Wahai saudari muslimah, pernahkah terdetik dalam benakmu sebuah pertanyaan yang penting :
Apakah ciri-ciri muslimah yang ideal itu?
Jawaban dari pertanyaan ini dapat kita temui di antaranya dari lembaran sejarah generasi unggul, para muslimah graduan madrasah kenabian seperti Asma binti Abu Bakar, Fatimah binti Khattab, Sumayyah, Asma binti Umais, Shafiyah binti Abdul Muthalib, Asy-Syifa’ binti Abdullah, Asma’ binti Yazid dan lain-lain lagi.
Madrasah kenabian telah melahirkan generasi unggul dalam sudut :
a. Akhlak.
b. Prestasi.
c. Kemulian.
Para alumninya terbentuk menjadi manusia-manusia teladan sepanjang zaman dengan ciri-cirinya yang unik samada dari kalangan lelaki ataupun perempuan.
Mereka laksana bintang-bintang di langit, mengukir dunia dengan :
1. Keimanan.
2. Keteguhan.
3. Semangat.
4. Ilmu.
5. Pengabdiannya pada kebenaran Islam.
Allah swt berfirman tentang mereka:
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (QS Ali Imran 3: 110)
“Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS At-Taubah : 71)
Di antara sifat dan keteladanan yang ditunjukkan oleh para sahabiyah yang perlu kita contohi adalah :
KESABARAN MEREKA DALAM MENDUKUNG DAKWAH
Pertama : Asma’ binti Abu Bakar
Kita tentu mengetahui Asma’ binti Abu Bakar yang diberi julukan oleh Nabi sebagai “Zaatun nithaqoin” (Pemilik dua tali pinggang), kerana dia telah membelah tali pinggangnya menjadi dua bahagian untuk membawa dan menyembunyikan makanan dan minuman yang akan dihantarkannya kepada Rasulullah saw bersama Abu Bakar ke gua Thur pada hari hijrahnya.
Asma’ pernah merasakan penyiksaan dari musuh Allah, Abu Jahl yang datang kepadanya untuk menanyakan tempat persembunyian ayahnya. Namun Asma’ memilih untuk tutup mulut sehingga hal itu membuat Abu Jahl begitu marah lalu menempelengnya dengan keras hingga anting-anting Asma’ tercabut dari telinganya.
Kedua : Ummu Hakim
Selain itu, sejarah mencatat wanita mulia lainnya iaitu Ummu Hakim. Ia rela menempuh perjalanan panjang dengan sedikit bekalan, bertujuan untuk menyusul suaminya Ikrimah bin Abu Jahl yang melarikan diri selepas pembukaan Makkah. Atas kehendak Allah, ia dapat bertemu suaminya yang ketika itu sudah sampai di pantai dan bersiap-siap untuk naik kapal.
Ummu Hakim mengajak suaminya agar masuk Islam, ia jelaskan kesempurnaan Islam dan keluhuran budi Rasulullah saw sehingga tumbuhlah benih-benih kebaikan dalam jiwa Ikrimah.
Ketiga : Ummu Syarik
Adakah kita tahu kisah Ummu Syarik? Sejak iman telah merasuk ke dalam hatinya dan menyedari kewajiban agamanya yang lurus, dia pun mengisi hidupnya untuk menyebarkan dakwah tauhid.
Dia memulakan dakwahnya dengan mendatangi para wanita Quraisy secara sembunyi-sembunyi. Setelah melakukan dakwah secara rahsia beberapa lama, penduduk Makkah kemudian menangkapnya dan menyerahkan beliau kepada keluarganya.
Ummu Syarik kemudian disiksa oleh keluarganya dengan cara dijemur di bawah panas terik matahari selama tiga hari dan dipaksa meninggalkan Islam. Dalam keadaan kepayahan, di mana fikiran, pendengaran dan penglihatannya seolah-olah telah hilang, ia hanya mampu menjawabnya dengan isyarat jari ke langit sebagai ungkapan tauhid.
Dalam keadaan seperti itu, Allah menurunkan karamahnya iaitu tiba-tiba Ummu Syarik melihat ada satu timba yang turun dari langit berisi air sejuk tergantung di hadapannya hingga ia boleh minum sampai puas dan menyiramkan air itu ke atas kepala, wajah, dan pakaiannya.
KESABARAN MENGHADAPI KESULITAN HIDUP
Sifat dan keteladanan dalam menghadapi kesulitan hidup ditunjukkan oleh Asma’ binti Abu Bakar yang sabar hidup serba kekurangan bersama suaminya Az Zubair Ibni Al Awwam. Ia rela membantu pekerjaan suaminya merawat kuda dan memasak. Ia biasa menjunjung kurma di atas kepalanya dari kebun yang jaraknya sejauh 2/3 farsakh dari rumahnya (1 farsakh lebih kurang 8 km).
MEMILIKI KETERAMPILAN
Wanita-wanita alumni madrasah kenabian bukanlah wanita-wanita yang pasif bahkan mereka memiliki bidang keahlian atau keterampilan hidup yang sesuai dengan zamannya.
a. Ummu Kaltsum memiliki keterampilan perbidanan.
b. Shafiyah binti Abdul Muthalib dikenali sebagai wanita yang pandai bersyair. Dia pun sering terlibat dalam peperangan untuk mengubati pasukan yang terluka bersama muslimah lainnya seperti Asma’ binti Yazid, Ummu Sulaim, Ummu Haram dll.
c. Asy-Syifa’ binti Abdullah adalah wanita yang pandai menulis dan mampu mengajarkannya kepada para muslimah-muslimah lain.
AKTIF TERLIBAT DALAM JIHAD FI SABILILLAH
Pada zaman Nabi, bukan hanya kaum lelaki sahaja yang terjun ke medan jihad. Para wanita pun turut sama di dalamnya sesuai dengan kemampuan mereka.
Shafiyah binti Abdul Muthalib turut serta dalam perang Uhud, Khandaq dan Khaibar sebagai pengobar semangat dan merawat mereka yang terluka. Bahkan dalam Perang Khandaq ia berhasil membunuh seorang Yahudi yang mengintai dan mengancam keselamatan para wanita di Madinah. Hal ini dilakukannya setelah Hasan bin Tsabit merasa enggan melakukannya.
Masih ada lagi sederet senarai nama para wanita muslimah yang terlibat dalam jihad fi sabilillah:
1. Asma’ binti Yazid terjun di perang Yarmuk dan berhasil membunuh 9 orang tentera Romawi.
2. Ummu Haram binti Milhan turut serta dalam perang Cyprus dan gugur dalam perjalanan pulang.
3. Ummu Hakim binti Al-Harits terlibat dalam pertempuran di Marjus Shafar dan berhasil membunuh 7 orang tentera Romawi sebelum beliau mati syahid.
4. Ummu Umarah (Nasibah binti Ka’ab) turut serta dalam perang Uhud dan mendapatkan 13 liang luka manakala dalam peperangan bagi menumpaskan Musailamah Al-Kazzab dan pengikutnya ia mendapat 12 liang luka.
BERILMU
Aktiviti belajar dan mengajar adalah aktiviti yang juga digemari oleh para sahabiyah sehingga mereka menjadi orang-orang yang berilmu.
a. Pada masa-masa awal Islam, Fatimah binti Khattab bersama suaminya Sa’id bin Zaid belajar Al-Qur’an kepada Khabbab bin ‘Araat.
b. Asma’ binti Yazid adalah sahabiyah yang dikenali rajin menyimak hadits-hadits Nabi dan paling berani bertanya tentang masalah-masalah agama. Ia juga sering dijadikan duta kaum wanita untuk bertanya kepada Nabi. Di antara perkara yang pernah ditanyakannya pada Nabi adalah masalah jihad bagi kaum wanita.
c. Ummu Waraqah adalah penghafal Al Qur’an yang baik bacaannya dan sebab itu ia diangkat oleh Nabi menjadi imam bagi kaum wanita.
d. Asy-Syifa’ binti Abdullah selain pandai menulis ia pun banyak belajar hadits dan sering diminta pendapat oleh Khalifah Umar bin Al Khattab dalam berbagai persoalan. Bahkan pada masa kekhalifahan Umar, Asy-Syifa’ binti Abdullah diangkat menjadi pengurus pasar Madinah.
e. Rubayyi’ binti Muawwidz adalah adalah salah seorang muslimah yang menjadi rujukan para sahabat veteran dalam masalah hadits-hadits Nabi.
BERANI MENUNTUT KEADILAN
Sikap dan keteladanan dalam hal ini ditunjukkan oleh Khuwailah binti Tsa’labah yang terkenal dengan peristiwa Zihar yang menyebabkan turunnya permulaan surah Al-Mujadilah.
MENJADI PASANGAN SUAMI YANG BAIK DALAM RUMAHTANGGA
Sebelumnya sudah disebutkan, bahwa Asma’ binti Abu Bakar biasa turut membantu pekerjaan rumah tangga seperti :
1. Memberi makan kuda.
2. Menumbuk kurma.
3. Mengambil air.
4. Memasak roti.
5. Mengangkut kurma.
Semuanya itu dilakukannnya dengan sabar atas dasar keimanan dan ketaatan pada Allah swt.
Contoh kedua adalah Ummu Sulaim yang mampu menjadi penyeimbang suaminya, Abu Thalhah dalam menghadapi musibah. Kisahnya yang terkenal adalah ketika anak mereka yang masih kecil, Abu Umair, meninggal dunia kerana sakit.
Ummu Sulaim menghadapi kematian anaknya dengan sabar dan ridha. Ia kemudian meminta kepada keluarganya untuk tidak memberitahukan terlebih dahulu berita kematian Abu Umair kepada Abu Thalhah yang sangat menyayanginya.
Ketika Abu Thalhah pulang dan bertanya keadaan Abu Umair, Ummu Sulaim menjawab :
“Dia lebih tenang daripada sebelumnya.”
Abu Thalhah merasa gembira kerana mengira anaknya sudah sembuh. Ummu Sulaim kemudian menghidangkan makan malam yang lazat, setelah itu ia bersolek melebihi kebiasaannya dengan memakai pakaian, perhiasan dan wangi-wangian yang terbaik hingga Abu Thalhah tertarik kepadanya.
Ummu Sulaim melakukan itu kerana tidak ingin melihat suaminya bersedih. Dia ingin agar suaminya tidur nyenyak.
Barulah di akhir malam ia bertanya pada suaminya :
“Wahai Abu Thalhah, bagaimana pendapatmu apabila suatu kaum meminjamkan sesuatu kepada suatu keluarga, lalu kaum itu meminta kembali pinjamannya. Bolehkah keluarga tadi menahannya?”
Abu Thalhah menjawab : “Tentu sahaja tidak boleh.”.
Ummu Sulaim bertanya lagi: “Apa pendapatmu jika keluarga itu sangat keberatan untuk diminta mengembalikan pinjaman tersebut setelah mereka begitu enak memanfaatkannya.”
Abu Thalhah kemudian berkata : “Tidak, menahan sebahagiannya pun tentu tidak boleh.”
Ummu Sulaim berkata : “Sesungguhnya anakmu adalah pemberian Allah dan kini Allah telah mengambilnya, maka relakanlah anakmu.”
Dalam hal ini, Ummu Sulaim telah mengajarkan kepada setiap pasangan hidup bahwa sebagai suami isteri hendaknya mereka saling menyokong dan menguatkan dalam menghadapi suka duka kehidupan.
Jangan lupa, menjadi pasangan yang baik itu bukan hanya dalam hal pekerjaan rumah tangga atau dalam hal menghadapi peristiwa-peristiwa penting dalam kehidupan keluarga semata-mata.
Bahkan dalam perkara yang dianggap biasa sekali pun, misalnya dalam hal hubungan intim kedua pasangan sekalipun, kita mesti berusaha memposisikan diri kita menjadi pasangan yang baik.
Hal ini dicontohkan oleh Asma’ binti Umais yang pandai menyenangkan suaminya dalam hal menikmati kehidupan seksual sehingga suaminya, Ali bin Abu Talib pernah berkata :
“Kamu keliru jika beranggapan bahwa tidak ada perempuan yang syahwatnya bergelora. Tidak ada perempuan yang mempunyai sifat demikian, selain Asma’ binti Umais.”
Ya Allah, berilah kemudahan kepada muslimah kami supaya mereka mampu meneladani wanita-wanita mulia salafus soleh serta menjadi muslimah-muslimah yang benar-benar mempunyai keunggulan dan menjadi contoh tauladan kepada wanita-wanita lain.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS