skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Wednesday, 15 August 2012

Munajat Di Penghujung Ramadhan

Ditulis Oleh WAS Pada 03:33 – 4 Komen Anda
 

Perjalanan Ramadhan pada tahun ini kini telah sampai ke penghujungnya di mana apabila  matahari tenggelam pada 29 Ramadhan, langit senja pun beransur-ansur menjadi gelap lalu takbir mulai menggema, tanda azan Maghrib telah berkumandang dan Syawal bakal menyambut kita.

Entah, mungkinkah tahun hadapan kita masih menjumpainya. Namun, yang patut kita renungi, apakah yang telah kita perbuat pada Ramadhan kali ini?

Di saat masjid-masjid saling bersahutan laungan takbir, sepatutnya kita duduk merenung, menyesali atau bahkan menangisi kelalaian kita.

Ramadhan seolah-olah berlalu tanpa kita dapat berbuat lebih banyak untuk mengisinya dengan amal kebaikan.

Adakah kita akan merayakan kemenangan sejati pada hari yang fitrah, ataukah kita kecundang kerana kita meraih kemenangan tanpa ikut penat lelah berperang melawan hawa nafsu kita.

Penyesalan, adalah perkataan terakhir yang biasa terucap dari lisan kita tatkala kita mengalami kegagalan.

Ternyata, semangat kita hanya mampu berkobar pada permulaannya. Kobarannya kian padam, seiring berlalunya hari demi hari di bulan Ramadhan. Masjid yang pada awal Ramadhan teramat sesak, namun kembali menerima nasibnya sebagaimana pada bulan-bulan biasa iaitu ditinggalkan dan mungkin akan kembali sepi.

Saat kekasih kita akan pergi, bagaimanakah perasaan kita?
Kita tahu bahwa hari ini adalah saat terakhir kita bersamanya di mana dalam sekejap masa sahaja ia akan meninggalkan kita.
Bagaimana perasaan kita?
Apalagi jika kita sedar, saat-saat bersamanya, kita bahkan menyia-nyiakannya dan kini, kita sedar, tidak ada waktu terbaik yang melebihi bersamanya. Ia begitu bermakna dan tidak mampu digantikan lagi kerana ia akan pergi.
Memang ada janji yang ia akan kembali; satu tahun lagi, namun, bukankah itu terlalu lama?
Kita juga belum tentu dapat bertemu dengannya ketika itu. Siapakah yang menjamin kita berumur panjang sampai ke saat itu?
Bagaimana perasaan kita?

Ramadhan bagi orang yang beriman, hari ini, akan terasa sama seperti kekasih, bahkan lebih hebat dari itu.

  1. Inilah yang membuatkan para sahabat menangis di akhir Ramadhan.
  2. Inilah yang membuatkan para ulama’ menitiskan air mata lebih banyak dari tinta yang mereka gunakan untuk menulis kitab-kitab.
  3. Inilah yang membuatkan para mujahidin juga semakin kuat tangisan mereka, sebagaimana pernah meluncur deras darah mereka, mengalir kerana tebasan pedang atau tusukan panah di jalan Allah swt.
Kita mungkin telah menyia-nyiakan Ramadhan sementara kita telah berikrar untuk mencintainya.

Bahagiakah kita setelah perjalanannya telah berakhir?

Merasa bebaskah kita ketika ia akan pergi?

Jika begitu perasaannya, maka cinta kita bukanlah cinta sejati. Kita bahkan mengalami penurunan jejak keimanan dari hari ke hari bersamanya. Memang ketika ia datang, iman kita memuncak serta menyambutnya seperti orang jatuh cinta, maka, masjid pun penuh!

Namun hari-hari berikutnya saf solat jamaah kian mengalami kemerosotan. Semakin banyaknya tumbuh gerai-gerai dan pusat perniagaan bersamaan dengan semakin sepinya masjid adalah bukti lain.

Masjid mulai menjadi sepi dan tiada lagi riuh lantunan Al-Qur’an dari para jamaah sehinggakan kita perlu menggantikannya dengan alunan pita rakaman.

Demikian tragisnya suasana Ramadhan kita dan ianya tidak pernah berubah dari masa ke semasa di mana Ramadhan kita sentiasa kekeringan makna, mendatar dan tidak ada perubahan yang signifikan. Kesesakan justeru berlaku di tempat yang lain, di pasaraya dan  di kompleks perniagaan.
  1. Fikiran kita tidak lagi sibuk dengan lantunan zikir, namun disibukkan oleh pengeluaran-pengeluaran yang mesti disiapkan pada hari perayaan.
  2. Kita tidak lagi fokus pada lembaran-lembaran Al-Qur’an, namun justeru disibukkan dengan lembaran-lembaran ringgit.
  3. Kita tidak lagi sibuk untuk memperbaharui hati kita, akan tetapi kita justeru sibuk mempersiapkan pakaian baru untuk Hari Raya.
Inilah Ramadhan kita, sepi dari makna rohani. Hari raya pun tidak ubah seperti pesta kemeriahan sambil menghambur-hamburkan wang.

Kita sebenarnya telah terseret pada arus kebendaan, berputar hanya pada wang, pakaian dan makanan dalam memberi makna kepada hari raya. Hari raya tidak lagi menyentuh hakikat yang sesungguhnya, iaitu perayaan bagi para pemenang sejati yang telah berlumba-lumba menuai kebaikan selama sebulan Ramadhan.

Mungkin kita tidak separah itu, namun yang pasti, ia akan pergi.

  1. Pergi bersama segala keutamaannya.
  2. Pergi bersama segala keistimewaannya.
  3. Pergi bersama segala keberkatannya.
Kecintaan kita padanya akan terbukti saat kita menjadi lebih baik setelah kepergiannya. Ia akan senang dan merindukan kita kerana kualiti keperibadian kita meningkat di mana kita lebih dekat dengan Pencipta kita.

Ramadhan sebentar lagi akan meninggalkan kita. Masih adakah waktu untuk kita berbuat yang terbaik untuk Ramadhan kita kali ini?

Bahkan, di akhir Ramadhan inilah saat yang terbaik bagi kita untuk meraih banyak kebaikan dan tidak perlu lagi kita berandai-andai untuk bertemu Ramadhan di tahun yang akan datang.

Janganlah biarkan fikiran kita dihinggapi oleh kemungkinan-kemungkinan akan masa depan yang tidak pasti. 

Kita perlu berfikiran realistik bahwa pada hari ini kita masih hidup dan kita masih mampu berbuat sesuatu sehingga kita dapat memanfaatkan waktu yang masih kita miliki dengan sebaik-baiknya.

Berangan-angan serta mengharapkan masa depan hadir pada kita, justeru menjadikan kita sentiasa menunda-nunda amal kebaikan.

Di waktu yang tersisa ini, jangan biarkan kita larut dalam gegap gempita persiapan hari raya.
  1. Patutkah kita menyesal dan tidak memanfaatkan Ramadhan kali ini dengan perjuangan ibadah yang terbaik?
  2. Patutkah kita mencela diri sendiri kerana lalai dan terbuai oleh harapan-harapan kosong akan bertemu Ramadhan tahun depan?
  3. Patutkah kelak kita menangis kerana kehilangan masa-masa yang penuh berkah dan rahmat seperti Ramadhan kali ini?
Kesempatan memang kadang-kadang boleh muncul beberapa kali, namun tidak semua dari kita memiliki keberuntungan seperti itu.

Kita seharusnya merenung, sudah berapa kalikah kita bertemu Ramadhan dan telah kesekian kalinya kita kembali menyia-nyiakannya.

Jika telah berlaku kesekian kalinya penyiaan waktu ini, lalu mengapa kita perlu ulangi lagi pada saat ini.

Maka, tidak terlalu lambat untuk kita :
  1. Hirup dalam-dalam udara malam-malamnya.
  2. Hirup dalam-dalam udara sahurnya.
Kita kini sedang berada pada hari-hari perpisahan yang sangat memilukan.
  1. Perpisahan dengan bulan mulia yang telah hadir bersama seluruh keindahan dan keistimewaannya bersama kita.
  2. Perpisahan dengan bulan yang paling dirindui yang keutamaannya tidak dapat dikalahkan oleh apapun yang terindah dalam hidup ini.
Jika Rasulullah saw bersabda :

"Barang siapa melakukan satu ibadah sunnah dalam bulan Ramadhan, maka ia seperti orang yang melakukan ibadah wajib di bulan selain Ramadhan. Dan barang siapa yang melakukan ibadah wajib di bulan Ramadhan maka ia seperti orang yang melaksanakan 70 ibadah wajib di selain bulan Ramadhan". (HR Ibnu Khuzaimah)

Maka, berpisah dengan bulan ini bererti kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat kali ganda.

Jika Rasulullah saw bersabda :

"Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah." (HR Bukhari dan Muslim)

Maka, perpisahan dengan bulan ini, bererti terhapusnya dua momentum kegembiraan di kala berbuka puasa itu.

Jika Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa yang berpuasa kerana keimanan dan semata-mata mengharap pahala, niscaya diampuni dosanya yang telah lalu. (HR Bukhari dan Muslim)

Maka, perpisahan dengan bulan ini bererti hilangnya kesempatan kita untuk memperolehi keampunan Allah swt terhadap dosa-dosa kita yang menggunung.

Jika Rasululah saw bersabda :

"Barangsiapa yang menunaikan Qiyamullail pada bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, niscaya akan diampuni dosa-dosa-nya yang telah lalu." (HR Bukhari dan Muslim)

Maka selesainya kebersamaan kita dengan bulan Ramadhan adalah petanda lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan di atas dosa dan kekhilafan yang kita sudah tenggelam di dalamnya.

Jika Rasulullah saw bersabda :

“Siapa sahaja yang solat tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat semalam suntuk.” (HR Abu Dawud, At-Tirmizi, An-Nasai’e dan Ibnu Majah)

Lalu bagaimana dengan kualiti ibadah solat tarawih yang sudah kita lakukan?

Perpisahan dengan bulan suci ini bererti juga kita akan kehilangan pahala solat tarawih iaitu kehilangan pahala semalam suntuk. 

Apabila Ramadhan berlalu, ia bererti kita pun kehilangan kesempatan agung untuk memperolehi barakah istimewa dari membaca Al Qur’an di bulan ini.

Jika Allah swt berfirman :

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.” (QS Al-Qadr : 1-3).

Rasulullah saw sentiasa mencari malam Al Qadr dan memerintahkan sahabat untuk mencarinya.

Baginda membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapatkan Lailatul Qadr.

Dalam Musnad Imam Ahmad, dari Ubadah, Rasulullah saw bersabda:

"Barangsiapa yang bangun sebagai usaha untuk mendapat Lailatul Qadr, lalu ia benar-benar mendapatkannya, niscaya akan diampuni dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang."

Jika kaum salaf dari kalangan sahabat dan tabiin mandi dan memakai minyak wangi pada sepuluh malam terakhir untuk mencari Lailatul Qadr, malam yang telah  dimuliakan dan diangkat darjatnya oleh Allah, maka perginya bulan ini dari sisi kita, bererti terlepasnya kesempatan yang tidak pernah terbayar dalam seluruh hidup kita sekalipun.

Ia bererti, lenyapnya kesempatan kita untuk memperolehi keuntungan 1000 bulan yang sangat jauh lebih lama berbanding dengan usia kita sendiri.

Allah telah memberi keistimewaan pada bulan Ramadhan agar kita bersemangat dalam meningkatkan darjat ketaqwaan kita. Anugerah yang besar ini, tentunya tidak patut untuk disia-siakan.

Kita sepatutnya merasa seperti orang yang kelaparan, bersemangat dalam menyantap hidangan pahala yang Allah sajikan di bulan yang penuh berkah ini.

Kita juga sepatutnya beraksi sebagaimana para pendaki gunung kerana bersemangat untuk menawan puncaknya.

Ini adalah kerana puncak gunung menyajikan panorama alam yang teramat mempesonakan di mana keletihan, titisan keringat dan cuaca dingin tidak lagi dipedulikan. Bahkan godaan untuk menyerah kalah pun diabaikan serta semangat terus berkobar demi meraih puncak gunung.

Namun, akan sentiasa ada orang-orang yang lemah dan putus asa dalam setiap pendakian. Hanya mereka yang memiliki tekad yang kuat yang mampu menggapai puncaknya. Ketika ia telah mencapai puncaknya, maka keletihan yang menggigit dirinyapun hilang seketika.

Puncak Ramadhan, tentulah hari raya. Setelah keletihan selama kita beribadah pada bulan Ramadhan, kita pun akhirnya akan merasakan kebahagiaan pada perayaan hari raya, perayaan bagi pendaki-pendaki sejati.

Kita pun ingin kembali merasakan semangat ibadah yang berkobar serta ingin mengulangi saat-saat itu lagi kerana ibadah yang kita lakukan bukan lagi berbentuk suatu paksaan, akan tetapi telah bertukar menjadi suatu kenikmatan.

Oleh yang demikian :
  1. Jangan sia-siakan detik detik perpisahan ini.
  2. Rasakan benar-benar kehadiran kita di sini, di bulan ini.
  3. Lantunkan zikir, tilawah Al Qur’an, munajat, permohonan ampun di sini.
  4. Buanglah kepenatan, hilangkan rasa letih, dan paksalah diri ini hanya untuk hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan yang penuh kemuliaan.
Kejarlah segala yang terluput dari diri kita sebelum ini dan jangan ditunda-tunda lagi dalam kita memberikan yang terbaik untuk Ramadhan kita kali ini.

Menangislah!!!  kerana kita pun semestinya akan berpisah dengan bulan ini.

Ya Allah, kurniankanlah kepada kami malam Al Qadr yang akan menjadi wasilah untuk kami mendapat keampunan dariMu dari segala dosa-dosa samada yang besar atau kecil, yang awal dan akhir, yang terang dan tersembunyi dan panjangkanlah umur kami sehingga kami dapat bertemu lagi di bulan Ramadhan yang akan datang.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Labels: Tausiyah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

4 Responses so far.

  1. Unknown says:
    15 August 2012 at 03:44

    izin copy paste ya,...

  2. WAS says:
    15 August 2012 at 07:34

    Silakan...semoga bermanfaat, insyaallah.

  3. MESIN PABRIK KELAPA SAWIT says:
    4 July 2016 at 04:14

    Sajian yg bagus. Dari tanah suci sy mendo'akan agar anda tetap d beri kesehatan supaya bisa menulis yang lebih banyak lg, Salam Hussaini - Makkah al Mukarromah al Haram KSA 4july2016

  4. Mad-Art says:
    13 June 2018 at 19:28

    Assalamualaikum..mohon izin share..untuk disampaikan kepada jemaah..semoga bermanfaat dan menjadi amalan

Leave a Reply

Newer Post Older Post
View mobile version
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
    Rijalud dakwah adalah seseorang yang telah di tarbiyah secara intensif sehingga memiliki persediaan untuk berjuang dan berkorban di jal...
  • Surah Yang Menjadi Pembela
    Allah swt telah menurunkan kepada kita Al Qur’an sebagai : a.        Cahaya. b.       Rahmat. c.        Ubat dari penyakit hati dan...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ▼  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ▼  August (6)
      • Tetap Tawadhu' Di Jalan Dakwah
      • Asas Kesejahteraan Aqidah
      • Aidilfitri Menyerlahkan Sejuta Makna
      • Munajat Di Penghujung Ramadhan
      • Semangat Pencarian Lailatul Qadr
      • Ramadhan Bulan Penerimaan Doa
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger