Kalaulah kemenangan yang diimpikan oleh Rasulullah saw sebatas kemenangan politik semata-mata maka baginda tidak memerlukan waktu yang panjang kerana sejak dari awal baginda memiliki garis keturunan yang berpeluang untuk beroleh kekuasaan.
Tidak ada cercaan, tidak ada derita dan tidak perlu berdarah-darah kerana kedudukan baginda di tengah-tengah kaumnya memberi peluang yang besar bagi baginda untuk berkuasa.
Baginda sedar betul apakah ertinya berkuasa. Jika kendali kekuasaan adalah hawa nafsu dan kedurjanaan, maka kekuasaan seperti itu akan menenggelamkan nilai-nilai peradaban dan melumatkan seluruh bangunan kehidupan.
Mungkinkah kebahagiaan akan mampu diukir di atas puing-puing kehancuran dan rosak binasanya nilai moral?
Baginda menaruh harapan besar dari kekuasaan dan menginginkan perubahan yang besar, namun apa ertinya kekuasaan jika tidak ada perubahan?
Baginda sedar bahwa baginda adalah pendakwah sebelum pemimpin. Bagindapun sedar bahwa tentangan kepada seorang pendakwah jauh lebih besar dari seorang pemimpin.
Membangun cita-cita besar memerlukan :
- Dukungan individu.
- Kecukupan dana.
- Persediaan kemudahan.
Tuntutan daya dukung semakin besar apabila cita-cita semakin besar. Terasa berat untuk menegakkan cita-cita apabila sokongan tidak ada dalam genggaman.
Jika hanya bergantung kepada daya dukung material semata-mata, maka tidak ada harapan bagi kemenangan.
Namun sejarah sering mempertontonkan kepada kita bahwa sesuatu kerja boleh menjadi fantastik yang mungkin dianggap tidak waras apabila ianya bermodalkan kekuatan cinta.
Seberat apapun kerja tidak akan terlontar perkataan tidak boleh serta tidak ada keluh kesah apalagi putus asa bagi para pencinta.
Cinta telah menjadikannya bertenaga dan kerja besar menjadi rasional.
Bukankah seorang ibu rela menggadai nyawa demi lahirnya si buah hati kerana dorongan cinta?
Bahkan ada seorang ibu yang rela bersemuka dengan seekor harimau demi menyelamatkan darah dagingnya dari terkaman haiwan liar ini.
Andainya fanatik cinta kepada makhluk mampu mendatangkan keajaiban, apatah lagi cinta kepada Al Khaliq sesungguhnya lebih dahsyat dan mengkagumkan.
“Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman Amat sangat cintanya kepada Allah”.
Cinta Rasulullah saw pada Ar-Rahman dan kekuatan baginda pada kebenaran serta kasih sayang baginda pada masalah umat menjadi modal besar sebuah kejayaan.
Baginda rela membayar cintanya dengan pengorbanan sehingga kakinya yang bengkak tidak terasa saat indah bercinta dengan Ar-Rahman di tengah keheningan malam.
Pujuk rayu dan tarikan-tarikan kekuasaan sehingga kepada ancaman dan bahaya tidak dipedulikan demi cintanya pada kebenaran.
Anak saudara mana yang tidak cinta kepada bapa saudaranya yang telah mendidik dan membesarkannya, namun ketika cinta yang diberikan perlu menggantikan cintanya pada dakwah dan perjuangan, maka kalimah penolakanlah yang terlontar :
“Demi Allah wahai bapa saudaraku andaikan Quraish meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan dakwah ini, sungguh aku tidak akan tinggalkan sehingga Allah memenangkanku atau aku binasa kerananya”.
Dengan cinta, baginda menyeru semua orang agar terbebas dari siksa yang menyakitkan, kerabat dekat atau jauh, kenal ataupun tidak kenal tanpa ada yang terabai.
Harta, tenaga, waktu dan pembiayaan baginda habiskan semata-mata untuk menebus rasa cinta.
Tidak kenal waktu, tidak kenal jarak, tidak kenal panas terik baginda melangkah menyeru semua umat manusia dengan bahasa cinta.
Gelombang cintanya telah memanjangkan ayunan langkahnya menyusuri seluruh negeri mencari setiap insan yang bersedia untuk membalas cintanya.
Namun setiap orang curiga, memfitnah, mengancam hingga kepada menyiksa di mana mereka meragukan cinta tulus dari seorang pendakwah.
Baginda sentiasa membalas setiap cercaan dan derita dengan pemakluman dan doa, tiada sumpah seranah buat kejahilan umat, apalagi dipanjatkan doa akan turunnya azab yang mem-binasakan.
Cintanya kepada umat membuatkan :
- Baginda kurang memberi perhatian terhadap keperluan dirinya sendiri.
- Baginda rela tidak makan asalkan umatnya makan.
- Baginda rela mengalahkan segala kepentingannya demi kemaslahatan umat.
- Baginda sering menangis menadah tangan bermohon kepada Ar-Rahman agar umatnya berjalan di atas kebenaran dan terhindar dari azab yang menyakitkan “Allahumma Ummati…”, Ya Allah Ummatku, kemudian baginda menangis.
Cinta baginda memang cinta sejati bahkan baginda tidak hanya mengungkapkan cintanya di kala miskin dan membenci di kala berkuasa.
Bukankah pembukaan Makkah merupakan puncak kemenangan dan itulah saatnya untuk melampiaskan dendam, namun di tengah kuasa dan kejayaan itu, senandung cinta tidak pernah luntur dari lisan baginda.
Ketakutan pendukung kebatilan hilang seketika demi mendengar ucapan pembebasan baginda sebagai ungkapan cinta nan tulus dari seorang pendakwah dan ‘murabbi‘ :
“Pergilah kamu, kamu semua bebas”.
- Hati yang keras tiba-tiba hancur luluh.
- Mata yang kering seketika berlinang dengan air mata.
- Kebencian yang terpendam dalam seketika keluar berganti cinta kasih.
Maka, sejurus itu, cinta telah berbalas dengan cinta, ‘Allahu Akbar’ ! manusia berduyun-duyun datang pasrah dengan penuh keridhaan masuk ke dalam barisan Ar-Rahman.
Cinta tersebut telah diwarisi kepada para sahabat, tabi’in dan generasi penerus mereka para pendakwah dan ‘murabbi’. Berbekalkan Al Qur’an dan semangat cinta, mereka pecut kuda-kuda mereka menuruti langkah mengungkapkan rasa cinta dan berkongsi bahagia dengan semua umat manusia.
Tidak terlontar perkataan letih, tiada kelesuan juga tiada perasaan kebosanan bahkan bahagia kian hari kian memuncak.
Tidak ada satupun halangan yang boleh menghambat langkahnya untuk mengungkap cintanya.
Ketiadaan dana, kenderaan dan kemudahan bukan alasan bagi mereka. Semangat mereka telah menyiapkan wasilah melebihi wasilah material. Meskipun keadaan alam kadang-kadang menyekat langkah mereka, namun semangat mereka tidak pernah padam.
Lihatlah ungkapan semangat Uqbah bin Nafi’ ketika langkahnya terhalang di tepi lautan Atlantik, beliau mengatakan :
“Ya Allah ku persaksikan dihadapanmu, kalaulah bukan kerana lautan ini, akan ku buka seluruh negeri dan akan ku Islamkan mereka semuanya” .
Mereka menolak cinta mereka dibatasi oleh wilayah dan jumlah bahkan mereka ingin menjadi pendakwah dan ‘murabbi’ di seluruh dunia.
Begitulah ‘muassis’ (perintis) dakwah ini, Imam Hasan Al-Banna membahasakan cintanya :
“Kerana itu kita berusaha agar dakwah sampai ke setiap rumah muslim, suaranya didengar di setiap tempat, dan fikrah kita tersebar serta menembusi perkampungan, desa, bandar, pusat bandar dan bandar besar … Kita tidak pernah letih dan tidak akan mengabaikan satu wasilah sekalipun”.
Lihatlah bagaimana semangat juang mereka telah menghantarkan mereka ke negeri yang tidak pernah mereka kenali sebelumnya.
Meskipun mereka tidak pernah ikut ‘daurah murabbi’, namun rasa kemuliaan diri mereka sebagai pendakwah dan ‘murabbi’ telah membuatkan mereka percaya kepada diri mereka.
Membina umat yang bekerja membuatkan mereka merasa bahagia dan oleh kerananya mereka tidak perlu kepada ‘taklimat’ dan ‘motivasi.’ Mereka tidak perlu kepada arahan kerana kesedaran mereka telah mengarahkan diri mereka untuk menjadi ‘murabbi’.
Mereka sering mengungkap senandung cinta mereka :
“Aku berkeyakinan bahwa jiwa terbaik adalah jiwa-jiwa mulia yang merasakan kebahagiaan saat membahagiakan dan membimbing orang lain”.
Hari ini, esok dan akan datang, sepanjang zaman umat manusia masih memerlukan sentuhan cinta seorang pendakwah dan ‘murabbi’.
Pandanglah umat dengan hati yang jernih, lihat dan saksikan mereka, kini mereka menanti dan berharap dakapan cinta dari seorang pendakwah.
Mereka memerlukan cahaya, mereka memerlukan air ketenteraman yang akan membahagiakan, mereka ingin bebas dari kenistaan jahiliyah dan mereka menangis menanti datangnya hidayah namun mereka tidak memiliki daya.
Adakah seorang pendakwah itu bakhil dengan hidayah padahal dia datang kepadanya dengan percuma, hidayah bukanlah monopoli perseorangan akan tetapi milik semua orang.
Mereka adalah sebahagian dari tubuh kita, mereka saudara kita. Jumlah mereka bukan satu bukan dua akan tetapi jutaan, patut kah kita membiarkan mereka?
Wahai pewaris risalah suci!!,
- Patutkah cinta para Nabi padam di tangan kita yang menamakan diri kita sebagai pendakwah?
- Patutkah kita cinta kepada mereka di saat kita tidak berpunya dan tidak lagi mencintai mereka kerana kini kita sibuk dengan harta dan kuasa?
Ya Allah, kurniakanlah rasa cinta kami kepada umat ini sehingga mereka mampu menyahut seruanMu dan bangkit memenuhi panggilanMu. Jadikanlah kami pendakwah dan murabbi yang membina manusia dengan cinta kerana dengan dorongan cinta sejati itulah kami mengharapkan hati-hati manusia dapat dipaut untuk menuju jalanMu yang lurus dan menyelamatkan mereka dari azab yang mengerikan.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS