEIKH AHMAD YASIN?
JAWABAN :

Saya teringat kata-katanya pada majlis peringatan tersebut, dia tidak menyalahkan Sharon atas tindakan biadap tersebut tetapi sebagai seorang insan seperti Syeikh Ahmad Yasin, jika beliau tidak dibunuh beliau tetap akan mati. 

Sesiapa yang tidak mati dengan mata pedang, pasti akan mati juga dengan sebab lain, sebab kematian itu berbagai-bagai dan mati itu hanyalah satu. Saya tidak akan lupa kalimah suami saya dan ia amat mempengaruhi diri saya katanya,
”Wahai Syeikh! Kami pasti akan menyusuli setelah pemergianmu?”.

SOALAN : APAKAH WASIAT DR. RANTISI KEPADA PUAN SEKELUARGA SEBELUM PEMERGIANNYA?
JAWABAN :

Sepanjang kehidupan beliau iaitu berjuang dan berjihad lebih dari 30 tahun, beliau adalah seorang mujahid, penyuluh ke jalan Allah samada dari segi muamalat, akhlak, jihad, ibadat, kemasyarakatan, politik dan perhubungan adalah merupakan satu wasiat yang paling besar buat kami... kami akan berpegang dengan didikan beliau, Insya-Allah.

SOALAN : BAGAIMANA PENERIMAAN PUAN TERHADAP BERITA KESYAHIDAN DR. RANTISI?
JAWABAN :
Perasaan yang sama sepertimana isteri orang lain kehilangan suami. Walaupun saya telah kehilangan suami tetapi saya tidak kehilangan iman dan pendirian saya terhadap Allah swt, maka ini adalah suatu kelebihan pemberian Allah swt.

Setelah beliau keluar dari rumah, beberapa minit kemudian saya terdengar beberapa letupan (tembakan) ketika itu, saya yakin bahawa letupan itu ditujukan kepada suami saya.
Beberapa ketika kemudian saya bertambah yakin apabila mendengar radio, Suara Aqsa, pada waktu itu berkumandang azan Isya' dan kemudiannya mengumumkan tembakan yang berlaku ke atas kereta beliau di mana beliau sendiri serta pengiringnya telah syahid.
Lidah saya ketika itu mengulang-ulang kalimah ‘Alhamdulillah’ kemudian saya terus berwudhu' dan mendirikan solat Isya'. Saya berdoa kepada Allah agar menetapkan pendirian saya dan anak-anak dan Allah swt sendiri telah memberi jaminan akan memperkenankan doa hambanya apabila berdoa.

SOALAN : ADAKAH DR. RANTISI MERASAKAN BAHWA DIRINYA TELAH DEKAT DENGAN SYAHADAH?
JAWABAN :
Tidak ada apa-apa tanda ke arah itu dan persediaan beliau adalah setiap saat, masa, jam dan seluruh hidupnya adalah menjadikan Rasulullah saw sebagai contoh ikutan terbaik.
Setiap pekerjaan yang dilakukannya dibina atas tiga asas :
1. Taqwa kepada Allah.
2. Ikhlas kerana Allah.
3. Menggunakan masa dengan sebaik-baiknya.
Beliau mengamalkan Islam secara sempurna dan memberikan setiap yang berhak akan haknya.

SOALAN : SETIAP PARA SYUHADA’ AKAN ADA TANDA-TANDA KEMULIANNYA. MAKA APAKAH KARAMAH DR. RANTISI?
JAWABAN :
Darah as-Syahid terus mengalir keluar walaupun setelah 20 jam selepas beliau syahid, haruman kasturi menyelimuti seluruh jasad beliau. Di samping itu, kami sekeluarga merasakan bahawa Allah telah memberikan keteguhan hati dan ketabahan kepada kami selepas beliau syahid.
Akhirnya, senyuman yang tergambar jelas di bibirnya bagi saya itu adalah karamah as-Syahid.

SOALAN : BAGAIMANA KEHIDUPAN DR. RANTISI SEBAGAI SEORANG BAPA, SUAMI, DATUK DAN PEJUANG?
JAWABAN :
As-Syahid merupakan seorang berperibadi Islam yang unggul sesuai dengan sepotong ayat yang bermaksud :
"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu." (QS Az-Zariyat : 56). 

Beliau mencontohi Rasulullah saw samada dari segi akhlak, hubungan masyarakat, kekeluargaan dan perjuangannya di mana kesemua ini pada as-Syahid adalah satu ibadah, samada :
a. Mentaati ibunya.
b. Pergaulan bersama isterinya.
c. Memuliakan anak-anak.
d. Gurauan bersama cucu-cucunya.
e. Bersikap tegas terhadap kuffar serta musuh Islam.
Manakala di pejabatnya beliau bersifat tawadu' dengan sesiapa yang bermuamalah dengannya.

SOALAN : SIKAP ATAU SIFAT AS-SYAHID YANG TIDAK AKAN PUAN LUPAKAN?
JAWABAN :
Keseluruhan kehidupan suami saya adalah sikap yang tidak dapat dilupakan selamanya tetapi di sana ada satu situasi yang saya ingin kongsi bersama.

Ketika saya sedang mengemas rumah dengan tidak sengaja televisyen yang saya angkat terjatuh dan menyebabkan ia tidak berfungsi lagi. Saya rasa amat bersalah di atas peristiwa tersebut kerana selepas keluarnya Dr. Rantisi dari tahanan memang sukar untuk kami membeli barang-barang rumah yang baru.
Tanpa saya sedari, beliau datang kepada saya dan bertanya sebab kerisauan hati saya. Apabila saya menceritakan segalanya lantas beliau berkata, tiap-tiap sesuatu ada ajalnya yang telah Allah tetapkan, apa yang dikehendakiNya maka pasti akan berlaku, kata beliau dalam keadaan tersenyum.

SOALAN : BAGAIMANAKAH SAAT-SAAT TERAKHIR DR. RANTISI BERSAMA KELUARGA, APAKAH KALIMAH TERAKHIR AS-SYAHID DAN BAGAIMANA KEADAAN DIRI BELIAU PADA HARI SYAHIDNYA BELIAU?
JAWABAN :
Saat akhir hidup beliau, tidak nampak perubahan yang ketara ketika bersama kami. Beliau sentiasa memberikan setiap yang berhak itu akan haknya walaupun beliau dalam keadaan sibuk...tentang hal-hal keluarga dan perkahwinan anak kami, iaitu Ahmad yang turut terkorban bersama ayahnya, mengenai persiapan perkahwinan, tempat tinggal dan sebagainya beliau kelihatan sangat gembira.
Kalimah terakhir ketika beliau bersama kami ialah :
"Tuhanku, masukkan aku ke syurga mu. Inilah kemuncak impianku.."

SOALAN : APAKAH CITA-CITA DR. RANTISI?
JAWABAN :

Cita-cita beliau ialah dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan syahid dan tidak ada yang lebih dari itu.

SOALAN : BAGAIMANA KEHIDUPAN AS-SYAHID KETIKA MANA MENGIRINGI KESYAHIDAN SYEIKH AHMAD YASIN?
JAWABAN :
Saya memang tidak akan menyangka bahawa hidup beliau boleh berubah kerana sesungguhnya beliau sememangnya tahu matlamat hidupnya dan jalan terakhir yang akan di laluinya iaitu jalan ‘Istisyhad’ (mempersiap diri untuk syahid) dan Jihad.

SOALAN : APA YANG INGIN PUAN KATAKAN KEPADA MUSLIMAT PALESTIN YANG SEDANG MENUNGGU GILIRAN SYAHIDNYA SUAMI, BAPA DAN ANAK-ANAK MEREKA?
JAWABAN :
Saudari-saudariku yang dikasihi, sesungguhnya peranan wanita bukan sekadar yang kamu sumbangkan sekarang sahaja, bahkan peranan kita adalah bersama para lelaki dan Rasulullah saw yang mulia telah bersabda :

"Setiap kamu adalah ketua, dan setiap ketua pasti akan dipertanggungjawabkan ke atas orang bawahannya dan wanita itu adalah dipertanggungjawabkan di rumah suaminya dan ia akan dipersoalkan akan apa yang di bawahnya".
Sesungguhnya telah terakam contoh terbaik wahai saudari-saudariku yang dikasihi di lembaran-lembaran terdahulu, maka peranan kamu setelah syahidnya suami ataupun anakmu, ialah menyempurnakan peranan kamu dalam kehidupan mereka. Semoga Allah menetapkan pendirian dan menjaga serta menghimpunkan kamu bersama siapa yang kamu sayangi di bawah payung rahmatNya.

SOALAN : KALIMAH TAUJIHAT UNTUK PEMERINTAH NEGARA-NEGARA ARAB, PEMUDI-PEMUDI PALESTIN KHASNYA DAN PEMUDA-PEMUDI ARAB UMUMNYA?
JAWABAN :
"Dan peliharalah dirimu (dari azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya." (QS Al-Baqarah : 281)

Untuk pemuda-pemudi ingin saya katakan kepada mereka :
“Pulanglah kepada panduan asal kamu.Kembalilah semula kepada rasa izzah dan kemuliaan kamu. Kembalilah kepada Islam, berpegang teguhlah dengan kitab Allah dan jadikanlah ia sebagai perlembagaan hidup kamu.”
Sesungguhnya, kita perlu menelusuri jejak dan kekuatan wanita-wanita di Gaza yang sentiasa melahirkan pejuang-pejuang dan mujahid-mujahid yang akan membebaskan bumi Palestin dari penjajahan Israel.

Ia adalah sebuah kisah sebuah bangsa di atas sejengkal Tanah Suci. Penduduk Palestin yang merupakan sebahagian dari tanah Syam memang merupakan penduduk yang mempunyai sifat ketegaran.
Banyak peristiwa yang pernah berlaku di sana dan akan banyak lagi yang kelak akan berlaku di sana di akhir zaman ini di mana kita semestinya belajar dari peristiwa ini terutama umat Islam. Semua sudut perlu menjadi pelajaran termasuk dari sudut kemanusiaan sebagai wanita.

Tahun baru Hijriyah 1434 dimulai dengan kisah duka bagi umat Islam iaitu pengeboman Israel yang bertalu-talu ke atas tanah Gaza. Pemandangan yang sungguh memilukan. Namun Allah swt menjadikan peristiwa Gaza bukan sekadar untuk menjadi tontonan televisyen dan bualan para wartawan untuk bulan tersebut.

Apa yang kita dengar dari berita :

1. Ada ibu dari keluarga di Gaza melahirkan anaknya di tengah-tengah suasana pengeboman.

2. Seorang wanita mengatakan: "Tidak, tanah ini milik kami, apapun yang mereka lakukan tanah ini milik kami, kami akan tetap menentang mereka (Yahudi)."

3. Seorang wanita muda pergi ke kedai roti untuk membeli roti dan terpaksa beratur berjam-jam di tengah-tengah ledakan bom di Gaza. Ketika ditanya oleh wartawan mengapa ia tetap pergi ke kedai roti padahal ia dalam keadaan tidak selamat, ia menjawab: "Tinggal di rumahpun kami dibom sedangkan saya perlu membeli roti untuk keluarga di rumah, jadi saya perlu laluinya juga. Kita hanya mati sekali."

4. Selama seminggu, Israel berjaya membunuh
 100 orang rakyat Palestin termasuk 53 orang awam dan mencederakan 840 orang termasuk 225 kanak-kanak. Namun, selama masa itu pula ramai lahirnya bayi baru sehingga ada wanita Gaza yang melahirkan kembar samada kembar dua atau kembar tiga.

Sungguh luar biasa, hanya sehari sesudah kedua pihak menyatakan gencatan senjatanya masing-masing, polis lalu lintas sudah bertugas di jalan-jalan di Gaza, bahkan sekolah dibuka kembali kurang dari seminggu sesudah itu. Para murid saling menyapa ketika pertama kali berjumpa: "Hai kamu masih hidup ya?"

Wilayah ini sudah tidak mempunyai balai polis (walaupun anggota polisnya bertugas) dan seluruh bangunan pemerintah termasuk pejabat Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh sudah hancur dibom bahkan masjid-masjid dan hospital serta sekolah tidak luput dari pengeboman.


Infrastrukturnya boleh dikatakan sudah hancur tetapi ternyata struktur masyarakatnya tidak hancur, sistem sosialnya tidak terhapus bersama bangunan-bangunannya.
Solat berjamaah tetap dilaksanakan di tengah-tengah hujan bom di antara runtuhan bangunan dan masjid. Bahkan masjid mengumpulkan dana dari sebahagian jamaah yang masih mempunyai sesuatu untuk disumbangkan kepada jiran tetangganya yang lebih memerlukan. Inilah sebuah bangsa yang mempunyai daya ketahanan yang amat tinggi.

Jangan lupa, sebelum pengeboman, Israel sudah mencekik Gaza dengan sekatan selama hampir 6 tahun dan itu menyebabkan semua penduduk Gaza mengalami kekurangan makanan kerana sukarnya untuk mendapatkan bahan makanan di samping harganya yang melambung tinggi.

Dengan berita-berita seperti di atas kita telah mendapatkan gambaran betapa anak-anak Palestin dari generasi ke generasi telah ditempa oleh ujian berat dengan pelindung mereka yang tetap teguh yang terdiri dari para ibubapa terutama para ibu yang tetap menggenggam prinsip kesabaran di tengah-tengah ujian yang amat berat itu.

Kita boleh meninjau beberapa kriteria yang menambah kesabaran mereka iaitu:
a. Tidak lemah mental mereka
b. Tidak lemah penampilan mereka
c. Tidak lemah aktiviti mereka

Dari berita-berita yang diterima, para wanita Gaza tidak lemah mental mereka dan tidak akan mengalah kepada penjajah Israel, di mana kebanyakan mereka berpandangan bahwa perjuangan menentang penjajahan tetap akan diteruskan.
Tidak ada yang gementar ketakutan ketika mendengar deruan pesawat pengebom di atas kepala mereka. Jika ditanya, mereka berkata dengan nada tegas bahwa mereka tidak
takut kepada tentera Israel dan akan melawan dengan senjata alat dapur, jika berhadapan secara langsung. Inilah di antara tanda tidak wujudnya kelemahan mental di kalangan mereka.

Selain itu mereka tidak lemah penampilan di mana nampak jelas bahwa mereka tetap tegak ketika diwawancara oleh para wartawan, bahkan mereka masih boleh menyuarakan kekecewaan mereka kepada para pemimpin Arab yang tidak membantu mereka. Bahkan ada yang menunjukkan tangan ke arah kamera. Sikap tubuh mereka jelas menunjukkan bahwa mereka tidak lemah penampilan walaupun sesetengahnya dalam keadaan cedera dan menanggung kesakitan.

Mereka juga tidak lemah dalam aktiviti mereka di mana walaupun tersisa sedikit kesempatan, mereka terus menjalankan aktiviti mereka samada ke pasar berjual beli, memakamkan ahli keluarga dan kerabat sehingga sempat pula bersilaturahim sesama saudara mereka di pasar.
Di tengah-tengah aksi pengeboman, mereka sanggup beratur untuk membeli roti dengan mempertaruhkan nyawa mereka. Bahkan ada seorang ibu yang melahirkan anak di tengah-tengah pengeboman dengan hanya dibantu oleh ibunya dengan menggunakan lilin di malam hari.

Berikut adalah beberapa kesimpulan yang boleh dibuat :

1.Wanita Gaza adalah wanita yang sabar, ujian apapun yang menimpa tidak membuatkan mereka gentar ketakutan berbeza dengan wanita Yahudi di Selatan Israel yang sehingga perlu dibawa ke hospital kerana "stress" atau tekanan mental menghadapi roket-roket Hamas.

2. Ketabahan mereka ternyata berdasarkan iman dan ketaqwaan kepada Allah swt. Kita melihat mereka mengekang perasaan kesedihan mereka dengan berdoa mengangkat tangan kepada Allah swt mengutuk kekejaman Israel ketika menghadapi keadaan di mana rumah mereka hancur dan ahli keluarga yang terkorban.

3. Kuatnya keganasan dan permusuhan Yahudi justeru membuatkan mereka tetap tegak, teguh dan menentang. Penentangan wanita Gaza bukan dengan mengangkat senjata, tetapi dengan menunjukkan keteladanan dalam sikap berani menghadapi kenyataan peperangan yang keras dan kejam ini di hadapan anak-anak mereka.

Nampak dari raut wajah mereka yang meskipun terurai dengan airmata tapi tetap berwajah tegar manakala anak-anak mereka menatap setiap bentuk bahasa badan ibu-ibu mereka.

Pendidikan apa lagi yang terbaik dan paling berkesan selain dari pendidikan menzahirkan keteladanan dalam kesabaran?
Cubalah kita amati bahasa tubuh mereka ketika diwawancara oleh para wartawan, baik semasa perang mahupun sesudahnya di mana keadaan mereka cukup tenang ketika menceritakan pengalaman mereka.

Kaum wanita di Gaza tidak sesekali menyukai peperangan, namun jika peperangan merupakan takdir bagi bangsanya, kaum wanitalah yang memikul beban berat sebagai mangsa korban.
Merekalah yang pertama sekali merasakan sukarnya hidup seharian di tengah-tengah suasana perang bermula dari persoalan mencari keperluan sehari-hari hingga kepada usaha menenangkan anak-anak mereka yang ketakutan.

Belum lagi ditambah dengan jumlah mangsa korban utama sebagaimana di Gaza ini kerana senjata perang Israel sentiasa mengejar wanita dan anak-anak walaupun di tempat-tempat penginapan mereka.

Bagi bangsa yang terjajah dan dizalimi seperti ini, masa depan bangsanya terletak di bahu mereka. Kaum wanita Gaza tidak seharusnya menunjukkan kelemahan mental, ketakutan yang menimbulkan perasaan menyerah kepada musuh atau kelemahan aktiviti yang menyebabkan mereka tidak lagi dapat bergerak menjalani kehidupan mereka.

Jika sikap-sikap kelemahan tersebut yang dilihat oleh anak-anak mereka pada hari ini, maka kita dapat bayangkan bahwa dalam masa 10 tahun ke hadapan, wilayah yang sekarang ini bernama Gaza mungkin akan berdirinya bandar-bandar pelancongan Israel dengan nama Yahudi sebagaimana nama Ashdod, Ashkelon, Sderot, Kiryat Shimona dan lain-lain.

Ini kerana jika mereka (kaum wanita Gaza hari ini) lemah, maka anak-anak mereka akan tumbuh dan membesar menjadi penakut dan mempunyai sikap mudah menyerah tetapi Alhamdulillah sekarang mereka tetap teguh dan InsyaAllah sampai hari kiamatpun bangsa Yahudi tidak akan dapat merasa tenang dengan kezalimannya kerana akan sentiasa ada yang menentang mereka dari satu generasi ke generasi Palestin yang baru.

Ya Allah, terimalah amal-amal mereka yang telah Syahid di jalanMu. Sesungguhnya kami juga akan menyusul mereka. Kurniakanlah kematian yang paling baik kepada kami iaitu Syahid di jalanMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Friday, 25 January 2013

Kelahiran Yang Membawa Cahaya

Ditulis Oleh WAS Pada 00:38 – 0 Komen Anda
 
Tradisi perayaan Maulid Nabi saw yang disambut dan diselenggarakan oleh hampir seluruh masyarakat muslim sekarang ini bukanlah satu warisan dari Nabi Muhammad saw sejak di zaman hayatnya.

Berbagai pendapat telah berkembang tentang kebolehan, keutamaan dan hikmah bahkan juga penolakan terhadap tradisi diadakan peringatan Maulid Nabi saw ini.

“Dan kami tidak mengutusmu (Muhammad) melainkan kepada seluruh umat manusia, sebagai pembawa berita dan pemberi peringatan.Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (QS Saba ’ : 28)

Di antara perkara yang terpenting dalam peringatan Maulid Nabi ini, di antaranya ialah :

a.       Memperkukuhkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah saw melalui usaha menanamkannya pada diri generasi baru.
b.      Kecintaan kepada Nabi saw yang melahirkan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah dengan mengikuti sunnah Rasulullah saw sehingga contoh tauladan kehidupan (uswah hasanah) Nabi Muhammad saw dapat diserap dan diterapkan dalam fikiran dan perilaku mereka.

Untuk mengetahui lebih mendalam tentang sejarah tauladan Rasulullah dan para sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum, tentulah diperlukan bahan rujukan dalam mengajarkan nilai-nilai yang terkandung dalam sejarah dan sunnah Rasulullah saw ini.

Rasulullah saw pernah berpesan bahwa dua pusaka abadi yang baginda wariskan kepada umatnya adalah Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw.

Tradisi memperingati Maulid Nabi seharusnya diubah menjadi sebuah tradisi Islam yang sangat bermanfaat bagi kaum muslimin di mana dalam acara-acara peringatan Maulid Nabi dapat didengarkan dan dihayati contoh tauladan kehidupan Rasulullah saw.

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaum-mu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.” (QS At Taubah : 128)

Memperingati Maulid (kelahiran) Nabi Muhammad saw bermakna, secara sedar kita menyusuri pekerti agung seorang yang terpilih.

1.      Jelas nasabnya.
2.      Jujur.
3.      Amanah.
4.      Baik budi pekertinya.
5.      Penyantun.
6.      Pemaaf.

Semua sifat-sifat di atas adalah sebagai ‘uswah hasanah’ (contoh tauladan yang baik), bagi setiap mukmin yang percaya kepada Allah dan hari akhirat.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah saw itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu)bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangannya) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah (zikrullah).” (QS Al Ahzab : 21)

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (QS Al-Anbiya’ : 107)

Muhammad saw adalah seorang yang istimewa dan baginda adalah Rasul pilihan Allah di antara banyak rasul sebelumnya.

“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul.” (QS Ali Imran :144)

Bahkan baginda menjadi penutup Nabi-Nabi.

“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi.Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (QS Al-Ahzab : 40)

Jadi makna hakiki dari memperingati Maulid Nabi saw mestilah diinsafi bahwa :

a.       Ianya bukan sekadar amalan ‘ritual’ keagamaan semata-mata.
b.      Ia hendaklah ditujukan ke arah introspeksi menyeluruh terhadap diri kita sendiri bagi meningkatkan kualiti hidup beragama, beribadah dan bermasyarakat.

REFLEKSI PERINGATAN MAULID, MENELADANI RASULULLAH SAW

Salah satu refleksi peringatan maulid adalah mengambil keteladanan Nabi Muhammad saw yang telah mengeluarkan umat manusia dari lembah :

1.      Kemiskinan harta.
2.      Kemiskinan ilmu.
3.      Kemiskinan akhlak.
4.      Kemiskinan mental dan kerohanian.
5.      Kemiskinan persaudaraan.

Muhammad saw mengeluarkan umat dari kemiskinan harta dengan memacu kepada usaha individu dengan memberi benih untuk ditanam bukan menyediakan makanan untuk dimakan.

Petunjuk yang tersirat dalam beberapa sabda Rasulullah saw di antaranya :

“Bekerjalah kamu untuk duniamu seakan-akan kamu akan hidup selamanya dan berusahalah kamu untuk akhiratmu seakan-akan kamu akan mati esok hari.” (HR Ibnu ‘Asakir)

Dalam kehidupannya Rasulullah saw telah memberi contoh tauladan yang baik iaitu tidak pernah menolak pengemis yang datang ke rumahnya. Bahkan sering para pengemis diberi benih kurma untuk ditanam sehingga mereka dapat memberi makan kepada anak cucu mereka.

Rasulullah saw sangat menghargai makna sebuah kerja.

Etika kerja Islam merupakan manifestasi kepercayaan muslim yang memiliki kaitan dengan tujuan hidup yang hakiki iaitu ridha Allah swt dalam meraih prestasi di dunia dan akhirat.

Selain itu, Nabi Muhammad saw juga mendorong umat agar tidak miskin ilmu.

Baginda saw memberi pesanan dengan mengingatkan :

“Barangsiapa yang menginginkan dunia mestilah dengan ilmu, dan barangsiapa yang menginginkan akhirat mestilah dengan ilmu, dan barangsiapa yang menginginkan kedua-keduanya mestilah dengan ilmu”. (HR Muttafaqun ‘Alaih)

Dengan ilmu yang diredhai Allah maka seseorang dianggap sebagai pewaris Nabi dan dengan ilmu, kebahagiaan di dunia dan di akhirat dapat diraih.

Nabi Muhammad saw mendorong agar manusia tidak menjadi miskin pemikiran. Apabila pemikiran sihat, memancarlah bayangan kesihatan itu pada perilaku kehidupan sehari-hari.

Risalah Islamiyah adalah suatu anugerah bagi umat manusia. Nabi Muhammad saw telah berhasil membawa masyarakat jahiliyah yang miskin pemikiran menjadi masyarakat yang luhur, berakhlak, memiliki sopan santun dan beradab dalam pergaulan dengan menghidupkan empat sikap utama.

a.      “Syaja‘ah” ertinya berani pada kebenaran dan takut pada kesalahan dan dosa.

b.      “Iffah” ertinya pandai menjaga kehormatan diri samada zahir atau batin.

c.      “Hikmah” ertinya tahu rahsia diri dan pengalaman hidup.

d.      “’Adalah” ertinya adil walaupun pada diri sendiri.

Nabi Muhammad saw adalah peribadi teladan yang mesti menjadi idola kepada kaum muslimin.

Setiap langkahnya sentiasa di bawah pengawasan Ilahi.Tindakan dan ucapannya adalah mutiara berharga serta menjadi landasan pembentukan akhlak umatnya dalam beramal dan menjadi hukum yang ditaati. Tiada seorangpun yang dapat meragukan keagungan peribadi Rasulullah saw.

KEPERIBADIAN RASULULLAH SAW MENJADI CONTOH TAULADAN DALAM SEGALA PERKARA.

Rasulullah saw adalah menjadi contoh tauladan dalam semua keadaan :

1.      Sebagai suami.
2.      Sebagai ayah.
3.      Sebagai guru.
4.      Sebagai tokoh.
5.      Sebagai ahli strategi.
6.      Sebagai ahli ekonomi.
7.      Sebagai pejuang hak-hak asasi manusia.
8.      Sebagai ketua negara.

Keteladanan Nabi Muhammad saw mampu mereformasi sistem dan tatacara kehidupan yang ada ke arah yang lebih baik dan bertujuan mulia iaitu “negeri yang baik dan makmur serta mendapat keampunan Tuhan”.

Nilai-nilai keteladanan tersebut hendaknya menjadi warisan yang paling berharga bagi kita umat manusia tanpa terkecuali.

a.      Setiap niat yang kita bulatkan.
b.      Setiap langkah yang kita ayunkan.
c.      Setiap pernyataan yang kita ikrarkan.
d.      Setiap perbuatan yang kita lakukan.

Semuanya merupakan cerminan dan keteladanan Rasulullah saw yang mesti diterapkan dalam kehidupan kita.

Maka dalam usaha untuk mengikuti ajaran baginda, sudah semestinya sifat baginda menjadi jatidiri seorang muslim.

Di antara sifat mulia yang baginda miliki adalah sifat ‘shiddiq’ sehingga Rasulullah saw diberi gelaran ‘Al Amin’ (orang yang boleh dipercayai).

‘Shiddiq’ ertinya benar atau jujur, lawan kepada dusta atau bohong. Seorang muslim dituntut memiliki sifat ‘shiddiq’ dalam keadaan zahir mahupun batin.

PERTAMA :“SHIDQUL QALB” (JUJUR HATI NURANI)

Kejujuran hati nurani hanya dapat dicapai jika hati dihiasi dengan :

1.      Iman kepada Allah swt.
2.      Bersih dari segala macam penyakit hati.

Sifat ini akan mencapai kematangan apabila didukung dengan sifat ihsan.

KEDUA :“SHIDQUL HADITS” (JUJUR TUTUR KATA)

Iaitu benar atau jujur dalam ucapan dan perkataan. Seseorang boleh dikatakan jujur dalam perkataan apabila semua yang diucapkannya adalah suatu kebenaran bukan kebatilan.

KETIGA :“SHIDQUL AMAL” (JUJUR PERBUATAN)

Iaitu benar perbuatan atau beramal soleh sesuai dengan syari’at Islam.

Sifat ‘shiddiq’ menghantarkan seseorang ke pintu gerbang kebahagiaan baik di dunia mahupun di akhirat sesuai dengan sabda Rasulullah saw berikut :

“Hendaklah kamu semua bersikap jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Seseorang yang telah jujur dan mencari kejujuran akan ditulis oleh Allah sebaqai seorang yang jujur (shiddiq). Dan jauhilah sifat bohong, kerana kebohongan membawa kepada kejahatan, dan kejahatan membawa ke neraka.Orang yang se1a1u berbohong dan mencari-cari kebohongan, akan ditulis oleh Allah sebaqai pembohong (kazzab)”. (HR Bukhari)

Sifat ‘shiddiq’ adalah “lubuk emas” dalam diri seseorang yang sangat berharga dan sifat inilah yang dijadikan ukuran kepercayaan orang lain kepadanya.

Apabila seseorang telah kehilangan sifat ‘shiddiq’, maka hilanglah jati dirinya, kerana tiada yang mahu mempercayainya.Sikap ini pula yang amat diperlukan di dalam membangun bangsa dan negara tercinta ini. 

NILAI UTAMA DALAM PERINGATAN MAULID NABI MUHAMMAD SAW

Memperingati “maulidur-rasul” sebenarnya menanamkan keinginan yang kuat untuk  mengikuti jejak langkah sunnah Rasulullah saw yang di wariskannya sesuai dengan wahyu Allah tentang perutusan Muhammad Rasulullah saw menjadi “Rahmat bagi seluruh alam” dan rela menjadikannya “uswah hasanah”.

Contoh keteladanan yang teramat sempurna dari “nabi terakhir” yang telah melakukan perubahan menyeluruh terhadap berbagai perilaku ke arah yang lebih baik dalam kehidupan manusia iaitu dari keadaan kegelapan kepada peradaban yang terang benderang, telus serta kehidupan yang penuh cahaya.

Sesungguhnya perlu kita sedari bahwa kehadiran manusia di permukaan bumi ini perlu memikul dua tugas utama :

a.      Untuk melakukan “ ishlah” iaitu perubahan dan pembaikan.

b.      Untuk menjadi “uswah” iaitu contoh utama dalam peranan kekhalifahannya.

Tanpa kedua sikap ini, sebenarnya kewujudan manusia tidak dapat memberi kesan yang nyata.

Perubahan yang di bawa oleh Rasulullah saw berdasarkan bimbingan wahyu Allah swt menuntun manusia kepada fitrahnya menjadi umat yang bertuhan, berakhlaq dan berbudi pekerti.

Perubahan yang berlaku tidak semata-mata bertumpu kepada keinginan peribadi, tetapi sentiasa dengan bimbingan Al Khaliq, Yang Maha Pencipta dan perilaku manusia yang mendapat bimbingan wahyu Allah dan sunnah Rasul saw ini pasti terjauh dari apa-apa pertentangan dalam kehidupan manusia.

Inilah perbezaan yang asasi dalam hal perubahan yang di lakukan oleh “reformis” lainnya yang sering melahirkan pemaksaan kehendak, tindakan kekerasan bahkan sikap anarki.

Perubahan berdasarkan Sunnah Rasulullah saw berasaskan kepada “syari’at Islam” dan berintikan proses perubahan dan perbaikan berbentuk :

1.      ‘Tajdid’ (pemurnian).

2.      ‘Ishlah’ (pembaikan dan penyempurnaan).

3.      ‘Taghyir’ (perubahan sikap).

Ianya adalah perubahan perilaku yang berperadaban tanpa merosakkan.

Ajaran Islam memperingatkan umatnya untuk menghindarkan diri dari tindakan merosakkan samada dalam tata cara perilaku mahupun pemikiran dengan berusaha untuk menjauhi pemaksaan kehendak.

Agama Islam menghormati prinsip tidak ada paksaan dalam agama.

Kewajiban yang asasi adalah :

a.       Melakukan ‘musyawarah’ dalam setiap urusan.
b.      Teguh identiti dirinya.
c.       Proaktif dalam mengajak dan mengamalkan kebaikan-kebaikan.
d.      Menolak setiap kejahatan dan kerosakan.

Gerakan “ amar makruf nahi munkar”  bertujuan untuk melawan segala corak kemaksiatan yang menyangkut tatacara dan hubungan peribadi, keluarga, masyarakat, lingkungan, bangsa dan negara.

Tujuan utamanya ialah menciptakan umat yang berkualiti atau “khaira ummah” atas dasar iman kepada Allah.Intensiti yang tinggi berpaksi dalam mengghairahkan perlumbaan kepada kebaikan.

Ajaran Islam telah terbukti dalam sejarah panjang peradaban manusia berhasil menciptakan suatu komuniti umat yang kian hari bertambah jumlahnya sampai akhir zaman.

Perutusan Rasulullah saw mencatatkan kegelapan perilaku kehidupan jahiliyah masa lalu, antara lain seperti yang dikatakan oleh Jaafar Bin Abu Talib ketika menceritakan keadaan kehidupan mereka sebelum Islam kepada Raja Najasyi ketika di Habshah :

“Kami adalah orang jahiliyah, penyembah berhala (kepatuhan kepada selain Allah dengan menggunakan kedudukan, kekuasaan, harta kekayaan), pemakan bangkai (tidak mengenal halal-haram), memutus silaturrahim (dengan penindasan, sikap anarki, gangguan), berbuat bencana terhadap jiran tetangga, dan perbuatan keji (judi, rompak, rasuah, zina) , sehingga yang kuat menelan yang lemah (sombong kekuasaan, penompokan kekuatan golongan dan kelompok). Sampai Allah mengutus kepada kami seorang Rasul dari kalangan kami sendiri, yakni Muhammad saw yang sangat kami kenal nasab, kebenaran, kejujuran, amanah dan baik budi pekertinya. Oleh kerana itu kami mempercayainya, dan kami benarkan risalahnya.” (HR Bukhari dan Abu Daud)

Hadist ini memberi beberapa pengajaran kepada kita :

PERTAMA :

Risalah Rasulullah saw diterima kerana kejujuran pembawanya iaitu peribadi Muhammad Al-Amin.

KEDUA :

Keutamaan wahyu Allah mampu merombak tata perilaku kehidupan masyarakat secara menyeluruh.

KETIGA :

Keteguhan umat dengan tingkatan istiqamah yang tinggi dalam kerangka jihad di jalan Allah.

KEEMPAT :

Teguhnya keyakinan kepada kehidupan akhirat, bahwa hidup tidak semata-mata bersifat fizikal dan materialistik.

KELIMA :

Kecerdasan umat melihat ketinggian Agama Islam yang membawa konsep hidup yang terbaik.

Kelima-lima faktor di atas akan menjadi pembangkit utama ‘Gerakan Islam’ sebagai kekuatan alternatif pada masa depan.


GAMBARAN KEHIDUPAN RASULULLAH SAW

Apakah yang kita fikirkan tentang seorang laki-laki yang berperangai amat mulia, yang lahir dan dibesarkan dicelah-celah kematian demi kematian orang-orang yang amat mengasihinya?

Di rumahnya tidak dijumpai perabot yang mahal. Baginda akan makan dilantai seperti para hamba yang lain.Tidak seorang pembantunya pun mengeluh pernah dipukul atau dikejutkan oleh pukulannya terhadap benda-benda yang ada di rumah.
Dalam kesibukannya, baginda masih bertandang ke rumah puteri dan menantu tercintanya, Fatimah Az Zahrah dan Ali bin Abi Talib. Fatimah merasakan kasih sayang ayahnya tanpa membuatnya jadi manja dan hilang sifat berdikari.

Ketika Bani Makhzum memintanya membatalkan hukuman atas jenayah seorang perempuan bangsawan, ia menegaskan :

“Sesungguhnya yang membuat binasa orang-orang sebelum kamu ialah, apabila seorang bangsawan mencuri mereka biarkan dia dan apabila yang mencuri itu seorang rakyat jelata mereka tegakkan hukum atas-nya. Demi Allah, seandainya Fathimah anak Muhammad mencuri, maka Muhammad tetap akan memotong tangannya.”

Hari-harinya penuh kerja dan intaian bahaya tapi itu tidak menghalangnya untuk lebih dari sekali atau dua kali berlumba dengan Humaira’, sebutan isteri kesayangan baginda yang baginda berikan untuk Aisyah binti Abu Bakar As Shiddiq.

Lambang kecintaan, paduan kecerdasan dan pesona diri dijalin dengan hormat dan kasih kepada As Shiddiq, sesuai dengan namanya “Yang Benar”.

Suatu kewajaran yang menakjubkan ketika dalam kesibukannya baginda masih menyempatkan diri untuk memerah susu kambing atau menampal pakaian yang koyak.

Setiap kali para sahabat atau keluarga baginda memanggil, baginda menjawab: “Labbaik”.

Dialah yang terbaik dengan prestasi besar di luar rumah, namun tetap unggul dalam status dan kualitinya sebagai orang yang mengurus urusan rumahtangga.

Di bawah pimpinan baginda, laki-laki menemui jati dirinya sebagai laki-laki dan pada saat yang sama perempuan mendapatkan kedudukan amat mulia.

“Sebaik-baik kamu ialah yang terbaik terhadap keluarganya dan akulah orang terbaik diantara kamu terhadap keluargaku.Tidak akan memuliakan perempuan kecuali seorang mulia dan tidak akan menghina perempuan kecuali seorang hina.” 

Di sela-sela 27 kali peperangan yang diketuai oleh baginda secara langsung (ghazwah) atau diketuai oleh para sahabatnya (sariyah) sebanyak 35 kali, baginda masih sempat mengajar Al-Qur’an, sunnah, hukum, penghakiman, kepemimpinan, menerima delegasi asing, mendidik hal-hal rumahtangga bahkan hubungan yang paling khusus dalam keluarga tanpa kehilangan adab dan kewibawaan, padahal, masa di antara dua peperangan itu tidak lebih dari 1.7 bulan.
Setiap kisah yang dicatat dalam hari-hari kehidupan baginda sentiasa bernilai sejarah.
Suatu hari datanglah ke masjid seorang Arab dusun yang belum mengerti adab di masjid. Tiba-tiba ia kencing di lantai masjid yang beralaskan pasir. Para sahabat sangat marah dan hampir sahaja memukulnya.
Sabdanya kepada mereka :“Jangan, biarkan ia menyelesaikan hajatnya.” Si Badui terasa kagum, lalu mengangkat tangannya, “Ya Allah, kasihilah aku dan Muhammad. Jangan kasihi seorangpun yang bersama kami.”
Dengan tersenyum baginda menegur Si Badui tadi agar jangan mempersempitkan rahmat Allah.
Baginda kerap bermuayashah dengan para sahabatnya, bergaul rapat, bermain dengan anak-anak bahkan mendukung anak kecil di pangkuannya.
Baginda menerima undangan mereka samada yang merdeka, budak laki-laki atau budak perempuan serta kaum miskin. Baginda menjenguk rakyat yang sakit jauh di hujung Madinah di samping baginda juga menerima permohonan maaf orang lain.
Baginda sentiasa lebih dahulu memulakan salam dan menjabat tangan siapa yang menjumpainya dan tidak pernah menarik tangan itu sebelum sahabat tersebut yang menariknya.
Baginda tidak pernah menjulurkan kaki di tengah sahabatnya hingga menyempitkan ruang bagi mereka.
Baginda muliakan siapa sahaja yang datang, kadang-kadang dengan membentangkan bajunya.  Bahkan baginda berikan alas duduknya dan dengan sungguh-sungguh ia panggil mereka dengan nama yang paling mereka sukai. Baginda memberi mereka ‘kuniyah’ (sebutan bapa atau ibu si Fulan).
Baginda tidak pernah memotong pembicaraan orang, kecuali sudah berlebihan. Apabila seseorang mendekatinya ketika ia solat, baginda cepat-cepat selesaikan solatnya dan segera bertanya apa yang diinginkan oleh orang itu.
Pada suatu hari dalam khemah semasa peperangan, baginda berkata:
“Seandainya ada seorang soleh mahu mengawalku malam ini”.
Dengan kesedaran dan cinta, beberapa sahabat mengawal khemah baginda. Di tengah malam, terdengar seakan akan suara pergaduhan yang mencurigakan.
Para sahabat bergegas ke arah sumber suara tersebut. Ternyata baginda telah ada di sana mendahului mereka, tegak di atas kuda tanpa pelana lalu berkata :
“Tenang, hanya angin gurun,”.
Nyatalah bahwa keinginan untuk adanya pengawal itu bukan kerana ketakutan atau pemanjaan diri, tetapi pendidikan disiplin dan ketaatan.
Ummul Mukminin Aisyah ra berkata :
“Rasulullah saw wafat tanpa meninggalkan makanan apapun yang boleh dimakan makhluk hidup selain setengah ikat gandum dalam penyimpananku. Saat ruhnya dijemput, baju besinya masih digadaikan kepada seorang Yahudi untuk harga 30 gantang gandum.”
Sungguh baginda berangkat menunaikan haji dengan kenderaan yang sangat sederhana dan pakaian yang harganya tidak lebih dari 4 dirham, seraya berkata, 

“Ya Allah, jadikanlah ini haji yang tidak mengandungi riya’ dan sum’ah.” 

Pada kemenangan besar saat pembukaan Makkah, dengan sejumlah besar pasukan muslimin, baginda menundukkan kepala, nyaris menyentuh punggung untanya sambil sentiasa mengulang-ulang tasbih, tahmid dan istighfar bahkan baginda tidak terlalu bergembira dengan kemenangan tersebut.

Beberapa kalimat ini mungkin membuatkan kita layak untuk menyesal tidak mencintainya atau tidak menggerakkan bibir untuk mengucap selawat ke atasnya : 

“Semua Nabi mendapatkan hak untuk mengangkat doa yang tidak akan ditolak dan aku menyimpannya untuk umatku kelak di padang mahsyar nanti.”

Ketika masyarakat Thaif menolak dan menghina baginda, malaikat penjaga bukit menawarkan untuk menghimpit mereka dengan bukit.

Baginda menolak seraya berkata :

“Kalau tidak mereka, aku berharap keturunan di sulbi mereka kelak akan menerima dakwah ini, mengabdi kepada Allah sahaja dan tidak menyekutukan-Nya dengan apapun.”

Kata kunci kepada gambaran kebesaran jiwa baginda adalah :
Allah, sumber kekuatan yang Maha dahsyat, kerana kepada baginda, ia begitu penting bagi menumpahkan semua keluhannya. Ini membuatnya amat tabah menerima segala risiko perjuangan di mana kaum kerabatnya yang menjauhkan diri, kawan yang membencinya dan khalayak ramai yang mengusirnya dari negeri tercinta.
Tidak cukupkah semua keutamaan itu :

1.      Menggetarkan hati kita dengan cinta?
2.      Menggerakkan tubuh kita dengan sunnah dan contoh tauladan?
3.      Menggugahkan mulut kita dengan ucapan selawat?

Umat Islam hari ini di tuntut untuk berperanan aktif sebagai :

1.      Pengisi konsep.

2.      Penggerak kehidupan duniawi.

Agama Islam tidak hanya terikat dengan ibadah dalam ertinya yang sempit seperti puasa, solat, zikir dan doa malah mampu membangun amalan yang soleh dalam membentuk kualiti hidup kebaikan di dunia dan di akhirat.

Dalam rangka inilah kita peringati Maulid Nabi saw.

Ya Allah, jadikanlah peringatan Maulid NabiMu benar-benar memberi kesan kepada azam dan tekad kami untuk kami mengikuti dan menyusuri akhlak dan peribadi mulia baginda saw. Kurniakanlah syafaat NabiMu kepada kami di akhirat nanti serta tempatkanlah NabiMu pada maqam yang tinggi di syurgaMu nanti.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS  

[ Read More ]
Read more...
Newer Posts Older Posts
View mobile version
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
    Rijalud dakwah adalah seseorang yang telah di tarbiyah secara intensif sehingga memiliki persediaan untuk berjuang dan berkorban di jal...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Surah Yang Menjadi Pembela
    Allah swt telah menurunkan kepada kita Al Qur’an sebagai : a.        Cahaya. b.       Rahmat. c.        Ubat dari penyakit hati dan...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ▼  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ▼  January (11)
      • Sunnatullah Di Jalan Dakwah
      • Simbol Ketabahan Wanita Gaza
      • Kelahiran Yang Membawa Cahaya
      • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
      • Membangun Kekuatan Gerakan Dakwah
      • Manhaj Islam Yang Moderat
      • Membangun Pejuang Kental
      • Menguasai Objek Dakwah
      • Naqib Nyawa Kedua Jamaah
      • Rijal Dakwah Idaman
      • Menelusuri Strategi Dakwah
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger