skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Friday, 14 February 2014

Kepimpinan Tarbawi Berstrategi

Ditulis Oleh WAS Pada 05:49 – 0 Komen Anda
 
Pada umumnya, kepimpinan boleh didefinisikan sebagai seni atau proses mempengaruhi kegiatan manusia yang berkaitan dengan tugas mereka supaya mereka rela bergiat dan berusaha ke arah pencapaian organisasi. Sebaik-baiknya, manusia patut digalakkan untuk menanam kegigihan, keazaman dan keyakinan untuk bekerja dan beramal.

Kepimpinan adalah satu amanah dan bukannya tempat untuk mencari kemuliaan kerana amanah ini akan ditanya di akhirat nanti. Realitinya kita melihat pada hari ini pemimpin dipuji, diberi sambutan dan ditepuk sorak. Siapakah yang tidak ada keghairahan atau keinginan serta memasang angan-angan untuk menjadi pemimpin sehingga ada yang berkata:

“Asyik dia orang sahaja dapat, bila pula giliran kita.”

Islam sejak beratus tahun lampau mencipta rekod kepimpinan di pelbagai benua dan kota, terus melakarkan beberapa pra-syarat agar pemimpin betul-betul ‘menjadi’ dan orang yang dipimpin menerima nikmat kepimpinan, bukan hanya orang yang dipimpin selamat di dunia malah juga di akhirat nanti.

Kepimpinan memiliki beberapa syarat seperti berikut :

PERTAMA : IMAN

Dalam surah Al-Kahfi, Allah swt menyatakan iman itu ada tiga implikasi, iaitu :

a.       ‘Imun’.
b.      ‘Aman’.
c.       ‘Amin’.

‘Imun’ maknanya kebal daripada maksiat dan kebal daripada rasuah.

‘Aman’ maknanya dia berasa aman apabila bersama Allah, malah di depan orang dia baik, di belakang orang pun dia tetap baik, bukannya hipokrit.

Manakala ‘amin’ pula maknanya orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah dipercayai barulah layak ia menerima amanah.

KEDUA : ILMU KEPIMPINAN

Kepimpinan bukannya secara spontan atau pakai tangkap muat sahaja, sebaliknya mesti ada ilmu.
Makna kepimpinan ialah cara menggunakan pengaruh untuk mempengaruhi pengikut mencapai matlamat yang digarap. Jika tidak ada ilmu, sepak terajang dan karenah kepimpinan, nanti kita pula yang dipimpin.

KETIGA : ‘KEPIMPINAN KENDIRI’ (self leadership)

Bagaimana kita boleh memimpin orang lain kalau diri kita tidak terpimpin?

Perkataan ‘leader’ merujuk kepada tanggungjawab (Al-Mas’uliyah).

Sabda Rasulullah saw :

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban berdasarkan apa yang kamu pimpin.”

Syarat ini menggambarkan orang yang memimpin itu mampu bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Maknanya, pemimpin tidak cepat melatah dan melemparkan tanggungjawabnya kepada orang lain dan tidak cepat terpengaruh dengan khabar yang tidak pasti.

Jika dia melakukan kesilapan, dirinya sendirilah yang menanggung risiko dan bukannya mengkambing-hitamkan orang lain demi keselamatan dirinya.

KEEMPAT : KEKUATAN KOMUNIKASI

Ketika berinteraksi dengan pengikut, ia akan menghadapi pelbagai karenah, keinginan dan tuntutan di mana dengan komunikasi yang berkesan, ia seharusnya mampu menenangkan mereka walaupun hajat pengikut tidak tertunai, bukannya mengelak dengan pelbagai putar belit.

Cara berkomunikasi ada empat (4) :

1) Percakapanya mudah difahami, bahasanya terang, arahannya jelas dan tidak berbelit-belit.

2) Kesamaan. Setiap orang mudah didampingi dan tidak ada tembok pemisah atau terlalu menjaga protokol. Sebuah pasangan biasanya akan melangsungkan perkahwinan disebabkan banyak kesamaan di antara mereka. Mereka akhirnya akan mencari jalan untuk bercerai jika sudah wujud banyak perbezaan di antara kedua pasangan tersebut.

3) Ikhlas. Walaupun ikhlas terletak di dalam hati dan tidak nampak dengan mata kepala namun ianya dapat dirasai. Jika tidak ikhlas, seakan ada satu gelombang yang mengganggu perasaan orang yang dipimpin. Kata-kata yang tidak tajam tidak akan masuk di hati.

4) Kekuatan memberi khidmat. Percakapan hanya perlu pada tempatnya tetapi bertindak semestinya lebih banyak daripada bercakap. Allah memberikan kita dua telinga supaya kita banyak mendengar dan Allah memberikan kita dua mata supaya kita banyak melihat dan membuat pemerhatian, kemudiannya bertindak berasaskan pendengaran dan pemerhatian.

Rasanya elok juga jika disinggung sedikit perkara yang boleh menambah komitmen akhlak  seorang pemimpin berasaskan tafsir lima ayat dari surah Al-Muddatthir.

a.      Bangun dan beri peringatan.

Pemimpin mempunyai kepedulian sosial yang tinggi. Sekiranya di sekelilingnya terdapat perkara yang menyalahi kebenaran, dengan kuasanya dia akan meluruskannya.

b.      Mesti membesarkan Allah.

Pemimpin perlu sentiasa ke depan tetapi jangan mendahului Allah.


c.       Bersihkan pakaiannya.

Pakaian luar dan juga dalam iaitu hati yang juga turut bersih.

d.      Tinggalkan dosa.

e.       Janganlah memberi sesuatu kerana ingin mendapat lebih banyak malah kalau boleh jangan ingat bahawa kita pernah memberi sesuatu kepada seseorang.

Islam sangat mementingkan pemimpin-pemimpin yang berkualiti tinggi. Sejarah telah membuktikan bahwa Islam berkembang dengan pesat sekali dan mendapat tempat di hati umat kerana pemimpinnya benar-benar dapat memahami dan menghayati hakikat ajaran Islam secara komprehensif, terutama dalam masalah aqidah, ibadah, akhlak dan muamalah.

Kepimpinan sebagai satu seni atau proses mempengaruhi orang-orang sehingga mereka akan berusaha untuk mencapai matlamat sesebuah kelompok dengan kemahuan yang tinggi dan sikap penuh keterujaan.

Pengertian kepimpinan merupakan suatu gambaran tentang kegiatan seseorang yang dinilai sebagai pemimpin dan yang memiliki ciri-ciri berikut :

1.      Posisinya sebagai pusat peranannya.
2.      Sebagai penunjuk arah.
3.      Sebagai penggerak aktiviti kelompok.
4.      Memberikan bentuk dalam sesuatu kegiatan.

Pengertian kepimpinan lebih dititik beratkan pada sudut fungsinya berbanding pada sudut strukturnya. Oleh kerana itu, pengertian kepimpinan merupakan ciri-ciri aktiviti seseorang yang dapat mempengaruhi pengikutnya serta merupakan sebuah instrumen agar dapat melancarkan suatu aktiviti untuk mencapai sebuah tujuan.

Dari beberapa pengertian tentang kepimpinan ini dapat dibuat kesimpulan bahwa seseorang pemimpin tidak setakat ada kemahuan untuk bekerja tetapi kemahuan bekerja dengan penuh semangat dan yakin.

Semangat mencerminkan hasrat, kesungguhan dan intensiti dalam perlaksanaan pekerjaan selain ianya juga menggambarkan rasa keyakinan yang mencerminkan pengalaman dan kemampuan teknikal.

Memimpin bererti :

a.       Memberi arahan.
b.      Membimbing.
c.       Mendahului.
d.      Melaksanakan.

Para pemimpin bertindak untuk membantu sesebuah kelompok untuk mencapai tujuan dengan cara menggembeling kemampuan secara maksimum.
Meningkat atau menurunnya kualiti sesebuah organisasi ataupun sesebuah institusi dipengaruhi oleh kualiti kepimpinan samada secara langsung ataupun tidak langsung.

Diutusnya para Rasul kepada manusia pada hakikatnya adalah hanya untuk memimpin umat dan mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya. Tidak ada satu umat pun yang wujud kecuali Allah mengutus orang yang membetulkan aqidah dan meluruskan penyimpangan individu-individu dalam umat tersebut.

“Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).”

Makna hakiki kepimpinan dalam Islam adalah untuk mewujudkan khilafah di muka bumi, demi terwujudnya kebaikan dan reformasi.
Perintah Allah begitu jelas dalam firmanNya :
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”

Para ulama’ Islam memberi keutamaan kepada topik kepimpinan dengan perhatian yang khusus kerana ia merupakan satu daya dukung kepada agama.

KEPIMPINAN TARBAWI

Di antara jenis kepimpinan yang paling spesifik dalam Islam adalah :

“Kepimpinan Tarbawi.”

Ini disebabkan kerana kejayaan mendidik generasi, membina umat dan berusaha membangkitkannya berkait erat dengan pemenuhan kepimpinan tarbawi yang benar.

Krisis yang mengepung umat ketika ini adalah lunturnya kepimpinan pendidikan yang memberi contoh tauladan atau kepimpinan tarbawi.

Para ulama’ secara konsensus bersetuju bahwa intipati dari proses kepimpinan terletak pada kewibawaan interaktif antara pemimpin dan pengikutnya. Kepimpinan yang berjaya adalah yang mampu mempengaruhi perilaku individu-individu untuk menunaikan tugasnya dalam rangka memberikan arahan dan petunjuk serta mewujudkan sasaran jamaah, mengembangkan, memegang teguh serta menjaga kekuatan bangunannya.

Maju atau mundurnya sesebuah organisasi atau jamaah sangat dipengaruhi oleh aspek kepimpinannya.

Wasilah mempengaruhi yang paling berkesan bagi seorang pemimpin adalah melalui pendekatan kepimpinan tarbawi.
Pemimpin yang bersifat murrabi adalah pemimpin yang memahami tujuan pendidikan, sasaran dan tahapannya yang secara globalnya terdapat dalam tiga perkara berikut :

1.      Pembentukan dan pembinaan.
2.      Peningkatan dan pencapaian secara bebas.
3.      Konsistensi dan kesinambungan.

Seorang pemimpin yang berkesan adalah pemimpin yang berjiwa pengajar atau ‘mu’allim’. Ringkasnya, seorang pemimpin yang berpengaruh beserta para pengikutnya mampu mewujudkan perkara-perkara berikut :

a.       Membangkitkan kemampuan.
b.      Mempertajamkan obsesi yang tinggi.
c.       Memotivasi mereka untuk terus berinovasi.

Agar pemimpin yang mempunyai karakter pengajar dapat mencapai tujuan-tujuan di atas, maka sudah semestinya ditempuh dengan beberapa cara di antaranya dengan menanamkan pada diri pengikutnya tiga perkara iaitu :

1.      Kecintaan kepada amal.
2.      Rasa bertanggungjawab.
3.      Jiwa berjamaah.

Aspek peningkatan karakteristik kepimpinan juga perlu diperhatikan. Karakteristik kepimpinan yang efektif adalah bahwa pemimpin :

a.       Mesti yakin akan tugasnya.
b.      Memiliki sasaran yang jelas.
c.       Mampu melaksanakan sasaran tersebut.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu mengenali dan memahami pengikut dan anggotanya. Pemimpin juga perlu memiliki kecekapan serta penuh inovasi.

Pergerakan untuk merubah sesebuah kebiasaan masyarakat terus dilakukan oleh berbagai jamaah, termasuk jamaah tarbawi yang menegakkan kepimpinan tarbawi.

Seiring dengan berlalunya masa, kadang-kadang sebuah idealisma itu mulai luntur kerana terlalu asyik dengan kencangnya arus dunia, samada ia mengikuti arus ataupun melawan arus. Asas yang mendasar sesebuah gerakan Islam seharusnya dapat terus diperkasakan agar gerakan tidak terlena dengan berbagai godaan dunia.

Tarbiyah memiliki asas gerakan yang boleh dikatakan cukup kukuh pada kelompok-kelompok kecil yang dinamakan “usrah” dan berbagai aktiviti lainnya yang dijadikan sebagai wasilah dalam ruang lingkup tarbiyah.

Usrah yang menjadi pencetus awal jamaah mampu berkembang pesat sejak dari zaman Imam Hasan Al Banna lagi. Seiring dengan berjalannya waktu, pergeseran idealisma dan akibatnya mulai dapat dirasakan ketika asas dasar gerakan mulai dilupakan.

Syeikh Jum’ah Amin mengingatkan melalui tulisannya “Taghyir ‘Ala Minhajun Nubuwwah” (Perubahan berdasarkan sistem kenabian) di tahun-tahun 90’an tentang perkara tersebut bahwa akan ada kesan-kesan yang timbul ketika tarbiyah sebagai sebuah idealisma gerakan mulai dilupakan. Di antara kesan-kesan tersebut adalah :

PERTAMA :  Jamaah boleh berubah dari jamaah yang berbentuk tarbawi dan haraki kepada yang hanya berasaskan politik dan pengurusan.

Ketika jamaah mulai melupakan tarbiyah, kekuasaan menjadi tujuan utama yang ingin direbut padahal dakwah memiliki tujuan yang jauh lebih tinggi dan mulia dari sekadar habuan dunia. Akibatnya, segala carapun dihalalkan untuk mencapai kekuasaan tersebut. Hanya mereka yang tidak memiliki ideologi yang jelas menginginkan kekuasaan dan berusaha mencapainya dengan segala cara.

KEDUA : Muncul ketidaksediaan para aktivis dakwah dalam menghadapi ujian-ujian yang berat.

Tabiat jalan dakwah akan dihadapkan pada ujian dan cobaan yang berat. Ketika tarbiyah tidak lagi menjadi asas kepada aktivis dakwah untuk bergerak dalam dakwah, maka boleh jadi mental dan keimanannya tidak bersedia untuk menghadapi ujian tersebut. Tarbiyah sesungguhnya menjadi wasilah untuk kembali mengisi keperluan ruhani, akal dan jasad para aktivis dakwah untuk bersiap siaga melalui jalan dakwah.

KETIGA : Harakah akan terpecah belah dan bercerai berai.

Apabila dunia yang menjadi tujuan dan ianya dikejar oleh mereka yang mulai melupakan tarbiyah, maka ia akhirnya akan membuatkan mereka terpecah belah. Kerakusan dan ketamakan akan memperkuatkan nafsu dalam hati mereka sehingga masing-masing akan berusaha untuk saling injak menginjak antara satu dengan yang lain sehingga perpecahan pun berlaku dalam jamaah.

KEEMPAT : Berlaku pergantian dari kepimpinan tarbawi kepada kepimpinan parti dan pengurusan organisasi semata-mata.

Keperibadian pemimpin dalam jamaah pada ketika itu akan dianggap tidak penting ketika tarbiyah tidak lagi dihiraukan. Kepimpinan yang lebih dihormati adalah sosok peribadi yang ada di puncak jawatan parti atau institusi. Kesibukan mengurus parti dan pengurusan institusi seraya melupakan tarbiyah itulah yang akhirnya akan membuatkan ikatan hati dengan pemimpin tarbawi menjadi lemah dan beralih kepada pemimpin parti atau institusi.

KELIMA : Tidak terwujudnya tujuan-tujuan besar yang memerlukan waktu yang panjang

Tujuan besar dakwah adalah menjadikan Islam sebagai landasan dari berbagai aspek dalam kehidupan. Di dalam tarbiyah, ianya dikenali dengan istilah ‘Ustaziyatul Alam’. Perbaikan peradaban menjadi mimpi yang seharusnya tertanam dalam pemikiran seorang muslim ketika melaksanakan setiap aktivitinya. Di saat tarbiyah sudah dilupakan, maka tujuan-tujuan jangka pendek dan hasil yang cepat akan lebih banyak dibahas dan dikejar daripada tujuan jangka panjang tersebut.

KEENAM : Boleh jadi akan mengambil wasilah-wasilah moden tanpa memperhatikan kaidah-kaidah ‘syari’yyah’ serta tidak jelas antara tujuan dan wasilah di samping meninggalkan ‘asholah’ (keaslian) dakwah dan menghilangkan ciri-ciri keimanan.

Wasilah moden merupakan alat yang dapat digunakan untuk mencapai tujuan. Inovasi teknologi yang terus berkembang juga perlu diimbangi oleh gerakan dakwah. Namun, kaidah ‘syari’ah’ merupakan perkara yang utama dan tidak boleh diabaikan demi kepentingan perkembangan wasilah dan boleh jadi gerakan dakwah akan disibukkan dengan wasilah yang ingin terus dikembangkan tanpa berfikir terhadap tujuan besar dakwah ketika tarbiyah sudah dilupakan.

KETUJUH : Tidak memberikan perhatian terhadap pewarisan dakwah dan sekadar berorientasikan kepada hasil.

Penerusan dakwah merupakan perkara yang sangat penting demi tujuan besar yang ingin dicapai. Boleh jadi kejayaan dakwah tidak dinikmati oleh generasi yang menjadi aktivis dakwah pada ketika itu, namun ianya dapat dinikmati oleh beberapa generasi selepasnya.

Oleh yang demikian, ‘taurith’ atau pewarisan risalah pergerakan dan cita-cita dakwah sepatutnya dapat difahami oleh generasi yang akan meneruskan roda pergerakan di masa yang akan datang.
Ketika tarbiyah sudah mulai dilupakan, boleh jadi generasi saat itu tidak lagi memikirkan masa depan tapi sekadar hasil yang akan dicapai pada masa itu sahaja.

Maka, fokuslah pada tarbiyah dan jangan sekali-kali lupakan tarbiyah kerana tarbiyah bukan segala-galanya tapi segala-galanya bermula dan dapat dicapai melalui tarbiyah.

KEKUATAN TARBIYAH

Sebuah jamaah yang mantap seharusnya hadir sebagai jamaah yang produktif dalam membangun sendi-sendi peradaban. Produktiviti dari sebuah jamaah salah satunya adalah disokong oleh kekuatan tarbiyah dari setiap aktivis-aktivis yang ada dalam jamaah tersebut.

Ketika keadaan tarbiyah setiap aktivis dakwah dalam sebuah jamaah mulai menjadi lemah, maka gerakan dari jamaah itu pun akan turut melemah pula sehinggakan sebuah jamaah memerlukan proses ‘tarbiyah mustamirrah’ atau tarbiyah secara berterusan.

Tarbiyah yang berterusan ini yang kemudiannya akan menjadi kekuatan asas dalam sebuah jamaah. Tarbiyah memberikan banyak peluang dan ruang untuk melahirkan banyak bidang mahupun idea-idea “segar” dalam sebuah ‘jama’ah harakiyyah’. Kesan dari sebuah proses tarbiyah memang sangat luar biasa sehingga proses tarbiyah ini perlu mendapatkan perhatian yang besar bagi setiap aktivis dakwah dalam jamaah. Adapun tarbiyah dalam sebuah jamaah terbahagi kepada dua sudut iaitu:

      PERTAMA : TALQINIYAH

  ‘Talqiniyah’ merupakan sebuah kegiatan di mana dalam kegiatan tersebut diangkat suatu permasalahan Islam yang dibahas dalam bentuk ‘halaqah’ atau ‘liqa’ tarbawi’. Ini berdasarkan kepada ayat Al Qur’an berikut :

      “Akan tetapi hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.” (QS Ali Imran : 79)

Untuk dapat memahami ajaran Islam diperlukan sebuah pengkajian yang mendalam dan berterusan sehingga kefahaman terhadap ajaran Islam tidak menjadi sebuah kefahaman yang keliru atau pun tidak menjadi sebuah kefahaman yang ‘juziyyah’.

      KEDUA : TAJRIBIYAH

     ‘Tajribiyah’ merupakan sebuah usaha pembelajaran dengan menerima pengalaman secara langsung di medan dakwah.

      Allah swt berfirman :

      “Dan bertaqwalah kepada Allah; dan Allah mengajarmu; dan Allah mengetahui segala sesuatu.” (QS Al-Baqarah : 282)

    Ilmu yang terbaik adalah ilmu yang disertai dengan amal sehingga ketika seorang aktivis dakwah dalam sebuah jamaah melalui proses ‘talqiniyah’, maka secara idealnya ia kemudiannya dapat terlibat secara aktif mengamalkan berbagai bentuk kefahamannya atas apa yang ia perolehi dari proses ‘talqiniyah’ itu sehingga kapasiti aktivis dakwah tersebut menjadi luas  dan tidak sekadar dalam bentuk teori tetapi kapasitinya pun mampu mengembang sehingga ke lapangan amal.

Tarbiyah bagi setiap aktivis dakwah dalam sebuah jamaah adalah akar bagi pergerakan jamaah itu sendiri dan di sudut lainnya, tarbiyah pun menjadi factor utama bagi tercapainya keselamatan potensi harakah.

Ada tiga unsur yang semestinya ada dalam tarbiyah :

      PERTAMA : KEKUKUHAN ASAS

    Kekukuhan asas ini ditentukan oleh kekukuhan aqidah sehingga kekuatan pergerakan jamaah sentiasa berkaitan erat dengan kekuatan aqidah kerana kekukuhan aqidah merupakan suatu perkara yang menjadi intipati dalam proses tarbiyah dan tidak boleh putus dari setiap jamaah, lebih-lebih lagi dari setiap individu atau anggota dalam sebuah jamaah.

KEDUA : TITIK TOLAK

    Sebuah proses tarbiyah ditentukan oleh kejelasan fikrah. Tarbiyah perlu meliputi kefahaman terhadap ajaran-ajaran Islam sesuai dengan yang dicontohkan oleh Rasulullah saw.

      KETIGA : CARA BERJALAN ATAU BERGERAK

      Proses tarbiyah hendaklah memiliki manhaj yang dapat dijadikan sebagai acuan atau landasan dalam melayari perjalanan dan perjuangan dakwah dengan sentiasa mengarah kepada apa yang dicontohkan oleh Rasulullah saw.

Ketiga-tiga unsur tarbiyah di atas tidak boleh diabaikan atau hanya dipenuhi salah satunya sahaja kerana jika tidak, maka potensi pergerakan jamaah tidak akan selamat. Memang ia bukan merupakan sesuatu yang mudah untuk dapat mewujudkan kesemua unsur tarbiyah di atas kerana ia adalah sebuah proses yang panjang dan di sanalah sebetulnya kita akan belajar hakikat istiqamah dalam tarbiyah.

KEPENTINGAN TSIQAH

Mungkin kita pernah mendengar para murabbi kita mengucapkan kata-kata berikut terutama kepada mutarabbi yang baru nak menapak di jalan dakwah dan tarbiyah.

"Kelak ketika kita di tengah-tengah perjalanan dakwah ini, antum akan menemui kekecewaan, maka ingatlah dengan baik bahwasanya jamaah ini adalah jamaah manusia, bukan jamaah malaikat yang sentiasa sempurna dan tidak pernah mengenal perkataan salah."

Jamaah adalah salah satu wasilah dakwah yang Allah sediakan bagi setiap hambaNya untuk membangunkan Islam. Dakwah memang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja, bila-bila masa sahaja dan dengan sesiapa sahaja. Namun, sudah tentu ketika dakwah yang panjang ini dipikul sendiri dan setiap titiannya dilalui sendiri, maka akan terasa sangat letih dan berat sehingga di sinilah jamaah itu berperanan.

Teringat sebuah pepatah Melayu yang menyebut, "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing". Pepatah yang sederhana yang mengingatkan kita akan makna berkongsi, bergotong-royong, bekerjasama dan seperti itulah sebuah jamaah tumbuh dan bergerak.

Seiring dengan berlalunya waktu, berbagai perbezaan semakin nampak bermunculan bermula dari perbezaan idea, gagasan, pemikiran bahkan hingga kepada strategi dan teknik bekerja di medan dakwah.

Jika kita keliru dalam menghadapi perbezaan-perbezaan ini, tentulah jawaban yang pasti yang kita akan perolehi adalah satu, iaitu kekecewaan.

Bagaimana tidak, sebuah perbezaan kecil yang sangat sederhana sekalipun ketika dinilai tidak sesuai dengan apa yang kita fikirkan atau apa yang kita inginkan, maka yang akan muncul kemudiannya adalah ego dan emosi yang tidak dapat dikendalikan.

Salah satu kunci penting dalam berjamaah adalah ‘tsiqah’. ‘Tsiqah’ secara bahasa ertinya adalah percaya, namun jika kita telaah dengan lebih luas, ‘tsiqah’ ini tidak berhenti hanya pada satu titik iaitu sikap percaya atau tidak hanya berhenti pada tahap percaya yang tidak memberikan ruang untuk kita belajar memahami.

‘Tsiqah’ atau percaya semestinya dibangunkan di atas asas keterbukaan, ertinya terbuka dalam hal memberikan peluang bagi para aktivis dalam sebuah jamaah untuk tetap mengembangkan idea-ideanya atau gagasan-gagasan mahupun pemikiran-pemikiran strategik untuk mengembangkan gerakerja dakwah dari sebuah jamaah.

‘Tsiqah’ juga perlu memiliki pintu yang mempersilakan aktivis-aktivis dalam sebuah jamaah untuk belajar mengerti dan memahami akan konteks jamaah bahkan jika perlu hingga ke tahap polisi yang diambil atau pun dilaksanakan dalam sebuah jamaah.

Memang bukan semua perkara atau polisi jamaah dapat dan perlu dijelaskan secara terbuka kepada aktivis-aktivis yang ada dalam jamaah, akan tetapi pola ketelusan dalam membangun kekukuhan jamaah adalah sebuah kemestian.

‘Tsiqah’ bukan "alat" untuk menutup mulut aktivis dakwah dan ia bukan pula cara yang berkesan untuk "membunuh" idea cerdas dan kreatif dari diri para aktivis dakwah, justeru ‘tsiqah’ adalah gerbang yang menentukan kukuh atau tidaknya sebuah jamaah dakwah.

Ketelusan polisi dalam sebuah jamaah tidak selalunya dipaparkan secara terperinci di hadapan para aktivisnya dan bagaimanakah kefahaman aktivis dakwah terhadap jamaah dan segala sesuatu yang ada di dalamnya dapat berkembang dengan baik tatkala aktivis itu tidak hanya sekadar tahu dan melaksanakan, tetapi ia juga berhak untuk bertanya, berpendapat bahkan mengkritik.

Tidak sedikit pihak dalam sebuah jamaah dakwah yang memberikan penegasan bahwasanya kita, para aktivis dakwah cukuplah bertanya dan tahu apa-apa yang menjadi hak kita, kita tidak usah bersusah payah menanyakan dan mencari sesuatu maklumat yang bukan menjadi hak kita.

Penegasan tersebut tentulah memerlukan suatu batasan yang jelas, kerana seorang aktivis dakwah dalam sebuah jamaah boleh sahaja mengajukan pertanyaan atau mengetahui sesuatu perkara yang menurutnya memang itu perlu ia tanyakan atau perlu ia ketahui akan tetapi jamaah melihat perkara itu sebagai sebuah kekeliruan bahkan pelanggaran. Keadaan ini tidak boleh "dihapuskan" begitu sahaja oleh jamaah dengan alasan pertanyaan itu bukan pada tempatnya atau dengan alasan kerahsiaan.

Keadaan yang sedemikian jika tidak diperbaiki ianya secara perlahan-lahan akan merosakkan kekukuhan ikatan dalaman dan gerakerja jamaah. Di sinilah posisi ‘tsiqah’ itu berperanan penting di mana, memanglah diakui bahwasanya banyak bertanya pun bukanlah suatu yang baik, namun ia tidak boleh disekat atau dibatasi untuk bertanya atau pun mengetahui sesuatu perkara, lebih-lebih lagi dalam memberi saranan atau kritikan untuk kebaikan struktur jamaah sehingga ‘tsiqah’ adalah jawaban yang dapat menjadi jambatan bagi keduanya.

Bagaimana ‘tsiqah’ ini dapat berperanan?

‘Tsiqah’ bukanlah "senjata" yang dapat digunakan untuk membuatkan aktivis dakwah tunduk tanpa tanya dan tanpa bicara. ‘Tsiqah’ memerlukan keterampilan untuk dapat diterapkan dalam diri setiap aktivis dalam sebuah jamaah dakwah.

Sekurang-kurangnya adalah berikan pemaparan dan kefahaman ketika seorang aktivis dakwah bertanya atau ingin mengetahui sesuatu perkara yang berkait dengan polisi jamaah yang sifatnya rahsia ataupun tidak. Berikan kesempatan untuk seorang aktivis itu berbicara, memberikan saranan atau pun kritikan untuk jamaahnya, kerana bukankah jamaah ini bukan jamaah malaikat? Saranan dan kritikan pada dasarnya dapat menjadi gerbang pengukuhan jamaah jika ianya direspon dengan baik manakala saranan serta kritikan pun boleh menjadi ancaman bagi kekukuhan jamaah ketika ia direspon dengan negatif.

Kekecewaan aktivis dakwah terhadap jamaah boleh jadi lahir bukan sekadar kerana ego atau pun emosinya, bukan sekadar berlaku kerana ia dinilai tidak ‘tsiqah’, bukan pula perkara ini jamaah manusia atau ini jamaah malaikat, bukan sekadar berlaku kerana perkara amanah dan agenda, akan tetapi kekecewaan itu justeru boleh bermula dari tidak jelasnya konteks ‘tsiqah’ yang selama ini sentiasa ditanamkan dalam diri setiap aktivis dakwah, penanaman ‘tsiqah’ yang tidak memberikan ruang bagi aktivis dakwah untuk melakukan apapun, lebih-lebih lagi melakukan suatu perkara yang dinilai menyimpang dari peraturan yang sepatutnya dalam jamaah.

Ketika dikatakan bahwa ini bukanlah jamaah malaikat yang selalu sempurna dan tidak pernah salah, maka jawabannya kini adalah justeru kerana ini adalah jamaah manusia, maka berikanlah sedikit ruang untuk manusia dalam jamaah itu "bernafas" dan tidak dengan diam, justeru kerana ini jamaah manusia maka para aktivis dakwah di dalamnya perlu diberi keizinan untuk ‘tsiqah’ pada perkara yang sepatutnya.

JADILAH BATU BATA YANG BERMANFAAT

Ibarat sebuah longgokan batu bata yang tersusun rapi antara satu sama lain, saling mengisi setiap ruang kecil yang berlubang, hingga kemudiannya menjadi sebuah asas bangunan yang kukuh.

Seperti itulah gambaran amalan jama'ie. Setiap dari diri kita dituntut untuk kemudiannya dapat mengisi setiap bahagian yang belum terisi atau melengkapi setiap sudut dakwah yang memerlukan kekuatan yang lebih. Setiap sudut-sudut yang terisi itu pada dasarnya saling berkaitan antara satu sama lain dan tidak menjadi asas bangunan yang terpisah bersendirian.

Dalam susunan batu bata itu tidak ada yang lebih rendah mahupun yang lebih tinggi, kerana setiap satu batu bata itu memiliki peranan dan tugasnya masing-masing. Tidak akan kuat susunan batu bata itu jika ada satu bahagian sudut yang kosong. Tumpukan atas tidak akan kuat tanpa asas batu bata yang ada di bawah. Begitu juga tumpukan batu bata yang di bawah tidak akan bererti tanpa tumpukan batu bata yang ada di atasnya. Begitupun batu bata yang di sudut-sudut ataupun di tengah-tengah, tidak akan wujud tanpa asas di bahagian atas dan bawah.

Seperti itulah gambaran paling sederhana dari sebuah amal jama'ie. Ertinya, bukan posisi struktur yang kita cari dalam dakwah, tetapi bagaimana kita menempatkan diri untuk kemudiannya dapat memberikan sumbangan dalam dakwah ini walau sekecil apapun itu dan sekalipun tanpa posisi struktur.

Lantas jangan kita berbangga dengan posisi struktur yang kita miliki dalam amal jama'ie ini, dan jangan pula bersedih hati jika kita tidak miliki posisi struktur itu kerana struktur hanya salah satu dari sekian banyak wasilah dakwah.

Fokus seorang aktivis dakwah tidaklah terhenti pada orientasi struktur, akan tetapi fokusnya adalah ridha Allah dan tegaknya Islam dengan atau tanpa adanya posisi struktur itu.

Begitulah, batu bata itu tidak pernah buat 'protes' ketika ditempatkan di manapun, atas, tengah, sisi atau bawah sekalipun. Bahkan ia tidak pernah 'protes' ketika ia ditempatkan pada susunan asas yang lain atau tidak digunakan sama sekali. Batu bata yang kuat dan berkualiti, meskipun tidak ditempatkan pada suatu asas bangunan mewah, tapi ia kemudiannya akan memberikan manfaat pada asas bangunan yang lainnya.

Sesungguhnya pemimpin dan kepimpinan merupakan dua elemen yang saling berkaitan. Ertinya, kepimpinan (style of the leader) merupakan cerminan dari karakter atau perilaku pemimpinnya (leader behavior).

Perpaduan atau sintesis antara “leader behavior dengan leader style” merupakan kunci kejayaan pengelolaan organisasi / jamaah atau dalam skala yang lebih luas merangkumi pengelolaan daerah, negeri, wilayah dan bahkan negara.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami seorang pemimpin yang soleh yang mengangkat  kepimpinan tarbawi dalam melakarkan peta strategi dakwah di samping merancang dan melaksanakan berasaskan amal jamai’e yang mampu menggembeling semua tenaga dan unsur-unsur yang baik bagi memastikan laungan kalimahMu tetap nyaring dan berkumandang tinggi.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS


Labels: Fikrah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
View mobile version
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
    Rijalud dakwah adalah seseorang yang telah di tarbiyah secara intensif sehingga memiliki persediaan untuk berjuang dan berkorban di jal...
  • Surah Yang Menjadi Pembela
    Allah swt telah menurunkan kepada kita Al Qur’an sebagai : a.        Cahaya. b.       Rahmat. c.        Ubat dari penyakit hati dan...
  • Tegakkan Ketakutan Kepada Allah
    Martabat manusia ditentukan oleh akhlaknya. Kematangan sikap dan peribadi bermula dari rumah tangga. Menanamkan sikap yang jujur dan memben...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ▼  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ▼  February (3)
      • Pemimpin Gear 5
      • Pengurusan Minda Positif
      • Kepimpinan Tarbawi Berstrategi
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger