Jika ia jernih, ia akan memandu lisan untuk berucap dengan butiran kata-kata yang lembut.
Jika ia keruh, ia akan memaksa lisan untuk mengeluarkan kata-kata terburuk yang dia miliki.
Itulah dia ‘Al Qalb’ (hati).
Ini sebagaimana sabda Nabi saw :
"Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal darah, apabila dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila dia rusak, maka rusaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu ialah hati." (Muttafaqun `Alaih)
Hati adalah anugerah yang sangat besar bagi manusia. Dengannya manusia dapat :
a. Menyingkap kebesaran Ilahi.
b. MengenalNya.
c. Berkomunikasi denganNya.
d. Mengetahui dengan sebenarnya akan hakikat kehidupan di dunia dan di akhirat nanti.
1. Kedua mata tidak sanggup untuk melihatNya.
2. Telinga tidak kuasa untuk mendengar bisikanNya.
3. Akal tidak berdaya untuk meraih wujud kebesaranNya.
Di dalam hati inilah pusat kebahagiaan seseorang di samping pula boleh menjadi sumber kesengsaraan seseorang.
HATI SEPERTI SUIS PENGAWAL
Hati merupakan suis pengawal seseorang.
Hati adalah pangkal kehidupan di mana :
a. Tamak, rakus dan keserakahan muncul dari kedalaman hati.
b. Qanaah, syukur dan merasa cukup atas rezeki yang diberikan oleh Allah adalah juga bersumber dari hati.
Bahagia atau sedih, serakah atau qanaah, santun atau kasar, kaya atau miskin, mulia atau hina, dan takabbur atau tawadhu’ bukan bergantung kepada material dan bentuk fizikal semata-mata namun sangat bergantung kepada seberapa baiknya rawatan dan pengurusan hati seseorang.
Oleh kerana itu, hati mampu menyelamatkan dan juga dapat mencelakakan.
Hati yang kotor akan melahirkan perilaku kotor. Hati yang suci akan membimbing kepada perilaku soleh.
Firman Allah swt :“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (QS As Syams : 8 -10)
Dalam hati manusia terdapat dua jenis "benih penentu" iaitu :
1. "Benih kebaikan" yang merangsang dan mendorong manusia untuk melakukan amal kebaikan atau perbuatan yang mendekatkan dirinya kepada Allah swt.
2. "Benih kejahatan" yang merangsang manusia untuk melakukan perbuatan ‘fahsya’’ (keji) atau kemungkaran kepada Allah swt.
Manakala ‘At-Taqwa’ merupakan "benih kebaikan" yang sentiasa memberi motivasi dan mampu memobilisasi manusia untuk melakukan amal kebajikan dan pekerjaan yang mendekatkan dirinya kepada Allah swt.
Dari sini kita dapat mengetahui bahwa pada hati manusia terdapat dua kekuatan iaitu kekuatan :
a. "Fujur".
b. "Taqwa".
Apabila setiap rangsangan "benih kebaikan (At-Taqwa)" ini yang timbul dalam diri manusia yang selalunya direalisasikan dalam bentuk amal soleh secara benar dan berterusan maka dengan sendirinya "benih kebaikan" akan semakin berkembang dan akan mendominasi atau menguasai hati "tuannya" sehingga idea, pola berfikir, keperibadian dan seluruh anggota tubuhnya akan menjadi baik kerana mengikuti arahan-arahan yang datang dari hati yang dipenuhi dengan "benih kebaikan" tersebut.
Maka jadilah "tuannya" ini termasuk orang-orang beruntung yang mampu membersihkan jiwanya dari ‘nafsu syahwat syaithaniyah’ kerana ia hanya mahu melayan bisikan dan panggilan kebaikan (taqwa) sahaja.
Sebaliknya bagi manusia yang sering melayan tuntutan ‘nafsu syahwat syaithaniyah’nya, maka tindakan tercela lagi berdosa itu dengan secara automatik memberikan sumbangan dan mempercepatkan pertumbuhan serta perluasan "benih-benih kejahatan (fujur)" sehingga benih ini akan mendominasi hatinya.
Rasulullah saw bersabda :
“Sesungguhnya orang mukmin, ketika ia berbuat dosa maka (saat itu juga) akan menempel titik hitam di hatinya, jika ia bertaubat dan mencabut (dirinya dari perbuatan dosa tersebut) dan memohon ampunan maka hatinya (kembali) bersih, jika ia menambahinya (dengan perbuatan dosa lagi) maka titik hitam itu bertambah pula di dalam hatinya.”
Titik-titik hitam itulah yang dinamakan "Ran" yang disebutkan dalam firman Allah swt :
"(Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka)."
Pada ketika hati manusia dikuasai oleh "benih-benih kejahatan (fujur)" maka idea, pola berfikir, keperibadian dan seluruh anggota tubuhnya akan menjadi buruk kerana mengikuti arahan-arahan yang datang dari hati yang dipenuhi dengan "benih kejahatan" sehingga jadilah ia termasuk orang-orang yang merugi kerana ia telah mengotori dan mencemari jiwanya dengan selalu menuruti ‘nafsu syahwat syaithaniyah’.
HATI MENJADI SAKSI
Pada hari perhitungan amal, hati akan menjadi saksi di hadapan Allah swt.
Dia akan mengatakan dengan sebenarnya perbuatan yang selama ini kita lakukan.
Dia dapat menyelamatkan dari azab Allah dan juga boleh mencelakakan seseorang ke dalam neraka Jahim.
Hati yang terawat dengan baik akan sentiasa mengawal dan mengarahkan anggota tubuh badan yang lain untuk gemar beramal soleh.
Hati yang kusut masai, menjadi sumber malapetaka bagi pemiliknya.
Hati seorang hamba yang bening dan jernihlah yang nanti akan menempati syurga Allah swt yang penuh kenikmatan.
Hati seorang hamba yang keruh dan kotor akan mendiami neraka Allah swt yang penuh dengan azab yang pedih.
HATI UMPAMA CERMIN
Sering kita mendengar bahwa hati diumpamakan seperti cermin.
Kita mesti rajin dan tekun untuk membersihkannya agar ia tetap bersih, jernih dan terang.
Hanya dengan kejernihan hati, kebahagiaan dunia dan akhirat dapat diraih.
Orang yang lalai membersihkannya dari noda-noda hitam, dia akan menemui kerunsingan dan kerisauan hidup di dunia dan di akhirat.
Ingatlah, bahwa hati merupakan amanah yang dipikulkan di atas bahu kita yang mesti dijaga dan dirawat dengan sebaik-baiknya.
Kita tidak akan mampu mengurus dan merawat hati dengan baik kecuali ketika kita mendapatkan pertolongan dari Allah swt.
Allahlah akan membuka pintu rahmatNya bagi hamba yang tekun memohon agar hatinya tetap jernih.
Jika kita perhatikan, puncak prestasi dan kejayaan hidup selalunya akan diraih oleh orang-orang yang berhati bersih dan jernih.
Memang kejayaan dan kemuliaan hanya milik hamba yang berhati jernih.
Betapa indahnya hidup yang berpijak kepada kejernihan hati di mana ketenteraman, kedamaian, kesejateraan, kebahagiaan dan kelapangan akan menghiasi kehidupan menuju keridhaan Ilahi.
Betapa bahagianya orang yang memiliki hati yang terurus dan terpelihara dengan sebaik-baiknya bagaikan taman bunga yang indah di mana pemiliknya mampu merawatnya dengan penuh kesabaran.
Untuk mendapatkan keindahan apapun yang dia lakukan :
1. Seni penanamannya mestilah terurus dengan rapi.
2. Tatacara letak dan corak warna bunga mampu dikombinasikan secara elok.
3. Dipilihnya jenis dan warna bunga yang memiliki warna terindah dan menebarkan bau harum ke segala penjuru taman.
4. Rumput liar perlu dicabut, ranting-ranting kering dipatahkan, hama dan penyakit dimusnahkan dan tidak lupa pula disiraminya tanaman itu setiap hari.
Dengan usaha-usaha tersebut :
a. Tanah akan menjadi gembur.
b. Bunga-bunga tumbuh dengan suburnya.
c. Daun-daunnya kelihatan menghijau.
d. Terlihat sungguh indah pemandangannya.
Setiap kali orang melalui taman tersebut, akan berhenti untuk menikmati keindahannya.
Begitulah juga dengan hati yang pemiliknya rajin merawatnya, sikap dan perilakunya akan terserlah indah.
Orang yang berhasil mengurus dan merawat hatinya dengan baik, bererti :
1. Dia telah berhasil menemui jalan menuju kebaikan.
2. Dia memiliki kegigihan dan keteguhan hidup yang tidak dapat digoyahkan oleh rayuan apapun.
Dengan usaha-usaha pengurusan dan rawatan hati yang baiklah di mana :
a. Gemerlapan perhiasan dunia tidak menjadikan dia surut untuk beribadah.
b. Gelaran dan jawatan tidak menyebabkan dia bersikap angkuh dan sombong serta berbuat sewenang-wenang terhadap orang bawahannya.
c. Kakinya ringan untuk melangkah menuju kebajikan dan berat melangkah menuju kemaksiatan.
d. Dua matanya terfokus kepada kebesaran dan keagungan Allah swt dan terpejam dari pandangan yang menyeronokkan nafsu.
e. Tangannya ringan untuk menyedekahkan sebahagian harta yang dikurniakan kepadanya.
f. Dititinya tahap-tahap kebajikan untuk mengais rahmat Allah swt.
g. Hatinya sentiasa terpikat dan memendam rasa rindu ingin bertemu Allah swt.
h. Kecintaan dan kerinduan kepadaNya mengundang dirinya untuk rajin beramal soleh.
i. Ibadah dilakukan dengan khusyu’.
j. Hatinya bergetar di kala mendengar asma’ Allah yang dilantunkan.
k. Dia akan berusaha bermati-matian untuk menepis riya’, dengki, ujub, takabbur dan sifat-sifat tercela lainnya yang bersarang di dalam hatinya.
Sungguh beruntunglah orang yang memiliki hati yang bersih.
Sesungguhnya amalan lahiriyah yang dilakukan oleh lisan dan anggota tubuh lainnya tidak akan diterima oleh Allah swt selagimana tidak disertai dengan amalan hati (niat) yang merupakan asas bagi diterimanya suatu amal lahiriah.
Sabda Rasulullah saw :
"Sesungguhnya setiap amalan mesti disertai dengan niat." (Muttafaqun `Alaih)
Oleh kerana itu, suatu amal atau pekerjaan atau aktiviti (apapun bentuknya) sangat bergantung dan terkait dengan niatnya.
Suatu amal tanpa disertai dengan suatu niat yang benar adalah seumpama badan tanpa ruh atau seperti pohon tanpa buah yang tidak berfungsi dan tidak menguntungkan sedikitpun.
Hatilah yang akan dinilai oleh Allah swt kerana bila bersih niatnya, maka Allah swt akan menerima amalannya dan apabila kotor hatinya (niatnya tidak benar atau berbau syirik atau tidak ikhlas), maka dengan sendirinya amal tersebut akan ditolak.
Sabda Rasulullah saw :
"Sesungguhnya Allah swt tidak melihat kepada bentuk tubuh dan rupamu, tetapi Dia melihat kepada hatimu sambil baginda mengarahkan jari-jarinya ke dadanya." (HR Muslim)
Oleh yang demikian, sesuatu yang paling berharga, paling bernilai dan paling mulia pada diri manusia adalah HATInya sedangkan anggota tubuh badannya hanya sekadar mengikuti dan menjadi pelayan kepada hati sebagaimana seorang tuan yang memerintahkan hamba sahayanya sebagai pelayannya.
Ya Allah, jadikanlah hati kami hati yang ‘Salim’ (sejahtera) kerana hanya hati jenis inilah yang akan menjadi aset dan bekalan utama manusia di akhirat nanti ketika tidak bergunanya harta benda dan anak-anak apabila bertemu denganMu nanti.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS