Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawasanya tarbiyah adalah bidang yang sangat penting dalam menentukan keberkesanan hala tuju sesebuah jamaah dakwah.
Jika sudut tarbiyah ini semakin terhakis, maka sudah tentu akan berlaku pertentangan antara pendakwah dengan manhaj asal jamaah dakwah tersebut.
Malah, tanpa tarbiyah dan ‘Tazkiyyah An-Nufus’, sesuatu jamaah dakwah tersebut tidak akan mampu memberi penyelesaian kepada masaalah dalam masyarakat, malah kemungkinan ia akan menjadi penyakit baru pula dalam masyarakat.
TARBIYAH RUHIYYAH DAN IMANIYYAH ADALAH INTIPATI HAKIKAT KESUFIAN (HAQIQAH SUFIYYAH)
Sejak awal penubuhan ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’, Imam Hasan Al-Banna menerapkan intipati asas yang telah lama menjadi intipati utama manhaj dakwah ‘sufiyyah’ iaitulah “Tarbiyyah Ruhiyyah” sebelum perlaksanaan agenda yang lain.
Tumpuan utama diberikan dalam :
- Pembentukan keimanan yang murni.
- Sudut kesempurnaan rohani.
Ini adalah kerana keduanya merupakan aset terpenting dalam menjayakan usaha dakwah dalam pelbagai sudut kehidupan yang lain.
Hala tuju ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ yang menumpukan tarbiyah sebagai asas bagi pembentukan kekuatan dalam jamaah adalah juga menjadi hala tuju ‘tariqat-tariqat sufiyyah muhaqqiqin’ (yang berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah) sejak zaman berzaman.
Maka, persamaan dari sudut keutamaan dalam manhaj dakwah menyebabkan Imam Hasan Al-Banna tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan sudut kesufian yang mendominasi dalam ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’.
Malah, Imam Hasan Al-Banna memastikan sudut tasawwuf dalam ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ adalah tasawwuf yang murni dari sebarang penyelewengan yang dilakukan oleh sesetengah orang-orang awam yang menisbahkan diri kepada kaum sufi.
Oleh kerana aspek tarbiyah adalah aspek yang paling utama dalam ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’, sebagaimana dalam manhaj dakwah ‘sufiyyah’, maka beliau lebih cenderung menggunakan istilah ‘Mursyid’ bagi kepimpinan dalam ‘Al-Ikhwan’ kerana ianya lebih merujuk kepada “pembimbing” (murabbi) berbanding “pemimpin” (ra’is). Istilah ini juga diambil daripada tradisi manhaj dakwah ‘sufiyyah’.
Dr. Yusuf Al-Qardhawi turut menjelaskan perkara yang hampir serupa ketika membandingkan ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ dengan ‘Al-Jamaah Al-Islamiyyah’ di India yang diasaskan oleh Abu Al-‘Ala Al-Maududi.
Beliau berkata dalam kitabnya ‘Ummatuna Baina Qarnain’ :
“Sebenarnya, tiada beza dari sudut tujuan-tujuan antara ‘Al-Ikhwan’ dan ‘Al-Jama’ah’ melainkan ‘Al-Ikhwan’ lebih mementingkan sudut tarbiyah sedangkan ‘Al-Jama’ah’ lebih menumpukan sudut pemikiran. Maka, pengaruh perkembangan rohani lebih kuat dalam ‘Al-Ikhwan’… Maka, Al-Maududi lebih sebagai seorang ahli pemikir berbanding seorang murabbi sedangkan Al-Banna lebih sebagai seorang murabbi berbanding seorang ahli pemikir.”
Sa’id Hawwa merupakan antara tokoh ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ yang sangat positif dalam menerapkan seberapa banyak unsur kesufian hakiki ke dalam ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ khususnya melalui kitab beliau ‘Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah’.
Dakwah kaum sufi yang asas adalah mengajak manusia kepada merealisasikan perhambaan diri kepada Allah swt dengan mengenali hakikat perhambaan diri dengan sebenar-benar pengenalan, lalu melaksanakan tugas perhambaan dengan sebaik-baik penunaian sehingga mencapai tahap mengenali ketuhanan Allah swt dengan sebenar-benar pengenalan (iaitu, menghayati pengaruh Allah swt dalam kehidupan kita dengan sebenar-benar penghayatan).
Dengan ini ia akan membentuk individu yang sempurna dalam memahami kehidupan lalu melaksanakan tugasnya dalam kehidupan dengan sebaik-baik perlaksanaan.
Maka, ketinggian kerohanian yang diusahakan dalam manhaj tarbiah sufi ini adalah nadi pembentukan masyarakat Islami yang syumul, walaupun tidak disebut secara sistematik. Ia lebih merujuk kepada pembentukan individu muslim yang rabbani (sentiasa mendapat pembukaan dan kefahaman dari Allah swt) dan memahami kehidupan dengan neraca ‘ta’abbudi’ (melaksanakan tugas perhambaan).
Imam Hasan Al-Banna sebagaimana yang dinukilkan oleh Ustaz Mahdi ‘Akif sedikit sebanyak menjelaskan konsep yang sama dengan konsep tarbiyah sufi ketika menjelaskan tentang ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ dengan berkata:
“Keistimewaan yang paling khusus dalam dakwah kita adalah dakwahnya bersifat ‘rabbaniyyah ‘alamiyyah’ (menyeluruh). Dakwahnya bersifat rabbaniyyah kerana asas yang menjadi nadi bagi segala tujuan-tujuan kita seluruhnya adalah: agar manusia berusaha untuk mengenal Tuhan mereka, lalu terpancar daripada limpahan hubungan ini (hubungan perhambaan antara hamba dengan Tuhannya) kerohanian yang mulia yang meninggikan jiwa mereka daripada kejumudan kebendaan yang buta (tidak memberi sebarang manfaat dan mudarat dari sudut hakikatnya)…”
Ungkapan Imam Hasan Al-Banna di atas menggambarkan tarbiyah kesufian yang menjadi asas ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ yang mementingkan aspek rabbani telah lama disebut dan diamalkan oleh para ulama’ sufi.
Malah sifat ‘Alamiyyah dalam dakwah sufi juga tanpa menafikan sudut rabbaniyyahnya terungkap dalam ungkapan masyhur seorang murabbi sufi iaitu Imam Abu Al-Hasan As-Syazili rahimahullah dengan berkata:
“Jadilah apa sahaja yang Allah telah tentukan untuk kamu, tetapi beradablah dengan Allah (dalam apa sahaja yang kamu lakukan)”.
Ini jelas menunjukkan keistimewaan dakwah dan tarbiah sufi yang bersifat ‘Rabbani’ lagi ‘Alami berdasarkan seringkas-ringkas perkataan kerana sebaik-baik perkataan adalah apa yang paling sedikit ungkapannya tetapi banyak (mendalam) maksudnya.
Imam Hasan Al-Banna hanya mensyarahkan manhaj dakwah dan tarbiah kaum sufi lalu menggunakan istilah moden seperti ‘Alami, syumuli dan sebagainya sedangkan makna daripada istilah-istilah itu sudah lama wujud dalam dakwah dan tarbiah sufi.
KEPENTINGAN MENGAMBIL TARBIYAH DARIPADA GOLONGAN SUFI
Dr. Yusuf Al-Qardhawi sebagaimana dalam kitabnya ‘Min Ajli Shohwah Rasyidah’ ketika membahaskan tentang ‘Tajdid’, menjelaskan antara agenda ‘tajdid’ yang paling penting adalah ‘Tajdid Imani’ (pembaharuan dari sudut keimanan).
Ketika menjelaskan tentang ‘Tajdid Imani’ yang sangat penting dalam kesempurnaan perlaksanaan ‘tajdid’ dalam bidang-bidang yang lain, beliau menekankan tentang kepentingan tasawwuf dalam proses ‘Tajdid Imani’ ini. Namun, tasawwuf yang dimaksudkan menurut beliau adalah tasawwuf yang murni daripada sebarang khurafat dan penyelewengan.
Beliau menambah :
“Ilmu Tasawwuf itu sendiri berdasarkan penjelasan dan perlaksanaan para ulama’ sufi muhaqqiqin, sememangnya adalah sesuatu yang murni. Tidak ada ilmu tasawwuf Islam yang tidak murni, sebagaimana tidak ada ilmu fiqh Islam yang tidak murni.
Apa yang tidak murni adalah amalan sesetengah orang awam yang bercanggah dengan ‘maqasid’ dan prinsip ilmu tasawwuf yang asal itu, bukan ilmu tasawwuf itu sendiri.
Sebagaimana, munculnya golongan yang salah dalam memahami fiqh lalu salah dalam mempraktikkan fiqh Islami, tidak membawa kepada adanya fiqh Islam yang murni dan yang tidak murni. Fiqh Islam itu sendiri adalah fiqh yang murni sedangkan yang tidak murni itu bukan fiqh, tetapi orang yang mengamalkannya.
Tidak boleh menisbahkan kesalahan sesetengah golongan kepada ilmu asalnya yang sememangnya murni.”
Penjelasan ini juga bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh Imam Ibn Taimiyyah dalam ‘Majmu’ Fatawa’nya dengan berkata :
“Ahli bid’ah dan zindiq telah menisbahkan diri kepada mereka (golongan sufi yang muhaqqiqin) tetapi di sisi para muhaqqiqin dari kalangan ahli tasawwuf, mereka (ahli bid’ah) bukan dalam kalangan mereka.”
Namun, kita melihat bahwa Dr. Yusuf Al-Qardhawi sendiri cenderung kepada merasai kepentingan ilmu tasawwuf sebagai dasar perlaksanaan ‘tajdid imani’. Maka, ilmu tasawwuf dan tarbiyah itu seharusnya diambil daripada mereka yang ahli, yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ‘tarbiyyah ummah’. Para ulama’ dan murabbi sufi sememangnya adalah ahli tarbiyah yang paling berkesan dalam perlaksanaan tarbiyah di sepanjang zaman.
Imam Ibn Taimiyyah sendiri antara ungkapannya, beliau berkata:
“Dia (seorang sufi) pada hakikatnya adalah suatu golongan daripada golongan ‘As-Siddiqin’. Seorang sufi itu seorang ‘As-Siddiq’ (benar) dalam pengkhususan seperti zuhud dan ibadah dalam sudut ijtihad mereka padanya. Maka seorang sufi itu ‘Siddiq’ dalam kelompok jalan (ibadah ini)… Boleh jadi golongan sufi adalah seagung-agung ‘Siddiqin’ pada zaman mereka dan sesempurna ‘Siddiqin’ pada zamannya. Adapun, ‘Siddiq’ pada zaman yang awal (salaf) lebih sempurna daripada ‘Siddiq’ zaman seterusnya.”
Beliau berkata lagi dalam ‘Majmu’ Fatawa’ :
“Kemudian mereka (para ahli ilmu) samada melaksanakan syariat yang zahir semata-mata seperti ahli hadith secara gambaran umum dan orang-orang beriman yang dari sudut ilmu hanya sekadar martabat ahli ibadah yang beramal dengan zahir semata-mata, ataupun (para ahli ilmu itu) mengetahui akan makna-maka (perhambaan di sebalik ibadah zahir) lalu mengenalinya (makna dan hakikat syariat. Maka mereka (yang mengenali makna hakikat amalan zahir, bukan semata-mata mengamalkan zahir syariat tanpa penghayatan) dari sudut keilmuan adalah sebagaimana golongan sufi yang ‘syar’ie’ (melaksanakan syariat). Maka, mereka (para sufi yang syar’ie tersebut) adalah ulama’ umat Muhammad yang sebenar-benarnya. Malah, merekalah semulia-mulia makhluk, sesempurna makhluk dan paling tepat jalan mereka menuju Allah swt.
Seseorang yang menghidap penyakit berbahaya sudah tentu lebih selesa dan lebih tenang untuk berjumpa dengan seorang doktor yang pakar dalam bidang kedoktoran untuk mengambil proses penyembuhannya berbanding berjumpa bomoh-bomoh yang tidak mempunyai pengiktirafan khusus dalam bidang kedoktoran, walaupun tidak mustahil kaedah sesetengah tabib tradisional kadang-kadang lebih mujarrab daripada kaedah perubatan moden.
Apatah lagi hendak berjumpa dengan mereka-mereka yang mengaku sebagai tabib padahal tidak mempunyai latar belakang pendidikan kedoktoran dan ‘tibb’, jauh sekali seseorang itu hendak bertemu dengan mereka untuk tujuan rawatan.
Bagaimana, dalam masalah penyakit jasmani sahajapun, kita terpaksa mencari seorang doktor yang pakar sedangkan dalam penyakit rohani, cukup sekadar membaca buku-buku untuk merawatnya?
Sedangkan, para ulama’ dan murabbi sufi mempunyai pengiktirafan dalam keahlian mereka untuk merawat penyakit hati (dengan bantuan Allah swt) yang mana silsilah izin tarbiyah itu bersambung sampai para murabbi ‘salafus-soleh’.
Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna sangat mementingkan pengambilan tarbiyah daripada para murabbi sufi yang sememangnya ahli dalam bidang tarbiyah untuk menyempurnakan manhaj tarbiyah dalam ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’.
Imam Hasan Al-Banna menceritakan kepentingan dan keagungan manhaj tarbiyah kaum sufi dalam ‘Muzakkirat Ad- Dakwah wa Ad- Da’iyyah’ dengan berkata :
“Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut (tasawwuf), golongan sufi telah mencapai martabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murabbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi).”
Dalam muktamar Islami Pertama, Imam Hasan Al-Banna juga ada menyebutkan antara jalan untuk mencapai ketinggian dalam bidang ilmu dan budaya umat Islam adalah:
“Jam’iyyah (Al-Ikhwan Al-Muslimun) mendapati bahawasanya, antara jalan terpenting dalam tarbiyah para pendakwah adalah tarbiyah keagamaan amali (praktikal) yang mirip dengan tarbiyah sufiyyah yang muhaqqiqin dalam menggabungkan Ilmu dan Amal…”
Oleh sebab itu, Imam Hasan Al-Banna sendiri sangat tekun dalam mengeratkan hubungan ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ dengan para masyaikh sufi dan para murabbi mereka.
Bahkan, antara kepentingan berpersatuan dalam persepsi Imam Hasan Al-Banna adalah untuk membentuk sebuah ruang tarbiyah yang praktikal yang mana ianya sudah dilakukan dalam kelompok golongan sufi terlebih dahulu. Ini antara lain menunjukkan betapa Imam Hasan Al-Banna tetap merujuk kepada golongan dakwah paling utama dalam sejarah Islam iaitulah golongan sufi yang muhaqqiq.
MERAPATKAN HUBUNGAN DENGAN PARA MURABBI SUFI
Di antara idea asal Imam Hasan Al-Banna dalam menggambarkan suatu gerak kerja dakwah yang paling berkesan adalah dengan menggabungkan :
- Para ulama’ muktabar.
- Para murabbi sufi yang ‘muhaqqiq’.
- Para pendakwah yang jujur.
Harapan tentang penggabungan ketiga-tiga unsur ini disebut di dalam kitab beliau ‘Muzakkirat Fi Ad-Dakwah wa Ad-Da’iyyah’ di mana beliau berkata :
“Jika Allah swt menghendaki kebaikan (bagi umat Islam), maka andai Al-Azhar (merujuk kepada institusi ulama’-ulama’ muktabar di Mesir) mengabungkan kekuatan ilmiah yang ia miliki dengan kekuatan kerohanian tariqat-tariqat sufi, serta digabungkan pula dengan kekuatan jamaah-jamaah Islam yang melaksanakan praktikalnya, maka umat Islam ini sudah tidak ada tolok bandingnya lagi.”
Sungguh, kita merasakan betapa luahan Imam Hasan Al-Banna ini adalah suatu yang sangat bermakna.
Sememangnya apabila ketiga-tiga unsur ini bergabung, iaitu :
- Kekuatan ilmiah para ulama’.
- Kekuatan kerohanian dan tarbiah kaum sufi.
- Kekuatan ‘amal Islami’ jamaah-jamaah Islam.
maka sudah tentu ianya akan mencetuskan suatu gelombang perubahan yang sangat positif dalam masyarakat Islam.
Imam Hasan Al-Banna yang merupakan seorang ahli ilmu yang hidup di Mesir ketika itu mempunyai jalan yang luas untuk mengadakan pertemuan-pertemuan dengan para ulama’ muktabar di Mesir khususnya, lalu mengajak mereka membantu usaha ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’.
Cara Imam Hasan Al-Banna berinteraksi dengan para ulama’ ketika itu sangat unik. Beliau selaku ‘Mursyidul Am’ suatu jamaah bernama ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ pada ketika itu tidak sedikitpun mengajak para ulama’ duduk di bawah kepimpinannya dengan memasuki jamaah, tetapi sebaliknya mengajak mereka membantu beliau untuk menyebarkan risalah dakwah kesyumulan Islam dalam posisi masing-masing.
Menurut Imam Hasan Al-Banna, para ulama’ Al-Azhar khususnya, tidak perlu menjadi ahli ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ dan sebagainya untuk dianggap menyertai jamaah atau melakukan usaha dakwah Islam, tetapi ianya memadai dengan memberi kefahaman shahih tentang gambaran Islam yang sebenar dalam masyarakat, sebagaimana yang diusahakan oleh ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’.
Maka, manhaj keterbukaan tanpa sikap “kejama’ahan” yang sempit membuatkan ramai para ulama’ Al-Azhar menyebarkan fikrah ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ dengan kedudukan mereka selaku pemimpin dan pembimbing dalam masyarakat.
Sebahagian para ulama’ yang memasuki ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ terus diminta untuk membimbing ahli tanpa perlu bermula dari peringkat bawah.
Pendekatan Imam Hasan Al-Banna dalam menyebarkan pengaruh ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ adalah dengan pendekatan :
“Al-Jama’ah fi Al-Fikrah laisa Fi At-Tasmiyyah” (Jamaah itu adalah pada persamaan fikrah, bukan pada nama).
Ia suatu pendekatan yang lebih mementingkan “Ma’iyyah Al-Fikrah” (kebersamaan fikrah), bukan “Ma’iyyah Jasadiyyah” (kebersamaan jasad dalam organisasi tertentu).
Begitu juga sikap Imam Hasan Al-Banna dalam menilai golongan sufi yang semestinya mempunyai cara tersendiri dalam manhaj dakwah kerana mereka adalah ahli dakwah utama dalam lipatan sejarah Islam sejak seribu tahun yang lalu.
Maka, sudah pastinya Imam Hasan Al-Banna yang lahir daripada dakwah golongan sufi ini tidak memandang golongan sufi ini terkeluar daripada jamaah atau ‘amal jama'ie’ sedangkan golongan sufilah yang telah lebih awal melakukannya.
Oleh yang demikian, sebagaimana Imam Hasan Al-Banna mengharapkan kerjasama daripada institusi pengajian yang muktabar agar menyampaikan mafhum Islam yang sebenar kepada masyarakat dengan meraikan pengkhususan tugas dan perlaksanaan mereka, begitu juga beliau mengharapkan kerjasama daripada golongan sufi agar menyemai benih-benih ‘mahmudah’ dalam masyarakat Islam melalui manhaj dakwah dan tarbiyah yang sudah dilaksanakan oleh mereka (para murabbi sufi) dengan turut meraikan kelainan dan perbezaan manhaj dakwah sufi daripada manhaj dakwah haraki yang diusahakannya.
Inilah antara ciri-ciri keterbukaan Imam Hasan Al-Banna yang disemai dalam lapangan dakwah haraki sebelum ianya dicemari dengan pelbagai aliran pemikiran yang merosakkan kemurnian manhaj ini dalam dakwah haraki.
Daripada sikap beliau di atas, kita dapat memahami bahwa Imam Hasan Al-Banna sangat mementingkan hubungan yang erat dengan kaum sufi kerana di sisi beliau, ‘tarbiah ruhiyyah’ yang paling berkesan adalah di bawah bimbingan para murabbi sufi itu sendiri.
Ini kerana, bukan semua orang yang membaca buku-buku akhlak, boleh berakhlak dengan apa yang dibaca daripada buku-buku tersebut, apatah lagi untuk mengajar orang lain kepada akhlak tersebut.
Pembentukan akhlak adalah hasil dari ‘tarbiyah’ yang mana kuncinya adalah ‘qudwah’ dari zaman berzaman. Para ulama’ sufi ‘Muhaqqiq’ inilah yang membawa silsilah ‘tarbiyah’ dan ‘qudwah’ yang bersambung sampai kepada Rasulullah saw. Ini menyebabkan mereka mampu mentarbiyah para murid dengan tarbiyah yang berkesan.
Kepentingan inilah menyebabkan Imam Hasan Al-Banna menjelaskan tentang hakikat sebenar ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ adalah suatu dakwah sufi dan penerus kepada tradisi ‘dakwah sufiyyah’. Cumanya, ianya lebih terbuka dan meluas.
Pada ketika itu, kebanyakan para ‘nuqaba’ yang terlibat mentarbiyah ahli ‘Al-Ikhwan’ adalah mereka yang dekat dengan kaum sufi ataupun dari kalangan ulama’ murabbi sufi itu sendiri.
Berdasarkan keterangan sejarah ‘Al-Ikhwan’ di atas, di sana adanya keperluan untuk ‘taqrib’ (mendekatkan) antara ahli jamaah dakwah secara haraki dengan para murabbi sufi sebagaimana saranan awal Imam Hasan Al-Banna agar makna ‘Haqiqah As Sufiyyah’ dapat direalisasikan secara tepat dengan apa yang pernah dilakukan oleh Imam Hasan Al-Banna.
Salah seorang tokoh ‘Al-Ikhwan’ yang sangat rapat dengan kaum sufi adalah ‘Sheikhul Azhar’ Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud rahimahullah. Beliau dianggap sebagai ‘mujaddid’ dalam tasawwuf di Mesir yang mempertahankan tasawwuf Islam secara umum dan madrasah Syaziliyyah secara khusus. Begitu juga dengan Sheikh Sa’id Hawwa yang dikatakan sangat rapat dengan Sheikh As-Syarif Abdul Qadir Isa, seorang tokoh tasawwuf di Syria.
Begitu juga dengan Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti yang sangat rapat dengan para murabbi sufi seperti ayahanda beliau sendiri Sheikh Mulla Ramadhan Al-Buti di samping Sheikh Abdul Rahman As-Shaghuri, Sheikh As-Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki, Sheikh Al-Habib Umar dan sebagainya.
Begitu juga tokoh ulama’ ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ yang besar iaitu Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi di mana beliau mengakui sendiri bahwa beliau terkesan dengan akhlak Sheikh Dr. Abdul Halim Mahmud, seorang ulama’ sufi dan ‘Sheikhul Azhar’ yang juga murabbi dalam ‘Al-Ikhwan’. Beliau sendiri sangat mengakui ketinggian rohani kaum sufi walaupun sentiasa juga mengkritik kesalahan yang terzahir daripada masyarakat awam sufi.
KEPIMPINAN AHLI ILMU
Di samping sifat murabbi Imam Hasan Al-Banna dalam membimbing ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’, sudut “kepimpinan ulama’” dalam diri Imam Hasan Al-Banna juga sangat terserlah.
Ahli ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ sendiri melihat dan mengakui ketinggian ilmu Imam Hasan Al-Banna, begitu juga dengan rakan-rakan beliau dari kalangan para ulama’.
Bayangkanlah, antara para ulama’ yang kuat menyokong usaha Imam Hasan Al-Banna adalah ‘Sheikhul Azhar’ sendiri iaitu Sheikh Abdul Halim Mahmud rahimahullah. Begitu juga dengan ulama’ muhaddith besar iaitu Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah yang mempunyai hubungan erat dengan Imam Hasan Al-Banna. Malah, Sheikh Abdul Fatah Abu Ghuddah turut dianggap sebagai ‘Muraqib ‘Am’ bagi ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ di Syria.
DAKWAH HARAKIYYAH ADALAH DAKWAH SUFIYYAH
Sesuatu yang menjadi kealpaan sesetengah pihak adalah mereka tidak melihat dakwah ‘harakiyyah’ sebagai suatu intipati dalam dakwah sufiyyah yang sebenar, berdasarkan catatan sejarah umat Islam.
Pada setiap peringkat zaman, ‘tarbiyyah sufiyyah’ melahirkan individu-individu atau kelompok yang terlibat dalam :
- Dakwah.
- Ishlah.
- Tajdid
dalam masyarakat Islam.
Namun, rahsia keagungan dakwah sufiyyah antaranya adalah memberi pengaruh positif dalam masyarakat tanpa berlaku pertembungan antara dakwah dengan realiti masyarakat.
Pengaruh dakwah sufi dalam masyarakat Islam awam bagaikan air yang meresap dengan penuh ketenangan lalu menghilangkan dahaga orang-orang yang haus. Ianya lebih kepada ‘asimilasi’ yang positif dan mudah diterima.
Bayangkan, bagaimana kaum sufi khususnya dari kalangan para habib yang datang dari Hadhramaut membentuk suatu perubahan sosial dan aqidah dalam masyarakat di Nusantara yang pada ketika itu dibelenggu oleh agama Hindu dan Buddha.
Oleh kerana itulah, Profesor Dr. Abdul Majid As-Shaghir menyimpulkan bahawasanya :
“’Sufiyyah’ adalah ‘Dakwah’, bukan ‘Muwajahah’ (pertembungan melawan arus).”
Inilah rahsia di mana Rasulullah saw itu sebagai ‘rahmatan lil ‘Alamin’ yang menjadi asas dakwah Baginda saw, yang lebih mempengaruhi secara damai, bukan secara kekerasan.
Dengan sudut ‘Rahmat’ dalam kesufian dan tarbiyah sufi inilah, menjadi modal untuk para musuh tasawwuf mengkritik kaum sufi samada dari pihak orientalis mahupun murid-murid mereka dari dalam umat Islam padahal mereka membutakan mata daripada keterlibatan sebahagian kaum sufi dalam jihad melawan musuh-musuh dan penyebaran dakwah ke serata dunia.
‘Rahmat’ itu justeru adalah suatu kelembutan yang bertempat, bukan dengan erti kemalasan.
Dakwah itu lebih umum daripada ‘Muwajahah’ (pertembungan) walaupun tidak menafikan ada juga melibatkan makna tersebut.
Ini kerana, dakwah itu merangkumi :
- Kelembutan.
- Toleransi.
- Keterbukaan.
- Kesederhanaan.
dan sebagaimana ianya juga meraikan sudut ‘muwajahah’.
Dakwah Islamiyyah tidak mengabaikan sudut ‘muwajahah’ (pertembungan) tetapi bila ianya diperlukan sahaja, bukan setiap waktu.
Inilah simbolik daripada dakwah Rasulullah saw dan para sahabat ra yang mana mereka memiliki pedang masing-masing (sentiasa bersedia untuk ‘muwajahah’) tetapi lebih banyak menyimpannya di dalam sarung berbanding menghunuskannya.
Asal dakwah itu sendiri adalah perdamaian, bukan pertembungan melainkan jika diperlukan dalam mempertahankan usul agama Islam yang mulia.
Mengenai manhaj ‘haraki’, apabila kita membaca kitab ‘Ar-Risalah Al-Qusyairiyyah’, salah satu rujukan utama dalam ilmu tasawwuf, istilah pergerakan juga sudah dikenali oleh kaum sufi di zaman beliau.
Istilah yang mereka gunakan adalah : “Al-Harakah barakah” yang bermaksud :
‘Pergerakan itu membawa berkat’.
Ini menunjukkan galakan para ulama’ sufi untuk kaum sufi bergerak dalam membawa risalah Islam dan ‘tarbiyyah ruhiyyah’ dalam masyarakat.
Adapun, ketika wujudnya gelombang dakwah ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’, tidak dapat dinafikan keterlibatan sebahagian ulama’ sufi dan sebahagian kaum sufi dalam menggerakkan dakwah tersebut. Ini mungkin menyebabkan sesetengah pengkaji tidak melihat ‘Harakah Sufiyyah’ sebagai saingan bagi gelombang ‘Harakah Ikhwaniyyah’ sedangkan dalam ‘Harakah Ikhwaniyyah’ jugalah adanya penglibatan sebahagian para ulama’ sufi.
Hakikatnya, kejayaan ini kembali juga kepada cetusan minda Imam Hasan Al-Banna yang menyeru kepada meluaskan dakwah dan tarbiah sufiyyah dalam masyarakat agar masyarakat awam Islam kembali mengamalkan cara hidup Islami.
Justeru itu, gelombang ‘Harakah Ikhwaniyyah’ yang awal sebenarnya bernadikan tradisi ‘Harakah Sufiyyah’ juga kerana fikrah, manhaj dan uslub dakwah ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ banyak mengambil daripada tradisi dakwah kaum sufi di samping beberapa penambahan dan pembaharuan.
Hakikatnya, ‘Harakah Islamiyyah’ itu sendiri mengandungi unsur ‘Harakah Sufiyyah Sunniyyah’ yang sangat besar. Ia adalah realiti yang tidak dapat dinafikan berdasarkan catatan sejarah khususnya di awal penubuhan beberapa jamaah dakwah Islam.
Sebagai kesimpulan, Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengakui beberapa keistimewaan manhaj tarbiyah kaum sufi yang digunapakai oleh Imam Hasan Al-Banna dalam ‘Al-Ikhwan’ iaitulah :
“Antara ciri-ciri keistimewan kaum sufi yang benar adalah tiga perkara :
‘Istiqamah’, ‘Mahabbah’ dan ‘Mentaati Sheikh’ (Murabbi). Ketiga-tiga inilah merupakan antara asas dalam ‘Tarbiah Ikhwaniyyah’”.
‘Istiqamah’, ‘Mahabbah’ dan ‘Mentaati Sheikh’ (Murabbi). Ketiga-tiga inilah merupakan antara asas dalam ‘Tarbiah Ikhwaniyyah’”.
Dalam mukaddimah kitabnya ‘Al Hayah Al Ruhiyyah wa Al ‘Ilm’, beliau mencatat :
“Apa yang saya dapati daripada pengalaman sendiri dan berdasarkan kebiasaan turun ke lapangan bersama orang-orang awam mahupun ahli ilmu, bersama orang-orang yang lalai, bersama orang-orang yang terlibat dalam jamaah-jamaah Islam yang pelbagai (du’at dan ‘amilin) dan sebagainya, bahawasanya mereka semua memerlukan kepada tarbiah iman yang benar untuk menyucikan hati mereka daripada cinta kepada dunia, daripada cintakan nafsu diri, yang mampu membawa mereka kepada Allah swt, yang mampu membebaskan manusia daripada perhambaan kepada kebendaan, nafsu dan khayal agar mereka berpegang dengan kehambaan hanya kepada Allah swt semata-mata yang mana ianya dapat menyucikan akal mereka daripada syirik, hati mereka daripada nifaq, lidah mereka daripada dusta mata-mata mereka daripada khianat, perkataan-perkataan mereka daripada kelalaian, ibadah mereka daripada riya’, mu’amalah mereka daripada tipu daya dan kehidupan mereka daripada pertembungan (dengan nafsu).
Setelah itu, beliau berkata lagi:
“Inilah dia kesimpulan daripada ilmu tasawwuf…”
Beliau menambah lagi :
“Kita mahukan tasawwuf sunni yang berpegang dengan manhaj Al-Qur’ani An-Nabawi (Al-Qur’an dan As-Sunnah) yang seimbang…”
TARBIYAH SUFIYYAH SUNNIYYAH KEPERLUAN UTAMA DALAM HARAKAH ISLAMIYYAH
‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’, suatu jamaah atau kumpulan muslimin yang berhimpun dalam sebuah organisasi untuk merealisasikan risalah Islam ke segenap sudut kehidupan masyarakat Islam, dari setiap peringkat (individu muslim, keluarga Islami, masyarakat islami, negara Islami dan seterusnya ‘khilafah Islamiyyah’), sudah tentu sangat perlu kepada tarbiah rohani yang sempurna.
Oleh yang demikian, ilmu tasawwuf dengan maknanya yang asal, iaitulah ilmu ‘Tazkiyyah An-Nufus’ yang berteraskan Al-Qur’an dan As-Sunnah, sangat diperlukan dalam sesebuah jamaah yang ingin menterjemahkan Islam dalam kehidupan dan meluaskan peranan Islam ke dalam segenap lapisan kehidupan.
Malah, bimbingan para ulama’ dan murabbi sufi yang ‘muhaqqiqin’ sangat diperlukan bagi membimbing para ‘amilin yang terlibat dalam ‘Amal Jama’ie’ dan dakwah.
Ini sebagaimana yang dicatatkan oleh Imam Hasan Al-Banna dalam ‘Muzakkirat Dakwah wa Da’iyah’ :
“Cara menghadapi segala kesukaran dalam amal, fikrah dan segala prinsip-prinsipnya yang ditempuh (dilakukan) oleh golongan sufi, semuanya itu termasuk ‘uslub’ mentarbiah (mendidik) dan cara berpolitik Ikhwanul Muslimin”
Ustaz Sa’id Hawwa menceritakan secara khusus tentang tasawwuf dan kesufian dalam Ikhwan Muslimin dengan berkata:
“Saya telah menulis kitab ‘Tarbiyatuna Ar-Ruhiyyah’ untuk menjelaskan salah satu daripada dua ‘Fiqh’ samada ‘Fiqh Al-Kabir’ dan ‘Fiqh Al-Akbar’ iaitulah perbahasan “Tasawwuf ‘Al-Muharrar’ (bebas dari sudut negatif)” untuk menjelaskan beberapa perkara khususnya melibatkan topik ‘Hakikat Kesufian’ yang merupakan salah satu ciri-ciri khusus yang utama bagi dakwah Ustaz Al-Banna ra..”
Beliau menambah bahwa :
“Harakah Islamiyyah bergantung kepada ‘Tarbiah Sufiyyah’ dari sudut ‘fikrah’ dan ‘suluk’ secara umumnya!”
Inilah kepentingan ilmu tasawwuf Islami yang berteraskan Al-Qur’an dan As-Sunnah yang sangat diperlukan dalam masyarakat Islam umumnya, dan gerakan-gerakan dakwah khususnya.
Sudah tentulah, ilmu tasawwuf ini perlu diambil daripada para murabbi sufi yang ‘muhaqqiqin’ (berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah) yang mewarisinya secara ilmu dan amal daripada para murabbi sufi ‘muhaqqiqin’ terdahulu.
Sudut kesufian dalam ‘Al-Ikhwan Al-Muslimun’ itulah yang pernah, malah sentiasa menjadi kekuatan utama dalam keberkesanan manhaj ‘tarbiah ruhiyyah’ dalam jamaah tersebut yang seterusnya membawa kepada suatu dakwah yang berjaya dalam segenap aspek.
Jika aspek ini terus digilap dan dipertahankan dengan terus menjalinkan hubungan ‘suhbah’ (persahabatan) dengan para murabbi sufi muhaqqiqin maka tarbiah ‘ruhiyyah’ mampu direalisasikan dengan lebih berkesan.
Ya Allah, kurniakanlah kefahaman yang jelas kepada kami tentang hakikat kesufian yang sebenarnya yang menjadi asas kepada dakwah dan tarbiyah yang dilaksanakan oleh Imam Hasan Al-Banna. Jadikanlah asas tersebut sebagai kekuatan dalaman kami yang mampu menghalang sebarang penyelewengan dari manhaj Islam yang lurus berpandukan Al Quran dan As Sunnah.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS